Bab 2
WARDAH
menghayunkan
langkah diiringi dengan siulan kecil. Peristiwa hitam dipeluk oleh lelaki asing
tadi cuba diusir pergi dari kotak fikiran. Kakinya mengorak ke arah tandas awam
yang terletak di sebelah kiri bangunan. Sekeping syiling dua puluh sen dan
sepuluh sen diletakkan di atas meja.
“Baru balik Wardah?” Melur
menegur sebaik ternampak kelibat pengunjung setia tandas awam di situ.
“Ish, Kak Melur ni! Panggil
Aimy dah lah kak. Gelilah panggil Wardah!” Wardah bersandar di tepi meja kecil
itu. Tangannya mencapai sepotong kuih lapis yang dibeli oleh Melur lalu
disumbat ke dalam mulut.
“Sedap apa nama Wardah tu.
Cantik... Manis... Sesuai dengan empunya badan,” Melur mengusik Wardah yang
sudah tersipu-sipu malu. Mengenali Wardah sejak setahun yang lalu sudah cukup
untuk dia menilai hati budi gadis itu. Luarannya sahaja yang keras macam batu.
Padahal hatinya lembut macam salju.
“Hesy, akak puji-puji ni
bukannya saya ada duit pun nak belanja makan. Minggu depan saya dapat gaji kita
pergi pekena Laksa Buyong. Amacam? Nak tak?” kening Wardah terjungkit sedikit.
Tangannya membetulkan snow cap yang
menutupi keseluruhan rambutnya.
“Kalau betul kau nak
belanja, satu perut akak tadahkan Wardah oi...” Melur mengekeh ketawa. Dapat
makan free, siapa yang tak happy?
“Okay, set Kak Melur. Next
week kita pergi makan!” Wardah menunjuk isyarat ibu jari. Melebar senyuman
terukir di wajahnya yang merah menahan terik mentari.
“Lambat kau hari ni Aimy?”
Amri muncul dari belakang bangunan. Satu beg plastik hitam berisi sampah
diletakkan di tepi dinding. Tuala Good
Morning yang disangkut pada leher digunakan untuk mengesat peluh yang
mengalir dari dahinya.
“Ha’ah. Aku bergaduh dengan
mamat poyo dalam tren tadi,” wajah Wardah berubah kelat dengan tiba-tiba.
Membayangkan wajah lelaki itu membuatkan darahnya kembali mendidih panas.
Meremang bulu romanya mengenangkan kejadian tadi. Janganlah nightmare pulak malam nanti.
“Kenapa pulak? Apa dah jadi?” Amri melangkah menghampiri Wardah dan Melur.
Namun kakinya terhenti dan dia sekadar bersandar pada dinding dalam jarak yang
selamat. Dia segan kalau-kalau badannya berbau dan dihidu oleh Wardah.
“Mamat tu peluk aku...”
“Hah? Kau kena peluk? Lepas
tu kau buat apa?” Melur hampir terjerit. Dramatik habis reaksinya saat itu.
“Ish, perlahanlah sikit
suara tu Kak Melur. Saya maki dia kaw-kaw
lah kak. Selamba je dia minta maaf. Macam tak ikhlas je. Last-last saya tendang kaki dia!” Wardah bicara perlahan. Wajah
lelaki yang menyeringai kesakitan itu tiba-tiba menjentikkan rasa simpati di
hatinya. Mesti sakit kena sepak dengan sport
shoes yang dipakainya itu.
“Ganas betullah kau ni
Wardah. Dia tak sengaja agaknya tu,” Melur menampar lembut bahu Wardah. Kepalanya
digeleng-gelengkan tanda tidak setuju.
“Hish! Kalau aku ada tadi,
aku tumbuk lumat mamat tu! Berani dia peluk kau! Tak suspect orang langsung!” Amri meludah di tepi longkang. Rasa
marahnya meruap dengan tiba-tiba apabila mendengarkan cerita Wardah.
“Suspect apanya Am? Respect
lah...” berderai tawa Melur dan Wardah mendengarkan kata-kata Amri yang belajar
setakat Tingkatan Empat itu.
