Orang Cantik dan Orang Hensem

Wednesday, November 21, 2012

Bagai Bidadari... (Bab 4)


Bab 4
            WARDAH tersenyum sebaik kakinya sampai di hadapan Blooms. Inilah kedai bunga yang menjadi tempat dia mencari rezeki selama ini. Tempat istimewa di mana dia dikelilingi oleh pelbagai bunga yang berwarna-warni. Tempat dia mengubat rasa kecewa dan sedih. Tempat dia merasakan dia boleh menjadi dirinya sendiri. Dan ini jugalah tempat yang sering membuatkan dia dan Wahid memendam rasa. Hai... Entah sampai bilalah dia dapat bekerja di sini.
            Wardah mengeluarkan sejambak kunci dari beg galasnya. Dalam masa tiga puluh minit, kedai yang tadinya tertutup kini sudah sedia untuk beroperasi. Bekas-bekas bunga telah diatur di hadapan kedai. Air juga sudah diganti untuk memastikan kesegaran bunga tetap terpelihara. Wardah meletakkan tanda nama pada setiap bekas bunga untuk memudahkan pelanggan. Blooms bukan setakat menjual bunga. Malahan mereka turut menawarkan tumbuhan hijau yang mudah dijaga serta pelbagai jenis pokok kaktus.
            Setelah semuanya selesai, Wardah menuju ke meja persediaan. Wardah menyemak senarai tempahan untuk hari ini. Ada tiga tempahan bunga yang perlu disiapkan dan dihantar sebelum pukul sebelas pagi. Pantas tangannya memilih bunga-bunga yang cantik dan segar untuk menyiapkan setiap pesanan pelanggan. Dia sudah biasa dengan puluhan jenis bunga yang terdapat di situ. Malahan sentuhan bunga gubahannya sentiasa menjadi dan mendapat pujian pelanggan.
            “Excuse me bang,” suara lembut yang menegur membuatkan Wardah berpaling ke belakang. Bukan sekali dua jantinanya disalah erti. Malah dia sudah lali pula dengan situasi sebegitu.
            “Yes miss? What can I help you?” Wardah menanggalkan sarung tangan yang dipakai untuk melindungi tapak tangannya dari tercucuk duri. Segaris senyuman terukir di wajahnya kepada gadis yang berdiri di hadapannya.
            “Oh, perempuan rupanya. Hmm, I nak tempah bunga for my boyfriend. Boleh you suggest bunga yang sesuai?”
            Wardah masih tersenyum walaupun hatinya pedih mendengarkan ayat sinis perempuan di hadapannya. Seribu satu karenah pelanggan perlu ditanganinya dengan bijaksana. Lagipun Madam Ong sudah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada dirinya. “Sure boleh miss. Kat Blooms kita offer varieties of flowers. Boleh saya tahu ada special celebration ke? Selalunya kalau orang nak sambut annivesarry percintaan, they prefer roses.”
            Wardah menunggu jawapan dari pelanggan pertama kedai bunga hari ini. Sementara itu sempat pula sepasang matanya menganalisa perempuan itu dari atas ke bawah. Rambut perempuan itu disanggul tinggi seperti perempuan dalam pantang. Wajahnya pula dirias dengan pelbagai warna. Wardah tertanya-tanya berapa lama agaknya masa yang diambil oleh perempuan itu untuk bersiap sebegitu. Matanya gatal pula untuk meneliti pakaian perempuan itu. Kebaya ketat yang membaluti tubuhnya membuatkan Wardah seram sejuk. Boleh ke bernafas tu?
            “Ehem-ehem. I dah ada boyfriend ya!”
            Wardah menelan liur. Otaknya cuba memahami maksud yang disampaikan oleh perempuan itu. Haish! Ingat aku nak ngorat kau ke? Perasan! Pakai pun macam Nyonya Mansur dalam filem Ibu Mertuaku. Ingat aku ni lesbian ke? Wardah mengenggam tangannya dengan kuat. Sabar Aimy... sabar! Ingat ni tempat kau cari rezeki. “Errr... Sorry miss. Saya kagum tengok cara miss bersiap. Memang cantik!”
            “Yes, I know that. Ni... I tak pandailah nak pilih bunga mana. Bunga-bunga segar ni susah tak nak jaga?” perempuan itu menyentuh sebaris bunga yang sudah siap digubah. Bunga-bunga itu adalah untuk mereka yang dalam keadaan urgent. Contohnya suami-suami yang sering terlupa hari-hari istimewa pasangan mereka. Dah last minute terpaksalah beli yang ready-to-go  begitu.
            “Boyfriend miss jenis yang macam mana? Kalau memang busy, saya tak suggest ambil fresh flowers. Sayang pulak nanti kalau bunga cepat sangat layu. Kita ada pokok-pokok hijau dalam pasu kecil macam ni. Boleh letak atas meja pejabat. Tapi pokok ni nak ada sunlight dan disiram,” Wardah membawa pelanggannya meninjau pelbagai jenis bunga dan tumbuhan yang terdapat di kedainya.
            “Oh, fussy juga ye nak jaga pokok dan bunga ni?” kerutan di dahi perempuan itu membuatkan Wardah tersenyum. Soalan yang sudah biasa didengarinya setiap hari. Semua orang sukakan bunga yang cantik pelbagai rupa. Namun bukan semuanya rajin mahu mengganti airnya setiap hari.
            “Hmmm... Atau miss nak bagi kaktus? Ini yang paling mudah nak jaga,” Wardah menunjukkan sebaris koleksi kaktus di atas para. Tumbuhan berduri tajam itu disusun atur mengikut ketinggian.
