Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, March 11, 2013

Bagai Bidadari... (Bab 6)


Bab 6
USAI solat Isya’, Wardah mencapai senaskah al-Quran yang terletak di atas rak buku di tepi katil. Tangannya ligat mencari muka surat yang ditinggalkan seminggu yang lalu kerana cuti haid.  Sesaat kemudian, alunan suara Wardah memecah kesunyian. Wardah merasakan bebanan di bahunya bagaikan terlepas pergi. Perasaan rindu yang sudah lebih dua dekad terpendam berganti pula dengan rasa ketenangan yang sukar diungkap.
Wardah menutup rapi naskah al-Quran. Dicium lama naskah suci itu sebelum didakap erat rapat ke dada. Wardah mengeluarkan sekeping gambar lama yang disimpan di muka surat terakhir. Gambar itu ditatap dalam-dalam sebelum air hangat mula membanjiri pipi mulusnya. Wardah merapatkan gambar itu ke bibirnya. Bagaikan masih terasa sentuhan lembut yang teramat dirinduinya.
“Wardah...” ketukan lembut di muka pintu mematikan lamunannya.
Wardah menyapu air mata di wajahnya lalu lekas-lekas dibuka telekung yang disarung. Pintu bilik dibuka. “Ye, ayah,”
“Wardah, jom turun bawah, nak. Kawan ayah datang tu,” Wahid tersenyum melihat wajah manis anaknya. Persis Farina, isterinya dahulu...
Okay ayah. Wardah pakai tudung kejap ye,” Wardah mencapai tudung ekspress yang tersangkut di kepala katil. Memang berguna untuk dipakai di waktu-waktu kecemasan. Sepintas Wardah menatap wajahnya di cermin, memastikan tiada anak rambut yang terkeluar dari tudung. Dia sudah biasa tidak berbedak. Wajahnya dibiarkan sahaja polos tanpa warna.
Sebaik kakinya memijak anak tangga pertama, telinganya menangkap bual mesra antara ayahnya serta seorang wanita lain. Siapa pula tu? Wardah menuruni tangga dengan gaya sopan yang canggung. Mengepit semacam aje  cara dia berjalan. Di rumah memang perwatakannya berbeza 200% daripada di luar.
“Ha, Wardah! Mari sini. Ingat lagi tak siapa ni?” Wahid menggamit Wardah agar merapati tetamu mereka. Melihatkan kerutan di dahi Wardah, dia pasti anaknya itu sudah melupakan kenangan dulu.
“Amboi, dah ada anak dara kan awak Wahid? Bukan main cantik sekarang. Dulu comot aje auntie tengok,” Raihanah berdiri lalu memegang kedua-dua belah bahu Wardah. Senyuman di wajahnya melebar melihatkan perubahan yang berlaku pada anak gadis itu.
“Apa khabar auntie?” Wardah menghulurkan tangan untuk bersalam. Sungguh dia tidak selesa apabila diperhatikan sebegitu. Anak matanya mengecil cuba mengingati siapakah gerangannya wanita seusia ayah yang masih anggun bergaya ini?
“Wardah tak ingat?”
“Hmm, tak boleh nak recall lah ayah...” jawapan Wardah mengundang tawa kecil di bibir Raihanah.
“Ye la, masa tu kan dia kecil lagi Wahid. Lima, enam tahun kan? Lainlah Fawwaz... dah besar dah waktu tu,” Raihanah masih enggan melepaskan tangan Wardah. Sudah hampir dua dekad mereka terpisah. Memang dia tidak berkecil hati jika kotak memori Wardah tidak terisi dengan kenangan tentang dirinya.
“Ini Auntie Raihanah kamu la. Yang masa kita duduk di Perak dulu. Tak ingat? Kamu kan suka main kahwin-kahwin dengan anaknya dulu?” sebaris ayat terakhir Wahid itu mengundang kerutan di dahi Wardah. Sesaat kemudian wajahnya merona kemerahan. Auntie Raihanah? Jiran lama dulu? Ya Allah... lamanya tak jumpa! Senyuman di wajah Wardah melebar setelah kembali mengingati empunya diri.
