Orang Cantik dan Orang Hensem

Wednesday, May 23, 2012

Bab 12 (bahagian 1)

    Zafran berhenti dari menghadap fail di depan mata. Tangannya ligat memicit kepalanya yang tidak pening. Dahinya berkerut seolah-olah sedang memikirkan tentang satu permasalahan yang berat. Permasalahan jiwa sebenarnya.

    Sudah dua hari Zafran melaksanakan misi serta strategi untuk menyuburkan kembali rasa bencinya kepada Amani. Rancangan yang telah diatur sebaik mungkin semuanya gagal dilaksanakan. Semuanya serba tak kena. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi! Mission unaccomplished kata orang putih!

Kotak ingatan Zafran kembali memutarkan peristiwa tersebut.

    ZAFRAN bangun pagi lebih awal dari biasa pada hari tersebut. Selepas menunaikan kewajipan solat subuh, dia menghabiskan masa untuk mengarang ayat-ayat kejam yang akan dihamburkan kepada Amani. Otaknya ligat mengingati segala perkara yang dibenci pada diri Amani. Semuanya diatur dengan terancang sekali. Malah sepanjang perjalanan ke tempat kerja, Zafran sempat pula berlatih melakukan pelbagai memek muka menyampah yang boleh ditayangkan pada Amani.

    Semangat Zafran memang luar biasa. Dia sampai hampir sejam lebih awal dari pekerja lain. Pengawal bangunan juga terkejut melihat peristiwa yang jarang-jarang sekali berlaku ini. Zafran mengambil peluang yang ada untuk menyelesaikan tuntutan kerja. Apabila jarum pendek dan jarum panjang beranjak ke angka lapan dan dua belas, Zafran terus menekan butang interkom dan meminta Amani menyediakan secawan kopi.

    Sebaik Amani terpacak berdiri di hadapannya, Zafran mengarahkan kesemua otot muka untuk memberikan pandangan wajah yang paling poyo sedunia. Wajah sehabis kerek cuba ditayangkan kepada Amani. Namun sebaris ayat yang terucap dari seulas bibir itu menyebabkan dia jadi tenggelam punca.

    "Kenapa Encik Zafran senyum macam tu kat saya?"

    Iya, itulah kegagalannya yang pertama.

Sebaris ungkapan ayat yang membuatkan dia tersedar bahawa bukan wajah kerek atau poyo yang terzahir di wajahnya, namun wajah tersenyum pula yang menyapa Amani pada pagi itu. Memang sejak kebelakangan ini dia dan senyuman sukar dipisahkan apabila berdepan dengan Amani. Pergerakan otot-otot di muka bagaikan di luar kawalan minda.

    "Mulut saya, suka hati saya la nak senyum atau tak. Where's my coffee?" Zafran selamba menjawab. Rasa gugup disembunyikan sebaik mungkin. Sebaik Amani menghulurkan cawan kopi suam itu, kepalanya pantas mengingati ayat yang sudah difikirkan sejak pagi lagi. Dia sudah merancang untuk memberikan kritikan pedas terhadap cara Amani berpakaian. Dia mengerling ke arah Amani yang sedang tekun membacakan jadual untuk hari itu. Sepasang matanya cuba mencari mana-mana kekurangan yang boleh dijadikan bahan untuk mulutnya melancarkan operasi.

    Namun dia berasa hampa. Kegagalan kedua berlaku. Papan skor markah sudah mencatatkan 2-0!

    Semuanya serba sempurna di matanya. Wajah pucat Amani yang dulunya selalu mendapat jolokkan 'mayat hidup' kini sudah dirias indah dengan warna-warna pastel yang cukup menawan kalbu. Tidak terlalu berat, namun cukup untuk membuatkan jantungnya luruh. Pakaian Amani yang dahulunya selekeh dan bisa saja membuatkan matanya buta, kini berganti pula dengan skirt labuh serta blouse bunga kecil yang boleh membuntangkan matanya. Kepalanya pula dilitup indah dengan lilitan selendang yang ringkas namun kemas.

    "Aduyai!" spontan Zafran mengusap dada.

    "Apa dia encik?" Amani memandang wajah bosnya. Wajah Zafran yang macam orang mengelamun itu dipandang lama. Pelik-pelik aje perangai si singa hari ni. Sudah lah datang awal giler, lepas tu dok tersengih seorang diri.

    "Not talking to you. Jangan nak perasan!" Zafran menyibukkan diri dengan menekan butang telefon bimbit di tangan. Pura-pura sedang membaca SMS. Hatinya gelabah bukan main. Bimbang jika Amani dapat mengesan perubahan yang berlaku pada dirinya.

    Zafran menghirup kopi yang dibancuh oleh Amani. Tegukan pertama selamat melalui kerongkongnya. Dahinya berkerut. Hujung kening sudah saling bertemu. Ada kelainan rasa pada kopi yang dihirupnya itu. Tidak seperti kebiasaannya.

