Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, May 7, 2012

Bab 10 (bahagian 2)

    "Eh, tak apalah Encik Zafran. Saya balik naik tren aje," Amani serba salah. Kejadian tidak terduga itu membuatkan dia kaget. Orang ramai yang turut sama berjalan kaki sudah mula tertoleh-toleh melihatkan drama sebabak petang itu.

    "Ada saya tanya boleh ke tak? It's an order. Masuk cepat. Tak boleh berhenti kat line kuning. Kalau kena saman, awak bayar!" seperti biasa Zafran menggunakan kuasa diktatornya. Dalam sekelip mata Amani sudah melompat masuk ke dalam kereta Zafran. Angin sejuk penghawa dingin menyerbu ke wajah Amani yang sudah memerah dibakar mentari sebentar tadi. Amani menghela nafas lega. Untung juga dapat menumpang kereta mewah Zafran.

Sudah beberapa minit berlalu namun Zafran masih belum mula memandu. Amani memberanikan diri menoleh ke sebelah kanan. Dilihat Zafran sedang merenung tajam ke arahnya.

"Would you mind telling me where your house is?" Zafran bersuara sinis sambil kening terangkat sedikit. Sudah selalu sangat muka kerek itu ditayang kepada Amani.

    "Err, saya tinggal di Apartment Damai. Dekat dengan Kolej Intelek... belakang rumah saya tu ada tasik buatan. Hmm...orang panggil Tasik Cendrawasih... Pasaraya...." Amani jadi kalut untuk menjawab soalan Zafran. Kadang-kadang aura Zafran dirasakan umpama aura cikgu Matematik di sekolah dulu!

    "Okay, okay, I know that place. Lain kali sebut je kawasan Wangsa Maju. Tak payah buat karangan panjang-panjang," Zafran memotong ayat Amani. Amani mengunci mulut. Fikirnya tadi penerangan panjang lebar itu dapat memudahkan lagi Zafran mencari jalan ke rumahnya. Tapi sangkaannya jauh meleset.

    Sebaik kereta meluncur di atas jalan yang sesak, Amani terus membuang pandang ke luar tingkap. Terasa cukup kerdil dirinya di dalam kereta itu. Usahkan nak duduk bersandar, nak menghembus nafas pun dia lakukan dengan cukup cermat. Bimbang nanti dimarah Zafran kalau bernafas kuat-kuat macam kerbau. Hish, semuanya serba tak kena.

    Zafran menjeling ke sebelah kiri. Hatinya berbunga bukan main. Hendak tergelak pun ada tatkala melihat Amani yang takut-takut bila disergah. Penakut betul budak ni! Zafran menekan butang 'on' pada pemain CD. Lagu heavy metal berkumandang kuat memenuhi segenap ruang kereta.

    "Awak suka lagu ni?" Zafran bertanya nakal kepada Amani. Wahal, tak payah tanya pun sudah diketahui jawapannya.

    "Hm, saya...saya tak suka..." Amani menunduk tatkala menjawab soalan itu dengan jujur. Bingit telinganya dengan suara penyanyi rock yang perasan sedap itu. Terjerit-jerit tanpa diketahui apa butir bicaranya. Rasa nak termuntah pun ada.

    "Awak TAK SUKA??" Zafran mengeraskan suaranya kepada Amani. Cermin mata hitam dilurutkan supaya Amani dapat melihat sepasang mata yang dibulatkan.

    "Eh, maksud saya, boleh tahan jugak lagu ni. Bila dah dengar lama-lama saya jadi suka," Amani kelam kabut menjawab. Heee..susahnya dengan Zafran ni. Kalau boleh ingin sahaja dia terjun dari kereta itu. Setiap detik bersama Zafran dirasakan detik penuh penyeksaan!

    Tidak semena-mena Zafran ketawa. Mula-mulanya perlahan, namun kemudian semakin kuat. Suara penyanyi rock terjerit-jerit sudah saling bertingkah dengan ketawa Zafran yang berdekah-dekah.

Amani terpegun dengan kejadian di depan mata. Tak pernah sekalipun dia melihat Zafran ketawa. Selama ini wajah ketat sahaja yang ditayangkan bila bersama Amani. Sampaikan dia terfikir yang Zafran sudah kehilangan nikmat ketawa. Amani membiarkan sahaja Zafran tertawa sehingga puas. Tak berani hendak mencelah. Angin Zafran tak boleh diteka. Karang tak pasal-pasal kena sembur dengan ayat berbisa! Lagipun wajah Zafran yang ketawa memang sedap dipandang. Kan bagus kalau selalu begini?

"Awak ni takut sangat ke dengan saya? Kenapa ye?" Zafran bersuara apabila ketawanya sudah reda. Muzik rock diperlahankan. Zafran melihat dari ekor mata, Amani sudah bersandar di kerusi penumpang.

