Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, April 2, 2012

Bab 2

Zafran memerhatikan gadis di hadapannya yang sedang terkebil-kebil. 'Gagapkah?' Dia bertanya sendiri. Yang peliknya bagaimana dia boleh masuk ke pejabat. Siapa yang beri keizinan. Melissa si penyambut tetamu yang sudah berkhidmat dua tahun itu mesti tahu yang dia tidak suka penjual atau agen insurans memasuki pejabatnya.

Melissa masuk tepat pada masanya membawa beberapa dokumen yang perlu ditanda tangani oleh Zafran.

"Who is this Melissa? You know that I don't welcome any salespersons or insurance agents in my office. Please escort this lady out of this building,"

"Eh, Encik Zafran. Ini calon temuduga untuk jawatan secretary tu lah. Saya ada beritahu pagi tadi kan yang kita ada interview this afternoon? Her name is Amani Ahmad. Cik Amani, this is our manager, Encik Zafran bin Dato' Mustapha," Melissa memandang kepada Amani. Timbul rasa bersalah kerana tidak mengatur temuduga itu dengan lebih baik. Yang sebenarnya Melissa sudah terlalu penat memangku tugas setiausaha sejak tiga minggu lalu. Sebab itulah dia seperti time bomb. Tunggu masa sahaja untuk meletup.

Mata Zafran kembali tertancap kepada sesusuk tubuh Amani. Diperhatikannya dari atas ke bawah. Lagaknya seperti seorang inspektor.

'Rupa boleh tahan. Tapi selekeh macamni macam mana nak jadi setiausaha?' detik hati kecil Zafran. Zafran terkenangkan Munirah, Alia dan Sheryl yang pernah menjadi setiausahanya dahulu. Semuanya berpenampilan menarik. Zafran mengerutkan dahi. Dia tidak menyangka hanya seorang calon yang datang menghadiri temuduga. Kalau ikutkan tafsiran matanya, memang Amani tidak sesuai langsung untuk jawatan ini.

Namun dia tahu yang dia tidak boleh terlalu memilih. Peletakan jawatan Munirah yang secara mendadak menyebabkan banyak urusan syarikat menjadi tergendala. Melissa nampaknya sudah tidak mampu nak memikul kedua-dua kerja. Dia mengerling pula ke arah Melissa yang kelihatan tak terurus dengan rambut yang tidak disisir rapi seperti selalu.

"Ada pengalaman bekerja?" Zafran bertanya sambil menjemput Amani duduk di kerusi di hadapannya. Suaranya mendatar. Sebaik Amani melabuhkan punggung di kerusi empuk itu, Melissa keluar meninggalkan mereka berdua. Fail berisi sijil sudah bertukar tangan.

Amani berkira-kira sendiri, sebelum ini dia pernah bekerja sebagai pembantu kantin di sekolah. Dia juga pernah menjadi guru ganti sementara menunggu keputusan STPM dulu. Bolehkah itu dianggap sebagai pengalaman kerja?

Zafran berhenti membelek sijil-sijil di dalam fail. Dia menanti jawapan dari seulas bibir itu. 'Ah, sudah. Memang betul gagap agaknya?' Zafran berteka-teki sendiri.

"Lepas STPM saya kerja di kampung aje encik," Amani menjawab perlahan. Zafran mencebik sambil kembali membelek fail di tangan. Amani yang ternampak reaksi Zafran berasa hati. Pantas dia membuat kesimpulan bahawa orang di Kuala Lumpur semuanya sombong dan tidak pandai hormatkan orang lain. Tidak seperti masyarakat di kampung.

Ketika ini Amani benar-benar rasa ingin meninggalkan bilik pejabat yang serba mewah itu. Sejuk penghawa dingin tidak dirasakan lagi apabila hati panas membara. Mujurlah bayangan wajah emak dan adik-adik mengembalikan semangat Amani.

"Keputusan STPM not bad. Kenapa tak sambung belajar?"

"Tak mampu encik. Emak saya sakit waktu tu. Jadi saya terpaksa tolak tawaran belajar. Adik-adik masih kecil, tak ada siapa nak jaga emak," kali ini Amani bersuara tegas. Dia tidak pernah malu dengan nasib yang menimpa diri. Tapi kesedihan tidak dapat melanjutkan pelajaran masih terasa hingga kini. Namun dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia dapat berbakti kepada ibu tercinta.