    "There's something wrong with the coffee. Tak macam selalu. Awak pakai kopi baru ke?" Zafran menghirup sekali lagi kopi tersebut. Berbeza. Namun sedap ditekaknya.

    "Hmm, minta maaf encik. Gula dan krimer kita dah habis. Saya dah pesan pada Kak Jah semalam. Dia terlupa agaknya. Kopi Encik Zafran tu kurang gula sebenarnya," Amani menjawab takut-takut. Kejadian hari pertama terbayang semula di ruang ingatannya. Amani bersiap sedia untuk menerima amukan Zafran. Silap-silap ada yang breakfast cawan pagi ini!

    "Hm, sedap. Okay, next time buat macam ni je lah. Tak perlu extra sugar. From now on I want the coffee to be exactly like this," Zafran mengetap bibir sebaik selesai menuturkan ayat tersebut. Hormon apakah yang sedang bermaharajalela saat ini? Sehingga mampu mempengaruhi deria rasa. Dan semudah itu dia mengalami kegagalan yang ketiga.

    Amani sukar mengawal reaksi wajahnya apabila mendengarkan jawapan Zafran itu. Kalau menurut cerita Melissa dulu, Zafran memang suka kopi yang manis-manis. Perubahan selera tekak Zafran pagi ini agak mencurigakan. Namun dia malas mahu bersoal-jawab lebih-lebih kerana dia tahu penyudahnya dia pula yang dimarahi nanti. Buku nota tempat dia melepaskan rasa. Lakaran kepala singa dengan kotak dialog 'kurang gula' memenuhi muka surat tersebut.

    Kegagalan Zafran tidak terhenti di situ. Sepanjang dua hari yang lepas, ada sahaja kejadian yang tidak selari dengan perancangannya. Dia merasakan terlalu sukar untuk mencari kesalahan serta kekurangan Amani. Tidak seperti awal-awal dahulu di mana kesalahan Amani yang sebesar kuman berjaya mendatangkan kebencian sebesar alam semesta dalam dirinya.

    Hari ini merupakan hari ketiga dia ingin melaksanakan misinya. Semangat yang panas membara dua hari lalu sudah tinggal suam-suam kuku. Zafran jadi takut untuk membuka mulut bila berdepan dengan Amani. Dia bimbang apa yang diucapkan oleh bibir tidak sama seperti yang dirancang oleh otak.

    Zafran menarik nafas panjang. Sebentar lagi dia akan ke Sarjana Holdings untuk sesi pembentangan proposal. Sudah beberapa minggu dia menyiapkan proposal untuk merebut tender yang bernilai berbillion ringgit itu. Harapan serta kepercayaan Walid tidak boleh dipandang remeh. Dia ingin sekali membuktikan kemampuannya kepada Walid.

    Zafran mengemas fail serta dokumen yang perlu dibawa ke Sarjana Holdings. Dia tidak mahu lewat. First impression itu penting. Walaupun Tan Sri Mokhtar, CEO Sarjana Holdings merupakan kenalan Walid, namun itu tidak menjanjikan laluan mudah untuk Megah Holdings memilikki tender tersebut. Zafran sudah masak benar dengan masam manis dunia perniagaan. Kawan pun kadang-kadang boleh menjadi lawan.

    Kelibat Fahim yang menempek di meja Amani menarik perhatian Zafran. Cermin besar yang memisahkan antara ruang biliknya dan meja Amani bagaikan sebuah kaca television tanpa suara. Mulut Fahim yang terkumat-kamit diperhati lama. Namun Zafran sedar dia tidak punya kemahiran membaca gerak bibir. Pintu bilik direnggangkan sedikit untuk mencuri dengar perbualan Fahim dan Amani.

    "Jom lah, Amani. Kita bukan pergi berdua. Kita ajak Melissa sekali. OK?" suara Fahim kedengaran begitu mengharap.

    "Hm, nak makan dekat mana ya?" Amani sudah kehabisan idea untuk menolak pelawaan Fahim. Lagipun sebelum ini sudah pelbagai alasan diberikan kepada lelaki itu. Dari sarapan, makan tengahari hingga ke minum petang, pelbagai pembohongan telah dilakukannya. Namun lelaki ini masih belum berputus asa. Sebentar tadi ringan sahaja mulutnya ingin berbohong bahawa dia berpuasa sunat. Namun tangannya pula sedang memegang kerepek yang dibawa bekal dari rumah. Nak berbohong pun tak kena gaya.

    Fahim sudah tersenyum lebar. Berharap benar kali ini dia dapat duduk semeja, makan dan berbual dengan Amani. Walaupun terpaksa merasuah Melissa, dia rela! Amani harus didekati. Kalau boleh ingin sekali dia milikki. Amani memang calon menantu yang layak dibawa pulang menghadap ibunya!

