Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, November 4, 2013

Bab 13 - Main Kahwin-Kahwin



           “AAA…CUM!” Wardah kesat hidung untuk ke sekian kalinya. Hujung hidungnya sudah mula merah akibat terlalu kerap bersin. Dadanya sendiri sudah mula rasa semput.
            “Nah. Special hot Milo!
Mug merah sudah bertukar tangan. Wardah meniup perlahan permukaan air. Perlahan-lahan dihirup Milo panas yang dibancuh oleh Fawwaz. Tekaknya terasa lega.
            “Thanks Along!” Wardah tersengih pamer gigi yang tersusun cantik.
            “Sama-sama. Kau ni pergi mengajar ke pergi berkubang sebenarnya? Habis baju kau basah dengan becak! Along dah bilaskan tadi. Kalau ayah balik nanti bising pulak orang tua tu,”
Fawwaz capai remote Astro di atas meja. Beberapa siaran rancangan silih berganti di kaca televisyen. Namun perhatiannya lebih tertumpu kepada Wardah yang sedang berselimut tebal di atas sofa.
“Ish, apa Along ni? Mestilah pergi mengajar! Lagi mau tanya tau! Aacum!” Bahu Wardah terhincut sedikit.
“Habis tu yang kau jalan kaki dalam hujan tadi buat apa? Nasiblah Along lalu kat situ. Ingatkan nak bagi tumpang kat awek cun tadi. Sekali kau rupanya yang main hujan,” Fawwaz geleng kepala.
Spontan fikirannya teringat kembali peristiwa lewat petang tadi. Kelibat perempuan yang berjalan dalam hujan renyai membuatkan hatinya dipagut rasa simpati. Mujur juga dia memberhentikan kenderaan. Jika tidak memang jauhlah adiknya itu kena menapak sehingga ke rumah. Paling malang jika ada yang ingin mengambil kesempatan kepada Wardah. Maklumlah, kes jenayah semakin berleluasa sekarang ini.
            “Alah, sekali-sekala nak imbau kenangan zaman kanak-kanak. You should try playing in the rain, Along! It’s a lot of fun!” Wardah buat-buat teruja. Fuuuun la sangat Wardah oi! Kalau lebih lama kau main air hujan tadi, dah kena demam panas agaknya kau ni!
            Thanks to you Hasif Wafiy! Huh! Wardah ketap bibir. Tidak berapa lama lelaki itu meninggalkan dia di tepi jalan, hujan yang sudah berhenti kembali turun membasahi bumi. Perjalanannya bagaikan dirahmati. Bukan calang-calang hujan yang turun. Siap dengan kilat sabung-menyabung.
 Mujurlah Allah menghantar Alongnya sebagai hero penyelamat. Kalau tidak ada harapan cerah mati kejung dipanah petir petang tadi. Isk isk isk. Spontan Wardah menggeleng kepala.
“Bukan ke patutnya ayah ambil kau dari rumah Aunty Raihanah?”
Fawwaz masih belum berpuas hati. Selagi belum mendapatkan jawapan, hatinya berasa tidak tenang.
“Iya Along. Selalunya memang ayah yang ambil orang. Tapi tadi anak Aunty Raihanah offer nak hantarkan orang balik,” Wardah menjawab malas. Hesy Along ni! Kalah inspektor!
“Anak aunty? Yang mana satu? Adik ipar Along tu?”
“Ye. Hasif tu lah...” Wardah julingkan mata.
“Huyooo! Cinta bersemi kembali! Kau orang dah bercinta balik ke? Kiranya nak dapat adik iparlah Along ni? This time for real?” Fawwaz terjerit kuat. Nampak teruja bukan main lagaknya saat itu.
“Ayah nak dapat menantu? Betul ke ni Wardah?” kepala Wahid terjegul di muka pintu.
Kemunculan Wahid yang mencelah perbualan mereka menyebabkan Wardah hampir terlompat dari kerusi. Bila masa saja ayah sudah pulang dari masjid, dia sendiri tidak pasti. Wardah urut dada.
“Ish ayah ni. Masuk tak bagi salam pun tau. Terkejut orang! Jangan dengar cakap Along ni ayah. Merepek aje!” Wardah geleng kepala. Cuak. Encik Wahid bin Zainuddin ni bukan boleh dibuat bergurau tentang soal jodoh anak daranya! Pasti saja dia akan mendapat tazkirah percuma sebentar lagi.
