Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, May 3, 2012

Bab 10 (Bahagian 1)


Selepas waktu rehat tengahari, Amani terus menyiapkan beberapa minit mesyuarat yang tidak sempat disiapkan oleh Munirah sebelum berhenti kerja dahulu. Kalau diturutkan rasa sakit kepala dan senggugutnya itu, mahu sahaja dia ke klinik dan minta MC dua hari. Boleh la bersenang-lenang berehat di rumah. Paling tidak pun boleh lah menonton rancangan drama berepisod kegemarannya. Sejak berkerja, memang Amani dah tak pernah berkesempatan untuk mengikuti rancangan tersebut. Waktu tayangan drama itu memang ngam-ngam sewaktu dia tengah berhimpit dalam tren. Memang tak lengkap dirasakan hidupnya sekarang ini apabila sudah ketinggalan beberapa episod drama melayu lakonan Adi Putra dan Nora Danish itu.

Namun tadi Amani sempat membaca serta memahami isi kandungan kontrak yang diberi oleh Zafran. Kalau tadi hatinya berjoget gembira bukan main, sekarang ini dia berasa tertekan.   Rupa-rupanya wang pendahuluan RM1500 yang diperolehi sebentar tadi adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Dah macam masuk pertandingan. Sekiranya Amani tidak menunjukkan mutu kerja yang memuaskan, jumlah RM1500 akan dipotong dari bonus hujung tahun nanti. Namun jika persembahan kerjanya mencapai tahap standard yang ditetapkan, RM1500 itu dikira wang bershopping la untuk dirinya. Ceh, bijak betul Megah Holdings merangka strategi! Masalahnya, bukan mudah untuk memuaskan hati Zafran. Bukan Amani tidak sedar, ada saja yang dilakukannya mengundang kemarahan bosnya itu.

Atas sebab itulah tepat pukul dua petang Amani sudah terpacak berdiri di mejanya. Sibuk menyiapkan lambakan kerja yang ditinggalkan oleh Munirah. Amani tak mahu lagi main-main dalam soal kerja. Jumlah wang RM1500 itu terlalu besar bagi dirinya. Sewaktu bekerja di kantin sekolah dulu, hampir tiga bulan gaji bekerja baru dapat menyamai jumlah wang yang diperolehinya hari ini. Amani sudah tidak sabar untuk menghantar wang kepada emak dan adik-adik. Boleh la Amira membelikan barang keperluan rumah. Tak kisahlah ketinggalan drama lakonan Adi Putra asalkan dia sekeluarga cukup belanja. Lagipun Zafran pun ada iras-iras Adi Putra. Terubat juga rindunya pada aktor kacak itu. Amani sempat menjeling ke arah Zafran yang sedang tekun menghadap komputer. Senyuman nakal terukir di bibirnya.

FAHIM melangkah masuk ke Megah Holdings. Sudah tiga minggu dia tidak menjejakkan kaki ke pejabat. Semuanya gara-gara masalah yang dicetuskan oleh pekerja asing di tapak pembinaan di Port Dickson. Pembinaan bangunan hotel dua puluh tingkat itu tergendala kerana mogok pekerja. Tak pasal-pasal dia dihantar ke sana untuk menguruskan masalah tersebut.

Matanya meliar memerhatikan ruang pejabat yang tidak berubah. Muzik perlahan yang melatari menjadikan suasana kerja begitu tenang sekali. Inilah yang dirinduinya. Bekerja di tapak pembinaan serta berurusan dengan pekerja asing yang tidak faham Bahasa Melayu itu memang benar-benar mencabar kesabarannya. Fahim melangkah ke bilik Zafran. Laporan lengkap bergambar  setebal dua puluh muka surat itu telah disiapkannya sejak semalam.

Langkahnya terhenti tatkala melewati meja Amani. Setahu Fahim, sebelum dia dihantar ke site di Port Dickson, meja setiausaha itu memang telah ditinggalkan kosong. Munirah berhenti kerja dengan notis dua puluh empat jam. Tiada siapa yang tahu punca di sebalik perletakan jawatan secara mengejut itu. Memang hura-hara sebentar urusan pejabat akibat ketiadaan Munirah.

