Bab 1
“OPS! Sorry!” Hasif
mengangkat tapak tangannya ke arah pemuda India yang baru sahaja ditolaknya
sebentar tadi. Anggukan dari pemuda itu membuatkan Hasif mengukir segaris
senyuman. Rakyat Malaysia memang bertimbang-rasa dan berbudi-pekerti. Pastinya
pemuda itu memahami keadaannya ketika ini yang sedang berkejaran masa. Hasif
pantas menyelitkan tubuhnya di saat pintu tren hampir tertutup.
Phew...
Nasib
sempat! Sepasang matanya menjeling ke arah jam di pergelangan tangan kanannya.
Sudah pukul 5.45 petang. Patutlah setiap gerabak dipenuhi dengan umat manusia.
Pastinya semua orang sedang terkejar-kejar untuk ke destinasi masing-masing. Sama
seperti kebanyakan orang yang sudah bekerja, dia turut diselubungi ‘Monday Blues’. Dua hari bercuti dan
bersantai di rumah menyebabkan semangat untuk bekerja di hari Isnin hilang
entah ke mana.
Semuanya
serba tidak kena sejak dia bangun subuh tadi. Dua kali dia terpaksa berpatah
semula ke rumah. Kali pertama kerana dia tertinggalkan fail penting yang
mengandungi maklumat untuk tender syarikat. Kali kedua pula kerana dia tersedar
yang stokin dipakai tidak sama warna. Apa ke malangnya nasib...
Sesungguhnya
dia tidak sabar untuk pulang ke rumah dan merehatkan badan di saat ini.
Seharian dia di pejabat menghadap komputer untuk menyiapkan lukisan pelan yang
sudah tergendala sejak seminggu yang lepas. Sudah naik kematu telinganya
mendengar bebelan Dato’ Arsyad. Bukan dia tidak bersungguh dalam kerjanya. Cuma
pertama kali diberi projek yang sebegini besar menyebabkan dia terlebih cerewet
dan berhati-hati. Dia mahu memberikan hasil yang terbaik.
Hasif
memegang kejap tiang besi untuk mengimbangi badannya yang terhuyang-hayang
apabila tren bergerak laju. Dalam keadaan sesak begini memang dia tidak
berharap untuk mendapatkan tempat duduk. Tambah-tambah lagi dia pasti ada orang
lain yang lebih memerlukan tempat duduk berbanding dirinya yang masih muda,
kuat dan hensem. Ewah, sempat pulak
nak puji diri sendiri ye.
“Seri Setia,”
Hasif
tersenyum mendengarkan suara pemandu komuter. Bererti tiga stesen lagi sebelum
dia akan sampai di Stesen Shah Alam. Pergerakan penumpang yang keluar masuk
menyebabkan badannya turut terdorong menghimpit penumpang yang lain.
Sesungguhnya sedikit pun tubuhnya tidak merasakan sejuk penghawa dingin. Peluh
jantan betina sudah memercik membasahi kemeja kerjanya.
Bau
badan bercampur-baur antara ratusan penumpang sudah cukup melalikan
reseptor-reseptor hidungnya. Deria baunya sudah kebal dan imun setelah hampir
tiga tahun dia berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Kalau awal-awal dulu
memang cabaran besar untuk hidungnya menampung pelbagai bau yang cukup memualkan.
Habis layu dan mati semua bulu hidungnya dibaja dengan bauan yang hebat itu.
“Sorry bro!” Hasif melepaskan cengkaman dari bahu lelaki pendek di
hadapannya. Hadui, tindakan spontan yang tidak dirancang. Pergerakan tren yang
terhenjut-henjut menyebabkan dia sukar mengawal keseimbangan badan. Beg galas di belakangnya itu sudah berapa kilo
beratnya. Dia sendiri tidak pasti.
Hasif
memastikan cengkaman pada batang tiang semakin kuat. Mujurlah dia
terpegang bahu lelaki pendek itu. Kalau
bahu wanita seksi di sebelahnya yang disentuh tadi, sudah tentu lebam biji
matanya petang ini. Sepasang matanya memerhatikan tubuh lelaki yang berdiri di
hadapannya. Kecil sahaja saiz lelaki yang sedang membelakangkan dirinya. Budak
sekolah agaknya?
