Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, April 26, 2012

Bab 9

    "Ish, apa yang susah sangat ni? Budak ni kalau tak menyusahkan orang memang tak sah!" Zafran mengeluh. Sudah hampir lima minit dia cuba membuka tudung Amani. Tabiat amani yang gemar mengenakan beberapa keronsang menyukarkan Zafran melaksanakan misinya. Zafran sudah membuka dua keronsang di bahu dan sebatang jarum peniti yang tersemat di antara bukaan tudung. Memang kebiasaannya Amani akan menyematkan jarum peniti di situ. Bimbang tudungnya terselak jika ditiup angin.

Zafran cuba membuka keronsang terakhir yang tersemat dibawah dagu Amani. Keronsang berbentuk ros merah hati itu direntap kasar. Jarum yang sedikit tajam itu mengguris jari telunjuk Zafran. Sedikit darah merah kelihatan dari goresan luka itu. Pedih!

    "Kau ni memang menyusahkan aku lah!" Zafran merenggus geram. Kalau bukan kerana sifat perikemanusiaan yang masih bersisa, ingin saja tangannya mengetuk kepala Amani. Paling tidak pun ingin sahaja dia mencucuk hidung Amani dengan keronsang itu biar sampai Amani tersedar. Wajah Amani dijeling tajam sambil dia menghisap darah pada jarinya yang terluka.

Tiba-tiba pandangan matanya jatuh kepada sepasang mata yang terpejam itu. Hati yang tadinya panas tiba-tiba berubah suhu. Sejuk. Dia memerhatikan kening Amani yang hitam. Tidak terlalu tebal, namun tidak pula terlalu nipis seperti sepasang kening Arisya yang pastinya sudah dicukur. Sempat pula Zafran membuat perbandingan tahap ketebalan kening Amani dan Arisya.

Dia memerhatikan pula sepasang bulu mata Amani. Lebatnya! Melentik pulak tu! Zafran terasa kagum. Ingin sekali tangannya menyentuh bulu mata Amani untuk memastikan keasliannya. Zafran pasti benar yang Arisya mengenakan bulu mata palsu kerana pernah dulu bulu mata Arisya tercabut dan jatuh di atas pinggan ketika mereka makan bersama. Hilang terus selera makannya pada waktu itu.

Hidung serta bibir Amani pula menjadi mangsa pandangan matanya. Dari penilaian mata Zafran, hidung Amani tidaklah mancung seperti hidung anak mami. Jauh sekali seperti pelakon Bollywood. Namun tidak pula besar mengembang atau terlalu kecil. Saiznya yang sederhana terletak elok di wajah bujur Amani. Seulas bibir merah itu pula melengkapkan kesempurnaan wajah Amani.

'Subhanallah. Comelnya!' tanpa sedar Zafran melafazkan sebaris kata itu.

Zafran meraup wajahnya berkali-kali. Terpegun dia dengan komen spontan yang terlontar dari mulutnya sendiri. Dia sendiri tidak menyangka akan memuji kecantikan Amani. Dia tidak pernah memandang Amani lama-lama. Apatah lagi berpeluang menilai setiap inci wajah gadis itu. Dia memang anti gadis kampung. Dan Amani tidak terlepas dari bahang kempennya itu.

Namun sesi menjamu mata sebentar tadi bagaikan menjemput hadir satu perasaan yang sudah lama hilang.

Ya, perasaan damai yang dahulunya pernah bermukim di sekeping hati Zafran.

Zafran mengeluh perlahan. Sudah terlalu lama dia tidak merasai perasaan itu. Walaupun bergandingan bersama dengan Arisya, namun hatinya kosong. Nafsu matanya sahaja yang terlunas menatap wajah serta lekuk tubuh Arisya. Namun hatinya hambar. Beku. Dan sudah terlalu lama dia membiarkan hatinya membeku begitu.

Zafran mendekatkan wajahnya kepada wajah Amani. Wajah serta perasaan yang sedang dirasainya ketika ini benar-benar mengingatkan Zafran kepada seseorang yang pernah bertahta di hatinya dahulu.

Seorang gadis kampung yang mempunyai kecantikan yang sederhana dan tidak pandai bergaya, namun mampu membuatkan Zafran gila bayang. Hampir setiap malam lenanya diulit mimpi wajah gadis itu. Walaupun ramai gadis lain yang lebih cantik, namun mereka tidak memilikki aura sehebat gadis itu. Dan kini Zafran mendapati Amani juga mempunyai aura yang sama. Aura yang boleh membikin hatinya penasaran! Zafran tenggelam dalam perasaannya sendiri.

AMANI cuba membuka matanya yang terasa berat. Kepalanya masih pening. Badannya berasa sengal-sengal. Fikirannya pula masih bercelaru. Tidak pasti apa yang sedang berlaku ke atas dirinya. Perlahan-lahan Amani cuba membuka kelopak matanya.

Pemandangan pertama yang dilihatnya pada waktu itu boleh sahaja membuatkan dia pengsan sekali lagi. Kedudukan wajah Zafran yang hanya seinci dari wajahnya membuatkan jantung Amani berdegup begitu pantas. Terasa bagaikan boleh tercabut dari dada bila-bila masa sahaja.

Amani cuba menjauhkan tubuhnya dari Zafran. Namun tangan Zafran yang terletak elok di atas baju kurungnya menyukarkan pergerakan Amani. Zafran pula dilihatnya bagaikan hilang dalam khayalan. Pandangan matanya sahaja yang terarah ke wajah Amani, namun fikirannya dah terbang melayang entah ke mana.

"Encik...tepi sikit.." Amani menyeru ke arah Zafran. Suaranya sedikit serak. Tekaknya terasa perit. Dilihatnya Zafran masih terpaku macam patung.

"Encik Zafran.. tolong ke tepi sikit!" kali ini Amani menguatkan suara sambil merentap kain baju kurungnya. Zafran hampir hilang keseimbangan akibat tindakan Amani. Hampir saja tubuhnya jatuh menghempap tubuh Amani. Mujurlah tangan kanan Zafran sempat menampan di atas lantai. Terduduk terus dia di tepi Amani.

'Dah habis berangan?' Amani mengutuk di dalam hati. Geram pula dilihatnya Zafran yang begitu hampir dengan tubuhnya. Entah apa yang berlaku tadi, dia sendiri tidak pasti. Tapi perempuan mana yang tidak curiga kalau tersedar dan mendapati lelaki asing berada begitu hampir dengan tubuhnya.

Amani meneliti pula tudung bawalnya yang sudah terbuka. Kelihatan beberapa biji keronsang bertaburan di atas lantai di tepi tempat dia terbaring. Amani bertambah pelik. Apa sahaja yang cuba dilakukan oleh Zafran ke atas dirinya sehingga tudungnya dibuka? Tak mungkin Zafran berminat dengan keronsang murah yang batunya sudah banyak tercabut itu.

Amani sudah tidak sedap hati.

"Apa encik buat kat saya tadi?" suara Amani bergetar sedikit. Rasa takut mengetuk pintu hatinya bertalu-talu.

"Buat apa?" Zafran buat selamba. Fikirannya masih berkisar tentang gadis yang pernah bertamu dalam hidupnya. Kenangan lama yang sudah jauh dibuang namun kini kembali menyinggah di ruang ingatannya.

"Ni? Kenapa tudung saya sampai terbuka ni?" Amani menunjuk tudungnya yang terbuka kepada Zafran. Mujur sahaja dia beranak tudung. Jadi rambutnya masih tersimpan kemas dari penglihatan Zafran.

Zafran berdiri dan berjalan menjauhi Amani. Malas hendak menjawab soalan Amani kerana fikirannya sendiri masih terganggu.

"Encik...saya tanya ni. Encik nak buat apa tadi?" Amani sudah seperti mahu menangis. Geram melihatkan perangai Zafran yang sekadar berdiam diri. Perlahan-perlahan dia cuba berdiri. Kepalanya masih pening.

"Awak tu yang jatuh pengsan tadi siapa suruh? Lepas tu pakai banyak sangat pin tudung sampai tercucuk jari saya ni. Lain kali jahit je la tudung tu kat badan," Zafran menjeling sekilas ke arah Amani. Wajah Amani yang seperti mahu menangis itu menjentik rasa di hatinya. Rasa yang sukar ditafsir. Yang pasti perasaan yang dirasainya saat ini sangat berbeza dari hari-hari sebelum ini.

"Saya...p...pengsan?" Amani bertanya perlahan. Kotak fikirannya bekerja keras cuba mengingati peristiwa yang baru berlaku sebentar tadi. Seingat dia Zafran memanggilnya masuk ke bilik untuk memecat dirinya. Dia masih ingat yang Zafran membebel tanpa henti dan mengeluarkan buku cek untuk membayar pampasan kepadanya. Tapi dia tidak ingat bagaimana boleh jatuh pengsan di hadapan Zafran.

"Ye lah. Saya tengah terangkan pasal kursus yang awak kena ambil tapi awak berangan! Berangan nak kena pecat pulak tu. Baru kena sergah sikit terus pengsan! Menyusahkan orang!" Zafran sudah duduk di atas kerusi. Rasa luar biasa yang datang bertamu cuba diusir jauh-jauh. Dia tidak mahu melayan perasaan.

"Kalau saya pengsan kenapa nak buka tudung saya pulak? Kenapa encik tak panggil Melissa? Boleh encik jelaskan?" Amani bertanya kembali. Dia perlu mendapatkan kepastian. Hal maruah bukan perkara yang boleh dibuat main. Kalau Zafran cuba-cuba melakukan sesuatu, dia mahu Zafran bertanggung jawab!

Zafran terkedu mendengarkan soalan Amani. Niat asalnya tadi memang dia ingin membuka tudung Amani supaya Amani mendapat pengudaraan yang lebih baik. Tindakan itu dirasakan paling logik sekali untuk dilakukan. Namun kini dia berasa seperti orang bodoh untuk menjelaskan kepada Amani.