            “Alaaa... tak romatiklah bagi kaktus!” perempuan itu mencebik sedikit. Mengada-ngada pula di pandangan mata Wardah. Banyak betul songeh!
            “Kita boleh decorate pasu ni nanti. Kalau miss nak, saya boleh letak artificial flowers sebagai hiasan. Cuba miss tengok sample yang dah siap tu. Boleh letak kad ucapan lagi,” Wardah masih tabah memberi penerangan. Adat orang berniaga, pelanggan perlu diutamakan!
            Perempuan itu tersenyum lebar melihatkan contoh pokok kaktus yang sudah siap digubah. Tidak sia-sia dia mengikut cadangan Eunice untuk ke kedai bunga ini. Sememangnya terdapat pelbagai jenis pilihan di sini. Dia tidak pernah menyangka pokok kaktus pun boleh kelihatan begitu menarik setelah digubah!
            “Okay! I’ll take that!
            Wardah tersenyum kemenangan. Tidak sia-sia dia meluangkan masa untuk pelanggan yang satu ini. Tangannya pantas mencapai pasu pokok kaktus dan dibawa ke meja persediaan. Beberapa kuntum bunga plastik berkualiti tinggi dikeluarkan bersama dengan alatan lain untuk menggubah pokok itu. Sekeping kad kecil dihulurkan kepada  perempuan yang asyik melihatkan cara dia bekerja.
Miss boleh tulis ucapan kat sini. Do you want us to deliver it to your boyfriend?” Wardah cuba mengalih perhatian perempuan cerewet tersebut. Rasa serba tak kena dibuatnya apabila bekerja di hadapan perempuan itu.
            “Yup! You all hantarkan ye? I kena balik office dah lepas ni. This is the address,” Wardah mengangguk.  Huluran sekeping kertas terkandung alamat itu diambil. Pantas tangannya menyiapkan gubahan tersebut. Sekeping kad ucapan yang sudah siap ditulis oleh perempuan itu dilekatkan pada sebatang kayu sebelum dicucuk ke dalam pasu. Dah siap!
            “Nice. Good job,” gubahan indah itu dibelek dan dipusing 360 darjah. Ada segaris senyuman puas yang terlukis di wajah bersolek itu. Kembang-kempis dada Wardah menerima pujian dari pelanggan yang satu ini.
            “How much?” Wardah melihat perempuan itu mengeluarkan sekeping kad kredit dari dompet kulit berjenama Coach.
            “Total together with delivery charge is RM185.90. Don’t worry miss. Your cactus will be delivered safely today,” Wardah menekan beberapa butang pada mesin kira-kira. Kagum dia melihatkan cara rakyat Malaysia membelanjakan wang sebanyak itu untuk pokok kaktus hasil gubahannya. Bagi dirinya yang kais pagi makan pagi ini, wang sejumlah begitu sudah boleh menampung belanjanya untuk dua minggu!
            “Terima kasih miss. Do come again!” Wardah menceriakan suaranya sebaik klon Nyonya Mansur  itu melangkah keluar dari kedai. Gubahan pokok kaktus itu dilihat sekali lagi. Memang cantik dan kreatif ideanya hari ini. Berbakat betul aku ni! Kalau ada pertandingan MasterFlorist, dah tentu aku ada chance nak menang! Tangannya menyentuh pokok kaktus itu sambil matanya membaca sebaris ucapan yang ditulis oleh perempuan itu.
            ‘Good luck in your project!- Ju’
            Aik? Tak ada ayat jiwang ‘I love you’ atau ‘I miss you’ ke? Panggil pun ‘Ju’ aje? Ju-On ke? Huh! Tak romantik langsung perempuan ni. Wardah membebel sendirian. Sekilas dia menjeling ke arah jam di dinding. Sudah hampir tengah hari. Raju sudah tentu akan sibuk menghantar tiga tempahan untuk hari ini. Kemudian lelaki itu akan pergi mengambil stok bunga segar yang baru turun dari Cameron Highlands pula. Wardah mencapai alamat yang ditinggalkan oleh perempuan tadi.
            “Wisma Bina Jaya?"
Eh, dekat aje. Hanya berselang dua blok sahaja dari lokasi kedai bunga ini. Nampaknya terpaksalah dia yang menghantar pesanan dari perempuan tadi. Sebentar lagi Madam Ong akan sampai. Selepas itu bolehlah dia keluar untuk melakukan penghantaran. Matanya menjeling sekali lagi pada kertas alamat di tangan.
            “Hasif Wafiy...”
Amboi! Bergetar dadanya apabila menyebut sebaris nama teman lelaki si Ju-On tadi. Terbayang rupa paras yang setanding dengan nama indah itu. Kalau melihatkan sikap cerewet perempuan tadi, pasti teman lelaki pilihannya wajib bersifat sempurna. Kalau tak hensem dan macho seperti Aaron Aziz, mesti cute dan bergaya seperti pelakon Korea yang popular.
Ish, tak sabar pula rasanya dia ingin melihat empunya badan. Adakah orangnya sesedap nama?
            

Thursday, November 15, 2012

Bagai Bidadari... (Bab 3)



Bab 3
            “ADUH!” Hasif Wafiy menyeringai menahan sentuhan adiknya yang mengurut betis yang sudah lebam itu. Dahinya berkerut berpeluh apabila ibu jari Hanani dibenam ke batang kakinya.
            “Ish, macam pondanlah Abang ni! Nak Adik urut ke tak ni?” Hanani melepaskan kaki kanan Hasif. Wajahnya serius menanti jawapan dari Hasif. Sudah dua tiga kali Hasif menendang badannya tadi akibat tidak tertahan dengan urutannya. Tak pasal-pasal aku pulak yang lebam kejap lagi.
