Bab 5
SEPASANG
kaki Wardah melangkah dengan penuh yakin. Ini merupakan kali kedua dia membuat
penghantaran bunga di Wisma Bina Jaya. Selebihnya Raju yang akan melakukan
penghantaran. Dia lebih selesa bekerja dengan bunga dan duri di dalam kedai
daripada berhadapan dengan manusia-manusia yang suka bersikap ‘judgemental’.
Tengoklah saat dia melangkah masuk
ke pejabat mewah ini pun dia sudah mengesan beberapa pasang mata yang tidak henti-henti
memberikan pandangan yang merimaskan. Dengan bibir yang terjuih-juih itu pastinya
berbakul-bakul umpatan sedang dikatakan oleh mereka tentang dirinya.
Wardah
hanya mampu tersenyum. Kalau bukan atas urusan kerja dia ke mari, sudah pasti
dia akan melancarkan serangan peluru berpandu kepada mereka. Apa, susah ke
untuk hidup tanpa menilai seseorang dari luarannya? Apakah hak mereka untuk
mempersoalkan tentang dirinya sedangkan mereka tidak pernah berada di
tempatnya?
“Excuse me miss. Who are you looking for?”
sapaan dan senyuman gadis
penyambut tetamu melenyapkan angan-angannya.
“Hmm, I’m
looking for Mr. Hasif Wafiy.
Ada special delivery for him,” Wardah
menunjukkan gubahan pokok kaktus kepada gadis bertag nama ‘Atiqah’. Sejuk
sedikit hatinya melihatkan keramahan gadis itu.
“Oh,
you can leave it here, miss. Nanti
saya serahkan pada Mr. Hasif,” Atiqah
sudah menghulurkan tangannya.
“Eh,
never mind. I prefer to put this on his
table myself. Ni special delivery
from someone special. It is part of our policy to ensure that goods are
delivered safely to the clients,” Wardah cuba menerangkan. Bukan dia tidak
percaya kepada Atiqah, namun pernah dulu berlaku satu insiden salah faham pada
bunga yang dihantar. Dia tidak mahu perkara yang sama berulang lagi.
“Hmm...
okay then. His room is the second one on your left,” tangan Atiqah melurus menunjukkan arah kepada Wardah.
Wardah
tersenyum sebelum kembali melangkah ke arah bilik yang dimaksudkan. Sepasang
kakinya yang bersarung kasut sukan terhenti di hadapan pintu kaca yang tertulis
nama yang dicari. Matanya melirik membaca sebaris perkataan yang tertera.
‘Architect’.
Amboi...
Memang hebat gerangan jejaka pilihan perempuan yang bernama ‘Ju’ itu. Sesuailah
dengan gayanya yang begitu sempurna menjaga penampilan. Wardah menolak perlahan
pintu kaca sambil menjengukkan kepala. Pandangannya melata pada segenap ruang
bilik yang sepi.
“Assalammualaikum!”
suara halus Wardah sunyi kedengaran tanpa jawapan. Bilik itu nampaknya tidak
berpenghuni. Mungkin Hasif Wafiy menghadiri mesyuarat atau keluar bertemu
klien. Otak Wardah pandai-pandai membuat kesimpulan.
Tanpa
membuang masa Wardah merapati meja besar yang kelihatan kemas dan teratur. Wow!
Kalah orang perempuan. Wardah terkenangkan biliknya yang ditinggalkan macam
tongkang pecah pagi tadi. Bukan setakat pagi tadi, malah boleh dikatakan hampir
setiap hari biliknya dalam keadaan begitu. Senyuman nakal terukir di wajah
Wardah.
Wardah
meletakkan pokok kaktus dengan berhati-hati di atas meja kerja Hasif. Tangannya
lincah membetulkan kedudukan kad ucapan. Wang yang dikeluarkan oleh pelanggan
mereka bukan sedikit. Dia mahu mereka berpuas hati dengan setiap sen yang
dibelanjakan kepada Blooms. Biar cantik. Biar sempurna.
Wardah meninjau-ninjau bingkai gambar yang tersusun
di atas meja. Walaupun berpenampilan seperti lelaki, namun naluri kewanitaannya
masih menebal untuk melihat rupa paras empunya sebaris nama yang cukup hebat
itu.
