Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, July 9, 2012

Bab 20


Bab 20

            ZAFRAN merenung kalendar dan meja Amani yang kosong silih berganti. Sudah tiga hari Amani tidak masuk bekerja. Jiwanya resah, hatinya gundah dengan ketiadaan Amani. Tambah menggusarkan adalah jawapan yang masih ditunggu dari mulut Amani. Menerima atau menolak? Walaupun sudah acap kali dipesan pada diri sendiri supaya redha dengan keputusan Amani, namun seboleh mungkin dia mahukan Amani menyarung cincin yang telah diberi.    

            Zafran menghembus nafas berat. Pemandangan dari tingkat sepuluh tidak sedikit pun meredakan perasaannya yang sedang berperang. Sebolehnya dia tidak mahu terlalu mendesak Amani dalam membuat keputusan. Pastinya Amani memerlukan masa untuk memikirkan perkara ini sedalam-dalamnya. Perkahwinan bukan perkara yang boleh dibuat main. Di puncak View Point tiga malam lepas dia sendiri memberikan cuti kepada Amani untuk berfikir membuat keputusan. Fikir semasak-masaknya. Sampai rentung pun tak mengapa.

            Namun apabila Amani menyepi begini, dia menjadi penasaran. Apabila dinilai kembali sikapnya dahulu, dia merasakan dirinya tidak layak untuk mendampingi gadis sebaik Amani. Layanan buruk serta caci-maki yang pernah dilemparkan dahulu bagaikan bergema di segenap ruang otaknya. Kalau dia menjadi Amani, pasti dia berfikir dua ratus juta kali untuk bersuamikan lelaki yang ego tinggi melangit. Zafran mengutuk diri sendiri. Sudah tergambar jawapan yang akan diberikan oleh Amani bila-bila masa sahaja nanti. Hatinya sudah terasa sakit. Penolakan Amani mengundang kekecewaan yang bukan sedikit. Zafran mengusap dadanya. Ah, belum mula bercinta namun dia sudah pun merasa sakitnya putus cinta!

            Tet!Tet!

            Zafran mencapai telefon bimbitnya. Semenjak pagi tadi telefon itu tidak henti-henti berbunyi menandakan pesanan dan email telah diterima. Dengan semangat yang lemah, dia membaca satu persatu pesanan yang memenuhi memori telefonnya. Jantungnya terhenti sesaat tatkala terpandangkan nama Amani. Butang ‘baca’ ditekan dengan jemari yang sedikit bergetar. Gemuruhnya sukar digambar. Bagai pesalah yang menanti hukuman maut!

            Setelah berfikir dengan semasak-masaknya, saya dah bersedia nak berikan jawapan kepada soalan encik. Kalau encik sudi, malam nanti kita berjumpa di hadapan apartment saya. Dalam pukul 9 malam.”

            Hampir sepuluh kali Zafran membaca mesej titipan Amani. Begitu straigh forward. Tiada ayat berbunga seperti yang lahir dari bibirnya tiga malam lalu. Dia sudah dapat meneka jawapan yang akan diberikan oleh Amani malam nanti. Kalau diturutkan rasa hati yang kecewa, ingin sahaja dia berpindah keluar dari Malaysia. Biar dibawa jauh-jauh hati yang terluka. Namun nun di sudut hatinya, dia masih mengharapkan keajaiban. Dia mahu mendengar sendiri jawapan yang keluar dari dua ulas bibir merah itu. Biar sakit, biar terluka, namun sekurang-kurangnya rindu yang menggunung dapat dilepaskan.



            *                      *                      *                      *                      *                      *

            Zafran selesai menunaikan solat Isyak di Madrasah Nurul Iman berdekatan Apartment Damai. Awal-awal lagi dia sudah keluar dari bangunan  Megah Holdings hari ini. Sempat pula dia mandi dan menukar pakaian baru. Manalah tahu, kalau-kalau cair pula hati Amani melihat penampilannya pada malam itu. Selagi terdaya, dia mesti berusaha menambat hati calon menantu pilihan Umi.

