Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, March 21, 2013

Bagai Bidadari... (Bab 7)


Bab 7
            TITIS air yang mengalir dari hujung rambutnya dibiarkan jatuh ke lantai. Juliana mengerling jam di dinding. Lebih kurang 40 minit lagi Hasif akan datang menjemputnya. Ia bukanlah satu jangka masa yang lama untuk Juliana merias dirinya dari pangkal rambut hingga ke hujung kaki.
            Tangannya mencapai alat pengering rambut. Serum rambut disapu sebelum dia mengering sambil membentuk gelung-gelung ombak pada rambutnya yang panjang. Selesai dengan rambut, Juliana mengulit pula kulit wajahnya yang mulus. Sebiji jerawat bersaiz nanometer ditekan dengan geram.
            “Waktu ni lah kau nak tengok dunia kan?” Juliana mengomel sendirian. Taraf keyakinannya bagai menurun 20% dengan kehadiran parasit kulit yang satu itu.
            Setelah tiga puluh minit berdandan di hadapan cermin, Juliana menghampiri almari baju. Dikeluarkan sehelai jeans straight cut dan peplum blouse berlengan panjang warna merah jambu. Sudah bertahun mengenali Hasif, dia sudah mengerti sedikit sebanyak perkara yang disukai oleh lelaki itu. Fesyen seksi yang digemarinya sebelum ini tidak mungkin dapat menambat hati lelaki bernama Hasif Wafiy!
            Juliana berpusing di hadapan cermin besar setinggi manusia. Minyak wangi Salvatore Ferragamo disembur pada nadi pergelangan tangan dan dicalit pada batang lehernya. Sebuah senyuman terukir di bibir tanda berpuas hati dengan penampilannya pada malam itu. Perfecto!
            “Ju nak keluar dengan siapa ni?” Munirah menegur tatkala Juliana sudah membuka pintu rumah. Pandangan matanya memerhatikan Juliana dari atas ke bawah.
            “Oh, mummy! Ju nak keluar dengan Hasif!” Juliana tersengih cuma. Macam manalah boleh tak perasankan mummy tadi?
            “Hmm... Ju dah ada apa-apa ke dengan Hasif? Korang dah cakap pasal hati perasaan ke?”
            “Alaaa... mummy tau lah anak Auntie Raihanah tu macam mana kan? Pemalu! Dia bukan pandai nak luahkan hati dia tu. Tapi Ju tahu dia layan Ju special!”
            Munirah menyembunyikan kerutan di dahi. Sudah berjuta kali agaknya dia mendengar jawapan yang lebih kurang sama dari mulut Juliana. Bukan dia enggan merestui Juliana dan Hasif. Namun dia tak mahu Juliana yang melebih-lebih. Sejak bertahun yang lalu dia merasakan Juliana mengejar Hasif. Dah macam perigi mencari timba!
            “Amboi anak ayah ni! Bukan main lagi melaram. Ada fashion show ke?” Zahid muncul dari dapur. Dia tersenyum melihatkan Juliana yang jelita saling tak tumpah seperti Munirah sewaktu muda-muda dahulu. Memang mengancam!
            “Anak awak tu nak keluar dengan Hasif la bang... Tu, dah sampai pun orangnya,” Munirah mengintai dari balik kain langsir.
            “Tak nak jemput dia masuk dulu?” Zahid turut mengintai di sebelah Munirah.
            “Dah lambatlah ayah. Kami nak cepat. Ju pergi dulu ya,” Juliana lekas-lekas menutup kembali pintu rumah. Dia tak mahu Hasif disoal siasat oleh kedua-dua orang tuanya. Dia bimbang mummy atau ayahnya akan menyoal tentang perancangan masa depan. Padahal Hasif sendiri belum meluahkan apa-apa kepadanya. Alah, tak lama lagi lah tu...
            “Hai, Hasif!” Juliana menghampiri Hasif yang sudah keluar dari perut kereta. Kacak macam selalu! Nak tolong bukakan pintu untuk aku ke? Aduhai romantisnya...
            “Hei, Ju! Hm, tak  payah jumpa dengan Uncle and Auntie dulu ke?” Hasif sudah menghampiri pagar rumah Juliana.
            “Eh, tak payah la Hasif. Dorang dah tidur agaknya! Jomlah kita pergi,” Juliana sudah bersandar di tepi pintu kereta.
            Hasif terdiam cuma. Tidur? Habis bayang dua manusia yang tengah mengintai celah langsir tu siapa? Namun Hasif enggan berbalas bicara. Terus saja dia masuk semula ke tempat duduk pemandu. Sedikit pun dia tidak menyedari yang Juliana sudah memuncung panjang akibat dibiarkan membuka pintu kereta sendiri.

            Wardah meneliti satu demi satu buku rujukan di atas rak. Sudah hampir lima belas minit dia berdiri di situ. Namun masih belum ditemui buku rujukan yang berkenan di hati. Dia lebih sukakan buku rujukan yang menyediakan ringkasan peta minda. Otaknya mudah mencerna visual daripada penerangan panjang berjela.
            Kalau diturutkan rasa hatinya, sudah pasti permintaan Auntie Raihanah ditolak mentah-mentah. Namun mengenangkan kebaikan keluarga wanita itu serta harapan ayahnya yang tinggi, Wardah jadi serba-salah. Tak mengapalah mengalah sedikit dengan kehendak dirinya sendiri.
