Orang Cantik dan Orang Hensem

Monday, September 23, 2013

Bab 11 - Main Kahwin - Kahwin


            “ASSALAMMULAIKUM,” Hasif melonggarkan ikatan tali leher sebaik melangkah masuk ke ruang tamu. Dia duduk bersandar di atas sofa sambil memejamkan mata. Cuba merehatkan badan serta minda setelah seharian penat bekerja.
            “Awal Abang balik hari ni?” Hanani muncul sambil menatang sedulang hidangan petang. Kaki kiri Hasif yang diletakkan di atas meja ditolak ke bawah.
            “Cuba sopan sikit duduk tu. Kita ada tetamu ni!” Hanani menjuihkan bibir.
            “Siapa datang? Kak Ju?” Hasif cuba buka mata kirinya. Adui, beratnya!
            “Ish, tak ada maknanya Kak Ju. Ni tutor Adik ada kat sini. So sila buat perangai senonoh sikit ye,” Hanani menyusun pinggan serta cawan di atas meja. Tidak sia-sia meluangkan masa di dapur bersama Mama. Setakat menyediakan masakan ringkas seperti ini pejam mata pun boleh. Ewah, berlagak pulak!
            “Abang!” Hanani menyiku lutut Hasif. Matanya menyorot ke arah wajah lelaki itu. Misai serta jambang yang melata di wajah Hasif diperhati lama. Comotnya! Hanani tergelak sendiri.
            Hasif membuka matanya sekali lagi. Keningnya terangkat sedikit mendengarkan tawa halus adiknya. “Kenapa?”
            “Abang tu la. Tak terurus langsung muka tu. Jambang tu tak boleh tebal lagi? Dah macam bhai jual roti,”
            “Ish, janggut ni kan sunnah!” Hasif mengusap-usap jambangnya.
            “Memang la sunnah, bang. Tapi perlu la jaga kebersihan diri tu jugak. Trim la bagi kemas. Baru lah hensem! Ni dah macam orang hilang bini je,” Hanani membebel lagi.
            “Abang penat. Tak ada masa. Memang tak sempatlah nak belek-belek muka macam orang perempuan,” Hasif memejamkan kembali matanya. Dia benar-benar letih. Kerja di pejabat tidak pernah surut. Sentiasa saja dihambat deadline.
            “Abang!”
            “Hmm,” Hasif menjawab malas.
            “Abang tak pernah jumpa lagi kan tutor Adik?”
            “Hmmmm,”
            “Abang nak tahu tak siapa?” sepasang mata Hanani sudah bercahaya.
            “Hmmmmmm...” masih pejam mata.
            “Alaaa, Mama memang sengaja nak buat surprise kat Abang. Tapi Adik tak sabar la nak beritahu Abang! Hee... Abang dulu suka main kahwin-kahwin yeee! Siap bersanding lagi, kan? Tak payah nak sorok la. Adik dah tahu dah! Kak Wardah, isteri olok-olok Abang tu la yang mengajar Adik sekarang ni! Kalau Abang nak tahu, Kak Wardah ada tengah solat dalam guest room tu! Mesti Abang excited nak jumpa dia kan! Mama cakap dah twenty years korang terpisah!” Hanani mengulum senyuman.
            Kalau ikutkan memang dia turut berpakat dengan Mama untuk merahsiakan identiti Wardah. Tapi melihatkan penampilan Hasif yang selekeh membuatkan dia tidak sampai hati untuk menemukan mereka dalam keadaan begitu. Sekurang-kurangnya sementara Kak Wardah solat, sempatlah Abang pergi bersihkan diri terlebih dahulu.
            Hanani pandang wajah Hasif. Menunggu reaksi dari perkhabaran yang disampaikan tadi. Terkejutkah? Gembira? Terharu atau tak ambil peduli?
“Abang?” Hanani cuit bahu Hasif. Amboi, asyiknya mengimbau kenangan!
            “Abang??” Hanani menguatkan suara.
Aik, masih diam tiada respons!
 “Aaaabang!” Lengan Hasif digoncang kuat.
