Orang Cantik dan Orang Hensem

Wednesday, June 20, 2012

Bab 17



            SUDAH empat belas kali Datin Nuraina menjeling jam di dinding. Sejak pulang dari usrah di Masjid Al-Taqwin, dia belum menjamah walau sesuap nasi. Seleranya mati. Hatinya runsing tiada ketenangan. Fikirannya kacau akibat terganggu dengan peristiwa petang tadi. Bayangan wanita yang muncul di rumahnya masih bermain-main di fikiran. Kata-kata yang keluar dari bibir wanita itu juga masih terngiang-ngiang di telinganya hingga ke saat ini. Hatinya kembali berdebar kencang!

            “Ish, mana pulak perginya anak awak ni tak reti-reti nak balik? Dah tengah malam dah ni!” Datin Nuraina menghempaskan badan di atas sofa berbentuk L buatan Itali. Rasa marah dilepaskan kepada si suami yang ralit menghadap television.

            “Sekejap lagi Zaf balik lah tu. Cuba awak bawa bertenang. Pergi makan dulu. Sedap juga lauk rendang yang Lestari masak,” Dato’ Mustapha cuba memujuk hati isteri yang tidak keruan.

            “Saya dah hilang selera makan ni bang. Abang tu lain lah, boleh duduk goyang kaki macam tak ada apa-apa masalah. Abang tak risau pasal Zaf ke?” dada Datin Nuraina kembali berombak. Kesal dia melihatkan sikap suami yang bagai acuh tidak acuh dengan musibah yang bakal menimpa keluarga mereka.           

Dato’ Mustapha menjeling ke arah isterinya. Arif benar dia dengan perubahan sikap wanita yang sudah dikahwini hampir tiga puluh tahun itu. Cerita yang disampaikan oleh Datin Nuraina petang tadi memang agak mengganggu fikirannya. Bohonglah jika hati seorang bapa tidak terkesan dengan cerita itu. Bezanya dia masih mampu mengawal perasaan.

“Kita belum tahu niat sebenar dia datang nak berjumpa Zaf. Awak pun satu. Budak tu baru nak buka mulut awak dah cantas setiap ayat dia. Macam mana kita nak tahu perkara sebenar?” Dato’ Mustapha menuturkan kata dengan berhati-hati. Bimbang pula api kemarahan isterinya akan bertambah membara.

“Nak dengar cerita perempuan tu? Jangan harap lah saya nak percaya sepatah pun cakap dia. Abang tak ingat apa dia dah buat pada Zaf? Pada keluarga kita? Saya...” Datin Nuraina tidak meneruskan kata-kata tatkala telinganya menangkap bunyi enjin kereta yang memasuki laman rumah. Bingkas dia bangun dan menuju ke pintu.

“Kenapa lambat balik ni Zaf? Tahu tak Umi dan Walid dah lama tunggu Zaf?” Datin Nuraina tidak menunggu lama sebaik wajah Zafran tersembul dari balik pintu.

“Assalammualaikum. Kenapa ni Umi? Kan Zaf memang selalu balik waktu ni kalau pergi main futsal? Umi dengan Walid dah makan? Zaf nak naik mandi dulu lah ya,” Zafran menyalami kedua ibu bapanya. Adab yang dipraktikkan sejak dahulu lagi.

“Tak payah nak mandi-mandi. Duduk dulu kat sini. Umi dengan Walid ada perkara nak bincang dengan Zaf,” Zafran mengesan ketegasan dari suara uminya. Keningnya terjungkit memandang Walid yang buat muka seposen.

“Ada apa ni Umi? Apa yang penting sangat ni?” Zafran duduk di sisi Datin Nuraina. Tangannya mengusap lembut belakang umi yang kelihatan tidak tenang. Hatinya turut dipalu kerisauan kalau-kalau ada berita kurang enak tentang adiknya yang menuntut di United Kingdom.

“Ha, apa tunggu lagi bang. Bagitahu lah pada Zaf,” Datin Nuraina pass baton kepada suaminya.