            Setelah hampir setengah jam memilih buku, akhirnya dia sudah membuat keputusan. Sebuah buku rujukan dan dua buah buku latihan dibawa ke kaunter. Wardah menjeling jam di pergelangan tangan. Dia sudah berjanji dengan Wahid agar mengambilnya sebentar lagi. Oleh sebab itulah dia terpacak di tengah SACC Mall dengan baju kurung cotton bercorak Mickey Mouse. Kalau tidak jangan haraplah dia hendak berpakaian sebegini di tempat awam. Memang tak betah.
            “Semuanya RM45.60, kak”,
            Wardah mencari sekeping not RM50 yang dikeluarkan dari mesin ATM sebelum dia ke mari tadi. Aik, mana pula perginya? Wardah berasa gelabah dengan tiba-tiba. Sempat pula dia melihat barisan yang agak panjang menanti giliran di belakangnya. Mana kau duit???
            “Sekejap ye,” Wardah menahan bahang yang membakar kulit wajahnya. Baru dia teringat duit itu diselitkan dalam poket seluar jeans yang sudah berlipat di dalam begnya. Argghh! Takkan nak keluarkan seluar jeans tengah-tengah orang ni?
            “Tak apa, saya bayarkan dulu,”
            Wardah menoleh ke arah empunya suara yang sedang beratur di belakangnya.
            “Eh, tak apa encik!” Wardah tak sempat menahan. Lelaki itu sudah pun menerima pulangan baki daripada juruwang. Dalam rasa segan yang membukit, Wardah mengambil juga beg plastik yang dihulurkan. Dia melangkah beberapa tapak untuk menunggu lelaki tersebut menyelesaikan bayaran bukunya pula.
            “Encik, boleh tunggu sekejap? Kejap lagi ayah saya sampai. Saya ambil duit,” Wardah bersuara tatkala lelaki berkemeja lengan panjang itu menghampirinya. Senyuman di wajah lelaki itu dibalas juga.
            “Hmm, saya nak cepat ni sebenarnya. Lain kali aje lah awak pulangkan?”
            “Lain kali?”
            “Ni nombor phone saya. Nama saya Adam,” sekeping business card sudah pun bertukar tangan. Wardah meneliti maklumat diri lelaki budiman di hadapannya.
            “Nama saya Aimy. Ni nombor saya. InsyaAllah saya tak lari,” Wardah tersengih sambil menulis nombor telefonnya pada cebisan resit buku.
            “Tak apa nak lari pun. Saya kejarlah nanti,” Wardah tak dapat menahan tawa. Pandai juga mamat ni buat lawak ye! Wardah melihat skrin telefon yang berkelip. Panggilan dari ayah tidak sempat dijawab. Dah sampai agaknya.
“Nanti saya contact encik ya. Terima kasih sangat-sangat sebab tolong saya tadi. Assalammualaikum,” Wardah berlalu pergi. Dia tak suka membuat ayahnya menunggu lama.
            Adam masih memerhatikan langkah Wardah yang semakin menjauh. Tolonglah toleh! Sekali pun jadilah! Hati Adam bagaikan berperang. Pandangan matanya masih tidak lepas dari menyoroti gadis berbaju kurung dan berkasut sukan itu. Comelnya!
            “Adam... kan?”
            Adam menoleh apabila merasa bahunya ditepuk seseorang. Dengan berat hati pandangan matanya beralih pula pada sepasang kekasih di hadapannya.
            “Eh, kau Hasif!” Adam melebarkan senyuman. Tangannya berjabat dengan kawan sekolah yang sudah lama tidak berhubung. Adam memerhatikan Hasif. Tak banyak yang berubah tentang lelaki itu. Malah tubuhnya masih fit seperti dulu. Maklumlah, dulu mereka sama-sama mewakili pasukan ragbi.
            “Mana kau pergi Ad? Senyap je,” Hasif menepuk-nepuk bahu  Adam. Dalam banyak-banyak kawan sekolah, Adamlah yang gagal dijejaki semula. Memang teruja rasanya dapat bertemu semula dengan kawan yang pernah sama-sama bersusah-payah dahulu.
            “Aku ada je. Low profile sikit,” Adam tersengih. Soalan yang sudah terlalu biasa didengarinya.
            “Eh, kau nak buat apa ni? Jom join kitaorang dinner?” Hasif tidak perasan Juliana sudah menjeling dengan pandangan mata meluat. Kalau lelaki itu menerima pelawaan Hasif, pastinyalah mereka akan tenggelam dengan perbualan tentang kenangan dulu. Sudah pasti dia tidak dapat berbual-bual dengan Hasif dalam ketenangan.
            “Tak bolehlah hari ni. Aku ada hal. Nanti kita lepak mapley ke? Tak naklah kacau korang dating,” Adam mengalih pandangan sebentar pada wanita di sebelah Hasif.
            “Ish, dating apanya... Ad, lagi dua minggu Rahim kahwin tau. Kita jumpa kat sanalah! Kau bagi nombor phone kau. Nanti aku bagi details!” Hasif mengeluarkan handphonenya. Nombor Adam disimpan dalam kad memori.
            “Okay. Boleh juga jumpa kawan-kawan lama nanti kan! Apa-apa hal kau contact la aku,” Adam bersalam dengan Hasif dan sekadar menganggukkan kepala kepada Juliana. Amboi, sombongnya muka. Dahlah mekap bukan main tebal. Comel balik Cik Aimy tadi!
