Orang Cantik dan Orang Hensem

Friday, May 11, 2012

Bab 11

Zafran melepaskan nafas berat. Disangkanya apabila menghantar SMS sebegitu, jiwanya yang gundah-gulana akan kembali normal. Namun hakikatnya dia bertambah runsing. Zafran meraup wajahnya. Bayangan Amani masih menari-nari di hadapan mata. Kepalanya terasa pusing dan runsing!

Balik dari menghantar Amani petang tadi, dia tersenyum panjang bukan main. Sampai lenguh otot mukanya menahan senyuman. Dia betul-betul rasa bahagia. Bukannya dibuat-buat. Buat pertama kalinya dia merasa begitu senang dengan kehadiran Amani.

Tiada benci.

Tiada marah.

Tiada menyampah.

Yang ada hanya bahagia. Ya, B.A.H.A.G.I.A!

Namun pertemuan petang tadi dengan sahabat baiknya, Ilham telah mengubah segalanya. Sukar ingin dia gambarkan rasa hatinya ketika ini. Dia bagaikan ditolak jatuh dari puncak gunung. Bagai dikejutkan dari mimpi indah. Puing puing dalam hati yang dirasainya hilang begitu sahaja. Sebahagian dari hatinya menyesal kerana bertemu dengan Ilham. Namun sebahagian pula berasa bersyukur kerana Ilham ada untuk menyelamatkan dia dari luka silam.

Zafran merebahkan badan di atas tilam empuk. Pandangan kosong dilemparkan ke arah siling putih berukir cantik. Ingatannya melayang ke pertemuan petang tadi. Pertemuan yang meragut rasa bahagia yang baru mula berputik di laman hati.

SUDAH agak lama dia tidak bertemu dengan Ilham. Pelbagai cerita menjadi topik perbualan mereka. Dari cerita bursa saham, tentang kerja, politik dan hal ehwal semasa, akhirnya tergerak hati Zafran untuk bercerita tentang Amani. Gadis kampung yang mencuit rasa bahagia di hatinya.

Lagipun Ilham bukan orang lain. Zafran sudah menganggap Ilham seperti saudara sedarah sedaging dengannya. Itulah sahabat yang sentiasa berada di sisi. Menjadi saksi kepada jatuh bangun dirinya. Sejak berkenalan ketika sama-sama menuntut di Universiti Ohio dahulu, Zafran sudah tahu bahawa Ilham adalah sahabat dunia akhirat. Malah Ilham orang pertama yang melihat bagaimana dia menyulam bahagia. Dan orang pertama yang melihat dia jatuh terluka.

Atas sebab itulah setiap kata-kata yang dilafazkan oleh Ilham mendapat pertimbangan yang berat oleh akal fikiran Zafran.

"What? Kau nak pisang berbuah dua kali ke? Aku tahu kau suka perempuan yang nampak innocent macam tu. Tapi kau kena ingat, luaran yang nampak baik tu belum tentu dalamannya baik. Hatinya kita tak tahu. Aku ingat kau dah belajar dari pengalaman, Zaf...," Ilham memandang tepat ke wajah Zafran.

Terkejut dia mendengar cerita dari mulut Zafran sebentar tadi. Bukan dia tak mahu tumpang gembira. Namun dia tak sanggup melihat Zafran kecewa sekali lagi. Cukuplah apa yang pernah dilalui oleh Zafran dahulu. Dia bagaikan kehilangan sahabat. Zafran benar-benar berubah akibat kecewa. Hampir setahun dia cuba memulihkan semangat Zafran. Pengakuan berani mati Zafran sebentar tadi sukar diterima oleh akal fikirannya. Sedangkan dia tak sanggup melihat Zafran jatuh tersungkur seperti dahulu, bagaimana pula empunya badan boleh lekas sangat membuat penilaian?

"Tapi aku rasa dia lain lah. Dah lama aku tak rasa macam ni Ilham. Nak explain pun susah. Nanti kau kata aku jiwang karat!" Zafran tersenyum pahit. Dia cuba mengaburi rasa hampa yang memukul badai hati.

