Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, June 14, 2012

Bab 16

    "Kenapa ni Encik Zafran? Kena patuk ular ke?" Amani sudah tercungap-cungap ketika duduk di tepi Zafran. Wajah Zafran yang berkerut-kerut ditatap lama. Sakit benar agaknya. Mungkin bisa ular itu sudah mula menjalar di segenap urat saraf Zafran.

    "Tolong saya Amani! Tolong buang benda tu dari kaki saya!" Zafran menunding ke arah lintah gemuk yang sudah kenyang menghisap darah pada batang betisnya. Bahu Zafran terhinggut-hinggut menahan kegelian. Syuhada yang baru duduk di sebelah Amani sudah ketawa besar bagai orang gila. Tangannya sudah menepuk-nepuk tanah. Langsung tidak dipedulikan perubahan rona di wajah Zafran ketika itu. Amani juga sudah join sekaki mentertawakan Zafran.

    "Stop laughing! Please get that thing off me! Now!" Zafran meninggikan suara. Rasa bengang, malu dan geli-geleman sudah bersatu. Ranting kayu di tepi kaki diambil dan ditunjal kepada badan lintah yang kenyal itu. Namun lintah degil itu tetap tidak mahu melepaskan gigitan di betisnya.

    "Ish, anak manja ni! Bukan macam tu lah cara nak buang lintah!" Syuhada merampas ranting tersebut dari tangan Zafran lalu dipatah dua. Wajahnya tiba-tiba bertukar serius.

    "Aku boleh tolong kau. Tapi sila berjanji yang kau takkan buli Amani lagi! Kalau tak aku biar je lintah tu hisap darah kau sampai kering!" jari telunjuk Syuhada sudah ditala ke arah Zafran. Amani yang terkejut dengan ancaman Syuhada terus mematikan tawa. Entah berapa kali dia menyiku lemak di perut Syuhada. Tapi sahabatnya itu buat muka sardin.

    "Eh, main ugut-ugut pulak! Korang nak tolong ikhlas ke tak? Amani, saya potong gaji awak nanti! Baik awak cabut lintah tu sekarang," mata Zafran sudah mencerlung memandang Syuhada dan Amani silih berganti. Berani sungguh budak perempuan ini menggugutnya!

    Syuhada menyentap tangan Amani supaya meninggalkan Zafran. Anak orang kaya yang selalu membuatkan kawan baiknya menitiskan air mata itu perlu diajar! Kalau di Kuala Lumpur memanglah dia boleh menunjukkan kuasa. Tapi kini mereka di kampung halaman sendiri. Syuhada tidak akan membiarkan Zafran terus-terusan membuli Amani.

    Zafran terkesima dengan tindakan nekad Syuhada. Zafran merengus kasar. Dia bukan takutkan lintah. Cuma dia benar-benar geli ingin menyentuh badan lintah yang lembab dan kenyal itu.

    "Okay, okay. Aku janji..." suara Zafran antara dengar dan tidak di telinga Syuhada.

    "Apa dia?" Syuhada kembali mendekati Zafran yang masih terduduk di tepi bendang. Senyuman kemenangan terpalit di wajah Syuhada.

    "Yelah. Aku janji tak buli kawan kau ni lagi. Sekarang tolong buang lintah tu," Zafran menyuakan kakinya kepada Syuhada.

    "Bagus! Hm, sebenarnya aku pun geli dengan lintah. Amani, kau aje lah yang cabut lintah tu. Lagi pun dia bos kau!" Syuhada menolak Amani supaya dekat dengan Zafran. Amani membulatkan matanya kepada Syuhada. Walau dia anak jati kampung, sudah biasa memanjat pokok serta diseluti lumpur, namun dia memang kalah kepada lintah! Wajah Amani berkerut seribu tatkala tangannya mendekati lintah yang masih enak menghisap darah Zafran.

    "Awak pun takut lintah?" Zafran memandang wajah pucat Amani yang mengangguk laju. Di saat genting begini sempat lagi hatinya mengalun melodi bahagia dengan rancak.

