Bab 24
ARISYA memperlahankan pemanduannya.
Jalan kampung yang berlopak serta tidak berturap menyebabkan pemanduan menjadi
tidak lancar. Suasana gelap malam tanpa cahaya bulan serta lampu jalan yang
suram menambahkan kesukaran penglihatannya. Sesekali dia melihat ke arah
lipatan kertas yang tertera alamat rumah yang dicari. Sudah begitu jauh memandu
tapi entah mengapa rumah itu belum ditemui.
Arisya
memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah rumah papan yang diterangi lampu
kuning. Suasana suram serta sunyi menyelubungi satu-satunya rumah yang berada
di kawasan hujung kampung itu. Sedikit debaran melanda hatinya. Walaupun sudah
beribu kali melakukan dosa-dosa besar, namun dosa syirik ini pertama kali
hendak dilakukannya.
“Wak
Deris...” Arisya memanggil kuat. Tangan kanannya mengetuk pintu kayu yang sudah
berkulat itu. Sesekali dia menepis beberapa ekor nyamuk yang cuba menghisap
darahnya.
Lelaki
tua berpakaian serba hitam dengan rantai panjang tergantung di leher membuka
pintu. Arisya bagaikan terpaku tatkala melihat ruang dinding rumah papan yang
dipenuhi perhiasan pelik serta menggerunkan. Sekejapan dia terlupa tentang
dendam membara yang membawa dia hingga ke rumah Wak Deris pada waktu ini.
Kakinya sudah mula mahu melangkah semula ke kereta dan memandu pulang ke Kuala
Lumpur.
“Masuklah,
nak. Jangan risau. Wak boleh bantu kamu,” Wak Deris sudah duduk bersila di atas
lantai beralaskan tikar getah. Sebuah senyuman terukir di wajah itu.
Perlahan-lahan Arisya menurut kata Wak Deris. Dia masuk juga ke rumah papan itu
dan duduk bersimpuh di hadapan Wak Deris.
“Ada
dibawa gambar perempuan tu?” Wak Deris melurut misainya. Perempuan muda seperti
Arisya ini sudah terlalu kerap datang bertemu dengannya. Kliennya memang
terdiri daripada pelbagai golongan. Namun rata-ratanya mempunyai masalah yang
sama sahaja. Dengan ilmu di dadanya, dia sudah dapat membaca masalah yang
bermain di fikiran Arisya.
“Ada
Wak. Ni dia. Namanya ada saya tulis belakang gambar tu,” sekeping gambar
berukuran 4R sudah bertukar tangan. Gambar yang dimuat turun dari laman sosial
Facebook itu baru saja dicetak petang tadi. Cukup mudah! Sememangnya Internet
banyak membantu kehidupan manusia dalam pelbagai aspek.
“Hmm,
kamu nak Wak buat apa pada dia?” Wak Deris memerhatikan gambar gadis yang sedang
tersenyum manis itu. Pandangannya beralih pula ke arah wajah Arisya yang sarat
dengan dendam membara. Sesungguhnya syaitan telah berjaya menyemarakkan api
cemburu serta dengki di dada gadis ini. “Kamu nak Wak bunuh dia?” Wak Deris
bersuara lagi setelah melihatkan Arisya sekadar berdiam diri. Sengaja dicucuk
lagi hati gadis itu dengan duri-duri kebencian. Bukan apa, lagi besar tugasan
yang diberikan oleh Arisya, bermakna lebih besar habuan yang bakal diterimanya
nanti!
“Eh,
jangan Wak! Saya cuma nak Wak kacau rumah tangga dorang. Hm, saya nak Wak....,” Arisya membisikkan hajat yang
tersemat di hatinya. Sengaja dia mahu menyeksa Amani dan Zafran begitu. Kalau
dulu kerap sangat Zafran menolak dirinya seolah-olah dia tidak berharga, namun
kini dia akan memastikan Zafran melutut kepadanya. Untuk tujuan yang satu itu!
Wak Deris
tertawa kuat. Terlalu mudah tugasan yang diberikan oleh Arisya. Sudah terlalu
banyak pasangan suami isteri yang hidup berantakan kerananya. Permintaan Arisya
memang mudah untuk dilaksanakan. Malahan tak challenging langsung pada dirinya!
