Selepas waktu rehat tengahari, Amani terus
menyiapkan beberapa minit mesyuarat yang tidak sempat disiapkan oleh Munirah
sebelum berhenti kerja dahulu. Kalau diturutkan rasa sakit kepala dan
senggugutnya itu, mahu sahaja dia ke klinik dan minta MC dua hari. Boleh la
bersenang-lenang berehat di rumah. Paling tidak pun boleh lah menonton
rancangan drama berepisod kegemarannya. Sejak berkerja, memang Amani dah tak
pernah berkesempatan untuk mengikuti rancangan tersebut. Waktu tayangan drama itu
memang ngam-ngam sewaktu dia tengah berhimpit dalam tren. Memang tak lengkap
dirasakan hidupnya sekarang ini apabila sudah ketinggalan beberapa episod drama
melayu lakonan Adi Putra dan Nora Danish itu.
Namun tadi Amani sempat membaca serta
memahami isi kandungan kontrak yang diberi oleh Zafran. Kalau tadi hatinya
berjoget gembira bukan main, sekarang ini dia berasa tertekan. Rupa-rupanya wang pendahuluan RM1500 yang
diperolehi sebentar tadi adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Dah macam masuk pertandingan. Sekiranya
Amani tidak menunjukkan mutu kerja yang memuaskan, jumlah RM1500 akan dipotong
dari bonus hujung tahun nanti. Namun jika persembahan kerjanya mencapai tahap
standard yang ditetapkan, RM1500 itu dikira wang bershopping la untuk dirinya. Ceh, bijak betul Megah Holdings merangka
strategi! Masalahnya, bukan mudah untuk memuaskan hati Zafran. Bukan Amani
tidak sedar, ada saja yang dilakukannya mengundang kemarahan bosnya itu.
Atas sebab itulah tepat pukul dua petang
Amani sudah terpacak berdiri di mejanya. Sibuk menyiapkan lambakan kerja yang
ditinggalkan oleh Munirah. Amani tak mahu lagi main-main dalam soal kerja. Jumlah
wang RM1500 itu terlalu besar bagi dirinya. Sewaktu bekerja di kantin sekolah
dulu, hampir tiga bulan gaji bekerja baru dapat menyamai jumlah wang yang
diperolehinya hari ini. Amani sudah tidak sabar untuk menghantar wang kepada
emak dan adik-adik. Boleh la Amira membelikan barang keperluan rumah. Tak
kisahlah ketinggalan drama lakonan Adi Putra asalkan dia sekeluarga cukup
belanja. Lagipun Zafran pun ada iras-iras Adi Putra. Terubat juga rindunya pada
aktor kacak itu. Amani sempat menjeling ke arah Zafran yang sedang tekun
menghadap komputer. Senyuman nakal terukir di bibirnya.
FAHIM melangkah masuk
ke Megah Holdings. Sudah tiga minggu dia tidak menjejakkan kaki ke pejabat.
Semuanya gara-gara masalah yang dicetuskan oleh pekerja asing di tapak
pembinaan di Port Dickson. Pembinaan bangunan hotel dua puluh tingkat itu
tergendala kerana mogok pekerja. Tak pasal-pasal dia dihantar ke sana untuk
menguruskan masalah tersebut.
Matanya meliar memerhatikan ruang pejabat
yang tidak berubah. Muzik perlahan yang melatari menjadikan suasana kerja
begitu tenang sekali. Inilah yang dirinduinya. Bekerja di tapak pembinaan serta
berurusan dengan pekerja asing yang tidak faham Bahasa Melayu itu memang
benar-benar mencabar kesabarannya. Fahim melangkah ke bilik Zafran. Laporan
lengkap bergambar setebal dua puluh muka
surat itu telah disiapkannya sejak semalam.
Langkahnya terhenti tatkala melewati meja
Amani. Setahu Fahim, sebelum dia dihantar ke site di Port Dickson, meja setiausaha itu memang telah ditinggalkan
kosong. Munirah berhenti kerja dengan notis dua puluh empat jam. Tiada siapa
yang tahu punca di sebalik perletakan jawatan secara mengejut itu. Memang
hura-hara sebentar urusan pejabat akibat ketiadaan Munirah.