"Dah, awak jangan nak fikir bukan-bukan pulak. Saya pun tak ada selera nak sentuh awak! Jangan perasan lebih! Apa yang awak takut sangat saya buka tudung awak? Takut saya tengok rambut awak bercelup warna perang? Takut bocor rahsia bertindik tiga subang?" Zafran menghamburkan kata-kata. Laju saja dia melarikan pandangan matanya. Entah mengapa dia berasa tidak sampai hati untuk melukakan hati gadis itu. Sedangkan sebelum ini lancar sahaja mulutnya melepaskan serangan peluru berpandu kepada Amani.

Amani terus terdiam. 'Balik-balik aku juga yang salah,' Amani mengomel perlahan. Macamlah dia sengaja jatuh pengsan tadi. Dah memang dia tidak sihat badan. Ditambah pula dengan rasa takut hendak kena pecat. Langsung lumpuh mekanisma pertahanan badannya. Malang betul nasibnya. Sudah lah dipecat, pengsan pula di hari terakhir perkhidmatan. Molek sangatlah ditulis dalam resume nanti.

"Tunggu apa lagi tu? Pergi pakai tudung. Kalau awak tak sihat, boleh ke klinik ambil MC. Kalau rasa dah sihat, pergi sambung buat kerja. Jangan buang masa tercegat depan saya," Zafran memberi pandangan tajam ke arah Amani. Perasaan yang hadir lekas-lekas diusir pergi. Sesungguhnya dia tidak mahu lagi terpedaya dengan perwatakan gadis kampung yang dipamerkan Amani atau mana-mana gadis lain. Muka saja nampak baik, tapi entah-entah hatinya sudah busuk berulat! Zafran mengutuk di dalam hati.

Amani bagaikan tersentak dari lamunan. Perkataan KERJA yang disebut oleh Zafran menimbulkan tanda tanya dalam dirinya.

"Kerja? Jadi encik tak pecat saya? Tadi yang encik tulis cek tu bukan untuk duit pampasan ke?" Amani bertanya malu-malu. Bimbang tersalah sangka sekali lagi.

"Lain kali tolong jangan berangan masa saya bercakap. This is your new contract. Please read carefully. Kalau setuju, sign di bawah tu. And this is the cheque for you to buy new office attires. Sakit mata saya tengok imej awak sekarang . If you agree with the terms and conditions, then you are bonded to this company for one year. Unless... if awak nak saya pecat awak?Hmm?" Kening Zafran terangkat sedikit tatkala menuturkan baris terakhir ayat itu. Zafran mengambil peluang untuk mengamati reaksi di wajah Amani.

"Eh, jangan encik. Saya nak bekerja dengan encik dan Megah Holdings. Saya berjanji akan tunjukkan prestasi yang lebih baik. Dan saya berjanji tak akan menyusahkan encik lagi," wajah Amani merona kemerahan. Perasaan malu menerpa bertubi-tubi. Amani terkenangkan peristiwa di Mid Valley serta kejadian dia jatuh pengsan sebentar tadi. Entah bagaimana aksi dia terjatuh. Control ayu atau macam nangka busuk? Malunya... Amani mengeluh perlahan.

"That's it. You can go now," Zafran terus membuka fail biru di atas meja. Dia tidak mahu berlama-lama dengan Amani pada waktu ini.

Amani menapak perlahan ke arah pintu. Hatinya gembira bukan kepalang kerana masih ada jodoh untuk bekerja di Megah Holdings. Cek bernilai RM1500 itu ditatap penuh perasaan. Ada juga wang yang boleh dihantar pulang kepada emak dan adik-adik di kampung. Air mata Amani sudah bergenang. Sekejam-kejam Zafran, namun keputusan Zafran untuk mengekalkan dia bekerja di situ amat dihargai Amani.

'Ada hati perut juga rupanya singa jantan ni,' getus hati kecil Amani.

Sebelum menutup pintu, Amani berpaling ke arah Zafran. Niat ingin mengucapkan terima kasih terus hilang tatkala pandangan sepasang mata Zafran menusuk tajam ke arahnya. Sudah berapa lama Zafran merenung dia sebegitu? Amani tertanya sendiri. Amani lekas-lekas menutup pintu. Bimbang pula jika dia hilang pertimbangan dan pengsan sekali lagi. Lagi haru!

Bersambung lagi! :p


 

P/S: saya mengalami kesukaran untuk menghasilkan bab 7,8 dan 9..sila berikan komen yang membina jika terdapat kelemahan di mana-mana. Terima kasih atas kesudian membaca!:)


 

Wednesday, April 18, 2012

Bab 8

"Encik Zafran jangan melampau! Walaupun saya datang dari kampung dan saya ni orang miskin tapi encik tak boleh hina saya sesuka hati! Saya pun ada maruah. Nilai harga diri seseorang itu bukan diukur pada harta kekayaannya, Encik Zafran," suara Amani bergema di segenap ruang pejabat. Terluah jua apa yang terbuku di lubuk hatinya selama ini.

Sebentar tadi telinganya sudah panas mendengar kata-kata cacian dari mulut Zafran. Tembok kesabaran yang dipertahankan akhirnya runtuh juga. Amani sudah tidak peduli kalau Zafran ingin memecatnya. Lebih baik hilang kerja dari hilang harga diri.

Zafran terpana tatkala mendengar suara Amani yang melengking sebentar tadi. Sungguh dia tak sangka gadis yang selama ini diam dan sering menunduk apabila dimarahi, kini sudah berani membuka mulut melawan kata-katanya.

'Tak sedar makan gaji!' getus hati kecil Zafran. Zafran terdiam mencari idea untuk membidas kata-kata Amani.

"Encik Zafran pun bukan sempurna. Harap muka aje hensem. Tapi mulut busuk macam bau kentut. Nak mencaci orang je kerjanya," Amani semakin berani tatkala melihat Zafran yang berdiam diri.

Sepasang mata Zafran bulat merenung wajah Amani. Wajah polos yang tenang itu semakin meruapkan rasa marahnya. Zafran menghampiri Amani yang sedang tercegat berdiri di hadapannya. Perasaan benci sudah mula merasuk dan menguasai fikiran warasnya. Tanpa dia sedari kedua-dua belah tangannya sudah mula mencekik leher Amani. Biar sampai mampus. Baru puas hatinya!

Amani cuba menolak cengkaman tangan Zafran. Namun kudratnya tidak cukup kuat untuk menandingi tenaga lelaki itu. Zafran benar-benar sudah hilang pertimbangan diri. Semakin lemah Amani, semakin kuat cengkamannya pada batang leher Amani. Amani jatuh terjelepok di atas lantai. Matanya terpejam rapat...

Amani tersentak. Sekilas dia menoleh ke arah jam di dinding. Sudah pukul 5 pagi. Cis! Mimpi rupanya! Masuk kali ini sudah tiga kali dia terjaga dari tidur. Badannya berpeluh-peluh. Dadanya sakit menahan degupan jantung yang begitu kuat. Dia mengusap-usap lehernya. Amani terkenangkan mimpi yang dialaminya tadi. Semuanya dirasakan bagai realiti.

Suasana ruang pejabat yang sama seperti bilik Zafran, kopi manis yang masih berasap terhidang di atas meja dan Zafran pula duduk di atas kerusi sambil kaki bersilang di atas meja. Amani masih ingat bahawa dia cuma tercegat kaku di hadapan Zafran. Dalam mimpi itu Zafran tak henti-henti menyebut tentang kesemua kesalahan serta kecuaian yang pernah dilakukan sepanjang empat hari bekerja di Megah Holdings. Cuma empat hari, namun kesalahan yang disenaraikan dalam mimpi tadi dirasakan cukup panjang.

Sempat Amani mempertahankan diri dengan menyuarakan pendapat. Tapi entah bagaimana Zafran tiba-tiba menghampiri dan mencekik lehernya. Scene yang terakhir itulah yang menyebabkan dia terjaga dari tidur. Amani memicit dahi. Rasa pening dan macam hendak demam pula badannya ketika ini.

'Ini petanda nak kena pecat ke hari ni?' jantung Amani kembali berdegup kencang. Walaupun kesabarannya agak tergoyah dengan sikap Zafran, namun dia masih belum bersedia untuk meninggalkan Megah Holdings. Sekurang-kurangnya biarlah sehingga Syuhada sempat mencarikan kerja untuk dirinya. Amani bertambah resah apabila mengenangkan keluarga di kampung yang bergantung harapan kepada dirinya.

"Syu, bangun Syu...ish, bangunlah kejap.." Amani menggoyang-goyangkan badan Syuhada yang lena tidur di sebelahnya. Wajah Syuhada tersembul di sebalik selimut.

"Kau ni kenapa Amani? Mimpi hantu ke?" Syuhada memisat matanya berkali-kali. Ditenungnya wajah Amani yang pucat macam orang sakit.

"Lagi dasyat dari mimpi hantu. Aku mimpi Zafran cekik aku sampai mati! Syu, aku betul-betul rasa tak sedap hati. Aku rasa tu petanda nak kena pecat lah. Syu, hari ni kau tolong tanyakan kerja kosong? Boleh?" mata Amani dah bersinar penuh harapan.

"Tu lah kau. Suka sangat panggil Zafran tu singa. Dok seru-seru tu yang dia datang melawat kau dalam mimpi. Pastu semalam tidur tak baca doa kan. Aku tengok kau dah ternganga tidur lepas aku solat Isyak," Amani termangu dibebel oleh Syuhada.

Ada betulnya juga apa yang dikatakan oleh Syuhada. Kebiasaannya dia amalkan baca ayat kursi dan doa tidur sebelum melelapkan mata. Tapi semalam dia senggugut teruk. Lepas telan dua biji panadol langsung dia tertidur. Hingga ke pagi ini pun perutnya masih memulas. Tidurnya pula sejak malam tadi tidak lena kerana terlalu memikirkan tentang nasibnya hari ini. Sikit-sikit terjaga.

Amani terkenangkan beberapa das ayat power yang diucapkan dalam mimpi. Walaupun cuma mimpi, namun terasa satu kepuasan dapat mengutuk Zafran. Tak dapat dibayangkan indahnya perasaan kalau dia dapat menghamburkan ayat itu kepada Zafran secara realiti. Amani tersenyum sendiri.

