Bab 15
KERETA mewah Zafran yang menjalar di
atas jalan kampung tidak berturap menarik perhatian puluhan pasang mata. Ada
yang saling berbisik sesama sendiri, dan ada juga yang melopong kekaguman.
Anak-anak kecil yang sudah hitam berkilat bermain di tepi bendang saling
bersorak. Bukan selalu orang kaya datang ke Kampung Kepayang. Rasa kagum sukar
dikikis di hati mereka.
Zafran
memberhentikan keretanya berdekatan dengan pokok buah mangga. Sepasang matanya
beralih ke arah rumah papan yang terletak kira-kira dua ratus meter dari
pinggir jalan. Zafran mengamati kawasan rumah tersebut. Halaman kecil dihiasi
dengan pokok bunga kelihatan bersih dan kemas. Sebuah basikal tua yang sudah
agak usang disandar pada tiang rumah. Beberapa pasang selipar buruk pula disusun
di tepi tangga. Zafran tercari-cari
sepasang kasut sampan Amani.
Hampir
empat jam memandu mencari rumah Amani bukan lah perkara yang mudah. Entah
berapa kali dia tersesat dan tersalah kampung. GPS juga tidak banyak membantu.
Guna Pun Sesat! Mungkin kerana Zafran tidak memiliki alamat lengkap rumah
Amani. Dia hanya ingat-ingat lupa maklumat yang pernah dicuri baca dahulu.
Mustahil pula mahu bertanya kepada Melissa. Entah cerita apa pula yang akan
dicanang nanti! Mata Zafran meliar cuba mengesan kelibat Amani.
Tok!
Tok! Tok!
Zafran
menahan rasa terkejut tatkala melihatkan seorang budak lelaki yang sederhana
tinggi sudah berdiri di tepi keretanya. Sepasang mata bundar serta hidung
terletak yang dimiliki budak lelaki itu mengingatkan dia kepada wajah yang
dirindui. Betul lah ini rumahnya! Zafran mematikan enjin dan keluar dari
kereta.
“Mak tak
ada di rumah! Kami tak nak beli barang yang abang jual. Tak ada duit. Baik
abang pergi rumah Haji Din tu. Dia tu orang kaya,” Zafran melihat ke arah rumah
besar tiga tingkat yang dimaksudkan budak itu. Rasa hendak ketawa dibuang
jauh-jauh mendengarkan kata-kata yang terpacul dari mulut budak itu. Adik
dengan kakak sama sahaja! Naif dan cepat sangat buat kesimpulan!
“Nama
siapa?” Zafran merenung wajah itu. Memang seiras. Kalau dipakaikan tudung pasti
sukar dibezakan antara Amani dan adiknya.
“Amran,”
budak itu menjawab sepatah. Amran memintal hujung t-shirtnya yang besar dan
labuh itu. Bajunya comot dengan pelbagai kesan kotoran. Rasa simpati terkesan
di hati Zafran.
“Oh,
Amran ni adik Amani kan? Kakak ada di rumah?” Zafran mengukir senyuman.
“Abang
ni siapa? Kenapa nak jumpa kakak?” wajah Amran berkerut seribu. Sepasang
matanya sudah turun naik memerhatikan Zafran dari atas hingga ke bawah. Lagaknya
tak ubah seperti seorang inspektor.
Zafran
menggaru kepala yang tidak gatal. Dia tidak punya jawapan untuk diberikan
kepada Amran. Malah dia masih berhutang jawapan kepada diri sendiri untuk
soalan yang sama. Memandu sejauh ini tanpa pedulikan rasa penat dan lapar. Untuk
apa? Untuk siapa?
“Abang
kawan kak Amani,” Zafran menjawab ringkas. Wajah Amran yang tadinya kelat
berubah ceria dengan tiba-tiba. Senyuman lebar terukir di wajah Amran. Amran
berlari menuju ke rumah papan sambil terjerit-jerit.
“Mak,
pakwe kakak datang! Mak! Pakwe kakak datang ni!!! Marilah masuk bang. Kakak keluar
dengan kak Syuhada. Kejap lagi dia balik lah,” Amran berteriak sambil memanjat
tangga. Tangan kanannya menggamit Zafran naik ke rumah.
Zafran
menahan senyuman. Gelaran ‘pakwe’ menjemput kembali puing-puing bahagia di
hatinya. Perlahan-lahan dengan muka tak malu, Zafran menghampiri tangga rumah
Amani.
