Bab
15
WARDAH
campak baju ke sebelas di atas lantai. Kedua-dua tangannya sudah mula
menggaru kepala yang tidak gatal. Mulutnya membebel tanpa henti.
Gila! Takkan kau nak pakai seluar baggy kau tu? Wardah geleng kepala.
Memang menempah maut jawabnya kalau dia berpakaian sebegitu. Sebelum keluar
rumah dah jadi arwah agaknya dia nanti disembelih Wahid.
Wardah bergerak semula ke almari
baju. Almari yang tidak pernah berkemas itu bertambah berselerak dengan
punggahan baju lama Wardah. Wardah membelek satu persatu baju yang ada. Dia
memang sudah lama tidak membeli-belah. Baju yang sama sahaja yang diulang pakai
tanpa rasa jemu.
Stok pakaian yang agak lusuh itu
dipandang dengan seribu satu rasa. Sejak setahun yang lalu, dia lebih banyak
koleksi pakaian yang menyerupai koleksi Fawwaz. Baju orang lelaki! Jika hendak
keluar mengaburi mata ayah dan alongnya, dia lebih senang menyarung baju kurung
kain kapas. Kemudian dia akan singgah di
tandas awam dan menyalin pakaian yang lain.
Mengenangkan janji untuk keluar
bersama Adam hari ini membuatkan dia kecut perut. Mustahil pula dia mahu menyarung
pakaian seperti lelaki. Walaupun penampilan seperti itu memberikan keselesaan
kepadanya, namun dia pasti Wahid akan mengamuk sakan nanti. Bocor pula rahsia
yang disimpan rapi selama ini.
Wardah merenung pula timbunan baju
kurung kapas yang berselerak di atas lantai. Serta-merta dia sudah terbayangkan
bagaimana dia terpaksa berjalan secara mengepit di dalam kain sempit itu nanti.
Lagi best bila dia selalu terpijak
kainnya sendiri sehingga hampir terjatuh.
Haihhh.
Wardah mengeluh panjang. Lambat-lambat dia menarik keluar
sebuah kotak dari bawah katil. Tangannya menyapu selaput habuk yang agak tebal
di permukaan kotak. Beberapa kali dia terbersin tatkala serpihan habuk berterbangan
di hadapan wajahnya.
Wardah mengeluarkan satu persatu
pakaian dari kotak tersebut. Ada satu rasa yang menyelinap masuk ke dalam
hatinya saat itu. Dia masih ingat keputusan yang dibuat dahulu. Segalanya
bagaikan tergambar semula di ruang ingatannya.
Baju-baju yang disimpan di dalam
kotak besar itu adalah pakaian rutin yang membaluti tubuhnya dahulu. Sama
seperti anak gadis yang lain, dia juga punya sense of fashion. Koleksi pakaiannya selalu up-to-date. Lilitan tudungnya pelbagai gaya.
Namun kerana peristiwa hitam yang
satu itu, Wardah nekad mengubah penampilan. Hematnya, dia boleh melupakan
kenangan pahit itu sama seperti dia membungkus rapi koleksi pakaiannya di dalam
kotak besar itu.
Wardah menyapu setitis air mata yang
mengalir di pipi. Dia mulai sedar. Dia masih rapuh rupanya. Dia masih belum
mampu melupakan apa yang telah berlaku. Dan dia masih hidup ditemani
bayang-bayang silam itu.
Hai la kenangan... Semakin aku lari,
semakin hampir kau mengejar. Wardah mengeluh perlahan.
Tangannya
sedikit bergetar tatkala kemeja putih dan skirt labuh berwarna hitam
dikeluarkan dari kotak usang. Sehelai selendang hitam bercorak bunga kecil
berwarna putih ditarik keluar. Wardah meletakkan pakaian dipilih di atas katil.
Wardah katup mata. Dia bagaikan
terlihat dirinya yang dahulu dalam sepersalinan itu. Kombinasi kemeja dan skirt
potongan A itu pernah menjadi kegemarannya. Wardah pujuk hati yang keras.
It’s only for one day, Aimy! Nothing’s going to change...
WARDAH memintal
hujung selendangnya. Sesekali anak matanya mengerling ke arah jam di dinding.
Punggungnya terasa kebas, kakinya terasa sengal, kepalanya terasa berpinar dan
yang paling ketara adalah rentak denyut jantungnya. Kuat menggegar dada
bagaikan dipalu gendang.
Ini bukan kali pertama dia berasa
begini. Perasaan ini pernah melanda dirinya ketika menunggu giliran untuk
pertandingan debat dahulu. Debaran yang cukup menggila!
Wardah pejam mata. Aik, rasa nak
muntah pun ada ni!
“Tak sampai lagi Adam?” Wahid
menyapa dari anak tangga. Matanya dikecilkan membuang pandang ke halaman rumah.
“Belum lagi ayah. Janjinya pukul 11
pagi,” Wardah membalas gugup. Bertambah berdebar dirasakan apabila mengenangkan
rancangan nakalnya sejak beberapa hari yang lalu. Memang bernasib malang si
Adam kerana terjebak sekali dalam komplotnya kali ini.
Wardah sudah berfikir panjang.
Memperkenalkan Adam kepada Wahid hari ini akan memastikan dirinya tidak lagi
dikaitkan dengan Hasif yang sengal! Dan andainya dia bijak mengatur strategi,
lagi dua atau tiga bulan akan dikhabarkan berita terputusnya hubungan dia dan
Adam kepada Wahid.
Wardah mahu pura-pura sedih dan
terlalu kecewa dengan perpisahan olok-olok itu nanti. Sekurang-kurangnya bila
Wahid menyuarakan tentang jodoh, dia boleh beralasan tentang hatinya yang masih
sakit mengenangkan hubungan yang tidak kesampaian dengan Adam!