“Haa, tulah yang aku nak
cakap tadi...” Amri menahan malu. Mujurlah kulitnya sudah hitam kerana sering
dibakar mentari. Tak adalah nampak sangat dia sedang menanggung rasa malu.
Wajah Wardah dicuri pandang. Aduhai, indahnya ciptaan Tuhan! Kurang ajar betul
lelaki yang sudah menyentuh gadis pujaannya itu!
“Eh, Kak Melur. Dah pukul
berapa ni?” Wardah menarik tangan Melur untuk melihat jam tangannya. “Ya Allah!
Dah dekat pukul 6.30! Kejap lagi ayah saya nak sampai! Saya masuk toilet dulu. Nak siap!” Wardah mencapai
sebuah beg dari laci meja Melur sebelum bergegas menghilangkan diri ke tandas.
“Kau ni tak nak balik lagi
ke Am?” Melur menjeling penuh makna kepada Amri yang sedang terpacak berdiri
dekat pintu tandas wanita.
“Kejap lagi nak baliklah ni
kak,” Amri menjawab sepintas. Namun matanya masih tidak lepas dari memandang ke
arah dinding yang memisahkan dia dan Wardah.
“Hmmm,” Melur berdehem penuh
makna. Bukan dia tidak tahu apa yang bermain di benak lelaki itu. Ada orang
menunggu puteri kayangan turun dari langit, Si Amri ni pula menunggu bidadari
keluar dari tandas!
Sepuluh minit berlalu,
Wardah sudah siap menyalin pakaian. T-shirt besar serta seluar longgar yang
dipakainya tadi sudah dilipat kemas di dalam beg sandang. Dia kini sudah
menyarung baju kurung kain kapas bercorak bunga-bunga kecil berwarna merah
jambu. Tudung dari rona senada turut tersarung di kepalanya. Amboi... persis
anak dara pujaan! Wajahnya saja yang polos tanpa secalit bedak mahupun solekan.
Amri mengusap dada sebaik
Wardah melintas di hadapannya. Inilah yang ditunggunya setiap hari. Pemandangan
yang cukup indah mengusik naluri lelakinya. Bukan senang ingin melihat Wardah
berpakaian sebegini. Dia merasakan dirinya cukup bertuah dapat melihat Wardah dalam
penampilan seperti wanita Melayu terakhir.
“Ayah saya dah sampailah Kak
Melur. Saya balik dulu ye. Am, aku balik dulu. Jumpa esok!” Wardah melambai
seraya berjalan ke arah kereta Honda Accord yang sudah tersedia menunggu di
bahu jalan. Langkahnya kelihatan kekok berjalan dalam kain yang sedikit sempit.
“Tutuplah mulut kau tu Am.
Menganga dari tadi. Suspect aku
dibuatnya!” Melur ketawa mengusik. Wajah Amri yang malu-malu itu sudah terlalu
biasa dilihatnya. Selain dari rutin harian mengutip sampah di kawasan Stesen
Komuter Padang Jawa, Amri adalah penunggu setia yang menyambut dan menghantar
Wardah setiap pagi dan petang.
“Macam bidadari kan, kak?”
Amri tersenyum sebelum mencapai beg plastik sampah yang ditinggalkan di tepi
dinding tadi. Hatinya berbunga ceria seperti hari-hari sebelumnya. Bau sampah
pun bertukar menjadi bau pepium saat ini. Semuanya kerana Aimy
Wardah!
* * * * * *
WARDAH membetulkan kain batik yang
hampir terlucut dari ikatan. Susah betul nak ikat kain tu supaya melekat di
pinggangnya! Dulu pernah juga dia ikat dengan tali rafia untuk mengemaskan
kedudukan kain batiknya. Namun bila ayah ternampak, bising betul mulut ayahnya
membebel. Dah macam hantu bunjut katanya!
“Huiyo!
Nasi ayam kukus. Sedapnya! Kau ke masak?” Fawwaz menjenguk dari bahu Wardah.
Wajah Wardah yang pucat mengurut dada dipandang sekilas. “Terkejut ke?”