Jemari Wardah mencapai
bingkai berwarna keemasan di atas meja. Gambar yang sudah berusia kurang lima
tahun itu memaparkan sekumpulan pemain ragbi yang sedang bersorak kegembiraan.
Yang mana satu agaknya si Hasif Wafiy ya? Sepasang anak mata Wardah meneliti
wajah-wajah di dalam gambar itu.
Belum puas dia meneliti gambar tersebut, telinganya
menangkap suara lelaki yang semakin menghampiri bilik itu. Jantung Wardah
berdegup laju. Spontan tangannya meletakkan semula bingkai gambar tersebut.
Matanya ditala pada bayang-bayang sesusuk tubuh lelaki yang berdiri di hadapan
pintu kaca.
Gulp.
Wardah menelan liur. Pahit. Entah mengapa lain
benar debaran yang dirasainya saat ini. Dadanya bergetar hebat. Kakinya pula
terasa lembik seperti agar-agar. Fuh! Hebat betul aura yang dibawa oleh Hasif
Wafiy! Wardah menyimpul senyuman di bibir tatkala pintu kaca ditolak dari luar.
* * * * * *
Sepasang anak mata Hasif
membulat sebaik matanya terpandangkan susuk tubuh kecil yang berdiri hampir
dengan meja kerjanya. Walaupun sudah lebih sebulan peristiwa itu berlalu, mana
mungkin dia melupakan wajah serta kata-kata berbisa yang pernah dihamburkan
oleh perempuan di hadapannya ini.
Malah perasaan marahnya masih
berbaki hingga ke hari ini. Kerana perempuan itulah dia jadi fobia mahu menaiki
tren. Kereta Toyota Caldina itu pun dibeli kerana peristiwa hitam tersebut.
“Apa kau buat kat sini?” suara
Hasif kedengaran perlahan namun tegas. Senyuman di bibir Wardah hilang dengan
serta-merta. Matanya dikecilkan sambil menjamah wajah lelaki berdada bidang
itu.
What??? Ini Hasif Wafiy? Muka Wardah
merah menahan rasa marah terkenangkan peristiwa dipeluk lelaki itu.
Sumpah-seranah berbakul ingin dilemparkan namun sekadar tersekat di
kerongkongnya. Hanya bibirnya diketap
untuk melempiaskan rasa marah.
“Kau pekak ke? Buat apa datang
sini? Mana kau tahu alamat pejabat aku? Kali ni kau nak apa pulak? Nak minta aku bertanggungjawab
kahwin dengan kau?” suara Hasif sinis menampar telinga Wardah. Seronok pula
rasanya apabila gadis itu sekadar terdiam tidak mampu menjawab kata-katanya.
“Eh, kau jangan perasan ye.
Aku datang sebab buah hati kau yang macam Nyonya Mansur tu beli pokok kaktus
kat kedai aku. Kalau aku tahu ni pejabat kau, confirm aku hantar bunga tahi ayam. Well, my job is done here,” Wardah menjeling tajam. Langkah kaki
dihayun untuk keluar meninggalkan bilik itu, namun niatnya terhalang kerana
Hasif masih terpacak berdiri di hadapan pintu.
“Tepi sikit,” Wardah sekadar
menunduk. Tidak berani menentang wajah lelaki yang berjarak dua tapak darinya.
Hasif terkesan ada getaran
pada suara halus gadis di hadapannya itu. Takut ke dia? Perempuan singa macam
dia ni tahu takut? Hasif terhidu bau kemenangan di pihaknya hari ini. Akalnya
mula merencana sesuatu.
“Takkan dah nak balik? Tunggu
la dulu...” Selamba sahaja dia melangkah setapak merapati Wardah. Senyumannya
melebar saat melihat Wardah yang terdorong ke belakang dengan wajah cuak. Ish, apa
dia nak buat ni? Dada Wardah dilanda debaran menggila.
Hasif sekadar membisu seraya melangkah
lagi merapati Wardah. Setapak dia ke hadapan, dua tiga tapak Wardah berundur ke
belakang. Hasif dapat melihat dengan jelas riak ketakutan yang terpancar di
wajah Wardah. Semakin seronok pula dirasakannya saat itu.
“Ka... kau nak a... apa ni?”