            “Nak! Nak! Tapi slow-slow la sikit Adik oi... Ni kaki manusia tau. Bukannya batang pisang,” Hasif menghulurkan semula betisnya kepada Hanani. Kalau tidak diurut dengan betul bimbang pula dia tidak boleh bekerja esok hari. Nak berjalan pun berdengkut-dengkut ni semenjak petang tadi.
            “Tu lah... Lain kali kalau berjalan tu mata jangan letak kat lutut. Macam manalah boleh jatuh dalam longkang?” Hanani membebel perlahan. Bukan dia tidak simpati dengan keadaan abangnya. Tapi cerita yang disampaikan oleh lelaki itu macam tak berapa logik pun ada. Takkan Abang bergaduh dengan orang pulak?
            “Benda dah nak jadi Adik... Nak buat macam mana?” Hasif buat wajah selamba. Padahal hatinya dilanda resah apabila Hanani membangkitkan semula cerita yang direka-rekanya itu. Takkan pula dia nak mengaku kena tendang dengan perempuan? Jatuhlah air mukanya nanti.
            Spontan Hasif terkenangkan kejadian petang tadi yang menyebabkan dia terlantar saat ini. Bedebah betul perempuan yang tak berapa nak perempuan itu! Pakai kasut besi ke apa agaknya dia? Sakit benar dirasakan bisa yang menular di segenap urat kakinya. Dah macam injured masa main ragbi wakil universiti dulu-dulu.
            Kalau dulu dia injured pun ada pulangan berbaloi. Dapat juga trofi kemenangan yang menjadi kenangan. Namun sakit yang ditanggungnya ini hanya menyebabkan dia menderita malu. Malu gila disepak depan orang ramai petang tadi. Tak sanggup rasanya dia menaiki tren lagi. Hmm... nak kena beli keretalah nampak gayanya ni.
            “Assalammualaikum,” suara lunak yang memberi salam di pintu rumah membuatkan Hasif dan Hanani saling berpandangan. Spontan Hanani bangun menuju ke pintu meninggalkan abangnya yang masih duduk berlunjur kaki di atas lantai. Pintu rumah dibuka perlahan.
            “Waalaikummusalam. Oh, Kak Ju rupanya. Hmm, masuklah kak,” Hanani merenggangkan pintu kayu. Wajahnya cuba dimaniskan kepada Juliana. Perempuan yang sudah terlalu kerap berkunjung ke rumah mereka itu membuatkan dia berasa sedikit meluat. Selalu sangat datang buat lawatan. Tak ada rumah sendiri ke?
            “Hai Nani! Sihat ke? Dah nak SPM kan tak lama lagi?” Juliana melagakan pipinya kepada Hanani. Belakang badan Hanani diusap lama. Senyuman manis tidak lekang-lekang menghiasi wajahnya yang bujur sireh. Reaksinya seakan sudah lama mereka terpisah. Padahal baru tiga hari lepas mereka bertemu.
            “Eh? Ju?” Hasif mendekati dengan kaki yang masih berdengkut. Kedatangan tetamu yang tidak diduga itu membuatkan dia sedikit terkejut. “Ada apa Ju datang malam-malam ni?”
            Wajah Juliana berubah kelat mendengarkan soalan yang terpacul keluar dari bibir Hasif. Hmmm... orang datang melawat pun nak kena ada sebab ke? Juliana berjauh hati. Namun lekas-lekas diusir perasaan yang bertamu di hati. Merajuk pun nak buat apa kalau tak ada yang sudi memujuk. “Err... Hari ni Ju buat kek Red Velvet. Ada lebih sikit ni. Tu yang hantar ke mari,”
            Kotak merah siap beriben itu sudah pun bertukar tangan. Pantas sahaja Hanani membawa ke dapur. Rezeki jangan ditolak kata orang. Lagipun masakan Juliana memang selalunya tidak pernah mengecewakan. Ah, kalau tak sedap mana mungkin perempuan itu mahu menghantar ke rumah mereka.
            “Lah, Ju datang dari jauh semata-mata nak hantar kek ni ke? Buat susah-susah je Ju... Eh, marilah masuk Ju,” Hasif mengukir senyuman. Baik betul anak dara Pak Cik Rahman ni. Sudah kerap benar Juliana menghantar makanan kepada mereka sekeluarga.
            Hasif memerhatikan Juliana yang duduk ayu di atas sofa kulit di tengah rumah. Rambut panjang Juliana dilepas bebas mengurai melepasi bahu. Skirt labuh yang dipadankan dengan top polos berlengan pendek menyempurnakan lagi penampilan gadis itu. Memang cantik dan sempurna.
            Auntie Raihanah tak ada ke Hasif?” Juliana tersipu malu apabila dia perasan sepasang mata Hasif begitu asyik memerhatikan dirinya. Nampaknya tidak sia-sia dia meluangkan masa untuk bersiap tadi.
            “Mama ada kelas tambahan kat sekolah. Budak darjah enam nak UPSR kan tak lama lagi,” Hasif turut melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan Juliana. Tangannya mengusap perlahan betis yang masih sakit menyengat.
            “Kenapa kaki Hasif tu?” Juliana sudah datang menghampiri. Berdebar-debar dirasakan dadanya saat melihatkan kecederaan Hasif. Dari betis yang lebam, pandangan mata Juliana singgah di wajah Hasif. Lelaki yang berkulit sawo matang itu kelihatan cukup kacak sekali malam ini. Ehem, bukan malam ini sahaja. Malah setiap siang dan malam pun lelaki itu cukup sempurna di matanya.
