* * * * * *
“Cepat
lah sikit! Lembab betul lah awak ni,” Zafran menjeling dari ekor mata. Sempat
dia menangkap riak wajah tak puas hati yang terpamer di wajah Amani. Mulut
Amani terjuih sedikit dan terkumat-kamit. Entah apalah yang dibebelnya. Yang
pasti comel sungguh di mata Zafran!
Amani
mempercepatkan langkah. Memang sukar menyaingi langkah Zafran yang besar-besar
itu. Skirt labuh yang dipakai juga menyukarkan lagi pergerakkannya. Kononnya
hendak cantik bergaya hari ini. Tapi tak pasal-pasal dipanggil lembab!
Pelik
betul Amani melihatkan Zafran yang berjalan laju semacam. Tak tahu apa yang
dikejarkan olehnya. Mereka sudah pun selesai membentangkan proposal kepada CEO
serta beberapa orang atasan Sarjana Holdings. Sepanjang dua jam sesi
pembentangan tadi, Amani melayan perasaan kagumnya melihatkan cara Zafran yang
cukup tenang ketika membentangkan proposal. Walaupun diasak pelbagai soalan
berunsur provokasi, tetapi Zafran tetap bersahaja dan tersenyum memberikan
jawapan. Macho habis!
Dia
pula terasa bagaikan semut kecil di dalam bilik seminar itu. Dia merasakan
semua manusia di dalam bilik tadi memberikan pandangan serta senyuman sinis
kepadanya. Sudahlah tak tahu apa yang perlu dilakukan, perutnya pula asyik
berbunyi kerana lapar. Dah macam orang sepuluh tahun tak makan. Amani berharap
benar yang Zafran tidak terdengar alunan muzik yang dimainkan oleh perutnya.
Zafran
berhenti secara tiba-tiba. Tubuh Amani hampir sahaja melanggar belakang badan
Zafran. Kaki kirinya pula memijak kaki Zafran. Apa kes break emergency ni?
“Ini
kali kedua awak pijak kasut saya. Kali ketiga nanti saya potong terus gaji
awak!” Zafran mengancam Amani.
“Minta
maaf encik. Encik berhenti tiba-tiba. Tak sempat saya nak brek...,” Amani sekadar
menunduk. Pandangan mata Zafran tak berani ditentang.
“Dah, jom pergi makan,”Zafran menyembunyikan
senyuman. Kakinya mengorak langkah ke arah Cafe L’apprenti yang terletak di
sebelah kiri. Kesian pula dia mendengar bunyi perut Amani sepanjang sesi
pembentangan tadi. Dah macam bunyi cengkerik bertingkah.
Sebaik
duduk di suatu sudut, seorang pelayan datang menghulurkan menu kepada Amani dan
Zafran. Amani yang pada mulanya gembira bukan main dapat makan free di restoran mewah tiba-tiba berubah
rona wajah sebaik membaca isi kandungan menu.
‘Roasted Yabby Tails with Crustacean
Béarnaise and Pickled Cucumber? Rhubarb
crumble-ish? Langoustine consommé?’ MasyaAllah, nak terbelit lidahnya menyebut
perkataan-perkataan itu. Sudahlah semua harga makanan tersebut mahal-mahal
belaka. Amani menelan liur. Tak tahu apa yang perlu dipesan. Dilihatnya Zafran
sudah pun membuat pesanan kepada pelayan itu. Dalam restoran berhawa dingin pun
Amani sudah berpeluh-peluh. Susah betul dengan Zafran ini. Tak boleh kah makan di
restoran mamak sahaja?
“Kenyang
ke tengok menu tu? Tak nak order
makanan?” pertanyaan Zafran yang 100% berunsur sindiran tu menyebabkan jari
telunjuk Amani pantas menunding ke arah salah satu hidangan dalam menu itu. Nak
menyebutnya memang dia tak pandai. Pelayan muda itu menganggukkan kepala
sebelum beredar meninggalkan mereka.
