Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, July 26, 2012

Bab 22


Bab 22

            ZAFRAN membukakan pintu tempat duduk penumpang untuk Amani. Senyuman lebar menghiasi wajah kacaknya yang terlebih ceria semenjak bergelar tunangan orang.
            “Silakan tuan puteri Amani!”
            “Amboih along tu. I’ve never seen this happy face for such a longgg time! Pandai betul kak Amani lembutkan hati along Zuryn ni!” sebelah tangannya sudah memegang Amani dan sebelah lagi memeluk lengan alongnya.
            Amani tersenyum malu. Ramah benar bakal adik iparnya yang bernama Zuryn ini. Baru pertama kali bersua wajah beberapa jam lalu di KLIA, namun lagaknya seperti sudah lama mereka saling mengenali. Walaupun belajar di luar negara, penampilan Zuryn tetap sopan dan bertudung litup. Bezanya cara lilitan yang dikenakan Zuryn lebih bergaya dan moden. Nampak gayanya keluarga Zafran semuanya bergenetik peramah dan islamik. Cuma Zafran yang sedikit terpesong di awal perkenalan dulu.
            “Tepilah! Ish, lembab betul berjalan!” Syuhada menjeling tajam ke arah Ilham. Jalan lenggang-lenggok macam itik pulang petang. Ingat comel la tu?
            Amani dan Zafran berbalas pandangan. Entah apa sahaja yang digaduhkan mereka berdua ini. Ada sahaja yang tidak sebulu. Sewaktu memilih kain pasang untuk pengapit juga mereka berbalah sampai naik pening kepala jurujual yang melayan. Pengantin pun tidak secerewet pengapit ketika memilih kain!
            “Kenapa ni Syu? Dah lama tak tengok kau marah-marah macam ni?” Amani berbisik sedikit kepada Syuhada. Dijeling sepintas ke arah Ilham yang sedang ditenangkan oleh Zafran.
            “Eiii, aku tak boleh tahanlah dengan muka kerek dia tu. Asyik nak dengar cakap dia je. Kau tengok tak tadi? Suka-suki je nak pilih warna kain tak tanya aku. Pantang aku bukak mulut, ada je yang dia nak laser balik! Eiii! Geram!” Syuhada mengepal penumbuk. Mahu sahaja dia menumbuk muka Ilham yang suka tersenyum mengejek itu. Memang dia dah agak, lelaki berbaju Melayu yang memandang poyo ke arahnya sewaktu pertunangan Amani adalah spesis yang suka minta penumbuk!
            “Alah, biarkanlah. Janganlah marah-marah macam ni Syu. Aku janji, lepas majlis kahwin nanti kau dah tak payah jumpa muka kerek tu lagi tau. Dah, senyumlah sikit. Zafran kata nak bawa kita makan tempat special kejap lagi,” Amani mengambil hati Syuhada. Tidak mahu dilihat rajuk Syuhada yang berpanjangan. Yang sebenarnya dia memang tidak faham apa sahaja yang digaduhkan oleh Ilham dan Syuhada. Padanya, Ilham seorang yang merendah diri dan kelakar. Namun apabila berdekatan dengan Syuhada, kedua-duanya umpama naga yang dirasuk. Sama-sama saling menyembur api!
            “Hah, this is the restaurant! Kak Amani suka makan sushi tak? This place serves the best sushi in KL tau!” Zuryn tersengih menampakkan dua baris gigi yang dipakaikan pendakap besi. Walaupun sudah berusia dua puluh tahun, tetapi perangai keanak-anakan serta manjanya masih menebal lagi. Maklumlah, anak bongsu kesayangan keluarga.
            Wajah Amani sudah berubah sedikit. Sushi? Ini ke tempat istimewa yang dimaksudkan oleh Zafran tadi? Tak istimewa pun! Ah, suka sangat makan benda-benda mentah! Amani terbayangkan stik yang pernah dimakan di restoran mewah bersama Zafran dulu. Lambat-lambat Amani mengangguk juga kepada Zuryn.
            “Suka juga Zuryn!” senyuman tak berapa nak ikhlas terukir di bibir Amani.
            “Great! Along ni suka gila makan suhsi tau! Bolehlah kak Amani temankan along selalu,” Zuryn sudah mengambil tempat paling hampir dengan belt, tempat di mana sushi bergerak mengelilingi meja pelanggan. Amani menuruti saja dan duduk di sebelah Zuryn. Tak ada feel langung untuk makan!
            “Awak suka yang mana? Nak order from menu atau ambil yang atas belt je?” Zafran melabuhkan punggung di sebelah Amani. Buat-buat tidak nampak pada wajah mencuka Syuhada dan Ilham yang duduk bertentangan dengan mereka. Duduk bersebelahan pula tu!
            “Tak apa. Saya ambil dari belt aje lah,” Amani memaniskan wajahnya kepada Zafran. Hai lah tunang... Kan bagus kalau kita makan nasi gulai tempoyak waktu ini? Tentu lebih mengenyangkan.
            Amani menjeling ke arah Zuryn yang sudah menelan tiga ketul sushi. Zafran dan Ilham juga sudah mula menikmati hidangan yang dipesan dari menu. Ah, Syuhada pun sudah mengambil dua piring sushi dari belt. Sahabatnya itu kalau namanya makan free memang seleranya menjadi-jadi. Lupa terus pada marah yang membara tadi agaknya.
            Setelah memerhatikan puluhan piring yang berlalu, akhirnya Amani mencapai sepiring sushi yang tidak diketahui namanya itu. Empat biji sushi berbentuk empat segi yang disusun cantik itu tetap tidak dapat mengumpan seleranya. Namun dikuatkan juga semangat untuk menjamah demi memahami selera tunang serta bakal adik iparnyanya.
            Tangan Amani bergetar apabila mencapai sepasang chopstick. Makan menggunakan garfu dan pisau pun dia tak pandai, inikan pula menggunakan chopstick! Entah beberapa kali sushi yang dikepit jatuh semula. Mujurlah mereka-mereka ini begitu khusyuk menikmati hidangan masing-masing.
            Dengan rasa kurang sabar, Amani mencucukkan salah satu batang penyepit pada badan sushi. Terus diangkat dan disuap ke mulut. Selesai masalah! Amani mengunyah dengan perlahan. Cuba dinikmati kesedapan yang digembar-gemburkan oleh Zuryn sebentar tadi. Hmm, boleh tahan! Rangup betul benda yang sedang digigitnya itu. Apa agaknya ya?
            “Oh, awak suka yang tu eh? Baby octopus tu crunchy kan? Tak sangka sayang makan jugak yang raw!” Zafran menyumbat mee udon ke dalam mulutnya. Senang hatinya dapat membawa Amani menikmati sushi di restoran terkenal ini. Sememangnya dia sendiri selalu ke sini jika tekaknya gatal-gatal nak makan makanan Jepun. Tidak kisah berbelanja lebih asalkan sedap.
            Amani sedaya upaya mengawal diri. Baby octopus? Raw?? Argh! Tekaknya loya dengan tiba-tiba. Dari ‘boleh tahan’ sekarang dia sudah ‘tak boleh tahan’. Hendak diluah terasa kurang ajar pula macam tidak belajar adab makan. Penyudahnya Amani telan juga dengan mata sedikit berair.
            Syuhada yang perasan akan perubahan wajah Amani berasa simpati. Sepanjang dia mengenali Amani, lidah gadis itu memang lidah kampung. Makanan yang pelik-pelik begini memang sukar tekak Amani bertoleransi. Lainlah dirinya, bekerja di hotel membolehkan dia berbaik-baik dengan chef dan menyelinap masuk ke dapur hotel sekali-sekala. Jadi tekaknya itu memang sudah dilatih untuk menerima pelbagai jenis makanan. Tekak universal!
            “Cuba letak wasabi sikit Amani. Nanti ada rasa pedas-pedas sikit,” Syuhada menolak bekas wasabi kepada Amani. Sekurang-kurangnya kepedasan wasabi boleh menghilangkan rasa mentah pada sushi tersebut. Syuhada mengukir senyuman simpati.
            “Ilham, tolong ambil yang tu,” Syuhada menunding ke arah sepiring sushi yang tidak sempat dicapainya. Ilham buat-buat tidak faham. Memang sengaja dia ingin menyakitkan hati gadis itu. Piring merah dibiarkan berlalu pergi. Wajah tidak bersalah ditayang kepada Syuhada.
            “Kau ni! Saje je kan?!” Syuhada menjeling tajam. Menyesal pula meminta pertolongan dari mamat sengal itu tadi.
            “Ada tangan, ambiklah sendiri!” Ilham membalas jelingan Syuhada. Apa ingat kau sorang boleh jeling-jeling? Memang geramnya pada Syuhada semakin menjadi-jadi. Di kedai kain tadi selamba saja Syuhada memilih warna striking untuk mereka. Takkan tak nampak yang aku ni tampuk-tampuk si hitam manis? Manalah sesuai! Lainlah dia tu, kulit putih melepak. Minah saleh celup ke apa dia ni? Ilham menjeling lagi ke arah Syuhada yang sedang menyumbat sushi.
            “Argh!”
            Empat pasang mata terpaku memandang Amani. Wajah Amani yang sudah merah dengan sepasang mata yang berair itu menyebabkan mereka kaget tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Lebih dramatik lagi apabila Amani tercungap-cungap seperti sesak nafas. Keracunan makanan ke apa ni? Syuhada terpandang sisa wasabi yang terdapat pada pinggan Amani. Ya Allah! Banyak mana yang Amani letak? Kau ingat ni mayonis ke boleh letak banyak-banyak??? Dengan pantas Syuhada menghulurkan segelas air kosong kepada Amani.