“Eh, kita pula. Awak yang beriya-iya. Awak ajelah yang cakap,” Dato’ Mustapha terkejut dengan  permainan isterinya. Tak pasal-pasal dia pula yang diminta menyuarakan tentang perkara itu. Lagipun dari awal dia memang kurang bersetuju dengan cadangan isterinya yang agak tergesa-gesa itu.

Zafran memerhatikan kedua orang tuanya yang saling bermain tarik tali. Jarang benar dia melihat Umi seserius ini. Perkara apakah yang bermain di fikiran mereka?

Okay, awak tak nak cakap biar saya yang cakap. Macam ni Zaf, Umi dengan Walid nak Zaf kahwin!” Datin Nuraina melepaskan bom atom di depan Zafran.

“Oh, itu aje? Zaf ingatkan benda apa lah tadi! Memanglah Zaf akan kahwin Umi. Bagi Zaf masa stabilkan hidup Zaf dulu. Paling cepat tahun depan Zaf bagi menantu kat Umi dan Walid!” Zafran melepaskan nafas kelegaan. Ingatkan perkara apa yang besar sangat tadi. Isu kahwin sudah terlalu kerap diperkatakan oleh uminya sebelum ini. Tapi akhirnya isu itu mati begitu sahaja. Zafran sudah mula menapak ke arah anak tangga.

“Tapi Umi nak Zaf kahwin dalam masa terdekat. Kalau boleh bulan depan!” suara Datin Nuraina mematikan langkah Zafran. Wajah uminya ditatap lama. Menunggu kalau-kalau uminya akan ketawa tanda bergurau. Namun wajah uminya terlalu serius. Jantung Zafran mengepam lebih laju.

“Kenapa tiba-tiba ni Umi? Zaf belum bersedia nak kahwin. Bagi Zaf masa. InsyaAllah tahun depan Zaf bawa calon menantu ke rumah kita ni. Lagipun Umi tahu kan, Zaf mana ada steady girlfriend,” tangan Umi diraih dan diusap lembut.

“Umi tak kira. Kalau Zaf tak ada calon lagi, Umi ada! Yang penting Zaf kahwin,” Datin Nuraina memalingkan wajah. Hati keibuannya tersentuh melihat wajah Zafran yang kelihatan resah. Namun dia yakin ini lah yang terbaik untuk anaknya. Dia hanya mahu melihat Zafran hidup bahagia!

Zafran terkedu di atas sofa. Dia jarang menolak permintaan Umi. Namun permintaan kali ini dirasakan terlalu keterlaluan dan berat untuk ditunaikan. Kahwin bulan depan? Dengan calon Umi yang entah siapa-siapa pula tu! Wajah Qaisara anak Tengku Mariani terbayang di fikiran Zafran. Bukan dia tak tahu, dari dahulu lagi Tengku Mariani menyimpan hajat untuk berbesan dengan uminya. Qaisara memang cantik. Namun sikap manja dan keanak-anakan terlalu menebal dalam diri gadis itu. Obesesinya pada kartun Hello Kitty terlalu tinggi! Dari kereta, pakaian, kasut hingga ke beg tangan semuanya bercirikan Hello Kitty! Malah Qaisara pernah menghadiahkan tali leher corak kartun itu kepadanya! Zafran menggelengkan kepala.

“Zaf tak setuju! Kalau betul Umi nak Zaf kahwin bulan depan, biar Zaf sendiri yang cari calonnya,” Zafran sudah berdiri. Dia perlu tegas dalam menentukan soal masa depannya. Isteri bukan boleh ditukar ganti seperti baju. Zafran mahu satu yang istimewa yang boleh dijadikan teman hidup hingga ke hujung nyawa.

Datin Nuraina kembali panas punggung. Wajah yang hadir petang tadi kembali menghantuinya. Bagaimana jika Zafran memilih perempuan itu sebagai isteri? Sia-sialah rancangan yang telah diatur!

“Tak boleh. Calon menantu pilihan Umi ni calon terbaik. Orangnya lemah lembut, penuh budi bicara. Agamanya ada. InsyaAllah boleh memberikan zuriat yang baik untuk keturunan kita. Zaf dengarlah cakap Umi...” Datin Nuraina mengesat air mata. Dia tahu Zafran akan lemah dengan air matanya.