            “Ye betul la tu!” Hasif menjawab spontan. Matanya dibuka. Merah.
            “Abang! Abang tidur?” Hanani tarik muncung. Geramnya!
            “TERRRR... tidur! Nani cakap apa tadi?” Hasif tongkah kelopak mata. Sepasang matanya kini ditala pada wajah Hanani dengan bersungguh-sungguh.
            “Eiii, malaslah nak ulang balik! Nyampah!” Hanani cubit lengan Hasif.
            “Alalala... sorry la dik. Abang memang betul-betul penat. Bagi Abang naik, mandi dan solat dulu. Dah segar nanti kita sembang lagi ya,” Hasif berdiri tegak. Lehernya dilentokkan ke kiri dan kanan untuk membuang lenguh.
            “Okay?” Hasif pandang wajah Hanani.
            “Hmm,” Hanani pandang dinding.
            “Macam tu lah adik Abang!” Hasif gosok kepala Hanani. Beg kerja di tepi sofa dicapai sebelum dia mula mendaki anak tangga. Sebentar lagi azan Asar akan berkumandang. Dia mahu menunaikan tanggungjawab yang satu itu di surau kawasan perumahan. Bukan selalu dia dapat pulang awal dari pejabat. Peluang yang ada harus digunakan dengan sebaiknya.



            WARDAH mundar-mandir di dalam bilik. Sudah berapa ribu langkah dia berjalan dia sendiri tidak pasti. Boleh pecah lemak kalau diamalkan selalu.
            “Relax Aimy! Have a seat first!” Wardah bercakap sendiri. Dia duduk gelisah. Bibirnya digigit-gigit perlahan. Otaknya ligat mencari idea untuk mengelak dari bertemu dengan mamat-miang-yang-sengal.
            Mentolnya harus cepat menyala. Sudah lebih lima belas minit dia menguncikan diri di dalam bilik. Kalau di rumah sendiri bolehlah dia menyorok di situ sehingga esok. Tapi dia di rumah orang. Bukan sembarangan orang pulak tu. Manusia ini sudah diisytiharkan sebagai musuh abadi!
            Wardah mengetap gigi. Apa pun yang terjadi, dia tidak boleh bertentang mata dengan lelaki itu. Ada banyak sebab yang membuatkan dia resah.
            Sebab yang pertama: Lelaki itu sudah dua kali dicederakan dengan niat! Peristiwa di dalam tren serta di bilik pejabat Hasif terlayar kembali di ruang minda. Macam mana agaknya lelaki itu jatuh dari kerusi ya?
            Sebab yang kedua: Lelaki itu telah melihat dia berpakaian seperti lelaki. Dia pasti Hasif Wafiy tidak teragak-agak untuk membocorkan rahsianya yang satu itu. Aunty Raihanah pasti akan hilang kepercayaan kepadanya. Malah yang paling ditakuti adalah sekeping hati ayah yang akan terluka lagi kerana sikapnya.
            Sebab yang ketiga: Lelaki itu adalah ‘suami’ yang dikahwini dua dekad lalu. Dia tidak punya relevant explanation untuk sebab yang ketiga ini. Namun yang pastinya dia tidak mahu lelaki itu mengetahui siapa sebenarnya wanita yang mencederakan dirinya. Manakan tidak, suatu ketika dahulu dia pernah menjadi budak perempuan yang berlari memohon perlindungan lelaki itu sewaktu dibuli geng Boroi!
            Wardah geleng kepala. Sebenarnya masih terlalu sukar untuk menerima hakikat bahawa lelaki yang ‘dikahwini’ dan yang dimusuhi adalah orang yang sama. Terus hilang feel! Kecil betul dunia aku ni. Balik-balik jumpa orang yang sama! Wardah merengus sendirian.
            “Kak Wardah dah habis solat?” ketukan pintu kedengaran disusuli suara ceria Hanani dari luar bilik.
            “D.... dah! Tengah nak pakai tudung,” Wardah gugup menjawab.