            “Along jatuh longkang petang tadi!” Hanani menyahut tiba-tiba. Sepinggan kek yang dibawa oleh Juliana diletakkan di atas meja bersama sejag air oren Sunquick. Sengihan di wajahnya melebar melihatkan wajah Hasif yang berkerut. Malulah tu!
            “Ye ke? Dah pergi klinik? Nampak teruk lebam kat kaki Hasif ni,” kening Juliana sudah bercantum. Risau bukan kepalang dirasakan saat ini. Jahat punya longkang!
            “Ish, sikit je ni. Tak payahlah pergi klinik. Lagipun tadi Nani dah tolong urutkan,” Hasif tersenyum melihatkan Juliana yang begitu mengambil berat tentang dirinya.
            “Tak boleh biar macam ni Hasif. Nanti takut bentan kalau bengkaknya tak surut. Hasif nak Ju urutkan?” Juliana menawar diri. Kembang-kempis dadanya menunggu jawapan dari Hasif. Ingin sekali dia menyentuh kaki Hasif yang lembam membiru itu. Akan disalurkan aura kasih-sayang biar hilang segala kesakitan lelaki itu.
            “Eh, tak apa Ju! Tak manis pulak kalau Ju tolong urutkan. Kalau tak surut lagi bengkak ni, esok Hasif ingat nak ambil cuti sakit,” Hasif pantas menjawab. Mana mungkin dia membenarkan Juliana menyentuh kakinya. Kalau Mama balik nanti tak pasal-pasal makan penampar.
            Juliana tersipu mendengarkan jawapan Hasif. Malu pula dirasakan apabila dia yang beriya-iya benar menawar diri sedangkan lelaki itu menolak pula. Juliana mengerling ke arah Hanani yang kelihatan kusyuk membaca buku Biologi. Minta-mintalah bakal adik iparnya tu tak mendengar. Ehem.
            Silauan lampu kereta yang memasuki garaj rumah membuatkan Juliana membetulkan postur badannya. Dia pasti Auntie Raihanah sudah pulang dari mengajar kelas tambahan. Melihatkan wanita itu sedang mengangkat beberapa buah buku rujukan yang tebal, Juliana terus menerpa untuk menghulurkan bantuan.
            “Eh, patutlah auntie macam kenal aje kereta Jazz kat luar tu. Juliana rupanya. Amboi, bergayanya malam-malam ni. Baru balik dating ke?” Raihanah menyapa ramah sebaik melihatkan gadis yang sudah terlalu kerap datang ke rumahnya itu. Bukan dia tidak terkesan aura cinta yang bersemarak di sebalik sepasang anak mata Juliana. Namun bila ditanya anak terunanya itu, hanya gelengan dan jawapan ‘tidak’ yang diberikan. Pelik-pelik betul cara orang muda sekarang bercinta.
            “Ish, mana ada lawa auntie. Biasa aje. Auntie tu yang tetap anggun tau!” Juliana tertawa kecil dipuji oleh Raihanah. Mestilah lawa auntie, lima kali saya tukar baju tadi. Juliana menjerit di dalam hati.
            “Sedap nampaknya kek tu. Ni mesti Ju yang baking kan. Hai... untung betullah siapa yang kahwin dengan Ju nanti. Siang malam berhidang meja makan,” Raihanah mencubit sepotong kek berwarna merah itu. Senyumannya melebar saat kek lembut itu melalui kerongkongnya. Cukup segala rasa. Sejuk perut wanita yang mengandungkan Juliana.
            Juliana berasa sudah lenguh bibirnya menguntum senyuman apabila tidak henti-henti dirinya dipuji. Tidak sia-sia dia melaburkan sejumlah wang untuk mengikuti kelas masakan dan membuat kek. Dia pasti Raihanah akan tertambat dengan kemahiran yang satu ini. Cuma hati Hasif sahaja yang terlalu sukar ditawani!
             “Siapalah yang sudi pada Ju ni auntie...” lirih sahaja suara Juliana memecah kesunyian. Raihanah menjeling ke arah Hasif yang tekun menonton televisyen. Sedikit pun anaknya tidak berkutik seolah-olah perbualan mereka tidak terkesan pada dirinya. Aik, tak ada rasa apa-apa ke? 
            “Ramai yang nak tau Ju. Kalau auntie cakap kat cikgu-cikgu bujang kat sekolah tu, tak menang tangan Ju nak melayan nanti,” Raihanah mengusap lembut bahu Juliana. Gadis itu memang cantik. Namun pasti lebih indah jika rambutnya yang panjang mengurai itu dilitupi dengan tudung.
            Juliana tersenyum kelat. Eh Auntie Raihanah ni! Aku nak anak bujang dia tu. Cikgu-cikgu sekolah tu semua aku tak pandanglah. Hati ini dah terkunci rapi untuk Hasif Wafiy seorang! Juliana membebel di dalam hati. Namun senyuman di wajah tetap mekar terukir. Tangannya memintal hujung rambutnya yang panjang.
            “Errr.. Ju...” Raihanah menyeru nama Juliana. Hati tuanya berasa serba-salah pula untuk meluahkan apa yang tersirat di fikiran. Tangannya mengusap belakang tangan Juliana yang lembut sementara kepalanya pula cuba merangka ayat yang sesuai.
