Bab 26
“EH, KAU TAK CEMBURU KE?” Syuhada melabuhkan punggungnya di atas
hamparan tikar di tepi Amani. Sempat pula tangannya menyambar dua ketul cekodok
dan di sumbat ke dalam mulut dengan rakus.
“Cemburu? Nak cemburukan apa?”
soalan Syuhada dibalas semula dengan soalan. Amani mengerutkan keningnya. Ya
Allah, pelahapnya kawan aku!
“Yelah, Kak Nurul tu kan janda.
Cantik pula tu. Selalu sangat dia melepak kat rumah kau. Buatnya Zafran
terpikat macam mana? Teratai layu di tasik madu nanti tau!”
“Ish, kau ni! Setakat ni Kak Nurul
dan Zafran mana pernah berjumpa pun. Dorang
pernah dengar cerita tentang satu sama lain je.
Setakat ni memang belum ada jodoh dorang
nak bertentang mata! Kalau nak ikutkan, engkau tu lagi selalu melepak dengan
aku dan Zafran. Tak de lah pulak aku nak jeles,” Amani tergelak melihatkan wajah Syuhada yang sudah
cemberut.
“Kau nak bagi hint yang aku ni menganggu korang lah ye...,” Syuhada tayang wajah
sedih.
“Tak lah sayang. Aku cuma nak kau
tahu yang aku tak ada rasa cemburu pada Kak Nurul tu. Tak menggugat kebahagiaan
rumah tangga aku pun. Aku ikhlas berkawan dengan Kak Nurul. Kesian dia Syu.
Hidup menjanda tanpa bantuan sesiapa. Macam-macam kerja dia buat untuk tampung
hidup dia dengan Emir. Kerja siang malam. Tu sebab aku selalu offer diri untuk jagakan si Emir. Tu aje yang aku boleh buat untuk ringankan
beban dia...” pandangan mata Amani menyorot ke arah dua beranak yang sedang
berkejaran bermain bola. Jerit ketawa Emir dan ibunya jelas kedengaran.
Amani terkenang kembali permintaan Natrah
pagi tadi yang bersungguh-sungguh mengajak dia berkelah di Tasik Putrajaya.
Setelah mendapatkan keizinan Zafran, dia sempat menyediakan juadah ringkas
untuk dibawa bersama. Kebetulan pula Syuhada muncul di hadapan pintu rumahnya
tengah hari tadi. Jadi diseret sama Syuhada untuk menyertai mereka.
“Hmm, kau ni memang baik! Manusia
yang kau kenal kat surau pun dah boleh jadi macam adik-beradik!” Syuhada
tersenyum ke arah Amani. Kawannya yang seorang ini memang benar-benar berhati
murni. Kerana itulah Allah menganugerahkan dia suami yang sempurna. Kalaulah
aku ada suami hensem macam Zafran tu, confirm
cemburu je sepanjang masa! Hmm... Sebab tu kot aku ni tak jumpa lagi jodoh?
“Aku ikhlas, Syu. Lagipun aku rasa Kak
Nurul tu baik orangnya. Si Emir tu pulak
comel sesangat. Zafran pun dah jatuh sayang pada si Emir!”
“Sibuk sayangkan anak orang je. Anak
sendiri bila pulak? Dah masuk empat bulan jadi isteri orang kan? Tak ada
loya-loya ke? Pening atau mengidam nak makan buah-buah pelik?” Syuhada galak
mengusik. Langsung dia tidak perasan akan perubahan riak di wajah Amani.
“Belum ada rezeki lagi la Syu,”
Amani membalas perlahan. Sedaya-upaya dikawal rasa sedih yang mencemar di hati.
Walaupun berkawan baik bagaikan sedarah sedaging, namun masalah rumah tangganya
tidak pernah diceritakan kepada Syuhada. Disimpan kemas rahsia sulit itu sebaik
mungkin.
“Kau jangan la lambat-lambat sangat.
Baju tidur yang aku kasi present tu
dah berapa kali kau pakai?” Syuhada mengelipkan mata sambil tersenyum nakal.
Cerita pengantin baru selalunya memang seronok didengar. Bukan apa, boleh juga
dikutip pengalaman mereka untuk dijadikan bekalan di masa akan datang. Otaknya
sudah tepu dengan teori. Praktikalnya aje
yang entahkan bila akan tiba.