“Umi, kahwin bukan perkara main-main. Macam mana Zaf nak kahwin dengan orang yang Zaf tak cinta? Kenal pun tidak! Macam mana kalau Zaf tak bahagia? Umi nak bertanggung jawab? Umi bagi lah peluang Zaf cari sendiri calon isteri Zaf,” Zafran mengendurkan suara. Perang psikologi sudah bermula antara Zafran dan Datin Nuraina.

“Siapa kata tak bahagia kalau berkahwin dengan pilihan ibu bapa? Bercinta selepas kahwin bukan benda mustahil. Tengok Umi dengan Walid! Kami kahwin atas jodoh ibu bapa. Alhamdulillah bahagia sehingga sekarang. Restu ibu bapa tu yang penting! Cinta dan sayang boleh dipupuk,” Datin Nuraina masih cuba memancing hati Zafran. Dia tidak boleh kalah!

“Macam mana kalau kita bagi Zaf pilih calon isterinya sendiri. Bawa balik dan perkenalkan dulu pada kita. Kemudian kita buat keputusan,” Dato Mustapha akhirnya bersuara. Dia tidak sampai hati melihat wajah Zafran yang kusut. Memang lah dia hidup bahagia bersama Nuraina, calon ibunya. Namun itu bukan jaminan kebahagiaan bagi Zafran.

Datin Nuraina menjegilkan biji matanya. Suami yang diharap dapat memberi sokongan akhirnya sudah berpaling tadah. ‘Siaplah dalam bilik nanti!’ Datin Nuraina menghantar isyarat mata kepada suaminya.

“Ehem, macamni lah. Awak dengan Zaf dua-dua sudah ada calon kan? Sebagai ketua keluarga, biar saya yang buat penilaian. Siapa nama kedua-dua calon menantu Walid ni?” Dato’ Mustapha membetulkan duduk. Kata putus perlu diberi sebelum berlaku perbalahan keluarga.

“Amani!” serentak nama itu terpacul dari bibir Zafran dan Datin Nuraina.



      *                      *                      *                      *                      *                      *







            ZAFRAN menghempas badan di atas tilam empuk. Matanya sahaja yang tajam merenung siling bilik, namun tumpuannya langsung tidak berlegar di situ. Fikirannya sudah terbang terlalu jauh mengenangkan perdebatan hebat dengan Umi sebentar tadi.  Perdebatan yang berakhir dengan suatu keputusan yang tidak terduga.

            Siapa sangka Uminya telah jatuh sayang kepada Amani? Satu pertemuan yang berlaku hampir tiga minggu lalu rupanya mencambahkan keinginan tinggi untuk bermenantukan Amani! Zafran tersenyum sendiri. Punyalah dia bimbang jika Uminya ingin menjodohkan dia dengan Qaisara. Rupa-rupanya dia dan Umi mempunyai citarasa yang sama. Betullah kata orang, mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi?

            Dari perbincangan ringkas tadi, Umi sudah tidak sabar-sabar untuk melangsungkan majlis pernikahannya. Majlis persandingan boleh dilakukan kemudian apabila adiknya pulang sewaktu cuti semester nanti. Ini bermakna tidak lama lagi dia akan memilikki Amani! Zafran mengusap dada.  Perasaan tidak sabar mengetuk-ngetuk pintu hatinya.

            Tiba-tiba Zafran menepuk dahinya sendiri. Dia tidak pernah meluahkan perasaan kepada Amani. Bagaimana dia begitu yakin bahawa dia tidak bertepuk sebelah tangan? Bagaimana jika Amani menolak lamarannya? Lebih parah lagi jika Amani mengambil langkah drastik dengan meletakkan jawatan dari Megah Holdings. Manik-manik peluh sudah mula kelihatan di dahi Zafran. Dia berasa seram sejuk.

            Perkahwinan bukan melibatkan dia seorang. Tetapi melibatkan dua jiwa. Jiwanya dan jiwa Amani! Jiwanya memang sudah terang-terang rela diserahkan untuk Amani. Namun sudikah Amani mempersuamikan dia yang selalu bersikap kejam sepanjang perkenalan mereka? Zafran mengeluh berat.