           
            “Awak okay?” Zafran menghulurkan secawan lagi air kepada Amani. Cuaknya bukan main lagi tadi apabila dilihat Amani sukar bernafas. Kalau dia tahu Amani tak makan sushi, memang takkan dibawa Amani ke tempat begini. Rasa bersalah mengetuk pintu hatinya.
            “Hmm, okay,” Amani menggangguk dengan lemah. Kalau boleh ingin saja direndamkan wajahnya ke dalam mangkuk tandas. Malunya bukan kepalang kepada Zafran, Ilham dan Zuryn. Tidak tahu di mana hendak disorokkan wajahnya di kala ini. Dengan Syuhada dia tak kisah sangat. Sudah banyak perkara memalukan disaksikan oleh sahabatnya itu.
            “Kak, kita makan tempat lain ye. Kalau Zuryn tahu kak Amani tak makan sushi, tak adalah Zuryn sokong cadangan along tadi. Along ni pun satu! Takkan tak tahu apa yang tunang sendiri suka atau tak?” Zuryn mengusap belakang Amani. Kalau ikutkan memang dia hendak ketawa bila melihat wajah Amani tadi. Macam hendak meletup. Tapi mujurlah dia dapat mengawal diri. Kalau terjadi apa-apa kepada Amani tadi, pastinya dia akan terkena tempias kemarahan Datin Nuraina. Kak Amani itu sememangnya bakal menantu kesayangan Umi!
            Ilham dan Syuhada muncul setelah selesai membuat bayaran. Wajah tegang kedua-duanya merupakan isyarat terjadi lagi perbalahan sebentar tadi.
            “Kau okay tak ni?” Syuhada mendekati Amani. Rasa marah kepada Ilham yang membuat dajal sebentar tadi cuba dibuang-buang jauh. Nasib baik aku tak jatuh tadi! Jagalah kau mamat sengal!
            “Okay, okay. Dah, jomlah cari bunga tangan tu,” Amani menjawab untuk kesekian kalinya.
            “Eh, along bawalah kak Amani makan. Biar kami aje yang cari bunga tangan tu ya. Nanti lagi sejam kita jumpa semula kat sini,” Zuryn mencadangkan idea bernas. Seolah-olah mengerti jeritan batin dari perut Amani yang masih kosong.
            “Eloklah tu. Nah ambil ni. Kalau tak cukup call along nanti,” Zafran menghulurkan beberapa keping not lima puluh ringgit kepada Zuryn. Bijak betul adiknya yang seorang ini! Nampak gayanya dapatlah dia dating berdua-duaan dengan tunang tersayang. Dating yang pertama untuk mereka!
            “Awak, maaf sebab memalukan awak. Saya ni orang kampung. Tak pandai nak makan sushi yang awak suka tu. Awak tak menyesal ke dengan keputusan awak ni?” Amani meluahkan rasa selepas mereka ditinggalkan berdua. Emo pula dirasakan saat ini.
            “Amani Ahmad, saya suka awak sebab diri awak ni. Awak tak perlu nak ubah apa-apa untuk saya. Saya terima awak seadanya. Lain kali, kalau awak tak nak atau tak suka apa-apa, beritahu saya. Okay?”
            “Hmm... Awak takkan marah macam... hm, macam dulu?” Amani bersuara perlahan. Kalau dulu, apa saja kata Zafran tidak boleh disangkal. Kalau nak kenyang dengan makian bolehlah. Kalau tidak dijerkah, pastinya Zafran suka mengugut untuk memotong gajinya. Ancaman-ancaman sebegitu sudah terlalu sebati dalam dirinya.
            Zafran menggeleng lembut. “Saya takkan marah. Bertambah sayang adalah! Sekarang ni awak beritahu saya, sayang saya ni nak makan apa?” Zafran membetulkan hujung tudung Amani yang ditiup angin. Selaut kasihnya tumpah tidak bertepian untuk gadis ini. Dia ingin sekali mengikis kenangan layanan buruk yang pernah diberikan dahulu. Sesungguhnya dia terhukum dengan rasa penyesalan yang tiada penyudahnya sejak dari hari pertama dia mula jatuh hati kepada Amani.
*                      *                      *                      *                      *                      *
            “Lamanya! Bersolat ke bersolek yang lebih ni? Sampai bertanduk menunggu korang!” Ilham melancarkan serangan selepas tiga puluh minit berjauhan dengan Syuhada.
            Syuhada sekadar tersengih. Bukan kau memang dah bertanduk ke? Bercabang tiga lagi. Baru lepas solat pun masih nak ajak bertikam lidah. Tak dapat hidayah ke apa dia ni?
            “Maaf Ilham. Bukan salah Syu. Tadi ada sorang kakak tu minta tolong tengokkan anak dia sementara dia nak solat. Tu yang kami lambat sikit tu. Seronok pula melayan anak dia,” Amani menerangkan perkara sebenar. Bimbang tercetus lagi perbalahan yang membingitkan telinga.
            “Eh, aku okay je Amani. Kitaorang pun baru je lagi tunggu sebenarnya. Tadi kami lepak kat Coffe Bean,” Ilham menggaru kepala yang tidak gatal. Sudah tersalah sasaran pula nampaknya.
            “Ha, tahu pun cakap elok-elok! Orang lepas solat ni sepatutnya hati dan mulutnya sentiasa menuturkan perkara-perkara yang baik. Tapi kalau hati dah sama kaler dengan kulit tu memang tak boleh nak buat apalah tu,” Syuhada menyindir tajam. Sengaja disentuh isu warna kulit Ilham. Sensitif sangat pasal kulit dia tu. Padahal okay je aku rasa orang lelaki kulit gelap macam tu. Kalau putih sangat dah jambu semacam pulak!
            Ilham menelan liur. Ish. Geram betul la aku dengan minah ni. Patutnya aku sumbat mulut dia dengan wasabi! Biar meletup kepala dia tu!
            “Ha, sudah! Jangan nak berbalah lagi. Majlis kami ni tinggal lagi  dua minggu je ni. Hari kenduri nanti jangan korang nak berperang pulak. Rosak majlis nanti!” Zafran bersuara tegas. Masing-masing dah besar tapi perangai mengalahkan budak-budak! Dia sudah berjalan menyaingi Amani dan Zuryn yang sudah ke hadapan.
            “Along, pandai tau kak Amani jaga budak. Budak tadi tu asyik nak berkepit dengan kak Amani je. Tak sabarnya Zuryn nak jadi aunty!”
            “Eh, takkan Zuryn tak tahu? Kakak ipar Zuryn ni memang semulajadi disayangi semua orang. Tak kira peringkat umur!” Zafran memandang ke arah Amani. Terbayang rupa anak-anaknya yang bakal dilahirkan oleh Amani kelak.
            “Awak! Budak tu comel sangat! Anak kacukan tau. Dengan mata birunya, rambut perang. Hidung mancung. Rasa nak culik sehari dua!” Amani menggambarkan rupa anak kecil yang begitu manja dengannya. Ibunya pun ramah. Sempat pula mereka bertukar nombor telefon sebentar tadi.
            “Kalau awak nak tahu, gabungan genetik kita nanti pun mesti hensem macam saya dan cantik macam mamanya!” Zafran sudah mula berangan. Kalau boleh dia ingin memiliki anak yang ramai bersama Amani.
            “Ye ke? Bukan garang macam papanya?” Amani mengusik Zafran. Riak merajuk  terpamer di wajah Zafran. “Alolo... Saya gurau ajelah. Sebelum nak ada anak, kita kena ambil amali dulu untuk jaga budak. Nanti saya pinjam anak kak Nurul untuk kita jaga!”
            “Kak Nurul?” Zafran berkerut kening.
            “Aah. Kakak di surau tu namanya kak Nurul. Nama anaknya Emir Luqman. Sempat pulak kami berkenalan tadi,” Amani memasuki kereta. Sedikit pun dia tidak perasan akan perubahan di wajah Zafran. Fikirannya masih sarat dengan keletah manja Emir Luqman. Comelnya ya ampun!
            Zafran tersentak. Emir Luqman? Walaupun itu hanyalah nama khayalan yang pernah dicipta oleh dia dan Natrah, namun ia tetap terkesan di hati. Kak Nurul? Nurul Natrah? Ah, takkanlah! Zafran menggelengkan kepala sebelum meloloskan diri ke tempat duduk pemandu.