            “Nanti dah siap akak keluar ya! Ada orang nak jumpa akak ni!” Wardah dapat membayangkan senyuman lebar di wajah Hanani saat ini. Kau sorang aje lah yang excited dik! Kak Wardah dah rasa nak putus nyawa ni!
            “Ok... Okay Nani. Give me five minutes!” skala gelabahWardah meningkat dengan tiba-tiba. Tidak boleh tidak, dia harus meninggalkan rumah ini dalam apa jua cara sekali pun.
            Wardah merapati tingkap empat segi bersaiz sederhana. Jeriji besi tidak berkunci itu dibuka perlahan-lahan. Engsel tingkap yang tidak bergris menghasilkan bunyi yang menyakitkan telinga. Wardah menahan ngilu. Matanya memandang ke luar halaman. Langit yang tadinya cerah kini sudah bertukar mendung. Sesekali kedengaran dentuman guruh dan pancaran kilat di kaki langit.
            Wardah menarik nafas dalam-dalam. Dia sudah nekad. Beg sandang di atas katil dicapai pantas. Meja belajar dipanjat tanpa teragak-agak. Wardah mengemaskan cengkaman pada birai tingkap. Sepasang kakinya dilunjurkan ke luar. Bismillah...
            Perlahan-lahan Wardah menolak keluar tubuhnya dari tingkap bilik. Hujung jarinya berpaut kuat pada bingkai tingkap. Wardah menahan debaran di dada. Kerja memanjat tingkap bukanlah kepakarannya. Kalau bukan kerana ‘mamat’ itu,  jangan haraplah dia hendak buat aksi pencuri begini! Segenap tenaga dikerah kepada otot-otot tangan yang bekerja keras menampung berat badannya.
            “Hiyahh! Sikit lagi! Sikit aje lagi! Don’t give up now, Aimy! You don’t wanna bump into that pervert!” Wardah memotivasi diri. Hujung kakinya cuba menyentuh permukaan bersimen di bawah sana.
            “Aimy Wardah??!!”
            “Opocot mak kau!” cengkaman tangan Wardah pada bingkai tingkap terlepas terus tatkala mendengarkan suara Raihanah. Sekelip mata tubuhnya mendarat di atas lantai.
            “Ya Allah, Wardah! Wardah tak apa-apa? Kenapa panjat tingkap ni, nak?” Raihanah menerpa ke arah Wardah. Tubuh gadis itu digosok-gosok secara rambang. Tak tahu bahagian mana yang mungkin cedera. Jantungnya bagai nak tercabut risaukan anak dara orang yang tercedera di kawasan rumahnya.
            “Err... Okay Aunty. Wardah okay. Sikit je ni,” Wardah menggosok-gosok punggungnya yang terasa kebas. Wajahnya terasa hangat. Pasti kedua-dua belah pipinya sedang merona merah dengan hebatnya saat ini! Kenapa balik awal pulak Aunty Raihanah hari ni?
            “Betul okay?” Raihanah mencari sepasang mata Wardah untuk mendapatkan kepastian. Jatuh terjelepuk macam nangka busuk dan masih okay? Memang gagah anak dara si Wahid ni!
            “Ye aunty. Tak ada apa-apa. Aunty jangan risau ya?” Wardah cuba berdiri tegak untuk membuktikan yang dia masih kuat. Dia tak mahu Raihanah risaukan dirinya. Lagi pun memang dia tak apa-apa. Hanya bontotnya saja terasa sengal. Dan maruahnya yang sedikit tercalar kerana Raihanah menyaksikan peristiwa memalukan sebentar tadi.
            “Mama, siapa yang bergayut pada tingkap guest room tu? Hasif nampak dari bilik tadi,” Hasif melangkah merapati Raihanah. Bukan main laju dia turun ke bawah tatkala ternampak kelibat gadis yang memanjat dinding rumahnya.
            Sh...shoot! Si mamat – miang – yang – sengal! Wardah ketap bibir. Spontan dia memalingkan tubuhnya. Homai... helah apa lagi yang harus digunakan kali ini. Wardah menahan ketar di kepala lututnya. Otaknya ligat mencari idea.
            “Wardah jatuh ni Sif. Nasib tak ada apa-apa katanya,” Raihanah mendapatkan anak sulungnya.
