Orang Cantik dan Orang Hensem

Friday, September 19, 2014

Bab 16 - Main Kahwin-Kahwin

Bab 16
Sebaik masuk ke rumah, dia mengintai pula dari balik langsir. Diperhatikan Adam yang sedang berkata sesuatu kepada Wardah. Tawa yang meletus dari bibir Wardah kuat kedengaran. Wajah Wardah yang gembira membuatkan dia turut tersenyum.
Sehingga ke saat ini Wahid masih dihambat rasa ingin tahu. Membesarkan Wardah sepanjang dua puluh lima tahun ini menjadikan dia seorang yang benar-benar penuh syak wasangka. Semakin besar, semakin banyak akal si Wardah untuk melepaskan diri.
Wardah semakin sukar dikawal dan dijangka tindak tanduknya. Kalau sewaktu kecil dulu dia seorang yang mudah menurut kata, kini segalanya berubah. Arahan atau nasihat Wahid bagai angin lalu yang menyapa cuping telinga. Ada sahaja betahnya!
Bengang! Memang dia bengang. Terasa sukarnya membesarkan anak dara yang seorang ini. Pernah dahulu dia mengamuk sakan apabila mengetahui Wardah berpakaian seperti lelaki. Terasa gagal dirinya mendidik Wardah. Walaupun Wardah menjadikan peristiwa hitam itu alasan untuk melepaskan diri, namun dia tidak boleh terima.
Agama Islam agama yang sempurna. Wanita memang dilarang berpakaian menyerupai lelaki. Dia tidak suka Wardah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah wanita. Pada Wahid, apa yang terjadi pada Wardah adalah satu ujian dari Allah kepada hambaNya.
Hampir sebulan dia mogok bercakap dengan Wardah. Setiap hari dia dijamu dengan drama air mata Wardah. Bukan dia tidak kasihan. Namun hatinya dikeraskan jua supaya peristiwa itu menjadi peringatan kepada Wardah. Hasrat mahu melancarkan perang dingin selama tiga bulan itu akhirnya gagal.
Malam itu lenanya terganggu dengan jeritan kuat dari bilik Wardah. Asalnya dipekakkan sahaja telinganya. Tekaannya pasti Wardah mengunakan helah baru untuk menarik perhatian. Mujurlah Fawwaz memaksanya ke bilik Wardah. Anak gadisnya itu demam panas rupa-rupanya. Wardah meracau-racau sambil badannya menggigil kuat.
Bagai masih terngiang-ngiang di telinganya saat ini butir bicara Wardah yang menjerit –jerit memanggil ibunya. Sesekali Wardah meluahkan rasa tentang ayah yang sudah tak sayangkan dirinya.
Jatuh terduduk dia di tepi katil memeluk tubuh Wardah yang tidak sedarkan diri. Hukuman yang diberi kepada Wardah terlalu berat untuk dipikul oleh gadis yang rapuh jiwanya. Gadis yang tidak cukup kasih sayang seorang ibu. Gadis yang ditinggalkan ibu ketika berusia lima tahun. Tanpa sebarang pesan, tanpa sebarang berita, Farina pergi meninggalkan mereka.
Jiwa lelakinya tidak mengerti gelodak emosi Wardah. Yang dia tahu hanya cara kekerasan untuk membentuk Wardah. Dia mendidik Wardah mengikut caranya yang tersendiri. Dia tersilap langkah. Dia terleka bahawa anak gadisnya itu punya hati dan perasaan. Sama seperti dirinya, Wardah juga merindui Farina.
Pelbagai tohmahan mereka terpaksa telan sejak kehilangan Farina. Kesengsaraan hati mereka tiada siapa yang peduli. Dia sendiri dengan kudrat yang ada membesarkan anak-anak tanpa bantuan sesiapa.
Dia tidak pernah mengeluh apabila perlu bangun awal setiap pagi menyediakan sarapan dan pakaian anak-anak ke sekolah. Dia mengambil alih tugas Farina secara total. Dia masih ingat saat-saat kritikal menangani sikap Wardah di usia remaja.
Seharian anaknya menangis dan mengunci diri di dalam bilik. Bingung dia dan Fawwaz dibuatnya. Malam itu apabila Wardah masih degil memencilkan diri, dia nekad memecahkan pintu bilik Wardah.
Dia terlihat Wardah yang sedang tertidur dengan wajah yang sembab dan pucat. Ada tompokan darah pada katil dan seluar Wardah. Luruh jantungnya saat itu. Dikejarkan anaknya ke hospital. Terjerit pekik dia meminta kesemua kakitangan hospital membantu Wardah. Dia menanti berita di luar bilik doktor dengan hati yang gundah-gulana. Dia perlu bersedia jika doktor ingin mengabarkan berita buruk.
Kecoh sebentar ruang hospital apabila hasil diagnos Wardah diperolehi. Saat dia dipanggil masuk, Wardah sudah kelihatan lebih tenang. Dia masih ingat wajah Doktor Roselina yang tersenyum saat itu.
Dengan tenang doktor muda itu menceritakan tentang kejadian haid bagi setiap gadis yang sudah mencapai usia kematangan. Malam itu dia mendapat ilmu baru. Barulah dia tahu punca Wardah menguncikan diri. Anaknya itu terkejut, takut dan malu dengan perubahan fasa baru dalam dirinya.
Sejak itu dia melengkapkan diri dengan ilmu. Setiap bulan, dibelinya stok tuala wanita yang secukupnya untuk Wardah. Dia minta kawan di sekolah membawa Wardah ke pusat membeli-belah untuk membantu Wardah mencari pakaian dalam yang lebih sesuai.
Dia tanda pada kalendar peribadi miliknya tarikh jangkaan kedatangan haid Wardah setiap bulan. Dia sediakan tuaman air panas untuk Wardah kerana menurut Doktor Roselina, Wardah adalah antara gadis yang akan mengalami sakit senggugut yang teruk apabila diserang haid.
Wahid tersenyum mengenangkan suka-duka dilalui selama dua puluh tahun ini. Bukan seorang dua yang menawarkan diri untuk menjadi pengganti Farina. Namun sehingga ke saat ini hatinya masih sukar melupakan. Masih sukar untuk melepaskan.
Wahid terbayang senyuman Farina. Jika Farina ada saat ini, pastinya wanita itu turut berdiri mengintai dari balik langsir bersamanya. Mereka sama-sama akan memberi komen tentang Adam. To approve, to reject or to be decided later. Wahid kesat air yang mengalir dari tubir matanya.