"Yup, aku paham apa yang kau rasa tu. Tapi aku tak nak kau terburu-buru. This is exactly how you looked like four years ago. Macam ni lah. Mata bersinar, senyum bukan main lagi. Sedangkan kau baru kenal dia beberapa hari. Waktu tu kau dah berani announced kat semua orang yang dia tu kau punya. Lepas tiga tahun kau tengok apa jadi?" Ilham berhati-hati mengungkit kisah silam. Ilham sudah masak benar dengan perangai Zafran. Memang menjadi kepantangan utama kalau cerita itu diungkit lagi. Bukan sengaja dia mahu membuka lembaran peristiwa lalu, namun dia benar-benar rasa bertanggung jawab untuk menyedarkan Zafran. Biar Zafran ingat apa yang pernah dilalui dahulu.

Zafran merenung jauh. Perasaanya berperang hebat apabila Ilham menyebut tentang peristiwa lama. Entah mengapa sukar benar bagi dirinya mengikis jauh bayangan wanita yang telah menghancurkan hatinya itu. Terlalu hancur sehingga sekarang masih dia merasa sakitnya. Setahun hidup dalam kekecewaan, kini dia bangkit semula dengan membina benteng hati sekukuh Tembok Cina. Zafran sedar dia meneruskan hidup dengan rasa benci yang disemai dan dibaja dalam hati kerana dia tidak mahu kecewa lagi.

"Zaf, kau kena extra careful. Kau tu pewaris kekayaan family kau. Kebanyakan perempuan zaman sekarang semuanya mata duitan. Silap-silap dah diberi air jampi untuk buat kau gila bayang macam ni. Bila dah kikis duit kau sampai habis, ditinggalkannya kau!" Ilham menyatakan kemungkinan-kemungkinan yang ada. Drama Melayu yang ditonton minggu lepas meninggalkan kesan yang agak mendalam dirinya. Bimbang juga dia kiranya Zafran dimandrem. Apa, orang lelaki tak boleh tengok drama?

Zafran tergelak mendengarkan kata-kata Ilham yang terlebih dramatik. Dia masih waras. Masih sedar dan masih boleh berfikir. Dia yakin tidak dipengaruhi oleh kuasa sihir. Cuma mata dan hatinya yang dikunci oleh Amani. Eceh.

"Arisya macam mana?" Ilham memecah kesunyian. Cawan kopi disua ke bibir.

"Macam tu je la," Zafran membalas pendek. Hari ini dia langsung tidak menghubungi Arisya. Beberapa panggilan Arisya juga dibiarkan masuk ke peti mel suara. SMS juga tidak berbalas. Kadang-kadang rimas dia dengan Arisya. Too clingy. Padahal mereka bukan pasangan kekasih pun. Zafran melayan Arisya sebagai teman bersosial. Itu sahaja. Sekurang-kurangnya itu yang dirasakannya pada Arisya.

"Kau tak serius ke dengan dia?" Ilham masih mengorek cerita. Dia tahu mood Zafran sudah lari apabila cerita lama dibuka semula tadi. Asalkan tak makan penumbuk kiranya masih OK lagi tu.

"Aku tak ada feel apa pun kat dia Ilham. Kawan seronok-seronok. Lagipun Arisya tu lain macam sikit lah..." secara automatik dia membuka cerita tentang bagaimana Arisya dilihat berpelukan dengan lelaki lain. Waktu itu mereka baru lepas dinner di Hilton dan Zafran ke tandas sebentar. Bila keluar dari tandas dilihatnya Arisya berpeluk mesra dengan salah seorang persaing syarikatya, Dato' Mazlan.

Dato' Mazlan memang terkenal dengan pelbagai kontoversi dan skandal. Zafran tidak terkejut menyaksikan insiden itu. Sikit pun Zafran tak ambil pusing. Bertanya pun tidak, inikan pula hendak berasa cemburu. Zafran sudah masak benar dengan peragai perempuan murahan seperti Arisya. Biarlah.

Pada Zafran, Arisya punya hak untuk keluar atau bermesra dengan sesiapa sahaja. Sebab itu dia lebih gemar berkawan dengan perempuan seperti Arisya. No string attached. Tiada ikatan. Tiada harapan. Tiada impian untuk membawa hubungan itu ke mana-mana.