“Boleh
ke Wak?” Arisya mencelah setelah dilihatnya Wak Deris tertawa panjang. Sampai
naik seram dibuatnya mendengarkan tawa yang keluar dari bibir lelaki tua itu.
“Boleh!
Mudah sangat tugasan yang kamu bagi ni. Yang penting duit pengerasnya,” Wak
Deris mengangguk-angguk sambil melurut janggut putihnya. Senyumannya semakin
melebar setelah sampul putih dihulurkan oleh Arisya. Wak Deris mengeluarkan not
lima puluh ringgit yang agak tebal itu. Setelah dikira, dia tertawa lagi. Lebih
banyak dari jangkaannya!
“Jangan
risau. Malam ni jugak Wak akan
mulakan,”
Arisya
tersenyum gembira. Puas hatinya dapat menyeksa Amani dan Zafran. Benci dan
dendamnya kepada mereka bukan sedikit. Tidak lama lagi bolehlah dia memulakan
langkah yang seterusnya. Arisya bingkas bangun dan menuju ke pintu. Tidak betah
berlama-lama di rumah usang itu. Berdua-duaan pula dengan Wak Deris yang lain
macam orangnya.
“Terima
kasih Wak Deris!” Arisya sudah menyarung sandal di kakinya.
“Sama-sama.
Kalau kamu nak pasang susuk, boleh Wak tolongkan. Lagipun wajah kamu dah hilang
seri tu. Susuk penambah rezeki pun ada,” Wak Deris tertawa lagi. Ingin
dipancing hati perempuan itu agar selalu melabur wang kepadanya.
Arisya
mengerutkan wajahnya. Sudah hilang seri? Kali ini Arisya pula yang tertawa
kuat. Gila! Aku masih cantiklah! Pedal minyak ditekan kuat. Berderum enjin
keretanya meninggalkan rumah Wak Deris.
Arisya
mencapai telefon bimbitnya dari dalam beg Chanel yang diletakkan di kerusi
penumpang. Nombor Zafran didail untuk kesekian kalinya. Seperti kebiasaan,
panggilannya tidak pernah berjawab lagi. Arisya menaip pula pesanan ringkas.
‘I MISS
YOU’
Senyuman
jahat terukir di wajahnya di kala ini. Tak apa Zafran! Mungkin malam ni kau
boleh berlagak sombong lagi dengan aku. Tapi malam akan datang aku pasti kau
akan tunduk pada aku! Sebatang rokok Dunhil dinyalakan sebagai peneman
sepanjang perjalanan yang jauh.
* * * * * *
ZAFRAN mendekatkan tangan Amani dan
dicium lama. Wajah Amani yang tertidur kepenatan diamati sebentar sebelum
kembali meneruskan pemanduan. Senyuman bahagia terukir di wajahnya. Sudah dua
minggu bergelar suami, senyumannya tidak pernah lekang dari bibir. Rasa bahagia
yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. Berakar umbi di hati hingga terzahir
di wajahnya sepanjang masa.
“Eh,
sampai mana dah ni bang?” Amani menggosok matanya. Badannya direnggangkan
perlahan untuk mengurangkan rasa lenguh di pinggang. Sudah hampir empat jam
mereka berada di dalam kereta.
“Dah
sampai Jambatan Pulau Pinang dah sayang. Lamanya tidur. Ingatkan dia nak
temankan kita. Alih-alih sedap je dia berdengkur!”
“Hah? Betul
ke sayang dengkur? Sorry bang! Sayang
memang selalu tertidur. Naik bas pun sayang tidur jugak!” Amani melentokkan kepalanya di bahu Zafran. Betul ke aku
berdengkur? Eiii, malunya!
“Tak
apa. Abang bagi chance sayang rehat
puas-puas dulu tadi. Malam nanti ada tugasan berat yang menanti,” Zafran
menyeringai. Dia sudah melakukan pengiraan. Rasa-rasanya Amani sudah pun bersih
dari hadas besar. Sengaja diperam keinginan yang satu itu hingga ke percutian
mereka ini. Hendak menunggu honeymoon
sebenar hujung tahun nanti terlalu lama pula dirasakan. Jadual kerjanya terlalu
padat untuk mengizinkan dia bercuti lama-lama. Jadinya dia membawa Amani ke
Pulau Mutiara dahulu untuk pra-bulan madu.