“Ayah dah bagi salam dah tadi. Korang yang rancak sangat berborak sampai tak dengar,” Wahid melabuhkan punggung di atas sofa berhadapan dengan Wardah. Kedua-dua belah kakinya direnggangkan. Tangannya mula menggosok perlahan lutut yang terasa berbisa.
“Lenguh ke ayah? Meh orang picitkan,” Wardah bingkas mengalih posisi. Sepasang tangannya mula memicit lembut betis ayahnya.
“Lain kali ayah drive ajelah ke masjid tu ayah. Kalau tak pun biar Along yang hantarkan ayah ke sana,” Fawwaz memecah kesunyian. Bukan sekali dua mereka adik-beradik menegah Wahid dari berjalan kaki ke masjid. Namun ayahnya tetap berkeras.
“Ish, kamu balik kerja pun waktu orang tengah azan! Tak apalah Along. Memang ayah lebih suka berjalan kaki ke masjid. Selagi masih ada tenaga ni. Bukannya jauh sangat pun. Sampai depan simpang tu dah berteman dengan Haji Hamdan pulak. Lagi pun setiap langkah kita ke masjid tu dijanjikan Allah ganjaran yang besar,” Wahid bersandar pada sofa. Picitan Wardah mendatangkan kelegaan pada batang kakinya yang sudah berkhidmat lebih separuh abad.
“Aha!” Wahid memetik jari.  “Berbalik pada topik kita tadi... hmm... Wardah dah ada calon suami ye?” Wahid jeling ke sisi kirinya.
“Uhuk uhuk uhuk!” Terbatuk-batuk Wardah mendengarkan soalan Wahid. Sebentar tadi dia menyangkakan bahawa Wahid sudah pun terlupa tentang soal itu. Sekilas Wardah menghantar isyarat maut kepada Fawwaz. Kerap sangat mulut Along mencampakkan dirinya ke jurang berbahaya.
“Tak adalah ayah! Mana ada. Along ni yang memandai-mandai. Well Along, you are the one who should find a spouse. Umur pun dah lanjut tau. Tak laku nanti baru tahu!” Wardah jelir lidah kepada Fawwaz.
Excuse me dik! Orang lelaki ni, makin berusia makin laku tau. Lagi banyak pengalaman kata orang. Tengok aje ayah tu. Bukan main Kak Sari dan Mak Cik Solehah berebut nak tawan hati ayah!  Orang perempuan tu yang kena kahwin awal. Nilai tu semakin susut seiring dengan pertambahan usia!” Wardah tergelak mendengarkan hujah Fawwaz. Wajah Wahid yg merona merah mengusik hati mereka.
“Tah ayah ni! Kak Sari dengan Mak Cik Solehah tu berlumba-lumba nak ngorat ayah tau. Dah macam perang juadah petang! Tapi orang tengok ayah steady  je,” Wardah pandang Wahid. Rasanya satu taman perumahan sudah mengetahui bagaimana dua orang wanita itu saling berusaha untuk memenangi hati ayah mereka.
Setiap petang ada sahaja kudapan yang dihantar ke rumah. Kononnya terlebih masak. Kalau dah seminggu tiga kali terlebih masak tak ke pelik tu? Wardah geleng kepala sendirian. Kesian pun ada melihatkan kesungguhan dua orang wanita itu. Namun sayangnya pintu hati ayah sudah terkunci rapat semenjak pemergian ibu.
“Jangan nak alih topik, Wardah. Ayah ni dah tua. Tak ada terfikir pun nak cari pengganti. Kalau ayah nak, dari dulu lagi ayah boleh cari. Sekarang ni ayah tumpukan pada anak-anak. Wardah pun dah besar panjang. Sesuai sangatlah nak berumah tangga,” Wahid mengulum senyuman.
“Hesy, tak naklah orang! Orang muda lagilah. Ayah pun cakap yang orang ni memasak pun tak pandai lagi!” Wardah geleng kepala laju-laju.
“Haaa... Kalau tak pandai kenalah belajar. Ayah paling risaukan Wardah tau. Kalau Wardah kahwin, lega ayah rasa. Lainlah Along. Along tu lelaki. Ayah tak risau sangat,” Wahid paut bahu Wardah. Sepasang mata Wahid yang berkaca menyentuh perasaan Wardah.