*                      *                      *                      *                      *                      *
Natrah berselindung di balik tiang sebaik sahaja kereta Mercedes yang dipandu oleh Zafran melintas di hadapannya. Debaran di dada cuba dikawal sebaik mungkin. Hatinya berbunga dapat melihat wajah Zafran dengan jelas hari ini. Terlepas rindu yang sarat dipikul sejak beberapa tahun yang lalu.

Rasa syukur dipanjatkan ke hadrat Ilahi. Tidak sia-sia dia menurut permintaan Emir untuk keluar ke Paradigm Mall hari ini. Selepas buntu memikirkan jalan untuk menghubungi Zafran, siapa sangka dia akan dipertemukan dengan lelaki itu hari ini. Walaupun hatinya bagaikan disiat-siat tatkala terlihatkan aksi romantis Zafran yang membetulkan tudung seorang gadis pada waktu itu, namun dia tetap bersyukur. Allah telah memakbulkan doanya!

Lebih hebat lagi apabila gadis itu turut sama bersolat di surau dengannya. Begitu ramah menegur serta melayan karenah Emir. Segalanya bagaikan dipermudahkan oleh Allah. Jalan penyelesaian bagaikan terbentang luas di hadapannya. Walaupun hatinya bagaikan digilis treler tatkala mengetahui Amani adalah tunang Zafran, namun rasa itu dibuang jauh-jauh.

Ya, Amani telah menggantikan tempatnya di hati Zafran. Kebahagiaan yang sepatutnya menjadi miliknya sudah pun menjadi milik Amani. Dia redha. Kerana itu adalah ketentuan Allah. Dia tidak akan merampas hak Amani. Apa yang dia mahukan adalah sedikit ruang untuk dia dan Emir menumpang kasih. Hanya sedikit. Amani, izinkan kami berkongsi limpahan kasih Zafran!
            “Ibu, what are we waiting for? Who was that man?” tangan kecil Emir menarik hujung blaus yang dipakai oleh Natrah. Natrah menunduk mendekati Emir, anak kecil yang masih tidak mengerti likunya perjalanan yang sedang mereka lalui.
            “Oh, well...Hm, he is your dad,” Natrah menelan liur. Pahit. Perit. Maafkan ibu berbohong, Emir!
            “Daddy? I’m going to have a daddy? Wow! Gee! Finally, I can tell my friends that I have a daddy too!” mata biru Emir bersinar bulat. Kegembiraan tulus yang sudah terlalu lama dinantikan oleh anak itu.
            Natrah mengesat air mata yang tumpah. Maafkan aku, Amani!


Bersambung! :)

oh ye! Selamat menyambut ramadhan ye..maaf terlewat pulak! 
semoga ramadhan kali ini membawa keberkatan ke dalam hidup kita. amin!

Tuesday, July 24, 2012

++ DiNG DoNG ++

assalammualaikum semua...

untuk pengetahuan semua,
Lya rasa tak perlu add untuk private blog tu.
sebab ramai yang cakap tak boleh bukak...
so Lya pun susah hati jugak.
nasib baik ada IMANLILY.
[iman ade koleksi cerpen yang menarik. sila cekidaut ye]
dia dah bagi security code untuk disable right click.
buat masa ni Lya stick to this method dulu lah.

terima kasih atas sambutan, semangat, kritikan serta komen yang diberi...
Lya tak sempat nak reply satu-satu.
mana-mana yang betulkan kesalahan ejaan/fakta, terima kasih!
sebab kadang-kadang memang Lya terlepas pandang.

Bab 23 dah siap.
tapi bab 22 belom.
hihi.
diharap sabar menanti ya!!!

Sayang Semua!

__LyaZara__

Friday, July 20, 2012

Bab 21


Bab 21
            TITISAN PELUH mula membasahi dahi Amani. Sejak dari pagi tadi dia masih belum berehat dari membersihkan rumah. Mujurlah rumah mereka kecil sahaja. Jika sebesar rumah Zafran pastinya tiga hari tiga malam pun belum habis kerja-kerja pembersihan. Silap-silap di hari pertunangan pun dia masih sibuk mengelap habuk.
            Amani menjenguk ke laman rumah. Kelibat Aiman yang bertungkus lumus menyapu dedaun kering mencuit rasa di hati Amani. Untunglah adik-adiknya tidak berkira kederat membantunya. Sorakan gembira tatkala dikhabarkan berita peminangan Zafran masih terngiang-ngiang hingga ke saat ini. Bukan main gembira mereka bakal mendapat abang ipar.
            Pin Pin!
            Amani mengalihkan pandangan ke arah sebuah lori bermuatan sederhana yang sudah pun memasuki halaman rumah. Dengan pantas dia mencapai selendang sebelum menjejakkan kaki ke tanah. Hairan pula dilihatkan lori yang membawa perabot itu. Pastinya sudah tersilap alamat rumah.
            “Salah rumah ke tokey? Sini tak ada orang pindah rumah,” Amani menghampiri lelaki Cina yang sedang menurunkan meja panjang. Amran pula sudah bertawaf mengelilingi lori perabot tersebut.
            “Aik? Sini bukan Lot 612 ka? Kampung Kepayang kan?” Apek itu mengeluarkan sekeping kertas lalu ditunjukkan kepada Amani. Tertera nama serta alamat rumahnya di atas invois itu. Amani mengerutkan kening. Jumlah harga perabot itu adalah sangat mustahil untuk dibeli olehnya. Kecelaruan Amani terganggu dengan kehadiran Amira.
            “Kak, cinta hati telefon,” Amira menyuakan telefon bimbit dengan senyuman nakal terukir di wajah. Lekas-lekas dia memanjat tangga rumah apabila tangan Amani mahu mencubit lengannya. Tak ubah seperti sepit ketam! Memang berbisa!
            “Assalammualaikum sayang. Tengah buat apa tu? Janji nak call every thirty minutes?” suara Zafran menyapa dari kejauhan. Rasa rindu kepada bakal tunangannya itu sukar dibendung.
            “Waalaikumussalam. Saya baru lepas kemas rumah. Ni tiba-tiba ada lori hantar perabot. Saya tak beli pun. Kejap lagi saya call semula, boleh?” Amani menjauhkan diri dari lelaki Cina dan pembantunya. Perasaan malu dipanggil sayang masih menebal dalam dirinya. Walaupun mustahil orang lain mendengar, namun wajahnya yang merah menahan malu tetap terzahir di pandangan mata.
            “Eh, lupa nak beritahu awak! Itu untuk rumah awak tau. Saya hadiahkan sempena pertunangan kita. Mungkin petang sikit D’ Riaz sampai. Untuk bertunang ni kita pasang mini pelamin saja ye? Boleh kan?” Amani ternganga mendengar penjelasan Zafran. Sebegini banyak wang yang dihabiskan oleh Zafran untuk dirinya dan keluarga. Bohonglah kalau dia tidak suka dilimpahi wang ringgit. Namun dalam keadan begini, dia berasa tidak selesa.
            “Kenapa awak bazir duit banyak-banyak ni? Awak malu ke dengan rumah saya yang buruk ni?” soalan berbaur curiga sudah tidak dapat diselindung lagi. Mentang-mentanglah rumahnya buruk. Tentu Zafran malu kepada saudara-maranya.
            “Ya Allah. Apa awak cakap ni? Saya ikhlas nak tanggung family awak. Keluarga awak dah jadi keluarga saya jugak. Kan itu janji saya? Lagipun, majlis bertunang ni saya yang beriya-iya nak cepatkan. Saya faham tentu susah family sayang nak uruskan dalam masa yang suntuk. Amani sayang, jangan suka fikir bukan-bukan ye?” Zafran berhati-hati memberikan penjelasan. Bimbang mengguris hati Amani yang serapuh kelopak mawar itu.
            “Hmm, tapi saya segan. Kita belum ada apa-apa ikatan lagi awak dah berhabis banyak macam ni. Saya takut orang fikir bukan-bukan,” Amani bersuara perlahan. Sungguh dia bimbang dengan tanggapan orang terhadap dirinya dan keluarga. Majlis pertunangan yang mengejut ini juga sudah mengundang reaksi menyakitkan hati dari sesetengah pihak.
            “ Tak ade ikatan apenye? Lagi dua hari dah jadi tunang saya! Lagi sebulan jadi isteri. Lepas tu dah jadi mama kepada anak-anak kita! Biarlah apa orang nak cakap apa pun sayang. Mulut orang memang susah kita nak tutup. Yang penting saya tahu hati awak. Awak jangan risau okay?” Amani menahan bahang yang membakar wajahnya. Zafran ni... over tau!
            “Terima kasih, awak...”
            “Sama-sama kasih. Okaylah dear, saya ada meeting ni. Take care ye. Assalammualaikum,” Amani terdiam tatkala talian dimatikan. Hatinya berbunga dengan kata-kata Zafran. Jadi mama? Ish, jauh benar perancangan lelaki itu. Amani tersenyum malu mengenangkan keadaan malam pertama yang akan berlaku lebih kurang dari sekarang. Ya Allah! Seramnya!
            “Amoi, sudah habis cakap ka sama itu cinta? Manyak syiok ha? Ini barang boleh kasi angkat masuk sekarang tak? Panas woo,” Apek tersebut tersenyum mengusik. Tangannya dikipas-kipaskan ke wajah.
            “Err... boleh Apek! Kasi letak dekat situ,” Amani memberi laluan kepada mereka. Wajahnya disembunyikan dari pandangan. ‘Eii... malunya!’.