"Hah, dah tersengih pulak kau ni! Kau okay ke tak?" Syuhada merasa dahi Amani. Pelik melihatkan Amani yang sekejap berkerut muka macam orang sembelit dan sekejapan tadi tersenyum pula. Waras tak ni?

"Aku takut. Kau doakan aku ada jodoh panjang di Megah Holdings tau. Tapi jangan lupa tanya-tanyakan juga kerja kosong kat hotel kau. Manalah tau kalau-kalau....." Amani tak sanggup menghabiskan kata-katanya.

"Iya, nanti aku tanyakan. Eh, Amani... selalunya orang kata mimpi tu terbalik. Kau mimpi kena cekik dengan Zafran, tah-tah die nak bagi kiss muah muah!" Syuhada mendekatkan mukanya ke arah Amani sambil memuncungkan mulut.

"Eiii kau ni! Jangan merepek lah! Dah la mulut busuk!" Amani menolak kepala Syuhada. Badannya dijauhkan sedikit sambil ketawa melihat aksi mulut cencorot Syuhada. Aksi 18SX!

"Kau pergi siap cepat. Hari ni kan nak makeup cantik-cantik. Apa-apa hal nanti kau SMS aku tau. Jangan lupa update aku secepat mungkin!" Syuhada sudah menarik semula selimut. Matanya masih mengantuk kerana tidur yang terganggu.

"Ha, pandai nak ceramah orang ye? Kau nak buat apa tu? Bangun solat Subuh dulu lah. Jangan lupa doa untuk aku," Amani mencampakkan sebiji bantal yang tepat mengenai kepala Syuhada.

* * * * * * *

Sudah sejam waktu pejabat berlalu namun kelibat Zafran masih belum kelihatan. Amani sudah tidak senang duduk. Dirasakan penantian ini suatu penyeksaan. Dadanya sentiasa berdegup kencang apabila melihat seseorang melewati pintu masuk pejabat. Fikirannya asyik melayang terkenangkan Zafran yang entah di mana. Takkan ponteng kerja?

Amani menongkat dagu. Termenung. Semua kerjanya tidak menjadi sejak keluar rumah pagi tadi. Dia terlepas dua stesen Monorail kerana kepalanya tak henti-henti merangka ayat untuk diucapkan kepada Zafran. Tak pasal-pasal rugi dua ringgit sekupang!

Sudah lah kepalanya pening kerana tidak cukup tidur, perutnya pula masih diserang senggugut. Amani menunduk mencapai beg tangan lusuh yang disimpan di dalam laci. Dikeluarkan sebotol kecil minyak cap kapak yang memang sentiasa dibawa bersama. Minyak inilah yang menjadi peneman sepanjang tiga jam perjalanan dari Kuala Kangsar ke Kuala Lumpur.

Dicalitnya sedikit ke kepala dan belakang tengkuk. Teruk benar dirasakan penangan si Zafran. Bukan setakat menjejaskan emosi, malah kesihatan dirinya juga sudah terancam. Amani menggelengkan kepala.

"Mengape muka kamu macam orang yang kematian laki ni?" Jason menyapa dari belakang. Lelaki cina yang ala lembut ini memang antara teman pejabat yang rapat dengannya selain daripada Melissa. Bahasa Melayunya tunggang-langgang. Mulutnya pula boleh tahan puaka. Permulaannya memang Amani tersentap juga dengan Jason. Tapi lama-kelamaan dia tahu Jason sekadar ingin bergurau.

"Tak sihatlah Jason. Kepala sakit. Perut pun ada sakit," Amani tergelak mendengar kata-katanya sendiri. Dah rupa Bangla bercakap. Amani tayang muka simpati.

"Eh, kamu sudah mencolek! Lain sekali wajah kamu hari ini. Macam inilah baru ada gaya!" ibu jari kanan Jason terpacak seinci dari muka Amani.

"Bukan menculik la Jason. Itu kidnap tau! Ini bersolek lah," Amani sudah terkekeh-kekeh ketawa. Bertambah pening kepalanya nak memahami butir bicara Jason ni. Nama aje warganegara Malaysia, tapi bahasa kebangsaan ke laut.

"Ah, whatever lah. Tak penting itu semua. Walau begitu, baguslah kamu sudah bersulik. Muka kamu pucat macam orang mau mati tau dahulu!" Jason membetulkan jambul yang keperangan di kepala. Amani memerhatikan wajah serta tubuh badan Jason. Semuanya cukup menunjukkan sifat lelaki sejati. Sayangnya naluri kejantanannya tiada. Tak cukup hormon testosterone. Kesian.

"Hei, kamu jangan memandang aku ke atas ke bawah. Tak selesa!" Jason menyilang tangan ke dada.

"Tak ada kerja ke Jason? Drawing yang saya minta last week dah siap?" Zafran menyampuk secara tiba-tiba. Terangkat sedikit bahu Jason kerana terkejut.

"Sedang menyiapkannya boss. Sudah 90%!" Jason tersipu-sipu. Menyampah pula Amani melihatnya. Bukan dia tak tahu yang Jason ada hati pada bos mereka. Tak padan dengan lelaki!

"I want it before 5 today.
You, come to my room," Zafran menunding ke arah Amani sambil berlalu memasuki biliknya. Jantung Amani bagaikan terhenti sesaat. Inilah detik yang akan menentukan masa hadapan kerjayanya di Megah Holdings. Amani menapak lemah ke bilik Zafran. Skala kepeningan kepalanya meningkat secara mendadak. Lambaian Jason tidak dipedulikannya lagi.

" Hm, saya rasa awak tahu yang saya kurang berpuas hati dengan prestasi serta penampilan awak sepanjang empat hari awak berkhidmat di sini. Kan?" Zafran berterus-terang.

Amani gigit bibir. Mukadimah yang disampaikan oleh Zafran tadi nampaknya sudah menggambarkan nasib yang bakal dihadapinya sebentar lagi. Fikiran Amani sudah tidak mampu fokus lagi kepada butir bicara Zafran. Dilihatnya bibir Zafran terkumat-kamit mengatakan sesuatu. Namun tiada satu patah perkataan pun yang dapat diterjermahkannya ketika ini. Amani bagaikan tenggelam dalam dunia sendiri.

Dia tidak mahu mendengar kata-kata cacian yang biasa dihamburkan oleh Zafran. Dia juga tidak mahu mendengar lafaz pecat yang akan keluar bila-bila masa saja nanti. Jasadnya sahaja yang tertinggal berdiri di depan Zafran.

Dia melihat Zafran mencapai sesuatu dari laci meja. Buku cek dikeluarkan dan kelihatan Zafran menulis sesuatu sebelum mengoyakkan helaian itu. Betul lah kata Syuhada, syarikat perlu memberi pampasan kepada pemecatannya. Amani mengeluh perlahan.

"Amani, are you listening to me?" Zafran merenung wajah Amani. Dari tadi dia berceloteh tanpa henti dan dilihatnya Amani bagai khayal dalam dunia sendiri.

"Ye, Encik Zafran. Saya dengar. Saya faham encik nak pecat saya. Saya minta maaf kerana mutu kerja serta penampilan saya tidak cukup baik untuk Megah Holdings. Terima kasih untuk pengalaman selama err...lima hari setengah bekerja di sini," Amani menundukkan kepala. Pandangannya sudah kabur. Rasa pening cuba dilawan.

"Apa awak cakap ni? Awak tak dengar ke apa yang saya cakap dari tadi?" Zafran sudah meninggi suara. Geram rasanya apabila mengetahui yang Amani tidak menumpukan perhatian. Sia-sia sahaja dia bercakap dari tadi. Bercakap sorang-sorang rupanya.

"Awak ni...." Zafran tidak jadi meneruskan kata-kata. Dia terdiam. Dilihatnya Amani yang sudah terhuyung-hayang. Sekelip mata Amani yang tadinya berdiri sudah jatuh ke lantai.

"Amani?!"

Rasa cemas menyelubungi dirinya. Zafran menghampiri Amani. Serba-salah mahu menyentuh tubuh Amani. Zafran menyentuh pergelangan tangan Amani untuk merasa nadi. Masih ada. Zafran lega kerana Amani cuma pengsan. Tangannya pantas cuba membuka tudung Amani.

Bersambung!:p

Thursday, April 12, 2012

Bab 7

    Amani terdengar derap langkah yang semakin lama semakin menghampirinya. Tatkala itu dia berharap agar memiliki kudrat untuk memecut lari meninggalkan kedai itu. Namun apa kan daya, kakinya bagaikan terpaku di lantai simen. Dadanya pula bagai hendak pecah menahan debaran yang semakin menggila. Silap haribulan boleh mati kena heart attack!

    "Amani! Awak buat apa kat sini?" Zafran menghampiri sesusuk tubuh itu.

    "Ini kan tempat awam, suka hati lah saya nak datang sini!" Amani membentak. Sayangnya, sebaris kata-kata itu hanya mampu diucapkan di dalam hati. Realitinya dia hanya mampu terdiam dan menikus tatkala berdepan dengan Zafran. Memang dia tak berani nak lawan taukeh!

    "Kenapa senyap? Awak mengintip saya, ya?" Zafran meluah rasa. Geram betul hatinya melihat kelibat Amani di sini pada hujung minggu. Sudah lah di pejabat ada sahaja tingkah laku Amani yang mengundang marah. Sebentar tadi selamba sahaja gadis itu memijak kasutnya. Harga sepasang kasut itu hampir sama dengan sebulan gaji gadis itu!

    "Dear, what's wrong? Who is this girl?" Arisya memeluk manja lengan Zafran. Matanya turun naik melihat gadis kampung di depan mata. Suara Zafran yang agak lantang tadi menyebabkan beberapa pekerja kedai turut memerhatikan sandiwara percuma di depan mata. Amani mencari helah.

    "Saya…saya nak beli baju!" sepotong ayat itu keluar juga dari mulut Amani.