Amani terbayangkan saat-saat
romantis antara dia dan Zafran di awal perkahwinan dahulu. Saat-saat intim yang
pastinya akan berakhir dengan kekecewaan di wajah Zafran apabila hasrat yang
dihajati terbantut di tengah jalan. Masuk bulan ketiga, dia dan Zafran sudah
kurang mencuba. Jauh di sudut hati dia bimbang kalau-kalau Zafran sudah bosan
menunggu atau sudah kurang kasih sayangnya. Namun layanan dan kemesraan Zafran
yang tetap sama meyakinkan dirinya bahawa hanya dia yang bertahta di hati
Zafran. Atau cuma mungkin suaminya itu sudah penat mencuba?
“Hoi! Berangan pulak dia!Feel lebih
nampak! Nampak gayanya tak lama lagi aku naik pangkat jadi mak ciklah!” Syuhada
menyiku Amani yang dilihatnya termenung jauh. Seronok sangat mengenangkan
kehidupan baru agaknya.
“Sebelum nak jadi mak cik, kau
kenalah naik pangkat jadi isteri orang dulu. Mak Cik Rahimah cakap minggu lepas
dah ada yang merisik. Kenapa kau tolak? Dah lah tak cerita kat aku!” Amani
tersengih melihat kedua-dua belah pipi Syuhada yang bertukar warna bagai baru
disimbah dengan cat merah. Ha, tadi suka sangat menyakat aku kan! Sekarang
giliran kau pulak kena gasak dengan
soalan cepu emas!
“Eiii, mak aku tu rajin betul update cerita kat mak kau kan! Aku tak
sedia lagilah Amani. Entah siapa-siapa yang masuk meminang entah! At least biarlah aku berjumpa dulu
dengan bakal suami aku. Nak tengok ada kimia ke tak!” Syuhada mengacukan
tangannya seperti aksi ‘Gitu-Gitu Apek’.
“Kimia? Aku rasa kau sesuai dengan
si Ilham tu. Baru betul-betul ada kimia! Setiap kali berjumpa mesti ada letupan!
Dah macam campuran sebatian ammonia dengan asid hidroklorik!” Amani
terkekeh-kekeh ketawa melihatkan seribu kerutan di wajah Syuhada. Pantang benar
mendengar nama Ilham. Mulalah nak tunjuk wajah stress macam orang menopause.
“Eiii! Tak naklah aku. Dah macam
taik cicak nanti. Dari Ilham tu, baiklah aku tak kahwin. Kalau hari-hari
bergaduh...”
Syuhada tidak sempat menghabiskan
kata-katanya apabila Emir muncul dengan tiba-tiba. Terhincut-hincut bahu anak
kecil itu menahan esak tangis yang agak kuat. T-shirt biru yang tersarung
ditubuhnya dipenuhi tompokan darah merah.
“Ya Allah! Kenapa ni Emir? What happened? Kat mana luka? Kat mana
sakit?” Amani merangkul tubuh Emir. Dibeleknya tubuh Emir depan dan belakang
untuk mencari punca aliran darah yang melekat pada baju Emir.
“Not
me, mama! Tapi i...ibu! Ibu s...sa...sakit...” wajah Emir pucat dan
bibirnya terketar-ketar tatkala menuturkan sebaris ayat itu. Anak kecil itu
bagaikan begitu trauma.
Dengan pantas Amani dan Syuhada
mengekori langkah Emir. Begitu asyik mereka berbual sehingga mereka tidak sedar
Natrah dan Emir sudah bertukar lokasi yang agak jauh dari mereka. Debaran di
dada Amani bagai hendak pecah. Risaunya bukan main jika Natrah mengalami
kecederaan yang serius.
Amani dan Syuhada menghampiri Natrah
yang sedang duduk bersandar pada kerusi batu di tepi tasik. Wajah wanita itu
pucat dengan sehelai tuala kecil ditekapkan pada hidung untuk memberhentikan
pendarahan.
“Kenapa ni kak? Macam mana boleh
jadi macam ni? Jom kita pergi hospital cepat!” Amani sudah mendirikan tubuh Natrah.
Ingin dipapah untuk dibawa berjumpa doktor. Kepalanya pening melihatkan
kuantiti darah yang agak banyak mengalir dari hidung wanita itu. Bagaimanalah
kak Nurul masih boleh berlagak selamba lagi?
“Eh, tak payah Amani. Sikit aje ni.
Tak ada apa-apa,” Natrah menolak lembut. Kepalanya digeleng-gelengkan perlahan.
“Sikit? Banyak darah ni kak!
Bahaya!” Syuhada memujuk pula. Ish, dah sakit macam ni pun degil tak mahu ke
hospital! Kalau kering darah dalam badan tu nanti macam mana?
