Bab 18
Zafran
mempercepatkan langkah. Tali leher dibetulkan secara ala kadar. Gara-gara
didatangi Amani dalam mimpi malam tadi, dia sudah terlewat bangun. Semenjak dari kejadian perdebatan dengan
uminya, hampir setiap malam Zafran tidur ditemani Amani. Namun mimpi malam semalam
berlainan versi. Bukan Amani sahaja yang menemani dia, malah seorang bayi comel juga turut serta dalam mimpi tersebut. Ah,
dia benar-benar sudah angau. Sampai sudah beranak pinak di dalam mimpi!
Zafran
menghulurkan kunci kereta kepada pengawal keselamatan berasal dari Bangladesh. Secepat
kilat lelaki yang memakai tag nama Khamer itu pergi mendapatkan kereta Zafran
untuk diparkir di kotak khas. Rutin harian yang sudah diketahui. Tidak perlu
membuka mulut untuk mengeluarkan arahan.
Zafran
menekan punat pada butang lif. Wisma Megah Holdings sudah sibuk pada waktu
begini. Dia menanti ketibaan lif dengan kurang sabar. Kerja yang perlu
disiapkan boleh ditangguh. Namun bayangan wajah Amani yang dirinduinya saat
ini. Zafran sudah merancang untuk meluahkan perasaannya kepada Amani dalam masa
terdekat. Jika ada kesempatan, dia mahu menyampaikan hajatnya pada hari ini
juga.
Zafran
meloloskan diri ke dalam lif sebaik pintu lif terbuka. Dia duduk di bahagian
paling dalam sekali sambil dihimpit oleh manusia yang masih berpusu-pusu masuk
memenuhi ruang lif yang sudah sedia penuh itu. Saat pintu lif hampir tertutup,
matanya menangkap seraut wajah yang cukup dikenalinya.
“Hold the door please!” Zafran
meninggikan suara. Dia cuba keluar dari lif tanpa menghiraukan suara-suara yang
mengaduh akibat disiku dan dipijak olehnya. Sebaik berjaya keluar dari lif, matanya
meliar mencari kelibat wanita yang dilihat tadi. Zafran berkejar hingga ke
pintu utama namun wajah yang dicari sudah tiada.
Hampir lima
belas minit meninjau, akhirnya Zafran berputus asa dan naik ke tingkat sepuluh.
Keterujaan yang selalu dirasainya apabila berdepan dengan Amani kini lenyap
dengan tiba-tiba. Usahkan menegur, menjeling pun tidak sewaktu dia melewati
meja Amani. Fikirannya sesak dan padat dengan bayangan wajah tadi.
Zafran meraup
rambutnya ke belakang. Tidak percaya dengan pandangan matanya sebentar tadi.
Setelah empat tahun dia mengikis kenangan silam itu, benarkah apa yang
dilihatnya sebentar tadi? Walaupun sekilas, namun dia kenal benar dengan
sepasang mata itu yang turut membalas pandangannya. Walaupun sudah bertahun tidak bertemu,
walaupun gadis itu kelihatan cukup berbeza, namun dia yakin dia melihat Natrah!
Hati
Zafran bagai dilanda badai tsunami tatkala sebaris nama itu meniti di bibirnya.
Kenangan yang sudah tersimpan kemas di balik lipatan ingatannya bagaikan
tersingkap dengan sendiri.
Empat tahun lalu…
Zafran
merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Ohio apabila dia mengenali Natrah.
Gadis kampung yang datang dari keluarga sederhana itu cukup menambat hatinya selepas
beberapa kali mereka bertemu di perhimpunan pelajar Malaysia. Dia tertarik
dengan perwatakan Natrah yang cukup sopan. Jarang-jarang dia melihat perempuan
yang masih mengenakan baju kurung setelah agak lama menetap di Ohio.
Dari
kawan biasa, Zafran mendekati Natrah atas tiket membantu pelajar junior. Cukup
banyak waktu yang mereka luangkan bersama. Daripada bertukar nota pelajaran,
Zafran membawa Natrah mengenali bumi Ohio. Dia sendiri tidak sedar sejak bila
dia mula jatuh sayang kepada gadis itu. Lama-kelamaan dia mendapati siang dan
malamnya ditemani oleh bayangan wajah serta senyuman Natrah.
Templeton-Blackburn
Alumni Memorial Auditorium, atau lebih dikenali sebagai ‘Mem-Aud’ di kalangan
pelajar University Ohio, telah menjadi saksi pertautan hati mereka. Masih segar
di ingatan Zafran, dia menunggu Natrah menghabiskan kuliah dengan debaran yang
menggila. Seminggu sebelum itu dia sudah menyisipkan sekeping surat di dalam
buku rujukan yang ingin dipinjam oleh Natrah. Luahan hatinya dititipkan secara
jujur di atas sekeping kertas itu. Dan dia menetapkan pertemuan seterusnya
untuk Natrah memberikan jawapan.
