Orang Cantik dan Orang Hensem

Tuesday, June 5, 2012

Bab 13

    Amani menanti sahutan dari dalam rumah. Beberapa saat berlalu, namun hanya kesunyian yang menyapa kehadirannya. Perlahan-lahan dia menapak lebih jauh ke dalam rumah besar itu. Sepasang mata Amani tidak berkerdip melihat susun atur mewah di ruang tamu. Amani membandingkan sofa empuk di rumah Zafran dengan kerusi rotan di rumahnya. Sudah lebih sepuluh tahun kerusi rotan itu berjasa kepada mereka sekeluarga. Walaupun terdapat bilah-bilah rotan yang sudah tercabut, emak masih tegar memaku semula.

    Melewati ruang kedua, Amani terpegun pula dengan TV plasma 60 inci yang dilekap pada dinding. Set home theatre itu kelihatan cukup hebat di matanya. Tak perlu lagi membazir duit untuk pergi ke panggung wayang! Amani menggeleng-gelengkan kepala. Kaya sungguh keluarga Zafran!

    Amani menapak ke ruang makan. Meja makan untuk dua belas orang memenuhi ruang itu. Pinggan mangkuk serta gelas berkaki tinggi di susun kemas di atas meja. Lampu chandeliar indah tergantung dan menerangi ruang makan tersebut.

    'Orang kaya, siang-siang pun pasang lampu. Kalau di kampung dah lama kena piat dengan emak,' Amani berbisik sendiri. Matanya masih belum puas menikmati keindahan rumah mewah Zafran. Terasa seperti sedang melawat muzium! Hendak berjalan lebih jauh pun dia tidak berani. Bimbang tersesat tak jumpa jalan keluar.

    Bunyi pintu bilik dibuka menarik perhatian Amani. Seorang wanita separuh abad yang bertelekung muncul dari balik pintu. Kulitnya yang cerah serta wajah yang masih cantik mengingatkan Amani kepada emaknya. Walaupun sedikit terkejut dengan kehadiran gadis tersebut, namun sebaris senyuman terukir buat Amani.

    'Mesti pembantu rumah Indonesia,' Amani membuat kesimpulan. Dia tersenyum kembali kepada wanita yang mungkin seusia ibunya.

    "Assalammualaikum ibuk. Saya ini pekerja Tuan Zafran. Tadinya udah diberi salam, tapi enggak ada yang menjawab. Lalu saya masuk terus. Mahu menumpang solat. Bisa ngak?" Amani cuba menunjukkan bakat berbahasa Indonesia. Tak sia-sia menonton slot sinetron dahulu.

    Wajah pembantu rumah berubah rona. Mungkin terkejut mendengarkan ulas bicara Amani yang petah berdialek Indonesia. Senyuman di wajah Amani semakin lebar.

    "Iya bisa aja. Cik ambil wudhu' di sana, solatnya di bilik ini. Cepat! Kita solat sama-sama," wanita tersebut kembali tersenyum. Tangannya menunjuk arah ke tempat berwudhu.

    Amani membersihkan solekan di wajah serta kotoran di celah-celah jari sebelum mengangkat hadas kecil dengan tertib dan cermat. Wanita separuh abad itu masih setia menjadi pemerhati. Sebaik Amani selesai berwudhu, dibawanya Amani ke bilik tadi. Awalnya Amani menyangkakan bahawa itu merupakan bilik tidur pembantu rumah. Tapi tekaannya salah. Ia merupakan surau mini yang dilengkapi ruang solat untuk lelaki dan wanita. Lengkap berhawa dingin. Cukup luas dan selesa. Amani berasa kagum. Jarang-jarang orang mewujudkan ruang solat di dalam rumah. Kebiasannya setiap rumah lengkap dengan bilik pejabat atau mini gym, namun tidak langsung menitik beratkan ruang untuk melakukan kerja ibadah begini.

    Sewaktu sedang menyarung telekung, kedengaran pintu bilik dibuka sekali lagi. Ruang solat yang dipisahkan dengan kain tebal menyukarkan pandangan Amani. Kedengaran lafaz iqamat yang mendayu. Amani mengerutkan kening. Suara yang lunak itu cukup dikenalinya. Suara yang selalu mengherdik marah kepadanya. Suara yang selalu mencari kesalahannya. Sah! Suara itu suara Zafran! Amani terpana mendengar iqamat yang dilaungkan.

    "Lekas niat berjemaah," suara pembantu rumah Zafran menyedarkan Amani. Amani membetulkan kedudukan telekung dan beristigfar beberapa kali. Niat disemat dihati sambil mengangkat takbiratul ihram. Sesaat kemudian Amani kusyuk menunaikan solat Zohor berjemaah berimamkan Zafran.

    Selesai memberi salam, Amani menadah pula kedua belah tangan untuk mengaminkan doa yang dibaca oleh Zafran. Bacaannya kedengaran cukup jelas dan lancar di telinga     Amani. Sesekali hatinya dipalu kesayuan apabila mendengar suara Zafran yang sebak memohon keampunan. Zafran bagaikan orang asing pada Amani. Ego Zafran yang tinggi melangit jatuh jua menyembah bumi apbila berhadapan dengan pencipta-Nya. Amani bertahmid di dalam hati.