            AMANI menahan kegelian setiap kali berus lembut pelbagai saiz itu menyentuh wajahnya. Sesekali dia mencuri pandang ke arah wajahnya di cermin meja solek baru yang dibelikan oleh Zafran itu.
            ‘Cantik jugak aku ni ek!’ Amani memuji diri. Sentuhan ajaib Nurin yang bijak mengatur warna di kelopak matanya memang dikagumi. Wajah gadis kampung yang sinonim dengan dirinya bagaikan hilang selepas disolek dengan warna-warna pastel itu.
            Amani merenung pula sepersalinan mewah yang ditempah khas dari pereka terkenal. Walaupun dalam masa yang suntuk, namun Datin Nuraina berjaya mendapatkan khidmat Aqila Aqish. Baju kurung moden itu cukup cantik dengan jahitan batu-batu swarovski yang memenuhi setiap inci kain chiffon berwarna merah jambu. Walaupun ringkas, namun cukup mewah di matanya. Kelipan batu-batu itu cukup memukau sekali.
            Dia sendiri bagai tidak percaya apabila Nurin menyuruh dia menyarung baju itu sebentar tadi. Feeling-feeling princess pula dirasakan. Sebelum ini jangan haraplah dia mampu memilikki pakaian yang bernilai lebih dari seratus ringgit. Inikan pula pakaian rekaan pereka terkenal. Telan liur dan kesat air mata sajalah!
            “Cantiknya kakak!” jeritan Amira mengejutkan Amani dari lamunannya. Emak dan Syuhada yang baru masuk turut tidak berhenti-henti memuji kecantikannya pada hari itu. Entah berapa kali Amira menyuruh dia berpusing untuk melihat penampilannya dari depan dan belakang. Sampai naik pening kepalanya.
            “Nasib tak ada tok kadi. Kalau tak, ada yang ajak kahwin arini jugak!” Syuhada meneliti Amani dari atas ke bawah. Sesekali dia menangkap gambar Amani menggunakan telefon bimbit murahnya.
            Amani sekadar tersengih apabila dipuji. Dia benar-benar terhutang budi kepada keluarga Zafran yang tidak berkira mengeluarkan wang belanja untuk majlis ini. Cuma dia merasakan sedikit pembaziran kerana menempah pakaian serta pelamin yang bernilai ribuan ringgit itu. Tidak dapat dibayangkan majlis pernikahan yang akan berlangsung di rumah keluarga Zafran bulan hadapan.
            “Berangan apa lagi tu? Jom keluar. Dorang dah habis berbincang,” Mak Ngah Temah menepuk bahu Amani.
            “Ha? Kena keluar ke? Nak buat apa Mak Ngah?” wajah Amani sudah pucat lesi. Sebentar tadi dia sempat mengintai dari balik langsir. Kedatangan tetamu yang memenuhi ruang rumahnya membuatkan dia kecut perut. Namun tidak kelihatan pula wajah kacak bakal tunangnya itu. Tak datang kut?
            “Habis tu buat ape mekap cantik-cantik lepas tu terperap dalam bilik? Nak sarung cincin pada jari sape? Takkan kat jari aku pulak? Dah! Lekas keluar. Syuhada, kamu pimpinkan tangan Amani ni. Bawak ke pelamin. Kamu duduk tepi dia. Temankan dia. Untung-untung ada yang berkenan kat kamu sekali nanti,” Mak Ngah Temah sudah berlalu keluar dengan setepak sireh. Juihan bibir Syuhada sedikit pun tidak menarik perhatiannya.
            “Amboi, sejuknya tangan kau! Mentang-mentanglah dah ada air-cond kat bilik ni,” Syuhada mengusik tatkala tangannya menggengam jemari Amani. Dipimpinnya Amani ke ruang hadapan di mana mini pelamin yang dirias cantik sudah sedia menunggu. Pelamin duduk yang dihiasi bunga-bunga segar itu kelihatan cukup hebat di rumah papannya.
            “Ramainya orang Syu. Ya Allah, takutnya aku rasa,” Amani berbisik sedikit kepada Syuhada. Rumahnya yang sekangkang kera itu dirasakan terlalu luas saat ini. Beberapa tapak berjalan, namun belum sampai ke pelamin putih itu. Sudahlah kepala lututnya mengeletar bukan main.
            “Syhh! Control ayu! Senyum!” amaran Syuhada mematikan kerutan di wajah Amani. Sedaya upaya dia cuba mengukirkan senyuman di wajahnya. Lampu flash dari dua orang photographer yang dibawa khas oleh Zafran tidak henti-henti berkelipan. Tetamu pula tidak henti-henti melemparkan senyuman. Sekali-sekala sempat pula telinganya menangkap ungkapan berupa pujian dari mata-mata yang memandang.
            Sebaik Amani membetulkan simpuhan di atas pelamin, seorang wanita separuh abad yang berkebaya sutera datang menghampiri. Amani yang baru berasa hendak bertenang kembali dilanda debaran menggila. Umi Zafran yang pernah dipanggil bibik itu membawa dulang berkaki yang dirias indah. Sebentuk cincin yang pernah diberikan Zafran minggu lalu berkilau cantik di atas hamparan baldu merah.
            ‘Ya Allah! Selamatkanlah aku!’ Amani menyeru di dalam hati. Majlis pertunangan yang terlalu tergesa-gesa ini membuatkan dia terlupa untuk bertanya tentang penerimaan keluarga Zafran pada dirinya. Sudikah mereka bermenantukan orang miskin sepertinya? Sudikah Datin Nuraina menerima orang yang pernah memanggilnya bibik dijadikan sebahagian dari keluarga berdarjat tinggi? Amani semakin gerun. Manalah tahu kalau-kalau Datin Nuraina menampar mukanya sebentar nanti! Baru betul macam dalam drama!
            “Hulurkan tangan kanan kau tu,” Syuhada berbisik sedikit kepada Amani yang masih menunduk. Tidak berani langsung hendak bertentangan mata dengan bakal ibu mertuanya. Perlahan-lahan Amani menghulurkan tangan kanan yang sedang mengalami gegaran 7.0 skala richter. Itu baru di tangan. Di jantung jauh lebih hebat.
            “Takut apa ni Amani? Sampai bergegar tangan. Ni bibik nak sarung cincin je. Bukan nak bagi racun,” Datin Nuraina tertawa sewaktu menyentuh jemari Amani yang runcing. Takut benar bakal menantunya itu. Amani memberanikan diri menatap wajah Datin Nuraina. Wajah cantik yang tenang itu mendatangkan damai di hatinya. ‘Dia tak marah ke pasal panggilan bibik tu?’
            “Saya minta maaf makcik, eh.. datin...” Amani sudah tersasul-sasul. Syuhada di sebelah menahan tawanya. Bak kata Mak Ngah Temah, dia pun kena kontrol cun. Manalah tahu kalau-kalau ada yang terpikat. Mata Syuhada terpandang lelaki berbaju Melayu biru di pintu rumah. Hensem, tetapi muka kerek betul. Spesis Zafran lah tu!