Secawan kopi yang masih berasap menunjukkan
bahawa meja itu sudah berpenghuni. Fahim membayangkan rupa paras serta
penampilan setiausaha baru bosnya itu. Kalau tidak berskirt pendek paras lutut, sudah pasti berkebaya sendat tak cukup
kain. Kadang-kadang risau dia melihatkan cara Munirah berpakaian dulu. Memang
kuuuusss semangat! Kalau berkebaya, berjalan pun dah mengepit semacam.
Almaklumlah, kain sempit sangat. Itu belum dikira lagi tahap ketebalan solekan
yang dikenakan di muka. Entah berapa kilo foundation dan bedak yang ditempek.
Sebab itulah dia kurang memberi perhatian walaupun Munirah pernah cuba
mengajaknya keluar makan berkali-kali. Memang bukan taste dia!
Pintu bilik dibuka sebaik mendengar arahan
‘Masuk’ dari Zafran. Fahim mematikan langkah sebaik melihat sesusuk tubuh
sederhana milik gadis bertudung yang berdiri di tepi sudut meja Zafran. Tangannya
rancak mencatit beberapa perkara yang diucapkan oleh Zafran sambil kepala
terangguk-angguk. Hilang terus bayangan setiausaha baru ciptaan akalnya
sebentar tadi. Realiti di depan matanya ini memang tak terjangkau oleh
fikirannya.
Amani panggung kepala ke arah lelaki yang
sedang berdiri di hadapan meja Zafran. Kalau pagi tadi dirinya lemas dengan
pandangan mata si Zafran, kali ini dia berdepan pula dengan pandangan tajam
oleh lelaki asing yang tidak berkelip memandangnya. Amani sudah mula gelabah.
Agaknya teknik solekannya masih kurang baik. Elok di matanya, belum tentu elok
di mata Zafran serta lelaki asing ini. Macam
Hantu Kak Limah lagikah? Dalam keterpaksaan Amani menguntum senyuman ke
arah lelaki itu.
“Ehem ehem!” Zafran cuba menarik perhatian
kedua-dua pekerjanya. Hatinya dipalu seribu perasaan tatkala melihat Fahim yang
tidak berkelip merenung ke arah Amani. Dia arif benar dengan maksud renungan
tajam itu.
“Err..
how are you Encik Zafran? Saya datang untuk lapor diri bertugas semula di
HQ dan nak submit full report about our
construction in PD,” dalam
kepayahan Fahim mengalih pandangan mata ke arah Zafran. Kalau boleh ingin
sekali dia memandang gadis itu lama-lama. Sampai esok pun tak mengapa. Memang
pemandangan yang cukup mengasyikkan!
“Welcome
back, Fahim. So I assume that the
problems in PD are solved by now. Saya suka cara awak handle the problems. Jangan bagi muka sangat pada dorang. Naik lemak pulak jadinya,” Zafran mengagumi kredebiliti jurutera muda ini.
Masalah yang tidak dapat diatasi oleh Site
Manager tapi mampu diselesaikan oleh Fahim dalam tempoh yang cepat. Tidak
sia-sia dia menaruh kepercayaan kepada Fahim.
“Kita cuma tunaikan mana yang perlu saja
bos. Memang ada beberapa masalah yang perlukan tindakan kita. Contohnya masalah
gaji yang dah tertunggak hampir dua bulan. Saya dah berbincang dengan semua
pekerja kita di sana supaya bayaran gaji boleh diselesaikan tepat pada
waktunya. InsyaAllah, lepas ini takkan ada masalah yang timbul lagi,” Fahim
menjelaskan situasi yang berlaku. Sekali-sekala matanya sempat mencuri pandang
ke arah Amani. Memang sukar memberikan tumpuan kepada Zafran tatkala ada
tarikan yang jauh lebih menarik di sudut kiri itu. Bagaikan tarikan magnet
utara-selatan! Dalam hati dia berharap agar Zafran cepat-cepat memperkenalkan
setiausaha baru itu kepadanya.