Yang paling penting takkan ada lagi kekecewaan.

Azan Isyak dari Masjid Al-Muttaqin menyedarkan Zafran dari lamunan yang panjang. Dia beristigfar beberapa kali. Jarang-jarang dia melengkapkan solat lima waktu. Zohor ditunaikan, Maghrib dan Isyak pula ditinggalkan. Kadang-kadang dia langsung tak bersolat sehari suntuk. Membaca al-quran apatah lagi.

Entah mengapa dia jadi begitu. Didikan agama yang diberikan Umi dan Walid bukan tidak cukup. Tapi selepas kecewa hampir dua tahun lalu, Zafran bukan setakat menjauhkan diri dari semua orang, malah semakin jauh dari Allah. Dia merasakan taqdir hidup yang ditentukan untuk dirinya tidak adil. Astaghfirullah...

Zafran bingkas bangun dan mencapai tuala biru. Sepantas kilat dia masuk ke tandas untuk membersihkan diri. Selepas lima belas minit, dia sudah berdiri tegak di atas hamparan sejadah. Sudah lama benar sejadah itu terlipat di sudut bilik. Zafran mengangkat takbiratul ihram. Kemudian kedengaran bacaan surah Al-Fatihah yang mendayu.

Dua puluh minit kemudian Zafran selesai menunaikan solat empat rakaat. Matanya basah dan dadanya sakit menahan sebak. Sudah jauh benar dia terpesong. Siapa sangka dengan begitu sahaja Allah menyedarkan dia supaya kembali kepada landasan yang benar.

Zafran melihat lampu telefon bimbit yang berkelip-kelip menandakan beberapa SMS diterima. Zafran membaca SMS Arisya.

SMS 1: "Where the hell are you? I've been calling you since morning! Kalau macam ni baik tak payah pakai phone. Campak je kat lombong!" – 8.05pm.

SMS 2: " Honey, I'm sorry. I miss you. I miss so much. Kalau you marah I, please tell me what did I do wrong. Jangan senyap je. Please. Rindu you sangat. XOXO." – 8.15pm.

SMS 3: "You ni memang hati batu kan! You ingat I tahan ke dengan perangai you ni?? Kejap ada kejap takde. There's no one can ever stand to stay with you!" – 8.30pm.

Zafran tersengih membaca ketiga-tiga isi kandungan SMS. Semuanya dihantar dalam sela masa yang dekat-dekat. Nampak sangat emosi Arisya asyik berubah. Macam orang gila pun ada. Tak faham betul Zafran dengan sikap Arisya. Mengongkong tak tentu pasal. Mereka tak pernah melafaz kata cinta. Panggilan 'sayang, honey, darling dan yang sewaktu dengannya itu' memang biasa diucapkan Zafran kepada wanita-wanita cantik. Zafran juga sangat pasti yang Arisya biasa dipanggil begitu oleh lelaki lain.

Zafran membuka satu lagi kiriman SMS dari Arisya:

"Raziq, come over to my house. Lucy is not around. I have a special gift for you. Wrapped in hot pink satin!"

Isi kandungan SMS itu membuatkan mata Zafran buntang. Sudah pasti Arisya tersalah menghantar SMS. Haish, nampak sangat si Arisya ini memang gersang. Gersang dan murahan. Tak dapat dengan dia, lelaki lain pula menjadi sasaran. Mujurlah Zafran tidak pernah terpedaya dengan godaan Arisya. Bohonglah dia kalau jiwa lelakinya tidak bergetar dengan setiap cubaan yang dilakukan Arisya. Namun mujurlah akalnya masih berfungsi dalam saat-saat genting begitu. Kalau tidak, sia-sia sahaja menjamah bangkai orang lain. Lebih parah lagi kalau terpaksa menjadi pak sanggup!

Nada dering yang berkumandang menandakan ada panggilan masuk. Seperti dijangka, Arisya yang menelefon. Tak lain dan tak bukan pasti ingin mereka-reka cerita untuk menutup kesalahan tersalah menghantar SMS. Malas Zafran hendak mendengar ayat skrip pelakon terhebat yang akan keluar dari mulut Arisya. Silap-silap siap dengan bunyi sedut hingus pun ada. Kononnya sedih sangat sampai menangis. Telefon bimbit disimpan di dalam kocek seluar bermudanya.

