Orang Cantik dan Orang Hensem

Tuesday, May 29, 2012

Bab 12 (bahagian 2)


*                             *                             *                             *                             *                             *

                “Cepat lah sikit! Lembab betul lah awak ni,” Zafran menjeling dari ekor mata. Sempat dia menangkap riak wajah tak puas hati yang terpamer di wajah Amani. Mulut Amani terjuih sedikit dan terkumat-kamit. Entah apalah yang dibebelnya. Yang pasti comel sungguh di mata Zafran!
                Amani mempercepatkan langkah. Memang sukar menyaingi langkah Zafran yang besar-besar itu. Skirt labuh yang dipakai juga menyukarkan lagi pergerakkannya. Kononnya hendak cantik bergaya hari ini. Tapi tak pasal-pasal dipanggil lembab!
                Pelik betul Amani melihatkan Zafran yang berjalan laju semacam. Tak tahu apa yang dikejarkan olehnya. Mereka sudah pun selesai membentangkan proposal kepada CEO serta beberapa orang atasan Sarjana Holdings. Sepanjang dua jam sesi pembentangan tadi, Amani melayan perasaan kagumnya melihatkan cara Zafran yang cukup tenang ketika membentangkan proposal. Walaupun diasak pelbagai soalan berunsur provokasi, tetapi Zafran tetap bersahaja dan tersenyum memberikan jawapan. Macho habis!
                Dia pula terasa bagaikan semut kecil di dalam bilik seminar itu. Dia merasakan semua manusia di dalam bilik tadi memberikan pandangan serta senyuman sinis kepadanya. Sudahlah tak tahu apa yang perlu dilakukan, perutnya pula asyik berbunyi kerana lapar. Dah macam orang sepuluh tahun tak makan. Amani berharap benar yang Zafran tidak terdengar alunan muzik yang dimainkan oleh perutnya.
                Zafran berhenti secara tiba-tiba. Tubuh Amani hampir sahaja melanggar belakang badan Zafran. Kaki kirinya pula memijak kaki Zafran. Apa kes break emergency ni?
                “Ini kali kedua awak pijak kasut saya. Kali ketiga nanti saya potong terus gaji awak!” Zafran mengancam Amani.
                “Minta maaf encik. Encik berhenti tiba-tiba. Tak sempat saya nak brek...,” Amani sekadar menunduk. Pandangan mata Zafran tak berani ditentang.
                 “Dah, jom pergi makan,”Zafran menyembunyikan senyuman. Kakinya mengorak langkah ke arah Cafe L’apprenti yang terletak di sebelah kiri. Kesian pula dia mendengar bunyi perut Amani sepanjang sesi pembentangan tadi. Dah macam bunyi cengkerik bertingkah.
                Sebaik duduk di suatu sudut, seorang pelayan datang menghulurkan menu kepada Amani dan Zafran. Amani yang pada mulanya gembira bukan main dapat makan free di restoran mewah tiba-tiba berubah rona wajah sebaik membaca isi kandungan menu.
                Roasted Yabby Tails with Crustacean BĂ©arnaise and Pickled Cucumber? Rhubarb crumble-ish? Langoustine consommĂ©?’ MasyaAllah, nak terbelit lidahnya menyebut perkataan-perkataan itu. Sudahlah semua harga makanan tersebut mahal-mahal belaka. Amani menelan liur. Tak tahu apa yang perlu dipesan. Dilihatnya Zafran sudah pun membuat pesanan kepada pelayan itu. Dalam restoran berhawa dingin pun Amani sudah berpeluh-peluh. Susah betul dengan Zafran ini. Tak boleh kah makan di restoran mamak sahaja?
                “Kenyang ke tengok menu tu? Tak nak order makanan?” pertanyaan Zafran yang 100% berunsur sindiran tu menyebabkan jari telunjuk Amani pantas menunding ke arah salah satu hidangan dalam menu itu. Nak menyebutnya memang dia tak pandai. Pelayan muda itu menganggukkan kepala sebelum beredar meninggalkan mereka.
                Suasana sunyi menyelubungi mereka. Amani mengambil peluang untuk memerhatikan dekorasi restoran mewah itu. Susun atur perabot mewah menimbulkan rasa kagum dalam diri Amani. Kalau dengan Syuhada, sudah pasti mereka berposing di serata ceruk restoran tersebut. Ini adalah kali pertama dia dapat merasa masakan bertaraf lima bintang. Harapannya biarlah hidangan yang dipesannya tadi sedap dan menepati selera tekaknya.
                Dua orang pelayan datang menghantarkan makanan. Dua buah pinggan besar berwarna putih diletakkan di hadapan mereka. Di atas pinggan Amani terdapat sepotong besar daging lembu disirami kuah hitam pekat dan dihiasi dengan beberapa ketul sayuran. Dalam pinggan Zafran pula terdapat nasi putih serta lauk rendang ayam yang masih berasap. Amani menelan liur melihat hidangan Zafran.
                “Awak memang suka western food ya?” Zafran tersenyum sinis. Yang sebenarnya dia hendak tergelak apabila melihatkan reaksi Amani sebentar tadi. Restoran itu bukan tidak menghidangkan masakan Melayu. Tapi Amani yang tidak perasan sewaktu terpegun membelek menu.
                Amani buat tidak dengar dengan soalan Zafran. Teragak-agak dia memegang pisau dan garfu. Tak pernah lagi dia makan menggunakan pisau begini. Bimbang juga kalau tak kena gayanya tertikam pula diri sendiri nanti.
                “Sedap?” Zafran memerhatikan Amani yang baru menyuap suapan pertama. Wajah Amani yang sedikit berkerut mencuit rasa di hatinya. Lama benar masa yang diambil oleh Amani untuk memotong sepotong daging sedangkan nasi di pinggannya sudah tinggal separuh.
                “Sedap,” Amani pamer wajah teruja. Hakikatnya, kalau boleh ingin sahaja dia muntahkan kembali isi daging tersebut. Kurang masak! Daging pun masih berwarna merah jambu. Macam mana chef restoran mewah begini tidak pandai memasak daging? Amani menelan daging tersebut perlahan-lahan. Hendak memesan menu lain bimbang pula dimarahi oleh Zafran. Silap-silap disuruhnya bayar sendiri nanti.
                Sudah dua tiga kali Amani menukarkan kedudukan pisau dan garfu di tangan.Tangannya terlalu kekok untuk makan secara berprotokol begitu. Kalau diturutkan rasa hati, mahu sahaja dia makan dengan menggunakan tangan. Tak perlu control cun begini.
“Makan sampai habis! Kalau tak...” Zafran tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Brokoli yang terpelanting dari pinggan Amani mendarat betul-betul pada kemejanya. Sos pekat berwarna hitam mengalir perlahan, membentuk corak tambahan pada kemeja itu.
                Zafran tergamam. Kejadian brokoli terbang menyebabkan dia kehilangan idea untuk terus menyakat Amani.
                “M...ma..maaf encik. Saya tak sengaja,” Amani mencapai napkin putih di atas meja dan spontan cuba mengelap kesan kotoran di dada Zafran. Rasa cuak tak usah nak cerita.
                “Dah, dah. Jangan cuba nak ambil kesempatan pada saya,” wajah Zafran beku tanpa reaksi. Dia memanggil pelayan untuk membawakan bil. Mujur lah tidak ramai pelanggan di restoran pada waktu itu. Amani membungkam. Geram betul dia dengan kecuaian diri sendiri. Takut juga kalau Zafran meminta ganti rugi untuk kemeja itu. Entah berapa ratus pula yang perlu dibayar.
                Suasana sunyi masih setia menemani mereka apabila memasuki kereta. Amani tidak berani langsung hendak memandang wajah Zafran. Dia hanya menunduk dan berharap agar mereka cepat sampai ke pejabat. Sampai naik lenguh tengkuknya kerana terlalu lama menunduk sepanjang perjalanan.
                Apabila kereta Zafran melanggar bonggol beberapa kali, Amani panggung kepala. Hairan bukan main dia apabila mendapati kawasan persekitaran yang dikelilingi pokok. Kereta Zafran meluncur di atas jalan yang terlalu asing bagi dirinya. Jauh dari kesibukan kota. Jalannya berliku umpama sedang menaiki bukit.  Punya lah kusyuk dia menunduk sehingga tidak sedar mereka sudah tersasar jauh dari arah destinasi sebenar.
                Amani yang memang berimaginasi tinggi sudah mula tidak senang duduk. Dikelilingi kawasan sunyi begini mendatangkan rasa takut yang bukan sedikit dalam dirinya. Kepalanya sudah mula terbayangkan perkara yang bukan-bukan. Wajah Zafran yang tenang dicuri pandang.
                “Kita nak ke mana ni Encik Zafran?” Amani memecah kesunyian. Sedaya upaya dia cuba kedengaran kasual. Rasa takut disembunyikan sebaik mungkin.
                “Kita nak pergi satu tempat. Kejap lagi awak tahu lah...” Zafran berkias. Bukan dia tidak tahu Amani itu penakut orangnya. Membiarkan Amani dalam tanda tanya umpama suatu penderaan mental bagi Amani. Zafran tersenyum di dalam hati.
                Tidak lama kemudian, kereta Zafran melewati papan tanda ‘The Pinnacle’. Zafran berhenti sebentar di pondok pengawal sebelum meluncur laju di hadapan deretan rumah mewah. Amani terpegun dengan rekabentuk rumah yang terlalu cantik.
                ‘Macam istana,’ bisik hati kecil Amani. Hilang terus rasa takut yang menghantui sebentar tadi. Mulutnya hampir terlopong tatkala mengamati setiap rumah di situ. Semuanya begitu unik. Kereta mewah tersusun di setiap garaj rumah tersebut.
Zafran mematikan enjin kereta di hadapan salah sebuah banglo yang tersergam indah. Selamba sahaja dia meninggalkan Amani di dalam kereta. Amani memerhatikan Zafran yang melewati pagar rumah tersebut. Seorang lelaki separuh umur yang sedang menyiram pokok bunga menunduk hormat kepada Zafran. Tahulah Amani yang kini dia berada di hadapan rumah Zafran.
                Selepas lima belas minit ditinggalkan di dalam kereta, Amani sudah mula berasa panas dan lemas. Bengang juga dia dengan Zafran. Sekurang-kurangnya bukakanlah tingkap untuknya. Perlahan-lahan Amani membuka pintu kereta. Jam tangan dikerling sepintas. Sudah pukul 4 petang! Baru Amani tersedar yang dia belum menunaikan solat Zohor.
                Amani teragak-agak untuk melangkah masuk. Namun tuntutan ukhrawi tidak boleh diabaikan. Serba-salah dia melangkah masuk ke perkarangan rumah mewah tersebut. Amani menganggukkan kepala kepada tukang kebun yang tersenyum manis kepadanya. Kakinya melangkah ke pintu hadapan yang terbuka luas seolah-olah mengalu-alukan kedatangannya. Kasut cap Bata disusun ditepi pasu bunga orkid.
 Dengan lafaz bismillah dia melangkah masuk dengan kaki kanan. “Assalammualaikum”.


