Bab
7
TITIS air yang mengalir dari hujung
rambutnya dibiarkan jatuh ke lantai. Juliana mengerling jam di dinding. Lebih
kurang 40 minit lagi Hasif akan datang menjemputnya. Ia bukanlah satu jangka
masa yang lama untuk Juliana merias dirinya dari pangkal rambut hingga ke
hujung kaki.
Tangannya
mencapai alat pengering rambut. Serum rambut disapu sebelum dia mengering sambil
membentuk gelung-gelung ombak pada rambutnya yang panjang. Selesai dengan
rambut, Juliana mengulit pula kulit wajahnya yang mulus. Sebiji jerawat bersaiz
nanometer ditekan dengan geram.
“Waktu
ni lah kau nak tengok dunia kan?” Juliana mengomel sendirian. Taraf
keyakinannya bagai menurun 20% dengan kehadiran parasit kulit yang satu itu.
Setelah
tiga puluh minit berdandan di hadapan cermin, Juliana menghampiri almari baju.
Dikeluarkan sehelai jeans straight cut
dan peplum blouse berlengan panjang warna
merah jambu. Sudah bertahun mengenali Hasif, dia sudah mengerti sedikit
sebanyak perkara yang disukai oleh lelaki itu. Fesyen seksi yang digemarinya
sebelum ini tidak mungkin dapat menambat hati lelaki bernama Hasif Wafiy!
Juliana
berpusing di hadapan cermin besar setinggi manusia. Minyak wangi Salvatore
Ferragamo disembur pada nadi pergelangan tangan dan dicalit pada batang
lehernya. Sebuah senyuman terukir di bibir tanda berpuas hati dengan
penampilannya pada malam itu. Perfecto!
“Ju
nak keluar dengan siapa ni?” Munirah menegur tatkala Juliana sudah membuka
pintu rumah. Pandangan matanya memerhatikan Juliana dari atas ke bawah.
“Oh,
mummy! Ju nak keluar dengan Hasif!”
Juliana tersengih cuma. Macam manalah boleh tak perasankan mummy tadi?
“Hmm...
Ju dah ada apa-apa ke dengan Hasif? Korang dah cakap pasal hati perasaan ke?”
“Alaaa...
mummy tau lah anak Auntie Raihanah tu
macam mana kan? Pemalu! Dia bukan pandai nak luahkan hati dia tu. Tapi Ju tahu
dia layan Ju special!”
Munirah
menyembunyikan kerutan di dahi. Sudah berjuta kali agaknya dia mendengar
jawapan yang lebih kurang sama dari mulut Juliana. Bukan dia enggan merestui
Juliana dan Hasif. Namun dia tak mahu Juliana yang melebih-lebih. Sejak
bertahun yang lalu dia merasakan Juliana mengejar Hasif. Dah macam perigi
mencari timba!
“Amboi
anak ayah ni! Bukan main lagi melaram. Ada fashion
show ke?” Zahid muncul dari dapur. Dia tersenyum melihatkan Juliana yang
jelita saling tak tumpah seperti Munirah sewaktu muda-muda dahulu. Memang
mengancam!
“Anak
awak tu nak keluar dengan Hasif la bang... Tu, dah sampai pun orangnya,”
Munirah mengintai dari balik kain langsir.
“Tak
nak jemput dia masuk dulu?” Zahid turut mengintai di sebelah Munirah.
“Dah
lambatlah ayah. Kami nak cepat. Ju pergi dulu ya,” Juliana lekas-lekas menutup
kembali pintu rumah. Dia tak mahu Hasif disoal siasat oleh kedua-dua orang
tuanya. Dia bimbang mummy atau
ayahnya akan menyoal tentang perancangan masa depan. Padahal Hasif sendiri
belum meluahkan apa-apa kepadanya. Alah, tak lama lagi lah tu...
“Hai,
Hasif!” Juliana menghampiri Hasif yang sudah keluar dari perut kereta. Kacak
macam selalu! Nak tolong bukakan pintu untuk aku ke? Aduhai romantisnya...
