Bab 33
AMANI cuba membuka matanya yang terasa
berat. Deringan jam loceng yang membingitkan telinga menyesakkan kepala.
Dicapai jam tersebut untuk dimatikan deringan yang hampir memecahkan gegendang
telinganya.
Pukul
tiga pagi! Siapa pulalah yang mengunci jam pada waktu begini? Amani merengus
dan berbaring semula. Cuba dipeluk tubuh Zafran namun yang ada hanyalah sebiji
bantal panjang yang terbaring kaku di sebelahnya. Secara automatik matanya
menjadi segar. Amani terduduk di atas katil. Ke mana pula Zafran pergi
meninggalkan dia tidur keseorangan?
Amani
melihat pintu bilik yang sedikit renggang. Cahaya yang datang dari luar bilik
itu menggamit nalurinya. Mungkinkah Zafran berada di luar? Amani mengeluh
perlahan. Sejak seminggu yang lalu Zafran berperangai pelik. Sering kali Amani
mendapati Zafran termenung jauh. Seolah-olah ada permasalahan berat yang sedang
membebani fikirkannya. Apabila ditanya, jawapannya tidak ada apa-apa.
Perlahan-lahan
Amani menuruni tangga. Cuba dijejak suaminya yang menghilang di waktu tengah
malam begini. Amani sudah nekad. Akan disoal selidik suaminya itu tentang
masalah yang bermain di fikiran. Akan dicungkil rahsia yang dipendam oleh
Zafran!
Cahaya
suram dari ruang dapur membawa jasad Amani ke situ. Beberapa ketika Amani
terpaku di situ memikirkan apa yang dibuat oleh Zafran di dapur lewat malam
begini. Abang lapar agaknya? Itulah, suruh makan tadi tapi tak mahu! Amani
mengomel sendirian sebelum memetik suis lampu di tepi dinding.
“SURPRISE!!!” Zafran terpacak di hadapan
Amani sambil menatang sebiji kek kecil. Senyuman lebar menghiasi wajahnya yang
kelihatan penat. Sepasang matanya sembab bagaikan mata panda.
Amani
kelu tiada reaksi. Dipandang Zafran atas bawah berkali-berkali. Apron merah
jambu yang selalu digunakan untuk memasak, kini tergantung pula di badan
Zafran. Dijeling pula sinki serta kawasan dapur. MasyaAllah! Bersepahnya bagai
baru lepas dilanggar garuda.
“Abang!
Abang mengigau ke?” Amani merapati Zafran apabila dilihatnya Zafran sekadar
tersenyum tanpa jawapan. Cuba dirasa dahi Zafran jika ada perubahan suhu badan.
“Sayang!
Apa ni? Abang waras lagilah,” Zafran menarik tangan Amani dari terus meraba
dahinya. Ingat aku demamlah tu...
“Abang
buat apa ni? Sekarang pukul tiga pagi tau!” Amani mencari jawapan dari wajah
Zafran. Senyuman yang terukir di wajah lelaki itu cuba ditafsir namun gagal.
“Sayang,
selamat hari tua yang ke 24! Memang betul-betul dah tua bucuk abang ni! Birthday sendiri pun tak ingat!” Zafran
mencium wajah Amani bertalu-talu. Wajah terpinga-pinga itu begitu mengusik
hatinya. Berjaya juga dia memberikan kejutan kepada Amani. Tidak sia-sia dia
tidak tidur dari tadi menyiapkan kek serta makanan untuk permaisuri hatinya
itu.
“Abang
buat semua ni? Ni, kek ni abang buat sendiri? Chicken chop ni pun abang masak sendiri?” Amani memerhatikan juadah
yang terhidang di atas meja kecil berhias cantik. Jiwanya benar-benar tersentuh
dengan usaha Zafran.
“Ye
sayang. Abang masak sendiri tau,”
“Pandainya
abang masak?” Amani memandang penuh curiga. Manakan tidak, kalau sebelum ini
segelas air pun dia yang sediakan untuk Zafran.
“Abang
beli buku resepi la sayang. Lepas tu abang tengok cara-cara memasak dari Youtube,”
kembang-kempis hidung Zafran menceritakan kepada Amani. Tidak pernah seumur
hidupnya masuk ke dapur untuk memasak. Namun demi Amani dia sanggup melakukan
semua itu.
“Sweetnya suami sayang ni! Dah tahap kena
potong kaki dah ni! Tak sabar betul sayang nak rasa masakan abang,” Amani
melentok manja di bahu Zafran. Berbunga-bunga hatinya saat ini dengan layanan
diberikan oleh Zafran. Kalah cerita novel!
“Eh,
nantilah dulu... Sebelum makan, abang nak beri sayang sesuatu. Abang harap
sayang sudi terima hadiah yang tak seberapa dari abang ni. Jom,” Zafran menarik
tangan Amani supaya mengikut dia keluar dari rumah.
Hampir
terjojol keluar mata Amani apabila mendapati sebiji kereta yang dihiasi riben
gergasi di ruang parkir rumah. Mujurlah dia dapat mengawal diri. Jika tidak
pasti terjaga jiran tetangga mendengar jeritannya di pagi syahdu itu.