Amani
menelan liur. Entah mengapa setiap kali Zafran mengusik tentang perkara yang
satu itu, badannya jadi resah tidak menentu. Cemasnya bukan main! Di bilik
dingin pun dia boleh berpeluh sakan. Memang kesemua anak dara akan merasai
perkara yang sama macam aku rasa ni ke?
“Kita
pergi jalan-jalan tepi pantai ye? Boleh tengok sunset,” Zafran mengusap pipi Amani yang masih terlentok di bahu
kirinya. “Eii! Apa basah ni? Air liur basi sayang ye?” Zafran mengesat
tangannya pada seluar.
“Hah?
Mana???” Amani spontan mengelap bibirnya beberapa kali. Sejak bila pulak aku
berdengkur dan tidur comot macam ni? Memang tak ayu!!!
Zafran
tertawa melihatkan aksi Amani. Suka benar dia mengusik isterinya yang clumsy itu. Ada-ada saja idea bernas
yang datang. Memang hiburan sepanjang zaman!
“Abang!
Suka sangat mengusik tau!” Amani mencubit lengan Zafran. Baru dua minggu
bergelar isteri, namun pelbagai karenah Zafran yang terpaksa dihadapinya.
Nasiblah hensem, memang cair hati dibuatnya!
Zafran
tersenyum lagi. Sumpah hatinya memang terlalu bahagia saat ini. Buat pertama
kalinya dia merasakan hidupnya sudah lengkap. Tidurnya lena setiap malam dan
bangun pagi pula terasa ceria semacam. Sesungguhnya pernikahan mereka merupakan
ketentuan terindah yang ditetapkan oleh Allah.
Setelah
mendaftar masuk dan menyimpan barang di bilik hotel, Amani dan Zafran terus
bersiar-siar di tepi pantai. Pantai persendirian milik hotel itu dijaga dengan
bersih dan baik. Sengaja Amani berjalan di gigi air. Membiarkan kaki serta
hujung seluar pallazonya dibasahi ombak kecil. Seingatnya kali terakhir mereka
ke pantai adalah ketika arwah abah masih hidup. Sudah terlalu lama sehingga dia
hampir terlupa bagaimana rasanya pasir basah yang sedang dipijaknya tatkala
itu.
“Sayang,
dah nak sunset tu. Mari duduk sini,”
Zafran menarik tangan Amani supaya duduk di sebelahnya. Jemari yang masih
berinai itu dicium lagi. Amani melentok manja di bahu Zafran.
“Sayang,
abang sayang dan cintakan sayang sepenuh hati abang!” Zafran meluah rasa. Sudah
setiap hari Amani mendengar bait-bait kata yang sama. Tidak bosankah suami aku
ni cakap benda yang sama ye?
“Sayang
pun macam tu. InsyaAllah, sampai akhir hayat sayang, hanya singa jantan ni sorang yang bertahta di hati!” Amani
membalas genggaman tangan Zafran yang erat. Zafranlah lelaki pertama yang
dicintainya. Moga Allah menetapkan Zafran jua lelaki terakhir yang bersemadi di
hatinya.
“Abang,
sayang nak tanya sikit boleh?”
“Hmm,”
“Sejak
bila abang suka kat sayang? Seingat sayang setiap kali pun abang nak marah
sayang je. Pandangan mata abang tu penuh dengan kebencian je,” Amani meluah
rasa. Persoalan yang sudah terlalu lama dipendam akhirnya terluah jua.
“Hm,
susah betullah soalan sayang ni! Hmmm... Bila ye? Abang pun tak pasti sayang.
Tiba-tiba je kan, satu tahap tu, abang rasa rindukan sayang. Tercari-cari
kelibat sayang. Terbayang dan termimpi-mimpikan Cik Amani Ahmad! Jampi ape tah yang sayang bagi kat abang! Tapi
abang tak reti dan malu nak beritahu kat sayang. Yelah, abang ni kan pemalu
orangnya,” Zafran tersengih apabila
disiku Amani. Tak betul ke yang aku ni pemalu?
“Arisya?”
“Kenapa
dengan Arisya?”