Pulanglah Farina. Abang sedia menerimamu kembali...

Bab 15 - Main Kahwin-Kahwin

Bab 15
            WARDAH campak baju ke sebelas di atas lantai. Kedua-dua tangannya sudah mula menggaru kepala yang tidak gatal. Mulutnya membebel tanpa henti.
            Gila! Takkan kau nak pakai seluar baggy kau tu? Wardah geleng kepala. Memang menempah maut jawabnya kalau dia berpakaian sebegitu. Sebelum keluar rumah dah jadi arwah agaknya dia nanti disembelih Wahid.
            Wardah bergerak semula ke almari baju. Almari yang tidak pernah berkemas itu bertambah berselerak dengan punggahan baju lama Wardah. Wardah membelek satu persatu baju yang ada. Dia memang sudah lama tidak membeli-belah. Baju yang sama sahaja yang diulang pakai tanpa rasa jemu.
            Stok pakaian yang agak lusuh itu dipandang dengan seribu satu rasa. Sejak setahun yang lalu, dia lebih banyak koleksi pakaian yang menyerupai koleksi Fawwaz. Baju orang lelaki! Jika hendak keluar mengaburi mata ayah dan alongnya, dia lebih senang menyarung baju kurung kain kapas.  Kemudian dia akan singgah di tandas awam dan menyalin pakaian yang lain.
            Mengenangkan janji untuk keluar bersama Adam hari ini membuatkan dia kecut perut. Mustahil pula dia mahu menyarung pakaian seperti lelaki. Walaupun penampilan seperti itu memberikan keselesaan kepadanya, namun dia pasti Wahid akan mengamuk sakan nanti. Bocor pula rahsia yang disimpan rapi selama ini.
            Wardah merenung pula timbunan baju kurung kapas yang berselerak di atas lantai. Serta-merta dia sudah terbayangkan bagaimana dia terpaksa berjalan secara mengepit di dalam kain sempit itu nanti. Lagi best bila dia selalu terpijak kainnya sendiri sehingga hampir terjatuh.
            Haihhh.
            Wardah mengeluh panjang. Lambat-lambat dia menarik keluar sebuah kotak dari bawah katil. Tangannya menyapu selaput habuk yang agak tebal di permukaan kotak. Beberapa kali dia terbersin tatkala serpihan habuk berterbangan di hadapan wajahnya.
            Wardah mengeluarkan satu persatu pakaian dari kotak tersebut. Ada satu rasa yang menyelinap masuk ke dalam hatinya saat itu. Dia masih ingat keputusan yang dibuat dahulu. Segalanya bagaikan tergambar semula di ruang ingatannya.
            Baju-baju yang disimpan di dalam kotak besar itu adalah pakaian rutin yang membaluti tubuhnya dahulu. Sama seperti anak gadis yang lain, dia juga punya sense of fashion. Koleksi pakaiannya selalu up-to-date. Lilitan tudungnya pelbagai gaya.
            Namun kerana peristiwa hitam yang satu itu, Wardah nekad mengubah penampilan. Hematnya, dia boleh melupakan kenangan pahit itu sama seperti dia membungkus rapi koleksi pakaiannya di dalam kotak besar itu.
            Wardah menyapu setitis air mata yang mengalir di pipi. Dia mulai sedar. Dia masih rapuh rupanya. Dia masih belum mampu melupakan apa yang telah berlaku. Dan dia masih hidup ditemani bayang-bayang silam itu.
            Hai la kenangan... Semakin aku lari, semakin hampir kau mengejar. Wardah mengeluh perlahan.   
Tangannya sedikit bergetar tatkala kemeja putih dan skirt labuh berwarna hitam dikeluarkan dari kotak usang. Sehelai selendang hitam bercorak bunga kecil berwarna putih ditarik keluar. Wardah meletakkan pakaian dipilih di atas katil.
            Wardah katup mata. Dia bagaikan terlihat dirinya yang dahulu dalam sepersalinan itu. Kombinasi kemeja dan skirt potongan A itu pernah menjadi kegemarannya. Wardah pujuk hati yang keras.
It’s only for one day, Aimy! Nothing’s going to change...