Zafran melangkah keluar ke beranda. Jarang benar dia melepak di rumah pada waktu malam. Kebiasaannya dia akan ke gym, bermain futsal, atau melepak di kelab-kelab malam terkemuka di Kuala Lumpur. Itulah rutin harian yang digemarinya. Bertemankan rakan-rakan serta wanita cantik yang sentiasa cuba merebut hatinya.

Namun malam ini dia berasa asyik memerhatikan keindahan bulan penuh. Hatinya berasa damai. Fikirannya berasa tenang.

    Pendapat serta kata-kata Ilham petang tadi kembali menghantui dirinya. Sesungguhnya masih terlalu awal untuk dia mengenali hati budi Amani. Malahan perempuan seperti Amani memang berbahaya. Luarannya yang nampak baik itu mudah sahaja mengaburi mata sesiapa yang memandang. Namun niatnya tak siapa yang tahu. Entah kan esok entah kan lusa, belang Amani akan terlihat jua. Berbeza pula dengan perempuan seperti Arisya. Zafran memang sudah mengetahui setiap langkah yang ingin dicatur oleh Arisya. Jadi dia berasa lebih mudah untuk menangkis. Zafran membuat rumusan.

    Zafran mengeluarkan telefon bimbit dari kocek seluar. Bunyi isyarat SMS masuk menarik perhatiannya. Apa lagi ayat drama yang ditulis oleh Arisya kali ini?

    "Terima kasih hantarkan saya pulang tadi. Saya akui Encik Zafran memang bos yang bertanggung jawab. Terima kasih juga untuk advanced allowance yang encik beri. Akan saya gunakan dengan sebaiknya. Terima kasih dan selamat malam," Zafran mengulang baca SMS diterima berulang kali. Walau cuba ditahan, namun bibirnya tegar mahu mengukir senyuman. Sindrom senyum yang baru saja dihadapinya.

    Ringkas dan formal sahaja bunyinya pesanan yang dihantar oleh Amani. Namun Zafran merasa bagaikan disuntik dos bahagia. Cepat saja otak menghantar signal kepada hati. Bayangan wajah ayu Amani mula memenuhi ruang fikiran Zafran. Aduh, sukar benar mengusir rasa ini.

Namun amanat Ilham dipegang kemas. Mahu atau tidak dia harus mengusir perasaan yang datang bertamu. Sebelum perasaan suka berakar umbi hingga menumbuhkan bunga-bunga sayang dan cinta, lebih baik dia lakukan sesuatu. Sesungguhnya dia bukan takut jatuh cinta kepada Amani. Tetapi perasaan takut dikecewakan mengatasi segalanya.

    Otak Zafran ligat mencari solusi. Ipad putih dicapai dan jarinya lincah dilarikan ke kiri dan ke kanan permukaan skrin. Beberapa minit kemudian Zafran mengukir senyuman. Dia harus menjauhkan Amani dari hidupnya untuk seketika sehingga dia dapat mencari semula kewarasan akal yang hilang. Dia percaya jika segalanya mengikut perancangan, Amani akan kekal sebagai perempuan kampung yang menjengkelkan di matanya.

Zafran menghempas badan di atas tilam. Hai, cepatlah siang! Dia tidak sabar ingin melaksanakan misinya esok.


 

Bersambung! : )

Seperti biasa, kalau suka, klik butang 'Like' dan 'Share' di Facebook ye!:D

Kalau tak suka, boleh tinggalkan kritikan di bawah! :D


 

4 comments:

  1. pe mende plak yg Mr Boss ni nak wat nih..?? plan nak dajalkan Amani lg la tuh..
    haishhh.. nak sgt uji org ek.. cer bg amani lak uji dia.. baru pdn muka!
    boleh x biar Mr Boss lak yg terkena kali nih

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cdgn yg menarik mizz acu!ntikan sambungan bab seterusnya nanti ya!:)

      Delete
  2. ilham mst ske kat imani gak...:( sian zafran..

    ReplyDelete