“Apa
yang terjerit-jerit ni Amran? Pakwe siapa?” wajah tua seorang wanita menjenguk
dari birai pintu. Wajah dimamah usia itu kelihatan sedikit cemas. Batuk-batuk
kedengaran dari bibirnya. Wanita itu mengalihkan pandangan mata ke arah wajah
anak muda yang cukup asing di halaman rumahnya.
“Cari
siapa, nak?” Kursyiah menuruni anak tangga.
“Saya
cari Amani, mak cik. Saya Zafran. Amani ada?” Zafran memperkenalkan dirinya.
“Oh,
Encik Zafran. Bos Amani ye? Jemputlah naik. Amani selalu cerita pasal Encik
Zafran. Katanya baik sangat. Seronok dia bekerja dengan encik!” Kursyiah sudah
mengibaskan lapik kaki yang berdebu. Batang penyapu di tepi dinding diambil
untuk menyapu tangga papan yang berhabuk. Tetamu yang tidak dijangka tiba di
rumah buruknya. Kursyiah mahu melayan majikan Amani sebaik mungkin.
“Jangan
susah-susah mak cik!” Zafran terkesima dengan reaksi spontan wanita itu.
Pastinya Amani selalu bercerita tentang dirinya. Dan pastinya Amani sudah
terlalu banyak berbohong kepada emaknya. Layanan buruk yang diberikan kepada
Amani sejak dari hari pertama dia bekerja sudah ditukarkan kepada cerita-cerita
manis untuk menyedapkan hati ibu tua itu. Zafran dipalu seribu kesalan.
Pintu
kayu dibuka seluas-luasnya oleh Kursyiah. Mujurlah Amani sempat menyapu dan
mengemas ruang tamu sebelum keluar tadi. Kerusi rotan yang sudah usang menjadi
tempat Zafran melabuhkan punggungnya.
“Ada apa
datang cari Amani ni encik? Anak mak cik tu ada buat salah ke?” kening Kursyiah
sudah berkerut. Hatinya bimbang bukan main kalau-kalau kehadiran Zafran ke
rumahnya membawa maksud yang tidak baik.
“Eh,
bukan macam tu mak cik! Sebenarnya saya nak minta satu laporan daripada Amani.
Kebetulan pulak baru lepas melawat tapak projek dekat-dekat sini. Tu yang
singgah sekejap. Harap tak mengganggu mak cik sekeluarga,” Zafran berbohong
sunat. Takkan pula dia hendak memberitahu tentang penyakit rindu yang sudah tak
tertanggung! Mahu pengsan orang tua itu nanti.
“Tak
ganggu pun encik. Tapi Amani tak ada. Dia ke rumah sepupu tolong untuk kenduri
kahwin. Kejap lagi balik lah tu,” Kursyiah tersenyum manis. Wajah Zafran
diamati lama. Betul la kacak macam Adi Putra!
“Eh,
janganlah berencik-encik dengan saya. Mak cik panggil aje Zafran,” Zafran membetulkan
duduknya. Biar sopan di mata Kursyiah.
“Hm, ye
lah. Zafran dah makan? Kalau belum, mari lah makan sekali. Tapi lauk kampung
aje lah Zafran...” Kursyiah mempelawa ikhlas. Adat berbahasa dengan tetamu.
Namun dia yakin benar Zafran pasti tidak biasa makan gulai ikan sepat masin
yang dimasaknya. Selera orang bandar pastinya tidak sama dengan tekak orang
kampung.
* * * * * *
Amani mematikan enjin motosikal EX5 peninggalan arwah
abah. Hatinya cemas bukan main. Sudah
hampir sejam dia terkandas di rumah Mak Long dek kerana hujan lebat yang turun.
Dia bimbangkan atap zink di bahagian tengah rumah yang sudah bocor itu.
Kebiasaannya mereka terpaksa menadah dengan besen besar apabila hujan turun.
Wang belanja yang dikirim kepada emak sudah habis dibuat belanja harian mereka
tiga beranak. Amani menunggu gaji seterusnya untuk memanggil tukang rumah
membaiki atap tersebut.
Pintu rumah dikuak
perlahan. Amani melangkah masuk ke tengah rumah. Dia mendongakkan kepala ke arah
atap zink yang sudah siap dibaiki. Hatinya hairan bukan kepalang. Matanya
tercari-cari kelibat emaknya. Dia benar-benar ingin tahu pari-pari mana yang
telah datang menghulurkan bantuan.