Wardah ketawa kuat di dalam hati.
Bijak betul aku ni! Wardah memuji diri sendiri. Sedikit pun tidak memikirkan
tentang hati dan perasaan orang lain.
“Assalammualaikum,”
Serentak Wardah dan Wahid berdiri
dari sofa. Namun Wahid terlebih dahulu sudah melangkah menuju ke pintu.
“Ayah! No!” Wardah memaut lengan Wahid. Kuat.
“Aik, kenapa? Bagilah ayah
berkenalan dengan kawan kamu tu,” wajah cemas Wardah dipandang lama.
“Janganlah ayah. Nantilah dulu. Apa
kata dia nanti kalau ayah beriya keluar nak berjumpa,” Wardah geleng-geleng
kepala. Gabra! Dia bimbang Wahid menyoal lebih-lebih kepada Adam.
“Assalammualaikum!”
suara di luar kedengaran sudah naik satu oktaf. Dari balik langsir kelihatan
sesusuk tubuh lelaki sedang mundar-mandir di hadapan pagar. Pastinya resah
apabila salam diberi tidak bersahut.
“Kesian kat Adam tertunggu-tunggu
tu, Wardah!” Wahid memegang tombol pintu.
“Ayah, pleaseeeee! Not today. Wardah dengan Adam tu baru je berkawan ayah.
Nanti ayah soal dia macam-macam, takut pula dia!” Wardah berdiri di hadapan
pintu. Kedua-dua tangannya didepakan.
“Ish, kamu ni. Bukannya ayah nak
tanya apa pun. Tahulah ayah. Cepat Wardah. Orang bagi salam tiga kali tak
berjawab, maksudnya tak ada orang di rumah. Nanti balik pulak si Adam tu,” suara Wahid kedengaran mengugut.
Wardah tarik muka cemberut. Susah
betul nak berlawan cakap dengan bekas guru disiplin. Perlahan-lahan dia menapak
ke tepi memberi laluan kepada Wahid. Dadanya kembali berdebar kencang. Dia
sendiri belum mengenali Adam dengan secukupnya. Kerja di mana pun dia tidak
tahu.
“Waalaikummusalam,” Wahid membuka
pintu. Matanya terus disajikan dengan sesusuk tubuh tegap lelaki bernama Adam
di hadapan pagar rumah. Wahid memerhatikan lelaki yang berjalan menghampirinya.
Boleh tahan pilihan si Wardah ni.
“Apa khabar, pak cik?” Adam
menghulurkan tangan. Terasa berbaris bulu romanya saat itu.
“Alhamdulillah sihat. Nak jumpa
siapa?” Wahid tayang wajah serius.
“Hm, saya nak bawa Aimy keluar kalau
boleh pak cik,” Adam cuba berlagak tenang. Memang adatnya kena meminta izin
dengan bapa Aimy.
“Aimy?” kening Wahid sudah
bercantum.
“Ye, Aimy,”
“Aimy mana?”
Adam telan liur. Perit. Eh, dah kena
main ke aku ni dengan Aimy? Adam jeling sepintas nombor rumah teres dua tingkat
itu. Ish, betul lah alamatnya ni. Lagipun dia gunakan GPS tadi. Adam gosok
belakang tengkuk. Gelisah.
“Hm, tak apalah pakcik. Err... saya
salah rumah kot ni,” Adam sudah berkira-kira mahu berpatah balik ke arah
keretanya.
“Wardah!”
Wahid memanggil kuat. Dari celah pintu muncul Wardah dengan wajah yang sedikit
pucat. Terkulat-kulat berdiri di tepi dinding rumah.
Langkah
Adam terhenti. Riak wajahnya bertukar kembali ceria.
“Yang ini ke yang kamu cari?” Wahid
tenung wajah Adam. Dia menahan gelak melihat Adam yang terangguk-angguk dengan
senyuman bukan main lebar.
“Oh, yang ini... Ni namanya Aimy
Wardah,” Wahid memeluk bahu Wardah. “Nak pergi mana bawa anak dara pak cik ni?”
“Pergi makan dekat Empire Subang,
pak cik. Lepas tu sebelum Maghrib insyaAllah saya hantar semula,” Adam menjawab
sopan.
“Hm, okay. Jaga diri baik-baik.
Jangan buat bukan-bukan...”
“Ayahhhh!” keras suara Wardah
memotong ayat Wahid. Mulalah tu ayah ni...
“Iya pakcik. Saya jaga baik-baik.
Err, pakcik nak ikut sekali jomlah?” Adam pelawa ikhlas.
Tertawa kecil Wahid dengan pelawaan
Adam. Dia bukanlah overprotective sangat
sehingga mahu mengikut mereka. Namun pertama kali melepaskan Wardah pergi
dengan kawan lelaki, buat dia rasa bimbang juga.
“Tak apalah. Petang-petang Sabtu
macam ni pakcik tunggu filem Bollywood. Kamu hantar balik anak pakcik dengan
selamat cukuplah,” Wahid tersenyum. Sekilas dia melihat raut wajah Adam, dia
merasakan lelaki itu dari kalangan orang yang baik-baik.
“Ye pakcik. Kami gerak dulu ye?”
Adam menyalami Wahid sekali lagi. Wardah juga berbuat demikian.
“Orang keluar kejap tau. Petang
nanti orang balik. Ayah nak apa-apa tak? Nak orang tapau apa?” Wardah
terkial-kial menyarung sneakers
kegemaran pada kakinya.
“Ish tak payah. Petang nanti adalah
Mak Cik Sari hantarkan karipap inti daging tu,” Wahid berlalu masuk ke rumah.
No comments:
Post a Comment