“Subang Jaya,”
Adui,
cepatlah sampai! Hasif Wafiy sudah mengeluh di dalam hati. Tinggal dua lagi
stesen tapi rasanya terlalu jauh untuk tiba ke destinasi. Badannya sudah
berlengas berpeluh menahan bahang kepanasan yang memenuhi gerabak itu. Tapak
tangannya juga sudah basah dengan peluh. Terasa licin menggelungsur setiap kali
dia cuba memegang batang besi itu. Kalau nasib tak baik bimbang pula dia jatuh
tersungkur.
Tren
kembali bergerak secara terhenggut-henggut sewaktu ingin memulakan perjalanan.
Kali ini jumlah penumpang semakin ramai menghimpit antara satu sama lain.
Usahkan hendak berjalan, hendak menggerakkan kaki seinci pun terasa begitu
sukar. Mampat dan sendat sekali isi setiap gerabak itu.
Saat
tren sudah mula memecut laju, Hasif semakin sukar mengimbangi tubuh badannya.
Pegangannya pada batang besi semakin melurut kerana tapak tangan yang sudah
lencun dengan peluh. Pergerakan tren kembali tidak lancar sewaktu menghampiri
stesen Padang Jawa. Bagai kereta tua dengan enjin semput yang terbatuk-batuk,
begitulah jua tren yang bergerak di atas landasan ketika itu.
Hasif
hilang keseimbangan berdiri. Lututnya terasa lembik dan bengkok dengan
tiba-tiba. Tubuhnya terdorong ke hadapan hampir terjatuh menyembam lantai
komuter. Tindakan refleksnya mengarahkan kedua-dua belah tangannya memeluk
tubuh lelaki di hadapannya untuk menampan diri dari terjatuh.
“Hoi!
Apa peluk-peluk ni?!” suara nyaring kedengaran dari tubuh lelaki kecil yang
dipeluk oleh Hasif. Hm, memang sah budak sekolah. Belum pecah suara lagi ni.
Hasif yang terkejut masih belum melonggarkan pelukannya pada tubuh itu.
“Woi!
Kau pekak ke buta? Kenapa peluk-peluk aku ni?” Wardah bertempik kuat sambil
berusaha melepaskan pelukan lelaki asing pada tubuhnya. Pantas dia memalingkan
tubuhnya untuk melihat sendiri lelaki yang berani mengambil kesempatan
sebegitu. Wajahnya yang menyinga ditala kepada Hasif.
Gulp.
Hasif telan liur. Manusia yang dipeluknya sebentar tadi bukan lelaki rupanya!
Sebaliknya perempuan muda yang berpakaian serupa lelaki. Patutlah sedap semacam
aje bila landing tadi.
“Sorry bro! Eh, sorry kak. Eh, adik! Saya tak sengaja. Nak terjatuh tadi...” Tersasul-sasul
dia hendak memberi gelaran kepada makhluk di depannya. Hasif tayang muka
serba-salah. Yelah, nak buat macam mana lagi. Memang salah dia terpeluk tubuh perempuan
itu. Cara terbaik adalah mengucapkan kata maaf untuk mengendurkan suasana.
“Apa
sorry-sorry? Kau sengaja kan nak
ambik kesempatan. Mula-mula pegang bahu. Pastu nak raba-raba aku pulak!” Wardah memuntahkan kata-kata
tuduhan. Sepasang matanya merah menahan marah. Pipinya sudah setebal kek lapis
saat ini. Malu gila dipeluk sebegitu oleh lelaki kurang ajar di hadapannya.
Hasif
garu kepala yang tidak gatal. Berombak kencang dadanya saat dituduh sebegitu
oleh perempuan tak berapa nak perempuan itu. Dahinya berkerut seribu. Cuba
dikumpul kesabaran di hati walaupun rasa marahnya juga sudah mula hendak meletup.
Api tak boleh dilawan dengan api. Sila jadi air Hasif! Hasif memujuk diri.
“Ya
Allah! Sumpah dik. Saya memang nak terjatuh tadi. Saya minta maaf. Langsung tak
ada niat nak ambil kesempatan. Lagipun... errr... saya ingatkan awak... hmmm...
lelaki tadi,” Hasif bicara perlahan. Kalau boleh dia tidak mahu
membesar-besarkan isu itu. Tapi perempuan ni lebih-lebih pulak menuduh dia macam-macam.
Wardah
bagai terkena renjatan elektrik apabila mendengarkan ayat terakhir yang
meluncur dari bibir Hasif. Berdesup jantungnya bagai dipukul badai tsunami.