“Hei,
Ju! Hm, tak payah jumpa dengan Uncle and
Auntie dulu ke?” Hasif sudah menghampiri pagar rumah Juliana.
“Eh,
tak payah la Hasif. Dorang dah tidur agaknya! Jomlah kita pergi,” Juliana sudah
bersandar di tepi pintu kereta.
Hasif
terdiam cuma. Tidur? Habis bayang dua manusia yang tengah mengintai celah
langsir tu siapa? Namun Hasif enggan berbalas bicara. Terus saja dia masuk
semula ke tempat duduk pemandu. Sedikit pun dia tidak menyedari yang Juliana
sudah memuncung panjang akibat dibiarkan membuka pintu kereta sendiri.
Wardah
meneliti satu demi satu buku rujukan di atas rak. Sudah hampir lima belas minit
dia berdiri di situ. Namun masih belum ditemui buku rujukan yang berkenan di
hati. Dia lebih sukakan buku rujukan yang menyediakan ringkasan peta minda.
Otaknya mudah mencerna visual daripada penerangan panjang berjela.
Kalau
diturutkan rasa hatinya, sudah pasti permintaan Auntie Raihanah ditolak
mentah-mentah. Namun mengenangkan kebaikan keluarga wanita itu serta harapan
ayahnya yang tinggi, Wardah jadi serba-salah. Tak mengapalah mengalah sedikit
dengan kehendak dirinya sendiri.
Setelah
hampir setengah jam memilih buku, akhirnya dia sudah membuat keputusan. Sebuah buku
rujukan dan dua buah buku latihan dibawa ke kaunter. Wardah menjeling jam di
pergelangan tangan. Dia sudah berjanji dengan Wahid agar mengambilnya sebentar
lagi. Oleh sebab itulah dia terpacak di tengah SACC Mall dengan baju kurung cotton bercorak Mickey Mouse. Kalau
tidak jangan haraplah dia hendak berpakaian sebegini di tempat awam. Memang tak
betah.
“Semuanya
RM45.60, kak”,
Wardah
mencari sekeping not RM50 yang dikeluarkan dari mesin ATM sebelum dia ke mari
tadi. Aik, mana pula perginya? Wardah berasa gelabah dengan tiba-tiba. Sempat pula
dia melihat barisan yang agak panjang menanti giliran di belakangnya. Mana kau
duit???
“Sekejap
ye,” Wardah menahan bahang yang membakar kulit wajahnya. Baru dia teringat duit
itu diselitkan dalam poket seluar jeans yang sudah berlipat di dalam begnya. Argghh!
Takkan nak keluarkan seluar jeans tengah-tengah orang ni?
“Tak
apa, saya bayarkan dulu,”
Wardah
menoleh ke arah empunya suara yang sedang beratur di belakangnya.
“Eh,
tak apa encik!” Wardah tak sempat menahan. Lelaki itu sudah pun menerima
pulangan baki daripada juruwang. Dalam rasa segan yang membukit, Wardah
mengambil juga beg plastik yang dihulurkan. Dia melangkah beberapa tapak untuk
menunggu lelaki tersebut menyelesaikan bayaran bukunya pula.
“Encik,
boleh tunggu sekejap? Kejap lagi ayah saya sampai. Saya ambil duit,” Wardah
bersuara tatkala lelaki berkemeja lengan panjang itu menghampirinya. Senyuman di
wajah lelaki itu dibalas juga.
“Hmm,
saya nak cepat ni sebenarnya. Lain kali aje lah awak pulangkan?”
“Lain
kali?”
“Ni
nombor phone saya. Nama saya Adam,”
sekeping business card sudah pun
bertukar tangan. Wardah meneliti maklumat diri lelaki budiman di hadapannya.
“Nama
saya Aimy. Ni nombor saya. InsyaAllah saya tak lari,” Wardah tersengih sambil
menulis nombor telefonnya pada cebisan resit buku.