 Secawan kopi yang masih berasap menunjukkan bahawa meja itu sudah berpenghuni. Fahim membayangkan rupa paras serta penampilan setiausaha baru bosnya itu. Kalau tidak berskirt pendek paras lutut, sudah pasti berkebaya sendat tak cukup kain. Kadang-kadang risau dia melihatkan cara Munirah berpakaian dulu. Memang kuuuusss semangat! Kalau berkebaya, berjalan pun dah mengepit semacam. Almaklumlah, kain sempit sangat. Itu belum dikira lagi tahap ketebalan solekan yang dikenakan di muka. Entah berapa kilo foundation dan bedak yang ditempek. Sebab itulah dia kurang memberi perhatian walaupun Munirah pernah cuba mengajaknya keluar makan berkali-kali. Memang bukan taste dia!

Pintu bilik dibuka sebaik mendengar arahan ‘Masuk’ dari Zafran. Fahim mematikan langkah sebaik melihat sesusuk tubuh sederhana milik gadis bertudung yang berdiri di tepi sudut meja Zafran. Tangannya rancak mencatit beberapa perkara yang diucapkan oleh Zafran sambil kepala terangguk-angguk. Hilang terus bayangan setiausaha baru ciptaan akalnya sebentar tadi. Realiti di depan matanya ini memang tak terjangkau oleh fikirannya.

Amani panggung kepala ke arah lelaki yang sedang berdiri di hadapan meja Zafran. Kalau pagi tadi dirinya lemas dengan pandangan mata si Zafran, kali ini dia berdepan pula dengan pandangan tajam oleh lelaki asing yang tidak berkelip memandangnya. Amani sudah mula gelabah. Agaknya teknik solekannya masih kurang baik. Elok di matanya, belum tentu elok di mata Zafran serta lelaki asing ini. Macam Hantu Kak Limah lagikah? Dalam keterpaksaan Amani menguntum senyuman ke arah lelaki itu.

“Ehem ehem!” Zafran cuba menarik perhatian kedua-dua pekerjanya. Hatinya dipalu seribu perasaan tatkala melihat Fahim yang tidak berkelip merenung ke arah Amani. Dia arif benar dengan maksud renungan tajam itu.

“Err.. how are you Encik Zafran? Saya datang untuk lapor diri bertugas semula di HQ dan nak submit full report about our construction in PD,” dalam kepayahan Fahim mengalih pandangan mata ke arah Zafran. Kalau boleh ingin sekali dia memandang gadis itu lama-lama. Sampai esok pun tak mengapa. Memang pemandangan yang cukup mengasyikkan!

Welcome back, Fahim. So I assume that the problems in PD are solved by now. Saya suka cara awak handle the problems. Jangan bagi muka sangat pada dorang. Naik lemak pulak jadinya,” Zafran mengagumi kredebiliti jurutera muda ini. Masalah yang tidak dapat diatasi oleh Site Manager tapi mampu diselesaikan oleh Fahim dalam tempoh yang cepat. Tidak sia-sia dia menaruh kepercayaan kepada Fahim.

“Kita cuma tunaikan mana yang perlu saja bos. Memang ada beberapa masalah yang perlukan tindakan kita. Contohnya masalah gaji yang dah tertunggak hampir dua bulan. Saya dah berbincang dengan semua pekerja kita di sana supaya bayaran gaji boleh diselesaikan tepat pada waktunya. InsyaAllah, lepas ini takkan ada masalah yang timbul lagi,” Fahim menjelaskan situasi yang berlaku. Sekali-sekala matanya sempat mencuri pandang ke arah Amani. Memang sukar memberikan tumpuan kepada Zafran tatkala ada tarikan yang jauh lebih menarik di sudut kiri itu. Bagaikan tarikan magnet utara-selatan! Dalam hati dia berharap agar Zafran cepat-cepat memperkenalkan setiausaha baru itu kepadanya.