Bersambung! : )
Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D
Boleh juga tinggalkan jejak dengan menulis  kritikan/cadangan di bawah! :D

Wednesday, May 23, 2012

Bab 12 (bahagian 1)

    Zafran berhenti dari menghadap fail di depan mata. Tangannya ligat memicit kepalanya yang tidak pening. Dahinya berkerut seolah-olah sedang memikirkan tentang satu permasalahan yang berat. Permasalahan jiwa sebenarnya.

    Sudah dua hari Zafran melaksanakan misi serta strategi untuk menyuburkan kembali rasa bencinya kepada Amani. Rancangan yang telah diatur sebaik mungkin semuanya gagal dilaksanakan. Semuanya serba tak kena. Lain yang dirancang, lain pula yang terjadi! Mission unaccomplished kata orang putih!

Kotak ingatan Zafran kembali memutarkan peristiwa tersebut.

    ZAFRAN bangun pagi lebih awal dari biasa pada hari tersebut. Selepas menunaikan kewajipan solat subuh, dia menghabiskan masa untuk mengarang ayat-ayat kejam yang akan dihamburkan kepada Amani. Otaknya ligat mengingati segala perkara yang dibenci pada diri Amani. Semuanya diatur dengan terancang sekali. Malah sepanjang perjalanan ke tempat kerja, Zafran sempat pula berlatih melakukan pelbagai memek muka menyampah yang boleh ditayangkan pada Amani.

    Semangat Zafran memang luar biasa. Dia sampai hampir sejam lebih awal dari pekerja lain. Pengawal bangunan juga terkejut melihat peristiwa yang jarang-jarang sekali berlaku ini. Zafran mengambil peluang yang ada untuk menyelesaikan tuntutan kerja. Apabila jarum pendek dan jarum panjang beranjak ke angka lapan dan dua belas, Zafran terus menekan butang interkom dan meminta Amani menyediakan secawan kopi.

    Sebaik Amani terpacak berdiri di hadapannya, Zafran mengarahkan kesemua otot muka untuk memberikan pandangan wajah yang paling poyo sedunia. Wajah sehabis kerek cuba ditayangkan kepada Amani. Namun sebaris ayat yang terucap dari seulas bibir itu menyebabkan dia jadi tenggelam punca.

    "Kenapa Encik Zafran senyum macam tu kat saya?"

    Iya, itulah kegagalannya yang pertama.

Sebaris ungkapan ayat yang membuatkan dia tersedar bahawa bukan wajah kerek atau poyo yang terzahir di wajahnya, namun wajah tersenyum pula yang menyapa Amani pada pagi itu. Memang sejak kebelakangan ini dia dan senyuman sukar dipisahkan apabila berdepan dengan Amani. Pergerakan otot-otot di muka bagaikan di luar kawalan minda.

    "Mulut saya, suka hati saya la nak senyum atau tak. Where's my coffee?" Zafran selamba menjawab. Rasa gugup disembunyikan sebaik mungkin. Sebaik Amani menghulurkan cawan kopi suam itu, kepalanya pantas mengingati ayat yang sudah difikirkan sejak pagi lagi. Dia sudah merancang untuk memberikan kritikan pedas terhadap cara Amani berpakaian. Dia mengerling ke arah Amani yang sedang tekun membacakan jadual untuk hari itu. Sepasang matanya cuba mencari mana-mana kekurangan yang boleh dijadikan bahan untuk mulutnya melancarkan operasi.

    Namun dia berasa hampa. Kegagalan kedua berlaku. Papan skor markah sudah mencatatkan 2-0!

    Semuanya serba sempurna di matanya. Wajah pucat Amani yang dulunya selalu mendapat jolokkan 'mayat hidup' kini sudah dirias indah dengan warna-warna pastel yang cukup menawan kalbu. Tidak terlalu berat, namun cukup untuk membuatkan jantungnya luruh. Pakaian Amani yang dahulunya selekeh dan bisa saja membuatkan matanya buta, kini berganti pula dengan skirt labuh serta blouse bunga kecil yang boleh membuntangkan matanya. Kepalanya pula dilitup indah dengan lilitan selendang yang ringkas namun kemas.

    "Aduyai!" spontan Zafran mengusap dada.

    "Apa dia encik?" Amani memandang wajah bosnya. Wajah Zafran yang macam orang mengelamun itu dipandang lama. Pelik-pelik aje perangai si singa hari ni. Sudah lah datang awal giler, lepas tu dok tersengih seorang diri.

    "Not talking to you. Jangan nak perasan!" Zafran menyibukkan diri dengan menekan butang telefon bimbit di tangan. Pura-pura sedang membaca SMS. Hatinya gelabah bukan main. Bimbang jika Amani dapat mengesan perubahan yang berlaku pada dirinya.

    Zafran menghirup kopi yang dibancuh oleh Amani. Tegukan pertama selamat melalui kerongkongnya. Dahinya berkerut. Hujung kening sudah saling bertemu. Ada kelainan rasa pada kopi yang dihirupnya itu. Tidak seperti kebiasaannya.

    "There's something wrong with the coffee. Tak macam selalu. Awak pakai kopi baru ke?" Zafran menghirup sekali lagi kopi tersebut. Berbeza. Namun sedap ditekaknya.

    "Hmm, minta maaf encik. Gula dan krimer kita dah habis. Saya dah pesan pada Kak Jah semalam. Dia terlupa agaknya. Kopi Encik Zafran tu kurang gula sebenarnya," Amani menjawab takut-takut. Kejadian hari pertama terbayang semula di ruang ingatannya. Amani bersiap sedia untuk menerima amukan Zafran. Silap-silap ada yang breakfast cawan pagi ini!

    "Hm, sedap. Okay, next time buat macam ni je lah. Tak perlu extra sugar. From now on I want the coffee to be exactly like this," Zafran mengetap bibir sebaik selesai menuturkan ayat tersebut. Hormon apakah yang sedang bermaharajalela saat ini? Sehingga mampu mempengaruhi deria rasa. Dan semudah itu dia mengalami kegagalan yang ketiga.