            Sebaik Hasif berlalu pergi, Adam menoleh kembali ke arah laluan yang diambil oleh Wardah beberapa minit yang lalu. Pastinya gadis itu sudah pun meninggalkan kompleks tersebut. Adam tersenyum merenung nombor telefon Wardah yang masih berada dalam genggamannya.
            Aduhai, indahnya kejadian hari ini!

*                      *                      *                      *                      *                      *                     

Kereta Hasif berhenti di hadapan rumah banglo milik keluarga Juliana. Wajah keruh Juliana dijeling sepintas. Apa sajalah yang tidak kena dengan anak manja Dato’ Zahid ni? Kadang-kadang dia sendiri pening dengan perubahan mood Juliana. Lagipun dia bukan punya apa-apa hubungan istimewa dengan gadis itu. Kalau bukan kerana Juliana yang berkali-kali minta ditemankan mencari pakaian untuk majlis dinner companynya minggu hadapan, dia sendiri tak akan keluar berdua begini.
“Betul ke you tak boleh temankan Ju untuk annual dinner tu? Juliana menarik muncung sekali lagi. Pantang betul jika kemahuannya tidak dituruti.
Hasif mengulum senyuman. Oh, pasal ini rupanya yang merunsingkan Juliana. Dia menyangkakan isu ini sudah tamat. Namun nampaknya gadis bernama Juliana tak mudah melupakan sesuatu yang tidak menepati kehendak hatinya. Hasif menghela nafas.
“Iya Ju. I kena outstation ke Langkawi seminggu. Ada seminar kat sana. Sorry ya,” Hasif berbicara lembut. Nak marah bimbang pula Juliana mengalirkan air mata.
“Hmm, rugi je Ju beli baju mahal-mahal tadi. Kat mana Ju nak pakai baju tu?” Juliana membentak geram. Baju kurung moden dari material sifon yang sarat dengan jahitan manik itu bernilai hampir RM500! Mati-mati dia ingat dia boleh pasang badan dan menjadikan Hasif temannya ke annual dinner.
“Ju kan ramai kawan. Tak ada ke yang boleh temankan?”
“Tak nak!”
Hasif menggigit bibir. Kalau budak kecil sudah lama disekeh-sekeh kepala Juliana yang tak reti bahasa. Tapi hakikatnya dia terhutang budi pada keluarga Dato’ Zahid. Kalau bukan kerana bantuan ayahnya Juliana, pasti lebih lama dia akan menganggur dahulu.
“Macam nilah. Baju cantik tu tadi Ju pakai lagi dua minggu ya. Kawan Hasif kahwin kat Hotel Vistana. Nanti Hasif bawa Ju,ya?” dengan berat mulut Hasif mengutarakan cadangan.
“Betul?” mata Juliana bersinar ceria. Dapatlah dia mengenali kawan-kawan sekolah Hasif pula nanti. Anggukan Hasif membuatkan Juliana berbesar hati. Tak sia-sia dia merajuk sejak dari tadi.
Okay. Jumpa you nanti! Pergi Langkawi beli ole-ole tau!” Juliana sudah berdiri di luar kereta. Tangannya bermain-main dengan rambut yang panjang mengurai. Cakaplah ‘I love you!’. Juliana memasang angan-angan.
Okay. Nanti Hasif belikan coklat. Balik dulu ya Ju. Kirim salam pada Uncle Zahid dan Auntie Munirah,” Hasif mengangkat tangan. Perlahan-lahan keretanya meninggalkan Juliana yang berdiri ditemani lampu jalan yang suram.
Juliana membungkam.
“Hm, tak cakap apa-apa pun! Bilalah kau nak cakap pasal hati ni Hasif, oi! Tak cukup sempurna ke aku untuk kau?” Juliana menyepak seketul batu masuk ke longkang. Hatinya bengkak dengan sikap Hasif.
Beg kertas di tangan dikerling sepintas. Senyumannya menguntum kembali. Kalau tak sayang, kalau tak suka, takkan lah dia beriya ambil hati aku tadi kan? Aku tahu Hasif tu cuma malu nak luahkan perasaan. Alah, tak lama lagilah tu...
Tak apa Hasif Wafiy, Juliana tetap setia menunggu. Walau apa pun yang terjadi, aku akan pastikan kau milik aku!
Juliana tersenyum sendirian.

Monday, March 11, 2013

Bagai Bidadari... (Bab 6)


Bab 6
USAI solat Isya’, Wardah mencapai senaskah al-Quran yang terletak di atas rak buku di tepi katil. Tangannya ligat mencari muka surat yang ditinggalkan seminggu yang lalu kerana cuti haid.  Sesaat kemudian, alunan suara Wardah memecah kesunyian. Wardah merasakan bebanan di bahunya bagaikan terlepas pergi. Perasaan rindu yang sudah lebih dua dekad terpendam berganti pula dengan rasa ketenangan yang sukar diungkap.
Wardah menutup rapi naskah al-Quran. Dicium lama naskah suci itu sebelum didakap erat rapat ke dada. Wardah mengeluarkan sekeping gambar lama yang disimpan di muka surat terakhir. Gambar itu ditatap dalam-dalam sebelum air hangat mula membanjiri pipi mulusnya. Wardah merapatkan gambar itu ke bibirnya. Bagaikan masih terasa sentuhan lembut yang teramat dirinduinya.