“Tak
apa nak lari pun. Saya kejarlah nanti,” Wardah tak dapat menahan tawa. Pandai juga
mamat ni buat lawak ye! Wardah melihat skrin telefon yang berkelip. Panggilan dari
ayah tidak sempat dijawab. Dah sampai agaknya.
“Nanti saya contact encik ya. Terima kasih sangat-sangat
sebab tolong saya tadi. Assalammualaikum,” Wardah berlalu pergi. Dia tak suka
membuat ayahnya menunggu lama.
Adam
masih memerhatikan langkah Wardah yang semakin menjauh. Tolonglah toleh! Sekali
pun jadilah! Hati Adam bagaikan berperang. Pandangan matanya masih tidak lepas
dari menyoroti gadis berbaju kurung dan berkasut sukan itu. Comelnya!
“Adam...
kan?”
Adam
menoleh apabila merasa bahunya ditepuk seseorang. Dengan berat hati pandangan
matanya beralih pula pada sepasang kekasih di hadapannya.
“Eh,
kau Hasif!” Adam melebarkan senyuman. Tangannya berjabat dengan kawan sekolah
yang sudah lama tidak berhubung. Adam memerhatikan Hasif. Tak banyak yang
berubah tentang lelaki itu. Malah tubuhnya masih fit seperti dulu. Maklumlah, dulu mereka sama-sama mewakili pasukan
ragbi.
“Mana
kau pergi Ad? Senyap je,” Hasif menepuk-nepuk bahu Adam. Dalam banyak-banyak kawan sekolah,
Adamlah yang gagal dijejaki semula. Memang teruja rasanya dapat bertemu semula
dengan kawan yang pernah sama-sama bersusah-payah dahulu.
“Aku
ada je. Low profile sikit,” Adam
tersengih. Soalan yang sudah terlalu biasa didengarinya.
“Eh,
kau nak buat apa ni? Jom join kitaorang
dinner?” Hasif tidak perasan Juliana
sudah menjeling dengan pandangan mata meluat. Kalau lelaki itu menerima
pelawaan Hasif, pastinyalah mereka akan tenggelam dengan perbualan tentang
kenangan dulu. Sudah pasti dia tidak dapat berbual-bual dengan Hasif dalam
ketenangan.
“Tak
bolehlah hari ni. Aku ada hal. Nanti kita lepak mapley ke? Tak naklah kacau korang dating,” Adam mengalih pandangan sebentar pada wanita di sebelah
Hasif.
“Ish,
dating apanya... Ad, lagi dua minggu
Rahim kahwin tau. Kita jumpa kat sanalah! Kau bagi nombor phone kau. Nanti aku bagi details!”
Hasif mengeluarkan handphonenya. Nombor
Adam disimpan dalam kad memori.
“Okay. Boleh juga jumpa kawan-kawan lama
nanti kan! Apa-apa hal kau contact la
aku,” Adam bersalam dengan Hasif dan sekadar menganggukkan kepala kepada
Juliana. Amboi, sombongnya muka. Dahlah mekap bukan main tebal. Comel balik Cik
Aimy tadi!
Sebaik
Hasif berlalu pergi, Adam menoleh kembali ke arah laluan yang diambil oleh
Wardah beberapa minit yang lalu. Pastinya gadis itu sudah pun meninggalkan
kompleks tersebut. Adam tersenyum merenung nombor telefon Wardah yang masih
berada dalam genggamannya.
Aduhai,
indahnya kejadian hari ini!
* * * * * *
Kereta
Hasif berhenti di hadapan rumah banglo milik keluarga Juliana. Wajah keruh
Juliana dijeling sepintas. Apa sajalah yang tidak kena dengan anak manja Dato’
Zahid ni? Kadang-kadang dia sendiri pening dengan perubahan mood Juliana. Lagipun dia bukan punya
apa-apa hubungan istimewa dengan gadis itu. Kalau bukan kerana Juliana yang
berkali-kali minta ditemankan mencari pakaian untuk majlis dinner companynya minggu hadapan, dia sendiri tak akan keluar
berdua begini.