            “Wardah?” Hasif kerut kening. Pandangan matanya ditala ke arah gadis yang sedang berdiri menghadap dinding. Siapa pula ni? Macam tak ada tamadun datang rumah orang siap memanjat tingkap. Pintu kan ada?
            “Laaa... Mama tak pernah beritahu kamu kan. Wardah ni tutor Adik. Mari sini Wardah. Dah lama Aunty nak temukan korang. Hasif ingat lagi tak siapa ni?” senyuman Raihanah melebar sesaat sebelum wajahnya bertukar pucat. Sepantas kilat dia berlari mendapatkan Wardah yang sudah jatuh terbaring di atas lantai.
            Wardah pejam mata rapat-rapat. Berlakon pengsan elok-elok, Aimy Wardah! Be a drama queen! Dia memesan diri sendiri. Ini saja idea spontan yang datang di saat-saat genting begini. Break a leg!
            “Hasif, tolong Mama angkat Wardah masuk dalam. Lekas!”
            Erk! Wardah rasa nak tercekik anak tekaknya sendiri. Walaupun pandangan matanya hitam kelam, namun dia dapat mendengar derap langkah yang bergegas menghampirinya. Wardah mematungkan diri. Dia sudah kehabisan buah catur! Peluh sudah mula membasahi dahinya saat tangan tegap membetulkan kedudukan tubuhnya.
            Ya Allah! Janganlah dia cam aku! Wardah memohon di dalam hati.
Perlahan-lahan dia merasakan tubuhnya diangkat dari permukaan lantai yang keras. Untuk pertama kalinya dalam hidup dia berada di dalam dakapan lelaki ajnabi. Begitu rapat sehingga menyebabkan dia terpaksa menahan gigilan halus yang melanda tubuhnya. Dalam kedudukan begitu dia dapat mendengar dengan jelas degupan jantung lelaki itu yang pantas. Dia jadi nervous! Hormon-hormon kewanitaanya bagai berpesta. Hesy, darurat ni... darurat!
Setapak.
Dua tapak.
Sepuluh tapak.
Wardah mengira di dalam hati. Dia ternanti-nanti jerkahan maut dari Hasif. Namun kini dia amat pasti Hasif tidak mengecam wajahnya. Yelah, penampilannya hari ini cukup berbeza daripada pertemuan-pertemuan mereka sebelum ini. Dia yakin rahsianya masih selamat tersimpan kemas. Jika Hasif dapat mengecam dirinya, pasti saja lelaki itu sudah mencampakkan semula tubuhnya ke atas lantai sejak tadi.
“Letak kat atas sofa tu, Sif. Adik! Tolong ambil air. Cepat!” laungan Raihanah kedengaran kuat menampar cuping telinganya. Pastinya wanita itu berasa cuak dengan kejadian petang ini. Maafkan Wardah buat aunty risau! Wardah janji ini yang terakhir!
Wardah merasakan tubuhnya diletakkan perlahan-lahan di atas sofa lembut. Tangan lebar Hasif membetulkan kedudukan kepalanya di atas bantal empat segi. Wardah berasa terbuai seketika. Alahai, sopan jugak kau ni rupanya mamat sengal! Nasiblah kau tak cam aku. Lepas ni memang aku letak jawatan dari mengajar Hanani! We are not going to see each other anymore! The end! 
Wardah senyum dalam hati. Lega hatinya bukan kepalang. Kalau tahu begini mudah, tak perlulah dia melakukan aksi stunt sebentar tadi. Sampai dua kali tubuhnya menghentam lantai simen hari ini. Hukum karma agaknya atas apa yang pernah dilakukan kepada lelaki itu dahulu.
“You know what Miss Wardah, it is such a small world isn’t it? And believe me... your world is just about to get interesting! Gotcha!”
Degupan jantung Wardah yang baru hendak berentak normal kembali kuat menghentam dada. Wardah mengawal diri. Kata-kata yang dibisikkan oleh Hasif di telinganya tadi bagai tali gantung yang melilit lehernya.