    Amani menguatkan semangatnya. Dia berasa bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kebajikan Zafran yang sedang berada di kampung halamannya. Lagi pun Zafran sudi membaiki atap bocor rumahnya tengah hari tadi. Budi baik harus dibalas! Begitulah amanat emak yang dipegang erat.

    Saat jemari Amani hampir saja menyentuh badan lintah, Amran tiba umpama hero penyelamat dunia. Segenggam garam yang diambil dari rumah ditabur ke atas badan lintah tersebut. Sekelip mata lintah gemuk kekenyangan terjelepok jatuh ke atas tanah. Bekas gigitan berdarah terserlah di betis anak manja itu. Serentak Amani dan Zafran mengurut dada kelegaan.

    "Huh, macam pinang dibelah lapan belas!" Syuhada memberi komen spontan sebaik menyaksikan aksi Amani dan Zafran. Selamba sahaja dia berjalan meninggalkan mereka. Senyuman Zafran melebar tatkala melihat rona merah di wajah Amani.

    "Sayang juga awak pada saya ye? Sampai pucat-pucat muka awak bila tengok saya tadi," kata-kata Zafran disambut gelak halus Amran yang mencuri dengar perbualan mereka.

    "Pucat lagi muka Encik Zafran sebab takutkan lintah," Amani membalas spontan. Bimbang pula dia jika Zafran termakan kata-kata Syuhada sebentar tadi. Entah apa saja yang berada di fikiran majikannya itu nanti. Langkah kakinya dipercepatkan untuk pulang ke rumah.

    "Excuse me! Saya bukan takut ya! Tapi G.E.L.I!" Zafran berteriak kuat. Egonya tercalar dengan kejadian memalukan sebentar tadi. Hilang dua puluh peratus kemachoannya!

    AMANI membetulkan bantal di kepala. Mulutnya tidak habis-habis mengomel kegeraman. Saat-saat indah percutian bersama ahli keluarga bagaikan tergugat dengan kehadiran makhluk bernama Zafran yang masih enggan pulang ke Kuala Lumpur. Malah dengan tidak malu Zafran yang mempelawa diri sendiri untuk makan malam di rumahnya. Dasar muka tembok!

        

    Amani mencebikkan bibir. Dia mula berasa tidak senang dengan sikap serta tindak-tanduk Zafran yang cukup mencurigakan. Kemesraan yang luar biasa ditunjukkan kepada emak serta adik-adiknya. Memang sukar dipercayai! Lepas solat Maghrib tadi Zafran sibuk mengajar Amira mata pelajaran Matematik Tambahan. Bukan main suka lagi Amira apabila dibantu oleh Zafran. Senyumannya sudah sampai ke telinga! Iyalah, klon Adi Putra katanya!


 

    Sangkaannya selepas makan malam Zafran akan meminta diri untuk pulang. Namun emaknya pula mempelawa Zafran bermalam di rumah mereka. Emak memang begitu. Kalau sekali orang berbudi kepadanya, sepuluh kali emak akan membalas budi tersebut. Kalau lah emak tahu bagaimana layanan sebenar Zafran kepada dirinya, pastinya dialog tersebut tidak akan terucap...


 

    "Tidur di sini aje lah Zafran. Dah lewat nak balik ni. Tapi rumah mak cik ni tak berapa selesa lah. Tak tahulah Zafran sudi atau tak..." begitulah bunyi lirih suara emak sewaktu menghidangkan kopi Che' Nah kepada Zafran. Naik berdesing telinganya sewaktu mendengar pelawaan emak pada waktu itu.


 

    "Eh, Encik Zafran mana biasa tidur di pondok buruk macam ni mak. Tak selesa nanti. Atap zink rumah kita ni waktu siang panas menyengat, waktu malam pula sejuk membeku. Bukan macam aircond yang boleh di control. Encik Zafran allergic kalau terlampau sejuk!" pantas sahaja dia mencelah waktu itu. Andaiannya, Zafran mungkin segan untuk menolak pelawaan emaknya. Jadi dia sudah membuka jalan keluar terbaik untuk Zafran berkata 'tidak'.