 Juliana menahan debaran di dada. Bagai ada perkara penting yang ingin dilafazkan oleh ibu kepada lelaki pujaannya itu. Jantungnya mula berentak dangdut. Manalah tahu jika ini adalah saat-saat istimewa Auntie Raihanah mahu merisik dirinya untuk Hasif? Spontan Juliana membetulkan rambutnya sambil tersenyum bersahaja, “Ada apa auntie?”
“Hmm, kalau auntie cakap ni, Ju jangan salah faham ye?” Raihanah tersenyum melihat Juliana yang menggelengkan kepala. “Err... parents Ju tak marah ke Ju balik lewat ni? Auntie bukan menghalau tau Ju. Tapi auntie sebagai emak, memang sentiasa risaukan anak-anak. Inikan pula Ju nak drive balik sorang-sorang ke Puncak Alam sekejap lagi,” Raihanah melepaskan nafas kelegaan selepas kegusaran di hati terluah jua.
Juliana tersenyum kelat. Ingatkan tadi dia bakal menempuh detik bersejarah di dalam hidupnya. Rupanya Auntie Raihanah sedang mengguna cara halus untuk menyuruh dia pulang. Alah Auntie Raihanah ni... Kalau risau, jemputlah aku tidur kat rumah dia ni. Dapat juga berkongsi bumbung yang sama dengan Hasif untuk satu malam!
“Ju?” Raihanah menyentuh lengan Juliana apabila melihatkan gadis itu tetap berdiam diri. Berkecil hatikah gadis itu dengan kata-katanya sebentar tadi?
“Ye auntie. Betul juga apa auntie cakap tu. Baik Ju balik sebelum jalan jadi lengang. Takut pulak nak drive sorang nanti,” Juliana terus berdiri dari sofa. Isyarat yang dihantar oleh Raihanah dapat dicerna dengan sempurna oleh akal fikirannya. Alah, dia yakin Auntie Raihanah bukannya berniat untuk menghalau. Pastinya Auntie Raihanah teramat merisaukan keselamatannya. Bukankah risau itu tandanya sayang?
“Hasif, Ju balik dulu ye?”
“Hah? Dah nak balik? Okay Ju. Thanks datang hantar kek. Sorrylah, Hasif tak dapat nak hantar sampai ke luar,” Hasif menunjuk ke arah kakinya.
“Eh, tak apa. Hasif rehatlah. Kalau esok nak Ju temankan ke klinik, just give me a call ya?” Juliana tersenyum mengharap.
“Eh, Ju tak kerja?” hampir serentak Hasif dan Raihanah bertanya.
“Er, Ju memang ambil cuti esok. Kebetulan pulak kan?” Juliana tersengih macam kerang busuk. “Nani, Kak Ju balik dulu ye. Belajar rajin-rajin tau untuk SPM,” Juliana menyalami Hanani sebelum melangkah ke muka pintu.
“Ha, dengar tu Adik. Jangan asyik dengan Facebook, Twit-twit apa tah. Dahlah result Biologi tak berapa okay tu,” sempat pula Raihanah berceramah kepada Hanani yang terkebil-kebil.
“Oh, kena ambil kelas tambahan tu auntie...” Juliana sudah berkira-kira hendak menawarkan diri mengajar Hanani. Bukanlah dia genius sangat pun dalam subjek itu. Tapi adalah alasannya untuk selalu berkunjung ke rumah teres dua tingkat itu nanti.
“Memang pun Ju. Auntie nak minta tolong dengan kawan lama auntie nanti. Katanya anak dia ada ijazah pendidikan,” Raihanah sudah mengunci mangga pagar rumahnya. Tangannya melambai ke arah Juliana yang sudah memegang stereng kereta. Dalam samar malam itu tidak pula dia perasan wajah Juliana yang kehampaan.
“Hmm, yelah... Ju balik dulu ye auntie. Assalammualaikum,” kereta Juliana meluncur perlahan. Esok-esok Ju datang lagi ye auntie. Ju bawa kek Carrot Cheese, Blueberry, Tiramisu dan segala jenis kek lagi dalam dunia ni!

Selamat menyambut awal muharram kepada semua pembaca! Semoga penghijrahan kita kali ini adalah ke arah yang lebih baik dan mendapat keberkatan dariNya. Amin! =)

Tuesday, November 6, 2012

Bagai Bidadari... (Bab 2)


Bab 2
WARDAH menghayunkan langkah diiringi dengan siulan kecil. Peristiwa hitam dipeluk oleh lelaki asing tadi cuba diusir pergi dari kotak fikiran. Kakinya mengorak ke arah tandas awam yang terletak di sebelah kiri bangunan. Sekeping syiling dua puluh sen dan sepuluh sen diletakkan di atas meja.
“Baru balik Wardah?” Melur menegur sebaik ternampak kelibat pengunjung setia tandas awam di situ.
“Ish, Kak Melur ni! Panggil Aimy dah lah kak. Gelilah panggil Wardah!” Wardah bersandar di tepi meja kecil itu. Tangannya mencapai sepotong kuih lapis yang dibeli oleh Melur lalu disumbat ke dalam mulut.
“Sedap apa nama Wardah tu. Cantik... Manis... Sesuai dengan empunya badan,” Melur mengusik Wardah yang sudah tersipu-sipu malu. Mengenali Wardah sejak setahun yang lalu sudah cukup untuk dia menilai hati budi gadis itu. Luarannya sahaja yang keras macam batu. Padahal hatinya lembut macam salju.
“Hesy, akak puji-puji ni bukannya saya ada duit pun nak belanja makan. Minggu depan saya dapat gaji kita pergi pekena Laksa Buyong. Amacam? Nak tak?” kening Wardah terjungkit sedikit. Tangannya membetulkan snow cap yang menutupi keseluruhan rambutnya.