            “Nak kena mention pasal kahwin-kahwin baru nak ingat ya?” Auntie Raihanah mencuit dagu Wardah. Mana mungkin dia melupakan peristiwa dulu. Habis sebotol bedak talkumnya diambil mereka untuk dibuat upacara merenjis-renjis di tengah laman. Memang dihambatnya Hasif keliling rumah.
            Wardah cuba mengawal tawanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa berdekah-dekah mengingatkan kenangan dulu. Dia tidak ingat siapakah nama ‘suami’ yang dikahwini pada usia lima tahun dahulu. Dia hanya memanggilnya dengan gelaran ‘abang’. Adui, kecil-kecil dah menggedik nak kahwin. Dah besar begini tak ada pula siapa yang nak!
            “Auntie tinggal kat Shah Alam ke? Uncle Yusof tak datang sekali?” mata Wardah melingas mencari kelibat suami Raihanah.
            “Uncle Yusof dah sebelas tahun meninggal Wardah. Kena heart attack. Auntie dah pindah Shah Alam sepuluh tahun. Tapi baru sebulan lepas terserempak dengan ayah Wardah ni ha,” ada senyuman duka terlukis di wajah Raihanah waktu itu. Wardah terasa bersalah bertanyakan tentang Uncle Yusof. Malah dia sendiri berasa sayu dipagut rindu. Uncle Yusoflah yang sering membelikan ais kepal untuknya dahulu.
            “Saya minta maaf auntie. Saya tak tahu...” Wardah menyentuh tangan Raihanah.
            “Eh, tak apa. Kalau uncle masih ada, mesti dia terkejut tengok Wardah dah besar macamni. Cantik anak awak ni, Wahid. Bila nak bermenantu?”
            “Ha, awak tanyalah sendiri empunya badan. Kerja rumah pun tak lulus-lulus lagi. Pening kepala saya nak besarkan anak dara sorang ni,” kata-kata Wahid disambut tawa Raihanah. Telinga Wardah bagaikan berdesing mendengarkan rungutan Wahid.
           “Auntie borak la dulu ye. Saya buatkan air kejap,” Wardah menggunakan teknik selamat untuk melarikan diri. Perlahan-lahan dia menapak ke ruang dapur. Masih terdengar riuh-rendah tawa ayahnya dan Auntie Raihanah yang saling bersahutan. Wardah mengintai dari celah langsir dapur. Sudah lama dia tidak melihat wajah ayah berseri sebegitu.
 Ehem, ada apa-apa ke antara ayahnya dan Auntie Raihanah? Al-maklumlah, kedua-duanya pun sudah lama hidup membujang. Ish, nak dapat mak tiri ke aku ni?
“Kau hendap apa ni?” Fawwaz menepuk lembut bahu Wardah. Sepasang matanya turut mencari objek hendapan sasaran adiknya itu.
“Eiii, along ni! Suka buat orang terkejut tau!” Wardah mencubit lengan Fawwaz. “Eh, along dah tegur Auntie Raihanah? Jiran lama kita dulu tu!”
“Dah, tadi masa along balik kerja auntie dah sampai. Yang kau ni buat apa kat sini? Pergilah borak dengan auntie. Dari tadi dia tanya pasal kau. Alaaa... menantu dia dulu,” Fawwaz tertawa melihatkan wajah Wardah yang merona merah.
“Orang dah tegur la tadi. Ni orang nak buat air ni,” Wardah menghampiri kabinet dapur. Tangannya mencapai teko putih bercorak bunga. Kepalanya berpusing ke kiri dan ke kanan bagaikan mencari sesuatu.
“Along!” Wardah menggamit Fawwaz yang sedang bersandar pada dinding sambil menikmati sebiji epal merah. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah Wardah. “Mari kejap!” Wardah menggamit lagi.
Fawwaz merapati adiknya. Pelik melihatkan Wardah yang bagaikan mencari sesuatu. “Nak apa?”
“Hmm... macam mana nak bancuh teh?”