    Amani melangkah keluar dari bilik solat. Kakinya melangkah menuju ke dapur untuk mencari pembantu rumah Indonesia yang awal-awal sudah meninggalkan dia sewaktu melilit selendang tadi. Amani terpana melihat penampilan pembantu rumah yang agak bergaya. Huh, rupanya bukan setakat dia yang terpaksa mengubah penampilan, malah makcik Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah juga perlu bergaya sakan. Teruk betul Zafran ni! Amani mengutuk di dalam hati.

    "Mari duduk makan, cik," tangan wanita itu lincah menghidangkan nasi serta lauk-pauk di atas meja bulat di ruang dapur.

    "Ish, tak apa lah makcik. Nanti Encik Zafran marah pula. Lagi satu makcik panggil aje saya Amani," Amani menolak dengan sopan. Kalau ikutkan hati memang perutnya lapar bukan main-main. Dua pinggan nasi pun boleh masuk di kala begini!

    "Marah kok kenapa? Zafran yang suruh hidangkan makanan. Katanya Amani lapar bangat," sepinggan nasi dihulur kepada Amani. Amani menyambut pinggan yang dihulur dengan senyuman lebar. Masih ada hati perut rupanya Zafran. Masih bertimbang rasa pada keadaan Amani yang kelaparan.

    "Jemput makan sekali makcik?" Amani sudah menarik kerusi di sebelahnya. Wanita separuh abad itu melabuhkan punggung. Lauk asam pedas ikan pari disudu ke dalam pinggan Amani. Saat itu Amani terkenangkan emaknya di kampung. Kebiasaannya emak lah yang rajin melayan mereka tiga beradik makan. Menyendukkan nasi serta menyudukan lauk ke pinggan mereka. Sudah hampir sebulan tidak bertemu emak. Balik nanti dia mahu bermanja dengan emakknya. Dia mahu emak suapkan nasi ke mulutnya.

    "Zafran tu garang ke di pejabat?" pembantu rumah itu sedikit berbisik.

    "Garang juga makcik. Cerewet pun sama. Tengok lah, saya disuruhnya pakai cantik-cantik. Katanya sakit mata bila saya selekeh. Makcik yang kerja di rumah pun disuruh bergaya begini ya? Datin tentu lagi bergaya kan? Mesti ranggi dengan jambul se-coet," Amani membayangkan rupa kepada mummy Zafran. Itukan typical look untuk mak datin?

    Pembantu rumah yang sedang meneguk air tersedak tiba-tiba. Amani mengusap belakang badan dengan tangan kiri. Wajah wanita tersebut merona kemerahan.

    "Makcik tak apa-apa?" Amani cemas seketika.

    "Makcik okay. Amani makan lah cepat. Nanti Zafran turun dimarahnya pula kalau lambat," pembantu rumah menghulurkan pula segelas sirap merah. Amani meneruskan kembali suapan. Ada betulnya kata wanita tersebut, lebih baik lekas-lekas makan dan tunggu di dalam kereta sebelum Zafran turun. Seboleh mungkin Amani mahu mengelak dari mencetuskan kemarahan lelaki tersebut selepas peristiwa hitam di restoran tengah hari tadi.

    Amani selamat berada di dalam perut kereta apabila Zafran sudah bersiap. Amani memerhatikan Zafran yang sudah berbaju kasual. T-shirt tanpa kolar berwarna hitam dipadankan dengan seluar pendek bermuda coklat terang. Memang mengancam!

    Kelibat pembantu rumah yang muncul dari balik pintu menarik perhatian Amani. Amani melambai ke arah wanita yang dipanggil 'makcik' itu. Pembantu rumah itu membalas lambaian Amani dengan senyuman lebar. Kemudian satu peristiwa yang luar biasa telah berlaku dan menyebabkan jantung Amani berdetak dengan cukup laju.

    Amani melihat Zafran menyalami kedua belah tangan wanita itu. Diikuti pula dengan tiga kucupan di kiri kanan pipi dan dahi. Dan kedengaran dengan jelas sebaris ayat yang terlafaz dari mulut Zafran.

    "Zaf, pergi dulu Umi,"

    Tangan Amani yang ligat melambai sebentar tadi terus kaku. Kejung. Wajah Amani pucat lesi tatkala Zafran duduk di tempat pemandu. Badannya jadi seram sejuk apabila mengenangkan butir bicara mereka tadi. Jambul se-coet?

    "Umi saya kirim salam," Zafran bersahaja sambil menghidupkan enjin kereta. Amani memberanikan diri menoleh semula ke arah 'pembantu rumah' aka Umi Zafran. Dilihatnya wanita itu masih melambai ke arahnya. Sebaris senyuman yang menghiasi bibir wanita itu cuba ditafsir oleh Amani. Senyuman sinis atau senyuman ikhlas? Amani berperang di dalam hati. Dalam dilema, tangan kerasnya kembali melambai ke arah wanita itu.