Hmmm... Aku ni memang banyak menyusahkan ayah agaknya! Wardah menahan sendu di dalam hati. Jika dibandingkan dirinya dan Fawwaz, memang dia yang kerap bikin masalah dan buat ayah bersusah hati. Dari segi pelajaran memang mereka sama-sama lulusan universiti. Namun jalan hidup yang dipilihnya sekarang memang tersimpang jauh dari janji-janji yang pernah disemai pada ayah dahulu.
Bukan dia sengaja berkeras hati. Bukan dia sengaja mahu menjadi seperti ini. Berpakaian seperti lelaki, tidak punya pekerjaan yang stabil, hilang teman-teman... Memang dia sendiri yang memilih jalan ini. Namun dia punya sebab. Malah ayah dan Along sendiri sudah arif tentang peristiwa itu.
“Oit! Mengelamun teringatkan Hasif ke?” Fawwaz campak bantal kecil tepat mengenai wajah Wardah.
“Eiii! Along ni! Banyak lagi lelaki lain dalam dunia ni selain anak Aunty Raihanah tu tau!” Wardah bulat mata. Menyampah betul dirasakan apabila digosipkan bersama lelaki kejam itu.
“Kenapa pulak? Dulu bukan main rapat lagi Wardah dengan dia. Aunty Raihanah cakap Hasif tu solo lagi. Kalau betul Wardah berjodoh dengan dia, memang senang hati ayah ni!” Wahid tersengih pula.
Wardah raup muka.
Eiii! Kenapalah dengan ayah dan Along ni? Cerita dua puluh tahun dulu mana boleh diguna pakai lagi dengan situasi sekarang! Hasif yang dia kenal dulu bukan seperti yang sekarang!
Hasif yang dulunya sangat protective pada dirinya kini sudah bertukar menjadi diktator! Brutal and annoying! Ish, dia tak mahu!
“Orang tak minatlah. Tu cerita lamalah ayah. Cerita zaman orang berhingus. Sekarang orang dah besar. Orang dah ada taste  tau,”
 “Iya? Bila nak tunjuk pada ayah taste kamu tu? Ayah tengok macam tak ada social life aje kamu ni. Jangan sampai jadi anak dara tak laku pulak nanti Wardah oi,”
Huh! Wardah bagai terpukul. Kejam betul kata-kata ayah! Namun ada kebenaran apa yang dikatakan oleh ayah. Dia mana punya kawan lelaki. Hidupnya hanya sekitar di Blooms dan rumah.
Siapa sahaja yang mahu menghulurkan salam perkenalan kepada dirinya yang sentiasa berpenampilan seperti lelaki?
Split personality bak kata si mamat sengal!
“Ala ayah... Jodohkan aje si Wardah dengan anak Aunty Raihanah tu yah! Mesti aunty setuju. Hari tu Along tengok bukan main lebar senyuman aunty bila tengok Wardah. Berseri-seri muka aunty!” Fawwaz semakin giat mengusik.
“Itulah... Kalau Wardah ni tak ada calon, memang ayah nak jarum-jarumkan dengan anak Aunty Raihanah tu!” Wahid pura-pura berkata serius. Seronok melihatkan Wardah yang gelisah dan resah.
Wardah menyapu peluh di belakang tengkuk. Kesungguhan di wajah ayah dan Along mengundang resah yang bukan sedikit. Biar betul dorang ni?
“Chup! Siapa cakap orang tak ada kawan? Orang adalah kawan dengan seseorang. Tapi orang tak nak kecoh-kecoh je!” Wardah berdiri tiba-tiba. Meremang bulu romanya apabila melihatkan keseriusan ayah dan Along yang mahu menjodohkan dia dengan Hasif Wafiy.
“Kau ni biar betul. Tup-tup la pulak ada kawan. Along tengok kau tak pegang handphone pun. Tak bergayut macam orang lain pun!” Fawwaz ubah posisi duduk. Sepasang matanya membulat memandang wajah Wardah. Biar betul adiknya sudah punya teman istimewa?
“Along ingat orang ni monyet eh nak bergayut-gayut? Lagipun takkan semua benda nak tunjuk depan Along dengan ayah. Orang main SMS dengan Whatsapp dalam bilik mana Along nak tahu!” Wardah peluk tubuh. Ceritanya perlu kedengaran meyakinkan. Dia tidak mahu ada perancangan untuk menjodohkan dia dengan lelaki itu lagi di masa akan datang.