“Assalammualaikum!” jeritan Amran dari luar rumah menarik
perhatian Amani. Jantungnya hampir gugur tatkala melihat sesusuk tubuh lelaki
yang mendaki tangga rumanhya itu. Zafran yang menyarung baju melayu coklat
gelap lengkap berkain pelikat milik arwah abah sudah tercegat di depan pintu.
‘Hensemnya!’ sempat pula hati Amani membuat penilaian.
Cair juga dia melihat penampilan Zafran yang tak ubah seperti lelaki melayu
terakhir itu.
“ Tak pernah tengok orang kacak ke?
Sampai terlopong mulut!” Zafran tayang wajah macho. Padahal hatinya sudah
berentak dangdut tatkala terpandangkan wajah polos Amani sebentar tadi. Berseluar
track suit dan bert-shirt lengan
panjang. Cukup ringkas namun bagaikan bidadari kayangan di mata Zafran. Bebanan
rindu yang dipikul bagaikan terlepas dari bahunya.
Amani menutup mulut dengan tangannya.
Senyuman serba salah terukir di wajah Amani. Tidak tahu apa yang harus
diucapkan kepada Zafran. Kunjungan Zafran memang tidak pernah terlintas di
fikirannya langsung. Pagi tadi terdapat tiga panggilan tidak berjawab dari
Zafran. Dia terlalu sibuk membantu
menyiapkan lima belas dulang hantaran untuk Sofia sehingga terlupa untuk
menelefon semula. Apakah perkara yang terlalu penting sehingga membawa Zafran
ke rumahnya di Kuala Kangsar? Amani berteka-teki sendiri.
“Kenapa tercegat depan pintu tu? Amani,
jemput bos kamu masuk. Zafran makan keledek goreng?” Kursyiah mucul dari dapur
sambil menatang sedulang hidangan petang. Amani memberi laluan kepada Zafran yang
kelihatan begitu ramah melayan emaknya. Bagai sudah kenal lama pula. Dengan
pantas dia membuntuti emaknya yang sudah berlalu ke dapur.
“Mak, bos Amani mana makan keledek
goreng! Tak kena dengan selera dia nanti,” Amani terduduk di kerusi makan.
Kepalanya sudah terasa pusing. Kedatangan Zafran benar-benar menggugat keamanan
yang dinikmati ketika bercuti di kampung.
“Ish, dia suka makanan kampung! Tiga
kali Zafran bertambah nasi makan gulai ikan sepat masin tengah hari tadi. Betul
la kata kamu, Zafran tu baik orangnya. Sanggup dia ke pekan beli barang-barang
untuk tolong tampal atap bocor kita tu. Kamu kena kerja dengan dia elok-elok
tahu tak? Kenang budi baik dia,” Kursyiah mengambil tempat di hadapan Amani.
Wajah Amani ditatap penuh kasih.
Amani membetulkan tudung bawal di
kepala. Cerita yang keluar dari mulut emaknya bagaikan cerita dongeng yang
sukar dipercayai. Bagaimana singa jantan yang selalu mengherdik marah kepada
setiap satu perbuatannya boleh berubah baik sebegitu rupa kepada keluarganya?
“Encik Zafran ada bagitahu kenapa dia datang?” Amani memintal hujung baju. Tabiat
turun temurun apabila dilanda keresahan.
“Entah. Katanya nak ambil laporan.
Tak tahulah laporan apa. Pergilah kamu tanya sendiri,” Kursyiah sudah bangun
menuju ke sinki. Amani menapak perlahan ke ruang tamu. Gelak tawa Amran dan
Zafran jelas kedengaran saling bertingkah. Entah apa sajalah yang dibualkan
mereka berdua. Amani menahan rasa. Adiknya yang seorang itu bukan boleh
diharap. Bimbang pula jika Amran membuka cerita memalukan tentang dirinya.
“Amran tunjuk gambar akak!” Amran
tersengih bukan main. Album gambar lama berada di ribaan Zafran. Sudah Amani
jangkakan, gambar dia bertocang dua dan sedang ternganga menangis yang menjadi
tatapan Zafran. Gambar-gambar dia sekadar berlampin tanpa baju juga banyak di
dalam album itu. Muka Amani sudah merah bagai dibakar.
“Hm, mak cakap Encik Zafran datang untuk ambil laporan.
Laporan apa ya?” Amani berterus-terang. Kalau boleh dia ingin lekas-lekas
memenuhi tuntuan Zafran supaya Zafran boleh cepat pulang. Lagipun hari sudah petang.