            Dia perlu mencari jalan untuk menawan hati Amani secepat mungkin. Tambahan pula Umi sudah berangan jauh hendak menghantar rombongan meminang ke Kampung Kepayang. Masalahnya Amani adalah seorang wanita yang terlalu berbeza daripada wanita-wanita yang pernah dikenalinya dahulu. Kalau Arisya atau Irine, mudahlah dia menaburkan wang ringgit untuk mendapatkan persetujuan!

            Tetapi hatinya sudah ditawan oleh adalah Amani Ahmad. Walaupun naif dan dan berhati lembut, namun Zafran sangat pasti jalan penuh ranjau perlu dilalui untuk memiliki sekeping hati itu. Bayangan Fahim yang masih cuba-cuba mendekati Amani terbias di ruang ingatannya. Zafran membulatkan tekad.  Walau apa pun yang terjadi, Amani mesti dimiliki! Zafran terlena dalam mimpi yang ditemani Amani.

 KALAU dari awal disebut nama Amani tadi kan senang? Tak perlu nak berbalah anak- beranak!” Dato’ Mustapha melepaskan tawa. Senaskah tafsir Al-Quran diletakkan di atas meja sisi. Matanya mengekori kelibat Datin Nuraina yang sedang menempek krim di wajah. Walaupun sudah separuh abad, namun kejelitaan isterinya masih seperti dahulu!

“Mana lah saya tahu yang Zaf sukakan Amani. Abang tau aje lah sebelum ni Zaf tu suka rapat dengan perempuan jenis macam mana. Jenis tak cukup kain! Alhamdulillah, mujur semuanya dipermudahkan Allah, bang. Lagi cepat Zaf kahwin, lagi senang hati saya. InsyaAllah Amani akan jadi isteri yang baik. Berkenan betul saya dengan budak tu. Nanti abang jumpa dia mesti abang faham apa yang saya cakap,” Datin Nuraina sudah melabuhkan badan di sisi suaminya. Seperti biasa lengan Dato’ Mustapha menjadi bantal pengalas kepalanya.

“Iya lah. Mudah-mudahan tindakan kita ni betul untuk masa depan Zaf. Mudah-mudahan Natrah tak datang menganggu keluarga kita lagi,” Dato’ Mustapha mengucup dahi isterinya penuh kasih. Kedua-dua tangannya ditadah untuk membaca doa sebelum tidur yang diaminkan oleh Datin Nuraina.

Siapakah Natrah? Jangan lupa nantikan sambungan Bab 18 minggu hadapan! :)

14 comments:

  1. wow suspen je bab ni..best best.... haishh tak sabar nak tunggu sambungan.... :)

    ReplyDelete
  2. haha slmt ko Zaf,.seri ngan umi ko hehe

    ReplyDelete
  3. Amani x nak pun...
    Mesti mak ngan adik2 dia nak sangat2...
    Boss yang baik hati datang meminang...

    Lepas nih ada ramailah yang dok kacau amani...
    Sebab dapat cekup jerung besar yang juga cuba dijerat orang lain...

    ~w.t~

    ReplyDelete
  4. best best! suspen pula di situ nyee.
    untungnye amani dapat lelaki yg kacak,kaya.mcm sempurana jee.
    bertuah bertuah. hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. hahaha...
      itu lah...dalam novel boleh la nak demand lelaki sempurna!:p

      Delete
  5. to lya zara

    saya dah baca novel awak ni dari bab 1 hingga 16, serius best!!!
    teruskan berkarya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama2.. :)
      jemput ke blog kita, baca karya kita yg tak seberapa tu hehe :)
      harap sudi :) *mata mengedip2*

      Delete
    2. waaa..iman pon menulis jugak ke?tinggalkan link..lya cube cari tadi tapi x jumpa..
      :)

      Delete
    3. ya..baru je :) *malu*
      alamak lupa pulak nak tggalkan link hehe
      ni link nya ya http://imanlily.blogspot.com/.
      terima kasih lya :)

      Delete
  6. Haha... Citer ni mmg lawak 💕

    ReplyDelete