            Matanya cepat sahaja menangkap sesusuk tubuh Amani yang sedang berdiri di tepi laluan masuk. Ah, dalam lautan manusia pun matanya akan cepat mengesan kelibat Amani. Bagaikan ada tarikan magnet antara keduanya. Zafran menapak menghampiri Amani dengan debaran di dada.

            “Assalammualaikum,” Amani memalingkan tubuh sebaik mendengar ucapan salam dari Zafran. Sama seperti Zafran, dadanya juga berombak kencang semenjak tiga malam yang lepas. Sikit lagi nak kena sakit jantung.

            “Waalaikumussalam. Encik dah makan? Kalau belum, jom kita makan kat situ. Boleh?” mata Zafran menyorot ke arah kedai tepi jalan yang dimaksudkan Amani. Walau pun jarang-jarang dia makan di kaki lima, tetapi demi Amani dia tidak kisah. Pantas kepalanya menggangguk tanda setuju.

            Amani dan Zafran kehilangan kata-kata sebaik pelayan pergi selepas mengambil pesanan.  Lidah bagaikan kelu tidak terkata. Mulut bagaikan digam Uhu. Sama-sama tidak tahu memulakan bicara. Zafran mencuri pandang ke arah jemari Amani. Jari manisnya kosong! Tidak kelihatan cincin pemberiannya di mana-mana jari lain juga. Zafran beristigfar di dalam hati. Menyeru kekuatan semangat yang semakin menipis. Kalau boleh, ingin sahaja dia balik menangis di atas riba Uminya!

            Amani mengeluarkan kotak cincin berbentuk hati pemberian Zafran. Sudah puas dibeleknya cincin tersebut selama beberapa hari. Kemilau berlian tersebut sedikit pun tidak mempengaruhi keputusan hatinya. Keputusannya dibuat selepas melakukan solat istikharah selama tiga malam berturut-turut. Jadi keputusan ini adalah kerana Allah. Perlahan-lahan kotak tersebut ditolak kepada Zafran.

            “Encik ambil lah semula cincin ni. Saya rasa bukan...”

            “Tak pe. Saya faham Amani. Saya tahu saya dah banyak melukakan hati awak. Saya tak layak untuk awak. Saya faham. Tapi cincin tu saya beli untuk awak. Saya nak awak simpan. Kalau tak nak, awak buang ajelah tepi jalan,” Zafran mencantas ayat Amani lekas-lekas. Dia tidak sanggup mendengar kata-kata yang seterusnya. Senyuman pahit terukir di wajah kacak Zafran. Cuba dikaburi bisa yang berdenyut di hatinya.

            “Encik, cuba dengar dulu penjelasan saya,” Amani serba-salah melihat sepasang anak mata Zafran yang sudah merah. Menangiskah lelaki itu jika ditolak cintanya?

            “Saya okay. Saya faham. Soal hati tak boleh dipaksa...” kata-kata Zafran lebih kepada usaha untuk memujuk hatinya sendiri. Wajahnya dipalingkan dari tatapan mata Amani.

            “Degil betul lah encik ni. Cuba lah dengar cakap saya dulu. Saya pulangkan cincin ni sebab bukan begini cara yang sepatutnya. Saya nak encik bawa cincin ni masa jumpa emak saya kat kampung nanti. Bawa rombongan meminang!” Amani merengus geram. Hampir lapan bulan bekerja dengan Zafran, inilah kali pertama dia dapat menzahirkan rasa marahnya. Suaranya yang sedikit keras mengundang pandangan dari meja sebelah.

            Zafran membulatkan matanya ke arah Amani. Bagaikan sukar mempercayai kata-kata yang lahir dari mulut gadis itu sebentar tadi. Rombongan meminang?

            “Ma..maksud awak? Awak terima? Awak sudi kahwin dengan saya?” Zafran merenung anak  mata Amani dalam-dalam. Mata Zafran yang tadinya layu tidak bermaya kini kembali bersinar seperti iklan Innershine.