“Tak apa lah. Saya dah minta Melissa
buatkan. Oh, ya! Saya dah lama tak masuk kampung. Boleh bawa saya pusing
kampung awak?” Zafran lekas-lekas menukar topik. Wajah Amani yang berkerut
ditatap sepintas. Dia pasti Amani sedang menilai logik jawapan yang diberikan
sebentar tadi.
Amani tercari-cari jawapan yang sesuai
diberikan kepada Zafran. Bawa Zafran pusing-pusing di kampung sama lah seperti
menjaja diri untuk menjadi bahan mulut penduduk kampung. Namun
jika tidak dituruti, pasti lambat pula Zafran berangkat pulang ke Kuala Lumpur.
Amani serabut mencari idea untuk menunaikan permintaan Zafran.
Setengah jam kemudian, Amani dan
Zafran sudah berada di tepi bendang ditemani oleh Amran dan Syuhada. Asyik benar
Zafran menikmati permandangan petang di bendang Haji Din. Kakinya kelihatan
kekok tatkala memijak selut serta lumpur. Wajah Zafran berkerut-kerut menahan
kegelian. Alahai anak orang kaya ini...
“Chewah! Sejak bila ni? Tak bagitahu
aku pun!” Syuhada sudah menghimpit di sebelah Amani yang sedang duduk di
pangkin kecil. Perasaan ingin tahu yang disimpan semenjak mendapat panggilan
telefon dari Amani petang tadi akhirnya terluah jua.
“Apa dia?” Amani mengerutkan kening.
Pertanyaan Syuhada dijawab juga dengan soalan.
“Ituuuu...” Muncung sedepanya
terarah kepada Zafran yang sedang menyusur bendang ditemani Amran.
“Aku pun tak tahu yang Encik Zafran
tu sukakan bendang!” Amani menjawab selamba.
“Ish, kau ni! Bukan pasal Zafran
suka bendang! Tapi pasal Zafran suka kat kau!” suara Syuhada sudah meninggi
sedikit. Geram pula dia melihatkan Amani yang bersikap acuh tak acuh.
“Kau gila? Baik jerit biar satu
kampung dengar. Aku dengan bos aku tu tak ada apa-apalah. Kau jangan nak
gosipkan yang bukan-bukan,” Amani tergelak melihat memek muka Syuhada. Bukan niat
dia merahsiakan sesuatu dari pengetahuan Syuhada. Hakikatnya dia sendiri berasa
sangat curiga dengan kemunculan Zafran di rumahnya hari ini. Namun dia sendiri
tidak punya jawapan.
Jeritan suara garau menarik
perhatian Amani dan Syuhada. Serentak mereka menoleh ke arah Zafran yang sudah
terduduk di tepi bendang. Wajah pucat Zafran yang sedang memegang betisnya
mengundang cuak di hati mereka. Amani terlebih dahulu sudah berlari mendapatkan
Zafran.
‘Kena patuk ular ke?’ jantung Amani
berdegup laju.
Bersambung! :)
ala sadisnya khidupan amani ni... kesian dia....
ReplyDeleteye..amani ni orang susah....
DeleteHai mcm mana rasa org bandar datang ke kampung ye... itulah penangan
ReplyDeleteorg kampung jgn pandang sebelah mata je ye Zafran. nak lagi cepat
sambung ye...
insyaAllah akan disambung secepat mungkin!:)
Deletekesian,hrp2 berubahla hidup amani sekeluarga lps ni ye......
ReplyDeletejangan lupa ikuti sambungan seterusnya ya!:)
DeleteHabislah boss dah x boleh balik malam nih...
ReplyDeleteTerus boss ajak kawen di bawah sinaran bulan malam nanti...
Biar Bulan Jadi Saksi...
~w.t~
hikhikhik...
Deletetu lahhh...taktik Zafran nak tido kat rumah Amani ni!
:p
Eelehh.. Kna pacat la tu..xpon lintah! Eh, zafran tau ke lintah tu cemana.. Ekekekke
ReplyDeletehahahaha..
Deletehilang trus kemachoan zafran kan!
liya!!! wajib wat sambungan cepat2.....tak sabar nak tunggu ni..hahaha
ReplyDeletehahahaha...
Deletekewajipan yang wajib!
tengah ambil mood!
:p
best best best ! tak sabo nak bace next chapter. hehe :)
ReplyDeleteHuhu...ain...esok ada bab baru!:)
Delete