Wardah merenung wajah-wajah yang menjadi pemerhati tegar semenjak tadi. Entah
mengapa dia merasakan mereka sedang tersenyum mengejek ke arahnya. Skala
kemarahannya meningkat naik dengan mendadak.
“Kau
jangan kurang ajar sangat ek! Kau memang nak ambil kesempatan! Gatal! Miang! Bongok!
Beruk!” Wardah menjerit kuat. Jari telunjuknya ditunjal-tunjal ke dada bidang
Hasif. Wajah Hasif yang sudah merah sedikit pun tidak menjentik rasa ke hati
Wardah. Siapa suruh mulut kau longkang sangat, ha?
“"Eh, kau ni apsal? Bukannya aku
saja-saja nak peluk kau! Mana aku tahu kau tu perempuan? Dari belakang dah
macam lelaki je! Ingat aku ada selera ke nak gesel-gesel kat kau?!" Hasif
membalas geram. Hilang terus kesabarannya melihatkan sikap serta kata-kata
Wardah yang macam bom atom. Muka hensem macam ni dia panggil beruk? Memang tak
patut!
"Woi, woi, woi! Cakap
baik-baik sikit eh! Kalau aku hayun penumbuk ni, bersepai gigi kau atas lantai
tau tak!" Wardah mengacu penumbuknya. Geramnya sudah sampai ke kemuncak.
Ada juga yang makan penumbuk sulungnya hari ini.
Hasif tersenyum mengejek.
Eleh, setakat tangan kecik macam tu
ingat aku takut ke? Hesy, tak padan dengan perempuan! Tapi lagak macam
keturunan gengster! Hasif berkira-kira untuk mengarang ayat untuk membalas
kata-kata Wardah. Takkan hendak ditunjuk penumbuk juga kepada perempuan itu.
Nampak sangat dayusnya nanti.
“Suka hati awaklah nak cakap
apa cik adik. Saya dah bagitahu yang saya tak sengaja. Dan saya pun dah minta
maaf. Terpulanglah awak nak buat apa...” Hasif mengurut dada. Malas hendak
berlawan cakap dengan Wardah. Macam perempuan mereng! Pandangannya dihala
keluar tingkap untuk meredakan sakit hati yang begitu menusuk.
“Padang Jawa,” suara pengumuman pemandu tren bagaikan mengembalikan
Wardah ke alam nyata. Wardah memandang Hasif yang berdiri tidak jauh darinya.
Entah mengapa rasa sakit hatinya pada lelaki itu masih belum surut walaupun
kata maaf sudah dilafazkan berkali-kali. Alah, biasalah lelaki. Dah dapat
raba-raba lepas tu buat dialog macam tak bersalah!
Wardah mendekati Hasif
dengan niat nakal yang tidak dapat dibendung. Dia berkira-kira di dalam hati
sama ada ingin meneruskan niatnya itu atau pun tidak. Ah, alang-alang menyeluk
pekasam biar sampai ke pangkal ketiak! Lelaki miang seperti Hasif memang harus
diajar supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada perempuan lain.
BUKKK!
Wardah menendang betis Hasif
sekuat hati sebelum meluru keluar dari pintu tren. Jeritan Hasif yang mengaduh
kesakitan membuatkan dia terhenti dan berpaling untuk melihat sendiri wajah
lelaki itu. Wardah tersenyum kemenangan saat pintu tren mula tertutup. Rasa
hendak pecah perutnya melihatkan wajah Hasif yang menyeringai kesakitan sambil
tangannya lincah mengusap betis yang perit menahan pedih tendangannya tadi.
Hah, padan muka kau mamat
miang yang sengal! Jangan main-main dengan aku. Ni Aimy Wardah tau!
Psst: Okay tak permulaan cerita ni? Dah lama tak mengarang ayat ni! harap-harap ok!=)
oh alah!garang nye cik wardah serupa singa.nasib mu lah hasif ditemu kan ngan sigadis yang tak berape nak gadis....hehe intro yang menarik n best dek.
ReplyDeletesaja buat kelainan sikit kali nak kak norihan. selalu hero dan heroin sempurna perfect 10. kali ni kita turun jejak kaki ke bumi yg nyata...hihi...bukan semua org itu sempurna...tapi CINTA akan menyempurnakan mereka...:)
Deletebest best best garang la wardah 2...tp interesting gak huhuhuhu
ReplyDelete