“Betul
ke you tak boleh temankan Ju untuk annual dinner tu? Juliana menarik muncung sekali lagi. Pantang betul
jika kemahuannya tidak dituruti.
Hasif
mengulum senyuman. Oh, pasal ini rupanya yang merunsingkan Juliana. Dia menyangkakan
isu ini sudah tamat. Namun nampaknya gadis bernama Juliana tak mudah melupakan
sesuatu yang tidak menepati kehendak hatinya. Hasif menghela nafas.
“Iya
Ju. I kena outstation ke Langkawi
seminggu. Ada seminar kat sana. Sorry
ya,” Hasif berbicara lembut. Nak marah bimbang pula Juliana mengalirkan air
mata.
“Hmm,
rugi je Ju beli baju mahal-mahal tadi. Kat mana Ju nak pakai baju tu?” Juliana
membentak geram. Baju kurung moden dari material sifon yang sarat dengan
jahitan manik itu bernilai hampir RM500! Mati-mati dia ingat dia boleh pasang
badan dan menjadikan Hasif temannya ke annual
dinner.
“Ju
kan ramai kawan. Tak ada ke yang boleh temankan?”
“Tak
nak!”
Hasif
menggigit bibir. Kalau budak kecil sudah lama disekeh-sekeh kepala Juliana yang
tak reti bahasa. Tapi hakikatnya dia terhutang budi pada keluarga Dato’ Zahid. Kalau
bukan kerana bantuan ayahnya Juliana, pasti lebih lama dia akan menganggur
dahulu.
“Macam
nilah. Baju cantik tu tadi Ju pakai lagi dua minggu ya. Kawan Hasif kahwin kat
Hotel Vistana. Nanti Hasif bawa Ju,ya?” dengan berat mulut Hasif mengutarakan
cadangan.
“Betul?”
mata Juliana bersinar ceria. Dapatlah dia mengenali kawan-kawan sekolah Hasif
pula nanti. Anggukan Hasif membuatkan Juliana berbesar hati. Tak sia-sia dia
merajuk sejak dari tadi.
“Okay. Jumpa you nanti! Pergi Langkawi beli ole-ole tau!” Juliana sudah berdiri
di luar kereta. Tangannya bermain-main dengan rambut yang panjang mengurai. Cakaplah
‘I love you!’. Juliana memasang
angan-angan.
“Okay. Nanti Hasif belikan coklat. Balik
dulu ya Ju. Kirim salam pada Uncle Zahid dan Auntie Munirah,” Hasif mengangkat
tangan. Perlahan-lahan keretanya meninggalkan Juliana yang berdiri ditemani
lampu jalan yang suram.
Juliana
membungkam.
“Hm,
tak cakap apa-apa pun! Bilalah kau nak cakap pasal hati ni Hasif, oi! Tak cukup
sempurna ke aku untuk kau?” Juliana menyepak seketul batu masuk ke longkang. Hatinya
bengkak dengan sikap Hasif.
Beg
kertas di tangan dikerling sepintas. Senyumannya menguntum kembali. Kalau tak
sayang, kalau tak suka, takkan lah dia beriya ambil hati aku tadi kan? Aku tahu
Hasif tu cuma malu nak luahkan perasaan. Alah, tak lama lagilah tu...
Tak
apa Hasif Wafiy, Juliana tetap setia menunggu. Walau apa pun yang terjadi, aku
akan pastikan kau milik aku!
Juliana
tersenyum sendirian.
nak lg.
ReplyDeletecian juliana..napa lah hasif xbtrus trg..
ReplyDeleteNk lagiiiii best3...hihi
ReplyDeleteXde sambungan ke? Sy dh beli TKC mmg superb... ;) caiyok3
ReplyDelete