Amani kembali berasa gelisah. Setiap soalan yang terpacul dari bibir Zafran bagaikan perangkap maut kepadanya. Jawab begini salah, jawab begitu pun salah. Syuhada sahaja yang bijak menangani situasi berbahaya seperti ini. Mungkin kerana sudah terbiasa berdepan dengan pelbagai karenah manusia.

"Saya hormatkan Encik Zafran. Encik kan majikan saya..." jawapan selamat diberikan kepada Zafran.

"So, awak tak takut la dengan saya?" Zafran kembali bersuara serius. Inilah yang Amani malas. Kalau Zafran ini bukan bosnya, memang dah lama dia berikan penampar sulung. Biar bisu mulut itu dari bertanyakan soalan yang bukan-bukan. Amani sudah surrender. Kalau ada bendera putih memang dia kibarkan tinggi-tinggi. Tak tahu jawapan bagaimana yang boleh memuaskan hati majikannya itu.

"Orang kata muka saya ni macam muka pelakon drama melayu. Betul ke?" Zafran menukar topik pula. Wajahnya dipalingkan sebentar kepada Amani sebelum kembali memandang ke depan.

"Betul Encik Zafran! Macam muka Adi Putra! 80% hampir sama!" Amani menjadi teruja kalau berbicara tentang pelakon pujaannya itu. Sepasang mata bagaikan bersinar tatkala itu. Terlupa yang dia sedang berdepan dengan si singa jantan.

"Oh, jadi sebab tu ke awak suka curi-curi pandang pada saya?" Sedang elok pula kereta berhenti di persimpangan lampu isyarat. Zafran terus memalingkan wajahnya kepada Amani. Memang seronok hatinya bila melihat Amani resah gelisah tidak senang duduk seperti itu. Sumpah comel!

"Kadang-kadang aje," Amani bersuara perlahan. Antara dengar dengan tidak sahaja di telinga Zafran.

Zafran tersenyum senang. Sudah lama dia tidak berasa ceria begini. Memandu dalam kesesakan jalan begini pun tidak mendatangkan rasa marah walau sekelumit. Kalau sebelum ini memang mulutnya lancang menyumpah-nyumpah dari dalam kereta. Jampi apalah yang dikenakan oleh Amani ke atas dirinya.

"Encik, berhenti kat tepi ni cukup. Kereta luar tak boleh masuk kalau tak ada pass. Saya boleh jalan kaki je," Amani tidak mahu bertegang urat dengan pak guard di situ. Semuanya bengis. Macamlah apartment itu mereka yang punya. Sudah banyak kali dia dan Syuhada bertikam lidah dengan mereka.

Zafran bagaikan tidak mendengar kata-kata Amani. Dengan selamba dia menurunkan tingkap dan menghulurkan dua keping not merah kepada pak guard Bangla yang sedang bertugas. Bukan main panjang sengihan Bangla itu apabila membenarkan kereta Zafran memasuki kawasan Apartment Damai.

Zafran memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan kawasan lobi. Waktu begini kebanyakan ibu bapa akan menunggu van membawa pulang anak-anak mereka dari sekolah. Tak kurang juga yang membawa anak-anak bermain di tapak permainan atau di kolam renang.

Amani rasa wajahnya menebal lapan inci. Malu pula apabila dihantar pulang begitu. Pintu cuba dibuka dari dalam namun gagal.

"Sama-sama Cik Amani," Zafran bersuara. Amani menoleh ke arah Zafran. Rasa bersalah tidak dapat diselindung lagi. Macam orang tak kenang budi pula rasanya.

"Eh, terima kasih encik. Maaf menyusahkan encik," Amani cuba tersenyum semanis mungkin.

"Terima kasih aje?" Zafran menduga lagi.

'Ai, kalau tak ikhlas jangan lah menolong.' Amani sudah berkira-kira sendiri. Takkan hendak dibayar empat ringgit sekupang pula. Memang itu jumlah tiket perjalanan sehala dari Megah Holdings ke Wangsa Maju. Tangannya sudah diseluk ke dalam beg tangan.

"Saya gurau ajelah. Dah. Jangan lupa makan ubat. Take care," Zafran menekan butang kunci automatik. Amani membuka pintu. Kesemua organ dalaman Amani bagaikan bersorak gembira apabila sudah keluar dari kereta mewah Zafran. Terasa penderaan mental dan fizikal itu sudah berakhir. Merdeka!

    Amani berdiri tercegat di tepi kereta. Dia ingin menunggu sehingga kereta Zafran berlalu meninggalkannya. Kereta Zafran bergerak ke hadapan sebelum kembali mengundur. Cermin kereta diturunkan.

    "Tolong beli perfume sekali dengan duit allowance tu. Saya tak suka la bau yang awak pakai ni. Sakit hidung saya. Pungent smell," hidungnya dikerutkan sebelum selamba berlalu meninggalkan Amani di situ. Dari kejauhan pak guard Bangla yang sering bergaduh dengannya mengangkat tangan sambil terangguk-angguk hormat. Ah, dasar mata duitan!

