Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, April 2, 2012

Bab 1

Amani melangkah masuk ke Megah Holdings. Bangunan empat belas tingkat itu benar-benar mengagumkannya. Dirinya terasa kerdil. Manusia yang keluar masuk dari bangunan itu semuanya bergaya dan elegen belaka. Lengkap bersuit pejabat. Yang berbaju kurung pun tak kurang hebatnya. Amani meneliti diri sendiri. Dia hanya berbaju kurung pesak kain cotton. Itulah sepersalinan yang dirasakannya paling elegen. Itu merupakan baju kurung pemberian Mak Long pada Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Pada hemat Amani, itulah pakaian yang paling wajar untuk disarungkan ke badan pada hari yang sangat bersejarah dalam hidupnya ini.

Amani melangkah masuk apabila pintu lif terbuka. Berpusu-pusu orang ramai menghimpit ruang yang sempit itu. Melalui borang temuduga yang dikirim, temuduga akan dijalankan di Bilik Mesyuarat Seri Amar di tingkat 10. Debaran di dada Amani semakin menggila sewaktu pintu lif terbuka di tingkat 10.

Ruang pejabat yang kemas dengan susun atur moden kontemporari menyapa pandangan matanya. Muzik latar yang kedengaran perlahan menjadikan ruang pejabat itu lebih santai.

Amani menghampiri meja penyambut tetamu. Seorang wanita lewat 20-an memandang dengan pandangan kosong. Tiada senyuman yang sepatutnya terukir di wajah si penyambut tetamu. Macam manalah dia boleh dapat jawatan ini agaknya? Tak sesuai langsung. Amani berkata sendiri.

"Assalammualaikum. Saya datang untuk temuduga jawatan setiausaha," Amani cuba memaniskan muka.

"Okay, boleh masuk bilik nombor dua sebelah kanan tu," tanpa senyuman, gadis itu kembali duduk dan menumpukan perhatian kepada timbunan kertas di depannya. Hai lah sombongnya orang-orang di Kuala Lumpur ni. Bukannya luak duit pun kalau senyum. Malahan senyuman tu kan sedekah. Amani mengomel di dalam hati sambil melangkah ke bilik yang dimaksudkan.

Ruang pejabat yang luas itu kembali menerbitkan rasa kagum. Jakun sungguh dirasakan dirinya ketika itu. Kalau di kampung, rumah Haji Azhar lah yang dirasakan paling hebat sekali. Rumah tiga tingkat kepunyaan pemilik kilang beras itu dirasakan umpama istana yang tersergam di kampung mereka. Yelah, apalah sangat hendak dibandingkan dengan rumah batu tak bersimen yang didiami mereka sekeluarga. Namun itu pun dah cukup bermakna bagi mereka. Tiba-tiba terbit rasa rindu kepada keluarga yang baru ditinggalkan semalaman.

"Yes, I would like to have a lunch business with you, Dato' Razak. Maybe we can discuss further about the project in Melaka?" Suara yang boleh tahan macho kedengaran dari pintu bilik. Seorang lelaki berbadan tegap melangkah masuk ke ruang pejabat itu. Sepasang mata lelaki itu memerhatikannya dengan tanda tanya sambil kepala terangguk-angguk seolah mengiyakan apa yang dikatakan pemanggil di hujung talian.

Amani berdiri di sudut bilik. Tidak berani mencelah walau sepatah. Matanya mengekori kelibat lelaki tegap yang sedang duduk di kerusi empuk sambil membelek beberapa fail di atas meja. Telefon bimbit masih di telinga dan sesekali dia mengangguk seperti burung belatuk.

'Burung belatuk yang hensem'. Bisik hati kecil Amani yang nakal.

Ini ke bos aku? Seronoknya kalau kerja dengan bos yang hensem macam Adi Putra. Pasti hari-hari pun bersemangat nak datang kerja. Amani tersengih sendiri.

"Yes? Who are you and what are you doing in my room?" hilang terus senyuman di bibir Amani tatkala lelaki tegap itu bersuara kepadanya. Lelaki itu meletakkan telefon bimbitnya di meja sambil mata tajam memerhatikan Amani. Amani berasa kaget teramat. Secara automatik lidahnya terasa kelu untuk bersuara. Kata-katanya sekadar tersekat di kerongkong.

Inilah masalahnya dari dulu. Mudah gelabah tak bertempat. Gelabah ayam kata orang. Tambah lagi jika berdepan dengan orang yang berpangkat tinggi. Dan hensem. Eh, sempat lagi kau ni Amani.

"I..I..Errr..Saya..saya.." Amani sudah tersasul. Habislah mesti dia ingat aku ni gagap.

Amani bukan tak boleh berbahasa Inggeris. Masa STPM dulu pun keputusannya cemerlang. Cuma dia jarang sekali berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris. Itulah yang menjadi kesukaran. Kalau menulis tidak menjadi masalah sangat. Dalam kepayahan Amani cuba mengumpul kekuatan untuk mengusir rasa gugup.

No comments:

Post a Comment