Orang Cantik dan Orang Hensem

Tuesday, June 26, 2012

Bab 18


Bab 18

            Zafran mempercepatkan langkah. Tali leher dibetulkan secara ala kadar. Gara-gara didatangi Amani dalam mimpi malam tadi, dia sudah terlewat bangun.  Semenjak dari kejadian perdebatan dengan uminya, hampir setiap malam Zafran tidur ditemani Amani. Namun mimpi malam semalam berlainan versi. Bukan Amani sahaja yang menemani dia, malah seorang bayi comel  juga turut serta dalam mimpi tersebut. Ah, dia benar-benar sudah angau. Sampai sudah beranak pinak di dalam mimpi!

            Zafran menghulurkan kunci kereta kepada pengawal keselamatan berasal dari Bangladesh. Secepat kilat lelaki yang memakai tag nama Khamer itu pergi mendapatkan kereta Zafran untuk diparkir di kotak khas. Rutin harian yang sudah diketahui. Tidak perlu membuka mulut untuk mengeluarkan arahan.

            Zafran menekan punat pada butang lif. Wisma Megah Holdings sudah sibuk pada waktu begini. Dia menanti ketibaan lif dengan kurang sabar. Kerja yang perlu disiapkan boleh ditangguh. Namun bayangan wajah Amani yang dirinduinya saat ini. Zafran sudah merancang untuk meluahkan perasaannya kepada Amani dalam masa terdekat. Jika ada kesempatan, dia mahu menyampaikan hajatnya pada hari ini juga.

            Zafran meloloskan diri ke dalam lif sebaik pintu lif terbuka. Dia duduk di bahagian paling dalam sekali sambil dihimpit oleh manusia yang masih berpusu-pusu masuk memenuhi ruang lif yang sudah sedia penuh itu. Saat pintu lif hampir tertutup, matanya menangkap seraut wajah yang cukup dikenalinya.

            Hold the door please!” Zafran meninggikan suara. Dia cuba keluar dari lif tanpa menghiraukan suara-suara yang mengaduh akibat disiku dan dipijak olehnya. Sebaik berjaya keluar dari lif, matanya meliar mencari kelibat wanita yang dilihat tadi. Zafran berkejar hingga ke pintu utama namun wajah yang dicari sudah tiada.

            Hampir lima belas minit meninjau, akhirnya Zafran berputus asa dan naik ke tingkat sepuluh. Keterujaan yang selalu dirasainya apabila berdepan dengan Amani kini lenyap dengan tiba-tiba. Usahkan menegur, menjeling pun tidak sewaktu dia melewati meja Amani. Fikirannya sesak dan padat dengan bayangan wajah tadi.

            Zafran meraup rambutnya ke belakang. Tidak percaya dengan pandangan matanya sebentar tadi. Setelah empat tahun dia mengikis kenangan silam itu, benarkah apa yang dilihatnya sebentar tadi? Walaupun sekilas, namun dia kenal benar dengan sepasang mata itu yang turut membalas pandangannya.  Walaupun sudah bertahun tidak bertemu, walaupun gadis itu kelihatan cukup berbeza, namun dia yakin dia melihat Natrah!

            Hati Zafran bagai dilanda badai tsunami tatkala sebaris nama itu meniti di bibirnya. Kenangan yang sudah tersimpan kemas di balik lipatan ingatannya bagaikan tersingkap dengan sendiri.

Empat tahun lalu…

            Zafran merupakan pelajar tahun akhir di Universiti Ohio apabila dia mengenali Natrah. Gadis kampung yang datang dari keluarga sederhana itu cukup menambat hatinya selepas beberapa kali mereka bertemu di perhimpunan pelajar Malaysia. Dia tertarik dengan perwatakan Natrah yang cukup sopan. Jarang-jarang dia melihat perempuan yang masih mengenakan baju kurung setelah agak lama menetap di Ohio.

            Dari kawan biasa, Zafran mendekati Natrah atas tiket membantu pelajar junior. Cukup banyak waktu yang mereka luangkan bersama. Daripada bertukar nota pelajaran, Zafran membawa Natrah mengenali bumi Ohio. Dia sendiri tidak sedar sejak bila dia mula jatuh sayang kepada gadis itu. Lama-kelamaan dia mendapati siang dan malamnya ditemani oleh bayangan wajah serta senyuman Natrah.

            Templeton-Blackburn Alumni Memorial Auditorium, atau lebih dikenali sebagai ‘Mem-Aud’ di kalangan pelajar University Ohio, telah menjadi saksi pertautan hati mereka. Masih segar di ingatan Zafran, dia menunggu Natrah menghabiskan kuliah dengan debaran yang menggila. Seminggu sebelum itu dia sudah menyisipkan sekeping surat di dalam buku rujukan yang ingin dipinjam oleh Natrah. Luahan hatinya dititipkan secara jujur di atas sekeping kertas itu. Dan dia menetapkan pertemuan seterusnya untuk Natrah memberikan jawapan.