    "Oh really? Mampu ke? Sehelai baju kat sini harganya separuh gaji awak tahu?" Zafran membalas. Kejam sungguh ayat yang keluar dari mulut Zafran. Kena hina lagi! Amani sudah kehabisan akal. Tak tahu apa lagi yang boleh dikelentong untuk menyelamatkan diri.

    "Amani! Kau dah dapat autograph kak Arisya?" kemunculan Syuhada yang tiba-tiba mengejutkan Amani. 'Apa kena pulak Syu ni?' Amani menjungkit kening ke arah Syuhada.

    "Sorry! Kawan saya ni suka sangat kat kak Arisya. Akak kan super model terkenal. Dari tadi dia nak minta autograph akak," Syuhada tersenyum-senyum sambil menghulurkan sebatang pen. Pandai betul dia berlakon!

    "Oh
dear! Kenapa tak cakap! Come, let me sign for you!" Arisya kembang semangkuk. Hidungnya kembang kempis. Jarang-jarang ada peminat yang datang minta autograph darinya. Maklumlah, dia bukan pelakon atau penyanyi terkenal. Walaupun sering menghiasi majalah, namun aura model tidaklah sehebat pelakon atau penyanyi.

Amani jadi kaget. Dia menyelongkar beg tangan cuba mencari cebisan kertas. Tiada!

"Hmm, boleh sign sini?" Amani menghulurkan tapak tangannya. Ah, gasak lah! Nanti boleh dicuci dengan sabun!

    "Sini? Sure?" Arisya meminta kepastian. Amani mengganguk laju. Zafran yang memerhati sudah mula mencebik bibir. Syuhada pula menahan tawa. Sebentar sahaja tapak tangan Amani sudah penuh dengan ucapan serta tanda tangan Arisya.

    "Thank you kak Arisya. We wish you the best in your career! Handsome boyfriend akak! Akak pun cantikkkkkk sangat. Macam pinang dibelah dua!" Syuhada masih tegar memainkan peranan. Skill
actingnya memang boleh tahan.

    "Thank you! " Arisya merapatkan badan ke tubuh Zafran. Badannya sudah meliuk lentok. Seronok betul bila dipuji begitu. "You two are gorgeous too," Arisya memuji pula. Sengaja dia berlakon berbaik-baik begitu. Di tempat awam begini bimbang pula kalau ada paparazzi yang mengekori. Lagipun Arisya memang punya bakat berlakon yang terpendam. Cuma belum ada pengarah yang ingin menyunting dia berlakon filem! Buta agaknya pengarah filem di Malaysia ni!

    " This is not over yet! I'll see you on Monday!" Zafran berbisik sedikit ke arah Amani. Marahnya masih bersisa. Tak apalah, tunggu hari Isnin nanti! Memang banyak perhitungan yang perlu diselesaikan dengan gadis itu. Amani mengangkat kepala memandang ke arah Zafran. Dia ingin sekali mengucapkan kata maaf dengan harapan biar terpadam api kemarahan di hati majikannya itu. Namun, lain pula tindakan mulutnya.

    "Okay. See you!" Eksyen betul muka Amani sewaktu menuturkan kata-kata itu. Muka Zafran terus bertukar merah padam. Langsung dia berpaling meninggalkan Amani dan Syuhada. Kalau tunggu lama-lama, bimbang pula dia hilang kawalan memandang wajah Amani yang selamba macam mintak penampar!

Amani katup mulut. Kenapalah mulutnya selalu tak bekerjasama dengan otak. Lain yang difikir, lain pulak yang jadi. Syuhada lekas-lekas menarik Amani keluar dari kedai. Setelah berjalan agak jauh meninggalkan kedai tersebut, Syuhada berhenti dan ketawa terbahak-bahak. Langsung tidak dipedulikan pandangan mata orang ramai ketika itu.

"Kau ni kenapa Syu? Aku baru je lepas kena maki, kau boleh pulak gelak kemain sakan kat aku? Amani sudah bergenang air mata. Sentap betul dia dengan sikap Syuhada yang kurang sensitif dengan peristiwa hitam yang baru menimpa dirinya.

"Sorry...sorry... Tapi kau tak nampak ke macam mana muka Zafran tadi? Bila kau selamba je cakap 'Okay, see you'? Muka dia dah merah! Mata bulat macam nak tersembul! Betul la kau cakap macam singa jantan!" Syuhada masih mengawal tawanya.

"Kau ingat aku sengaja ke cakap macam tu? Aku nak minta maaf sebenarnya. Entah macam mana mulut aku cakap macam tu pulak. Macam mana ni Syu? Entah-entah kena pecat tak hari Isnin ni?" muka Amani sudah pucat membayangkan kemungkinan yang bakal dihadapai nanti. Dalam hati tak habis-habis dia menyumpah diri sendiri yang bukan main lagi berani menghampiri Arisya tadi. Kalau naluri kepochi dapat dikawal tadi, dah tentu dia takkan bertembung dengan Zafran. Yang Zafran pun satu! Kenapa la nak jalan-jalan kat Mid Valley hari ni. Pergi lah dating kat Zoo Negara. Kata singa jantan?

"Eh, takkan sampai nak kena pecat? Kejam sangat ke dia sampai nak pecat kau? Kalau dia pecat kau tanpa alasan yang munasabah, company tu kena bayar sebulan gaji sebagai ganti rugi tau!" mati terus ketawa Syuhada. Bimbang juga tentang masa depan sahabat baiknya itu.

"Tu la aku takut tu. Baru seminggu dah kena pecat. Buruk betul rekod aku nanti! Syu, hotel tempat kau tu ada kerja kosong tak? Jadi cleaner pun boleh la Syu!" Amani menggenggam erat tangan Syuhada. Sudah sejuk bedi tangan Amani.

"Nanti aku tengok kan. Tapi tak kan nak jadi cleaner? Buat masa ni kau jangan susah hati sangat. Entah-entah tak ada apa pun si Zafran nak buat kat kau. Mungkin dia saja nak gertak kau. Dah..dah... jangan fikir lagi. Jom kita pergi beli barang makeup untuk kau. Isnin ni kau makeup cantik-cantik. Biar sampai dia tergoda! Kalau plan A tak menjadi, kau makeup 'Smokey Eyes' macam tadi. Confirm Zafran pengsan terus!" Syuhada sempat lagi mengusik Amani.

"Jom kita solat Asar dulu lah Syu. Tak tenang dah hati aku ni!" Amani mengeluh perlahan.

"Okay jom kita pergi surau. Tu...tangan kau tu tak mau potong dan frame kan? Bukan senang nak dapat tanda tangan Arisya!" Syuhada menjuihkan bibir ke arah tangan Amani. Muka Amani yang mendung bertukar terus. Amani tertawa mendengar kata-kata Syuhada. Dipandangnya tapak tangan yang berconteng itu.

'Lots of Love from Arisya', Amani berasa geli-geleman. Dia bukan peminat Arisya pun. Kalau bukan kerana Majalah Chic tadi, memang dia tak kenal pun siapa itu Arisya. Namun mujur juga Syuhada datang menyelamatkan keadaan. Kalau bukan kerana otak bergeliga kawannya itu, silap-silap mati kejung dia di situ makan sumpah seranah Zafran. Jantungnya berdebar kuat bila terkenangkan Zafran dan nasibnya di hari Isnin nanti.

'Ah, tak apalah. Rezeki di bumi Allah ni luas. Kalau Zafran dah nak pecat aku, mungkin ada rezeki lain yang lebih baik Allah tentukan. Percaya dengan janji Allah!' Amani berbisik sendiri. Rasa cuak diusir jauh-jauh.

*        *        *        *        *        *        *


 

    Arisya melarikan jemari runcingnya ke wajah kacak Zafran. Zafran tersenyum sedikit sebelum mengalihkan jemari Arisya dari menyentuh wajahnya. Cubaan menggoda entah kali yang ke berapa. Arisya mendengus. Bengang! Setiap kali digoda, pasti Zafran akan menepis. Terkadang dia berasa pelik dengan sikap Zafran. Kalau lelaki lain, tak payah disuruh sudah pandai meraba segenap tubuh badannya. Tetapi Zafran cukup berbeza. Bukan setakat green light, rainbow light dah diberikannya kepada Zafran. Namun sikit pun lelaki itu tidak peduli.

Pernah dia terfikir lelaki ini gay. Yelah, orang bodoh sahaja yang tidak merebut peluang keemasan yang ditawarkan Arisya. Lelaki lain sanggup menawarkan ribuan ringgit untuk menikmati tubuhnya untuk satu malam. Untuk Zafran, Arisya sanggup memberikannya secara percuma. Namun Zafran sentiasa menolak. Kalau bukan kerana mengenangkan kekayaan diwarisi Zafran serta wajah kacak yang dimiliki oleh lelaki itu, sudah lama dia angkat kaki. Dia sudah terbayangkan masa depan yang terjamin dengan Zafran.

"You ni kenapa sayang? Monyok je dari tadi? I ada buat salah ye?" Arisya menggunakan teknik reverse psychology. Sengaja dimuncungkan bibir tanda sedang merajuk. Semenjak petang tadi dia perasan yang Zafran sudah lain macam. Ini sudah sampai di depan rumah pun masih moody!

Zafran mengeluh berat. Sebenarnya dia sudah hilang mood sejak bertembung dengan Amani. Hilang terus selera makannya. Rib steak yang dipesan sewaktu dinner tadi pun sekadar dikuis-kuis dengan hujung garfu. Hebat betul penangan gadis bernama Amani itu. Sejak dari awal bertentang mata hingga ke saat ini, belum pernah sekali pun gadis itu gagal mencuit rasa marahnya!

"Bukan sebab you lah. Budak perempuan yang kita jumpa kat butik baju tadi tu, dia tu secretary
I. Tak tahulah, ada aje benda yang buat I bengang dengan dia," Zafran meletakkan tangan ke atas stereng kereta.

