Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, April 2, 2012

Bab 3

    Sudah hampir setengah jam Amani berdiri di hadapan cermin. Sesungguhnya dia tidak punya banyak baju. Dia hanya membawa sepuluh pasang baju kurung. Itu pun ada yang dicilok dari adiknya. Mereka bukan orang ada-ada yang boleh bertukar baju setiap bulan. Yang penting cukup makan setiap hari. Dan...cukup kasih sayang. Wajah emak dan adik-adiknya terbayang di mata. Waktu begini mesti riuh rendah emak mengejutkan mereka solat subuh berjemaah. Amani berasa sayu.

    Dia tidak biasa berpisah dengan keluarga. Seumur hidupnya dua puluh tiga tahun ini, dia hanya tinggal di Kampung Selayang. Cuma apabila keadaan ekonomi keluarga semakin menghimpit, dia terpaksa berkorban untuk ke bandar mencari wang tambahan. Adik-adik yang semakin membesar dan bakal melanjutkan pelajaran memerlukan pembelanjaan wang yang banyak. Emak yang sudah berusia lebih separuh abad juga sudah tidak kuat untuk melakukan kerja seperti dulu.

    Bukan emaknya tidak risau melepaskan dia ke Kuala Lumpur. Mujurlah ada teman sekampung di sini yang boleh ditumpang kasih. Syuhada merupakan kawan baiknya yang bekerja di Hotel Valencia. Bilik sewa Syuhada tidak seluas mana, sesuai dengan pendapatan yang sederhana. Namun Amani cukup bersyukur diberi peluang menumpang tidur buat sementara waktu.

    "Kau buat apa lagi tu Amani? Nanti lambat masuk kerja. Hari pertama kena jaga imej, beb," Syuhada menegur dari belakang.

    "Eiii...aku tak tahulah nak pakai baju apa. Bos aku tu poyo sangat la. Koleksi baju yang paling lawa aku pakai semalam pun dia kata menyakitkan mata dia. Kalau aku pakai yang ini mahu berdarah mata dia. Silap-silap boleh jadi buta agaknya!" Amani mengacukan sepasang baju kurung yang sudah pudar warnanya.

    Syuhada berasa kasihan. Dia juga berasal dari kampung. Bezanya dia punya bapa yang dapat menambahkan pendapatan keluarga. Berbeza dengan Amani yang sudah kematian ayah. Sewaktu mereka di bangku sekolah dulu hanya emak Amani yang menampung nafkah keluarga. Amani dan adik-beradiknya sering saja dimarahi guru kerana lewat membayar yuran persekolahan. Namun Amani dan adik-adiknya semua lulus cemerlang. Malah keputusan Amani jauh lebih baik darinya. Cuma nasib yang membezakan mereka. Dia dapat menyambung pelajaran sehingga ke peringkat Diploma Perhotelan di UITM. Sedangkan Amani terpaksa menolak tawaran belajar dan tinggal di kampung untuk membantu emaknya.

    Syuhada melangkah ke almari pakaiannya. Dia mencari-cari pakaian yang sesuai untuk dipinjamkan kepada Amani. Sepasang baju kurung polos berwarna ungu dikeluarkan. Dia menuju pula ke arah laci tetingkat di mana koleksi tudungnya di simpan. Sehelai tudung awning ala Ariani dikeluarkan. Dia sendiri tak mampu memiliki tudung mahal dari butik-butik terkenal. Tudung pasar malam juga yang menjadi pilihannya.

    "Nah. Cuba kau pakai ni. Kita pun lebih kurang saja saiz kan. Warna ungu ni kan warna kesukaan kau," Syuhada cuba mengambil hati Amani. Amani berasa serba salah. Sudahlah menumpang tidur, baju pun terpaksa dipinjam dari Syuhada. Tak tahu malu betul, rasanya!

    "Ish, tak naklah aku susahkan kau lagi Syuhada. Nanti lama-lama kau menyampah pulak dengan aku," Amani menolak lembut perlawaan Syuhada.

    "Apa sangat lah bantuan aku ni Amani. Sekurang-kurangnya kalau kau pakai baju aku ni, kita dapat menyelamatkan sepasang mata daripada menjadi buta!" Amani turut tersengih mendengarkan kata-kata sahabat baiknya itu. Dengan bingkas dia bersiap untuk ke tempat kerja.

    Beberapa kali dia melihat penampilan dirinya sendiri di hadapan cermin. Baju polos dipadankan dengan tudung bercorak abstrak itu menampakkan dia lebih berketrampilan. Walaupun tidak setanding dengan pakaian orang lain, namun dia sudah cukup bersyukur. Diharap penampilannya hari ini dapat mengunci mulut si Zafran daripada mengeluarkan komen-komen pedas yang menghiris hati.

    "Manisnya!Silap-silap bos kau tu jatuh hati pulak nanti," Syuhada mengusik Amani.

    "Hah, dari kahwin dengan orang macam dia, baiklah aku kahwin dengan Razak anak Pak Dolah kat kampung kita. Biar miskin harta Syu, jangan miskin budi pekerti," Amani memuncung panjang. Ikat dengan riben pun boleh.