“Encik Zafran, saya keluar dulu lah ye. Lepas siapkan surat ni saya akan tunjuk dulu pada encik untuk approval,” Amani cuba mencari alasan untuk beredar. Sungguh dia tidak selesa dipandang sebegitu rupa. Bukan dia tidak sedar, sekejap-sekejap lelaki itu menjeling ke arahnya. Ingin sahaja Amani mengorek sepasang mata itu dan dicampak dalam tong sampah! Amani berimaginasi ganas.

“Okay, awak draf dulu dan tunjuk pada saya. Make it before five. By the way, ini salah seorang engineer di Megah Holdings. Fahim namanya. And Fahim, this is my new secretary, Amani,” Zafran bagaikan mendengar rintihan hati Fahim. Fahim tersenyum lebar. Terlepas sudah dari penderaan jiwa apabila diperkenalkan kepada Amani.

 “Selamat berkenalan Cik Amani,” Fahim bangun sambil mengangguk dan tersenyum ke arah Amani. Dia faham benar tidak perlu menghulur tangan untuk berjabat dengan wanita yang bukan muhrimnya.

“Selamat berkenalan Encik Fahim. Hmm... Saya keluar dulu Encik Zafran,” Amani membalas senyuman sebelum lekas-lekas keluar dari bilik Zafran. Dia malu menjadi bahan santapan mata Zafran dan Fahim. Entah apa yang bermain di fikiran Zafran. Dari kejadian pagi tadi, tahulah dia bahawa Zafran berfikiran negatif terhadap dirinya. Siap boleh terfikir dia mewarnakan rambut dan bertindik tiga. Memang gila!

Fahim bagai tidak sabar untuk melangkah keluar dari bilik Zafran. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia membuntuti Amani keluar sebentar tadi. Tapi banyak pula isu yang dibangkitkan oleh Zafran. Kebanyakan persoalan yang dibincangkan tadi semuanya sudah dinyatakan dengan lengkap dalam laporan yang berada di atas meja Zafran. Namun siapalah dia hendak membangkang. Wajah penuh minat dipamer kepada Zafran. Sedangkan hati, otak, jantung, usus dan semua anggota badannya hanya berkisar tentang gadis bernama Amani.

Fahim melepaskan keluhan tatkala keluar dari bilik Zafran. Dia melihat meja Amani yang kosong. Sekeping kertas dilipat dua didirikan di atas meja. Tertulis dengan huruf besar perkataan ‘SOLAT’.

‘Comel!’ Fahim tersenyum. Dia melangkah meninggalkan meja Amani. Ah, banyak masa lagi untuk beramah mesra dengan gadis itu! Fahim memujuk hatinya sendiri. Bibirnya tidak henti menguntum senyuman. Kalau begini memang semangat bekerja akan meningkat 200%!

Amani sudah merebahkan badan di surau. Kepalanya bertambah sakit apabila menghadap komputer. Minyak cap kapak sudah dilumurkan di belakang tengkuk dan di pelipis. Waktu begini dia mengharapkan sentuhan tangan ajaib emak mengurut kepalanya. Tangan emak memang penuh magis! Boleh menghilangkan sakit serta menjadikan masakan ringkas setaraf makanan paling enak di dunia! Heh, sempat lagi dia berfikir tentang makanan.

Amani berharap dapat berehat dalam lima belas minit. Sengaja ditinggalkan nota ‘SOLAT’ di atas meja. Hari kedua bekerja minggu lepas, Zafran terpekik terlolong mencari dia. Amani yang baru sudah menunaikan solat Zuhur terpaksa mengaminkan doa cepat-cepat. Sangkaannya pasti ada hal penting atau kesilapan  besar yang telah dilakukannya. Rupa-rupanya...