“Macam
mana kelas tadi? Okay? Dr. Ziemer is one of the best lecturers in our faculty
tau,” Zafran mengaburi rasa gugup yang dirasainya. Wajah Natrah yang tenang
dicuri pandang. Skala debaran jantungnya kembali meningkat.
“Best. Senang nak faham apa yang dia
ajar. At least dia tak ada accent yang pelik macam Prof. Abelson.
Kalau dengan Prof. Abelson confirm
kena bawa recorder. Balik bilik kena transcribe pula. By the way, thanks bagi pinjam buku dan nota-nota ni,” Natrah
menghulurkan buku setebal tiga inci berserta nota-nota tulisan tangan Zafran
yang telah banyak membantu dirinya.
Lambat-lambat
Zafran menyambut huluran Natrah. Jawapan yang dinanti masih belum diterima.
Namun untuk bertanya secara berdepan dia terasa malu.
“Nat ada
group discussion lagi setengah jam.
Nanti kita jumpa lagi ya! Assalammualaikum,” Zafran menghantar langkah Natrah
dengan pandangan hampa. Sikap selamba Natrah sukar ditakrif oleh Zafran.
Menolak atau pun belum membuat keputusan? Entah-entah Natrah tidak menjumpai
surat yang disisipkan! Zafran pantas menyelak helaian buku tebal ditangannya.
Sehelai nota berbentuk hati jatuh di tepi kakinya. Dalam debaran, Zafran
membaca isi kandungan tulisan bertulis tangan itu.
‘Soal
jodoh adalah rahsia yang telah ditetapkan oleh Allah semenjak kita masih di
dalam rahim. Percayalah, jika memang Allah telah menetapkan Zaf sebagai jodoh Nat,
Nat terima Zaf dengan lapang hati. Buat masa ini, marilah kita mengenali hati
budi terlebih dahulu. Lagipun perjalanan kita masih terlalu jauh. Dengan redha
Allah, bercinta selepas kahwin pasti manisnya akan terasa...’
Zafran
mengawal debaran di dada. Nota sisipan Natrah tiada bunyi penolakan. Mereka
boleh merancang dan berusaha, namun segala ketentuan datang dari-Nya. Itulah
yang difahaminya. Sepanjang hari itu Zafran murah dengan senyuman. Kepada Ilham
diberitahu tentang perkembangan menarik tentang hubungannya dengan Natrah.
Kepada umi dia sudah mula bercerita tentang gadis itu. Kepada Allah dia
mengucapkan rasa syukur tanpa henti.
Zafran melalui hari-hari yang mendatang dengan
semangat yang luar biasa. Semakin lama dia menyelami hati budi Natrah, semakin
berbeza dirasakan Natrah dengan gadis-gadis lain. Bukannya dia tidak pernah
membuka hati untuk perempuan lain sebelum mengenali Natrah, namun Natrah
terlalu unik dan istimewa. Dia benar-benar menghormati Natrah. Tidak pernah
sekali pun dia menyentuh gadis itu. Dia ingin mencari keredhaan Allah seperti
mana yang telah dinyatakan oleh Natrah.
Zafran
bagaikan terlihat tayangan gambar yang memaparkan kenangannya menikmati empat
musim di Ohio bersama Natrah. Hampir setiap hari mereka meluangkan masa
mengayuh basikal di Cleveland Metro Parks pada musim bunga. Apabila penat,
mereka sama-sama duduk di bawah pokok menikmati keindahan ciptaan Ilahi yang
tidak dapat dirasai di Malaysia. Berbual tentang pelbagai cerita, namun
jarang-jarang sekali mereka menyentuh tentang soal hati.
Musim
sejuk membawa mereka ke Loudonville Winter Fest yang terletak berdekatan
Mohican State Park. Dalam kedinginan suhu yang membeku, kehangatan kasih-sayang
mereka semakin membahang. Zafran semakin berani menyatakan hasrat di hatinya
kepada Natrah. Janji-janji mula terpatri antara kedua hati mereka.
Mereka
menghabiskan masa di Hucks Orchard pada musim luruh. Natrah cukup suka memetik
buah epal dan labu. Itulah antara aktiviti popular bagi masyarakat tempatan di
Ohio. Walaupun tidak sama seperti musim buah di Malaysia, namun senyuman
gembira sentiasa menghiasi bibir gadis itu. Zafran menggambarkan rasa
bahagianya dengan mengukir epal yang berbentuk hati lalu dihadiahkan kepada
Natrah. Masih segar dalam ingatan Zafran wajah malu-malu gadis itu yang tetap menyambut
pemberiannya.
“Cantiknya!
Nak makan pun sayang!” Natrah tersenyum malu. Lesung pipit di kedua-dua belah
pipinya jelas kelihatan. Menambahkan lagi seri dan manis di wajahnya.
“Sayangkan
buah epal je? Orang yang memberi? Tak sayang?” Zafran menduga gadis itu.
Kerutan di dahi Natrah mencuit hatinya.
“Nah
untuk Zaf,” epal berbentuk hati dipatah dua dan diberikan sebelah kepada Zafran.