“Eiii...
Abang ni. Buat-buat tak tahu pulak!
Satu Malaysia tahu yang abang bercinta dengan dia kan?”
“Sumpah
abang tak pernah bercinta dengan dia. Biasalah, waktu tu abang sunyi. Abang
suka rapat dengan perempuan jenis macam tu. Tapi tak pernah pun abang bercinta
dengan dia. Dia pun ramai kawan lelaki lain. Bila abang dah sukakan sayang,
memang abang terus putuskan hubungan dengan dia. Kenapa? Sayang abang ni
cemburu ke?”
“Mestilah!
Dia tu kan cantik! Rendah diri sayang dibuatnya...,”
“Bukan
sayang memang rendah ke?” Zafran mengelak apabila sepit ketam Amani mencari
secubit daging lengannya. “Gurau jelah sayang! Tinggi mana pun si Arisya tu,
tinggi lagi kasih abang pada sayang. Abang dah belajar daripada kesilapan.
Bukan kecantikan wajah yang abang cari... Tapi kecantikan hati. Dan pencarian
abang dah berakhir pada sayang. Lagi abang beruntung dapat sayang. Wajah dan hati
sama-sama cantik! Percayalah. Pasal Arisya tu dah boleh tutup buku,”
Amani mencari sepasang anak mata Zafran. Ingin dinilai
ketulusan hati suaminya itu. Kali ini bukan api kebencian yang dilihat di balik
mata itu. Sebaliknya tersirna cahaya cinta penuh keikhlasan. Ya Allah,
teguhkanlah cinta suamiku hanya untuk aku seorang!
Zafran
mengambil sebatang ranting. Spontan tangannya melakar lukisan di atas pasir
basah itu. Amani tertawa tatkala melihat lukisan orang lidi berpegangan tangan
yang dikelilingi lima budak kecil. Amboi, banyaknya anak yang dia nak!
“Cinta
abang hanya untuk sayang dan anak-anak kita. InsyaAllah tidak berbelah bahagi
lagi. Walau apa pun terjadi, sayanglah satu-satunya wanita yang abang cintai,” seiring
dengan matahari yang terbenam, Zafran mengucap ungkapan janji. Zafran mencium
dahi Amani tatkala mentari hilang di balik awan. Meninggalkan permandangan
indah di kaki langit yang berwarna kemerahan. Keindahan sementara sebelum malam
berganti tiba.
“Abang!
Apa tu? Cantiknya bot tu!” Amani menunding ke arah bot kecil yang berhias lampu
berwarna-warni. Dah macam bot berhias!
“Itulah
restoran kita. Kita makan malam kat situ ye,” Zafran membantu Amani berdiri.
Ditariknya tangan Amani supaya menghampiri bot yang sudah mendekati pantai.
Amani terpegun apabila menjejakkan kaki ke atas bot
berhias itu. Sebuah meja kecil diterangi cahaya lilin diletakkan di
tengah-tengah bot. Makanan serta minuman juga sudah siap dihidangkan. Sebaik
bot itu kembali bergerak perlahan, muzik berkumandang melatari perjalanan
mereka.
“Abang tempah semua ni?”
“Ye, abang harap sayang suka. Abang tak pandai nak buat
kejutan romantik macam orang lain,” dalam cahaya samar pandangan mata Zafran
menikam anak mata Amani.
“Ini pun dah cukup sempurna untuk sayang. Selagi abang
ada, semua benda jadi sempurna...,” Amani menahan sebak. Sesungguhnya dia tidak
menyangka Zafran sanggup bersusah payah mengaturkan makan malam yang cukup
istimewa untuk mereka.
“Okay sayang.
Cepat makan. Lepas ni kita kena balik hotel, ada projek besar!” Zafran terus
menadah tangan untuk membacakan doa makan. Sempat pula dia mengenyitkan mata
kepada Amani.
KAKI
AMANI terpaku di lantai. Selepas mereka solat berjemaah tadi, Zafran
meminta dia mengambil barang di kereta. Dia meninggalkan bilik dalam keadaan
normal. Namun kini dia terpesona dengan rias bilik yang sudah berubah. Lampu
suram dengan katil yang dipenuhi kelopak mawar segar mewujudkan suasana yang
cukup romantis. Persis dalam novel! Zafran berdiri di hujung katil dengan
senyuman yang cukup menawan. Cukup menggoda!