"Since that you don't have any working experience, do you think you can perform well in this company? Being my secretary means that you have to work under my supervision all of the time. Do you think you are up to the standard?" Zafran memandang lagi gadis kampung bernama Amani itu. Dia merasakan sakit mata dengan penampilan selekeh Amani. Bayangan tubuh montok Munirah tiba-tiba terpapar di hadapan matanya. Kesemua setiausahanya dulu pandai memilih pakaian dan bersolek. Memang boleh menggetarkan imannya yang senipis kulit bawang itu.

Nampaknya tak dapatlah dia cuci mata seperti dulu. Buat sakit mata dan sakit hati adalah kalau melihat penampilan Amani yang out dated itu.

"InsyaAllah. I may not have the experience, but i will learn to be a good worker," Amani puas hati dapat menuturkan beberapa patah perkataan Bahasa Inggeris itu. Dia tidak suka dipandang rendah oleh lelaki di depannya ini. Jangan ingat budak kampung sepertinya tidak boleh bertutur dengan baik. Gelabah je tadi tu.

"Good is not enough. Only the best deserves to be here. So you better be one. Tahniah. Awak diterima bekerja di sini mulai esok. Gaji seperti yang kita tawarkan dalam iklan. Elaun bulanan sebanyak RM500 akan diberikan berdasarkan rekod kehadiran dan performance. Melissa akan terangkan dengan lebih jelas apa job scope awak nanti," Zafran mengembalikan fail kelabu itu.

"Alhamdulillah. Terima kasih encik," walaupun berasa terhina dengan layanan yang diberikan di situ, namun dia bersyukur kerana tidak sangka diterima bekerja di syarikat besar itu. Hanya wajah emak dan adik-adik yang terbayang di ruang mata ketika ini.

By the way, my name is Zafran," Zafran selamba menghulurkan tangan kepada Amani.

Amani menjadi serba salah. Dia tidak pernah bersentuhan dengan lelaki yang bukan muhrim. Penyakit gelabah ayam Amani datang lagi. Amani pura-pura tidak melihat huluran tangan itu dengan menyelongkar beg tangannya seolah-olah sedang mencari sesuatu.

Melihatkan huluran tangan yang tidak bersambut, Zafran kembali menarik tangannya. Dia mendengus perlahan. Egonya tercalar dengan sikap Amani sebentar tadi. Kebanyakan perempuan bertudung yang dikenalinya masih bersalaman dengan lelaki lain. Nampaknya Amani bukan seperti itu.

"Okay, pastikan esok datang awal. Waktu bekerja dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. I want my coffee on my table when I arrive. Dan..hmmm...tolong pakai cantik sikit. Sakit la mata saya tengok awak pakai macamni," Zafran berkata selamba. Puas hatinya dapat mengenakan Amani kembali.

Amani sekadar tersenyum. Walaupun hatinya sakit dengan sebaris ayat terakhir itu, namun dia tabahkan hati apabila mengenangkan dia dapat membantu meringankan beban kewangan keluarga selepas ini.

Selepas mengucapkan terima kasih, Amani melangkah keluar dari pejabat besar milik Zafran. Zafran menghantar dengan pandangan mata dan senyuman sinis di bibir.

'Ah, baru lagi sampai KL. Lepas dua, tiga bulan nanti mesti tudung atas kepala tu dah terbang entah ke mana.' Tempelak Zafran di dalam hati. Dia ingin melihat sejauh mana gadis kampung bernama Amani itu dapat bertahan mengekalkan ciri-ciri gadis melayu terakhir.

Amani melangkah keluar dari bangunan Megah Holdings. Dia masih berasa tidak percaya. Semalam dia masih lagi di kelilingi pokok-pokok kelapa yang tinggi melambai. Hari ini dan hari-hari seterusnya dia akan tinggal di bandar metropolitan yang di kelilingi bangunan tinggi pencakar langit. Amani tersenyum sendiri dengan rezeki yang dikurniakan Allah.

Tatkala mengenangkan wajah serta sikap Encik Zafran, Amani berasa kecut perut. Mampukah dia bertahan dengan sikap sombong seperti itu? Yang lebih menggusarkan hatinya adalah pakaian yang perlu disarung ke tubuh esok hari.

'Hai lah nasib badan dapat bos cerewet. Muka aje hensem macam Adi Putra. Tapi perangai tak lawa langsung!' Amani mengeluh sendiri.

Dalam diam dia memanjatkan doa kepadaNya. Semoga urusannya mencari rezeki sentiasa dipermudahkan Allah.

"Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan, Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki"

No comments:

Post a Comment