Zafran
menghulurkan kunci kereta kepada Amani. Sebak juga hatinya apabila melihat
sepasang mata Amani yang berkaca-kaca.
“Abang,
kenapa buat semua ni?”
“Sebab
abang sayang sayang! Ini hadiah sempena birthday
sayang, dan juga hadiah sayang lulus ujian lesen kereta minggu lepas. Dah,
janganlah menangis sayang. Jom tengok kereta,” Zafran membukakan pintu kereta
Volkswagen Scirocco merah itu. Dengan badan yang menggeletar, Amani
melabuhkan punggung di tempat duduk pemandu.
Hebat
benar kereta yang dihadiahkan oleh Zafran! Segala-galanya serba mewah. Dia merasakan diri begitu kerdil di dalam
kereta itu. Terasa dirinya tidak layak untuk dilimpahi kemewahan begini. Selepas
kematian arwah abah, dia tidak pernah mendapat apa-apa hadiah pada hari
jadinya. Hanya ciuman emak dan adik-adik yang memeriahkan hari istimewa itu.
“Sayang
tak suka ke?” Zafran meraih tangan Amani. Wajah keruh Amani ditatap lama
menagih jawapan.
“Suka
bang! Cuma sayang rasa mewah sangat kereta ni. Kalau abang belikan Viva pun
sayang dah bersyukur. Asalkan dapat bergerak sudahlah,” Amani mengucapkan
dengan berhati-hati.
“Tak apa
sayang. Ni hadiah abang untuk sayang,” Zafran mencium dahi Amani. “Dah, tak mau
sedih-sedih. Tengok GPS ni. Lepas ni kalau sayang nak pergi mana-mana, masukkan
aje alamat kat sini. Lepas tu ikut aje direction
yang dia bagi. InsyaAllah selamat sampai,” Zafran menghulurkan GPS dimaksudkan
kepada Amani.
“Oh,
kalau macam tu bolehlah sayang spot check
abang lepas ni. Manalah tau kot-kot abang ada perempuan lain ke,” bersahaja
Amani mengusik suaminya.
Zafran
tersentak mendengarkan kata-kata Amani. Berubah terus riak di wajahnya apabila diserkap
jarang sebegitu oleh Amani. Sedikit sebanyak hatinya berasa bimbang jika Amani
dapat mengesan perkara yang disorokkan olehnya. Terdetik pula di hatinya untuk
menceritakan perkara sebenar kepada Amani.
“Ehem.
Sayang... Abang ada perkara nak beritahu sayang,” Zafran sudah berasa resah.
Tak pasal-pasal belakang bajunya basah dengan peluh dalam dingin pagi itu.
“Ala,
kejap lagilah bang... Jom makan yang abang susah-payah masak tadi?” Amani sudah
menarik tangan Zafran menuju ke dapur. Perutnya teruja untuk merasa air tangan
suaminya sendiri. Lambat-lambat Zafran menurut juga langkah Amani. Ah, tak
apalah, kejap lagi boleh beritahu!
Amani
membelek kek coklat yang kelihatan begitu gebu dan dihias cantik dengan
sebatang lilin. Aroma dari chicken chop
juga membangkitkan seleranya walaupun jam sudah pukul empat pagi. Tabik spring
toing toing dia kepada usaha Zafran yang satu ini!
Zafran
menghulurkan kek coklat yang dibakar sendiri kepada Amani. Di pagi hening itu
kedengaran suara lunak Zafran mengalunkan lagu ‘Allah Selamatkan Sayang’
diikuti dengan kucupan tujuh serangkai diterima oleh Amani.
“Hm,
mesti sedap ni!” Amani mengambil sepotong kek lalu disuapkan ke mulut dengan
teruja. Namun wajahnya berubah sebaik mulutnya memulakan kunyahan. Erk!
Kerasnya! Ada bahan tambahan simen cap Lafarge ke apa ni?
“Sedap
tak sayang?” Zafran terkesan perubahan di wajah Amani. Dari tersenyum manis
kini senyumannya sudah sedikit kelat. Berdebar pula dirasakan untuk mengetahui
komen Amani tentang kek itu.
“Sedap
bang,” Amani pamer wajah teruja. Tidak sampai hati untuk memperlekehkan usaha
yang telah dilakukan oleh Zafran sepanjang malam tadi.
“Betul
ke ni? Lain macam je bang tengok muka sayang tu?” Zafran mula berasa curiga.
Lambat-lambat aje dilihatnya Amani mengunyah kek yang dipotong kecil tadi.
Zafran mencubit sepotong lagi kek lalu disuap ke dalam mulut. Adoi! Aku masak
kek atau konkrit tadi?
Amani
menghamburkan tawanya tatkala melihat kerut di dahi Zafran. Pastinya Zafran
memahami reaksi yang terlukis di wajahnya sebaik kek tadi melalui tekaknya.
“Sorry sayang. Tak jadi rupanya kek abang
ni...,” Zafran sedikit kecewa. Usahanya terasa sia-sia apabila kek yang dibuat sendiri
tidak seperti yang diharapkan.