    Amani sukar mengawal reaksi wajahnya apabila mendengarkan jawapan Zafran itu. Kalau menurut cerita Melissa dulu, Zafran memang suka kopi yang manis-manis. Perubahan selera tekak Zafran pagi ini agak mencurigakan. Namun dia malas mahu bersoal-jawab lebih-lebih kerana dia tahu penyudahnya dia pula yang dimarahi nanti. Buku nota tempat dia melepaskan rasa. Lakaran kepala singa dengan kotak dialog 'kurang gula' memenuhi muka surat tersebut.

    Kegagalan Zafran tidak terhenti di situ. Sepanjang dua hari yang lepas, ada sahaja kejadian yang tidak selari dengan perancangannya. Dia merasakan terlalu sukar untuk mencari kesalahan serta kekurangan Amani. Tidak seperti awal-awal dahulu di mana kesalahan Amani yang sebesar kuman berjaya mendatangkan kebencian sebesar alam semesta dalam dirinya.

    Hari ini merupakan hari ketiga dia ingin melaksanakan misinya. Semangat yang panas membara dua hari lalu sudah tinggal suam-suam kuku. Zafran jadi takut untuk membuka mulut bila berdepan dengan Amani. Dia bimbang apa yang diucapkan oleh bibir tidak sama seperti yang dirancang oleh otak.

    Zafran menarik nafas panjang. Sebentar lagi dia akan ke Sarjana Holdings untuk sesi pembentangan proposal. Sudah beberapa minggu dia menyiapkan proposal untuk merebut tender yang bernilai berbillion ringgit itu. Harapan serta kepercayaan Walid tidak boleh dipandang remeh. Dia ingin sekali membuktikan kemampuannya kepada Walid.

    Zafran mengemas fail serta dokumen yang perlu dibawa ke Sarjana Holdings. Dia tidak mahu lewat. First impression itu penting. Walaupun Tan Sri Mokhtar, CEO Sarjana Holdings merupakan kenalan Walid, namun itu tidak menjanjikan laluan mudah untuk Megah Holdings memilikki tender tersebut. Zafran sudah masak benar dengan masam manis dunia perniagaan. Kawan pun kadang-kadang boleh menjadi lawan.

    Kelibat Fahim yang menempek di meja Amani menarik perhatian Zafran. Cermin besar yang memisahkan antara ruang biliknya dan meja Amani bagaikan sebuah kaca television tanpa suara. Mulut Fahim yang terkumat-kamit diperhati lama. Namun Zafran sedar dia tidak punya kemahiran membaca gerak bibir. Pintu bilik direnggangkan sedikit untuk mencuri dengar perbualan Fahim dan Amani.

    "Jom lah, Amani. Kita bukan pergi berdua. Kita ajak Melissa sekali. OK?" suara Fahim kedengaran begitu mengharap.

    "Hm, nak makan dekat mana ya?" Amani sudah kehabisan idea untuk menolak pelawaan Fahim. Lagipun sebelum ini sudah pelbagai alasan diberikan kepada lelaki itu. Dari sarapan, makan tengahari hingga ke minum petang, pelbagai pembohongan telah dilakukannya. Namun lelaki ini masih belum berputus asa. Sebentar tadi ringan sahaja mulutnya ingin berbohong bahawa dia berpuasa sunat. Namun tangannya pula sedang memegang kerepek yang dibawa bekal dari rumah. Nak berbohong pun tak kena gaya.

    Fahim sudah tersenyum lebar. Berharap benar kali ini dia dapat duduk semeja, makan dan berbual dengan Amani. Walaupun terpaksa merasuah Melissa, dia rela! Amani harus didekati. Kalau boleh ingin sekali dia milikki. Amani memang calon menantu yang layak dibawa pulang menghadap ibunya!

    "Ada restoren baru bukak kat depan bangunan kita ni. Kita try nak? Alif dah cuba semalam. Katanya, gulai tempoyak dia boleh tahan!" Fahim tersengih lagi. Hakikat sebenarnya, dia yang sudah terlebih dahulu makan di situ semalam. Bukan apa, Fahim ingin mencuba dahulu lauk di situ. Kalau tak sedap, tak mahu lah dia mengajak Amani.

    Zafran merasakan organ internalnya bagaikan terbakar. Panas! Pijar! Cemburu kah ini? Zafran merengus dari balik pintu. Dia berharap agar Amani akan menolak pelawaan Fahim. Biar padan muka Fahim. Baru puas hatinya!

    Amani sudah kecur liur apabila mendengar kata-kata Fahim. Lauk tempoyak memang masakan popular bagi orang Kuala Kangsar. Gulai tempoyak ikan sungai dimasak dengan timun di potong panjang-panjang, di makan pula dengan nasi panas memang menjadi kegemarannya. Makan sebulan pun tak mengapa. Memang tak jemu!

    "OK lah. Pukul 1 ye. Melissa ikut sekali kan?" Amani memberi kata putus. Godaan gulai tempoyak sukar dilawan. Fahim sudah tersenyum sampai ke telinga.

    "Tak boleh!" kemunculan Zafran secara tiba-tiba mengejutkan Amani dan Fahim. Serentak mereka memandang ke arah Zafran. Mata Fahim bulat macam hendak terjojol.

    "Ehem, maksud saya Amani kena ikut saya pergi Sarjana Holdings. Saya ada beritahu kan, Amani?" pandangan mata Zafran dan Fahim beralih pula kepada Amani yang terpinga-pinga. Amani diserang penyakit gelabah ayam. Buku nota yang menjadi peneman setia selama ini diselak pantas. Memang dia sudah catatkan dalam buku tentang proposal presentation di Sarjana Holdings. Namun tidak pula dia ingat bahawa Zafran akan membawa dia sekali. Amani menggeleng perlahan kepada Zafran.

     "Selalu sangat mengelamun la awak ni. Asyik tak dengar je saya cakap. Dah, pack your things. Kita kena pergi sekarang. I'll wait at the lobby. By the way, enjoy your lunch, Fahim," Zafran terus berlalu melepasi Amani dan Fahim. Senyuman lebar menghiasi wajahnya tatkala melihat wajah Fahim yang kelat masam macam mangga muda.

    "Maaf Fahim. Lain kali lah kita makan sekali ya. Awak makan dengan Melissa lah hari ni," Amani memandang sekilas ke arah Fahim. Tangannya lincah menyimpan buku nota serta alat tulis ke dalam beg tangan.

    "Tak pe lah macam tu. Tapi janji ya next time?" Fahim mencari sepasang anak mata Amani. Kekecewaan dan kehampaan terpancar dari raut wajahnya. Macam budak kecil tak dapat gula-gula.

' Tak pandai control langsung!' desis hati kecil Amani. Melihatkan cara Fahim, dia sudah dapat mengesan ada agenda lain yang bermain di minda lelaki itu. Sebab itu lah dia lebih senang menjarakkan diri dari Fahim.

    Fahim memerhatikan Amani yang sudah berjalan meninggalkan dirinya. Ingin saja dia melompat masuk ke dalam beg tangan Amani dan dibawa pergi bersama-sama. Hidupnya tidak keruan sejak terpandangkan wajah Amani. Jiwanya bertambah resah mengenangkan sikap Amani yang jinak-jinak merpati. Terlalu sukar untuk didekati. Apatah lagi untuk ditakluki.

    "Jangan lupa kau kena belanja aku seminggu tau!" Melissa muncul dengan tiba-tiba. Dia tersenyum mempamerkan sebaris gigi yang tersusun cantik. Itulah upah yang dijanjikan oleh Fahim jika menemani dia dan Amani makan tengah hari nanti. Memang berbaloi!

    "Tak jadi la Mel. Amani ikut bos pergi Sarjana Holdings. So, deal tu kita postone lah ya," Fahim menyembunyikan gelodak di jiwa. Budak Melissa ni bukan boleh pakai sangat mulutnya. Nanti tak pasal-pasal satu pejabat tahu rahsia di hatinya. Fahim lekas-lekas berlalu meninggalkan Melissa yang terpinga-pinga. Kalau tunggu lama-lama bimbang pula dihujani dengan pelbagai persoalan lain.

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D

Kalau tak suka, boleh tinggalkan kritikan/cadangan di bawah! :D


 


 

Friday, May 11, 2012

Bab 11

Zafran melepaskan nafas berat. Disangkanya apabila menghantar SMS sebegitu, jiwanya yang gundah-gulana akan kembali normal. Namun hakikatnya dia bertambah runsing. Zafran meraup wajahnya. Bayangan Amani masih menari-nari di hadapan mata. Kepalanya terasa pusing dan runsing!

Balik dari menghantar Amani petang tadi, dia tersenyum panjang bukan main. Sampai lenguh otot mukanya menahan senyuman. Dia betul-betul rasa bahagia. Bukannya dibuat-buat. Buat pertama kalinya dia merasa begitu senang dengan kehadiran Amani.

Tiada benci.

Tiada marah.

Tiada menyampah.

