Orang Cantik dan Orang Hensem

Tuesday, June 12, 2012

Bab 15


Bab 15
            KERETA mewah Zafran yang menjalar di atas jalan kampung tidak berturap menarik perhatian puluhan pasang mata. Ada yang saling berbisik sesama sendiri, dan ada juga yang melopong kekaguman. Anak-anak kecil yang sudah hitam berkilat bermain di tepi bendang saling bersorak. Bukan selalu orang kaya datang ke Kampung Kepayang. Rasa kagum sukar dikikis di hati mereka.
            Zafran memberhentikan keretanya berdekatan dengan pokok buah mangga. Sepasang matanya beralih ke arah rumah papan yang terletak kira-kira dua ratus meter dari pinggir jalan. Zafran mengamati kawasan rumah tersebut. Halaman kecil dihiasi dengan pokok bunga kelihatan bersih dan kemas. Sebuah basikal tua yang sudah agak usang disandar pada tiang rumah. Beberapa pasang selipar buruk pula disusun di tepi tangga.  Zafran tercari-cari sepasang kasut sampan Amani.
            Hampir empat jam memandu mencari rumah Amani bukan lah perkara yang mudah. Entah berapa kali dia tersesat dan tersalah kampung. GPS juga tidak banyak membantu. Guna Pun Sesat! Mungkin kerana Zafran tidak memiliki alamat lengkap rumah Amani. Dia hanya ingat-ingat lupa maklumat yang pernah dicuri baca dahulu. Mustahil pula mahu bertanya kepada Melissa. Entah cerita apa pula yang akan dicanang nanti! Mata Zafran meliar cuba mengesan kelibat Amani.
            Tok! Tok! Tok!
            Zafran menahan rasa terkejut tatkala melihatkan seorang budak lelaki yang sederhana tinggi sudah berdiri di tepi keretanya. Sepasang mata bundar serta hidung terletak yang dimiliki budak lelaki itu mengingatkan dia kepada wajah yang dirindui. Betul lah ini rumahnya! Zafran mematikan enjin dan keluar dari kereta.
            “Mak tak ada di rumah! Kami tak nak beli barang yang abang jual. Tak ada duit. Baik abang pergi rumah Haji Din tu. Dia tu orang kaya,” Zafran melihat ke arah rumah besar tiga tingkat yang dimaksudkan budak itu. Rasa hendak ketawa dibuang jauh-jauh mendengarkan kata-kata yang terpacul dari mulut budak itu. Adik dengan kakak sama sahaja! Naif dan cepat sangat buat kesimpulan!
            “Nama siapa?” Zafran merenung wajah itu. Memang seiras. Kalau dipakaikan tudung pasti sukar dibezakan antara Amani dan adiknya.
            “Amran,” budak itu menjawab sepatah. Amran memintal hujung t-shirtnya yang besar dan labuh itu. Bajunya comot dengan pelbagai kesan kotoran. Rasa simpati terkesan di hati Zafran.
            “Oh, Amran ni adik Amani kan? Kakak ada di rumah?” Zafran mengukir senyuman.
            “Abang ni siapa? Kenapa nak jumpa kakak?” wajah Amran berkerut seribu. Sepasang matanya sudah turun naik memerhatikan Zafran dari atas hingga ke bawah. Lagaknya tak ubah seperti seorang inspektor.
            Zafran menggaru kepala yang tidak gatal. Dia tidak punya jawapan untuk diberikan kepada Amran. Malah dia masih berhutang jawapan kepada diri sendiri untuk soalan yang sama. Memandu sejauh ini tanpa pedulikan rasa penat dan lapar. Untuk apa? Untuk siapa?
            “Abang kawan kak Amani,” Zafran menjawab ringkas. Wajah Amran yang tadinya kelat berubah ceria dengan tiba-tiba. Senyuman lebar terukir di wajah Amran. Amran berlari menuju ke rumah papan sambil terjerit-jerit.