“Alah,
abang... Ni kan first time abang baking. Kira okay lah ni. There’s
still room for improvement! Hiasan dah cantik sangat! Dah, tak mau la
monyok. Jom kita makan chicken chop pulak. Hmmm... Bau pun dah cukup
menggoda!” Amani cuba mengambil hati Zafran. Dia mengalih pula perhatian kepada
hidangan utama yang telah dimasak oleh Zafran.
“Hah,
yang ni biar abang rasa dulu!” Zafran merampas garfu yang dipegang oleh Amani
dengan pantas. Hanya seinci lagi sebelum sepotong daging ayam itu dijamah oleh
Amani.
Zafran
menyuapkan potongan kecil daging ayam itu ke dalam mulut sambil diperhatikan
oleh Amani. Tidak sampai seminit Zafran sudah pun berkejaran ke sinki dan
memuntahkan segala isi perutnya. Tergamam Amani meyaksikan reaksi Zafran.
“Abang!
Abang okay tak? Amani menggosok
belakang badan Zafran. Segelas air kosong yang dihulurkan kepada Zafran diteguk
dengan rakus oleh lelaki itu.
“Nasib
baik abang yang rasa dulu!” Zafran mengesat bibirnya dengan belakang tangan.
Kembang tekaknya mengingatkan rasa pelik yang ditelannya tadi. Mujurlah bukan
Amani yang melalui pengalaman Fear Factor sebentar tadi. Phewww....
“Ish,
takkanlah teruk sangat? Mari sayang rasa,” Amani dihambat rasa ingin tahu.
Tangannya sudah mula mencapai garfu di atas meja.
“Jangan
sayang! Tak sedap langsung! Memang horrible!”
Zafran terus mengemas meja. Cuba disembunyikan rasa kecewa yang menghantui.
Hampir empat jam memasak namun tiada suatu pun yang boleh ditelan oleh tekak.
Hmmm...
“Abang
minta maaf sayang. Esok abang bawa sayang makan kat luar ye?” Zafran pamer
wajah mendung. Tergambar riak bersalah kerana merosakkan keindahan malam hari
lahir Amani.
“Tak apa
abang! Usaha dan niat abang ni pun dah cukup buat sayang terharu. Alaaa...
Abang janganlah tayang muka sedih macam ni. Tak hensem tau! Hmm, sayang ada
hadiah untuk abang!” Amani tersenyum malu. Pipinya merona kemerahan dengan
tiba-tiba.
“Birthday abang dah lepaslah sayang...”
“Bukan
hadiah birthday. Tapi ni hadiah sebab
abang sudi jadikan sayang permaisuri dalam hidup abang. Sudi bersabar dengan
karenah sayang... Sudi bersusah payah kejut sayang pukul tiga pagi dan masak
semua ni...” Amani tersenyum penuh makna.
“Hadiah
apa ni sayang?” Zafran mengerutkan kening. Berdebar lain macam pula jantungnya
di saat ini.
“Amani
merapatkan tubuhnya kepada Zafran. Dibisikkan beberapa patah perkataan dengan
wajah yang hangat merona. Amani menundukkan wajah sementara menunggu jawapan
dari Zafran.
Buat
seketika Zafran terdiam tanpa reaksi. Hanya sepasang matanya sahaja yang
berkelip beberapa kali. Otaknya bekerja keras cuba mencerna bait-bait kata yang
dilafazkan oleh Amani sebentar tadi. Dipandang wajah isterinya lama-lama untuk
mendapatkan kepastian.
“Betul
ke boleh sayang?"
Amani
menganggukkan kepala sebelum kembali tertunduk malu. Melebar terus senyuman di
wajah Zafran. Yabedabeduuu! Batin Zafran menjerit kuat. Tanpa membuang masa
dicempung tubuh Amani dan dibawa mendaki tangga.
Saat begini kamar tidur mereka dirasakan begitu jauh
sekali. Dalam diam dia bertahmid di dalam hati. Akhirnya Allah telah
memakbulkan doa yang tidak putus-putus dikirim setiap waktu.
“Abang,”
“Ye sayang,” Zafran meletakkan Amani di atas katil.
Ditatap penuh kasih wajah Amani di balik cahaya samar.
“Tadi abang cakap nak bagitahu sesuatu pada sayang?”
“Oh, lain kalilah sayang. Tak penting pun,” Zafran sudah
duduk di sebelah Amani. Ah! Mana ada yang lebih penting pada waktu-waktu
genting sebegini. Fikirannya hanya berpusat tentang mereka sahaja ketika ini.
Zafran mendekati tubuh Amani yang tersembunyi di balik
selimut. Disingkap rambut panjang Amani yang menutupi sebahagian wajahnya. Satu
kucupan hangat diberikan pada dahi Amani. Pandangan tajam Zafran membuatkan
Amani tertunduk malu. Zafran memejamkan matanya.
Bismillah... Errr... Terlupa pulak doa malam pertama....
psttt... ada tak yang rindu pada TKC?