            “Panggil aje Umi. Tak perlulah nak minta maaf pasal bibik tu. Sikit pun Umi tak ambil hati. Selamat datang dalam keluarga kami,” mendengarkan keikhlasan kata-kata Datin Nuraina, Amani lantas mencapai sepasang tangan itu. Disalami dan dicium dengan rasa hormat. Datin Nuraina juga tidak ketinggalan mencium dahi Amani. Buat seketika mereka bermandikan cahaya flash. Momen indah yang perlu dirakam.
            Aktiviti seterusnya adalah sesi bergambar. Tidak henti-hanti Amani tersenyum sepanjang hari itu. Wajah Kursyiah juga kelihatan cukup ceria. Malah ibu serta adik-adiknya turut mendapat tempias tajaan pakaian daripada Zafran. Teringatkan Zafran rindu pula dirasakan saat ini. Amani berlalu ke bilik untuk mendapatkan telefon bimbitnya. Dia ingin mendengar suara lelaki itu. Suara tunangannya!
            “Assalammualaikum... Boleh saya cakap dengan tunang Amani?” Amani bermukadimah. Semenjak naik taraf sebagai tunangan ni, dia berasa berani untuk bergurau dengan lelaki itu.
            “Waalaikummusalam. Tunang Amani yang kacak di sini!” hati Zafran berbunga tatkala mendengarkan suara Amani. Diturutkan saja rentak lakonan Amani.
            Ketawa Amani kedengaran di hujung talian. Sempat lagi si Zafran ni memuji diri sendiri. Memang perasan! Amani tersenyum bahagia. Jantungnya bagaikan berdenyut mengepam darah yang berbentuk hati di kala ini. Hujung veil dipintal penuh asyik.
            “Amboihhh... Kemain lagi beromantika dalam telefon. Macamlah jauh sangat!” Syuhada menarik Amani dan dibawa ke tepi tingkap. Zafran yang segak berbaju Melayu dari rona yang sedondon sedang tersenyum melambai ke arah mereka. Terus Amani mematikan panggilan.
            “Saya ingat awak tak datang?” Amani menunduk malu tatkala Zafran menghampiri birai tingkap biliknya. Syuhada yang faham-faham sendiri sudah berlalu meninggalkan mereka.
            “Datanggg... Mana boleh tak datang. Tapi saya duduk luar je. Umi tak bagi naik! Nasib baik dapat juga tengok gambar sayang yang Syu MMS,” senyuman Zafran melebar. Matanya tidak lepas dari meneliti wajah Amani yang sudah bergelar tunangan itu. Syukur Alhamdulillah! Setapak lagi sebelum mereka diijabkabulkan. Dia benar-benar tidak sabar untuk bergelar suami Amani. Tambahan pula dilihatnya Amani semakin hari semakin cantik dan manja. Kalau boleh hari ni juga dia mahu menggenggam tangan tok kadi!
            “Awak dah makan? Umi dengan Walid mana?” Amani cuba mengalih perhatian Zafran yang tidak henti-henti memandangnya. Letih pula dia hendak kontrol ayu sepanjang masa.
            “Dah, makan dah sayang. Umi dengan Walid dah pergi masjid. Nanti dorang terus baliklah,”
            “Habis tu? Awak balik dengan siapa?”
            “Saya tidur sini lah. Tu bilik dah siap ada air-cond. Awak boleh temankan,” senyuman nakal terukir di bibir Zafran. Serta-merta wajah Amani bertukar merah.
            “Cakaplah betul-betul. Awak balik dengan siapa?” Amani bertanya lagi. Mulutnya sedikit memuncung ibarat sedang merajuk. Comel pula Zafran melihatnya. Inilah pertama kali Amani menunjukkan rajuknya. Sudah ada peningkatan!
            “Saya balik dengan Ilham lah. Kawan yang saya cerita kat awak sebelum ni kan. Kejap lagi kami geraklah,” Zafran menahan debaran. Sabarlah wahai hati, sebulan aje lagi!
            “Awak, tunggu sekejap ye,” Amani berlalu meninggalkan Zafran yang terkebil-kebil di tepi tingkap. Tidak sampai tiga puluh saat Amani kembali dengan sebuah kotak beriben merah hati.
            “Ini hantaran hati saya untuk awak. Saya tak mampu nak berbalas dulang hantaran macam yang keluarga awak bagi. Ni aje yang saya mampu. Saya harap awak sudi terima. Mudah-mudahan manfaatnya untuk kita bersama,” Zafran terharu tatkala melihat isi yang terkandung di dalam kotak itu. Senaskah tafsir Al-Quran itu disentuh dengan hati yang bahagia. Dia mencapai sekeping nota yang disisipkan oleh Amani.
            ‘Kerana Allah kita bertemu,
             Kerana Allah kasih bertamu,
             Kerana Allah kita bersatu...
            Aduyai, bahagianya hati ini. Zafran memandang Amani yang masih setia menanti di birai jendela. Wajah bujur sireh yang manis itu ditatap penuh kasih. Bertunang bukanlah pasport untuk mereka bersentuhan sewenang-wenangnya. Jika tidak, ingin sekali dia mengucup kedua belah tangan Amani yang telah memberikan hadiah yang cukup bermakna ini.
“Terima kasih sayang. Inilah hadiah paling berharga yang pernah saya dapat,” Zafran tersenyum bahagia.
“Terima kasih jugak sebab berhabis wang ringgit untuk majlis ni. Saya tak tahu macam mana nak balas budi ni,”
“Senang je. Setiap hari kena kasi satu kiss!” Zafran menunjuk ke arah pipi kanannya. Senyuman gatalnya melebar bukan main.
“Hah???” Amani membulatkan mata. Biar betik dia ni?
“Bukan sekaranglah sayang. Lepas kahwin nanti. Majlis ada lagi sebulan. Jadi bila kita kahwin nanti awak dah hutang tiga puluh ciuman tau pada saya! Hai, matilah saya kena gomol nanti!” Zafran ketawa mengekeh melihatkan Amani yang kehilangan kata-kata untuk membalas. Wajah merah itu sudah cukup menggambarkan apa yang berada di benak gadis itu.
            “Bertuahnye budak dua ekor niii!!! Kat sini korang buat drama Korea ye! Aku ingatkan jebon mane tadi. Rupanya pasangan merpati sejoli sedang memadu asmara!” suara Mak Ngah Temah yang macam loudspeaker tu mengejutkan Amani dan Zafran. Mati terus tawa di bibir Zafran.
            ‘Jebon dipangilnya aku?’ Zafran menjauhi birai tingkap bilik Amani. Kelibat Ilham dan Syuhada yang sedang ketawa di bawah pokok mempelam sempat ditangkap anak matanya.
      *          *          *          *          *          *          *          *          *
Fahim menyapu setitis air matanya yang berguguran. Lekas-lekas dia menjauhkan diri dari kemeriahan teman sepejabat yang tidak henti-henti mengucapkan tahniah kepada Zafran dan Amani. Dia tidak menyangka pengumuman yang ingin dibuat oleh Zafran sebentar tadi merupakan berita yang paling buruk pernah diterimanya.