            “Mak, pakwe kakak datang! Mak! Pakwe kakak datang ni!!! Marilah masuk bang. Kakak keluar dengan kak Syuhada. Kejap lagi dia balik lah,” Amran berteriak sambil memanjat tangga. Tangan kanannya menggamit Zafran naik ke rumah.
            Zafran menahan senyuman. Gelaran ‘pakwe’ menjemput kembali puing-puing bahagia di hatinya. Perlahan-lahan dengan muka tak malu, Zafran menghampiri tangga rumah Amani.
            “Apa yang terjerit-jerit ni Amran? Pakwe siapa?” wajah tua seorang wanita menjenguk dari birai pintu. Wajah dimamah usia itu kelihatan sedikit cemas. Batuk-batuk kedengaran dari bibirnya. Wanita itu mengalihkan pandangan mata ke arah wajah anak muda yang cukup asing di halaman rumahnya.
            “Cari siapa, nak?” Kursyiah menuruni anak tangga.
            “Saya cari Amani, mak cik. Saya Zafran. Amani ada?” Zafran memperkenalkan dirinya.
            “Oh, Encik Zafran. Bos Amani ye? Jemputlah naik. Amani selalu cerita pasal Encik Zafran. Katanya baik sangat. Seronok dia bekerja dengan encik!” Kursyiah sudah mengibaskan lapik kaki yang berdebu. Batang penyapu di tepi dinding diambil untuk menyapu tangga papan yang berhabuk. Tetamu yang tidak dijangka tiba di rumah buruknya. Kursyiah mahu melayan majikan Amani sebaik mungkin.
            “Jangan susah-susah mak cik!” Zafran terkesima dengan reaksi spontan wanita itu. Pastinya Amani selalu bercerita tentang dirinya. Dan pastinya Amani sudah terlalu banyak berbohong kepada emaknya. Layanan buruk yang diberikan kepada Amani sejak dari hari pertama dia bekerja sudah ditukarkan kepada cerita-cerita manis untuk menyedapkan hati ibu tua itu. Zafran dipalu seribu kesalan.
            Pintu kayu dibuka seluas-luasnya oleh Kursyiah. Mujurlah Amani sempat menyapu dan mengemas ruang tamu sebelum keluar tadi. Kerusi rotan yang sudah usang menjadi tempat Zafran melabuhkan punggungnya.
            “Ada apa datang cari Amani ni encik? Anak mak cik tu ada buat salah ke?” kening Kursyiah sudah berkerut. Hatinya bimbang bukan main kalau-kalau kehadiran Zafran ke rumahnya membawa maksud yang tidak baik.
            “Eh, bukan macam tu mak cik! Sebenarnya saya nak minta satu laporan daripada Amani. Kebetulan pulak baru lepas melawat tapak projek dekat-dekat sini. Tu yang singgah sekejap. Harap tak mengganggu mak cik sekeluarga,” Zafran berbohong sunat. Takkan pula dia hendak memberitahu tentang penyakit rindu yang sudah tak tertanggung! Mahu pengsan orang tua itu nanti.
            “Tak ganggu pun encik. Tapi Amani tak ada. Dia ke rumah sepupu tolong untuk kenduri kahwin. Kejap lagi balik lah tu,” Kursyiah tersenyum manis. Wajah Zafran diamati lama. Betul la kacak macam Adi Putra!
            “Eh, janganlah berencik-encik dengan saya. Mak cik panggil aje Zafran,” Zafran membetulkan duduknya. Biar sopan di mata Kursyiah.
            “Hm, ye lah. Zafran dah makan? Kalau belum, mari lah makan sekali. Tapi lauk kampung aje lah Zafran...” Kursyiah mempelawa ikhlas. Adat berbahasa dengan tetamu. Namun dia yakin benar Zafran pasti tidak biasa makan gulai ikan sepat masin yang dimasaknya. Selera orang bandar pastinya tidak sama dengan tekak orang kampung.