Yang ada hanya bahagia. Ya, B.A.H.A.G.I.A!

Namun pertemuan petang tadi dengan sahabat baiknya, Ilham telah mengubah segalanya. Sukar ingin dia gambarkan rasa hatinya ketika ini. Dia bagaikan ditolak jatuh dari puncak gunung. Bagai dikejutkan dari mimpi indah. Puing puing dalam hati yang dirasainya hilang begitu sahaja. Sebahagian dari hatinya menyesal kerana bertemu dengan Ilham. Namun sebahagian pula berasa bersyukur kerana Ilham ada untuk menyelamatkan dia dari luka silam.

Zafran merebahkan badan di atas tilam empuk. Pandangan kosong dilemparkan ke arah siling putih berukir cantik. Ingatannya melayang ke pertemuan petang tadi. Pertemuan yang meragut rasa bahagia yang baru mula berputik di laman hati.

SUDAH agak lama dia tidak bertemu dengan Ilham. Pelbagai cerita menjadi topik perbualan mereka. Dari cerita bursa saham, tentang kerja, politik dan hal ehwal semasa, akhirnya tergerak hati Zafran untuk bercerita tentang Amani. Gadis kampung yang mencuit rasa bahagia di hatinya.

Lagipun Ilham bukan orang lain. Zafran sudah menganggap Ilham seperti saudara sedarah sedaging dengannya. Itulah sahabat yang sentiasa berada di sisi. Menjadi saksi kepada jatuh bangun dirinya. Sejak berkenalan ketika sama-sama menuntut di Universiti Ohio dahulu, Zafran sudah tahu bahawa Ilham adalah sahabat dunia akhirat. Malah Ilham orang pertama yang melihat bagaimana dia menyulam bahagia. Dan orang pertama yang melihat dia jatuh terluka.

Atas sebab itulah setiap kata-kata yang dilafazkan oleh Ilham mendapat pertimbangan yang berat oleh akal fikiran Zafran.

"What? Kau nak pisang berbuah dua kali ke? Aku tahu kau suka perempuan yang nampak innocent macam tu. Tapi kau kena ingat, luaran yang nampak baik tu belum tentu dalamannya baik. Hatinya kita tak tahu. Aku ingat kau dah belajar dari pengalaman, Zaf...," Ilham memandang tepat ke wajah Zafran.

Terkejut dia mendengar cerita dari mulut Zafran sebentar tadi. Bukan dia tak mahu tumpang gembira. Namun dia tak sanggup melihat Zafran kecewa sekali lagi. Cukuplah apa yang pernah dilalui oleh Zafran dahulu. Dia bagaikan kehilangan sahabat. Zafran benar-benar berubah akibat kecewa. Hampir setahun dia cuba memulihkan semangat Zafran. Pengakuan berani mati Zafran sebentar tadi sukar diterima oleh akal fikirannya. Sedangkan dia tak sanggup melihat Zafran jatuh tersungkur seperti dahulu, bagaimana pula empunya badan boleh lekas sangat membuat penilaian?

"Tapi aku rasa dia lain lah. Dah lama aku tak rasa macam ni Ilham. Nak explain pun susah. Nanti kau kata aku jiwang karat!" Zafran tersenyum pahit. Dia cuba mengaburi rasa hampa yang memukul badai hati.

"Yup, aku paham apa yang kau rasa tu. Tapi aku tak nak kau terburu-buru. This is exactly how you looked like four years ago. Macam ni lah. Mata bersinar, senyum bukan main lagi. Sedangkan kau baru kenal dia beberapa hari. Waktu tu kau dah berani announced kat semua orang yang dia tu kau punya. Lepas tiga tahun kau tengok apa jadi?" Ilham berhati-hati mengungkit kisah silam. Ilham sudah masak benar dengan perangai Zafran. Memang menjadi kepantangan utama kalau cerita itu diungkit lagi. Bukan sengaja dia mahu membuka lembaran peristiwa lalu, namun dia benar-benar rasa bertanggung jawab untuk menyedarkan Zafran. Biar Zafran ingat apa yang pernah dilalui dahulu.

Zafran merenung jauh. Perasaanya berperang hebat apabila Ilham menyebut tentang peristiwa lama. Entah mengapa sukar benar bagi dirinya mengikis jauh bayangan wanita yang telah menghancurkan hatinya itu. Terlalu hancur sehingga sekarang masih dia merasa sakitnya. Setahun hidup dalam kekecewaan, kini dia bangkit semula dengan membina benteng hati sekukuh Tembok Cina. Zafran sedar dia meneruskan hidup dengan rasa benci yang disemai dan dibaja dalam hati kerana dia tidak mahu kecewa lagi.

"Zaf, kau kena extra careful. Kau tu pewaris kekayaan family kau. Kebanyakan perempuan zaman sekarang semuanya mata duitan. Silap-silap dah diberi air jampi untuk buat kau gila bayang macam ni. Bila dah kikis duit kau sampai habis, ditinggalkannya kau!" Ilham menyatakan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Drama Melayu yang ditonton minggu lepas meninggalkan kesan yang agak mendalam dirinya. Bimbang juga dia kiranya Zafran dimandrem. Apa, orang lelaki tak boleh tengok drama?

Zafran tergelak mendengarkan kata-kata Ilham yang terlebih dramatik. Dia masih waras. Masih sedar dan masih boleh berfikir. Dia yakin tidak dipengaruhi oleh kuasa sihir. Cuma mata dan hatinya yang dikunci oleh Amani. Eceh.

"Arisya macam mana?" Ilham memecah kesunyian. Cawan kopi disua ke bibir.

"Macam tu je la," Zafran membalas pendek. Hari ini dia langsung tidak menghubungi Arisya. Beberapa panggilan Arisya juga dibiarkan masuk ke peti mel suara. SMS juga tidak berbalas. Kadang-kadang rimas dia dengan Arisya. Too clingy. Padahal mereka bukan pasangan kekasih pun. Zafran melayan Arisya sebagai teman bersosial. Itu sahaja. Sekurang-kurangnya itu yang dirasakannya pada Arisya.

"Kau tak serius ke dengan dia?" Ilham masih mengorek cerita. Dia tahu mood Zafran sudah lari apabila cerita lama dibuka semula tadi. Asalkan tak makan penumbuk kiranya masih OK lagi tu.

"Aku tak ada feel apa pun kat dia Ilham. Kawan seronok-seronok. Lagipun Arisya tu lain macam sikit lah..." secara automatik dia membuka cerita tentang bagaimana Arisya dilihat berpelukan dengan lelaki lain. Waktu itu mereka baru lepas dinner di Hilton dan Zafran ke tandas sebentar. Bila keluar dari tandas dilihatnya Arisya berpeluk mesra dengan salah seorang persaing syarikatya, Dato' Mazlan.

Dato' Mazlan memang terkenal dengan pelbagai kontoversi dan skandal. Zafran tidak terkejut menyaksikan insiden itu. Sikit pun Zafran tak ambil pusing. Bertanya pun tidak, inikan pula hendak berasa cemburu. Zafran sudah masak benar dengan peragai perempuan murahan seperti Arisya. Biarlah.

Pada Zafran, Arisya punya hak untuk keluar atau bermesra dengan sesiapa sahaja. Sebab itu dia lebih gemar berkawan dengan perempuan seperti Arisya. No string attached. Tiada ikatan. Tiada harapan. Tiada impian untuk membawa hubungan itu ke mana-mana.

Yang paling penting takkan ada lagi kekecewaan.

Azan Isyak dari Masjid Al-Muttaqin menyedarkan Zafran dari lamunan yang panjang. Dia beristigfar beberapa kali. Jarang-jarang dia melengkapkan solat lima waktu. Zohor ditunaikan, Maghrib dan Isyak pula ditinggalkan. Kadang-kadang dia langsung tak bersolat sehari suntuk. Membaca al-quran apatah lagi.

Entah mengapa dia jadi begitu. Didikan agama yang diberikan Umi dan Walid bukan tidak cukup. Tapi selepas kecewa hampir dua tahun lalu, Zafran bukan setakat menjauhkan diri dari semua orang, malah semakin jauh dari Allah. Dia merasakan taqdir hidup yang ditentukan untuk dirinya tidak adil. Astaghfirullah...

Zafran bingkas bangun dan mencapai tuala biru. Sepantas kilat dia masuk ke tandas untuk membersihkan diri. Selepas lima belas minit, dia sudah berdiri tegak di atas hamparan sejadah. Sudah lama benar sejadah itu terlipat di sudut bilik. Zafran mengangkat takbiratul ihram. Kemudian kedengaran bacaan surah Al-Fatihah yang mendayu.