“Wardah...” ketukan lembut di muka pintu mematikan lamunannya.
Wardah menyapu air mata di wajahnya lalu lekas-lekas dibuka telekung yang disarung. Pintu bilik dibuka. “Ye, ayah,”
“Wardah, jom turun bawah, nak. Kawan ayah datang tu,” Wahid tersenyum melihat wajah manis anaknya. Persis Farina, isterinya dahulu...
Okay ayah. Wardah pakai tudung kejap ye,” Wardah mencapai tudung ekspress yang tersangkut di kepala katil. Memang berguna untuk dipakai di waktu-waktu kecemasan. Sepintas Wardah menatap wajahnya di cermin, memastikan tiada anak rambut yang terkeluar dari tudung. Dia sudah biasa tidak berbedak. Wajahnya dibiarkan sahaja polos tanpa warna.
Sebaik kakinya memijak anak tangga pertama, telinganya menangkap bual mesra antara ayahnya serta seorang wanita lain. Siapa pula tu? Wardah menuruni tangga dengan gaya sopan yang canggung. Mengepit semacam aje  cara dia berjalan. Di rumah memang perwatakannya berbeza 200% daripada di luar.
“Ha, Wardah! Mari sini. Ingat lagi tak siapa ni?” Wahid menggamit Wardah agar merapati tetamu mereka. Melihatkan kerutan di dahi Wardah, dia pasti anaknya itu sudah melupakan kenangan dulu.
“Amboi, dah ada anak dara kan awak Wahid? Bukan main cantik sekarang. Dulu comot aje auntie tengok,” Raihanah berdiri lalu memegang kedua-dua belah bahu Wardah. Senyuman di wajahnya melebar melihatkan perubahan yang berlaku pada anak gadis itu.
“Apa khabar auntie?” Wardah menghulurkan tangan untuk bersalam. Sungguh dia tidak selesa apabila diperhatikan sebegitu. Anak matanya mengecil cuba mengingati siapakah gerangannya wanita seusia ayah yang masih anggun bergaya ini?
“Wardah tak ingat?”
“Hmm, tak boleh nak recall lah ayah...” jawapan Wardah mengundang tawa kecil di bibir Raihanah.
“Ye la, masa tu kan dia kecil lagi Wahid. Lima, enam tahun kan? Lainlah Fawwaz... dah besar dah waktu tu,” Raihanah masih enggan melepaskan tangan Wardah. Sudah hampir dua dekad mereka terpisah. Memang dia tidak berkecil hati jika kotak memori Wardah tidak terisi dengan kenangan tentang dirinya.
“Ini Auntie Raihanah kamu la. Yang masa kita duduk di Perak dulu. Tak ingat? Kamu kan suka main kahwin-kahwin dengan anaknya dulu?” sebaris ayat terakhir Wahid itu mengundang kerutan di dahi Wardah. Sesaat kemudian wajahnya merona kemerahan. Auntie Raihanah? Jiran lama dulu? Ya Allah... lamanya tak jumpa! Senyuman di wajah Wardah melebar setelah kembali mengingati empunya diri.
            “Nak kena mention pasal kahwin-kahwin baru nak ingat ya?” Auntie Raihanah mencuit dagu Wardah. Mana mungkin dia melupakan peristiwa dulu. Habis sebotol bedak talkumnya diambil mereka untuk dibuat upacara merenjis-renjis di tengah laman. Memang dihambatnya Hasif keliling rumah.
            Wardah cuba mengawal tawanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa berdekah-dekah mengingatkan kenangan dulu. Dia tidak ingat siapakah nama ‘suami’ yang dikahwini pada usia lima tahun dahulu. Dia hanya memanggilnya dengan gelaran ‘abang’. Adui, kecil-kecil dah menggedik nak kahwin. Dah besar begini tak ada pula siapa yang nak!
            “Auntie tinggal kat Shah Alam ke? Uncle Yusof tak datang sekali?” mata Wardah melingas mencari kelibat suami Raihanah.
            “Uncle Yusof dah sebelas tahun meninggal Wardah. Kena heart attack. Auntie dah pindah Shah Alam sepuluh tahun. Tapi baru sebulan lepas terserempak dengan ayah Wardah ni ha,” ada senyuman duka terlukis di wajah Raihanah waktu itu. Wardah terasa bersalah bertanyakan tentang Uncle Yusof. Malah dia sendiri berasa sayu dipagut rindu. Uncle Yusoflah yang sering membelikan ais kepal untuknya dahulu.
            “Saya minta maaf auntie. Saya tak tahu...” Wardah menyentuh tangan Raihanah.
            “Eh, tak apa. Kalau uncle masih ada, mesti dia terkejut tengok Wardah dah besar macamni. Cantik anak awak ni, Wahid. Bila nak bermenantu?”
            “Ha, awak tanyalah sendiri empunya badan. Kerja rumah pun tak lulus-lulus lagi. Pening kepala saya nak besarkan anak dara sorang ni,” kata-kata Wahid disambut tawa Raihanah. Telinga Wardah bagaikan berdesing mendengarkan rungutan Wahid.
           “Auntie borak la dulu ye. Saya buatkan air kejap,” Wardah menggunakan teknik selamat untuk melarikan diri. Perlahan-lahan dia menapak ke ruang dapur. Masih terdengar riuh-rendah tawa ayahnya dan Auntie Raihanah yang saling bersahutan. Wardah mengintai dari celah langsir dapur. Sudah lama dia tidak melihat wajah ayah berseri sebegitu.