“Encik Zafran, saya keluar dulu lah ye.
Lepas siapkan surat ni saya akan tunjuk dulu pada encik untuk approval,” Amani cuba mencari alasan
untuk beredar. Sungguh dia tidak selesa dipandang sebegitu rupa. Bukan dia
tidak sedar, sekejap-sekejap lelaki itu menjeling ke arahnya. Ingin sahaja Amani
mengorek sepasang mata itu dan dicampak dalam tong sampah! Amani berimaginasi
ganas.
“Okay, awak draf dulu dan tunjuk pada saya.
Make it before five. By the way, ini salah seorang engineer di Megah Holdings. Fahim
namanya. And Fahim, this is my new secretary, Amani,” Zafran
bagaikan mendengar rintihan hati Fahim. Fahim tersenyum lebar. Terlepas sudah dari
penderaan jiwa apabila diperkenalkan kepada Amani.
“Selamat
berkenalan Cik Amani,” Fahim bangun sambil mengangguk dan tersenyum ke arah
Amani. Dia faham benar tidak perlu menghulur tangan untuk berjabat dengan wanita
yang bukan muhrimnya.
“Selamat berkenalan Encik Fahim. Hmm... Saya
keluar dulu Encik Zafran,” Amani membalas senyuman sebelum lekas-lekas keluar
dari bilik Zafran. Dia malu menjadi bahan santapan mata Zafran dan Fahim. Entah
apa yang bermain di fikiran Zafran. Dari kejadian pagi tadi, tahulah dia bahawa
Zafran berfikiran negatif terhadap dirinya. Siap boleh terfikir dia mewarnakan
rambut dan bertindik tiga. Memang gila!
Fahim bagai tidak sabar untuk melangkah
keluar dari bilik Zafran. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia membuntuti
Amani keluar sebentar tadi. Tapi banyak pula isu yang dibangkitkan oleh Zafran.
Kebanyakan persoalan yang dibincangkan tadi semuanya sudah dinyatakan dengan
lengkap dalam laporan yang berada di atas meja Zafran. Namun siapalah dia
hendak membangkang. Wajah penuh minat dipamer kepada Zafran. Sedangkan hati,
otak, jantung, usus dan semua anggota badannya hanya berkisar tentang gadis
bernama Amani.
Fahim melepaskan keluhan tatkala keluar
dari bilik Zafran. Dia melihat meja Amani yang kosong. Sekeping kertas dilipat dua
didirikan di atas meja. Tertulis dengan huruf besar perkataan ‘SOLAT’.
‘Comel!’ Fahim tersenyum. Dia melangkah
meninggalkan meja Amani. Ah, banyak masa lagi untuk beramah mesra dengan gadis
itu! Fahim memujuk hatinya sendiri. Bibirnya tidak henti
menguntum senyuman. Kalau begini memang semangat bekerja akan meningkat 200%!
Amani sudah merebahkan badan di surau.
Kepalanya bertambah sakit apabila menghadap komputer. Minyak cap kapak sudah
dilumurkan di belakang tengkuk dan di pelipis. Waktu begini dia mengharapkan
sentuhan tangan ajaib emak mengurut kepalanya. Tangan emak memang penuh magis!
Boleh menghilangkan sakit serta menjadikan masakan ringkas setaraf makanan
paling enak di dunia! Heh, sempat lagi dia berfikir tentang makanan.
Amani berharap dapat berehat dalam lima
belas minit. Sengaja ditinggalkan nota ‘SOLAT’ di atas meja. Hari kedua bekerja
minggu lepas, Zafran terpekik terlolong mencari dia. Amani yang baru sudah
menunaikan solat Zuhur terpaksa mengaminkan doa cepat-cepat. Sangkaannya pasti
ada hal penting atau kesilapan besar
yang telah dilakukannya. Rupa-rupanya...
“Amani, where did you go? Dah sepuluh minit saya panggil nama awak. Telinga
awak tersumbat ke? Balik nanti korek telinga dengan besi panas!” terpempan
Amani dengan kata-kata Zafran. Dia memang tabik spring dengan idea ayat-ayat
kejam Zafran! Semuanya kreatif dan berjaya mencalarkan hatinya.