Zafran
menepuk-nepuk tilam di sebelahnya sambil memberi isyarat mengajak Amani duduk
di situ. Dengan hati yang berbelah bahagi, Amani turutkan jua permintaan
Zafran. Debaran di dadanya kembali menggila. Sudah seharian mereka melakukan
pelbagai aktiviti, ditambah pula dengan pemanduan yang agak lama, dia sangat
berharap agar Zafran akan tertidur keletihan.
Namun
Zafran dilihatnya masih bertenaga. Sempat
pula suaminya itu mengukir senyuman nakal penuh makna. Zafran memeluk bahu
Amani lalu disandarkan ke tubuhnya. Walaupun dia kelihatan tenang, namun
hakikatnya tidak begitu. Sama seperti Amani, dadanya juga sudah berdebar.
Zafran
mengucup tangan Amani dengan penuh kasih. Dia faham bukan mudah untuk Amani
melalui semua ini. Segala-galanya terlalu pantas. Dari majikan yang berjiwa kejam,
kini dia sudah pun bergelar suami kepada Amani. Dia ingin menjalankan tanggung
jawabnya. Menyempurnakan nafkah zahir dan batin. Melunaskan hak Amani. Yang
zahir memang sudah terbukti kemampuannya. Cuma yang batin masih belum
berkesempatan. He...He...He...
“Sayang,
izinkan abang tunaikan tanggung jawab abang malam ni?”
Zafran
menunggu jawapan dari Amani yang masih menunduk. Amani yang tebal dengan
perasaan malu itu memang cukup difahaminya. Bukankah diam bererti setuju?
Zafran membuat kesimpulan. Dengan lafaz bismillah, Zafran membukakan tudung
yang masih tersarung di kepala Amani. Dagu Amani didongakkan supaya dia dapat
melihat wajah cantik isterinya itu.
“Ya
Allah! Kenapa sayang menangis ni?” Zafran mengesat air mata yang berjuraian
membasahi pipi Amani.
Amani
menahan sebak di dada. Dia benar-benar keliru. Perasaannya berkecamuk. Dia
benar-benar belum bersedia untuk melaksanakan tugas yang satu itu. Dia menjadi
tidak keruan. Segala-galanya serba tidak kena apabila dia dan Zafran ingin
bersama.
“Kenapa
ni sayang? Cuba cakap dengan abang. Kita bincang elok-elok,” Zafran cuba
memujuk. Sudah dua puluh empat tahun hidup sebagai anak dara, mungkinkah Amani
masih belum bersedia untuk menyerahkan mahkotanya itu?
“A...abang...
Sayang minta maaf. Sayang pun tak tahu kenapa. Macam-macam benda pelik sayang
rasa setiap kali kita nak... nak.. hm, bersama. Sayang pun tak faham
kenapa...,” Amani menyembamkan wajahnya ke dada Zafran. Tangisannya dihamburkan
kepada lelaki itu yang entahkan mengerti entahkan tidak.
“Pelik?
Pelik macam mana?” Zafran sudah berkerut dahi.
“Macam-macamlah
bang...”
“Contohnya?”
“Hm, bau
busuk... Ada bau busuk,” Amani menjawab takut-takut. Bimbang mengguris hati
Zafran.
“Hah?
Abang ada bau badan ke?” spontan Zafran cuba menghidu badannya. Hanya bau sabun
mandian serta deodarant yang dapat
dihidunya. Itu pun bau maskulin yang dipilih sendiri oleh Amani. Sememangnya
dia sangat menjaga kebersihan dirinya. Tambahan lagi untuk malam ini. Dia sudah
ekstra berhati-hati.
Amani
menggeleng-gelengkan kepalanya. Perkara beginilah yang sukar untuk dia
terangkan. Bau Zafran cukup wangi di hidungnya. Cuma apabila mereka ingin
bersama, pasti ada bau busuk yang dia terhidu. Entah dari mana, dia sendiri
tidak pasti. Malahan dia sendiri turut berasa lain macam satu badan. Rasa
hendak menangislah, hendak lari, hendak marah pun ada!