Arisya terkejut. Kembali dia terkenangkan wajah gadis yang dimaksudkan Zafran. Wajah naif! Yang sebenarnya Arisya tak sangka Zafran sanggup menggaji Amani sebagai setiausahanya. Sebelum ini memang hati Arisya berbulu dengan penampilan setiausaha-setiausaha Zafran. Arisya bimbang Zafran tergoda dengan mereka. Bukan dia tak tahu Munirah dulu ada hati dengan Zafran. Memang setiap hari Arisya berasa tidak tenteram. Rancangannya untuk mengusir Munirah akhirnya berjaya. Lega hati Arisya apabila Munirah berhenti kerja. Kalau gadis kampung tadi yang menjadi setiausaha Zafran, tak perlu lah dia bimbang lagi. Silap-silap gadis itu boleh diupah menjadi spy nya di pejabat Zafran! Misi memiliki Zafran perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"Kenapa dengan budak tu? Okay je I tengok dia?" Arisya mula merangka kata-kata. Dia berpaling menghadap wajah Zafran. Wajahnya dimaniskan macam candy.

"Tak tahu lah. Budak kampung... Semua benda tak reti buat. You tengoklah tadi cara dia dress
up. Serious buat I sakit mata tau. Nak bawa keluar pergi jumpa clients pun I malu," luah Zafran.

"You ni...Dia kan baru kerja. Bagilah peluang dulu. Dah you kata budak kampung kan, agaknya anak orang miskin lah tu. Mana ada duit nak beli baju dan melawa macam I," sempat lagi Arisya memuji dirinya. Tangannya sudah mula menjalar di peha Zafran.

"I ingat nak pecat dia lah Isnin nanti. Bagi dia one month salary. Habis cerita!" Zafran membulatkan tekad. Tak sanggup lagi menanggung rasa marah setiap kali terkenangkan Amani. Bimbang nanti boleh jadi gila nanti!

Arisya sudah tidak senang duduk. Dia berharap benar Amani terus bekerja di situ. Risau betul dia sekiranya Zafran mengambil perempuan yang cantik dan seksi sebagai setiausahanya. Selagi Zafran belum menjadi miliknya, selagi itu Arisya tidak akan berasa tenang.

"Come on sayang! Sejak bila you lemah semangat ni? Tender berbillion pun you boleh dapatkan. Tak kan pasal budak kampung tu you nak jadi macam ni. Why don't you bagi dia allowance sikit. Suruh dia beli office attire. Ini pun kira investment jugak kan. Untuk jaga imej company you jugak. In return, you suruh dia sign contract kerja dengan you for at least six months," Arisya memang bijak merangka strategi. Selain modelling, memang itu lah kepakaran yang dimilikkinya.

Zafran membuang pandangan jauh ke hadapan. Dia cuba menilai cadangan yang diberikan oleh Arisya. Namun agak sukar menumpukan perhatian apabila tangan Arisya semakin galak merayap. Lekas-lekas Zafran menepis lembut tangan Arisya.

"Hmm, maybe I boleh bagi dia another two months kan. Kalau sama je tak reti buat kerja, memang I will fire her. Thanks for your brilliant suggestion," Zafran mencium tangan Arisya. Dia tahu Arisya merajuk kerana tangannya ditepis. Tapi malas Zafran mahu ambil peduli.

"Hmmmm... Dear, jom naik rumah I? Lucy out station. Ada job kat Johor. You temankan I malam ni, pleaseee...?" Arisya sudah mula merengek. Berharap benar agar Zafran akan tergoda kali ini.

"Sorry Arisya. I dah janji dengan Umi nak balik awal hari ni. Next time, k?" Zafran sudah mula menekan pedal minyak. Arisya mencebik. Dicapainya beberapa beg kertas hasil daripada sesi mengikis duit Zafran siang tadi. Pintu kereta Mercedes CLK 200 milik Zafran dihempas kuat.

Sekelip mata kereta Zafran sudah meninggalkan kawasan perkarangan Kondominum Paragon. Arisya mencapai handphone Blackberry yang dihadiahkan Zafran seawal sebulan perkenalan mereka.

"Hello. Aaron? What are you doing tonight? Wanna come over to my house?" Arisya bersuara manja. Senyuman lebar terukir di wajahnya sebaik mendengarkan jawapan Aaron di hujung talian.

Sejak bersama dengan Zafran lima bulan yang lalu, Arisya sudah tidak berhubungan dengan lelaki lain. Zafran sudah cukup sempurna untuk memberikannya wang ringgit untuk berbelanja. Namun kehendaknya yang 'satu' itu tidak pula dipenuhi oleh Zafran. Malam ini dia sudah tidak peduli, dia mahu melepaskan hajat yang satu itu bersama Aaron.

'Ah, siapa suruh kau jual mahal sangat?' Arisya tersenyum sambil memasuki lif.


 

Tuesday, April 10, 2012

Bab 6

Amani menukar siaran TV beberapa kali. Tidak ada satu pun rancangan yang ditayangkan menarik perhatiannya pada pagi Sabtu itu. Amani berasa amat bosan. Dari pagi tadi dia sudah mengemas serta membersihkan rumah apartment itu. Habis segala habuk tok nenek yang bersawang sudah dibersihkan sampai berkilat. Kain baju kotor Syuhada pun sudah dibasuh dan disidai di balkoni. Adat hidup menumpang. Amani tak mahu jadi seperti segelintir manusia yang macam parasit. Atau macam biawak hidup. Sudahlah tak bayar sesen pun,menumpang rumah orang tapi lagaknya lebih dari tuan rumah. Haish, mintak simpang lah perangai buruk macam tu.

Syuhada sudah pulang dari kerja dan ketika ini sedang lena diulit mimpi. Almaklumlah, sepanjang malam berjaga melayan karenah manusia yang menginap di hotel bertaraf lima bintang. Menurut Syuhada, kebanyakan mereka yang menginap di hotel tempat dia bekerja semuanya orang-orang kaya yang cerewet tahap dewa. Ada saja yang tak kena dan ingin di complaint. Syuhada yang bertugas di kaunter receptionist memang tak menang tangan dibuatnya. Nak menguap pun tak sempat, inikan pula nak curi-curi tidur. Jadi, waktu siang begini memang paling afdal untuk dia qada tidur. Dah macam kelawar pun ada.

Namun Syuhada sudah berjanji untuk bawa Amani keluar petang nanti. Boleh lah Amani melihat sendiri keindahan bandaraya Kuala Lumpur nanti. Seingat Amani, kali terakhir dia ke Kuala Lumpur adalah tujuh tahun lepas. Waktu itu arwah abah masih ada. Dan waktu itu mereka sekeluarga masih mampu melancong dalam negara pada waktu cuti sekolah. Cuti-cuti Malaysia. Amani tersenyum mengingatkan kenangan bersama arwah abah. Hanya kenangan yang tertinggal untuk mengubat rasa rindu kepada lelaki yang teramat disayangi oleh mereka sekeluarga.

Amani mencapai senaskah majalah di atas meja. Majalah Chic itu dibeleknya dengan penuh minat. Wajah gadis yang menghiasi muka hadapan majalah itu cukup memukau! Tip top. Macam model antarabangsa!

‘Arisya dan Skandal Cinta’. Sebaris tajuk itu dibaca dengan penuh minat. Amani teringatkan sesi mengumpat di pantry bersama Munirah sebelum mereka disergah oleh Zafran.

‘Jangan-jangan inilah singa betina nya!’ getus hati kecil Amani. Jemari Amani rakus menyelak helaian majalah itu. Muka surat empat hingga tujuh memaparkan sesi temubual eksklusif serta gambar Arisya memperagakan pelbagai jenis busana. Amani menatap setiap gambar yang mempamerkan pelbagai posing. Memang ‘panas’. Gulp! Amani menelan liur. Kalau perempuan pun boleh tergoda begini, apatah lagi bagi kaum Adam!

Chic: Boleh Arisya jelaskan tentang gossip cinta antara Arisya dengan salah seorang anak Dato’ yang hangat diperkatakan sekarang ini?

Arisya: Well…apa yang Arisya boleh cakap, kami masih dalam peringkat mengenal hati budi. Dia umpama backbone untuk Arisya terus bergiat aktif dalam bidang modeling. Buat masa sekarang cukuplah Arisya kenalkan dia sebagai Mr. Z. Arisya harap peminat Arisya akan mendoakan yang terbaik untuk kami. Bila tiba masanya nanti, I will introduce him to the public.

‘Jawapan cliché,’ keluh Amani. Dalam kepala, Amani sudah mula merangka peta minda. Anak Dato’? Mr. Z? Z untuk Zafran? Zafran b Dato’ Mustapha! Amani terjerit kecil apabila berjaya menyelesaikan misteri teman wanita bosnya. Sekali lagi dia menatap wajah itu.

‘Memang cantik! Patutlah Zafran sakit mata tengok aku. Girlfriend dia model terkenal rupanya! Sempurna tanpa cacat cela. Subhanallah!’ Amani memuji keindahan ciptaan Ilahi. Namun sayang sekali kerana Arisya tiada rasa malu mendedahkan hampir sebahagian daripada tubuhnya. Dress singkat itu menampakkan lurah dada serta peha gebu yang sepatutnya ditutup untuk tatapan yang berhak a.k.a si suami sahaja. Amani menggelengkan kepala. Cepat-cepat dia menyelak halaman yang lain. Buat tambah dosa kering je tengok gambar Arisya lama-lama!

Artikel Tips Cantik menarik perhatian Amani. Beberapa panduan bersolek bersertakan gambar itu ditatapnya penuh minat. Langkah demi langkah dijelaskan dengan bahasa mudah tentang bagaimana menggayakan solekan ‘Smokey Eyes’. Amani tidak pernah tahu apa itu ‘Smokey Eyes’. Tapi dari gambar model yang sudah siap disolek, kelihatan bahagian kelopak mata yang cukup cantik dioles dengan pembayang mata berwarna gelap.

Sejam kemudian Amani sudah siap bersolek dengan mengikuti langkah-langkah yang dijelaskan dalam majalah. Habis alat solek Syuhada dikerjakannya untuk menjayakan eksperimen itu. Amani melihat wajahnya di dalam cermin. Hmm. Dibandingkan pula dengan wajah model yang siap disolek. Hmmmmmmmm...Bagai langit dengan bumi!