 Ehem, ada apa-apa ke antara ayahnya dan Auntie Raihanah? Al-maklumlah, kedua-duanya pun sudah lama hidup membujang. Ish, nak dapat mak tiri ke aku ni?
“Kau hendap apa ni?” Fawwaz menepuk lembut bahu Wardah. Sepasang matanya turut mencari objek hendapan sasaran adiknya itu.
“Eiii, along ni! Suka buat orang terkejut tau!” Wardah mencubit lengan Fawwaz. “Eh, along dah tegur Auntie Raihanah? Jiran lama kita dulu tu!”
“Dah, tadi masa along balik kerja auntie dah sampai. Yang kau ni buat apa kat sini? Pergilah borak dengan auntie. Dari tadi dia tanya pasal kau. Alaaa... menantu dia dulu,” Fawwaz tertawa melihatkan wajah Wardah yang merona merah.
“Orang dah tegur la tadi. Ni orang nak buat air ni,” Wardah menghampiri kabinet dapur. Tangannya mencapai teko putih bercorak bunga. Kepalanya berpusing ke kiri dan ke kanan bagaikan mencari sesuatu.
“Along!” Wardah menggamit Fawwaz yang sedang bersandar pada dinding sambil menikmati sebiji epal merah. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah Wardah. “Mari kejap!” Wardah menggamit lagi.
Fawwaz merapati adiknya. Pelik melihatkan Wardah yang bagaikan mencari sesuatu. “Nak apa?”
“Hmm... macam mana nak bancuh teh?”

*                      *                      *                      *                      *                      *         

Sudah hampir setengah jam Raihanah pulang meninggalkan mereka. Selama itu jugalah Wahid masih belum puas bercerita tentang kenangan serta rapatnya keluarga mereka dahulu. Sesekali kedengaran suara Fawwaz turut menyulam kenangan lalu.
Wardah sekadar menjadi pemerhati yang setia. Selain dari memori main kahwin-kahwin, segala-galanya agak kabur di ruang ingatannya di saat ini. Walaupun lima tahun hidup berjiran, namun akhirnya mereka sekeluarga berpindah ke Pulau Pinang mengikut ayah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di USM. Sejak itu kenangan itu sudah lama terkubur.
Dentingan jam menunjukkan sudah pukul sebelas malam. Fawwaz bangun dari sofa sambil meminta diri untuk masuk tidur. Esok, awal-awal pagi lagi dia ada progress meeting dengan Lembaga Pengarah.
“Wardah pun nak masuk tidur juga la ayah,” Wardah juga turut berdiri tegak. Kain batik dikemaskan kedudukannya.
“Aimy Wardah. Kamu duduk kejap. Ayah ada benda nak bincang,” keseriusan suara Wahid membuatkan Wardah berasa tidak sedap hati. Wahid sudah duduk bersandar sambil menanggalkan kaca matanya lalu diletakkan di meja sisi.
Debaran di dada Wardah bagai sukar dikawal. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh ayah agaknya? Kenapa ayah nampak serius sangat ni? Entah-entah betul tekaannya tadi yang ayah dan Auntie Raihanah mungkin sedang merancang untuk membina mahligai bahagia? Tapi kalau ayah hendak berkahwin dengan Aunti Raihanah, kenapa along tidak diajak duduk berbincang sekali?
“Sebenarnya... Auntie Raihanah datang tadi sebab ada hajat nak minta Wardah tunaikan,” Wahid membetulkan duduknya. Sesekali dia berdehem melegakan tekak. Dia tidak tahu bagaimana mahu mengatur ayat supaya Wardah dapat menerima permintaannya sebentar nanti.
Berhajatkan aku? Takkan Auntie Raihanah datang tadi sebab nak meminang aku??? Wardah yang duduk bertentangan dengan Wahid sudah mula panas punggung. Mulutnya masih terkunci rapi. Namun akalnya sudah jauh membuat pelbagai kesimpulan. Butir bicara Wahid sudah tenggelam di telinganya. Dia leka dalam alam khayalannya sendiri. Walaupun hampir setiap petang mereka main kahwin-kahwin dulu, namun saat ini dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga!
“Kamu dengar tak ni Wardah?” Wahid menguatkan sedikit suaranya. Wardah dilihatnya seperti tidak keruan.
“Ayah, Wardah tak nak kahwin lagi! Wardah tak sedia!” Wardah menentang pandangan mata ayahnya. Bukan dia tidak tahu ayah sudah kerap sangat berbicara soal jodohnya. Manalah tahu kalau ayah pandai-pandai mengikat janji dengan Auntie Raihanah tanpa berbincang dulu dengan dirinya! Baik dia bertegas awal-awal dari sekarang.
“Apa kamu cakap ni Wardah? Kahwin? Siapa pula yang nak masuk meminang kamu ni nak oiii... Buat air pun tak pandai lagi. Ada hati nak bercakap pasal kahwin ya? Ayah cakap, Auntie Raihanah datang tadi sebab nak minta tolong kamu ajarkan anak bongsu dia. Untuk SPM lagi lima bulan ni. Buat private tutor di rumahnya,” Wahid menggelengkan kepala. Hendak tergelak pun ada bila memandang wajah Wardah yang sudah tersipu-sipu malu.