            Sedikit pun dia tidak curiga apabila Zafran menghimpunkan mereka di hadapan biliknya. Bila nama Amani disebut dan berdiri di sebelah Zafran, disangkakannya Amani akan meletakkan jawatan. Pada waktu itu hatinya sudah sedikit renyuk dan bimbang. Manakan tidak,  sudah hampir dua minggu Amani tidak masuk bekerja. Perasaan rindunya kepada gadis bermata cantik itu bukan sedikit.

            Pengumuman tarikh penikahan Amani dan Zafran membuatkan otaknya menjadi tepu. Dia tidak percaya. Sehinggalah kad jemputan ke majlis yang akan berlangsung lebih kurang tiga minggu lagi berada di tangannya. Cetakkan timbul berwarna emas itu jelas merujuk kepada Amani dan Zafran.

            Allah! Sakit benar hatinya saat itu. Bagai sudah ditumbuk lumat seperti sambal. Dia sempat berbalas pandangan dengan Amani. Gadis itu kelihatan serba-salah, namun tetap tersenyum ke arahnya. Senyuman apakah itu Amani? Adakah senyuman mengejek? Ataupun senyuman simpati? Fahim meraup wajahnya.

            Semenjak bila Amani dan Zafran sudah dilamun cinta? Adakah sebelum hatinya terpaut kepada Amani? Adakah mereka sengaja mempermain-mainkan hatinya? Dia benar-benar celaru.

Fahim beristighfar. Hatinya perlu ditenangkan. Otaknya perlu direhatkan. Dia tidak boleh berfikir dengan rasional dalam waktu begini. Perasan marah dan kecewa memudahkan kerja syaitan memesongkan imannya.   Dia tidak mahu berdendam. Kerana pastinya perancangan Allah itu jauh lebih baik daripada perancangannya.

            Fahim menekan butang ‘G’ pada badan lif. Dia perlu menjauhkan diri daripada kemeriahan di pejabat. Sorakan mereka umpama umpat keji yang sedang meraikan kekecewaannya. Tanpa memandang ke kiri dan ke kanan Fahim melangkah keluar dari perut lif. Begitu tergesa-gesa sehinggakan melanggar bahu seorang wanita baru hendak melangkah masuk.

            “Buta ke???” Arisya merengus geram. Bahunya diusap kerana dilanggar dengan agak keras oleh lelaki yang kelihatan berserabut itu. Arisya membetulkan dress sendatnya. Hampir sahaja dia melangkah masuk ke dalam lif, namun sekeping kad yang terdampar di atas lantai bagaikan menarik perhatiannya.

            Kad itu diambil dan ditatap dengan mata yang bersinar dengan api kemarahan yang sukar dibendung. Arisya merengus dan merenyukkan kad jemputan perkahwinan yang pastinya dicicirkan oleh lelaki yang merempuh keluar sebentar tadi. Arisya membatalkan hasrat untuk bertemu dengan Zafran.
           
            Penghawa dingin kereta yang dipasang semaksimum mungkin belum mampu melawan bahang api kemarahan Arisya. Sekeping CD yang dibawa untuk menawan hati Zafran dipatahkannya. Segala maklumat portfolio syarikat Dato’ Mazlan yang berjaya dicurinya sudah tidak bermakna lagi sekarang. Dia sudah merancang untuk mengumpan Zafran dengan maklumat sulit tender jutaan ringgit yang menjadi rebutan antara Megah Holdings dan MBina Holdings. Dia pasti benar Zafran akan tunduk kepadanya. Namun berita perkahwinan Zafran menghancurkan segala rancangannya!

            “Amani? Berani kau rampas kebahagiaan aku? Hak aku? Aku takkan lepaskan kau!” Arisya memecut keretanya meninggalkan perkarangan parkir dengan dendam yang membara.
           
Bersambung... :) 

Monday, July 9, 2012

Bab 20


Bab 20

            ZAFRAN merenung kalendar dan meja Amani yang kosong silih berganti. Sudah tiga hari Amani tidak masuk bekerja. Jiwanya resah, hatinya gundah dengan ketiadaan Amani. Tambah menggusarkan adalah jawapan yang masih ditunggu dari mulut Amani. Menerima atau menolak? Walaupun sudah acap kali dipesan pada diri sendiri supaya redha dengan keputusan Amani, namun seboleh mungkin dia mahukan Amani menyarung cincin yang telah diberi.    

            Zafran menghembus nafas berat. Pemandangan dari tingkat sepuluh tidak sedikit pun meredakan perasaannya yang sedang berperang. Sebolehnya dia tidak mahu terlalu mendesak Amani dalam membuat keputusan. Pastinya Amani memerlukan masa untuk memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya. Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main. Di puncak View Point tiga malam lepas dia sendiri memberikan cuti kepada Amani untuk berfikir membuat keputusan. Fikir semasak-masaknya. Sampai rentung pun tak mengapa.

            Namun apabila Amani menyepi begini, dia menjadi penasaran. Apabila dinilai kembali sikapnya dahulu, dia merasakan dirinya tidak layak untuk mendampingi gadis sebaik Amani. Layanan buruk serta caci-maki yang pernah dilemparkan dahulu bagaikan bergema di segenap ruang otaknya. Kalau dia menjadi Amani, pasti dia berfikir dua ratus juta kali untuk bersuamikan lelaki yang ego tinggi melangit. Zafran mengutuk diri sendiri. Sudah tergambar jawapan yang akan diberikan oleh Amani bila-bila masa sahaja nanti. Hatinya sudah terasa sakit. Penolakan Amani mengundang kekecewaan yang bukan sedikit. Zafran mengusap dadanya. Ah, belum mula bercinta namun dia sudah pun merasa sakitnya putus cinta!

            Tet!Tet!

            Zafran mencapai telefon bimbitnya. Semenjak pagi tadi telefon itu tidak henti-henti berbunyi menandakan pesanan dan email telah diterima. Dengan semangat yang lemah, dia membaca satu persatu pesanan yang memenuhi memori telefonnya. Jantungnya terhenti sesaat tatkala terpandangkan nama Amani. Butang ‘baca’ ditekan dengan jemari yang sedikit bergetar. Gemuruhnya sukar digambar. Bagai pesalah yang menanti hukuman maut!

            Setelah berfikir dengan semasak-masaknya, saya dah bersedia nak berikan jawapan kepada soalan encik. Kalau encik sudi, malam nanti kita berjumpa di hadapan apartment saya. Dalam pukul 9 malam.”

            Hampir sepuluh kali Zafran membaca mesej titipan Amani. Begitu straigh forward. Tiada ayat berbunga seperti yang lahir dari bibirnya tiga malam lalu. Dia sudah dapat meneka jawapan yang akan diberikan oleh Amani malam nanti. Kalau diturutkan rasa hati yang kecewa, ingin sahaja dia berpindah keluar dari Malaysia. Biar dibawa jauh-jauh hati yang terluka. Namun nun di sudut hatinya, dia masih mengharapkan keajaiban. Dia mahu mendengar sendiri jawapan yang keluar dari dua ulas bibir merah itu. Biar sakit, biar terluka, namun sekurang-kurangnya rindu yang menggunung dapat dilepaskan.



            *                      *                      *                      *                      *                      *

            Zafran selesai menunaikan solat Isyak di Madrasah Nurul Iman berdekatan Apartment Damai. Awal-awal lagi dia sudah keluar dari bangunan  Megah Holdings hari ini. Sempat pula dia mandi dan menukar pakaian baru. Manalah tahu, kalau-kalau cair pula hati Amani melihat penampilannya pada malam itu. Selagi terdaya, dia mesti berusaha menambat hati calon menantu pilihan Umi.