“Kalau betul kau nak belanja, satu perut akak tadahkan Wardah oi...” Melur mengekeh ketawa. Dapat makan free, siapa yang tak happy?
Okay, set Kak Melur. Next week kita pergi makan!” Wardah menunjuk isyarat ibu jari. Melebar senyuman terukir di wajahnya yang merah menahan terik mentari.
“Lambat kau hari ni Aimy?” Amri muncul dari belakang bangunan. Satu beg plastik hitam berisi sampah diletakkan di tepi dinding. Tuala Good Morning yang disangkut pada leher digunakan untuk mengesat peluh yang mengalir dari dahinya.
“Ha’ah. Aku bergaduh dengan mamat poyo dalam tren tadi,” wajah Wardah berubah kelat dengan tiba-tiba. Membayangkan wajah lelaki itu membuatkan darahnya kembali mendidih panas. Meremang bulu romanya mengenangkan kejadian tadi. Janganlah nightmare pulak malam nanti.
“Kenapa pulak? Apa dah jadi?” Amri melangkah menghampiri Wardah dan Melur. Namun kakinya terhenti dan dia sekadar bersandar pada dinding dalam jarak yang selamat. Dia segan kalau-kalau badannya berbau dan dihidu oleh Wardah.
“Mamat tu peluk aku...”
“Hah? Kau kena peluk? Lepas tu kau buat apa?” Melur hampir terjerit. Dramatik habis reaksinya saat itu.
“Ish, perlahanlah sikit suara tu Kak Melur. Saya maki dia kaw-kaw lah kak. Selamba je dia minta maaf. Macam tak ikhlas je. Last-last saya tendang kaki dia!” Wardah bicara perlahan. Wajah lelaki yang menyeringai kesakitan itu tiba-tiba menjentikkan rasa simpati di hatinya. Mesti sakit kena sepak dengan sport shoes yang dipakainya itu.
“Ganas betullah kau ni Wardah. Dia tak sengaja agaknya tu,” Melur menampar lembut bahu Wardah. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda tidak setuju.
“Hish! Kalau aku ada tadi, aku tumbuk lumat mamat tu! Berani dia peluk kau! Tak suspect orang langsung!” Amri meludah di tepi longkang. Rasa marahnya meruap dengan tiba-tiba apabila mendengarkan cerita Wardah.
Suspect apanya Am? Respect lah...” berderai tawa Melur dan Wardah mendengarkan kata-kata Amri yang belajar setakat Tingkatan Empat itu.
“Haa, tulah yang aku nak cakap tadi...” Amri menahan malu. Mujurlah kulitnya sudah hitam kerana sering dibakar mentari. Tak adalah nampak sangat dia sedang menanggung rasa malu. Wajah Wardah dicuri pandang. Aduhai, indahnya ciptaan Tuhan! Kurang ajar betul lelaki yang sudah menyentuh gadis pujaannya itu!
“Eh, Kak Melur. Dah pukul berapa ni?” Wardah menarik tangan Melur untuk melihat jam tangannya. “Ya Allah! Dah dekat pukul 6.30! Kejap lagi ayah saya nak sampai! Saya masuk toilet dulu. Nak siap!” Wardah mencapai sebuah beg dari laci meja Melur sebelum bergegas menghilangkan diri ke tandas.
“Kau ni tak nak balik lagi ke Am?” Melur menjeling penuh makna kepada Amri yang sedang terpacak berdiri dekat pintu tandas wanita.
“Kejap lagi nak baliklah ni kak,” Amri menjawab sepintas. Namun matanya masih tidak lepas dari memandang ke arah dinding yang memisahkan dia dan Wardah.
“Hmmm,” Melur berdehem penuh makna. Bukan dia tidak tahu apa yang bermain di benak lelaki itu. Ada orang menunggu puteri kayangan turun dari langit, Si Amri ni pula menunggu bidadari keluar dari tandas!
Sepuluh minit berlalu, Wardah sudah siap menyalin pakaian. T-shirt besar serta seluar longgar yang dipakainya tadi sudah dilipat kemas di dalam beg sandang. Dia kini sudah menyarung baju kurung kain kapas bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah jambu. Tudung dari rona senada turut tersarung di kepalanya. Amboi... persis anak dara pujaan! Wajahnya saja yang polos tanpa secalit bedak mahupun solekan.
Amri mengusap dada sebaik Wardah melintas di hadapannya. Inilah yang ditunggunya setiap hari. Pemandangan yang cukup indah mengusik naluri lelakinya. Bukan senang ingin melihat Wardah berpakaian sebegini. Dia merasakan dirinya cukup bertuah dapat melihat Wardah dalam penampilan seperti wanita Melayu terakhir.
“Ayah saya dah sampailah Kak Melur. Saya balik dulu ye. Am, aku balik dulu. Jumpa esok!” Wardah melambai seraya berjalan ke arah kereta Honda Accord yang sudah tersedia menunggu di bahu jalan. Langkahnya kelihatan kekok berjalan dalam kain yang sedikit sempit.
“Tutuplah mulut kau tu Am. Menganga dari tadi. Suspect aku dibuatnya!” Melur ketawa mengusik. Wajah Amri yang malu-malu itu sudah terlalu biasa dilihatnya. Selain dari rutin harian mengutip sampah di kawasan Stesen Komuter Padang Jawa, Amri adalah penunggu setia yang menyambut dan menghantar Wardah setiap pagi dan petang.