Pantas sahaja Natrah berjalan memetik buah epal di pokok lain. Sikap Natrah
yang sering berselindung tentang hati dan perasaannya itulah yang menarik di
mata Zafran. Walaupun tidak terungkap di bibir, namun tingkah lakunya adalah
caranya yang tersendiri mengekspresikan perasaan.
Namun
kejadian yang berlaku di penghujung musim panas telah mengubah persepsinya
kepada Natrah secara total. Gadis yang kononya terlalu menjaga hubungan dengan
Allah itu telah merobek hatinya sehingga hancur. Terlalu hancur sehingga
bertahun lamanya dia terpaksa mencantum kembali kepingan hatinya yang terluka
itu.
Zafran masih
ingat dia ke rumah sewa Natrah setelah sepanjang malam gadis itu gagal
dihubungi. Jantungnya bagai hendak pecah apabila mendapati pintu rumah Natrah
yang tidak berkunci dan terbuka sedikit. Fikirannya sudah mula membayangkan
perkara-perkara yang tidak enak mungkin menimpa gadis kesayangannya itu. Kadar
jenayah yang meningkat tinggi di kawasan kejiranan mereka itu menggusarkan hati
lelakinya.
Dia
melangkah masuk ke rumah Natrah yang sunyi sepi. Pintu bilik yang paling hampir
dibuka oleh Zafran secara perlahan-lahan. Dia sudah bersedia untuk membuka
langkah silat yang pernah dipelajari sewaktu di sekolah dahulu jika perlu.
Namun permandangan yang menyapanya pada pagi yang cukup bersejarah itu telah
menyebabkan tubuhnya hampir lumpuh.
Zafran
hampir tidak percaya tatkala melihat Natrah yang masih lena tertidur di atas katil. Di sebelah
Natrah terbaring seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Edward pelajar tahun
tiga sedang memeluk erat tubuh Natrah yang hanya diselimuti comforter. Tidak perlu diberitahu, dia
sudah cukup arif apa yang telah berlaku antara mereka.
Saat itu
Zafran merasakan hatinya pecah seribu. Segala harapan dan impian yang disulam
bersama Natrah jatuh berkecai. Dia hampir hilang pertimbangan ketika penumbuk
sulungnya menyentuh pipi Edward. Tangisan serta rayuan Natrah yang seperti
orang kebingungan tidak dipedulikan langsung. Dia benar-benar patah hati. Dia
tidak mahu mendengar pembohongan daripada Natrah lagi. Pintu hatinya
benar-benar terkunci semenjak peristiwa itu.
Kejadian
yang berlaku pada semester terakhir itu hampir membuatkan dia tersungkur. Kalau
bukan kerana iman senipis kulit bawang yang masih berbaki serta kata-kata
dorongan dari Ilham dan ibu bapanya, dia tidak mungkin akan mengenggam segulung
ijazah. Bukan Natrah tidak beruasaha untuk mencari dia. Namun dia telah
membuang gadis itu sejauh-jauhnya dari hidupnya. Benteng hatinya terlalu kukuh
untuk didekati oleh Natrah. Dia benci kepada perempuan yang penuh kepura-puraan
itu. Jika dia tidak melihat kejadian itu, pastinya sampai sekarang dia ditipu
hidup-hidup oleh Natrah.
Zafran
menyapu kasar setitis air matanya yang gugur. Hingga ke saat ini dia masih
terasa sakitnya hati ditipu oleh perempuan itu. Lukanya masih berbekas. Mana
mungkin dia memaafkan perbuatan Natrah. Natrah bukan sahaja menghancurkan
impian mereka, malah menutup pintu hatinya dari memberi ruang kepada perempuan
lain hingga bertahun lamanya. Zafran sendiri tidak mengerti tindakan spontannya
yang mengejar gadis itu apabila terpandangkan dia pagi tadi.
Segala kenangan telah ditinggalkan di Ohio. Yang dibawa
pulang cuma kekecewaan serta kepahitan yang ditelan sendiri. Hatinya sudah
tekad. Begitu lama dia cuba untuk membina benteng di hati, dia tidak akan
membenarkan kehadiran Natrah merosakkan hidupnya sekali lagi. Dia tidak mahu
dihantui oleh kenangan silam bersama Natrah. Yang ada hanyalah masa depan yang
ingin dibina bersama Amani!
“Amani, within
fifteen minutes we are going out for lunch!” Zafran menekan butang interkom.
Senekad hatinya untuk tidak mempedulikan Natrah lagi, dia berazam untuk menyuarakan
lamarannya kepada Amani. Apa nak jadi, jadilah!
Da kata xmau kat natrah tu dok ligan dia watpe lagi zafran oii!!
ReplyDeleteAishhh.. Kurang cerdik jugak ngkko ni yerr..
Hailo2 jgn la kata natrah mangsa at that time..pastu zafran nak balik kt dia.. Mmg mtk penampar la zaf ni..
Sekian.
On behalf of Amani ;) hehe
Bestnye...tp nak tau gak...ape kesudahan dia ngan amani..ada elemen surprise di situ...keep it up liya!!<3!
ReplyDelete