“Ha, jadi tutor? Orang tak pandai mengajar la ayah...” Wardah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hilang satu bala, berganti pula bala yang lain. Kahwin, mengajar, dan berpakaian ayu duduk sebaris sama tinggi dalam kategori yang sukar untuk dia tunaikan.
“Pergilah Wardah. Orang berharap dengan kita. Bukannya Auntie Raihanah minta kamu mengajar free. Nanti dia bagi RM300 sebulan. Rumah dia pun tak jauh. Ayah boleh ambil dan hantarkan kamu,” Wahid memandang penuh pengharapan. Dia berharap benar Wardah mahu mencuba kembali profesion perguruan yang ditinggalkan. Mahu digilap semula minat anaknya itu.
Wahid amat bersyukur apabila dipertemukan semula dengan Raihanah di majlis kenduri seorang kenalan kira-kira sebulan yang lalu. Sudah penat dia memikirkan cara untuk mengerah semula Wardah ke bidang mengajar. Namun ada sahaja alasan yang diberikan oleh Wardah. Dia benar-benar berharap permintaan Raihanah kali ini akan dipenuhi oleh Wardah.
Wardah terdiam berteleku. Dia memang tidak minat mengajar. Tapi... dia tidak sampai hati pula untuk menolak permintaan Auntie Raihanah. Lagipun bak kata ayahnya dari tadi, keluarga Auntie Raihanah memang banyak berjasa kepada mereka. Lebih-lebih lagi pada dirinya sendiri. Sejak ketiadaan ibu, memang Auntie Raihanahlah tempat dia menumpang kasih. Ala... lima bulan aje kan...
“Boleh ke Wardah?” Wahid cuba membaca riak di wajah anaknya.
“Hmm, bolehlah ayah. Tak sampai hati pula nak tolak permintaan auntie...” Wardah cuba juga mengukir senyuman. Kelegaan yang terpancar di wajah Wahid menjentik sejuta rasa di hati Wardah. Memang ayah berharap sangat aku mengajar,kan?
“Alhamdulillah. Terima kasih anak ayah. Minggu depan dah boleh mula tau. Nanti Wardah belilah buku rujukan SPM. Dah lama kan Wardah tinggalkan,”
“Yelah ayah. Esok balik kerja Wardah pergi cari buku. Wardah naik dulu ye, ayah?” Wardah sudah menapak beberapa langkah apabila namanya diseru oleh Wahid.
 “Ye ayah?”
“Bila dah bertandang ke rumah Auntie Raihanah kamu nanti jangan main kahwin-kahwin pula dengan anak teruna dia tu! Single lagi tau! Kerja pun bagus,” ada senyuman nakal terukir di wajah Wahid. Seronok dapat mengusik anak daranya yang satu itu.
“Ish, ayah ni!” Wardah berlalu mendaki tangga. Lekas-lekas pintu kamar tidurnya ditutup rapat. Entah mengapa usikan Wahid sebentar tadi meninggalkan debaran yang lain macam di dadanya.
Wardah merapati almari baju dua pintu. Laci kecil itu ditarik keluar lalu tangannya meraba-raba segenap isi laci yang tidak pernah bersusun sejak berkurun lamanya. Tangannya mengeluarkan sebuah kotak besi Coklat Van Houten yang sudah berkarat. Wardah membuka penutup kotak itu. Sebentuk cincin plastik yang dibeli dari mesin ‘tikam’ sudah berada di atas tapak tangannya.
Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Dengan cincin inilah dia berkahwin dengan anak Auntie Raihanah dua puluh tahun dahulu. Siap duduk bersanding dan ditepung tawar oleh anak-anak jiran tetangga yang lain.
Wardah membaringkan tubuhnya di atas katil bersaiz queen itu. Pandangan matanya ditebarkan ke siling putih berukir cantik. Dia sudah hampir melupakan kenangan masa kecil itu. Cincin di dalam genggamannya kini sudah tersarung di jari kelingkingnya. Semakin melebar senyuman di bibir Wardah tatkala ini.
Hmm, entah macam mana rupa suami aku sekarang ya?

Friday, March 8, 2013

Bagai Bidadari... (Bab 5)


Bab 5
            SEPASANG kaki Wardah melangkah dengan penuh yakin. Ini merupakan kali kedua dia membuat penghantaran bunga di Wisma Bina Jaya. Selebihnya Raju yang akan melakukan penghantaran. Dia lebih selesa bekerja dengan bunga dan duri di dalam kedai daripada berhadapan dengan manusia-manusia yang suka bersikap ‘judgemental’.
            Tengoklah saat dia melangkah masuk ke pejabat mewah ini pun dia sudah mengesan beberapa pasang mata yang tidak henti-henti memberikan pandangan yang merimaskan. Dengan bibir yang terjuih-juih itu pastinya berbakul-bakul umpatan sedang dikatakan oleh mereka tentang dirinya.
Wardah hanya mampu tersenyum. Kalau bukan atas urusan kerja dia ke mari, sudah pasti dia akan melancarkan serangan peluru berpandu kepada mereka. Apa, susah ke untuk hidup tanpa menilai seseorang dari luarannya? Apakah hak mereka untuk mempersoalkan tentang dirinya sedangkan mereka tidak pernah berada di tempatnya?
Excuse me miss. Who are you looking for?” sapaan dan senyuman gadis penyambut tetamu melenyapkan angan-angannya.