Dua puluh minit kemudian Zafran selesai menunaikan solat empat rakaat. Matanya basah dan dadanya sakit menahan sebak. Sudah jauh benar dia terpesong. Siapa sangka dengan begitu sahaja Allah menyedarkan dia supaya kembali kepada landasan yang benar.

Zafran melihat lampu telefon bimbit yang berkelip-kelip menandakan beberapa SMS diterima. Zafran membaca SMS Arisya.

SMS 1: "Where the hell are you? I've been calling you since morning! Kalau macam ni baik tak payah pakai phone. Campak je kat lombong!" – 8.05pm.

SMS 2: " Honey, I'm sorry. I miss you. I miss so much. Kalau you marah I, please tell me what did I do wrong. Jangan senyap je. Please. Rindu you sangat. XOXO." – 8.15pm.

SMS 3: "You ni memang hati batu kan! You ingat I tahan ke dengan perangai you ni?? Kejap ada kejap takde. There's no one can ever stand to stay with you!" – 8.30pm.

Zafran tersengih membaca ketiga-tiga isi kandungan SMS. Semuanya dihantar dalam sela masa yang dekat-dekat. Nampak sangat emosi Arisya asyik berubah. Macam orang gila pun ada. Tak faham betul Zafran dengan sikap Arisya. Mengongkong tak tentu pasal. Mereka tak pernah melafaz kata cinta. Panggilan 'sayang, honey, darling dan yang sewaktu dengannya itu' memang biasa diucapkan Zafran kepada wanita-wanita cantik. Zafran juga sangat pasti yang Arisya biasa dipanggil begitu oleh lelaki lain.

Zafran membuka satu lagi kiriman SMS dari Arisya:

"Raziq, come over to my house. Lucy is not around. I have a special gift for you. Wrapped in hot pink satin!"

Isi kandungan SMS itu membuatkan mata Zafran buntang. Sudah pasti Arisya tersalah menghantar SMS. Haish, nampak sangat si Arisya ini memang gersang. Gersang dan murahan. Tak dapat dengan dia, lelaki lain pula menjadi sasaran. Mujurlah Zafran tidak pernah terpedaya dengan godaan Arisya. Bohonglah dia kalau jiwa lelakinya tidak bergetar dengan setiap cubaan yang dilakukan Arisya. Namun mujurlah akalnya masih berfungsi dalam saat-saat genting begitu. Kalau tidak, sia-sia sahaja menjamah bangkai orang lain. Lebih parah lagi kalau terpaksa menjadi pak sanggup!

Nada dering yang berkumandang menandakan ada panggilan masuk. Seperti dijangka, Arisya yang menelefon. Tak lain dan tak bukan pasti ingin mereka-reka cerita untuk menutup kesalahan tersalah menghantar SMS. Malas Zafran hendak mendengar ayat skrip pelakon terhebat yang akan keluar dari mulut Arisya. Silap-silap siap dengan bunyi sedut hingus pun ada. Kononnya sedih sangat sampai menangis. Telefon bimbit disimpan di dalam kocek seluar bermudanya.

Zafran melangkah keluar ke beranda. Jarang benar dia melepak di rumah pada waktu malam. Kebiasaannya dia akan ke gym, bermain futsal, atau melepak di kelab-kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur. Itulah rutin harian yang digemarinya. Bertemankan rakan-rakan serta wanita cantik yang sentiasa cuba merebut hatinya.

Namun malam ini dia berasa asyik memerhatikan keindahan bulan penuh. Hatinya berasa damai. Fikirannya berasa tenang.

    Pendapat serta kata-kata Ilham petang tadi kembali menghantui dirinya. Sesungguhnya masih terlalu awal untuk dia mengenali hati budi Amani. Malahan perempuan seperti Amani memang berbahaya. Luarannya yang nampak baik itu mudah sahaja mengaburi mata sesiapa yang memandang. Namun niatnya tak siapa yang tahu. Entah kan esok entah kan lusa, belang Amani akan terlihat jua. Berbeza pula dengan perempuan seperti Arisya. Zafran memang sudah mengetahui setiap langkah yang ingin dicatur oleh Arisya. Jadi dia berasa lebih mudah untuk menangkis. Zafran membuat rumusan.

    Zafran mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Bunyi isyarat SMS masuk menarik perhatiannya. Apa lagi ayat drama yang ditulis oleh Arisya kali ini?

    "Terima kasih hantarkan saya pulang tadi. Saya akui Encik Zafran memang bos yang bertanggung jawab. Terima kasih juga untuk advanced allowance yang encik beri. Akan saya gunakan dengan sebaiknya. Terima kasih dan selamat malam," Zafran mengulang baca SMS diterima berulang kali. Walau cuba ditahan, namun bibirnya tegar mahu mengukir senyuman. Sindrom senyum yang baru saja dihadapinya.

    Ringkas dan formal sahaja bunyinya pesanan yang dihantar oleh Amani. Namun Zafran merasa bagaikan disuntik dos bahagia. Cepat saja otak menghantar signal kepada hati. Bayangan wajah ayu Amani mula memenuhi ruang fikiran Zafran. Aduh, sukar benar mengusir rasa ini.

Namun amanat Ilham dipegang kemas. Mahu atau tidak dia harus mengusir perasaan yang datang bertamu. Sebelum perasaan suka berakar umbi hingga menumbuhkan bunga-bunga sayang dan cinta, lebih baik dia lakukan sesuatu. Sesungguhnya dia bukan takut jatuh cinta kepada Amani. Tetapi perasaan takut dikecewakan mengatasi segalanya.

    Otak Zafran ligat mencari solusi. Ipad putih dicapai dan jarinya lincah dilarikan ke kiri dan ke kanan permukaan skrin. Beberapa minit kemudian Zafran mengukir senyuman. Dia harus menjauhkan Amani dari hidupnya untuk seketika sehingga dia dapat mencari semula kewarasan akal yang hilang. Dia percaya jika segalanya mengikut perancangan, Amani akan kekal sebagai perempuan kampung yang menjengkelkan di matanya.

Zafran menghempas badan di atas tilam. Hai, cepatlah siang! Dia tidak sabar ingin melaksanakan misinya esok.


 

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D

Kalau tak suka, boleh tinggalkan kritikan di bawah! :D


 

Monday, May 7, 2012

Bab 10 (bahagian 2)

    "Eh, tak apalah Encik Zafran. Saya balik naik tren aje," Amani serba salah. Kejadian tidak terduga itu membuatkan dia kaget. Orang ramai yang turut sama berjalan kaki sudah mula tertoleh-toleh melihatkan drama sebabak petang itu.

    "Ada saya tanya boleh ke tak? It's an order. Masuk cepat. Tak boleh berhenti kat line kuning. Kalau kena saman, awak bayar!" seperti biasa Zafran menggunakan kuasa diktatornya. Dalam sekelip mata Amani sudah melompat masuk ke dalam kereta Zafran. Angin sejuk penghawa dingin menyerbu ke wajah Amani yang sudah memerah dibakar mentari sebentar tadi. Amani menghela nafas lega. Untung juga dapat menumpang kereta mewah Zafran.

Sudah beberapa minit berlalu namun Zafran masih belum mula memandu. Amani memberanikan diri menoleh ke sebelah kanan. Dilihat Zafran sedang merenung tajam ke arahnya.

"Would you mind telling me where your house is?" Zafran bersuara sinis sambil kening terangkat sedikit. Sudah selalu sangat muka kerek itu ditayang kepada Amani.

    "Err, saya tinggal di Apartment Damai. Dekat dengan Kolej Intelek... belakang rumah saya tu ada tasik buatan. Hmm...orang panggil Tasik Cendrawasih... Pasaraya...." Amani jadi kalut untuk menjawab soalan Zafran. Kadang-kadang aura Zafran dirasakan umpama aura cikgu Matematik di sekolah dulu!

    "Okay, okay, I know that place. Lain kali sebut je kawasan Wangsa Maju. Tak payah buat karangan panjang-panjang," Zafran memotong ayat Amani. Amani mengunci mulut. Fikirnya tadi penerangan panjang lebar itu dapat memudahkan lagi Zafran mencari jalan ke rumahnya. Tapi sangkaannya jauh meleset.

    Sebaik kereta meluncur di atas jalan yang sesak, Amani terus membuang pandang ke luar tingkap. Terasa cukup kerdil dirinya di dalam kereta itu. Usahkan nak duduk bersandar, nak menghembus nafas pun dia lakukan dengan cukup cermat. Bimbang nanti dimarah Zafran kalau bernafas kuat-kuat macam kerbau. Hish, semuanya serba tak kena.

    Zafran menjeling ke sebelah kiri. Hatinya berbunga bukan main. Hendak tergelak pun ada tatkala melihat Amani yang takut-takut bila disergah. Penakut betul budak ni! Zafran menekan butang 'on' pada pemain CD. Lagu heavy metal berkumandang kuat memenuhi segenap ruang kereta.