            Matanya cepat sahaja menangkap sesusuk tubuh Amani yang sedang berdiri di tepi laluan masuk. Ah, dalam lautan manusia pun matanya akan cepat mengesan kelibat Amani. Bagaikan ada tarikan magnet antara keduanya. Zafran menapak menghampiri Amani dengan debaran di dada.

            “Assalammualaikum,” Amani memalingkan tubuh sebaik mendengar ucapan salam dari Zafran. Sama seperti Zafran, dadanya juga berombak kencang semenjak tiga malam yang lepas. Sikit lagi nak kena sakit jantung.

            “Waalaikumussalam. Encik dah makan? Kalau belum, jom kita makan kat situ. Boleh?” mata Zafran menyorot ke arah kedai tepi jalan yang dimaksudkan Amani. Walau pun jarang-jarang dia makan di kaki lima, tetapi demi Amani dia tidak kisah. Pantas kepalanya menggangguk tanda setuju.

            Amani dan Zafran kehilangan kata-kata sebaik pelayan pergi selepas mengambil pesanan.  Lidah bagaikan kelu tidak terkata. Mulut bagaikan digam Uhu. Sama-sama tidak tahu memulakan bicara. Zafran mencuri pandang ke arah jemari Amani. Jari manisnya kosong! Tidak kelihatan cincin pemberiannya di mana-mana jari lain juga. Zafran beristigfar di dalam hati. Menyeru kekuatan semangat yang semakin menipis. Kalau boleh, ingin sahaja dia balik menangis di atas riba Uminya!

            Amani mengeluarkan kotak cincin berbentuk hati pemberian Zafran. Sudah puas dibeleknya cincin tersebut selama beberapa hari. Kemilau berlian tersebut sedikit pun tidak mempengaruhi keputusan hatinya. Keputusannya dibuat selepas melakukan solat istikharah selama tiga malam berturut-turut. Jadi keputusan ini adalah kerana Allah. Perlahan-lahan kotak tersebut ditolak kepada Zafran.

            “Encik ambil lah semula cincin ni. Saya rasa bukan...”

            “Tak pe. Saya faham Amani. Saya tahu saya dah banyak melukakan hati awak. Saya tak layak untuk awak. Saya faham. Tapi cincin tu saya beli untuk awak. Saya nak awak simpan. Kalau tak nak, awak buang ajelah tepi jalan,” Zafran mencantas ayat Amani lekas-lekas. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata yang seterusnya. Senyuman pahit terukir di wajah kacak Zafran. Cuba dikaburi bisa yang berdenyut di hatinya.

            “Encik, cuba dengar dulu penjelasan saya,” Amani serba-salah melihat sepasang anak mata Zafran yang sudah merah. Menangiskah lelaki itu jika ditolak cintanya?

            “Saya okay. Saya faham. Soal hati tak boleh dipaksa...” kata-kata Zafran lebih kepada usaha untuk memujuk hatinya sendiri. Wajahnya dipalingkan dari tatapan mata Amani.

            “Degil betul lah encik ni. Cuba lah dengar cakap saya dulu. Saya pulangkan cincin ni sebab bukan begini cara yang sepatutnya. Saya nak encik bawa cincin ni masa jumpa emak saya kat kampung nanti. Bawa rombongan meminang!” Amani merengus geram. Hampir lapan bulan bekerja dengan Zafran, inilah kali pertama dia dapat menzahirkan rasa marahnya. Suaranya yang sedikit keras mengundang pandangan dari meja sebelah.

            Zafran membulatkan matanya ke arah Amani. Bagaikan sukar mempercayai kata-kata yang lahir dari mulut gadis itu sebentar tadi. Rombongan meminang?

            “Ma..maksud awak? Awak terima? Awak sudi kahwin dengan saya?” Zafran merenung anak  mata Amani dalam-dalam. Mata Zafran yang tadinya layu tidak bermaya kini kembali bersinar seperti iklan Innershine.

            “Hmm. Iye Encik Zafran. Saya sudi. Tapi biarlah mengikut adat. Encik hantarlah wakil rombongan ke rumah saya. Saya dah cerita pada emak. Emak minta tetapkan tarikh untuk meminang,” Amani tertunduk malu saat itu. Bagai sukar dipercayai yang dia akan berkahwin dengan majikannya sendiri. Lelaki kacak yang berjiwa singa! Aduh, indahnya ketentuan yang ditetapkan Allah!

            “Tapi saya ada satu syarat!” kata-kata Amani kembali mengundang reaksi di wajah Zafran. Zafran berdoa agar Amani tidak menetapkan syarat yang bukan-bukan seperti lagenda Puteri Gunung Ledang. Kalau tidak kempunanlah Datin Nuraina bermenantukan Amani.

            “Apa dia syaratnya sayang?” Zafran mengenyit mata ke arah Amani. Suka benar melihat Amani yang kalut apabila diusik begitu.

            “Err...saya tak nak bercinta sebelum kahwin. Jadi tak ada istilah couple dalam hubungan kita selepas ini ya. Anggap saja pertunangan sebagai tempoh untuk mengenali hati budi,” Amani menetapkan syaratnya kepada Zafran. Memang itu pendiriannya sejak dahulu lagi.

            “Sayang, saya rasa dah cukup kenal peribadi awak. Yang selebihnya kita kenal selepas kahwin. Dan saya nak awak tahu, kita bertunang paling lama pun sebulan je tau. Lepas tu terus majlis nikah,” Zafran bersuara selamba. Hatinya sudah kembang semangkuk. Tidak pernah dia merasa sebahagia ini sepanjang dua puluh tujuh tahun hidup. Kalau ditumbuk pun dia pasti tetap tersenyum. Begitulah bahagianya hatinya saat ini.

            “Bulan depan? Kenapa cepat sangat?” Amani hampir tercekik Char Keow Teow yang dimakannnya. Kalau Zafran itu perempuan, sudah tentu dia akan berasa syak wasangka. Selalunya perempuan yang kelam-kabut hendak berkahwin jika ada perkara yang hendak disorok. Tetapi Zafran ini lelaki. Apa yang dikejarkan sangat?

            “Saya tak nak kita buang masa. Cinta dan bahagia akan datang selepas kita kahwin. Lagi pun banyak pahala yang suami dan isteri boleh dapat. Saya dah tak sabar nak rasa semua tu. Lepas kahwin nanti awak boleh sambung belajar. Tak perlu kerja macam ni lagi,” pandangan Zafran memanah tepat ke arah Amani.

            “Saya tak cukup duit lagi nak sambung belajar, encik. Emak dan adik-adik pun di bawah tanggung jawab saya,” Amani bersuara perlahan. Adakah Zafran tidak mengerti tentang masalah kewangan keluarganya? Persiapan kahwin bukan bernilai seribu dua, tetapi menelan belanja yang besar. Habis bergolok-gadai pun belum tentu cukup untuk menampung perbelanjaan wang kenduri.

            “Soal duit awak jangan risau. Awak, adik-adik dan emak semuanya bawah tanggung jawab saya mulai sekarang. Selagi saya mampu, saya akan usaha berikan yang terbaik untuk keluarga kita. InsyaAllah,” Amani menahan sebak di dada. Ketulusan Zafran dapat dirasainya tatkala ini. Sesungguhnya soal jodoh itu adalah rahsia terbesar milik Allah. Dia percaya Allah telah menganugerahkan lelaki yang terbaik untuk memimpin dirinya.

            Selesai menjamah makanan, Amani menemani Zafran ke kereta yang diparkir di kotak VIP Apartment Damai. Mudah sahaja Zafran mendapat layanan istimewa di kalangan pengawal di situ.

            “Betul awak nak balik naik bas?” Zafran membangkitkan kembali topik yang sama. Selesai menjamah makanan tadi, Zafran telah menetapkan hujung minggu nanti sebagai tarikh pertunangan mereka. Jadi Amani bercadang untuk pulang ke kampung membantu persiapan majlis secara ringkas.

            “Iya Encik Zafran. Saya dah biasa naik bas. Encik jangan risau. Nanti setiap setengah jam saya akan call,” Amani mengulang jawapan yang sama. Amani berasa tidak manis untuk mereka pulang ke kampung berdua-duaan. Nanti apa pula yang dikatakan oleh orang kampung. Tambahan pula mereka akan bernikah dalam masa terdekat. Pastinya mulut joyah-joyah di kampung akan menjadikan berita perkahwinannya sebagai isu sensasi.