*                      *                      *                      *                      *                      *         

Sudah hampir setengah jam Raihanah pulang meninggalkan mereka. Selama itu jugalah Wahid masih belum puas bercerita tentang kenangan serta rapatnya keluarga mereka dahulu. Sesekali kedengaran suara Fawwaz turut menyulam kenangan lalu.
Wardah sekadar menjadi pemerhati yang setia. Selain dari memori main kahwin-kahwin, segala-galanya agak kabur di ruang ingatannya di saat ini. Walaupun lima tahun hidup berjiran, namun akhirnya mereka sekeluarga berpindah ke Pulau Pinang mengikut ayah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di USM. Sejak itu kenangan itu sudah lama terkubur.
Dentingan jam menunjukkan sudah pukul sebelas malam. Fawwaz bangun dari sofa sambil meminta diri untuk masuk tidur. Esok, awal-awal pagi lagi dia ada progress meeting dengan Lembaga Pengarah.
“Wardah pun nak masuk tidur juga la ayah,” Wardah juga turut berdiri tegak. Kain batik dikemaskan kedudukannya.
“Aimy Wardah. Kamu duduk kejap. Ayah ada benda nak bincang,” keseriusan suara Wahid membuatkan Wardah berasa tidak sedap hati. Wahid sudah duduk bersandar sambil menanggalkan kaca matanya lalu diletakkan di meja sisi.
Debaran di dada Wardah bagai sukar dikawal. Perkara apa yang hendak dibincangkan oleh ayah agaknya? Kenapa ayah nampak serius sangat ni? Entah-entah betul tekaannya tadi yang ayah dan Auntie Raihanah mungkin sedang merancang untuk membina mahligai bahagia? Tapi kalau ayah hendak berkahwin dengan Aunti Raihanah, kenapa along tidak diajak duduk berbincang sekali?
“Sebenarnya... Auntie Raihanah datang tadi sebab ada hajat nak minta Wardah tunaikan,” Wahid membetulkan duduknya. Sesekali dia berdehem melegakan tekak. Dia tidak tahu bagaimana mahu mengatur ayat supaya Wardah dapat menerima permintaannya sebentar nanti.
Berhajatkan aku? Takkan Auntie Raihanah datang tadi sebab nak meminang aku??? Wardah yang duduk bertentangan dengan Wahid sudah mula panas punggung. Mulutnya masih terkunci rapi. Namun akalnya sudah jauh membuat pelbagai kesimpulan. Butir bicara Wahid sudah tenggelam di telinganya. Dia leka dalam alam khayalannya sendiri. Walaupun hampir setiap petang mereka main kahwin-kahwin dulu, namun saat ini dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga!
“Kamu dengar tak ni Wardah?” Wahid menguatkan sedikit suaranya. Wardah dilihatnya seperti tidak keruan.
“Ayah, Wardah tak nak kahwin lagi! Wardah tak sedia!” Wardah menentang pandangan mata ayahnya. Bukan dia tidak tahu ayah sudah kerap sangat berbicara soal jodohnya. Manalah tahu kalau ayah pandai-pandai mengikat janji dengan Auntie Raihanah tanpa berbincang dulu dengan dirinya! Baik dia bertegas awal-awal dari sekarang.
“Apa kamu cakap ni Wardah? Kahwin? Siapa pula yang nak masuk meminang kamu ni nak oiii... Buat air pun tak pandai lagi. Ada hati nak bercakap pasal kahwin ya? Ayah cakap, Auntie Raihanah datang tadi sebab nak minta tolong kamu ajarkan anak bongsu dia. Untuk SPM lagi lima bulan ni. Buat private tutor di rumahnya,” Wahid menggelengkan kepala. Hendak tergelak pun ada bila memandang wajah Wardah yang sudah tersipu-sipu malu.
“Ha, jadi tutor? Orang tak pandai mengajar la ayah...” Wardah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hilang satu bala, berganti pula bala yang lain. Kahwin, mengajar, dan berpakaian ayu duduk sebaris sama tinggi dalam kategori yang sukar untuk dia tunaikan.