            “Hmm. Iye Encik Zafran. Saya sudi. Tapi biarlah mengikut adat. Encik hantarlah wakil rombongan ke rumah saya. Saya dah cerita pada emak. Emak minta tetapkan tarikh untuk meminang,” Amani tertunduk malu saat itu. Bagai sukar dipercayai yang dia akan berkahwin dengan majikannya sendiri. Lelaki kacak yang berjiwa singa! Aduh, indahnya ketentuan yang ditetapkan Allah!

            “Tapi saya ada satu syarat!” kata-kata Amani kembali mengundang reaksi di wajah Zafran. Zafran berdoa agar Amani tidak menetapkan syarat yang bukan-bukan seperti lagenda Puteri Gunung Ledang. Kalau tidak kempunanlah Datin Nuraina bermenantukan Amani.

            “Apa dia syaratnya sayang?” Zafran mengenyit mata ke arah Amani. Suka benar melihat Amani yang kalut apabila diusik begitu.

            “Err...saya tak nak bercinta sebelum kahwin. Jadi tak ada istilah couple dalam hubungan kita selepas ini ya. Anggap saja pertunangan sebagai tempoh untuk mengenali hati budi,” Amani menetapkan syaratnya kepada Zafran. Memang itu pendiriannya sejak dahulu lagi.

            “Sayang, saya rasa dah cukup kenal peribadi awak. Yang selebihnya kita kenal selepas kahwin. Dan saya nak awak tahu, kita bertunang paling lama pun sebulan je tau. Lepas tu terus majlis nikah,” Zafran bersuara selamba. Hatinya sudah kembang semangkuk. Tidak pernah dia merasa sebahagia ini sepanjang dua puluh tujuh tahun hidup. Kalau ditumbuk pun dia pasti tetap tersenyum. Begitulah bahagianya hatinya saat ini.

            “Bulan depan? Kenapa cepat sangat?” Amani hampir tercekik Char Keow Teow yang dimakannnya. Kalau Zafran itu perempuan, sudah tentu dia akan berasa syak wasangka. Selalunya perempuan yang kelam-kabut hendak berkahwin jika ada perkara yang hendak disorok. Tetapi Zafran ini lelaki. Apa yang dikejarkan sangat?

            “Saya tak nak kita buang masa. Cinta dan bahagia akan datang selepas kita kahwin. Lagi pun banyak pahala yang suami dan isteri boleh dapat. Saya dah tak sabar nak rasa semua tu. Lepas kahwin nanti awak boleh sambung belajar. Tak perlu kerja macam ni lagi,” pandangan Zafran memanah tepat ke arah Amani.

            “Saya tak cukup duit lagi nak sambung belajar, encik. Emak dan adik-adik pun di bawah tanggung jawab saya,” Amani bersuara perlahan. Adakah Zafran tidak mengerti tentang masalah kewangan keluarganya? Persiapan kahwin bukan bernilai seribu dua, tetapi menelan belanja yang besar. Habis bergolok-gadai pun belum tentu cukup untuk menampung perbelanjaan wang kenduri.

            “Soal duit awak jangan risau. Awak, adik-adik dan emak semuanya bawah tanggung jawab saya mulai sekarang. Selagi saya mampu, saya akan usaha berikan yang terbaik untuk keluarga kita. InsyaAllah,” Amani menahan sebak di dada. Ketulusan Zafran dapat dirasainya tatkala ini. Sesungguhnya soal jodoh itu adalah rahsia terbesar milik Allah. Dia percaya Allah telah menganugerahkan lelaki yang terbaik untuk memimpin dirinya.

            Selesai menjamah makanan, Amani menemani Zafran ke kereta yang diparkir di kotak VIP Apartment Damai. Mudah sahaja Zafran mendapat layanan istimewa di kalangan pengawal di situ.

            “Betul awak nak balik naik bas?” Zafran membangkitkan kembali topik yang sama. Selesai menjamah makanan tadi, Zafran telah menetapkan hujung minggu nanti sebagai tarikh pertunangan mereka. Jadi Amani bercadang untuk pulang ke kampung membantu persiapan majlis secara ringkas.