Apa maksud dia? Please don’t tell me that he reconigsed me! He didn’t! Kan? Dia tak cam aku kan tadi?

Kan? Kan?

Nota kaki: Kalau suka sila klik Like dan Share! :)

Wednesday, September 18, 2013

Bab 10 - Main Kahwin-Kahwin

Bab 10
            “FAHAM tak?” Wardah meneliti wajah Hanani yang sedikit berkerut. Sudah kali ketiga dia memberi penerangan tentang proses ovulasi dan kitaran haid wanita. Kesabarannya sudah mula menipis. Rasa ingin diketuk-ketuk kepala Hanani dengan jag air di tepi mereka. Ewah, kau ingat anak beruang ye? Wardah cepat-cepat beristighfar.
            “Nak Kak Wardah terangkan lagi?” Wardah bertanya lagi melihatkan Hanani yang terkebil-kebil.
            “Boleh ke?” Hanani membalas malu-malu. Kenapalah lembab sangat kau ni otak nak serap ilmu?
            “Boleh,” Wardah tersengih lebar. Nafasnya ditarik dalam-dalam sambil mencari cara lain untuk membantu Hanani memahami subtopik yang satu ini.
            “Jom ikut akak,” Wardah mencapai sebatang kapur dari beg galasnya. Kapur yang digunakan sewaktu menjalani latihan mengajar di sekolah dulu nampaknya akan berbakti lagi pada hari ini. Beberapa biji bubble gum pelbagai warna turut dibawa ke tengah garaj kereta.
            Wardah melutut di atas permukaan bersimen sambil tangannya mula melukis bentuk rahim wanita. Sudah acap kali lukisan yang sama ditunjukkan kepada Hanani, bezanya kali ini saiz rahim yang dilakar adalah berpuluh kali ganda lebih besar dari kertas A4.
            Selesai melukis, Wardah meletakkan beberapa biji bubble gum di dalam ovari sebelah kiri dan kanan. Bubble gum yang berfungsi sebagai ovum digolekkan sebiji di laluan tiub Fallopio. Lalu dia terus mengulang semula penerangan yang sama kepada Hanani. Sesekali dia memerhatikan Hanani yang kelihatan tekun mendengar.
            “Pada tahap ini, dinding rahim akan menebal untuk preparation proses penempelan zigot jika persenyawaan berjaya. Tapi bagi anak dara macam kita ni, bila ovum tadi tak disenyawakan, akan berlaku perubahan hormon dalam badan kita. Jadinya... dinding rahim yang menebal tadi akan luruh menjadi haid,” Wardah mengakhiri penerangannya. Sepasang matanya memandang Hanani yang senyap semenjak tadi.
“Nani?” Wardah mengawangkan tangannya di hadapan Hanani. Hah, masih tak faham ke? Wardah sudah menggaru kepalanya yang tidak gatal. Cara mana lagi harus dilakukan untuk membantu Hanani memahami subtopik ini?
            “Kak! You are brilliant! Genius! Bila akak lukis rahim gergasi ni, siap demonstrate pergerakan ovum semua, terus Nani faham kak! Kalau keluar soalan dalam exam, confirm Nani akan bayangkan semula bubble gum dan semua ni!”Hanani terlompat gembira sambil memeluk Wardah.
“Sayaaaang kak Wardah!”Spontan Hanani memberi ciuman di pipi kiri Wardah. Ciuman sesaat yang membuatkan Wardah terkesima sendirian. Segaris senyuman perlahan-lahan terukir di bibirnya. Oh... macam ni rasanya bila ada adik perempuan!
Semenjak menjadi tutor kepada Hanani, dia mula merasakan pengalaman baru dalam hidupnya. Kemesraan Raihanah dan Hanani membuatkan dia berasa benar-benar selesa. Sekurang-kurangnya satu kawasan lompong dalam hatinya bagaikan terisi dengan kehadiran mereka. Wardah menahan sendu.
“Hmm, Nani... Kak Wardah nak tumpang solat boleh tak?” Wardah menepuk bahu Hanani.