‘Apa yang tak kena? Dah ikut semua langkah dah ni,’ gerutu Amani. Amani yang sibuk membelek wajah di cermin tidak sedar Syuhada yang baru bangun tidur sudah menghampirinya.

“Kau buat apa cakap sorang-sorang ni Amani?” Syuhada memicit dahi. Kepalanya masih pening dek kerana tidak cukup tidur. Amani menoleh ke arah Syuhada. Tak sangka sahabatnya itu dah bangun. ‘Kantoi la pakai alat solek Syu!’ Amani tersengih macam kerang busuk ke arah Syuhada yang masih mamai.

Syuhada ternganga. Ditatapnya wajah Amani di hadapannya. Matanya digosok berkali-kali. Masih tak percaya. Hilang terus rasa mengantuk yang berakar umbi sejak semalam.

“Jangan la pandang aku macam tu Syu... Aku pun nak cantik macam kau jugak...Hmm, cantik tak? Aku belajar makeup dari majalah ni,” Amani menunjukkan majalah yang dimaksudkan kepada Syuhada. Syuhada menahan tawa. Tak tahu jawapan apa yang harus diberikan kepada Amani tatkala ini. Jujur sangat nanti takut Amani merajuk. Bukan dia tak tahu Amani tu sensitif orangnya.

“Ehem, boleh lah tahan. Tapi banyak lagi teknik kau kena belajar ni. Ehem,” Syuhada serba salah. Tak tahu macam mana hendak memuji Amani. Sekali pandang macam baru lepas bertumbuk. Lebam kedua-dua mata. Dua kali pandang dah macam hantu Kak Limah Balik Kampung. Tiga kali pandang dah macam hantu Kak Limah yang baru lepas bertumbuk! Memang menyeramkan! Tiba-tiba Syuhada menghamburkan tawa yang ditahan-tahan. Dia tak reti nak berpura-pura di hadapan Amani. Syuhada ketawa sambil menekan perutnya yang terasa senak.

“Sampai hati kau, Syu... Kat office Encik Zafran tak habis-habis mengata aku. Ni, kau pulak gelakkan aku. Kau pun sama je macam dia...” lirih kedengaran suara Amani yang sudah menunduk. Syuhada terus terpempan. Hilang terus hilai tawanya. Syuhada memarahi diri sendiri dalam diam.

Sorry Amani. Aku tak maksud apa-apa. Kau janganlah samakan aku dengan Zafran yang tak ada hati perut tu. Mulut dia tak ada insurans! Bau longkang! Aku bukan macam tu...Yang kau susah-susah nak makeup macam ni kenapa? Kau tu memang dah cantik semulajadi. Memang dah manis. Tak payah lah nak conteng muka tu. Kau ingat aku suka pakai makeup tebal-tebal tiap hari? Aku pakai pun sebab dah sebahagian daripada tuntutan kerja. Nak hadap orang-orang kaya. Kalau ikut hati, nak je aku pergi kerja dengan tempek bedak sejuk! Tak ada rosak kulit!” Syuhada merangkul mesra bahu Amani. Dia kena berhati-hati menyusun ayat. Bimbang merobek lagi hati sensitif Amani.

“Tapi Encik Zafran kata muka aku pucat macam mayat hidup...” Amani menyeka air mata yang hampir menitis. Sensitif benar dia sehari dua ni. Nak datang bulan agaknya.

“Zafran tu buta agaknya! Tak reti langsung nak hargai kecantikan semulajadi! Tak apa, kalau kau nak makeup light boleh aku ajarkan nanti. Tapi janganlah makeup macam ni. Hmm... tak sesuai. Dah, jom siap. Kita pergi Mid Valley. Boleh beli alat solek untuk kau nanti,” Syuhada sudah bangun mencapai tuala.

“Aku mana ada duit nak shopping la Syu,” Amani terkenangkan baki beberapa keping duit di dalam begnya. Mana mungkin cukup untuk dia shopping sesuka hati.

“Tak apa, aku belanja. Aku baru dapat duit kutu semalam,” Syuhada dah tersenyum lebar. Tak mengapalah berhabis sedikit untuk sahabat baiknya. Bukan selalu. Dia berjalan menuju ke bilik air ketika Amani menyapa namanya.

“Syu...” Syuhada menoleh ke arah Amani yang masih duduk di birai katil. “Buruk sangat ke aku makeup ni?”

Syuhada menggaru kepala yang tidak gatal. Dengan berhemah dia menjawab soalan Amani. “Tak adalah buruk sangat. Tapi buruk sangat-sangat je. Sebijik macam hantu Kak Limah!”

Amani terpempan dengan jawapan jujur yang meluncur laju dari mulut Syuhada. Dia memandang wajahnya di dalam cermin. Serentak itu ketawanya meletus. Memang betul apa yang dikatakan Syuhada. Buruk sangat-sangat. Allah dah cipta rupa paras sebaik mungkin, dia pula sibuk menconteng wajahnya sendiri. Macam orang tak bersyukur!

* * * * * *

Syuhada memarkirkan kereta Kancilnya di petak kosong. Huh. Dia melepaskan nafas. Lega bila dapat parking! Dah lah jalan jem, parking Mid Valley pun penuh gile. Beginilah keadaan di Kuala Lumpur setiap kali hujung minggu atau hari cuti. Sentiasa sesak. Kadang-kadang pelik memikirkan dari mana datangnya ribuan kereta yang membanjiri setiap pelosok jalan. Tak reti duduk diam kat rumah ke?

“Heh, berangan apa kau ni?” Amani menyiku Syuhada yang kelihatan mengelamun jauh. Dia membetulkan tudung serta blouse longgar bunga-bunga kecil yang tersarung di badan. Dah tentulah baju Syuhada yang dirembatnya. Dipadankan dengan seluar jeans biru lusuh milik Amira. Tudung sahaja kepunyaan dirinya. Daif betul! Mujurlah mereka berdua satu saiz dengannya. Boleh la menumpang cantik.

“Kejap, nak touch up sikit,” Syuhada menambah lipgloss di bibir serta menekap span bedak beberapa kali. Selepas berpuas hati, barulah dia membuka pintu. “Okay, dah cantik. Jom!” Syuhada sudah berdiri di luar kereta. Amani tergelak kecil dengan kata-kata Syuhada tadi. Selamba puji diri sendiri. Tak malu betul!

Mereka berjalan beriringan memasuki Mid Valley. Amani kagum dengan kebesaran shopping mall itu. Kebiasaannya kedai runcit Ah Keong yang sekangkang kera itu yang kerap dikunjungi untuk membeli barang keperluan harian. Kiranya kedai Ah Keong itu paling famous lah di Kampung Selayang. Paling besar pun pasaraya Fajar yang terletak di pekan Kuala Kangsar. Sekarang dah di rebranding kepada The Store. Itu pun jarang-jarang dia menjejakkan kaki kalau tidak ada barang penting yang perlu dibeli.

Memang ramai yang berkunjung ke Mid Valley pada petang Sabtu itu. Kebanyakannya yang berpasangan lelaki dan perempuan saling berpimpinan tangan. Muda-mudi yang berfesyen macam tak kena gaya. Yang perempuan berbaju ketat tak cukup kain. Yang lelaki ada yang memakai seluar kecik macam saiz Amran. Fesyen apakah ini? Amani berasa pelik. Dia yang tak pandai berfesyen atau budak-budak zaman sekarang yang dah ‘terlebih pandai’ berfesyen? Tak ada apa yang nampak cantik di matanya dengan berpakaian begitu. Pengaruh Barat. Nanti bila budak-budak ni dah tua mesti malu teringat fesyen pelik yang pernah mereka puja-puja ini. Amani tersenyum sendiri.

“Kau tengok fesyen rambut budak tu. Kalau kena belon confirm pecah! Fesyen apa tu? Macam ayam jantan mak aku je,” Amani menunding ke arah remaja lelaki yang berambut tajam. Syuhada tergelak mendengar komen spontan Amani.

“Tu budak punk. Eh, kau jangan lah nampak sangat usha diaorang. Budak-budak ni ada yang gengster tau!” Syuhada menegur Amani.

Amani kecut perut mendengar amaran Syuhada. Lekas-lekas dia menghalakan jarinya kepada sebuah kedai baju. Pura-pura menunjuk ke arah baju-baju di situ. Bimbang juga kalau budak punk tu naik angin.

Tiba-tiba matanya tertancap kepada sepasang merpati sejoli yang asyik memilih baju. Dari pandangan sisi, tubuh badan yang tegap itu kelihatan seperti Zafran. Siapakah gadis tinggi lampai yang bersama Zafran tu? Itu ke Arisya? Amani menarik Syuhada ke tepi dinding.

“Kau ni dah kenapa?” Syuhada tersentak apabila tangannya direntap kuat oleh Amani. Dia pelik melihat Amani yang tertinjau-tinjau ke dalam kedai. Syuhada membuang pandangan ke arah yang sama. Tapi tiada satu pun yang menarik perhatiannya.

“Amani, kau ni kenapa?” Syuhada bertanya sekali lagi.

“ Syu, aku macam nampak bos aku la. Dengan perempuan. Girlfriend dia agaknya,” mata Amani masih tidak lepas dari melihat ke dalam kedai. Angle yang tak baik! Dia masih belum dapat melihat wajah perempuan itu dengan jelas. Naluri kepochinya bagaikan membuak-buak ingin mendapatkan kepastian.

So?” Syuhada membalas pendek. Sungguh dia tidak faham kenapa Amani jadi excited begitu. Amani memalingkan tubuh menghadap Syuhada.

“Eh kau ni tak cukup hormon estrogen ke? Sebagai perempuan sejati, takkan tak rasa nak tahu siapa girlfriend si singa jantan tu?” Amani menoleh kembali ke arah pasangan yang diintip semenjak tadi. Kelibat Zafran sudah tidak kelihatan. Mungkin mencari pakaian di bahagian lelaki. Amani mengambil peluang ini untuk menghampiri perempuan misteri itu. Dia cuma perlu memastikan wajah itu sama seperti wajah gadis penghias muka majalah Chic tadi atau tidak. Itu je.