    "Iyalah tu. Dah tu kenapa kau tolak pinangan Razak tahun lepas?" Syuhada pantas mengenakan Amani. Amani pura-pura tidak mendengar soalan Syuhada.

    "Aku dah lewat la Syu. Terima kasih sebab baik hati sangat-sangat bagi aku pinjam baju kurung moden ni. Kau memang sahabat dunia akhirat," Amani memeluk bahu Syuhada.


 

    "Sama-sama. Lain kali kau nak pinjam baju aku ambil je. Aku tak kisah. Eh, kau ingatkan stesen tren yang kau kena turun nanti? Jangan dok berangan sampai terlepas stesen pulak. Hati-hati dengan orang sekeliling kau. Tren tu nanti padat mengalahkan tin sardin cap ayam. Jaga barang-barang dan diri jangan sampai kena raba," Syuhada berasa bertanggung jawab tentang keselamatan Amani. Dulu masa dia mula-mula sampai di Kuala Lumpur, dia umpama rusa masuk kampung. Dia bimbang akan keselamatan Amani.

    Amani tersenyum. "InsyaAllah Syu. Aku selalu amalkan baca ayat kursi sebelum keluar rumah. Moga Allah melindungi setiap langkah kita hari ini. Kau kerja syif malam ye hari ini? Esoklah nampaknya kita baru jumpa kan. Aku pergi dulu. Assalammualaikum," pamit Amani.

MEGAH HOLDINGS tersergam indah di hadapan matanya. Dia sampai awal hari ini. Jaga imej bak kata Syuhada. Melissa juga masih belum sampai sewaktu Amani melewati front desk itu. Seluruh ruang pejabat kelihatan sunyi.

    'I want my coffee on my table when I arrive.'

Kata-kata Zafran bagaikan terngiang-ngiang di telinganya. Amani melangkah ke arah pantry. Ruang yang sederhana luas itu dilengkapi dengan meja bulat untuk empat orang, peti ais, mesin pemanas air, pembakar roti dan rak dipenuhi pinggan dan cawan.

Amani memanaskan air dan mengeluarkan cawan. Dia memasukkan sepeket kopi segera dan menuangkan air panas.

'Hai lah kopi. Minta-mintalah kena dengan selera si poyo tu,' Amani berkata sendiri.

Selepas menghidangkan secawan kopi di atas meja Zafran, Amani mengemas meja serta bilik pejabat itu ala kadar. Semuanya tampak kemas serta teratur tatkala pekerja lain mula sampai.

Amani mengambil tempat di meja yang dahulunya milik Munirah. Meja yang terletak dekat dengan pintu masuk bilik Zafran itu tersusun kemas. Amani melabuhkan punggung di atas kerusi merah itu. Di belakang tempat duduk Amani terletaknya almari yang dipenuhi dengan fail pelbagai warna. Dia pasti perlu menghafal kesemua kegunaan fail-fail itu nanti.

Amani jadi serba salah. Tidak ada kerja yang boleh dilakukan. Dalam masa yang sama hatinya berdebar menanti ketibaan Zafran. Dia membetulkan tudung supaya lebih kemas dan tidak mengundang sakit mata kepada Zafran.

Amani terdengar suara beberapa pekerja yang mengucapkan selamat pagi. Amani pasti Zafran sudah tiba. Dia terkenangkan kata-kata Syuhada yang perlunya menjaga imej di hari pertama. Amani berkorbar-korbar mahu menunjukan sikap pekerja yang terpuji supaya Zafran tidak lagi memandang rendah kepada kemampuannya.

Sepantas kilat tangannya mencapai beberapa lembaran dokumen di dalam laci. Amani pura-pura menelaah isi kandungan dokumen yang entah apa-apa itu tatkala Zafran melewati mejanya. Matanya saja ditala ke atas kertas, sedangkan tumpuannya bukan di situ.

*     *    *    *    *    *    *    *    *    *


 

Zafran berhenti sebaik menghampiri meja setiausaha barunya. Dia meneliti penampilan Amani dari atas ke bawah.

"Assalammualaikum. Selamat pagi Encik Zafran," Amani bingkas bangun tanda hormat kepada bosnya.

"Morning. Where is my coffee?" Zafran masih memerhatikan Amani yang kelihatan gugup.

"Saya dah letakkan atas meja macam yang Encik Zafran pesan semalam," Amani memberanikan diri memandang ke wajah majikannya. Aduh kacaknya! Zafran yang berkemeja tangan panjang kelihatan sungguh mempesonakan seperti bintang filem. Wangian maskulin menusuk ke hidung Amani.

"Good. Tolong carikan surat tawaran tender daripada Berjaya Holdings dan buatkan dua salinan untuk saya," Zafran melangkah beberapa tapak ke arah biliknya sebelum berhenti dan berpaling ke arah Amani.

"Hebat ya awak boleh baca tulisan terbalik. You should have added that in your resume," Zafran tersenyum sinis sebelum hilang di balik daun pintu.

Amani melihat ke arah dokumen yang dipegangnya dari tadi. MasyaAllah! Pegang kertas pun terbalik. Ada hati nak tunjuk rajin depan bos! Amani mengutuk diri sendiri. Pipinya terasa hangat menahan malu. Apa pula yang ada di fikiran Zafran tentang dirinya kali ini.

No comments:

Post a Comment