WARDAH memintal hujung selendangnya. Sesekali anak matanya mengerling ke arah jam di dinding. Punggungnya terasa kebas, kakinya terasa sengal, kepalanya terasa berpinar dan yang paling ketara adalah rentak denyut jantungnya. Kuat menggegar dada bagaikan dipalu gendang.
            Ini bukan kali pertama dia berasa begini. Perasaan ini pernah melanda dirinya ketika menunggu giliran untuk pertandingan debat dahulu. Debaran yang cukup menggila!
            Wardah pejam mata. Aik, rasa nak muntah pun ada ni!
            “Tak sampai lagi Adam?” Wahid menyapa dari anak tangga. Matanya dikecilkan membuang pandang ke halaman rumah.
            “Belum lagi ayah. Janjinya pukul 11 pagi,” Wardah membalas gugup. Bertambah berdebar dirasakan apabila mengenangkan rancangan nakalnya sejak beberapa hari yang lalu. Memang bernasib malang si Adam kerana terjebak sekali dalam komplotnya kali ini.
            Wardah sudah berfikir panjang. Memperkenalkan Adam kepada Wahid hari ini akan memastikan dirinya tidak lagi dikaitkan dengan Hasif yang sengal! Dan andainya dia bijak mengatur strategi, lagi dua atau tiga bulan akan dikhabarkan berita terputusnya hubungan dia dan Adam kepada Wahid.         
            Wardah mahu pura-pura sedih dan terlalu kecewa dengan perpisahan olok-olok itu nanti. Sekurang-kurangnya bila Wahid menyuarakan tentang jodoh, dia boleh beralasan tentang hatinya yang masih sakit mengenangkan hubungan yang tidak kesampaian dengan Adam!
            Wardah ketawa kuat di dalam hati. Bijak betul aku ni! Wardah memuji diri sendiri. Sedikit pun tidak memikirkan tentang hati dan perasaan orang lain.
           