“Kau tunggu sini kejap. Kejap je. Aku kena selesaikan misteri ni. Kalau tak, tak tidur lena aku malam nanti,” Amani meninggalkan Syuhada. Syuhada memerhatikan langkah Amani. Amani pura-pura membelek baju sambil melangkah menghampiri kedudukan wanita berbaju merah sendat itu. Semakin lama semakin hampir.

Sebaik berada tidak jauh dari kedudukan wanita itu, Amani panggung kepala. Memang wajah Arisya! Walaupun sekadar bersolek nipis serta berbaju kemeja sendat, namun kecantikan Arisya benar-benar terserlah. ‘Lagi cantik dari dalam majalah.’ Bisik hati kecil Amani. Puas hatinya kerana telah mendapatkan kepastian. Mission accomplished! Amani cepat-cepat ingin beredar dari tempat itu. Bimbang pula bertembung dengan Zafran. Amani mengundur beberapa langkah. Sebaik berpaling, tubuh Amani hampir berlanggar dengan sesusuk tubuh lelaki di hadapannya. Kaki kirinya pula mendarat betul-betul di atas kaki kanan lelaki itu. Wangian yang menusuk hidungnya membuatkan Amani kaget. Baru seminggu, namun dia pasti benar yang itu merupakan bau perfume Zafran. Dia menunduk. Tidak berani angkat kepala.

“Oppss..Sorry sir,” Amani sengaja bersuara sengau. Bimbang nanti Zafran dapat mengecam dirinya. Cepat-cepat dia berjalan ke pintu keluar sambil menunduk. Terasa jauh benar pintu kedai itu tatkala ini.

“Hmm, it’s okay,” Zafran beranjak ke tepi memberi laluan kepada gadis berkasut Bata yang memijak kasut jenama Tod’s miliknya. ‘Eh, macam penah tengok kasut tu.’ Zafran terpikir sendiri. Aha!

“Tunggu kejap!” telinga Amani bagaikan berdesing mendengar suara Zafran. Jantungnya berdegup kencang. Mati terus langkahnya. Lututnya terasa lembik.

Jeng jeng jeng. Bersambung! :)

Saturday, April 7, 2012

Bab 5

Amani melangkah masuk ke rumah sewa Syuhada. Rumah apartment itu terasa sunyi. Dua rakan serumah Syuhada belum pulang dari tempat kerja. Syuhada pula bekerja syif malam pada hari Jumaat. Esok pagi baru sahabatnya itu akan pulang.

Amani melepaskan nafas yang berat. Lelah. Ah, sekejap sahaja sudah empat hari Amani bekerja di Megah Holdings. Bererti sudah empat hari Amani menjadi tempat sasaran Zafran melepaskan marah. Amani merebahkan diri di atas sofa sambil tangan mencapai telefon bimbit. Beberapa butang nombor ditekan sebelum dia menunggu suara yang dirindui menyapa di hujung talian.

“Assalammualaikum mak. Mak dengan adik-adik sihat?” Amani memulakan bicara. Kedengaran suara Kursyiah menjawab salam sambil terbatuk-batuk kecil. Susah betul nak sembuh penyakit batuk-batuk emaknya itu. Mungkin kerana emak selalu menjahit sampai lewat malam.

“Mak dengan Amira sihat. Amran je yang demam dah dua hari. Kamu sehat Amani? Macam mana kerja hari ni?” Kursyiah berasa sayu. Pengorbanan Amani mencari kerja di bandar untuk menampung perbelanjaan keluarga cukup meruntun hati tuanya. Kalau diikutkan hati, memang dia tidak rela melepaskan Amani ke bandar. Namun keadaan kewangan benar-benar menghimpit mereka. Kudrat tuanya sudah tidak mampu mengambil upah untuk bersawah di bendang Haji Din seperti dulu lagi.

Amani menggaru kepala yang tidak gatal. Saat ini mahu saja dia meluahkan segala perasaan yang terbuku dihatinya. Emak merupakan teman paling akrab yang selalu menjadi telinga serta bahu tempat dia mengadu rasa. Emak lah insan yang paling memahami dirinya dalam dunia ini. Amani menahan sebak.

Ingin sahaja Amani bercerita tentang kejadian hari pertama di mana dia ditengking sekuat hati oleh singa jantan itu. Tentang baju buruk yang sering sahaja mengundang kata-kata pedas umpama belati menghiris hati. Tentang kopi yang tidak cukup manis. Tentang kesilapan kecil dalam ejaan. Tentang kasut cabuk yang sudah setahun tidak berganti. Ya, kasut cap Bata itu juga menjadi mangsa keadaan. Kasihan kau kasut.

“Itu kasut ke sampan? Habis basah satu office! Dapat gaji nanti beli lah kasut baru...” Teringat dia kata-kata sinis Zafran pada petang Khamis itu. Memang nasib malang bertembung dengan Zafran petang itu. Waktu itu dia baru saja menunaikan solat Asar. Kasutnya terbasah ketika berwudhuk. Ter...bukannya sengaja dibasahkan. Amani takkan lupa bagaimana malunya dia ketika itu diperhatikan oleh beberapa pekerja lain. Kalau tak sabar, memang melayang kasut sampannya ke dalam mulut singa itu. Baru buku bertemu ruas.

Amani picit kepala. Kadang-kadang dia pelik bagaimana Zafran boleh jadi begitu teliti tentang segala perkara. Sekecil-kecil benda pun menjadi isu besar kalau melibatkan Amani. Apa saja yang tidak kena dengan dirinya? ‘Apa, ada cop mohor ke atas dahi aku ni yang mintak kena maki?’ Amani mengeluh.

“Amani, kenapa mengeluh ni? Tak jawab pun soalan mak. Kamu okay ke tak kerja kat sana?” suara bimbang Kursyiah mengembalikan Amani ke alam nyata.

“Amani okay mak. Kerja pun okay. Seronok. Alhamdulillah tak ada masalah,” Amani jadi tidak sampai hati untuk bercerita kepada emaknya. Confirm emak akan suruh berhenti kerja nanti. Dalam waktu sekarang Amani tak boleh cerewet. Nanti kalau dapat kerja di tempat lain, memang dia nak cabut dari Megah Holdings. Tak sanggup lagi maruahnya dipijak-pijak oleh Zafran.

“Amira kata bos kamu tu hensem macam pelakon KL Gangster. Apa namanya tu...Ha! Adi Petra. Betul ke?” Kursyiah teringatkan aksi Amira ketika wajah pelakon itu muncul dalam iklan di TV. Bukan main teruja Amira memanggilnya dari dapur. Amani tergelak menyambut kata-kata emaknya. Tak sangka Amira bercerita kepada emak tentang perbualan SMS mereka.

“Adi Putra lah mak! Aah mak. Hensem macam Adi Putra! Baik pulak tu. Memang best lah kerja bawah dia,” Amani rasa hendak termuntah mendengar kata-katanya sendiri. Awal dulu memang hatinya kembang semangkuk dapat bos yang kacak. Namun sekarang Zafran tak ubah seperti singa jantan di pandangan matanya. Bila menyebut nama Zafran, muka singa jantan yang akan terbayang dahulu.

“Elok lah tu. Dapat bos lawa, baik pulak tu. Lega mak dengar. Kalau ada apa-apa masalah bagitahu mak. Jangan simpan sorang-sorang. Duit belanja hari tu cukup lagi Amani?” Kursyiah hanya memberi beberapa keping not lima puluh dan sepuluh kepada Amani sebelum dia bertolak. Itu pun dah pecah tabung si Amran. Tak mengapalah, dia masih mengambil upah menjahit baju untuk menampung perbelanjaan mereka. Bila-bila nanti boleh diganti semula duit tabung Amran.

“Cukup mak. Boleh sampai hujung bulan. Pandai-pandailah Amani jimat mak..,” Sungguh dia tak sampai hati nak meminta-minta kepada emaknya. Kalau tak cukup duit dia boleh berpuasa sunat. Memang itu rancangannya kelak. Masalah yang ringan tak perlu diperberatkan. Begitulah pada fikiran Amani.

“Oklah mak. Kredit Amani tak banyak ni. Nanti apa-apa Amani SMS je. Mak jaga diri tau. Jaga kesihatan. Kirim salam pada Amira dan Amran,” Amani tersenyum mendengar suara adik-adiknya yang saling bertingkah. Memang macam anjing dengan kucing!

“Ha, yelah Amani. Kamu pun sama jaga diri baik-baik kat tempat orang,” Kursyiah memberi amanat.

“Iya mak...hmmm...Mak...?” Amani menahan sebak di dada.

“Kenapa Amani?”

“Hmm... Amani sayang mak tau. Assalammualaikum..” mendengar salamnya di jawab, Amani lekas-lekas mematikan talian. Air matanya yang ditahan semenjak tadi jatuh berjuraian. Rindu benar dirasakan saat ini. Semangatnya juga kian rapuh mengenangkan nasib yang tak ketahuan di Megah Holdings.

Kalau punya sayap, memang dia ingin terbang pulang ke pangkuan keluarganya. Biarlah hidup susah, biarlah sakit telinga mendengar adik-adiknya bergaduh, biarlah cukup-cukup makan, tapi sekurang-kurangnya hatinya bahagia...

* * * * *

Kursyiah menyeka air mata dengan hujung lengan baju. Dia merasakan bagai ada yang tidak kena dengan anak sulungnya itu. Namun dia tidak dapat meneka apakah masalah yang sedang dihadapi Amani. Bila ditanya, jawabnya semua okay. Kursyiah membuang pandang ke arah Amira dan Amran yang masih bertikam lidah. Selalunya Amani lah yang jadi pendamai antara kedua mereka. Amira itu nama saja sudah anak dara, tapi perangainya mengalahkan budak kecil. Amran yang baru darjah enam itu pun boleh diajak lawan bergaduh.

Teringat pula kepada arwah suami yang sudah lama meninggalkan mereka. Hatinya berasa ngilu. Terasa sarat dengan kerinduan kepada lelaki yang bergelar suami itu. Kalau Ahmad masih ada tentu mereka tidak hidup sesusah ini. Tentu dia tidak rasa serapuh ini. Namun apakan daya, ajal dan maut ketentuan Ilahi. Dia sendiri tidak tahu entah kan bila waktunya akan tiba. Entah kan esok entah kan lusa.