“Maaf Encik Zafran. Saya solat tadi. Ada
apa ya?” Amani bertanya sopan. Air wudhuk masih berbaki di keningnya.
“Ambil fail Maju Setia! Urgent!” tanpa pamitan Zafran berlalu
masuk ke biliknya. Kelam kabut juga Amani mencari fail tersebut di rak belakang
tempat duduknya. Tetapi tiada! Sewaktu masuk ke bilik untuk memberitahu Zafran,
dia lihat Zafran sedang membelek fail kuning dengan tulisan sebesar alam semesta
‘MAJU SETIA’ tertulis di muka hadapan. Zafran buat muka sardin seolah-olah
tiada apa yang tak kena. Menyampah betul Amani waktu itu. Bengong punya orang!
* * * * *
“BYE Amani. Jumpa esok ya!” Melissa
melambai dengan senyuman tak lekang di bibir. Kereta Honda Civic putih dipandu
oleh tunang tersayang sudah tersedia menanti di hadapan pintu masuk bangunan
Megah Holdings.
Tuah badan. Pergi dan balik kerja ada ‘drebar’
yang mengantar. Berlainan pula dengan nasib Amani yang terpaksa berhimpit dalam
tren yang sendat dengan pelbagai jenis dan rupa manusia. Berdepan dengan
berbagai jenis haruman badan yang selalunya memualkan isi perut. Kemudian
terpaksa pula menapak beberapa ratus meter. Kalau tak lencun baju dan ketiak dengan
peluh memang tidak sah.
Stesen monorail Hang Tuah terletak tidak
jauh dari situ. Amani berjalan dengan cepat. Jika terlepas satu tren, terpaksa
pula dia menunggu dengan lebih lama untuk tren berikutnya. Dalam keadaan begini
Amani hanya mahu pulang cepat supaya dapat merehatkan badan. Kalau bernasib
baik, dapatlah dia menonton drama lakonan Adi Putra. Hujung-hujung pun jadilah!
Amani perasan akan kehadiran sebuah kereta
yang dipandu perlahan di sisi jalan. Matanya dikerling sedikit untuk melihat
pemandu kereta namun cermin gelap menghalang pemandangannya. Apabila Amani
berhenti berjalan, kereta itu turut berhenti. Bila dia kembali membuka langkah,
kereta itu turut bergerak perlahan mengekorinya. Amani sudah mula berasa
gelisah. Beg tangan tersandang di bahu dipegang erat. Kejadian jenayah yang sering
dipaparkan di akhbar memang menggerunkan. Mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat
Kursi minta dilindungi Allah dari sebarang musibah. Kakinya makin laju
melangkah. Entah berapa kali dia terpijak kainnya sendiri.
“ Amani!” suara yang menegur telah mematikan
langkahnya. Amani menoleh ke sisi. Wajah Zafran tersembul dari cermin
penumpang. Kaca mata hitam menambahkan lagi kekacakkan bosnya itu. Lima bintang
diberikan untuk penampilan Zafran.
“Awak
duduk mana? Jom saya hantarkan!” Zafran membukakan pintu kereta penumpang dari
sebelah dalam.
Bab 10 Bahagian 2 akan bersambung...:)
Kalau suka jangan lupa klik ‘Like’ dan ‘Share’ di
Facebook! Terima kasih. :D
Uiksss.. Apesal zafran baik tetibe? Kikiki.. Tercabar ke ngan fahim?? :p
ReplyDeletekannn..tetibe je pulak zafran nak mesra2...hihihi..tgu part 2 ye!:p
Deleteseronoknyeee ade bos hensem bawak kete beso pakai smart ajak tompangggg!
ReplyDeletebest liya.. BEST!
am!!am tu balik ari2 naik moto beso dgn dun...lagi best!!hahaha
DeleteLiyaaaa we want moreeeeee~!
ReplyDeleteInsyaAllah...coming soooooon!:)
Delete