Suasana
sunyi menyelubungi mereka. Amani mengambil peluang untuk memerhatikan dekorasi
restoran mewah itu. Susun atur perabot mewah menimbulkan rasa kagum dalam diri
Amani. Kalau dengan Syuhada, sudah pasti mereka berposing di serata ceruk restoran tersebut. Ini adalah kali pertama
dia dapat merasa masakan bertaraf lima bintang. Harapannya biarlah hidangan
yang dipesannya tadi sedap dan menepati selera tekaknya.
Dua
orang pelayan datang menghantarkan makanan. Dua buah pinggan besar berwarna
putih diletakkan di hadapan mereka. Di atas pinggan Amani terdapat sepotong
besar daging lembu disirami kuah hitam pekat dan dihiasi dengan beberapa ketul
sayuran. Dalam pinggan Zafran pula terdapat nasi putih serta lauk rendang ayam
yang masih berasap. Amani menelan liur melihat hidangan Zafran.
“Awak
memang suka western food ya?” Zafran
tersenyum sinis. Yang sebenarnya dia hendak tergelak apabila melihatkan reaksi
Amani sebentar tadi. Restoran itu bukan tidak menghidangkan masakan Melayu.
Tapi Amani yang tidak perasan sewaktu terpegun membelek menu.
Amani
buat tidak dengar dengan soalan Zafran. Teragak-agak dia memegang pisau dan
garfu. Tak pernah lagi dia makan menggunakan pisau begini. Bimbang juga kalau
tak kena gayanya tertikam pula diri sendiri nanti.
“Sedap?”
Zafran memerhatikan Amani yang baru menyuap suapan pertama. Wajah Amani yang
sedikit berkerut mencuit rasa di hatinya. Lama benar masa yang diambil oleh
Amani untuk memotong sepotong daging sedangkan nasi di pinggannya sudah tinggal
separuh.
“Sedap,”
Amani pamer wajah teruja. Hakikatnya, kalau boleh ingin sahaja dia muntahkan
kembali isi daging tersebut. Kurang masak! Daging pun masih berwarna merah
jambu. Macam mana chef restoran mewah begini tidak pandai memasak daging? Amani
menelan daging tersebut perlahan-lahan. Hendak memesan menu lain bimbang pula
dimarahi oleh Zafran. Silap-silap disuruhnya bayar sendiri nanti.
Sudah
dua tiga kali Amani menukarkan kedudukan pisau dan garfu di tangan.Tangannya
terlalu kekok untuk makan secara berprotokol begitu. Kalau diturutkan rasa
hati, mahu sahaja dia makan dengan menggunakan tangan. Tak perlu control cun begini.
“Makan sampai habis! Kalau tak...”
Zafran tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Brokoli yang terpelanting dari
pinggan Amani mendarat betul-betul pada kemejanya. Sos pekat berwarna hitam
mengalir perlahan, membentuk corak tambahan pada kemeja itu.
Zafran
tergamam. Kejadian brokoli terbang menyebabkan dia kehilangan idea untuk terus menyakat
Amani.
“M...ma..maaf
encik. Saya tak sengaja,” Amani mencapai napkin putih di atas meja dan spontan
cuba mengelap kesan kotoran di dada Zafran. Rasa cuak tak usah nak cerita.
“Dah,
dah. Jangan cuba nak ambil kesempatan pada saya,” wajah Zafran beku tanpa
reaksi. Dia memanggil pelayan untuk membawakan bil. Mujur lah tidak ramai
pelanggan di restoran pada waktu itu. Amani membungkam. Geram betul dia dengan
kecuaian diri sendiri. Takut juga kalau Zafran meminta ganti rugi untuk kemeja
itu. Entah berapa ratus pula yang perlu dibayar.
Suasana
sunyi masih setia menemani mereka apabila memasuki kereta. Amani tidak berani
langsung hendak memandang wajah Zafran. Dia hanya menunduk dan berharap agar
mereka cepat sampai ke pejabat. Sampai naik lenguh
tengkuknya kerana terlalu lama menunduk sepanjang perjalanan.