Hmm, I’m looking for Mr. Hasif Wafiy. Ada special delivery for him,” Wardah menunjukkan gubahan pokok kaktus kepada gadis bertag nama ‘Atiqah’. Sejuk sedikit hatinya melihatkan keramahan gadis itu.
“Oh, you can leave it here, miss. Nanti saya serahkan pada Mr. Hasif,” Atiqah sudah menghulurkan tangannya.
“Eh, never mind. I prefer to put this on his table myself. Ni special delivery from someone special. It is part of our policy to ensure that goods are delivered safely to the clients,” Wardah cuba menerangkan. Bukan dia tidak percaya kepada Atiqah, namun pernah dulu berlaku satu insiden salah faham pada bunga yang dihantar. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang lagi.
“Hmm... okay then. His room is the second one on your left,” tangan Atiqah melurus menunjukkan arah kepada Wardah.
Wardah tersenyum sebelum kembali melangkah ke arah bilik yang dimaksudkan. Sepasang kakinya yang bersarung kasut sukan terhenti di hadapan pintu kaca yang tertulis nama yang dicari. Matanya melirik membaca sebaris perkataan yang tertera.
Architect’.
Amboi... Memang hebat gerangan jejaka pilihan perempuan yang bernama ‘Ju’ itu. Sesuailah dengan gayanya yang begitu sempurna menjaga penampilan. Wardah menolak perlahan pintu kaca sambil menjengukkan kepala. Pandangannya melata pada segenap ruang bilik yang sepi.
“Assalammualaikum!” suara halus Wardah sunyi kedengaran tanpa jawapan. Bilik itu nampaknya tidak berpenghuni. Mungkin Hasif Wafiy menghadiri mesyuarat atau keluar bertemu klien. Otak Wardah pandai-pandai membuat kesimpulan.
Tanpa membuang masa Wardah merapati meja besar yang kelihatan kemas dan teratur. Wow! Kalah orang perempuan. Wardah terkenangkan biliknya yang ditinggalkan macam tongkang pecah pagi tadi. Bukan setakat pagi tadi, malah boleh dikatakan hampir setiap hari biliknya dalam keadaan begitu. Senyuman nakal terukir di wajah Wardah.
Wardah meletakkan pokok kaktus dengan berhati-hati di atas meja kerja Hasif. Tangannya lincah membetulkan kedudukan kad ucapan. Wang yang dikeluarkan oleh pelanggan mereka bukan sedikit. Dia mahu mereka berpuas hati dengan setiap sen yang dibelanjakan kepada Blooms. Biar cantik. Biar sempurna.
Wardah meninjau-ninjau bingkai gambar yang tersusun di atas meja. Walaupun berpenampilan seperti lelaki, namun naluri kewanitaannya masih menebal untuk melihat rupa paras empunya sebaris nama yang cukup hebat itu.
            Jemari Wardah mencapai bingkai berwarna keemasan di atas meja. Gambar yang sudah berusia kurang lima tahun itu memaparkan sekumpulan pemain ragbi yang sedang bersorak kegembiraan. Yang mana satu agaknya si Hasif Wafiy ya? Sepasang anak mata Wardah meneliti wajah-wajah di dalam gambar itu.
Belum puas dia meneliti gambar tersebut, telinganya menangkap suara lelaki yang semakin menghampiri bilik itu. Jantung Wardah berdegup laju. Spontan tangannya meletakkan semula bingkai gambar tersebut. Matanya ditala pada bayang-bayang sesusuk tubuh lelaki yang berdiri di hadapan pintu kaca.
Gulp.
Wardah menelan liur. Pahit. Entah mengapa lain benar debaran yang dirasainya saat ini. Dadanya bergetar hebat. Kakinya pula terasa lembik seperti agar-agar. Fuh! Hebat betul aura yang dibawa oleh Hasif Wafiy! Wardah menyimpul senyuman di bibir tatkala pintu kaca ditolak dari luar.
*                *                      *                      *                      *                      *
Sepasang anak mata Hasif membulat sebaik matanya terpandangkan susuk tubuh kecil yang berdiri hampir dengan meja kerjanya. Walaupun sudah lebih sebulan peristiwa itu berlalu, mana mungkin dia melupakan wajah serta kata-kata berbisa yang pernah dihamburkan oleh perempuan di hadapannya ini.
Malah perasaan marahnya masih berbaki hingga ke hari ini. Kerana perempuan itulah dia jadi fobia mahu menaiki tren. Kereta Toyota Caldina itu pun dibeli kerana peristiwa hitam tersebut.
“Apa kau buat kat sini?” suara Hasif kedengaran perlahan namun tegas. Senyuman di bibir Wardah hilang dengan serta-merta. Matanya dikecilkan sambil menjamah wajah lelaki berdada bidang itu.
What??? Ini Hasif Wafiy? Muka Wardah merah menahan rasa marah terkenangkan peristiwa dipeluk lelaki itu. Sumpah-seranah berbakul ingin dilemparkan namun sekadar tersekat di kerongkongnya.  Hanya bibirnya diketap untuk melempiaskan rasa marah.
“Kau pekak ke? Buat apa datang sini? Mana kau tahu alamat pejabat aku? Kali ni kau nak apa pulak? Nak minta aku bertanggungjawab kahwin dengan kau?” suara Hasif sinis menampar telinga Wardah. Seronok pula rasanya apabila gadis itu sekadar terdiam tidak mampu menjawab kata-katanya.