“Macam bidadari kan, kak?” Amri tersenyum sebelum mencapai beg plastik sampah yang ditinggalkan di tepi dinding tadi. Hatinya berbunga ceria seperti hari-hari sebelumnya. Bau sampah pun bertukar  menjadi bau pepium saat ini. Semuanya kerana Aimy Wardah!

*                *                      *                      *                      *                      *

            WARDAH membetulkan kain batik yang hampir terlucut dari ikatan. Susah betul nak ikat kain tu supaya melekat di pinggangnya! Dulu pernah juga dia ikat dengan tali rafia untuk mengemaskan kedudukan kain batiknya. Namun bila ayah ternampak, bising betul mulut ayahnya membebel. Dah macam hantu bunjut katanya!
            “Huiyo! Nasi ayam kukus. Sedapnya! Kau ke masak?” Fawwaz menjenguk dari bahu Wardah. Wajah Wardah yang pucat mengurut dada dipandang sekilas. “Terkejut ke?”
            “Mestilah terkejut! Tiba-tiba je Along masuk dapur ni. Lain kali buatlah bunyi-bunyi sikit. And yes, hari ni kita dinner nasi ayam. Of course lah ayah yang masak! Lagi mahu tanya ke Along ni!” Wardah menyusun pinggan di atas meja makan. Semuanya kelihatan kemas dan teratur. Memang itu satu-satunya kepakaran di dapur yang dia miliki. Nak suruh memasak memang dia awal-awal lagi menyerah kalah. Tak pandai. Tak ada bakat.
            “Kau ni anak dara apa tak pandai masak? Esok-esok dah kahwin nak jamu apa kat laki kau. Biskut kering dengan air paip ke? Huish, malang betul suami kau nanti!” Fawwaz sudah menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Tangannya mencubit isi ayam di dalam pinggan sebelum disiku pantas oleh Wardah.
            “Hesy! Lambat lagilah orang nak kahwin Along! Lagipun kalau orang nak kahwin, lelaki tu kenalah memahami dan menerima kekurangan orang!” Wardah menarik kerusi di sebelah Fawwaz lalu sebelah kakinya mendarat di situ.
            “Aimy Wardah,”
            Dua pasang mata menoleh ke arah Wahid yang melangkah masuk ke dapur. Susuk tubuh lelaki yang sudah lebih dari separuh abad itu kelihatan masih sihat seperti orang muda. Wajah tenangnya menguntum senyuman di wajah Wardah.
            “Ye ayah,” Wardah melunakkan suara. Depan ayah tak boleh nak buat perangai kasar-kasar sangat. Nanti tak pasal-pasal dapat ceramah percuma.
            “Turunkan kaki kamu tu. Duduk sopan sikit boleh tak? Kamu tu anak dara dah Wardah. Tak elok duduk terkangkang macam tu,” Wahid melabuhkan punggung di atas kerusi. Suara tegasnya membuatkan bulo roma Wardah berbaris tegak. Spontan dia duduk dengan sopan bagai anak dara pingitan. Tangannya terus ligat menyendukkan nasi untuk kedua-dua lelaki yang teramat disayanginya.
            “Site kamu yang ada masalah tu macam mana? Okay dah?” Wahid menguyah perlahan sambil matanya tertumpu kepada anak sulungnya.
            “Okay dah ayah. Tapi teruk jugaklah nak kejar balik schedule hari tu. Memang site kena operasi dua puluh empat jam. Kalau tak sangkut pula progress claim,” Fawwaz bercerita ringkas. Memang tempoh dua bulan yang lalu menyebabkan dia tidak cukup rehat untuk memastikan kerja-kerja terbengkalai di tapak pembinaan dapat diselesaikan kembali.
            “Alhamdulillah. Eloklah macam tu. Nanti ambillah cuti sehari dua. Kita pergi makan angin rehat-rehatkan badan,” Wahid menyimpul senyuman. Sudah lama mereka tiga beranak tidak meluangkan masa untuk bercuti. Walaupun masih tinggal sebumbung, namun waktu sarapan dan makan malam sajalah masa untuk mereka bertemu. Pandangan matanya jatuh pada Wardah yang sedang melahap nasi ayam dengan bersungguh-sungguh. Sebutir dua nasi jelas kelihatan melekat pada pipi kiri anaknya itu. Tak tahulah nak marah atau tergelak dengan sikap anak perempuannya itu.
            “Sedap ke Wardah?”
            “Best ayah! Sedap sampai menjilat siku! Ayah ni boleh buka kedai makanlah ayah!” Wardah menggigit peha ayam dengan rakus. Memang dia berkata ikhalas, bukan sekadar mengambil hati Wahid. Semenjak dia kecil, dia hanya pernah makan masakan Wahid. Dia tidak pernah menikmati air tangan seorang ibu. Nak buat macam mana, sejak kecil lagi dia sudah terpisah dengan ibu. Dia membesar dengan kasih-sayang ayah dan Along semata-mata.
            “Kalau ayah buka kedai makan, kamu sorang ajelah customer ayah. Pelanggan lain nak masuk pun takut tengok cara kamu makan. Macam tak makan setahun!” Wahid dan Fawwaz ketawa serentak. Wajah Wardah yang merah ditatap oleh dua pasang mata itu. Wardah tersenyum kelat. Indirectly, ayah nak cakap dia tak sopanlah tu. Menyampah tau!
            “Ha, Wardah. Along nak tempah bunga tau. Nanti Along bagitahu balik berapa banyak. Ada diskaun tak?” Fawwaz meneguk air sirap limau yang sejuk.