“Betul ke ni Wardah?” Wahid pandang wajah Wardah lama-lama.
“Betul,” Wardah angguk kepala. Serius, Wardah... serius!
“Siapa namanya?” Fawwaz mencelah pula.
“Hesy, tak payah sibuklah Along!” Wardah bulat mata. Eiii, Along ni! Spoil betullah.
“Eh, bagitahulah siapa namanya. Ataupun Wardah mereka-reka cerita aje ni? Ayah tak percaya. Ayah tahu Wardah tak ada berkawan dengan siapa-siapa. Sebab tu lah ayah nak jodohkan Wardah dengan si Hasif tu!”
Riak di wajah Wardah berubah sudah. Hm, sampai hati ayah dengan Along tak percayakan aku. Macam lah aku ni tak laku langsung! Wardah layan sentap. Tapi memang betul pun! Kalau diikutkan sejarah mana pernah dia membawa pulang mana-mana lelaki menghadap mereka. Ah, nama siapa pula yang hendak dipetik di saat-saat genting begini?
“Haaa, lama sangat nak fikir nama boyfriend sendiri. Nampak sangat lah menipunya tu ayah!” Fawwaz pecah ketawa.
“Ehhh.. siapa cakap orang membohong? Okay, okay. His name is A... Adam. Kalau ayah tak percaya, nanti orang tunjuk kat ayah. Yang penting orang tak nak dah ayah atau Along nak match making kan orang dengan anak Aunty Raihanah lepas ni! Sabtu nanti orang ajak dia datang rumah! Dah! Orang nak siapkan meja makan. Dah lapar ni!”
Wardah lekas-lekas berlalu masuk ke dapur. Wajahnya yang merah perlu dilarikan dari pandangan mata ayah dan Along. Memang sifat semula jadinya begitu. Terasa darah panas menyerbu ke muka apabila dia terpaksa bercakap bohong kepada kedua-dua lelaki kesayangannya itu tadi.
Wardah buka pintu peti ais.
Udara sejuk menyerbu ke wajahnya yang terasa membahang. Gila! Kau ni memang gila Aimy Wardah! Wardah ketuk kepala. Entah mengapalah hidupnya menjadi kacau-bilau semenjak bertemu dengan mamat sengal itu.
Bukan setakat hidupnya sudah terancam. Tak pasal-pasal nama Adam pula yang mulutnya menyebut laju sebentar tadi. Nak buat macam mana, Adam dan Amri sahajalah lelaki yang dikenalinya. Mustahil pula dia mahu berkomplot dengan Amri. Bukan dia tidak tahu lelaki itu menaruh perasaan kepadanya. Bimbang lelaki itu salah faham pula nanti.
Wardah menyeluk telefon bimbit dari dalam saku seluarnya. Ada getaran halus yang melanda seluruh tubuhnya saat itu.
Well now... How should I tell him?
Wardah berfikir sejenak. Selang beberapa minit, jemari Wardah menari laju di atas keypad. Butang ‘send’ ditekan setelah ayat dikarang diulang baca hampir sepuluh kali.
Wardah melepas keluhan. Resah.
Minta-mintalah dia cakap ‘yes’. Wardah pejam mata rapat-rapat. Sudikah Adam keluar bertemu dengannya Sabtu nanti?
Well, I’m sorry that I have to drag you into my mess, Adam!


“Ayah!” Fawwaz goncang lengan Wahid. Pelbagai soalan menyerbu masuk ke mindanya. Namun lidahnya terasa kelu. Pandangan matanya bertembung dengan sepasang mata Wahid.
“Betul ke apa kita dengar tadi, ayah?”
             Wahid kelip mata.
“Itulah Fawwaz! Tak hilang lagi terkejut ayah ni! Niat ayah nak mengusik adik kamu aje tadi. Mana tahu dia betul-betul nak bawakan calon menantu jumpa ayah pulak nanti! Hesy, nasiblah ayah ni tak ada sakit jantung!” Wahid urut perlahan dadanya. Terasa masih sukar untuk mempercayai kata-kata Wardah sebentar tadi.
Biar betul aku dah nak bermenantu?