“Amani, where did you go? Dah sepuluh minit saya panggil nama awak. Telinga awak tersumbat ke? Balik nanti korek telinga dengan besi panas!” terpempan Amani dengan kata-kata Zafran. Dia memang tabik spring dengan idea ayat-ayat kejam Zafran! Semuanya kreatif dan berjaya mencalarkan hatinya.

“Maaf Encik Zafran. Saya solat tadi. Ada apa ya?” Amani bertanya sopan. Air wudhuk masih berbaki di keningnya.

“Ambil fail Maju Setia! Urgent!” tanpa pamitan Zafran berlalu masuk ke biliknya. Kelam kabut juga Amani mencari fail tersebut di rak belakang tempat duduknya. Tetapi tiada! Sewaktu masuk ke bilik untuk memberitahu Zafran, dia lihat Zafran sedang membelek fail kuning dengan tulisan sebesar alam semesta ‘MAJU SETIA’ tertulis di muka hadapan. Zafran buat muka sardin seolah-olah tiada apa yang tak kena. Menyampah betul Amani waktu itu. Bengong punya orang!

*                     *                             *                             *                             *
BYE Amani. Jumpa esok ya!” Melissa melambai dengan senyuman tak lekang di bibir. Kereta Honda Civic putih dipandu oleh tunang tersayang sudah tersedia menanti di hadapan pintu masuk bangunan Megah Holdings.

Tuah badan. Pergi dan balik kerja ada ‘drebar’ yang mengantar. Berlainan pula dengan nasib Amani yang terpaksa berhimpit dalam tren yang sendat dengan pelbagai jenis dan rupa manusia. Berdepan dengan berbagai jenis haruman badan yang selalunya memualkan isi perut. Kemudian terpaksa pula menapak beberapa ratus meter. Kalau tak lencun baju dan ketiak dengan peluh memang tidak sah.

Stesen monorail Hang Tuah terletak tidak jauh dari situ. Amani berjalan dengan cepat. Jika terlepas satu tren, terpaksa pula dia menunggu dengan lebih lama untuk tren berikutnya. Dalam keadaan begini Amani hanya mahu pulang cepat supaya dapat merehatkan badan. Kalau bernasib baik, dapatlah dia menonton drama lakonan Adi Putra. Hujung-hujung pun jadilah!

Amani perasan akan kehadiran sebuah kereta yang dipandu perlahan di sisi jalan. Matanya dikerling sedikit untuk melihat pemandu kereta namun cermin gelap menghalang pemandangannya. Apabila Amani berhenti berjalan, kereta itu turut berhenti. Bila dia kembali membuka langkah, kereta itu turut bergerak perlahan mengekorinya. Amani sudah mula berasa gelisah. Beg tangan tersandang di bahu dipegang erat. Kejadian jenayah yang sering dipaparkan di akhbar memang menggerunkan. Mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Kursi minta dilindungi Allah dari sebarang musibah. Kakinya makin laju melangkah. Entah berapa kali dia terpijak kainnya sendiri.

“ Amani!” suara yang menegur telah mematikan langkahnya. Amani menoleh ke sisi. Wajah Zafran tersembul dari cermin penumpang. Kaca mata hitam menambahkan lagi kekacakkan bosnya itu. Lima bintang diberikan untuk penampilan Zafran.

                “Awak duduk mana? Jom saya hantarkan!” Zafran membukakan pintu kereta penumpang dari sebelah dalam.

Bab 10 Bahagian 2 akan bersambung...:)
Kalau suka jangan lupa klik ‘Like’ dan ‘Share’ di Facebook! Terima kasih. :D

6 comments:

  1. Uiksss.. Apesal zafran baik tetibe? Kikiki.. Tercabar ke ngan fahim?? :p

    ReplyDelete
    Replies
    1. kannn..tetibe je pulak zafran nak mesra2...hihihi..tgu part 2 ye!:p

      Delete
  2. seronoknyeee ade bos hensem bawak kete beso pakai smart ajak tompangggg!
    best liya.. BEST!

    ReplyDelete
    Replies
    1. am!!am tu balik ari2 naik moto beso dgn dun...lagi best!!hahaha

      Delete