    "Eh, saya lagi suka tidur sejuk-sejuk macam ni. Air cond semula jadi kata orang! Kalau mak cik tak keberatan, boleh lah saya menumpang tidur kat sini malam ni. Lagipun esok Amani nak balik KL kan. Boleh lah kami balik sekali," lancar sahaja mulut Zafran menuturkan idea. Sempat pula tu dia mengenyitkan mata kepada Amani yang sudah berkerut kening.


 

    "Elok sangat lah tu Zafran. Amani dengan Syuhada pun belum beli tiket bas. Mak cik pun bukan suka sangat mereka balik naik bas. Risau aje bila selalu sangat tengok berita pasal pemandu bas yang cuai..." kata-kata emak yang seterusnya tenggelam di pendengaran Amani. Keramahan emak dan Zafran berbual mendatangkan rasa cemburu yang bukan sedikit. Dia sudah merancang untuk bermanja dengan emak sebelum berangkat pulang esok hari. Tapi nampak gayanya emak lebih seronok melayan Zafran berbual. Habis segala makanan yang ada dijamu kepada Zafran.


 

    Oleh sebab itulah awal-awal lagi dia sudah terperuk di dalam bilik. Keikhlasan Zafran benar-benar diragui saat ini. Egonya yang melangit tinggi setiap kali berdepan dengan Amani bagaikan hilang semenjak menjejakkan kaki di bumi Kampung Kepayang. Berpura-pura begini untuk apa? Apakah rancangan yang bermain di fikiran Zafran? Amani tertidur ketika mencari jawapan yang tidak pasti.


 

    *        *        *        *        *        *


 

    Beg baju serta buah tangan dari kampung sudah memenuhi ruang kereta mewah Zafran. Mentang-mentanglah ada driver, Syuhada mengambil peluang yang ada untuk mengangkut segala keperluan diri untuk dibawa pulang ke rumah sewa. Pandangan mata serta wajah Amani yang tidak ceria sedikit pun tidak terkesan di hati Syuhada.


 

    "Jaga diri elok-elok ya Amani. Jangan tinggal solat. Selalu baca ayat Kursi, selalu telefon mak tau..." Amani menyeka air mata yang mengalir di mata emaknya. Hatinya turut tersentuh dan berasa hiba. Namun dia berasa segan untuk mengalirkan air mata di hadapan Zafran yang tegar menjadi pemerhati sejak tadi.


 

    "Ye, mak. Mak pun jaga kesihatan. Jangan buat kerja berat. Hujung bulan nanti Amani kirim duit. Korang jangan nak bergaduh aje tau! Tolong tengok-tengokkan mak ni. Apa-apa cepat call kakak," matanya beralih ke arah Amira dan Amran yang baru lepas bercakaran berebutkan duit sepuluh yang dihulurnya tadi. Nilai sekecil itu memberi impak yang cukup besar buat dua beradik itu.


 

    Zafran terlebih dahulu sudah masuk ke dalam kereta. Drama sebabak di depan mata mengundang pelbagai rasa di hati lelakinya. Segala persepsi buruk tentang Amani yang dirangka oleh mindanya dahulu bagaikan terlerai satu persatu. Perasaan yang bermukim di hati sejak sebulan lalu semakin sukar diusir pergi. Dengan rela dia membiarkan rasa itu kekal di situ.


 

    Sepanjang perjalanan tiga jam setengah itu, entah berapa ratus kali Zafran mencuri pandang pada wajah Amani dari cermin pandang belakang. Dengkuran Syuhada yang enak diulit mimpi sedikit pun tidak menggugat konsentrasinya meneliti wajah Amani yang turut lena tidur di kerusi belakang. Malahan dia berasakan terlalu dekat jarak antara Kuala Kangsar dan Kuala Lumpur. Tidak puas dia meluangkan masa bersama gadis itu!


 

    "Best jugak sembang dengan Zafran kan!" Syuhada membuka mulut sebaik mereka memasuki rumah sewa. Kepenatan mengangkat beg dan barang-barang masih bersisa di segenap otot Amani. Amani malas mahu memberikan respons kepada komen Syuhada. Bimbang dijadikan bahan oleh Syuhada untuk mengenakan dia semula. Namun jauh di sudut hati, dia akui Syuhada dan Zafran cukup sekepala ketika berbual di dalam kereta tadi; sebelum Syuhada tertidur berdengkuran.