“Tak ada apa pun. Ni pendarahan
hidung je. Perkara normal je Syu. Cuaca di Malaysia panas, akak tak biasa sebab
lama sangat menetap di luar. Kejap lagi berhentilah ni,” Natrah menerangkan
ringkas. Dia tidak mahu ke hospital. Biar dipaksa pun dia tetap tidak mahu.
“Betul ke ni kak? Betul ke tak
bahaya?” Amani cuba mendapatkan kepastian.
“Betul, Amani. Terima kasih sebab concern. Tapi percayalah, nothing serious. Mari anak ibu. Ibu minta maaf buat Emir takut, ya?” Natrah
sudah melutut di tepi Emir. Dirangkul kemas tubuh kecil yang masih teresak-esak
menahan tangis. Alahai anakku...
“Kalau macam tu jom lah kita balik
kak. Malam ni akak tidur kat rumah saya ya. Sekarang memang cuaca panas. Saya
risau berdarah lagi hidung akak nanti,”
“Eh, tak payahlah Amani! Akak okay ni. Lagipun akak tak nak ganggu privacy pengantin baru,” Natrah sudah
menggeleng lagi. Tidur rumah? Gila! Dia belum bersedia untuk berhadapan dengan
Zafran. Masih banyak yang perlu difikirkan tentang rancangannya. Dia tak mahu
tersilap langkah. Bimbang nanti membawa padah!
“Suami saya tak ada kak. Dia outstation malam ni. Melawat site di Desaru. Kak Nurul tidur di rumah
ya? Sekurang-kurangnya saya boleh jagakan Emir, dan akak boleh rehat. Syu, kau
nak tidur sekali pun boleh,”
“Oh, aku tak boleh join la Amani. Esok aku kerja shift pagi. Eloklah Kak Nurul tidur kat
rumah Amani. Ada juga teman dia kena tinggal sorang-sorang malam ni,” Syuhada
menepuk-nepuk bahu Natrah.
“Hmm. Iyalah...” Natrah mencapai
kata putus. Ditekap lagi darah di hidung yang masih belum berhenti mengalir. Dengan
hati yang berbelah-bahagi diturutkan juga langkah Amani dan Syuhada. Tak
apalah, selagi tidak akan bertembung dengan Zafran, dia tidak kisah.
Ya
Allah, mudahkanlah perancanganku!
* * * * * *
Natrah menggosok-gosok matanya yang masih kabur.
Sekejapan dia keliru dengan susun atur bilik yang begitu asing. Pandangan
matanya melekap pada bingkai gambar yang terdapat pada salah satu dinding
bilik.
Hatinya terasa pedih. Gambar Zafran dan Amani yang
tersenyum bahagia pada hari pernikahan mereka itu meninggalkan segaris luka di
hatinya. Membawa dia kembali ke alam nyata dan mengingatkan dirinya bahawa dia
sedang berada di rumah mereka!
Natrah bangun perlahan-lahan dari pembaringan. Tekaknya
terasa haus. Selepas menjamah sejemput nasi malam tadi, dia terus melelapkan
mata untuk meredakan sakit kepalanya. Untung juga dia menumpang tidur di rumah
Amani. Sekurang-kurangnya Amani ada untuk menemani Emir sewaktu dia sudah jauh
dibawa mimpi.
Natrah mencapai tuala putih untuk menutup rambutnya
sebelum membuka pintu bilik dengan berhati-hati. Dia menjenguk ruang tamu yang
diterangi lampu. Dilihatnya Emir yang sedang lena dalam dakapan Amani.
Sekelumit rasa cemburu mencuit hatinya tatkala itu. Anak kecil itu sudah mula
membagi kasih antara ibu dan mamanya. Sudahlah Amani memiliki lelaki yang
pernah bertahta di hatinya, kini anaknya juga sudah mula membuka ruang untuk
gadis itu.
Astaghfirullahal’azim! Natrah menggelengkan kepala.
Lekas-lekas diusir rasa tidak enak yang bertapak di hatinya. Bukankah ini yang
diingininya? Dia sendiri yang mengatur pertemuan serta mencambahkan benih kasih
di hati Emir. Malah dia sendiri mahu Amani dan Zafran menyayangi Emir.
Menjadikan Emir sebahagian dari hidup mereka. Bukankah ini rancangannya?
Seharusnya dia bersyukur kerana segala rancangannya berjalan lancar setakat
ini. Tinggal lagi dia perlu menyeru kekuatan untuk berhadapan dengan Zafran
dalam masa yang terdekat.