‘Mak pun sayangkan Amani..’ Kursyiah berbisik sendiri. Jauh di sudut hati dia memanjatkan doa agar keselamatan anaknya sentiasa dipelihara oleh Allah. Janganlah ada perkara yang tidak elok berlaku kepada anaknya itu.

Thursday, April 5, 2012

Bab 4

    Zafran menghempas briefcasenya ke atas meja. Yang sebenarnya dia jarang tiba awal seperti hari ini. Tetapi lambakan kertas kerja serta duedate yang semakin hampir menyebabkan tidurnya setiap malam juga sudah tidak lena.

Zafran terkenangkan Munirah. Biasanya setiap pagi dia akan disapa dengan senyuman manis serta lenggok menggoda gadis itu. Namun pagi ini dia disambut dengan wajah pucat Amani yang sedang membaca kertas terbalik. Spoil terus anginnya.

'Muka macam mayat hidup. Tak berseri langsung. Tak boleh ke pakai lipstick kat bibir tu? Gumam hati Zafran. Dia mengintai Amani yang sedang kalut mencari surat tawaran tender yang diminta tadi. Pakaian yang tersarung di tubuh gadis itu lebih menarik dari semalam namun langsung tidak menambat hatinya. Zafran sukakan gadis yang berpenampilan up to date. Ikut arus fesyen. Fesyen tak cukup kain. Pada pandangan matanya, Amani langsung tidak menarik perhatiannya.

    Zafran mencapai cawan berisi kopi yang telah dibancuh oleh Amani. Dia meneliti sekeliling cawan untuk memastikan kebersihan berada pada tahap yang memuaskan. Dia menghirup sedikit kopi tersebut. Hatinya kembali panas sebaik sahaja seteguk kopi itu melalui kerongkongnya.

    "Amani! Come here!" suara lantang Zafran kedengaran. Jantung Amani bagaikan terhenti berdenyut buat seketika.

    'Ah, bala apa pula nak datang ni...' desis hati Amani sambil melangkah laju ke bilik bosnya. Amani memandang wajah Zafran yang kelihatan seperti singa lapar. Hilang terus aura kehenseman ala-ala Adi Putra.

    "Ye Encik Zafran. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" Amani bersuara perlahan. Dia melarikan pandangan mata ke arah kasut yang tersarung di kakinya. Tidak berani menatap wajah Zafran.

    "Macam mana awak buat kopi ni? It is too bitter!Pahit!" Zafran meninggikan suara. Dia memandang Amani yang sedang menunduk. Entahlah, ada sahaja perkara yang dilakukan Amani yang membangkitkan rasa marah di hati Zafran. Serba-serbinya dirasakan tak kena.

    "Saya masukkan sepeket kopi segera encik. Kandungan gula dalam tu dah cukup manis selalunya," Amani beranikan diri untuk menjawab. Dia mengerling sedikit ke arah Zafran. Terasa bagaikan ada asap yang keluar dari kepala bosnya itu.

    "Saya tak suka. Pahit! Awak pegi tanya Melissa macam mana dia buat kopi saya. Lain kali kalau tak tahu tanya. Jangan memandai! Dah, get out!!!" Zafran memalingkan badan. Pemandangan kota raya Kuala Lumpur dari tingkat 10 terbentang luas di hadapannya. Dadanya turun naik menahan marah. Hidungnya kembang kempis. Pada pandangan mata Amani, Zafran tak ubah seperti lembu jantan Mexico yang pantang nampak kain merah. Kalau Zafran punyai tanduk, pasti dirodoknya perut Amani tatkala ini.

    Amani melangkah keluar dengan hati yang sebal. Terkilan hatinya dengan sikap Zafran yang tidak bertimbang rasa. Malu betul rasanya apabila diherdik begitu di hari pertama bekerja. Down terus semangat!

Dia melangkah ke pantry. Kopi yang sudah suam itu dihirupnya sedikit. Dah cukup rasa! Tak terlalu manis, tak terlalu pahit.

    'Nak manis macam mana lagi? Nak kena penyakit kencing manis agaknya!' Amani bermonolog sendirian. Dia terbayangkan wajah Zafran tadi. Kulit cerah bosnya bertukar kemerah-merahan apabila marah. Sepasang mata membulat macam nak telan orang. Tak macho langsung! Dia terbayangkan aksi Zafran yang membentak macam budak kecil. Nak lebih gula ke atau nak gula-gula? Amani tergelak sendiri.

    "Dah kena marah pun boleh gelak lagi ye?" suara yang menegur dari belakang mematikan terus sisa tawa di bibir Amani. Dia berpaling dan kelihatan sesusuk tubuh Melissa sedang bersandar pada dinding. Amani berdebar. Matilah kalau Melissa ni kaki report!

    "Bos kita memang suka yang manis-manis. Lain kali kalau kau buat kopi dia, pastikan sepeket instant coffee dan tambah lagi dua sudu kecil gula. Okay? By the way my name is Melissa," Melissa menghulurkan tangan sambil tersenyum.

    Amani terpegun. Manis rupanya senyuman Melissa. Kan bagus kalau Melissa tersenyum begini dari semalam. Perlahan-lahan huluran tangan Melissa disambut kemas. Amani turut mengukirkan senyuman.

    "Hmm...Saya Amani. Budak kampung yang baru nak belajar. Sila beri tunjuk ajar, ye," Amani masih tersengih.

    "Lain kali kalau ada apa-apa yang kau tak pasti, tanyalah dulu. Kalau boleh, aku tolong. Kalau tersalah jolok buah cempedak tak ape. Kalau dengan Encik Zafran tu ibarat menjolok sarang tebuan tau," Melissa tersengih lagi menampakkan sebaris gigi yang tersusun kemas.

    " Hmm, selalu ke Encik Zafran marah-marah macam tu?" Amani berasa ingin tahu. Dia pelik dengan sikap bosnya yang asyik mencari kesalahan dirinya sejak semalam.

    "Sejak Munirah, secretary yang dulu berhenti kerja, memang jadual dia jadi tak terurus. Tambah lagi sekarang ni company kita tengah kejar tender besar. Bos kita tu tengah serabut siapkan proposal la tu," Melissa memerhatikan Amani yang sedang membancuh secawan kopi baru untuk bos mereka. Terdetik rasa kasihan di hatinya melihat Amani ditengking sebegitu kuat sebentar tadi. Sepanjang dua tahun bekerja di bawah Encik Zafran, rasanya itu adalah kali kedua dia melihat bosnya begitu marah. Sebelum ini Rahim pernah ditengking sebegitu rupa kerana kesalahan pecah amanah. Tidak lama selepas itu Rahim telah diberhentikan kerja. Namun apa sangatlah kesalahan Amani hendak dibandingkan dengan kesalahan Rahim. Melissa sendiri tidak punya jawapan.

    "Dia tak ade girlfriend ke?" pertanyaan yang terpacul dari mulut Amani mengundang reaksi di wajah Melissa.

    "Kenapa? Nak masuk tender ke?" Melissa mengusik Amani. Amani rasa ingin menampar mulutnya sendiri. Bagaimanalah soalan yang berlegar di kepala boleh terpacul di mulut. Amani bimbang Melissa tersalah tafsir terhadap dirinya. Dia perlu bijak menangani situasi.

    " Eh, Encik Zafran tu kan hensem, takkan lah tak ade girlfriend kan.Tapi kalau betul tak ade, boleh lah saya masuk tender.." Wajah Amani berona kemerahan. Ya Allah mulut ni! Kenapa tak dengar arahan otak?

    " Yang selalu datang sini pun Cik Arisya. Girlfriend lah agaknya kot. Eh, Encik Zafran tu memang hensem kan? Nasib la aku dah nak kahwin. Tapi pandang muka dia tiap-tiap hari memang sejuuuuuk hati," Melissa terkekeh-kekeh ketawa. Kedua-dua tangannya disilangkan ke dada. Mujurlah Melissa tidak memanjangkan persoalan yang ditimbulkan oleh Amani. Amani nekad mengunci mulut. Bimbang mulutnya tersalah cakap lagi. Namun hatinya tertanya-tanya bagaimana rupanya Cik Arisya si buah hati bosnya.

    "What took you so long? Buat kopi ke bergosip? Hah, Melissa! Awak pun sama ya?" kedatangan Zafran yang secara tiba-tiba membuatkan kedua-dua mereka terdiam. Amani menjeling sekilas ke wajah Melissa yang kelihatan pucat disergah sebegitu.

    "Ehem, saya ajar Amani buat kopi macam citarasa boss!" Melissa berdiri tegak di sebelah Amani. Zafran memerhatikan kedua-dua pekerjanya sebelum mendengus berlalu pergi. Dia berasa geram mendengar mereka berdua ketawa sejak beberapa minit yang lalu. Entah apa saja la yang digosipkan dari tadi.

    Selepas disergah oleh Zafran di pantry, Amani lekas-lekas menghantar secawan kopi manis kepada Zafran. Dia juga menyediakan dua salinan tender seperti yang diminta. Mujurlah Melissa memberi tunjuk ajar bagaimana dokumen penting syarikat di simpan. Dan mujur juga Amani pandai menggunakan mesin fotostat. Di sekolah dulu dia merupakan salah seorang petugas koperasi. Jadi Amani sudah biasa membuat salinan. Tak adalah nampak kampung sangat di mata Zafran.

    Selepas waktu rehat tengahari, Zafran tidak pulang ke pejabat langsung. Amani berasa lega kerana tidak perlu berdepan lagi dengan bosnya. Kali terakhir dia masuk ke bilik untuk meminta tanda tangan Zafran, bosnya itu langsung tidak mahu memandang ke arahnya. Seolah-olah jijik dengan dirinya. Amani berasa sayu. Dia tidak pasti berapa lama dapat bertahan dengan karenah bosnya yang berangin taufan itu. Amani seram sejuk mengenangkan apa yang bakal menanti di hari-hari seterusnya.