    'Ya Allah, apa aku dah buat kali ni?' Amani menjerit di dalam hati.


 

*        *        *        *        *        *

    "Saya akan hantar awak pergi Kursus Kesetiausahaan di Port Dicksons selama seminggu. Awak akan belajar banyak benda nanti. Especially tentang etiquette, table manners. Nasib baik lah bukan pisau yang terbang tadi," Zafran memecah kesunyian. Pandangan matanya tertumpu ke arah pemanduan di atas jalan raya.

    Amani terkejut dengan berita yang tidak disangka-sangka. Pergi kursus? Seminggu? Amani mengeluh perlahan.

    "Kenapa awak mengeluh? Tak suka? Tak nak pergi?" Zafran menduga.

    "Eh, tak lah Encik Zafran. Ini kan sebahagian dari tuntutan kerja. Cuma..." Amani mengatup bibir. Berkira-kira sama ada mahu meneruskan kata-kata atau pun sekadar mendiamkan diri. Zafran memberhentikan kereta di bahu jalan secara tiba-tiba. Tindakan spontan Zafran mengejutkan Amani.

    "Cuma apa? Cuba awak cakap habis-habis. Saya tak suka la orang cakap tergantung ni," Zafran memandang Amani. Perkara yang bermain di fikiran Amani cuba ditafsir.

    "S..Se.. Sebenarnya saya bercadang nak ambil cuti rehat dua haribulan Mei nanti," dalam takut-takut Amani menuturkan kata.

    " Nak buat apa cuti rehat?" Zafran bertanya. Rasa curiga dan ingin tahu sukar dikawal.

    "Nak balik kampung kat Perak. Ada kenduri kahwin. Tapi kalau tak boleh tak apa lah," Amani sudah panas punggung. Tidak senang duduk dibuatnya apabila Zafran memandangnya begitu rupa.

    "Siapa nak kahwin? Awak?" dada Zafran bergetar hebat. Mana lah tahu kalau-kalau Amani memang punya kekasih di kampung.

    "Eh, bukan saya. Sepupu saya yang nak kahwin," jawapan Amani melegakan keresahan Zafran.

    "OK. Lepas kursus tu awak boleh sambung terus cuti sampai dua haribulan. Tapi esok awak kena isi borang cuti dulu. Tahu?" Zafran tersenyum kecil melihatkan Amani yang mengangguk laju.

    Zafran meneruskan pemanduan dengan senang hati. Tujuan dia menghantar Amani mengikuti kursus adalah supaya mereka dapat berjauhan untuk sementara waktu. Sekurang-kurangnya dalam tempoh tujuh hari itu dapatlah dia meneutralkan kembali rasa yang semakin mekar menakluki hatinya saat ini. Dia yakin usaha ini akan membuahkan hasil!

    ZAFRAN memberhentikan kereta di hadapan lobi Apartment Damai. Sengaja dia menghantar Amani terus pulang ke rumah kerana waktu pejabat pun sudah tamat.

    "Terima kasih encik," Amani sudah membuka pintu kereta. Jimat sudah duitnya dari membayar tambang tren. Amani sudah memalingkan badan untuk keluar dari kereta apabila Zafran menyeru namanya. Zafran mencapai sesuatu dari tempat duduk belakang.

    "Nah, ambil ni. Cuci sampai bersih!" Zafran menghulurkan kemeja putih yang dipakai tengah hari tadi. Wajah terkejut Amani ditatap lama. Zafran sudah mengekek di dalam hati.

    Lambat-lambat Amani menyambut huluran kemeja putih itu. Hendak membentak dia tidak berani. Lagipun memang salah dia mengotorkan baju tersebut. 'Tak apalah, basuh sajalah sampai bersih', Amani memujuk diri.

        Yang penting hatinya kepalang gembira apabila cuti rehatnya telah diluluskan oleh Zafran. Rancangan untuk pulang ke kampung bersama Syuhada sudah pasti berjalan lancar! Sawah padi yang terbentang luas, anak sungai yang mengalir deras, serta wajah emak dan adik-adik sudah terbayang-bayang di ruang mata Amani. Seminggu di Port Dicksons, dan selepas itu dia boleh bercuti dengan tenang!

    Bersambung!:)

    


 


 

    

6 comments:

  1. Xpuas bace,smbg cpt Ye cik penulis..

    ReplyDelete
  2. besh..besh...cpt sambung yek...x sabar ni

    ReplyDelete
  3. liya,, just nak share..
    dari awal am da suspect yang amani igt bibik tu adelah ummi zafran.. ;)
    overall best!
    n am seboleh2nya bayangkan si zafran ni adelah aaron aziz, bukannya adi putra! haha.. teruk kann..
    lepas ni kena tukar bayangan.. nak tukar bayangkan laki sendiri..
    hahaha..
    dasyat cerita liya ni boleh buat orang gila bayang..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ooohhhh..peminat aaron aziz la am ni!
      liya suka adi putraaaa!
      hahahaha...

      ingat nak beri gambaran Z utk watak Zafran!
      hahahaha:p

      Delete