Natrah memadamkan lampu sebelum menuju semula ke ruang
dapur. Dibatalkan niat untuk membawa Emir tidur bersamanya. Biarlah Emir bermanja
dengan Amani malam ini. Dia tidak mahu menganggu lena kedua-duanya. Natrah
memujuk hati yang sedikit sayu. Denyut cemburu yang menapak di hati cuba
dikikis pergi. Dia perlu berkorban demi masa depan Emir Luqman.
Natrah menapak semula ke bilik tidur selepas
menghilangkan dahaga. Namun langkahnya terhenti apabila terlihat kelibat
sesusuk tubuh manusia yang menyelinap masuk melalui pintu utama. Ya Allah,
perompak ke? Dadanya berombak kencang. Kakinya bagaikan terpaku di lantai
marmar. Fikirannya sudah mula memutarkan berita-berita rompakan yang sering
dipaparkan di akhbar.
Dalam cahaya yang begitu suram, dia mendapati perompak
itu juga sedang mengamati dirinya. Hanya beberapa tapak memisahkan dia dengan
kamar tidur, namun kakinya sudah melekat pada lantai. Tidak dapat bergerak
walaupun seinci. Sedangkan lelaki bertubuh sasa itu sudah semakin menghampiri.
Natrah berdoa di dalam gelap. Peluh memercik membasahi dahinya apabila
melihatkan lelaki itu yang semakin hampir. Natrah memejamkan matanya. Tidak
sanggup membayangkan nasib yang bakal dihadapinya.
“Sayang?”
Natrah membuka mata. Kelihatan tubuh lelaki itu yang
hanya berjarak kurang lebih dua meter dari kedudukannya. Walaupun suasana yang
gelap menjejaskan penglihatannya, namun panggilan ‘sayang’ itu sudah cukup
menjelaskan empunya tubuh badan itu.
Zafran!
Dia kenal dengan suara itu. Tapi bukankah Zafran
sepatutnya berada di Johor tatkala ini? Mengapa lelaki ini pulang dalam keadaan
terhendap-hendap begini? Mengapa Zafran perlu berada di sini di saat dia belum
bersedia untuk bertemu? Belum bersedia untuk bertentang mata serta mencari
damai antara mereka. Dia benar-benar belum punya kekuatan itu....
“Sayang???” Zafran menyeru kali kedua. Dadanya berdebar
tatkala terpandangkan tubuh yang berdiri tegak di dalam gelap itu. Pulang lewat
malam begini dari perjalanan yang agak jauh mengundang gusar di hatinya. Kalau
ikut kata Uminya, bimbang ‘ada’ yang turut mengikut. Spontan bulu romanya
berdiri tegak bagaikan terkena aliran elektrik.
Namun rindunya pada hangat tubuh Amani sukar dikawal.
Rasa penat dan mengantuk ditolak ke tepi sewaktu memandu di sepanjang
perjalanan tadi. Dia tidak biasa berjauhan dengan Amani. Semuanya berasa serba
tidak kena sepanjang hari ini.
Walaupun badannya penat seharian memusing tapak binaan,
namun matanya terkebil-kebil tidur berseorangan di atas katil bersaiz king Hotel Equatorial tadi. Bagaimana hendak
lena jika bantal peluknya tertinggal begitu jauh di Kuala Lumpur? Sebab itu
digagahkan jua semangat untuk mengharungi Lebuhraya Utara-Selatan di tengah
malam tadi.
“Ini Nat... Err... Kak Nu... Kak Nurul,” Natrah bersuara
dalam gelap. Hempasan ombak tsunami di dada cuba dikawal sebaik mungkin.
“Oh, Kak Nurul ye. Maaf, saya ingatkan Amani tadi. Saya
terlupa Amani ada bagitahu yang Kak Nurul tidur di rumah,” Zafran menggaru
kepala yang tidak gatal. Akhirnya bertemu jua dia dengan ibu kepada Emir Luqman.
Cuma dia berasa begitu janggal berbual dalam cahaya samar begini. Wajah Kak
Nurul hanya berbalam di pandangan matanya.
“Maaflah saya menggangu tumpang tidur kat sini. Amani
kata Encik Zafran tak ada di rumah,” Natrah melangkah setapak ke belakang.
Menyembunyikan dirinya di balik bayang-bayang gelap.
“Eh, tak apa kak. Memang sepatutnya saya balik esok. Tak
apalah, saya naik atas dulu ye,”
Natrah menghela nafas kelegaan. Dia benar-benar bersyukur
kerana Allah masih menyimpan rahsianya dari pengetahuan Zafran. Natrah sudah nekad,
esok pagi selepas subuh akan dia keluar dari rumah itu secepat mungkin. Tak payah
mandi pun tak mengapa!