    Amani berasa hendak tergelak. Dia tidak memiliki perfume. Bau yang dikatakan Zafran tadi adalah bau minyak cap kapak yang ditunggang sehabis mahu petang tadi. Pelik betul Zafran ni. Bau universal macam tu pun dia tak kenal. Minyak angin apa yang digunakan oleh orang-orang kaya agaknya?

    MALAM ITU teruk Amani disoal siasat oleh Syuhada. Peristiwa jatuh pengsan serta dihantar pulang oleh Zafran sudah diulang hampir sepuluh kali. Naik sakit tekak Amani bercerita. Syuhada pula bagaikan tidak jemu-jemu mendengarnya. Pelbagai andaian dibuat oleh Syuhada. Mengalahkan nujum pak belalang!

    "Wow! Aku rasa ada orang dah jatuh hati!" Syuhada sudah menghimpit di sebelah Amani. Nasi goreng di dalam mulut sudah tersembur beberapa butir. Selekeh betul!

    "Apa kau cakap ni Syu? Merepek ajelah. Kebetulan aje dia lalu dan nak hantar aku," Amani menjauhkan pinggannya dari Syuhada. Bimbang pula ada benda asing yang melompat masuk.

    "Kau tengok lah nanti. Aku potong jari Zafran dah jatuh hati kat kau!" Syuhada tersengih bukan main. Amani sekadar menggeleng-gelengkan kepala. Tak larat mahu berbalas hujah dengan Syuhada.

    "Hujung minggu nanti kau kerja ke cuti? Kita pegi beli baju sikit. Boleh la aku bayar hutang kau sekali," Amani lekas-lekas menukar topik.

    "Boleh! Kita pergi Jalan Tar nak? Situ banyak baju dan tudung-tudung cantik. Aku cadangkan kau beli skirt labuh dan selendang. Harga murah-murah je. Mesti bertambah cair hati Zafran nanti," Syuhada belum kehabisan idea untuk menyakat.

Amani hanya berdiam diri. Malas mahu melayan Syuhada. Matanya melekat pada kaca televisyen, namun fikirannya melayang terkenangkan sikap Zafran yang berubah. Berbaik secara tiba-tiba... Jangan-jangan ada agenda yang tersembunyi. Ini yang buat dia berasa tidak selesa. Emak memang berpesan jangan sesekali terhutang budi kepada orang. Bimbang tergadai body.

    Beep...Beep...

Amani mencapai telefon bimbit yang terletak di meja sisi. Waktu begini kebiasaannya Amira yang rajin menghantar SMS. Namun nombor asing pula yang terpapar di skrin telefon. Butang 'Read' ditekan pantas.

    'Don't speculate. Saya hantar awak balik sebab saya tak nak bertanggung jawab if anything happen to u on your way back. I'm a responsible boss. Tu aje.'

    Amani menayangkan skrin telefon kepada Syuhada. Entah mengapa jiwanya berasa tenang apabila membaca mesej dari Zafran. Bagaikan terlepas bahunya dari bebanan yang berat. Jadi esok dan hari-hari seterusnya dia boleh menghadap Zafran tanpa apa-apa syak wasangka.

    "So, jari yang mana satu?" Amani menyiku Syuhada. Berkerut seribu wajah Syuhada tanda tidak memahami apa yang dikatakan oleh Amani.

    "Tadi kau cakap sanggup kerat jari kan? So aku tanya, jari yang mana?" senyuman nakal terukir di bibir Amani. Rambut yang menutupi dahi di tolak ke belakang telinga.

    Wajah Syuhada berubah rona. Terus saja matanya memandang ke televisyen. Rancangan Buletin Utama ditonton penuh kusyuk seolah-olah tidak mendengar pertanyaan Amani tadi. Amani tersenyum kemenangan.

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D


 

10 comments:

  1. hahahahaha.. klaka laa.. baik punya cover ye boss!! responsible lahhh sangatttt!!

    ReplyDelete
    Replies
    1. hihihi...tq mizz acu masih sudi follow cerita ni!:)

      Delete
    2. This comment has been removed by the author.

      Delete
  2. Semoga Amani tabah dengan perangai Zafran yang x berapa betul tu...
    Kita tengok macamana Syuh dapat mengubah penampilan diri Amani sehingga mata Zafran x boleh pandang lain pulak kkk...
    Lelaki selalunya EGO.... hahaha

    ReplyDelete
  3. Arrrr..Sukenye bab nih..hihik..Tersenyum-senyum saya baca..hahaha (perasan jadi amani ar plak) huhuhuhuhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. amani ni mewakili semua wanita yang sederhana!sy pon nak berangan jd amani jugak!:)

      Delete
  4. Huh..really look forward sambungan nye...hahahah

    ReplyDelete
  5. hye lya zara. looking forward for your next chapter. excited. *hugs

    ReplyDelete