            “Iya Encik Zafran. Saya dah biasa naik bas. Encik jangan risau. Nanti setiap setengah jam saya akan call,” Amani mengulang jawapan yang sama. Amani berasa tidak manis untuk mereka pulang ke kampung berdua-duaan. Nanti apa pula yang dikatakan oleh orang kampung. Tambahan pula mereka akan bernikah dalam masa terdekat. Pastinya mulut joyah-joyah di kampung akan menjadikan berita perkahwinannya sebagai isu sensasi.

            “Baik. Setiap setengah jam sayang mesti call tau. Saya tunggu,” Zafran tersengih melihat kerutan di dahi Amani setiap kali dipanggil ‘sayang’. Mujurlah syariat masih membataskan. Kalau tidak memang ditarik-tarik hidung Amani yang mancung itu.

            “Saya naik dulu ye. Encik pun jaga diri tau. Orang kata bila berdarah manis ni kena selalu berhati-hati. Assalammualaikum,” Amani sudah mula melangkah memasuki kawasan Apartment Damai. Tidak sabar rasanya untuk menyembamkan wajahnya yang hangat memerah setiap kali dipanggil ‘sayang’.

            “Sekejap, Amani,” Zafran menarik hujung baju Amani, memaksa Amani berpaling semula ke arahnya.

            “Terima kasih terima saya. Terima kasih banyak-banyak, sayang. Saya janji saya akan bahagiakan awak. Saya takan sia-siakan kepercayaan awak. Saya betul-betul sayangkan awak,” Zafran menatap anak mata Amani yang sudah basah. Perasaan sebak sudah menguasai dirinya.

            “Terima kasih juga sebab pilih saya. InsyaAllah, saya pun akan cuba bahagiakan encik,” Amani mengungkap janji. Ada banyak lagi yang ingin dikatakan, namun sekadar tersekat di kerongkongnya. Tidak mengapalah, kata-kata sayang dan cinta boleh diungkapkan sebulan dari sekarang. Selepas Zafran berjabat tangan tok kadi.

            Amani melangkah masuk ke rumah dengan senyuman paling manis terukir di wajah. Usikan Syuhada tidak diambil pusing. Dia tahu sahabatnya itu menjadi penghuni setia di balkoni semenjak tadi. Bukan dia tidak perasankan kelibat Syuhada dari tingkap dua belas. Siap melambaikan tangan beberapa kali. Pastinya dia puas mengintip adengan romantis lakonan Amani serta bakal tunangnya. Masin pula mulut sahabatnya itu.

            Amani mengucapkan syukur tanpa henti. Walaupun sukar mempercayai jawapan yang diberi dari solat istikharah, namun dia tetap berlapang dada menerima lamaran Zafran. Kini tahulah dia hikmah di sebalik semuanya. Ketulusan Zafran begitu menyentuh hatinya. Siapa sangka singa sudah bertukar menjadi kucing? Siapa sangka Allah akan membukakan pintu hati Zafran untuk menyunting dirinya sebagai isteri? Siapa sangka Zafran merupakan pemilik kepada tulang rusuknya?

            Amani bertahmid di dalam hati. Dengan pantas dia membersihkan diri dan mengangkat hadas kecil. Ingin ditunaikan solat sunat dua rakaat.

            *                      *                      *                      *                      *                      *

USAI Solat Taubat, Natrah membaca beberapa lembaran dari kitab suci Al-Quran  yang menjadi peneman setianya. Air matanya berjuraian tanpa henti. Di keheningan malam begini, dia merasa cukup rapat dengan Maha Pencipta. Dirinya terasa kerdil dengan kekilafan yang pernah dilakukan dahulu. Dia kesal sekesal kesalnya.