“Abang
rasa, sayang tak ready lagi kot. Tak
apalah, jangan menangis lagi ya. Jom kita tidur,” Zafran merebahkan badan di
atas kelopak mawar yang ditaburinya tadi. Rasa terkilannya cuba dibuang
jauh-jauh. Mungkin benar isterinya belum bersedia, namun alasan bau busuk itu
cukup tidak logik padanya. Cubalah bagi alasan yang lebih kukuh! Kalau tak
suka, cakap ajelah.
Amani
menahan esak tangisnya apabila Zafran tidur dengan memalingkan badan.
Kebiasaannya lengan Zafranlah menjadi bantal untuk dia mengalas kepala. Malah
tidurnya lena apabila Zafran memeluknya hingga ke subuh. Empat belas malam yang
sebelum ini, Zafran akan memastikan Amani menerima lima ciuman hangat darinya.
Namun malam ini Zafran cukup berbeza. Marahkah lelaki itu apabila hajatnya
ditolak?
Perlahan-lahan
Amani merebahkan badannya di sisi Zafran. Sisa tangisan dikesat dari pipinya.
Dia tidak menyangka kemesraan yang dirasainya hilang dengan sekelip mata
apabila kehendak yang satu itu tidak dipenuhi. Sukarkah Zafran memahami
keadaannya? Adakah perkahwinan mereka dibina atas dasar memenuhi keperluan yang
itu semata-mata?
“Abang,
sayang minta maaf ye. Percayalah,
sayang tak berniat nak melukakan hati abang...,” Amani berbisik di telinga
Zafran. Dicium lembut pipi suaminya itu sebelum dia kembali merebahkan diri.
Zafran
menyentuh pipinya yang basah dek kerana air mata Amani. Tiba-tiba dadanya
diserbu rasa bersalah. Dengan pantas dia berpaling menghadap ke arah Amani.
Dipeluknya tubuh kecil yang masih menahan esak tangis.
“Abang
minta maaf sayang. Abang tak patut paksa sayang. Abang minta maaf! Abang pun
maafkan sayang,” Zafran mengucup dahi Amani. Mana mungkin dia enggan memaafkan
Amani. Mana mungkin dia membiarkan Amani dikutuk oleh malaikat sepanjang malam
hanya kerana dia tidak meredhai Amani.
“Terima
kasih abang. Abang bagi sayang masa ye,”
Amani tersenyum dalam sedu. Lega apabila Zafran sudi memaafkan dirinya.
“Sama-sama
kasih. Lain kali abang sembur perfume
banyak-banyak ye,” Zafran tersenyum
tawar. Wajah Amani yang masih basah dengan tangisan itu ditatap penuh kasih.
Sabarlah wahai hati. Sesungguhnya bukan ini satu-satunya tujuan aku menikahi
Amani. Ya Allah, izinkan kami melayari bahtera
perkahwinan dengan redhaMu!
Bersambung! =)
Alahaii.. Sian zafran!
ReplyDeleteCikk penulis.. Xmo bg si arisya tu menang yer..cpt2 la amani bc yasin..knfm terbako org yg wt kkeje2 jahat tu! Sian pengantin baru ni!
alaa....... :P
ReplyDeleteInsyallah.... Amani dan zaf banyak-banyak membaca surah Al-Quaran dan bersolat serta minta nasihat dari ustaz kalau dah rasa x sedap hati..... kita lawan dengan ayat suci ... insyallah ......
ReplyDeletebetul tu..jgn bg mainan syaitan dan yg bersengkongkol dgnnya menang....moga amani n zafran dpt rasa kepelikn tersebut......cari je mne2 ustaz bila dah tiba2 rasa bau mcm tu ...takkn x dpt rasa kot....Insya Allah....sanngup mensyirikkn Allah si arisya ni....
Deletekesiannya Amani :(
ReplyDeleteTak suke arisya
ReplyDeleteeee..tk suke nya ngan perempuan tu,siap main bomoh lagi.munafik betul manusia cam tu.cian nye Amani ngan Zafran.tapi dek jangan lh ending nye Zaf ngan Amani terpisah.rase akak bukan Arisa je tp Natrah gak bakal menyumbangkan bergolak nye umah tangga mereka.tak mau lh dek...............
ReplyDelete