Zafran sudah menapak beberapa anak tangga apabila ruang
rumah tiba-tiba diterangi oleh cahaya lampu chandeliar. Zafran menoleh dan
tersenyum melihat wajah isterinya yang masih mamai. Hilang terus bebanan rindu
yang digalas sejak dari pagi tadi. Amani ini memang comel! Wajah sememeh bangun
tidur pun tetap boleh menggetarkan jiwanya.
“Abang? Abang balik? Eh, Kak Nurul terjaga ya? Akak sakit
ke?” Amani bertanya bertubi-tubi. Sebenarnya dia masih terkejut dengan
kepulangan Zafran yang mengejut. Tidurnya terganggu apabila telinganya menangkap
butir-butir perbualan yang tidak berapa jelas.
Mendengarkan nama ‘Kak Nurul’, Zafran menoleh untuk
melihat sendiri wajah wanita itu. Sudah terlalu banyak cerita yang didengarinya
tentang wanita yang begitu rapat dengan Amani. Melangit pujian yang diberikan
oleh Amani untuk wanita itu. Siap sudah diikrar sebagai kakak dalam hidupnya. Begitulah
cepatnya Kak Nurul mendapat tempat di hati isterinya.
Natrah sudah serba tidak kena. Hendak berlari masuk ke
bilik, lututnya terasa lembik. Hendak berselubung dengan tuala putih yang
melindungi kepalanya dirasakan seperti orang gila pula. Hendak pura-pura
pengsan, bimbang dibawa ke hospital. Arggh! Sudahnya dia tayang wajah sardin.
Di saat sepasang mata Zafran jatuh pada seraut wajah itu,
dunia bagaikan terhenti dengan tiba-tiba. Seribu satu rasa yang sukar dirungkai
dengan kata-kata menyerbu ke hatinya. Jantungnya berlari laju. Fikirannya menjadi
sesak. Wajahnya berubah rona.
Nurul Natrah...
Sebaris nama itu meniti perlahan di bibir Zafran, namun
bergema hebat di segenap ruang hatinya. Dia bagai tidak percaya dengan imej
yang dirakamkan oleh sepasang matanya tatkala ini. Sudah begitu lama dia cuba
melenyapkan bayangan serta kenangan itu. Meneruskan hidup dengan hati yang
terluka. Kini dia terpaksa berdepan semula dengan wanita yang telah merobek
ketenangan hidupnya.
Ah, dia takkan membenarkan Natrah mengulang kembali
episod luka dalam hidupnya. Bencinya kepada Natrah bagai terhapus dengan
kehadiran luhur cinta Amani. Dia tak mahu kehilangan manisnya perasaan itu
sekali lagi.
Zafran menuruni tangga untuk berdepan dengan Natrah. Ingin
diseret Natrah keluar dari rumahnya. Menghalau Natrah dari mengganggu-gugat
kebahagiaan yang baru dibina oleh dia dan Amani. Semakin dia menghampiri
Natrah, semakin bulat tekadnya di dalam hati. Sedikit pun wajah yang tertunduk
menikus itu tidak melembutkan hatinya.
‘Kau tak layak tayang muka depan aku lepas apa yang kau
buat!’ hati Zafran menjerit kuat.
Assalammualaikum pembaca semua...
Lya sekarang dalam proses menyiapkan manuskrip. Alhamdulillah, ada pihak penerbit yang sudah melamar untuk proses penilaian. (Baru nak nilai, belum comfirm lagi akan dibukukan). Saya harap pembaca semua sentiasa memberi sokongan dan mendoakan yang terbaik untuk novel ini. InsyaAllah saya masih akan update di blog. Tapi mungkin secara berperingkat dan entri-entri yang lebih pendek berbanding sebelum ini (jangan marah yaaaa)....
Satu perkara lagi...Lya rasa macam nak tukar tajuk novel ni. rasa macam tajuk sekarang 'Biar Bulan Jadi Saksi' tidak cukup komersial untuk tarik perhatian pembaca. Antara tajuk-tajuk yang terlintas di fikiran sekarang ni ialah....
1. Saya Secretary Isteri Dia!
2. Secretary, Isteri, Dan DotDotDot
3. Cinta A to Z
4. Kekalkan aje dengan BBJS.
Kalau sudi pembaca bolehlah vote untuk saya. atau kalau ada idea yang best bolehlah kongsi bersama!kalau tak ada acc blogger boleh email saya di Lyazara14@gmail.com.
terima kasih semua! nantikan update terbaru di masa akan datang ya!XOXO!