            “Macam mana kelas tadi? Okay? Dr. Ziemer is one of the best lecturers in our faculty tau,” Zafran mengaburi rasa gugup yang dirasainya. Wajah Natrah yang tenang dicuri pandang. Skala debaran jantungnya kembali meningkat.

            Best. Senang nak faham apa yang dia ajar. At least dia tak ada accent yang pelik macam Prof. Abelson. Kalau dengan Prof. Abelson confirm kena bawa recorder. Balik bilik kena transcribe pula. By the way, thanks bagi pinjam buku dan nota-nota ni,” Natrah menghulurkan buku setebal tiga inci berserta nota-nota tulisan tangan Zafran yang telah banyak membantu dirinya.

            Lambat-lambat Zafran menyambut huluran Natrah. Jawapan yang dinanti masih belum diterima. Namun untuk bertanya secara berdepan dia terasa malu.

            “Nat ada group discussion lagi setengah jam. Nanti kita jumpa lagi ya! Assalammualaikum,” Zafran menghantar langkah Natrah dengan pandangan hampa. Sikap selamba Natrah sukar ditakrif oleh Zafran. Menolak atau pun belum membuat keputusan? Entah-entah Natrah tidak menjumpai surat yang disisipkan! Zafran pantas menyelak helaian buku tebal ditangannya. Sehelai nota berbentuk hati jatuh di tepi kakinya. Dalam debaran, Zafran membaca isi kandungan tulisan bertulis tangan itu.

            ‘Soal jodoh adalah rahsia yang telah ditetapkan oleh Allah semenjak kita masih di dalam rahim. Percayalah, jika memang Allah telah menetapkan Zaf sebagai jodoh Nat, Nat terima Zaf dengan lapang hati. Buat masa ini, marilah kita mengenali hati budi terlebih dahulu. Lagipun perjalanan kita masih terlalu jauh. Dengan redha Allah, bercinta selepas kahwin pasti manisnya akan terasa...’

            Zafran mengawal debaran di dada. Nota sisipan Natrah tiada bunyi penolakan. Mereka boleh merancang dan berusaha, namun segala ketentuan datang dari-Nya. Itulah yang difahaminya. Sepanjang hari itu Zafran murah dengan senyuman. Kepada Ilham diberitahu tentang perkembangan menarik tentang hubungannya dengan Natrah. Kepada umi dia sudah mula bercerita tentang gadis itu. Kepada Allah dia mengucapkan rasa syukur tanpa henti.

             Zafran melalui hari-hari yang mendatang dengan semangat yang luar biasa. Semakin lama dia menyelami hati budi Natrah, semakin berbeza dirasakan Natrah dengan gadis-gadis lain. Bukannya dia tidak pernah membuka hati untuk perempuan lain sebelum mengenali Natrah, namun Natrah terlalu unik dan istimewa. Dia benar-benar menghormati Natrah. Tidak pernah sekali pun dia menyentuh gadis itu. Dia ingin mencari keredhaan Allah seperti mana yang telah dinyatakan oleh Natrah.

            Zafran bagaikan terlihat tayangan gambar yang memaparkan kenangannya menikmati empat musim di Ohio bersama Natrah. Hampir setiap hari mereka meluangkan masa mengayuh basikal di Cleveland Metro Parks pada musim bunga. Apabila penat, mereka sama-sama duduk di bawah pokok menikmati keindahan ciptaan Ilahi yang tidak dapat dirasai di Malaysia. Berbual tentang pelbagai cerita, namun jarang-jarang sekali mereka menyentuh tentang soal hati.

            Musim sejuk membawa mereka ke Loudonville Winter Fest yang terletak berdekatan Mohican State Park. Dalam kedinginan suhu yang membeku, kehangatan kasih-sayang mereka semakin membahang. Zafran semakin berani menyatakan hasrat di hatinya kepada Natrah. Janji-janji mula terpatri antara kedua hati mereka.

            Mereka menghabiskan masa di Hucks Orchard pada musim luruh. Natrah cukup suka memetik buah epal dan labu. Itulah antara aktiviti popular bagi masyarakat tempatan di Ohio. Walaupun tidak sama seperti musim buah di Malaysia, namun senyuman gembira sentiasa menghiasi bibir gadis itu. Zafran menggambarkan rasa bahagianya dengan mengukir epal yang berbentuk hati lalu dihadiahkan kepada Natrah. Masih segar dalam ingatan Zafran wajah malu-malu gadis itu yang tetap menyambut pemberiannya.

            “Cantiknya! Nak makan pun sayang!” Natrah tersenyum malu. Lesung pipit di kedua-dua belah pipinya jelas kelihatan. Menambahkan lagi seri dan manis di wajahnya.

            “Sayangkan buah epal je? Orang yang memberi? Tak sayang?” Zafran menduga gadis itu. Kerutan di dahi Natrah mencuit hatinya.