    "Ada restoren baru bukak kat depan bangunan kita ni. Kita try nak? Alif dah cuba semalam. Katanya, gulai tempoyak dia boleh tahan!" Fahim tersengih lagi. Hakikat sebenarnya, dia yang sudah terlebih dahulu makan di situ semalam. Bukan apa, Fahim ingin mencuba dahulu lauk di situ. Kalau tak sedap, tak mahu lah dia mengajak Amani.

    Zafran merasakan organ internalnya bagaikan terbakar. Panas! Pijar! Cemburu kah ini? Zafran merengus dari balik pintu. Dia berharap agar Amani akan menolak pelawaan Fahim. Biar padan muka Fahim. Baru puas hatinya!

    Amani sudah kecur liur apabila mendengar kata-kata Fahim. Lauk tempoyak memang masakan popular bagi orang Kuala Kangsar. Gulai tempoyak ikan sungai dimasak dengan timun di potong panjang-panjang, di makan pula dengan nasi panas memang menjadi kegemarannya. Makan sebulan pun tak mengapa. Memang tak jemu!

    "OK lah. Pukul 1 ye. Melissa ikut sekali kan?" Amani memberi kata putus. Godaan gulai tempoyak sukar dilawan. Fahim sudah tersenyum sampai ke telinga.

    "Tak boleh!" kemunculan Zafran secara tiba-tiba mengejutkan Amani dan Fahim. Serentak mereka memandang ke arah Zafran. Mata Fahim bulat macam hendak terjojol.

    "Ehem, maksud saya Amani kena ikut saya pergi Sarjana Holdings. Saya ada beritahu kan, Amani?" pandangan mata Zafran dan Fahim beralih pula kepada Amani yang terpinga-pinga. Amani diserang penyakit gelabah ayam. Buku nota yang menjadi peneman setia selama ini diselak pantas. Memang dia sudah catatkan dalam buku tentang proposal presentation di Sarjana Holdings. Namun tidak pula dia ingat bahawa Zafran akan membawa dia sekali. Amani menggeleng perlahan kepada Zafran.

     "Selalu sangat mengelamun la awak ni. Asyik tak dengar je saya cakap. Dah, pack your things. Kita kena pergi sekarang. I'll wait at the lobby. By the way, enjoy your lunch, Fahim," Zafran terus berlalu melepasi Amani dan Fahim. Senyuman lebar menghiasi wajahnya tatkala melihat wajah Fahim yang kelat masam macam mangga muda.

    "Maaf Fahim. Lain kali lah kita makan sekali ya. Awak makan dengan Melissa lah hari ni," Amani memandang sekilas ke arah Fahim. Tangannya lincah menyimpan buku nota serta alat tulis ke dalam beg tangan.

    "Tak pe lah macam tu. Tapi janji ya next time?" Fahim mencari sepasang anak mata Amani. Kekecewaan dan kehampaan terpancar dari raut wajahnya. Macam budak kecil tak dapat gula-gula.

' Tak pandai control langsung!' desis hati kecil Amani. Melihatkan cara Fahim, dia sudah dapat mengesan ada agenda lain yang bermain di minda lelaki itu. Sebab itu lah dia lebih senang menjarakkan diri dari Fahim.

    Fahim memerhatikan Amani yang sudah berjalan meninggalkan dirinya. Ingin saja dia melompat masuk ke dalam beg tangan Amani dan dibawa pergi bersama-sama. Hidupnya tidak keruan sejak terpandangkan wajah Amani. Jiwanya bertambah resah mengenangkan sikap Amani yang jinak-jinak merpati. Terlalu sukar untuk didekati. Apatah lagi untuk ditakluki.

    "Jangan lupa kau kena belanja aku seminggu tau!" Melissa muncul dengan tiba-tiba. Dia tersenyum mempamerkan sebaris gigi yang tersusun cantik. Itulah upah yang dijanjikan oleh Fahim jika menemani dia dan Amani makan tengah hari nanti. Memang berbaloi!

    "Tak jadi la Mel. Amani ikut bos pergi Sarjana Holdings. So, deal tu kita postone lah ya," Fahim menyembunyikan gelodak di jiwa. Budak Melissa ni bukan boleh pakai sangat mulutnya. Nanti tak pasal-pasal satu pejabat tahu rahsia di hatinya. Fahim lekas-lekas berlalu meninggalkan Melissa yang terpinga-pinga. Kalau tunggu lama-lama bimbang pula dihujani dengan pelbagai persoalan lain.

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D

Kalau tak suka, boleh tinggalkan kritikan/cadangan di bawah! :D


 


 

4 comments:

  1. Kakakakakaakka...poyo la zafran niii!

    ReplyDelete
  2. Hahaha..... padan muka pak cik tu.... hati siapa yang jatuh tergolek ni???? .... tahu takut Fahim masuk line....

    ReplyDelete
    Replies
    1. hi sue!terima kasih sudi singgah membaca!:)

      Delete