Apabila
kereta Zafran melanggar bonggol beberapa kali, Amani panggung kepala. Hairan bukan
main dia apabila mendapati kawasan persekitaran yang dikelilingi pokok. Kereta Zafran
meluncur di atas jalan yang terlalu asing bagi dirinya. Jauh dari kesibukan
kota. Jalannya berliku umpama sedang menaiki bukit. Punya lah kusyuk dia menunduk sehingga tidak sedar
mereka sudah tersasar jauh dari arah destinasi sebenar.
Amani
yang memang berimaginasi tinggi sudah mula tidak senang duduk. Dikelilingi
kawasan sunyi begini mendatangkan rasa takut yang bukan sedikit dalam dirinya. Kepalanya
sudah mula terbayangkan perkara yang bukan-bukan. Wajah Zafran yang tenang
dicuri pandang.
“Kita
nak ke mana ni Encik Zafran?” Amani memecah kesunyian. Sedaya upaya dia cuba
kedengaran kasual. Rasa takut disembunyikan sebaik mungkin.
“Kita
nak pergi satu tempat. Kejap lagi awak tahu lah...” Zafran berkias. Bukan dia
tidak tahu Amani itu penakut orangnya. Membiarkan Amani dalam tanda tanya
umpama suatu penderaan mental bagi Amani. Zafran tersenyum di dalam hati.
Tidak
lama kemudian, kereta Zafran melewati papan tanda ‘The Pinnacle’. Zafran berhenti
sebentar di pondok pengawal sebelum meluncur laju di hadapan deretan rumah
mewah. Amani terpegun dengan rekabentuk rumah yang terlalu cantik.
‘Macam
istana,’ bisik hati kecil Amani. Hilang terus rasa takut yang menghantui
sebentar tadi. Mulutnya hampir terlopong tatkala mengamati setiap rumah di
situ. Semuanya begitu unik. Kereta mewah tersusun di setiap garaj rumah
tersebut.
Zafran mematikan enjin kereta
di hadapan salah sebuah banglo yang tersergam indah. Selamba sahaja dia
meninggalkan Amani di dalam kereta. Amani memerhatikan Zafran yang melewati
pagar rumah tersebut. Seorang lelaki separuh umur yang sedang menyiram pokok
bunga menunduk hormat kepada Zafran. Tahulah Amani yang kini dia berada di
hadapan rumah Zafran.
Selepas
lima belas minit ditinggalkan di dalam kereta, Amani sudah mula berasa panas dan
lemas. Bengang juga dia dengan Zafran. Sekurang-kurangnya bukakanlah tingkap
untuknya. Perlahan-lahan Amani membuka pintu kereta. Jam tangan dikerling
sepintas. Sudah pukul 4 petang! Baru Amani tersedar yang dia belum menunaikan
solat Zohor.
Amani
teragak-agak untuk melangkah masuk. Namun tuntutan ukhrawi tidak boleh
diabaikan. Serba-salah dia melangkah masuk ke perkarangan rumah mewah tersebut.
Amani menganggukkan kepala kepada tukang kebun yang tersenyum manis kepadanya. Kakinya
melangkah ke pintu hadapan yang terbuka luas seolah-olah mengalu-alukan
kedatangannya. Kasut cap Bata disusun ditepi pasu bunga orkid.
Dengan lafaz bismillah dia melangkah masuk
dengan kaki kanan. “Assalammualaikum”.
Bersambung! : )
Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D
Boleh juga tinggalkan jejak dengan menulis kritikan/cadangan di bawah! :D
alaaaaa.. suspend betol... sambung cepat liya! hehe
ReplyDeleteInsyaAllah next week!
DeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDeleteexcited sgt2 nak tau ape jd next neh...thumbs up!
ReplyDeleteTq eira!
DeleteAlaaaaaa.. Cepatla., huhu.. Suspen dh nih
ReplyDeletesabar menanti ye...:)
Delete