    "Awak suka lagu ni?" Zafran bertanya nakal kepada Amani. Wahal, tak payah tanya pun sudah diketahui jawapannya.

    "Hm, saya...saya tak suka..." Amani menunduk tatkala menjawab soalan itu dengan jujur. Bingit telinganya dengan suara penyanyi rock yang perasan sedap itu. Terjerit-jerit tanpa diketahui apa butir bicaranya. Rasa nak termuntah pun ada.

    "Awak TAK SUKA??" Zafran mengeraskan suaranya kepada Amani. Cermin mata hitam dilurutkan supaya Amani dapat melihat sepasang mata yang dibulatkan.

    "Eh, maksud saya, boleh tahan jugak lagu ni. Bila dah dengar lama-lama saya jadi suka," Amani kelam kabut menjawab. Heee..susahnya dengan Zafran ni. Kalau boleh ingin sahaja dia terjun dari kereta itu. Setiap detik bersama Zafran dirasakan detik penuh penyeksaan!

    Tidak semena-mena Zafran ketawa. Mula-mulanya perlahan, namun kemudian semakin kuat. Suara penyanyi rock terjerit-jerit sudah saling bertingkah dengan ketawa Zafran yang berdekah-dekah.

Amani terpegun dengan kejadian di depan mata. Tak pernah sekalipun dia melihat Zafran ketawa. Selama ini wajah ketat sahaja yang ditayangkan bila bersama Amani. Sampaikan dia terfikir yang Zafran sudah kehilangan nikmat ketawa. Amani membiarkan sahaja Zafran tertawa sehingga puas. Tak berani hendak mencelah. Angin Zafran tak boleh diteka. Karang tak pasal-pasal kena sembur dengan ayat berbisa! Lagipun wajah Zafran yang ketawa memang sedap dipandang. Kan bagus kalau selalu begini?

"Awak ni takut sangat ke dengan saya? Kenapa ye?" Zafran bersuara apabila ketawanya sudah reda. Muzik rock diperlahankan. Zafran melihat dari ekor mata, Amani sudah bersandar di kerusi penumpang.

Amani kembali berasa gelisah. Setiap soalan yang terpacul dari bibir Zafran bagaikan perangkap maut kepadanya. Jawab begini salah, jawab begitu pun salah. Syuhada sahaja yang bijak menangani situasi berbahaya seperti ini. Mungkin kerana sudah terbiasa berdepan dengan pelbagai karenah manusia.

"Saya hormatkan Encik Zafran. Encik kan majikan saya..." jawapan selamat diberikan kepada Zafran.

"So, awak tak takut la dengan saya?" Zafran kembali bersuara serius. Inilah yang Amani malas. Kalau Zafran ini bukan bosnya, memang dah lama dia berikan penampar sulung. Biar bisu mulut itu dari bertanyakan soalan yang bukan-bukan. Amani sudah surrender. Kalau ada bendera putih memang dia kibarkan tinggi-tinggi. Tak tahu jawapan bagaimana yang boleh memuaskan hati majikannya itu.

"Orang kata muka saya ni macam muka pelakon drama melayu. Betul ke?" Zafran menukar topik pula. Wajahnya dipalingkan sebentar kepada Amani sebelum kembali memandang ke depan.

"Betul Encik Zafran! Macam muka Adi Putra! 80% hampir sama!" Amani menjadi teruja kalau berbicara tentang pelakon pujaannya itu. Sepasang mata bagaikan bersinar tatkala itu. Terlupa yang dia sedang berdepan dengan si singa jantan.

"Oh, jadi sebab tu ke awak suka curi-curi pandang pada saya?" Sedang elok pula kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat. Zafran terus memalingkan wajahnya kepada Amani. Memang seronok hatinya bila melihat Amani resah gelisah tidak senang duduk seperti itu. Sumpah comel!

"Kadang-kadang aje," Amani bersuara perlahan. Antara dengar dengan tidak sahaja di telinga Zafran.

Zafran tersenyum senang. Sudah lama dia tidak berasa ceria begini. Memandu dalam kesesakan jalan begini pun tidak mendatangkan rasa marah walau sekelumit. Kalau sebelum ini memang mulutnya lancang menyumpah-nyumpah dari dalam kereta. Jampi apalah yang dikenakan oleh Amani ke atas dirinya.

"Encik, berhenti kat tepi ni cukup. Kereta luar tak boleh masuk kalau tak ada pass. Saya boleh jalan kaki je," Amani tidak mahu bertegang urat dengan pak guard di situ. Semuanya bengis. Macamlah apartment itu mereka yang punya. Sudah banyak kali dia dan Syuhada bertikam lidah dengan mereka.

Zafran bagaikan tidak mendengar kata-kata Amani. Dengan selamba dia menurunkan tingkap dan menghulurkan dua keping not merah kepada pak guard Bangla yang sedang bertugas. Bukan main panjang sengihan Bangla itu apabila membenarkan kereta Zafran memasuki kawasan Apartment Damai.

Zafran memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kawasan lobi. Waktu begini kebanyakan ibu bapa akan menunggu van membawa pulang anak-anak mereka dari sekolah. Tak kurang juga yang membawa anak-anak bermain di tapak permainan atau di kolam renang.

Amani rasa wajahnya menebal lapan inci. Malu pula apabila dihantar pulang begitu. Pintu cuba dibuka dari dalam namun gagal.

"Sama-sama Cik Amani," Zafran bersuara. Amani menoleh ke arah Zafran. Rasa bersalah tidak dapat diselindung lagi. Macam orang tak kenang budi pula rasanya.

"Eh, terima kasih encik. Maaf menyusahkan encik," Amani cuba tersenyum semanis mungkin.

"Terima kasih aje?" Zafran menduga lagi.

'Ai, kalau tak ikhlas jangan lah menolong.' Amani sudah berkira-kira sendiri. Takkan hendak dibayar empat ringgit sekupang pula. Memang itu jumlah tiket perjalanan sehala dari Megah Holdings ke Wangsa Maju. Tangannya sudah diseluk ke dalam beg tangan.

"Saya gurau ajelah. Dah. Jangan lupa makan ubat. Take care," Zafran menekan butang kunci automatik. Amani membuka pintu. Kesemua organ dalaman Amani bagaikan bersorak gembira apabila sudah keluar dari kereta mewah Zafran. Terasa penderaan mental dan fizikal itu sudah berakhir. Merdeka!

    Amani berdiri tercegat di tepi kereta. Dia ingin menunggu sehingga kereta Zafran berlalu meninggalkannya. Kereta Zafran bergerak ke hadapan sebelum kembali mengundur. Cermin kereta diturunkan.

    "Tolong beli perfume sekali dengan duit allowance tu. Saya tak suka la bau yang awak pakai ni. Sakit hidung saya. Pungent smell," hidungnya dikerutkan sebelum selamba berlalu meninggalkan Amani di situ. Dari kejauhan pak guard Bangla yang sering bergaduh dengannya mengangkat tangan sambil terangguk-angguk hormat. Ah, dasar mata duitan!

    Amani berasa hendak tergelak. Dia tidak memiliki perfume. Bau yang dikatakan Zafran tadi adalah bau minyak cap kapak yang ditunggang sehabis mahu petang tadi. Pelik betul Zafran ni. Bau universal macam tu pun dia tak kenal. Minyak angin apa yang digunakan oleh orang-orang kaya agaknya?

    MALAM ITU teruk Amani disoal siasat oleh Syuhada. Peristiwa jatuh pengsan serta dihantar pulang oleh Zafran sudah diulang hampir sepuluh kali. Naik sakit tekak Amani bercerita. Syuhada pula bagaikan tidak jemu-jemu mendengarnya. Pelbagai andaian dibuat oleh Syuhada. Mengalahkan nujum pak belalang!

    "Wow! Aku rasa ada orang dah jatuh hati!" Syuhada sudah menghimpit di sebelah Amani. Nasi goreng di dalam mulut sudah tersembur beberapa butir. Selekeh betul!

    "Apa kau cakap ni Syu? Merepek ajelah. Kebetulan aje dia lalu dan nak hantar aku," Amani menjauhkan pinggannya dari Syuhada. Bimbang pula ada benda asing yang melompat masuk.

    "Kau tengok lah nanti. Aku potong jari Zafran dah jatuh hati kat kau!" Syuhada tersengih bukan main. Amani sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Tak larat mahu berbalas hujah dengan Syuhada.

    "Hujung minggu nanti kau kerja ke cuti? Kita pegi beli baju sikit. Boleh la aku bayar hutang kau sekali," Amani lekas-lekas menukar topik.