            “Baik. Setiap setengah jam sayang mesti call tau. Saya tunggu,” Zafran tersengih melihat kerutan di dahi Amani setiap kali dipanggil ‘sayang’. Mujurlah syariat masih membataskan. Kalau tidak memang ditarik-tarik hidung Amani yang mancung itu.

            “Saya naik dulu ye. Encik pun jaga diri tau. Orang kata bila berdarah manis ni kena selalu berhati-hati. Assalammualaikum,” Amani sudah mula melangkah memasuki kawasan Apartment Damai. Tidak sabar rasanya untuk menyembamkan wajahnya yang hangat memerah setiap kali dipanggil ‘sayang’.

            “Sekejap, Amani,” Zafran menarik hujung baju Amani, memaksa Amani berpaling semula ke arahnya.

            “Terima kasih terima saya. Terima kasih banyak-banyak, sayang. Saya janji saya akan bahagiakan awak. Saya takan sia-siakan kepercayaan awak. Saya betul-betul sayangkan awak,” Zafran menatap anak mata Amani yang sudah basah. Perasaan sebak sudah menguasai dirinya.

            “Terima kasih juga sebab pilih saya. InsyaAllah, saya pun akan cuba bahagiakan encik,” Amani mengungkap janji. Ada banyak lagi yang ingin dikatakan, namun sekadar tersekat di kerongkongnya. Tidak mengapalah, kata-kata sayang dan cinta boleh diungkapkan sebulan dari sekarang. Selepas Zafran berjabat tangan tok kadi.

            Amani melangkah masuk ke rumah dengan senyuman paling manis terukir di wajah. Usikan Syuhada tidak diambil pusing. Dia tahu sahabatnya itu menjadi penghuni setia di balkoni semenjak tadi. Bukan dia tidak perasankan kelibat Syuhada dari tingkap dua belas. Siap melambaikan tangan beberapa kali. Pastinya dia puas mengintip adengan romantis lakonan Amani serta bakal tunangnya. Masin pula mulut sahabatnya itu.

            Amani mengucapkan syukur tanpa henti. Walaupun sukar mempercayai jawapan yang diberi dari solat istikharah, namun dia tetap berlapang dada menerima lamaran Zafran. Kini tahulah dia hikmah di sebalik semuanya. Ketulusan Zafran begitu menyentuh hatinya. Siapa sangka singa sudah bertukar menjadi kucing? Siapa sangka Allah akan membukakan pintu hati Zafran untuk menyunting dirinya sebagai isteri? Siapa sangka Zafran merupakan pemilik kepada tulang rusuknya?

            Amani bertahmid di dalam hati. Dengan pantas dia membersihkan diri dan mengangkat hadas kecil. Ingin ditunaikan solat sunat dua rakaat.

            *                      *                      *                      *                      *                      *

USAI Solat Taubat, Natrah membaca beberapa lembaran dari kitab suci Al-Quran  yang menjadi peneman setianya. Air matanya berjuraian tanpa henti. Di keheningan malam begini, dia merasa cukup rapat dengan Maha Pencipta. Dirinya terasa kerdil dengan kekilafan yang pernah dilakukan dahulu. Dia kesal sekesal kesalnya.

            Jika boleh diputarkan waktu, sudah pasti dia ingin membetulkan segala kesalahan serta kesilapan yang pernah dilakukan. Namun dia hanyalah manusia biasa. Seperti kebanyakan manusia yang lain, dia hanya mampu hidup dalam penyesalan. Yang berlaku tetap telah berlaku. Tiada apa yang boleh diperbetulkan di masa silam. Yang ada cuma peluang untuk memperbetulkan keadaan di waktu ini.

            Atas sebab itu lah dia memberanikan diri untuk pergi ke rumah keluarga Zafran minggu lepas. Sudah tiga bulan dia pulang ke Malaysia, baru hari itu dia mendapat kekuatan untuk bersemuka dengan Zafran. Namun apa kan daya, kedatangannya tidak dialu-alukan. Datin Nuraina langsung tidak memberi peluang untuk dia menjelaskan keadaan. Setiap katanya dibidas, dan akhirnya dia pulang tanpa sempat bertemu dengan Zafran.

            Natrah menyeka air mata yang mengalir. Dia tahu dia tidak layak untuk didengari. Tidak layak untuk mendekati. Namun niatnya tulus ikhlas ingin memohon kemaafan dari lelaki yang pernah terluka kerananya. Dia hanya meminta peluang kedua agar dia dapat menjelaskan keadaan sebenar dan membaiki keadaan antara mereka. Demi Allah dia teramat mencintai lelaki itu. Sejak dahulu, hingga ke saat ini, perasaan itu tidak pernah berubah walau sedikit!

            Sudah bertahun lamanya dia hidup bertemankan air mata. Empangan air matanya tidak pernah kering walau sehari. Dia tidak punya siapa-siapa untuk meluahkan perasaan. Lantas air mata itu menjadi peneman dirinya siang dan malam. Selain bayangan Zafran yang terlalu kerap menjengah hidupnya, kenangan sial itu turut menghantuinya sepanjang masa.

            Sesungguhnya apa yang disaksikan oleh Zafran empat tahun lalu hanyalah babak pertama dari episod hitam yang dilaluinya. Berkali-kali dia cuba menerangkan keadaan sebenar, namun Zafran tidak membuka sedikit ruang pun untuk dirinya menjelaskan keadaan. Dia ingin memberitahu Zafran bahawa dia tidak bersalah! Dia tidak curang! Tetapi Edward telah memerangkap dirinya. Sesungguhnya dia telah dirogol setelah diberi dadah oleh jantan durjana itu.

            Airmata Natrah mengalir lagi. Kepalanya kembali berdenyut seperti biasa. Tangannya mencapai pil penahan sakit yang diletak di tepi meja. Matanya dipejamkan. Bayangan wajah serta senyuman Zafran tergambar di ruang ingatannya. Kenangan manis yang menjadi peneman setia dirinya di kala kesepian. Dia benar-benar merindui lelaki itu.

            Natrah membuka mata dalam kepayahan apabila pintu biliknya dibuka. Bayangan Zafran yang berlalu pergi diganti pula dengan wajah comel Emir Luqman. Mata Emir yang merah menandakan anak kecil berusia tiga tahun itu baru lepas menangis kerana ditinggalkan keseorangan di atas katil. 

            “Mari dekat ibu,” Natrah mendepakan tangan ke arah Emir, anak yang dilahirkan dari hasil benih yang disemai oleh Edward. Walaupun dia membenci lelaki itu, namun selaut kasihnya tumpah buat anak kecil yang tidak berdosa itu. Natrah membetulkan rambut Emir yang sedikit kusut. Didakap erat anak itu yang masih mamai. Sekejapan didodoi, Emir kembali menyambung lenanya dalam dakapan Natrah.

            Natrah merenung wajah tenang Emir. Dahi Emir dikucup bertalu-talu. Sesungguhnya dia meletakkan kepentingan diri di tangga kedua. Segala apa yang dilakukan kini adalah demi Emir. Ya, dia perlu menaklukki semula hati Zafran. Bukan untuk dia, tetapi untuk Emir Luqman. Natrah pasti hati Zafran dapat ditawan jika Zafran mengenali Emir. EMIR LUQMAN. Itulah nama anak yang pernah mereka bincangkan dahulu.

            Bayangan Zafran yang mengejar dirinya di Megah Holdings kembali berputar di ingatan. Dia pasti masih ada perasaan yang bersaki-baki di hati lelaki itu. Walau tidak banyak, mungkin masih terpalit sekelumit rasa yang pernah mereka semai bersama. Natrah melelapkan matanya dengan segunung harapan yang tinggi.

Bersambung!:)
nota kaki #1: Buat masa ni, saya update di blog lama dahulu. sebab ramai pula yang mengadu tak boleh access blog lagi 1...nanti saya figure out apa masalahnya ya.
nota kaki #2: terkejut saya melihat senarai email yang minta nak follow blog baru. saya ingatkan paling ramai 50 orang je yang baca cerita ni..rupanya ramai yang baca sorok-sorok ya! walau macam mana pun terima kasih ya!!!