“Boleh kak. Jom masuk rumah ye?” Hanani terlebih dahulu melangkah ke pintu rumah diikuti oleh Wardah. Sejak mula mengajar di rumah Raihanah, tidak pernah sekali pun dia menjejakkan kaki ke dalam rumah teres dua tingkat itu. Hendak terkencing pun dia sanggup tunggu hingga pulang ke rumah.
Kaki kanan Wardah melangkah masuk ke ruang tamu yang kemas tersusun. Ada potret besar gambar Aunty Raihanah dan arwah Uncle Yusof tergantung di dinding utama. Hiasan kaca dan kristal pula teratur di dalam almari kayu bertingkat. Mengenali Aunty Raihanah, dia sudah maklum minat wanita itu terhadap perhiasan mewah seperti itu.
Sepasang mata Wardah terpandangkan bingkai gambar kayu yang disusun di atas console table. Dari kejauhan begitu potret keluarga itu kelihatan samar-samar. Wardah melangkah setapak ke ruang tamu. Hatinya meronta-ronta mahu melihat gambar terbaru ‘suaminya’. Maklumlah, sudah dua dekad mereka terpisah.
“Kak?”suara Hanani membantutkan langkah kaki Wardah. Terdiam dia berdiri di tengah ruang tamu.
“Akak nak ke mana? Bilik tetamu kat sini kak,” Hanani menyambung bicara sambil menggamit tangan.
“Oh, akak saja nak tengok sofa rumah Nani ni. Empuk ya?” spontan Wardah melabuhkan punggung di atas sofa kulit. Ish, apa punya alasan lah!
“Akak nak duduk rehat dulu ke? Nani pasangkan TV ya?”
“Ehhh... takpe takpe takpe. Akak nak solat dulu!” Wardah bingkas bangun menuju ke arah bilik tetamu. Kepalanya ditoleh sekilas ke arah potret keluarga itu. Ada senyuman yang tak dapat disembunyikan.
Kejap lagi aku datang balik ya!


WARDAH meletakkan telekung dan sejadah di atas katil bujang bilik tetamu. Dia duduk di hujung katil sambil meluruskan pinggangnya yang terasa lenguh. Matanya melingas memerhatikan ruang bilik sederhana besar itu. Selain daripada katil bujang, terdapat juga almari kecil di sudut bilik dan sebuah meja belajar di tepi tingkap.
Wardah memerhatikan buku-buku rujukan setebal tiga inci di atas meja tersebut. Sticky notes yang mengandungi formula matematik turut ditampal di atas meja. Agaknya di bilik inilah Hanani mengulang kaji.
Jam di dinding dicuri pandang. Oh, dia tidak boleh berlengah. Lekas-lekas Wardah menyarungkan semula tudung di kepalanya. Sebaik pintu mahu ditutup, matanya terpandangkan satu objek di sudut bilik yang cukup menarik perhatiannya. Bagaikan ada tarikan magnet yang membawa kakinya ke situ.
What the f...ish!” Wardah mengangkat pokok kaktus dari atas lantai. Tumbuhan berduri itu dibelek 360 darjah. Wardah berasa seram sejuk. Dia pasti benar pokok kaktus itu berasal dari Blooms. Cop kedai di bawah pasu itu menjelaskan segalanya. Hiasan pada kaktus itu pula adalah sentuhan tangannya sendiri. Mana mungkin dia melupakan itu!
Setiap sentuhan dan gubahannya pada setiap bunga juga adalah berbeza. Dia pasti kaktus di tangannya ini dibeli oleh Ju-on untuk kekasihnya a.k.a musuhnya si mamat sengal yang miang!
Wardah memicit kepala yang berdenyut. Satu persoalan yang mengganggu fikirannya saat ini adalah bagaimana pokok kaktus itu boleh berada di rumah Aunty Raihanah? Di bilik Hanani pulak tu! Sepasang kening Wardah sudah bercantum. Orang genius sepertinya memang gemar merungkai misteri.