    "Boleh! Kita pergi Jalan Tar nak? Situ banyak baju dan tudung-tudung cantik. Aku cadangkan kau beli skirt labuh dan selendang. Harga murah-murah je. Mesti bertambah cair hati Zafran nanti," Syuhada belum kehabisan idea untuk menyakat.

Amani hanya berdiam diri. Malas mahu melayan Syuhada. Matanya melekat pada kaca televisyen, namun fikirannya melayang terkenangkan sikap Zafran yang berubah. Berbaik secara tiba-tiba... Jangan-jangan ada agenda yang tersembunyi. Ini yang buat dia berasa tidak selesa. Emak memang berpesan jangan sesekali terhutang budi kepada orang. Bimbang tergadai body.

    Beep...Beep...

Amani mencapai telefon bimbit yang terletak di meja sisi. Waktu begini kebiasaannya Amira yang rajin menghantar SMS. Namun nombor asing pula yang terpapar di skrin telefon. Butang 'Read' ditekan pantas.

    'Don't speculate. Saya hantar awak balik sebab saya tak nak bertanggung jawab if anything happen to u on your way back. I'm a responsible boss. Tu aje.'

    Amani menayangkan skrin telefon kepada Syuhada. Entah mengapa jiwanya berasa tenang apabila membaca mesej dari Zafran. Bagaikan terlepas bahunya dari bebanan yang berat. Jadi esok dan hari-hari seterusnya dia boleh menghadap Zafran tanpa apa-apa syak wasangka.

    "So, jari yang mana satu?" Amani menyiku Syuhada. Berkerut seribu wajah Syuhada tanda tidak memahami apa yang dikatakan oleh Amani.

    "Tadi kau cakap sanggup kerat jari kan? So aku tanya, jari yang mana?" senyuman nakal terukir di bibir Amani. Rambut yang menutupi dahi di tolak ke belakang telinga.

    Wajah Syuhada berubah rona. Terus saja matanya memandang ke televisyen. Rancangan Buletin Utama ditonton penuh kusyuk seolah-olah tidak mendengar pertanyaan Amani tadi. Amani tersenyum kemenangan.

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D


 

Thursday, May 3, 2012

Bab 10 (Bahagian 1)


Selepas waktu rehat tengahari, Amani terus menyiapkan beberapa minit mesyuarat yang tidak sempat disiapkan oleh Munirah sebelum berhenti kerja dahulu. Kalau diturutkan rasa sakit kepala dan senggugutnya itu, mahu sahaja dia ke klinik dan minta MC dua hari. Boleh la bersenang-lenang berehat di rumah. Paling tidak pun boleh lah menonton rancangan drama berepisod kegemarannya. Sejak berkerja, memang Amani dah tak pernah berkesempatan untuk mengikuti rancangan tersebut. Waktu tayangan drama itu memang ngam-ngam sewaktu dia tengah berhimpit dalam tren. Memang tak lengkap dirasakan hidupnya sekarang ini apabila sudah ketinggalan beberapa episod drama melayu lakonan Adi Putra dan Nora Danish itu.

Namun tadi Amani sempat membaca serta memahami isi kandungan kontrak yang diberi oleh Zafran. Kalau tadi hatinya berjoget gembira bukan main, sekarang ini dia berasa tertekan.   Rupa-rupanya wang pendahuluan RM1500 yang diperolehi sebentar tadi adalah tertakluk kepada terma dan syarat. Dah macam masuk pertandingan. Sekiranya Amani tidak menunjukkan mutu kerja yang memuaskan, jumlah RM1500 akan dipotong dari bonus hujung tahun nanti. Namun jika persembahan kerjanya mencapai tahap standard yang ditetapkan, RM1500 itu dikira wang bershopping la untuk dirinya. Ceh, bijak betul Megah Holdings merangka strategi! Masalahnya, bukan mudah untuk memuaskan hati Zafran. Bukan Amani tidak sedar, ada saja yang dilakukannya mengundang kemarahan bosnya itu.

Atas sebab itulah tepat pukul dua petang Amani sudah terpacak berdiri di mejanya. Sibuk menyiapkan lambakan kerja yang ditinggalkan oleh Munirah. Amani tak mahu lagi main-main dalam soal kerja. Jumlah wang RM1500 itu terlalu besar bagi dirinya. Sewaktu bekerja di kantin sekolah dulu, hampir tiga bulan gaji bekerja baru dapat menyamai jumlah wang yang diperolehinya hari ini. Amani sudah tidak sabar untuk menghantar wang kepada emak dan adik-adik. Boleh la Amira membelikan barang keperluan rumah. Tak kisahlah ketinggalan drama lakonan Adi Putra asalkan dia sekeluarga cukup belanja. Lagipun Zafran pun ada iras-iras Adi Putra. Terubat juga rindunya pada aktor kacak itu. Amani sempat menjeling ke arah Zafran yang sedang tekun menghadap komputer. Senyuman nakal terukir di bibirnya.

FAHIM melangkah masuk ke Megah Holdings. Sudah tiga minggu dia tidak menjejakkan kaki ke pejabat. Semuanya gara-gara masalah yang dicetuskan oleh pekerja asing di tapak pembinaan di Port Dickson. Pembinaan bangunan hotel dua puluh tingkat itu tergendala kerana mogok pekerja. Tak pasal-pasal dia dihantar ke sana untuk menguruskan masalah tersebut.

Matanya meliar memerhatikan ruang pejabat yang tidak berubah. Muzik perlahan yang melatari menjadikan suasana kerja begitu tenang sekali. Inilah yang dirinduinya. Bekerja di tapak pembinaan serta berurusan dengan pekerja asing yang tidak faham Bahasa Melayu itu memang benar-benar mencabar kesabarannya. Fahim melangkah ke bilik Zafran. Laporan lengkap bergambar  setebal dua puluh muka surat itu telah disiapkannya sejak semalam.

Langkahnya terhenti tatkala melewati meja Amani. Setahu Fahim, sebelum dia dihantar ke site di Port Dickson, meja setiausaha itu memang telah ditinggalkan kosong. Munirah berhenti kerja dengan notis dua puluh empat jam. Tiada siapa yang tahu punca di sebalik perletakan jawatan secara mengejut itu. Memang hura-hara sebentar urusan pejabat akibat ketiadaan Munirah.

 Secawan kopi yang masih berasap menunjukkan bahawa meja itu sudah berpenghuni. Fahim membayangkan rupa paras serta penampilan setiausaha baru bosnya itu. Kalau tidak berskirt pendek paras lutut, sudah pasti berkebaya sendat tak cukup kain. Kadang-kadang risau dia melihatkan cara Munirah berpakaian dulu. Memang kuuuusss semangat! Kalau berkebaya, berjalan pun dah mengepit semacam. Almaklumlah, kain sempit sangat. Itu belum dikira lagi tahap ketebalan solekan yang dikenakan di muka. Entah berapa kilo foundation dan bedak yang ditempek. Sebab itulah dia kurang memberi perhatian walaupun Munirah pernah cuba mengajaknya keluar makan berkali-kali. Memang bukan taste dia!

Pintu bilik dibuka sebaik mendengar arahan ‘Masuk’ dari Zafran. Fahim mematikan langkah sebaik melihat sesusuk tubuh sederhana milik gadis bertudung yang berdiri di tepi sudut meja Zafran. Tangannya rancak mencatit beberapa perkara yang diucapkan oleh Zafran sambil kepala terangguk-angguk. Hilang terus bayangan setiausaha baru ciptaan akalnya sebentar tadi. Realiti di depan matanya ini memang tak terjangkau oleh fikirannya.

Amani panggung kepala ke arah lelaki yang sedang berdiri di hadapan meja Zafran. Kalau pagi tadi dirinya lemas dengan pandangan mata si Zafran, kali ini dia berdepan pula dengan pandangan tajam oleh lelaki asing yang tidak berkelip memandangnya. Amani sudah mula gelabah. Agaknya teknik solekannya masih kurang baik. Elok di matanya, belum tentu elok di mata Zafran serta lelaki asing ini. Macam Hantu Kak Limah lagikah? Dalam keterpaksaan Amani menguntum senyuman ke arah lelaki itu.

“Ehem ehem!” Zafran cuba menarik perhatian kedua-dua pekerjanya. Hatinya dipalu seribu perasaan tatkala melihat Fahim yang tidak berkelip merenung ke arah Amani. Dia arif benar dengan maksud renungan tajam itu.

“Err.. how are you Encik Zafran? Saya datang untuk lapor diri bertugas semula di HQ dan nak submit full report about our construction in PD,” dalam kepayahan Fahim mengalih pandangan mata ke arah Zafran. Kalau boleh ingin sekali dia memandang gadis itu lama-lama. Sampai esok pun tak mengapa. Memang pemandangan yang cukup mengasyikkan!