            “Nah untuk Zaf,” epal berbentuk hati dipatah dua dan diberikan sebelah kepada Zafran. Pantas sahaja Natrah berjalan memetik buah epal di pokok lain. Sikap Natrah yang sering berselindung tentang hati dan perasaannya itulah yang menarik di mata Zafran. Walaupun tidak terungkap di bibir, namun tingkah lakunya adalah caranya yang tersendiri mengekspresikan perasaan.

            Namun kejadian yang berlaku di penghujung musim panas telah mengubah persepsinya kepada Natrah secara total. Gadis yang kononya terlalu menjaga hubungan dengan Allah itu telah merobek hatinya sehingga hancur. Terlalu hancur sehingga bertahun lamanya dia terpaksa mencantum kembali kepingan hatinya yang terluka itu.

            Zafran masih ingat dia ke rumah sewa Natrah setelah sepanjang malam gadis itu gagal dihubungi. Jantungnya bagai hendak pecah apabila mendapati pintu rumah Natrah yang tidak berkunci dan terbuka sedikit. Fikirannya sudah mula membayangkan perkara-perkara yang tidak enak mungkin menimpa gadis kesayangannya itu. Kadar jenayah yang meningkat tinggi di kawasan kejiranan mereka itu menggusarkan hati lelakinya.

            Dia melangkah masuk ke rumah Natrah yang sunyi sepi. Pintu bilik yang paling hampir dibuka oleh Zafran secara perlahan-lahan. Dia sudah bersedia untuk membuka langkah silat yang pernah dipelajari sewaktu di sekolah dahulu jika perlu. Namun permandangan yang menyapanya pada pagi yang cukup bersejarah itu telah menyebabkan tubuhnya hampir lumpuh.

            Zafran hampir tidak percaya tatkala melihat Natrah yang  masih lena tertidur di atas katil. Di sebelah Natrah terbaring seorang lelaki yang cukup dikenalinya. Edward pelajar tahun tiga sedang memeluk erat tubuh Natrah yang hanya diselimuti comforter. Tidak perlu diberitahu, dia sudah cukup arif apa yang telah berlaku antara mereka.

            Saat itu Zafran merasakan hatinya pecah seribu. Segala harapan dan impian yang disulam bersama Natrah jatuh berkecai. Dia hampir hilang pertimbangan ketika penumbuk sulungnya menyentuh pipi Edward. Tangisan serta rayuan Natrah yang seperti orang kebingungan tidak dipedulikan langsung. Dia benar-benar patah hati. Dia tidak mahu mendengar pembohongan daripada Natrah lagi. Pintu hatinya benar-benar terkunci semenjak peristiwa itu.

            Kejadian yang berlaku pada semester terakhir itu hampir membuatkan dia tersungkur. Kalau bukan kerana iman senipis kulit bawang yang masih berbaki serta kata-kata dorongan dari Ilham dan ibu bapanya, dia tidak mungkin akan mengenggam segulung ijazah. Bukan Natrah tidak beruasaha untuk mencari dia. Namun dia telah membuang gadis itu sejauh-jauhnya dari hidupnya. Benteng hatinya terlalu kukuh untuk didekati oleh Natrah. Dia benci kepada perempuan yang penuh kepura-puraan itu. Jika dia tidak melihat kejadian itu, pastinya sampai sekarang dia ditipu hidup-hidup oleh Natrah.

            Zafran menyapu kasar setitis air matanya yang gugur. Hingga ke saat ini dia masih terasa sakitnya hati ditipu oleh perempuan itu. Lukanya masih berbekas. Mana mungkin dia memaafkan perbuatan Natrah. Natrah bukan sahaja menghancurkan impian mereka, malah menutup pintu hatinya dari memberi ruang kepada perempuan lain hingga bertahun lamanya. Zafran sendiri tidak mengerti tindakan spontannya yang mengejar gadis itu apabila terpandangkan dia pagi tadi.

Segala kenangan telah ditinggalkan di Ohio. Yang dibawa pulang cuma kekecewaan serta kepahitan yang ditelan sendiri. Hatinya sudah tekad. Begitu lama dia cuba untuk membina benteng di hati, dia tidak akan membenarkan kehadiran Natrah merosakkan hidupnya sekali lagi. Dia tidak mahu dihantui oleh kenangan silam bersama Natrah. Yang ada hanyalah masa depan yang ingin dibina bersama Amani!

“Amani, within fifteen minutes we are going out for lunch!” Zafran menekan butang interkom. Senekad hatinya untuk tidak mempedulikan Natrah lagi, dia berazam untuk menyuarakan lamarannya kepada Amani. Apa nak jadi, jadilah!

Bersambung... :) 

2 comments:

  1. Da kata xmau kat natrah tu dok ligan dia watpe lagi zafran oii!!
    Aishhh.. Kurang cerdik jugak ngkko ni yerr..
    Hailo2 jgn la kata natrah mangsa at that time..pastu zafran nak balik kt dia.. Mmg mtk penampar la zaf ni..
    Sekian.
    On behalf of Amani ;) hehe

    ReplyDelete
  2. Bestnye...tp nak tau gak...ape kesudahan dia ngan amani..ada elemen surprise di situ...keep it up liya!!<3!

    ReplyDelete