“Eh, kau jangan perasan ye. Aku datang sebab buah hati kau yang macam Nyonya Mansur tu beli pokok kaktus kat kedai aku. Kalau aku tahu ni pejabat kau, confirm aku hantar bunga tahi ayam. Well, my job is done here,” Wardah menjeling tajam. Langkah kaki dihayun untuk keluar meninggalkan bilik itu, namun niatnya terhalang kerana Hasif masih terpacak berdiri di hadapan pintu.
“Tepi sikit,” Wardah sekadar menunduk. Tidak berani menentang wajah lelaki yang berjarak dua tapak darinya.
Hasif terkesan ada getaran pada suara halus gadis di hadapannya itu. Takut ke dia? Perempuan singa macam dia ni tahu takut? Hasif terhidu bau kemenangan di pihaknya hari ini. Akalnya mula merencana sesuatu.
“Takkan dah nak balik? Tunggu la dulu...” Selamba sahaja dia melangkah setapak merapati Wardah. Senyumannya melebar saat melihat Wardah yang terdorong ke belakang dengan wajah cuak. Ish, apa dia nak buat ni? Dada Wardah dilanda debaran menggila.
Hasif sekadar membisu seraya melangkah lagi merapati Wardah. Setapak dia ke hadapan, dua tiga tapak Wardah berundur ke belakang. Hasif dapat melihat dengan jelas riak ketakutan yang terpancar di wajah Wardah. Semakin seronok pula dirasakannya saat itu.
“Ka... kau nak a... apa ni?” Wardah bertanya sambil cuba menentang pandangan mata Hasif. Kakinya terhenti melangkah. Sekilas dia terpandang dinding di belakangnya. Alamak, nak lari mana lagi ni?
“Hari tu kau cakap aku sengaja peluk kau kan? Hari ni aku nak tunjuk betul-betul macam mana cara nak peluk orang,” Hasif mendepakan tangannya seakan-akan cuba meraih Wardah ke dalam dakapannya. Wajahnya didekatkan kepada wajah Wardah. Sengaja dilepaskan nafas mendesah untuk menakut-nakutkan lagi perempuan tak berapa perempuan itu.
Bagai hendak pecah perutnya menahan ketawa apabila melihat Wardah memejamkan mata di penjuru bilik. Mulut Wardah jelas terkumat-kamit membaca sesuatu. Baca doa menghalau syaitan agaknya!         
Hasif memerhatikan wajah Wardah yang pucat. Kemenangan yang dirasakannya tadi hilang sebaik melihat manik-manik jernih yang mengalir dari sepasang mata yang masih terpejam itu. Spontan dia mengundur beberapa langkah ke belakang menjauhi Wardah.
“Hei, dah lah tu! Kau ingat aku ada selera ke nak peluk kau?” Hasif memecah kesunyian. Hesyh, baru nak seronok kenakan budak ni dia boleh menangis pulak! Dah la aku lemah dengan air mata perempuan...
Wardah membuka matanya dengan perlahan. Pandangannya yang dikaburi air mata disapu dengan belakang tapak tangan. Jelas kelihatan Hasif sedang berdiri agak jauh darinya saat itu. Wardah berdiri membatu di situ. Hatinya meronta mahu berlari keluar, tapi kakinya masih lemah untuk melangkah. Hendak dihambur sumpah-seranah, namun mulutnya terkunci mati di saat ini. Jantungnya masih berdegup kencang memukul dada apabila mengenangkan peristiwa sebentar tadi.
Hasif turut diam membisu. Takkanlah hendak dipujuk pula perempuan itu. Janggal benar dirasakan. Akhirnya dia mencapai kunci kereta dari dalam laci meja.
“Aku ada appointment dengan client. Kau pun bolehlah keluar dari bilik ni,” Hasif melangkah keluar dari bilik pejabatnya dengan seribu satu rasa. Kalau diikutkan hati lembutnya, sudah pasti dia memohon maaf. Namun mengenangkan bagaimana perempuan itu pernah merobek maruahnya satu ketika dulu, dia jadi keras hati. Ah, sekurang-kurangnya sakit hatinya sudah berbalas.
Wardah merenung kosong ke arah pintu kaca di mana Hasif meloloskan diri sebentar tadi. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan kelegaan dari bibir. Wardah dapat merasakan masih ada gigilan halus pada tangan dan kakinya. Iya, kejadian sebentar tadi menggamit semula kenangan pahit lebih setahun dulu. Kenangan yang cuba dilupakan sekian lama.
Kurang ajar punya jantan! Batin Wardah menjerit kuat. Wardah melangkah dengan berat hati ke arah pintu kaca. Dia mahu keluar dari bilik itu. Namun sebaik tangannya menyentuh pemegang pintu, dia kembali berpatah ke arah meja Hasif.
Wardah berlutut di tepi kerusi empuk milik Hasif. Tangannya lincah mencabut dua roda kerusi tersebut lalu disimpan ke dalam poket seluar baggy miliknya. Kepuasan terpancar di wajahnya.
“Kalau tak jatuh ke belakang, jatuh terkangkanglah kau hendaknya!” Wardah menyimpul senyuman sambil melangkah keluar dengan wajah selamba.

p.s: Finally after sekian lama menghilang. baru nak dapat mood balik! =)