Aha! Wardah memetik jari. Dia pasti lelaki miang yang sengal itu menjalinkan hubungan bersama Hanani. Dasar lelaki gatal! Wardah membentak sendirian. Tak cukup dengan Nyonya Mansur, budak sekolah tak lepas SPM pun hendak dirembatnya. Dah la kedekut. Hadiah dari Nyonya Mansur diberi pula kepada Hanani. Dasar cheapskate!
Wardah mengepal penumbuknya. Lelaki itu memang harus diajar. Akan dibongkarkan rahsia lelaki itu kepada Hanani dan Aunty Raihanah nanti.
“Akak dah solat?”
“Opocot jantan gatal tak guna!” kedatangan Hanani secara tiba-tiba mengejutkan Wardah. Tanpa sedar pokok kaktus tersebut terlepas dari tangannya dan terhempas ke lantai. Wardah pandang muka Hanani dengan wajah bersalah.
“Kak Wardah minta maaf,dik! Akak terkejut,” Wardah menunduk mengutip serpihan pasu yang sudah pecah. Penyakit terkejutnya semakin menjadi-jadi kebelakangan ini. Tambahan lagi abangnya di rumah begitu galak mengusik.
“Tak apa, kak. Salah Nani tak ketuk dulu pintu,” Hanani turut membantu Wardah membersihkan lantai.
“Habislah boyfriend Nani marah nanti,” Wardah mengomel sendirian. Geram dengan diri sendiri yang begitu cuai.
“Ish akak ni. Nani mana ada boyfriend la! Kaktus ni abang yang bagi. Dia pun tak nak agaknya. Dia tak kisah punyalah!” Nani tersengih cuma.
Tangan Wardah terhenti dari mengutip serpihan pasu pecah apabila mendengarkan kata-kata Hanani. Betul ke apa aku dengar ni?
“S...si..siapa bagi kaktus ni?” Wardah mengulang tanya.
“Abang...”
“Abang Nani?” Dada Wardah bergetar hebat.
“Iya lah. Abang Nani. Anak Mama. Suami yang akak main kahwin-kahwin dulu,” Nani memandang wajah pucat Wardah. Apa kena pulak ni?
“Siapa nama abang Nani?” Pandangan mata Wardah sudah berpinar.
“Ish akak ni. Nama suami sendiri pun tak ingat ye?” Hanani masih mahu mengusik. Wardah sekadar menggelengkan kepala. Cepatlah jawab Hanani oi! Akak rasa nak pengsan dah ni!
“Nama dia, Hasif...”
“Wafiy?” mulut Wardah menyebut perlahan. Ah! Mana mungkin dia melupakan nama itu.
“Eh, ingat pula ye? Tadi kata tak ingat!” Hanani tergelak kecil. “Eh, panjang umur abang. Kita sebut-sebut nama dia, terus dia sampai!” Hanani menjenguk dari tingkap bilik.
Sepasang mata Wardah turut mengintai dari balik langsir. Tubuh tegap yang keluar dari kereta itu diperhatikan dari jauh. Walau dari jauh, walau hanya belakang tubuh yang kelihatan, dia kenal lelaki itu.
Mamat-miang-yang-sengal!
Kaki Wardah terasa lembik tak pijak bumi. Ada manik-manik peluh yang membasahi belakang baju kurungnya saat itu. Rasa teruja ingin berjumpa ‘suami’ yang terpisah sekian lama berganti pula dengan rasa takut yang bukan kepalang.
“Jom kak kita keluar. Nani ada buat cekodok tadi,” Hanani menarik tangan Wardah yang sejuk.
“Tak apalah. Nani keluarlah dulu. Akak nak solat ni,” Wardah merasa cemas semacam.
“Eh, bukan Kak Wardah dah solat ke tadi? Asar belum masuk kak,” Hanani kebingungan.
“Akak rasa akak terkentut la masa solat tadi. So akak nak solat semula. Kejap lagi akak keluar ya,” Wardah menutup pintu bilik dengan tergesa-gesa. Punat kunci tidak lupa ditekan.
Wardah menahan debaran di dada yang menggila. Sepasang kakinya terasa lemah tidak berdaya. Otaknya terasa serabut.
Argghh! Mati kau kali ni Aimy Wardah!