            Jika boleh diputarkan waktu, sudah pasti dia ingin membetulkan segala kesalahan serta kesilapan yang pernah dilakukan. Namun dia hanyalah manusia biasa. Seperti kebanyakan manusia yang lain, dia hanya mampu hidup dalam penyesalan. Yang berlaku tetap telah berlaku. Tiada apa yang boleh diperbetulkan di masa silam. Yang ada cuma peluang untuk memperbetulkan keadaan di waktu ini.

            Atas sebab itu lah dia memberanikan diri untuk pergi ke rumah keluarga Zafran minggu lepas. Sudah tiga bulan dia pulang ke Malaysia, baru hari itu dia mendapat kekuatan untuk bersemuka dengan Zafran. Namun apa kan daya, kedatangannya tidak dialu-alukan. Datin Nuraina langsung tidak memberi peluang untuk dia menjelaskan keadaan. Setiap katanya dibidas, dan akhirnya dia pulang tanpa sempat bertemu dengan Zafran.

            Natrah menyeka air mata yang mengalir. Dia tahu dia tidak layak untuk didengari. Tidak layak untuk mendekati. Namun niatnya tulus ikhlas ingin memohon kemaafan dari lelaki yang pernah terluka kerananya. Dia hanya meminta peluang kedua agar dia dapat menjelaskan keadaan sebenar dan membaiki keadaan antara mereka. Demi Allah dia teramat mencintai lelaki itu. Sejak dahulu, hingga ke saat ini, perasaan itu tidak pernah berubah walau sedikit!

            Sudah bertahun lamanya dia hidup bertemankan air mata. Empangan air matanya tidak pernah kering walau sehari. Dia tidak punya siapa-siapa untuk meluahkan perasaan. Lantas air mata itu menjadi peneman dirinya siang dan malam. Selain bayangan Zafran yang terlalu kerap menjengah hidupnya, kenangan sial itu turut menghantuinya sepanjang masa.

            Sesungguhnya apa yang disaksikan oleh Zafran empat tahun lalu hanyalah babak pertama dari episod hitam yang dilaluinya. Berkali-kali dia cuba menerangkan keadaan sebenar, namun Zafran tidak membuka sedikit ruang pun untuk dirinya menjelaskan keadaan. Dia ingin memberitahu Zafran bahawa dia tidak bersalah! Dia tidak curang! Tetapi Edward telah memerangkap dirinya. Sesungguhnya dia telah dirogol setelah diberi dadah oleh jantan durjana itu.

            Airmata Natrah mengalir lagi. Kepalanya kembali berdenyut seperti biasa. Tangannya mencapai pil penahan sakit yang diletak di tepi meja. Matanya dipejamkan. Bayangan wajah serta senyuman Zafran tergambar di ruang ingatannya. Kenangan manis yang menjadi peneman setia dirinya di kala kesepian. Dia benar-benar merindui lelaki itu.

            Natrah membuka mata dalam kepayahan apabila pintu biliknya dibuka. Bayangan Zafran yang berlalu pergi diganti pula dengan wajah comel Emir Luqman. Mata Emir yang merah menandakan anak kecil berusia tiga tahun itu baru lepas menangis kerana ditinggalkan keseorangan di atas katil. 

            “Mari dekat ibu,” Natrah mendepakan tangan ke arah Emir, anak yang dilahirkan dari hasil benih yang disemai oleh Edward. Walaupun dia membenci lelaki itu, namun selaut kasihnya tumpah buat anak kecil yang tidak berdosa itu. Natrah membetulkan rambut Emir yang sedikit kusut. Didakap erat anak itu yang masih mamai. Sekejapan didodoi, Emir kembali menyambung lenanya dalam dakapan Natrah.

            Natrah merenung wajah tenang Emir. Dahi Emir dikucup bertalu-talu. Sesungguhnya dia meletakkan kepentingan diri di tangga kedua. Segala apa yang dilakukan kini adalah demi Emir. Ya, dia perlu menaklukki semula hati Zafran. Bukan untuk dia, tetapi untuk Emir Luqman. Natrah pasti hati Zafran dapat ditawan jika Zafran mengenali Emir. EMIR LUQMAN. Itulah nama anak yang pernah mereka bincangkan dahulu.