            “Assalammualaikum,”
            Serentak Wardah dan Wahid berdiri dari sofa. Namun Wahid terlebih dahulu sudah melangkah menuju ke pintu.
            “Ayah! No!” Wardah memaut lengan Wahid. Kuat.
            “Aik, kenapa? Bagilah ayah berkenalan dengan kawan kamu tu,” wajah cemas Wardah dipandang lama.
            “Janganlah ayah. Nantilah dulu. Apa kata dia nanti kalau ayah beriya keluar nak berjumpa,” Wardah geleng-geleng kepala. Gabra! Dia bimbang Wahid menyoal lebih-lebih kepada Adam.
            “Assalammualaikum!” suara di luar kedengaran sudah naik satu oktaf. Dari balik langsir kelihatan sesusuk tubuh lelaki sedang mundar-mandir di hadapan pagar. Pastinya resah apabila salam diberi tidak bersahut.
            “Kesian kat Adam tertunggu-tunggu tu, Wardah!” Wahid memegang tombol pintu.
            “Ayah, pleaseeeee! Not today. Wardah dengan Adam tu baru je berkawan ayah. Nanti ayah soal dia macam-macam, takut pula dia!” Wardah berdiri di hadapan pintu. Kedua-dua tangannya didepakan.
            “Ish, kamu ni. Bukannya ayah nak tanya apa pun. Tahulah ayah. Cepat Wardah. Orang bagi salam tiga kali tak berjawab, maksudnya tak ada orang di rumah. Nanti balik pulak si Adam tu,” suara Wahid kedengaran mengugut.
            Wardah tarik muka cemberut. Susah betul nak berlawan cakap dengan bekas guru disiplin. Perlahan-lahan dia menapak ke tepi memberi laluan kepada Wahid. Dadanya kembali berdebar kencang. Dia sendiri belum mengenali Adam dengan secukupnya. Kerja di mana pun dia tidak tahu.
            “Waalaikummusalam,” Wahid membuka pintu. Matanya terus disajikan dengan sesusuk tubuh tegap lelaki bernama Adam di hadapan pagar rumah. Wahid memerhatikan lelaki yang berjalan menghampirinya. Boleh tahan pilihan si Wardah ni.
            “Apa khabar, pak cik?” Adam menghulurkan tangan. Terasa berbaris bulu romanya saat itu.
            “Alhamdulillah sihat. Nak jumpa siapa?” Wahid tayang wajah serius.
            “Hm, saya nak bawa Aimy keluar kalau boleh pak cik,” Adam cuba berlagak tenang. Memang adatnya kena meminta izin dengan bapa Aimy.
            “Aimy?” kening Wahid sudah bercantum.
            “Ye, Aimy,”
            “Aimy mana?”
         Adam telan liur. Perit. Eh, dah kena main ke aku ni dengan Aimy? Adam jeling sepintas nombor rumah teres dua tingkat itu. Ish, betul lah alamatnya ni. Lagipun dia gunakan GPS tadi. Adam gosok belakang tengkuk. Gelisah.
            “Hm, tak apalah pakcik. Err... saya salah rumah kot ni,” Adam sudah berkira-kira mahu berpatah balik ke arah keretanya.      
“Wardah!” Wahid memanggil kuat. Dari celah pintu muncul Wardah dengan wajah yang sedikit pucat. Terkulat-kulat berdiri di tepi dinding rumah.
Langkah Adam terhenti. Riak wajahnya bertukar kembali ceria.
            “Yang ini ke yang kamu cari?” Wahid tenung wajah Adam. Dia menahan gelak melihat Adam yang terangguk-angguk dengan senyuman bukan main lebar.
            “Oh, yang ini... Ni namanya Aimy Wardah,” Wahid memeluk bahu Wardah. “Nak pergi mana bawa anak dara pak cik ni?”
            “Pergi makan dekat Empire Subang, pak cik. Lepas tu sebelum Maghrib insyaAllah saya hantar semula,” Adam menjawab sopan.
            “Hm, okay. Jaga diri baik-baik. Jangan buat bukan-bukan...”
            “Ayahhhh!” keras suara Wardah memotong ayat Wahid. Mulalah tu ayah ni...
            “Iya pakcik. Saya jaga baik-baik. Err, pakcik nak ikut sekali jomlah?” Adam pelawa ikhlas.
            Tertawa kecil Wahid dengan pelawaan Adam. Dia bukanlah overprotective sangat sehingga mahu mengikut mereka. Namun pertama kali melepaskan Wardah pergi dengan kawan lelaki, buat dia rasa bimbang juga.
            “Tak apalah. Petang-petang Sabtu macam ni pakcik tunggu filem Bollywood. Kamu hantar balik anak pakcik dengan selamat cukuplah,” Wahid tersenyum. Sekilas dia melihat raut wajah Adam, dia merasakan lelaki itu dari kalangan orang yang baik-baik.
            “Ye pakcik. Kami gerak dulu ye?” Adam menyalami Wahid sekali lagi. Wardah juga berbuat demikian.
            “Orang keluar kejap tau. Petang nanti orang balik. Ayah nak apa-apa tak? Nak orang tapau apa?” Wardah terkial-kial menyarung sneakers kegemaran pada kakinya.
            “Ish tak payah. Petang nanti adalah Mak Cik Sari hantarkan karipap inti daging tu,” Wahid berlalu masuk ke rumah. 

Thursday, September 11, 2014

Bab 14 - Main Kahwin-Kahwin

Assalammualaikum semua! Dah lama sangat saya tak menulis. Kalau nak baca Bab 14 ni, apa kata baca dulu Bab 13? Saya ada update sikit Bab 13. Tenkiuuuuu!