            *                      *                      *                      *                      *                      *

Amani mematikan enjin motosikal EX5 peninggalan arwah abah. Hatinya cemas bukan main.  Sudah hampir sejam dia terkandas di rumah Mak Long dek kerana hujan lebat yang turun. Dia bimbangkan atap zink di bahagian tengah rumah yang sudah bocor itu. Kebiasaannya mereka terpaksa menadah dengan besen besar apabila hujan turun. Wang belanja yang dikirim kepada emak sudah habis dibuat belanja harian mereka tiga beranak. Amani menunggu gaji seterusnya untuk memanggil tukang rumah membaiki atap tersebut.

 Pintu rumah dikuak perlahan. Amani melangkah masuk ke tengah rumah. Dia mendongakkan kepala ke arah atap zink yang sudah siap dibaiki. Hatinya hairan bukan kepalang. Matanya tercari-cari kelibat emaknya. Dia benar-benar ingin tahu pari-pari mana yang telah datang menghulurkan bantuan.

“Assalammualaikum!” jeritan Amran dari luar rumah menarik perhatian Amani. Jantungnya hampir gugur tatkala melihat sesusuk tubuh lelaki yang mendaki tangga rumanhya itu. Zafran yang menyarung baju melayu coklat gelap lengkap berkain pelikat milik arwah abah sudah tercegat di depan pintu.

‘Hensemnya!’ sempat pula hati Amani membuat penilaian. Cair juga dia melihat penampilan Zafran yang tak ubah seperti lelaki melayu terakhir itu.

            “ Tak pernah tengok orang kacak ke? Sampai terlopong mulut!” Zafran tayang wajah macho. Padahal hatinya sudah berentak dangdut tatkala terpandangkan wajah polos Amani sebentar tadi. Berseluar track suit dan bert-shirt lengan panjang. Cukup ringkas namun bagaikan bidadari kayangan di mata Zafran. Bebanan rindu yang dipikul bagaikan terlepas dari bahunya.

            Amani menutup mulut dengan tangannya. Senyuman serba salah terukir di wajah Amani. Tidak tahu apa yang harus diucapkan kepada Zafran. Kunjungan Zafran memang tidak pernah terlintas di fikirannya langsung. Pagi tadi terdapat tiga panggilan tidak berjawab dari Zafran.  Dia terlalu sibuk membantu menyiapkan lima belas dulang hantaran untuk Sofia sehingga terlupa untuk menelefon semula. Apakah perkara yang terlalu penting sehingga membawa Zafran ke rumahnya di Kuala Kangsar? Amani berteka-teki sendiri.
            “Kenapa tercegat depan pintu tu? Amani, jemput bos kamu masuk. Zafran makan keledek goreng?” Kursyiah mucul dari dapur sambil menatang sedulang hidangan petang. Amani memberi laluan kepada Zafran yang kelihatan begitu ramah melayan emaknya. Bagai sudah kenal lama pula. Dengan pantas dia membuntuti emaknya yang sudah berlalu ke dapur.

            “Mak, bos Amani mana makan keledek goreng! Tak kena dengan selera dia nanti,” Amani terduduk di kerusi makan. Kepalanya sudah terasa pusing. Kedatangan Zafran benar-benar menggugat keamanan yang dinikmati ketika bercuti di kampung.

            “Ish, dia suka makanan kampung! Tiga kali Zafran bertambah nasi makan gulai ikan sepat masin tengah hari tadi. Betul la kata kamu, Zafran tu baik orangnya. Sanggup dia ke pekan beli barang-barang untuk tolong tampal atap bocor kita tu. Kamu kena kerja dengan dia elok-elok tahu tak? Kenang budi baik dia,” Kursyiah mengambil tempat di hadapan Amani. Wajah Amani ditatap penuh kasih.

            Amani membetulkan tudung bawal di kepala. Cerita yang keluar dari mulut emaknya bagaikan cerita dongeng yang sukar dipercayai. Bagaimana singa jantan yang selalu mengherdik marah kepada setiap satu perbuatannya boleh berubah baik sebegitu rupa kepada keluarganya? “Encik Zafran ada bagitahu kenapa dia datang?” Amani memintal hujung baju. Tabiat turun temurun apabila dilanda keresahan.

            “Entah. Katanya nak ambil laporan. Tak tahulah laporan apa. Pergilah kamu tanya sendiri,” Kursyiah sudah bangun menuju ke sinki. Amani menapak perlahan ke ruang tamu. Gelak tawa Amran dan Zafran jelas kedengaran saling bertingkah. Entah apa sajalah yang dibualkan mereka berdua. Amani menahan rasa. Adiknya yang seorang itu bukan boleh diharap. Bimbang pula jika Amran membuka cerita memalukan tentang dirinya.

            “Amran tunjuk gambar akak!” Amran tersengih bukan main. Album gambar lama berada di ribaan Zafran. Sudah Amani jangkakan, gambar dia bertocang dua dan sedang ternganga menangis yang menjadi tatapan Zafran. Gambar-gambar dia sekadar berlampin tanpa baju juga banyak di dalam album itu. Muka Amani sudah merah bagai dibakar.