“Pergilah Wardah. Orang berharap dengan kita. Bukannya Auntie Raihanah minta kamu mengajar free. Nanti dia bagi RM300 sebulan. Rumah dia pun tak jauh. Ayah boleh ambil dan hantarkan kamu,” Wahid memandang penuh pengharapan. Dia berharap benar Wardah mahu mencuba kembali profesion perguruan yang ditinggalkan. Mahu digilap semula minat anaknya itu.
Wahid amat bersyukur apabila dipertemukan semula dengan Raihanah di majlis kenduri seorang kenalan kira-kira sebulan yang lalu. Sudah penat dia memikirkan cara untuk mengerah semula Wardah ke bidang mengajar. Namun ada sahaja alasan yang diberikan oleh Wardah. Dia benar-benar berharap permintaan Raihanah kali ini akan dipenuhi oleh Wardah.
Wardah terdiam berteleku. Dia memang tidak minat mengajar. Tapi... dia tidak sampai hati pula untuk menolak permintaan Auntie Raihanah. Lagipun bak kata ayahnya dari tadi, keluarga Auntie Raihanah memang banyak berjasa kepada mereka. Lebih-lebih lagi pada dirinya sendiri. Sejak ketiadaan ibu, memang Auntie Raihanahlah tempat dia menumpang kasih. Ala... lima bulan aje kan...
“Boleh ke Wardah?” Wahid cuba membaca riak di wajah anaknya.
“Hmm, bolehlah ayah. Tak sampai hati pula nak tolak permintaan auntie...” Wardah cuba juga mengukir senyuman. Kelegaan yang terpancar di wajah Wahid menjentik sejuta rasa di hati Wardah. Memang ayah berharap sangat aku mengajar,kan?
“Alhamdulillah. Terima kasih anak ayah. Minggu depan dah boleh mula tau. Nanti Wardah belilah buku rujukan SPM. Dah lama kan Wardah tinggalkan,”
“Yelah ayah. Esok balik kerja Wardah pergi cari buku. Wardah naik dulu ye, ayah?” Wardah sudah menapak beberapa langkah apabila namanya diseru oleh Wahid.
 “Ye ayah?”
“Bila dah bertandang ke rumah Auntie Raihanah kamu nanti jangan main kahwin-kahwin pula dengan anak teruna dia tu! Single lagi tau! Kerja pun bagus,” ada senyuman nakal terukir di wajah Wahid. Seronok dapat mengusik anak daranya yang satu itu.
“Ish, ayah ni!” Wardah berlalu mendaki tangga. Lekas-lekas pintu kamar tidurnya ditutup rapat. Entah mengapa usikan Wahid sebentar tadi meninggalkan debaran yang lain macam di dadanya.
Wardah merapati almari baju dua pintu. Laci kecil itu ditarik keluar lalu tangannya meraba-raba segenap isi laci yang tidak pernah bersusun sejak berkurun lamanya. Tangannya mengeluarkan sebuah kotak besi Coklat Van Houten yang sudah berkarat. Wardah membuka penutup kotak itu. Sebentuk cincin plastik yang dibeli dari mesin ‘tikam’ sudah berada di atas tapak tangannya.
Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Dengan cincin inilah dia berkahwin dengan anak Auntie Raihanah dua puluh tahun dahulu. Siap duduk bersanding dan ditepung tawar oleh anak-anak jiran tetangga yang lain.
Wardah membaringkan tubuhnya di atas katil bersaiz queen itu. Pandangan matanya ditebarkan ke siling putih berukir cantik. Dia sudah hampir melupakan kenangan masa kecil itu. Cincin di dalam genggamannya kini sudah tersarung di jari kelingkingnya. Semakin melebar senyuman di bibir Wardah tatkala ini.
Hmm, entah macam mana rupa suami aku sekarang ya?

5 comments:

  1. heeheee...akk teringat dulu mase kecik2 main gak kawin2.cam ner lh gak ek kalu pengantin kecik dolu2 nih di temu kn semula mau nyer,ade yg sorok muka tu bawah katil kot...haahaaa

    ReplyDelete
  2. Walaweiii lawak gila! Hahahaha best2..nk lagii

    ReplyDelete