ADAM gosok mata. Hesy! Biar betul? Dari pembaringan dia sudah duduk bersandar pada sofa. Tidak lama kemudian dia bingkas berdiri dan berjalan mundar-mandir di ruang tamu.
Sekali lagi jarinya dilarikan di atas permukaan skrin telefon bimbit. Bait-bait kata yang tertulis dalam mesej ringkas itu diulang baca beberapa kali. Walau terasa sukar untuk mempercayai, namun dia yakin mesej itu memang ditujukan kepadanya. Kan ada nama Adam tu? Adam meyakinkan diri.
Sudah berhari-hari mereka tidak berhubung. Kalau diturutkan rasa hatinya, ada sahaja yang ingin dia tanyakan.
Tengah buat apa?
Dah makan?
Makan apa?
Rindu saya tak? Jom kita keluar? Heh.
Tapi dia segan. Mengenali Aimy melalui mesej-mesej yang dikirim, dia pasti gadis itu sangat berbeza. Bagai jinak-jinak merpati. Dirapati boleh, nak ditangkap tak dapat. Sebab itulah dia mengambil sikap berhati-hati. Bimbang nanti terus berputih mata.
Namun kiriman mesej Aimy sebentar tadi membuai rasa di hatinya. Walaupun ayatnya ringkas sahaja, namun itu sudah cukup untuk membuatkan dia rasa gembira. One step closer. Mungkin angin malam telah membisikkan kata rindunya kepada gadis itu.
Adam mengukir senyuman. Jangan nak berangan sangatlah, Adam! Hatinya berbisik sendiri.  Gadis bernama Aimy itu baru sahaja mengajak dia keluar, namun angan-angannya sudah jauh mendaki langit. Kalau terjatuh kali ini bukan setakat sakit, silap-silap tak bangun langsung semangatnya nanti.
Dia tidak tahu sejauh mana hubungan mereka boleh dibawa. Namun tak salahkan mencuba? She’s definitely one in a million, and it is a worth try rather than giving up now.
            Adam mencapai gitar yang disandarkan pada dinding rumah. Dia menggosok badan gitar yang sudah berhabuk seinci itu. Entah berapa lama dia tidak menyentuh gitar kesayangannya itu. Dia sendiri tidak pasti.
            Adam memejamkan mata. Terus dia tenggelam dalam dunianya sendiri.  Jemarinya mula mengetik tali-tali halus pada badan gitar. Dalam kesyahduan malam itu, suara serak Adam kedengaran memecah kesunyian.

Sering kali hati tertanya
Tiap saat kita bersama
Sampai bilaku harus memendam rasa

Jemari Adam terhenti sebentar. Dia berdehem beberapa kali. Terasa perit tekaknya setelah lama tidak menyanyi. Tidak lama kemudian jemarinya kembali menyambung pada not yang terhenti.

Tak pernahku merasai
Bibir terkunci
Jiwa bergelora rasa tak percaya
Adakah ku bermimpi
Mimpi di siang hari

 Dirimu...
 Telah lama kunantikan
 Wajah yang bermain
 Di mimpi-mimpiku
 Hidupku...
 Kini bagaikan penjara
 Tanpamu di sisi ku tak bermakna

 Mungkinkah akan terjadi
 Dirimu aku miliki
 Berilah tanda kepastianmu
 Namun jika tak tercapai
 Harapanku...
 Selama hayat dirimu tetap kusanjungi
                                   
            Penuh penghayatan Adam mengalunkan lagu itu. Entah mengapa dia berasa begitu syahdu ketika itu. Bagai tersentuh hati keras lelakinya. Adam membuka matanya. Sepintas wajah Aimy terbayang di hadapannya.
            Ah, gila! Memang gila.
            Dia mengerti mengapa Hasif mempersendakan perasaannya ketika mereka bertemu dahulu. Hanya kerana kejadian di Sacc Mall hampir sebulan yang lalu, dia sudah meletakkan Aimy di tempat yang cukup istimewa di dalam hatinya. Benarlah kata orang.
Love is a mystery. You will never know who, how, and when you are going to fall for it.
            Adakah ini cinta? Atau sekadar persinggahan sementara buat mengisi hatinya yang sudah terlalu lama dibiarkan terkunci rapi? Adam sendiri tidak punya jawapan.
            Satu yang dia pasti, setelah hampir lima tahun, Aimylah gadis pertama yang membikin hatinya penasaran. Setelah begitu lama, inilah kali pertama dia terasa bersedia untuk menjemput masuk seorang gadis ke dalam lubuk hatinya.
Ya, begitu saja. Semudah itu. Dan dia tidak punya penjelasan.
            Love is a mystery. Remember?