            Bayangan Zafran yang mengejar dirinya di Megah Holdings kembali berputar di ingatan. Dia pasti masih ada perasaan yang bersaki-baki di hati lelaki itu. Walau tidak banyak, mungkin masih terpalit sekelumit rasa yang pernah mereka semai bersama. Natrah melelapkan matanya dengan segunung harapan yang tinggi.

Bersambung!:)
nota kaki #1: Buat masa ni, saya update di blog lama dahulu. sebab ramai pula yang mengadu tak boleh access blog lagi 1...nanti saya figure out apa masalahnya ya.
nota kaki #2: terkejut saya melihat senarai email yang minta nak follow blog baru. saya ingatkan paling ramai 50 orang je yang baca cerita ni..rupanya ramai yang baca sorok-sorok ya! walau macam mana pun terima kasih ya!!!

17 comments:

  1. Eh eh. Natrah ni.. Pentingkan diri betul.. Apahal lak nakk zafran sbb emir? Jaga je la sndiri.. 3 taun leh jg sendiri. Jgn la zafran jd bodoh g stuju plak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ye lah, apahal pulak nak suruh org btgjawab, pandai jer nak gunakan anak nk perangkap hero... dasar spesis NI btul la... busuk hati giler pompuan ni, sebelum nk salahkan edward sebab rogol dia, cuba dia tgk ksalahan diri dia dulu...... kita tgk nanti zafran nak jdi hero melayu yg klise atau tak.....

      Delete
    2. Hehe..marahnye mizz acu dan zm ye...
      Teruskan membaca BBJS ye...♥

      Delete
  2. Mmg best...akhirnya amani terima zafran....x mo zafran ngan natrah nak dgn amani(sambil kelip2 mata,hihihi)cepat la dia org bertunang ni...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hihi adamsaarah!terima kasih kerana mengikuti BBJS!♥

      Delete
    2. Sama2...nnt jgn lupa invite saya ke blog baru tue....tq....i follow;-)

      Delete
  3. "Kalau ditumbuk pun dia pasti tetap tersenyum"....
    siyesly sy rse nk lempang muke zafran laju2..hahhaa,truk sgt angau die tu.


    setuju dgn mizz acu (miss u so much)...dh elok2 jge 3 thun,dduk diam2 sudah...

    err de blog bru ke??cmne nk follow?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Zafran memang angau sgt dah dengan amani!:p

      Nanti sy add email syira ye!♥

      Delete
    2. hola gurl! mana lama menghilang.. :)
      mis u too..
      fath, zm, awak.. sepi jer skrg

      Delete
  4. Natrah cerita yang lepas jangan diungkit.... jangan jadikan Emir sebagai alat untuk Zafran kembali pada Natrah.... kalau Zafran nak biarlah dengan hati yang ikhlas .... kalau keluarga Zafran x terima pun x bagus juga kan...
    Tapi kalau hati Zafran dah IKHLAS pada Amani .... lepaskan lah dengan hati yang ikhas ..... carilah kebahagian sendiri bukan diatas penderitan orang lain.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu sue!kalau bercinta kena ikhlas kan..:)
      Terima kasih sue!♥

      Delete
  5. xasabar nak tunggu amani bertunang dengan zafran tapi nanti mesti banyak dugaan ni sebab natrah dah muncul..hehe

    ReplyDelete
  6. Wah best2...nak zafran ngan amani...tp lam ms yg sama kesian lak kat natrah...huhuhu...nak tanye liya...zafran pemilik tulang rusuk amani or amani pemilik tulang rusuk zafran?...eira rase terbalik...maaf kalo eira salah...=)

    ReplyDelete
  7. awakkkk!!!! kita nak baca yang seterusnya

    nursha.jamudin@gmail.com

    ReplyDelete
  8. liya. aku mau jugaaa. alifahdzulkefli@gmail.com

    ReplyDelete
  9. nak join gak boleh?..ni email saya..Mzalinna@yahoo.com

    ReplyDelete