Wardah bertanya sambil cuba menentang pandangan mata Hasif. Kakinya terhenti
melangkah. Sekilas dia terpandang dinding di belakangnya. Alamak, nak lari mana
lagi ni?
“Hari tu kau cakap aku sengaja
peluk kau kan? Hari ni aku nak tunjuk betul-betul macam mana cara nak peluk
orang,” Hasif mendepakan tangannya seakan-akan cuba meraih Wardah ke dalam
dakapannya. Wajahnya didekatkan kepada wajah Wardah. Sengaja dilepaskan nafas
mendesah untuk menakut-nakutkan lagi perempuan tak berapa perempuan itu.
Bagai hendak pecah perutnya
menahan ketawa apabila melihat Wardah memejamkan mata di penjuru bilik. Mulut Wardah
jelas terkumat-kamit membaca sesuatu. Baca doa menghalau syaitan agaknya!
Hasif memerhatikan wajah Wardah
yang pucat. Kemenangan yang dirasakannya tadi hilang sebaik melihat manik-manik
jernih yang mengalir dari sepasang mata yang masih terpejam itu. Spontan dia
mengundur beberapa langkah ke belakang menjauhi Wardah.
“Hei, dah lah tu! Kau ingat
aku ada selera ke nak peluk kau?” Hasif memecah kesunyian. Hesyh, baru nak
seronok kenakan budak ni dia boleh menangis pulak!
Dah la aku lemah dengan air mata perempuan...
Wardah membuka matanya dengan
perlahan. Pandangannya yang dikaburi air mata disapu dengan belakang tapak
tangan. Jelas kelihatan Hasif sedang berdiri agak jauh darinya saat itu. Wardah
berdiri membatu di situ. Hatinya meronta mahu berlari keluar, tapi kakinya
masih lemah untuk melangkah. Hendak dihambur sumpah-seranah, namun mulutnya
terkunci mati di saat ini. Jantungnya masih berdegup kencang memukul dada
apabila mengenangkan peristiwa sebentar tadi.
Hasif turut diam membisu. Takkanlah
hendak dipujuk pula perempuan itu. Janggal benar dirasakan. Akhirnya dia
mencapai kunci kereta dari dalam laci meja.
“Aku ada appointment dengan client. Kau pun bolehlah keluar dari
bilik ni,” Hasif melangkah keluar dari bilik pejabatnya dengan seribu satu
rasa. Kalau diikutkan hati lembutnya, sudah pasti dia memohon maaf. Namun mengenangkan
bagaimana perempuan itu pernah merobek maruahnya satu ketika dulu, dia jadi
keras hati. Ah, sekurang-kurangnya sakit hatinya sudah berbalas.
Wardah merenung kosong ke arah
pintu kaca di mana Hasif meloloskan diri sebentar tadi. Tanpa sedar dia
melepaskan keluhan kelegaan dari bibir. Wardah dapat merasakan masih ada gigilan
halus pada tangan dan kakinya. Iya, kejadian sebentar tadi menggamit semula
kenangan pahit lebih setahun dulu. Kenangan yang cuba dilupakan sekian lama.
Kurang ajar punya jantan! Batin
Wardah menjerit kuat. Wardah melangkah dengan berat hati ke arah pintu kaca. Dia
mahu keluar dari bilik itu. Namun sebaik tangannya menyentuh pemegang pintu,
dia kembali berpatah ke arah meja Hasif.
Wardah berlutut di tepi kerusi
empuk milik Hasif. Tangannya lincah mencabut dua roda kerusi tersebut lalu
disimpan ke dalam poket seluar baggy
miliknya. Kepuasan terpancar di wajahnya.
“Kalau tak jatuh ke belakang,
jatuh terkangkanglah kau hendaknya!” Wardah menyimpul senyuman sambil melangkah
keluar dengan wajah selamba.
p.s: Finally after sekian lama menghilang. baru nak dapat mood balik! =)
nak lg.
ReplyDeletedah upload bab 6!
Delete=)
heehee...amek lh mu hasif...mmg terlentang n terkangkang lh nampak nyer...giler selamber jer wardah nih...n u ar so sweet lh wardah..caya lh...
ReplyDeletehehehehe...
DeleteWardah adalah versi heroin brutal!