“Hm, mak cakap Encik Zafran datang untuk ambil laporan. Laporan apa ya?” Amani berterus-terang. Kalau boleh dia ingin lekas-lekas memenuhi tuntuan Zafran supaya Zafran boleh cepat pulang. Lagipun hari sudah petang.

            “Tak apa lah. Saya dah minta Melissa buatkan. Oh, ya! Saya dah lama tak masuk kampung. Boleh bawa saya pusing kampung awak?” Zafran lekas-lekas menukar topik. Wajah Amani yang berkerut ditatap sepintas. Dia pasti Amani sedang menilai logik jawapan yang diberikan sebentar tadi.

            Amani tercari-cari jawapan yang sesuai diberikan kepada Zafran. Bawa Zafran pusing-pusing di kampung sama lah seperti menjaja diri untuk menjadi bahan mulut penduduk kampung. Namun jika tidak dituruti, pasti lambat pula Zafran berangkat pulang ke Kuala Lumpur. Amani serabut mencari idea untuk menunaikan permintaan Zafran.

            Setengah jam kemudian, Amani dan Zafran sudah berada di tepi bendang ditemani oleh Amran dan Syuhada. Asyik benar Zafran menikmati permandangan petang di bendang Haji Din. Kakinya kelihatan kekok tatkala memijak selut serta lumpur. Wajah Zafran berkerut-kerut menahan kegelian. Alahai anak orang kaya ini...

            “Chewah! Sejak bila ni? Tak bagitahu aku pun!” Syuhada sudah menghimpit di sebelah Amani yang sedang duduk di pangkin kecil. Perasaan ingin tahu yang disimpan semenjak mendapat panggilan telefon dari Amani petang tadi akhirnya terluah jua.

            “Apa dia?” Amani mengerutkan kening. Pertanyaan Syuhada dijawab juga dengan soalan.

            “Ituuuu...” Muncung sedepanya terarah kepada Zafran yang sedang menyusur bendang ditemani Amran.

            “Aku pun tak tahu yang Encik Zafran tu sukakan bendang!” Amani menjawab selamba.

            “Ish, kau ni! Bukan pasal Zafran suka bendang! Tapi pasal Zafran suka kat kau!” suara Syuhada sudah meninggi sedikit. Geram pula dia melihatkan Amani yang bersikap acuh tak acuh.

            “Kau gila? Baik jerit biar satu kampung dengar. Aku dengan bos aku tu tak ada apa-apalah. Kau jangan nak gosipkan yang bukan-bukan,” Amani tergelak melihat memek muka Syuhada. Bukan niat dia merahsiakan sesuatu dari pengetahuan Syuhada. Hakikatnya dia sendiri berasa sangat curiga dengan kemunculan Zafran di rumahnya hari ini. Namun dia sendiri tidak punya jawapan.

            Jeritan suara garau menarik perhatian Amani dan Syuhada. Serentak mereka menoleh ke arah Zafran yang sudah terduduk di tepi bendang. Wajah pucat Zafran yang sedang memegang betisnya mengundang cuak di hati mereka. Amani terlebih dahulu sudah berlari mendapatkan Zafran.

            ‘Kena patuk ular ke?’ jantung Amani berdegup laju.


Bersambung! :)

14 comments:

  1. ala sadisnya khidupan amani ni... kesian dia....

    ReplyDelete
  2. Hai mcm mana rasa org bandar datang ke kampung ye... itulah penangan
    org kampung jgn pandang sebelah mata je ye Zafran. nak lagi cepat
    sambung ye...

    ReplyDelete
  3. kesian,hrp2 berubahla hidup amani sekeluarga lps ni ye......

    ReplyDelete
  4. Habislah boss dah x boleh balik malam nih...
    Terus boss ajak kawen di bawah sinaran bulan malam nanti...

    Biar Bulan Jadi Saksi...

    ~w.t~

    ReplyDelete
    Replies
    1. hikhikhik...
      tu lahhh...taktik Zafran nak tido kat rumah Amani ni!
      :p

      Delete
  5. Eelehh.. Kna pacat la tu..xpon lintah! Eh, zafran tau ke lintah tu cemana.. Ekekekke

    ReplyDelete
  6. liya!!! wajib wat sambungan cepat2.....tak sabar nak tunggu ni..hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahahaha...
      kewajipan yang wajib!
      tengah ambil mood!
      :p

      Delete
  7. best best best ! tak sabo nak bace next chapter. hehe :)

    ReplyDelete