 

    "Aku rasa kan, sebulan dua lagi Zafran datang lagi ke kampung kita," Syuhada menyambung bicara tatkala melihat Amani sekadar mendiamkan diri. Senyuman penuh makna terukir di wajahnya.


 

    "Buat apa? Aku rasa lepas ni mesti dia serik nak masuk mana-mana kampung dah! Kau tak nampak macam mana pucatnya muka dia bila kena gigit lintah semalam? Macam orang nak putus nyawa," Amani tergelak kecil mengenangkan peristiwa itu. Wajah pucat Zafran terbayang di layar ingatan. Comel juga!


 

    "Aku nampak lebih dari tu, Amani. Aku nampak ada bunga-bunga cinta yang baru hendak berputik pada mata Zafran tu! Aku nampak rasa bahagia yang dikaburi ego yang tinggi! Aku nampak keinginan yang membara! Jadi mengikut rumusan aku, tak lama lagi mesti dia bawa rombongan meminang ke kampung kita," Syuhada berucap penuh perasaan. Siap dengan aksi tangan untuk menambah gimik.


 

    "Kau ni dah macam nujum mak belalang! Suka hati kau lah nak cakap apa pun. Aku nak masuk mandi dulu. Dah melengas badan," Amani melepaskan tawa dari bibirnya. Dengan pantas dia menuju ke bilik mandi. Kata-kata Syuhada itu, walau pun disambut dengan gelak tawa dan wajah selamba, namun cukup meninggalkan kesan di hati Amani.


 

    Amani menutup pintu bilik air. Tubuhnya disandarkan pada belakang pintu. Kedua telapak tangannya ditekapkan pada dada yang dilanda debaran menggila. Bayangan wajah Zafran yang ditangkap sedang memerhatikannya dari cermin pandang belakang kembali menari-nari di hadapannya. Bukan sekali, malah berkali-kali pandangan mata mereka bertemu!


 

    'Bunga-bunga cinta? Zafran suka kat aku?' Amani tersenyum seorang diri. Bohonglah jika hatinya tidak terusik dengan kehadiran Zafran. Namun siapalah dia jika hendak dibandingkan dengan wanita pilihan seperti Arisya? Spontan Amani menggeleng-gelengkan kepala. Mati hidup semula pun dia tidak percaya. Kemesraan Zafran ini mesti didalangi agenda tertentu yang lambat-laun pasti diketahui juga! Amani membasahkan muka. Dia ingin bangun dari 'mimpi indah' yang tidak mungkin menjadi kenyataan!


 

Bersambung! :)

7 comments:

  1. Owh misi balas dendam zafran da ilang la ek.. Ekkekeke..
    Ko ni amani.. Tggu je apa tindakan zafran seterusnya ;p

    ReplyDelete
    Replies
    1. hai mizz acu!
      jadi pengkomen pertama!
      hihi...
      tq masih sudi follow cite Amani n Zafran!

      Delete
  2. ala apasal zafran x kasi dwit dkt bakal adi2 ipar dia tu... kesian dorg berebut dwit sepoloh henget.... ala kesian la amni ni, gila daif idup

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ala zawani, lepas nih zafran sponsor tiap2 bulan...
      Yang penting adik2 dia kena hasut la kakaknya tuh untuk ngorat bakal tabung ayam diorag...
      Kalau x melepas lar nak dapat dana...

      Delete
  3. Nampaknya semalam mendung la kat kg amani, bulan x da...

    2 bulan lama sangat tu, agaknya ramalan syuhada x tepat...
    Minggu depan jer zafran dah bawa orang gaji indo tuh ke kg amani...
    Nak buat projek besar kat situ, membina masjid...

    ReplyDelete
  4. keke,.Zaf dh makin tersuka kt Amani hehe

    ReplyDelete
  5. comelnya komen semua!!!
    terima kasih sebab setia mengikuti perkembangan amani dan zafran!

    ReplyDelete