Welcome back, Fahim. So I assume that the problems in PD are solved by now. Saya suka cara awak handle the problems. Jangan bagi muka sangat pada dorang. Naik lemak pulak jadinya,” Zafran mengagumi kredebiliti jurutera muda ini. Masalah yang tidak dapat diatasi oleh Site Manager tapi mampu diselesaikan oleh Fahim dalam tempoh yang cepat. Tidak sia-sia dia menaruh kepercayaan kepada Fahim.

“Kita cuma tunaikan mana yang perlu saja bos. Memang ada beberapa masalah yang perlukan tindakan kita. Contohnya masalah gaji yang dah tertunggak hampir dua bulan. Saya dah berbincang dengan semua pekerja kita di sana supaya bayaran gaji boleh diselesaikan tepat pada waktunya. InsyaAllah, lepas ini takkan ada masalah yang timbul lagi,” Fahim menjelaskan situasi yang berlaku. Sekali-sekala matanya sempat mencuri pandang ke arah Amani. Memang sukar memberikan tumpuan kepada Zafran tatkala ada tarikan yang jauh lebih menarik di sudut kiri itu. Bagaikan tarikan magnet utara-selatan! Dalam hati dia berharap agar Zafran cepat-cepat memperkenalkan setiausaha baru itu kepadanya.

“Encik Zafran, saya keluar dulu lah ye. Lepas siapkan surat ni saya akan tunjuk dulu pada encik untuk approval,” Amani cuba mencari alasan untuk beredar. Sungguh dia tidak selesa dipandang sebegitu rupa. Bukan dia tidak sedar, sekejap-sekejap lelaki itu menjeling ke arahnya. Ingin sahaja Amani mengorek sepasang mata itu dan dicampak dalam tong sampah! Amani berimaginasi ganas.

“Okay, awak draf dulu dan tunjuk pada saya. Make it before five. By the way, ini salah seorang engineer di Megah Holdings. Fahim namanya. And Fahim, this is my new secretary, Amani,” Zafran bagaikan mendengar rintihan hati Fahim. Fahim tersenyum lebar. Terlepas sudah dari penderaan jiwa apabila diperkenalkan kepada Amani.

 “Selamat berkenalan Cik Amani,” Fahim bangun sambil mengangguk dan tersenyum ke arah Amani. Dia faham benar tidak perlu menghulur tangan untuk berjabat dengan wanita yang bukan muhrimnya.

“Selamat berkenalan Encik Fahim. Hmm... Saya keluar dulu Encik Zafran,” Amani membalas senyuman sebelum lekas-lekas keluar dari bilik Zafran. Dia malu menjadi bahan santapan mata Zafran dan Fahim. Entah apa yang bermain di fikiran Zafran. Dari kejadian pagi tadi, tahulah dia bahawa Zafran berfikiran negatif terhadap dirinya. Siap boleh terfikir dia mewarnakan rambut dan bertindik tiga. Memang gila!

Fahim bagai tidak sabar untuk melangkah keluar dari bilik Zafran. Kalau diikutkan hati, ingin sahaja dia membuntuti Amani keluar sebentar tadi. Tapi banyak pula isu yang dibangkitkan oleh Zafran. Kebanyakan persoalan yang dibincangkan tadi semuanya sudah dinyatakan dengan lengkap dalam laporan yang berada di atas meja Zafran. Namun siapalah dia hendak membangkang. Wajah penuh minat dipamer kepada Zafran. Sedangkan hati, otak, jantung, usus dan semua anggota badannya hanya berkisar tentang gadis bernama Amani.

Fahim melepaskan keluhan tatkala keluar dari bilik Zafran. Dia melihat meja Amani yang kosong. Sekeping kertas dilipat dua didirikan di atas meja. Tertulis dengan huruf besar perkataan ‘SOLAT’.

‘Comel!’ Fahim tersenyum. Dia melangkah meninggalkan meja Amani. Ah, banyak masa lagi untuk beramah mesra dengan gadis itu! Fahim memujuk hatinya sendiri. Bibirnya tidak henti menguntum senyuman. Kalau begini memang semangat bekerja akan meningkat 200%!

Amani sudah merebahkan badan di surau. Kepalanya bertambah sakit apabila menghadap komputer. Minyak cap kapak sudah dilumurkan di belakang tengkuk dan di pelipis. Waktu begini dia mengharapkan sentuhan tangan ajaib emak mengurut kepalanya. Tangan emak memang penuh magis! Boleh menghilangkan sakit serta menjadikan masakan ringkas setaraf makanan paling enak di dunia! Heh, sempat lagi dia berfikir tentang makanan.

Amani berharap dapat berehat dalam lima belas minit. Sengaja ditinggalkan nota ‘SOLAT’ di atas meja. Hari kedua bekerja minggu lepas, Zafran terpekik terlolong mencari dia. Amani yang baru sudah menunaikan solat Zuhur terpaksa mengaminkan doa cepat-cepat. Sangkaannya pasti ada hal penting atau kesilapan  besar yang telah dilakukannya. Rupa-rupanya...

“Amani, where did you go? Dah sepuluh minit saya panggil nama awak. Telinga awak tersumbat ke? Balik nanti korek telinga dengan besi panas!” terpempan Amani dengan kata-kata Zafran. Dia memang tabik spring dengan idea ayat-ayat kejam Zafran! Semuanya kreatif dan berjaya mencalarkan hatinya.

“Maaf Encik Zafran. Saya solat tadi. Ada apa ya?” Amani bertanya sopan. Air wudhuk masih berbaki di keningnya.

“Ambil fail Maju Setia! Urgent!” tanpa pamitan Zafran berlalu masuk ke biliknya. Kelam kabut juga Amani mencari fail tersebut di rak belakang tempat duduknya. Tetapi tiada! Sewaktu masuk ke bilik untuk memberitahu Zafran, dia lihat Zafran sedang membelek fail kuning dengan tulisan sebesar alam semesta ‘MAJU SETIA’ tertulis di muka hadapan. Zafran buat muka sardin seolah-olah tiada apa yang tak kena. Menyampah betul Amani waktu itu. Bengong punya orang!

*                     *                             *                             *                             *
BYE Amani. Jumpa esok ya!” Melissa melambai dengan senyuman tak lekang di bibir. Kereta Honda Civic putih dipandu oleh tunang tersayang sudah tersedia menanti di hadapan pintu masuk bangunan Megah Holdings.

Tuah badan. Pergi dan balik kerja ada ‘drebar’ yang mengantar. Berlainan pula dengan nasib Amani yang terpaksa berhimpit dalam tren yang sendat dengan pelbagai jenis dan rupa manusia. Berdepan dengan berbagai jenis haruman badan yang selalunya memualkan isi perut. Kemudian terpaksa pula menapak beberapa ratus meter. Kalau tak lencun baju dan ketiak dengan peluh memang tidak sah.

Stesen monorail Hang Tuah terletak tidak jauh dari situ. Amani berjalan dengan cepat. Jika terlepas satu tren, terpaksa pula dia menunggu dengan lebih lama untuk tren berikutnya. Dalam keadaan begini Amani hanya mahu pulang cepat supaya dapat merehatkan badan. Kalau bernasib baik, dapatlah dia menonton drama lakonan Adi Putra. Hujung-hujung pun jadilah!

Amani perasan akan kehadiran sebuah kereta yang dipandu perlahan di sisi jalan. Matanya dikerling sedikit untuk melihat pemandu kereta namun cermin gelap menghalang pemandangannya. Apabila Amani berhenti berjalan, kereta itu turut berhenti. Bila dia kembali membuka langkah, kereta itu turut bergerak perlahan mengekorinya. Amani sudah mula berasa gelisah. Beg tangan tersandang di bahu dipegang erat. Kejadian jenayah yang sering dipaparkan di akhbar memang menggerunkan. Mulutnya terkumat-kamit membaca Ayat Kursi minta dilindungi Allah dari sebarang musibah. Kakinya makin laju melangkah. Entah berapa kali dia terpijak kainnya sendiri.

“ Amani!” suara yang menegur telah mematikan langkahnya. Amani menoleh ke sisi. Wajah Zafran tersembul dari cermin penumpang. Kaca mata hitam menambahkan lagi kekacakkan bosnya itu. Lima bintang diberikan untuk penampilan Zafran.

                “Awak duduk mana? Jom saya hantarkan!” Zafran membukakan pintu kereta penumpang dari sebelah dalam.

Bab 10 Bahagian 2 akan bersambung...:)
Kalau suka jangan lupa klik ‘Like’ dan ‘Share’ di Facebook! Terima kasih. :D