            “Wow wee! Along nak kasi kat awek ke? Confirm lah ada diskaun untuk Along. Orang pakai harga staff nanti! Nak berapa kuntum ros merah?” sepasang kening Wardah terjungkit-jungkit memandang ke arah Fawwaz. Wahid yang sedang makan pun terhenti menunggu jawapan dari Fawwaz. Tak tahu pula yang anak lelakinya itu sudah berpacaran. Dah nak bermenantu rupanya dia.
            “Bukan untuk aweklah! Ada majlis kat company Along. Nak raikan salah seorang lembaga pengarah. Esok Along confirmkan berapa kuntum bunga. Kau pilihlah yang lawa-lawa. Untuk perempuan umur 45 ke 50 tahun,” Fawwaz tersengih melihatkan reaksi ayah dan adiknya. Ingat aku ada masa ke nak cari awek sekarang ni?
            “Adoi! Ingatkan nak bagi orang kakak ipar dah! Bilalah nak dapat anak sedara ni...” Wardah buat muka sedih. Kalau nak ikutkan Alongnya memang hensem. Dengan kerjaya yang stabil, sudah pasti ramai perempuan yang datang menghimpit. Apa sajalah yang menahan Along dari mencari pasangan agaknya?
            “Along nak bagi kamu kahwin dulu. Baru selesai tanggungjawab Along. Kan ayah? Ayah carilah sorang untuk Wardah ni. Bekas anak murid ayah tak ada ke yang available?” tercekik nasi Wardah dibuatnya mendengarkan kata-kata Fawwaz. Nak mengusik dia tu satu hal. Tapi yang sampai libatkan ayah tu kenapa? Ayah bukan boleh dibawa bergurau hal-hal jodoh dia. Serius aje muka ayah nanti.
            “Yang available banyak. Tapi ada ke yang nak kat Wardah tu. Macam tak cukup hormon estrogen je ayah tengok. Ha, Wardah. Alang-alang dah bukak cerita ni, ayah nak tanya satu soalan ni,” Wardah kecut perut mendengar suara serius Wahid. Wajah Fawwaz yang tersengih-sengih di jeling geram. Jagalah kau Along!
            “A..apa dia ayah?” Wardah tak dapat mengawal debaran. Takkanlah ada yang bagitahu pada Wahid yang dia masih tegar berpakaian seperti lelaki? Rahsianya itu hanya dikongsi dengan Melur dan Amri.
            “Sampai bila kamu nak kerja kat kedai bunga tu? Dah dekat setahun tau kamu graduate. Nak simpan dalam almari aje ke ijazah kamu tu? Sudah-sudahlah main-main tu. Fikir masa depan tu Wardah. Ayah ni bukan lama lagi nak jaga kamu,” Wahid mengangkat pinggan ke sinki. Ada getar sedih yang terkesan pada bicaranya yang membuatkan hati Wardah tersayat pilu.
            “Hm, nanti orang cari kerja lain ayah,” Wardah menjawab sebaris. Jawapan neutral aje yang diberikan. Dia tidak berani berjanji sesuatu yang belum tentu mampu ditunaikan.
            “Dari dulu kamu kata nanti-nanti. Carilah betul-betul. Ijazah pendidikan tu laku kamu tahu tak? Cuba minta kerja kat kolej-kolej. Suruh apply cikgu dulu tak mahu. Sombong!” Wahid kembali duduk di meja makan. Seteguk air melalui kerongkongnya.
            “Ayah! Orang bukan sombong. Orang tak minatlah jadi cikgu. Ayah lupa apa jadi masa orang praktikal dulu? Orang seriklah!” Wardah membungkam rasa. Hilang terus selera makannya di saat itu. Dia tak nak jadi cikgu sekolah! Pengalaman empat bulan menjalani latihan mengajar dulu masih segar dalam ingatannya.
            “Kalau tak nak jadi cikgu sekolah, kamu apply kat kolej. Kesiankanlah ayah ni...” Wahid membuang pandang ke luar tingkap. Suaranya tidak kedengaran serius seperti tadi. Sebaliknya terkesan nada kecewa pada kata-katanya.
            “Ehem. Nantilah Along minta kawan-kawan carikan kolej yang ada vacancies. Kat Shah Alam ni pun banyak kolej swasta. Nanti Wardah bagi je resume,” Fawwaz dilanda rasa bersalah. Asalnya dia sekadar ingin mengusik adik kesayangannya itu. Manalah tahu boleh jadi isu besar pula.
            “Tapi... Orang tak minat mengajar...” Wardah masih memancing simpati. Apa? Low-class benarkah kerjanya sebagai pembantu di kedai bunga? Memanglah gajinya kecil. Tapi kalau setakat menampung hidupnya seorang masih mencukupi. Yang penting hatinya gembira dikelilingi bunga-bunga pelbagai rupa dan warna.
            “Minat boleh dipupuk. Nanti ayah usahakan sampai rasa minat tu datang. Ayah pegang janji kamu ni Wardah,” Wahid sudah bangun menuju ke ruang tamu. Dia ingin menonton rancangan Discovery Channel kegemarannya. Lagipun dia malas mahu berbalas hujah dengan Wardah. Bimbang hati tuanya akan berlembut lagi seperti sebelum-sebelum ini.
Sejak kebelakangan ini memang hatinya asyik membimbangkan masa depan Wardah. Entah mengapa sukar pula membentuk anaknya yang seorang ini. Nampaknya darah pendidik yang mengalir di badannya tidak sedikit pun menjentik rasa yang sama di hati anak gadisnya itu. Namun dia yakin, jika minat itu berjaya dicungkil keluar, pasti Wardah akan jatuh cinta pada profesion itu nanti!
Cuma... Bagaimanakah cara untuk menyemai benih minat di hati batu Aimy Wardah?