“Mestilah
terkejut! Tiba-tiba je Along masuk dapur ni. Lain kali buatlah bunyi-bunyi
sikit. And yes, hari ni kita dinner nasi ayam. Of course lah ayah yang
masak! Lagi mahu tanya ke Along ni!” Wardah menyusun pinggan di atas meja
makan. Semuanya kelihatan kemas dan teratur. Memang itu satu-satunya kepakaran
di dapur yang dia miliki. Nak suruh memasak memang dia awal-awal lagi menyerah
kalah. Tak pandai. Tak ada bakat.
“Kau
ni anak dara apa tak pandai masak? Esok-esok dah kahwin nak jamu apa kat laki
kau. Biskut kering dengan air paip ke? Huish, malang betul suami kau nanti!”
Fawwaz sudah menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Tangannya mencubit isi
ayam di dalam pinggan sebelum disiku pantas oleh Wardah.
“Hesy!
Lambat lagilah orang nak kahwin Along! Lagipun kalau orang nak kahwin, lelaki
tu kenalah memahami dan menerima kekurangan orang!” Wardah menarik kerusi di
sebelah Fawwaz lalu sebelah kakinya mendarat di situ.
“Aimy
Wardah,”
Dua
pasang mata menoleh ke arah Wahid yang melangkah masuk ke dapur. Susuk tubuh
lelaki yang sudah lebih dari separuh abad itu kelihatan masih sihat seperti
orang muda. Wajah tenangnya menguntum senyuman di wajah Wardah.
“Ye
ayah,” Wardah melunakkan suara. Depan ayah tak boleh nak buat perangai
kasar-kasar sangat. Nanti tak pasal-pasal dapat ceramah percuma.
“Turunkan
kaki kamu tu. Duduk sopan sikit boleh tak? Kamu tu anak dara dah Wardah. Tak
elok duduk terkangkang macam tu,” Wahid melabuhkan punggung di atas kerusi.
Suara tegasnya membuatkan bulo roma Wardah berbaris tegak. Spontan dia duduk
dengan sopan bagai anak dara pingitan. Tangannya terus ligat menyendukkan nasi
untuk kedua-dua lelaki yang teramat disayanginya.
“Site kamu yang ada masalah tu macam
mana? Okay dah?” Wahid menguyah
perlahan sambil matanya tertumpu kepada anak sulungnya.
“Okay dah ayah. Tapi teruk jugaklah nak kejar balik schedule hari tu. Memang site kena operasi dua puluh empat jam.
Kalau tak sangkut pula progress claim,”
Fawwaz bercerita ringkas. Memang tempoh dua bulan yang lalu menyebabkan dia tidak
cukup rehat untuk memastikan kerja-kerja terbengkalai di tapak pembinaan dapat
diselesaikan kembali.
“Alhamdulillah.
Eloklah macam tu. Nanti ambillah cuti sehari dua. Kita pergi makan angin
rehat-rehatkan badan,” Wahid menyimpul senyuman. Sudah lama mereka tiga beranak
tidak meluangkan masa untuk bercuti. Walaupun masih tinggal sebumbung, namun
waktu sarapan dan makan malam sajalah masa untuk mereka bertemu. Pandangan
matanya jatuh pada Wardah yang sedang melahap nasi ayam dengan
bersungguh-sungguh. Sebutir dua nasi jelas kelihatan melekat pada pipi kiri
anaknya itu. Tak tahulah nak marah atau tergelak dengan sikap anak perempuannya
itu.
“Sedap
ke Wardah?”
“Best ayah! Sedap sampai menjilat siku!
Ayah ni boleh buka kedai makanlah ayah!” Wardah menggigit peha ayam dengan
rakus. Memang dia berkata ikhalas, bukan sekadar mengambil hati Wahid. Semenjak
dia kecil, dia hanya pernah makan masakan Wahid. Dia tidak pernah menikmati air
tangan seorang ibu. Nak buat macam mana, sejak kecil lagi dia sudah terpisah
dengan ibu. Dia membesar dengan kasih-sayang ayah dan Along semata-mata.
“Kalau
ayah buka kedai makan, kamu sorang ajelah
customer ayah. Pelanggan lain nak masuk pun takut tengok cara kamu makan. Macam
tak makan setahun!” Wahid dan Fawwaz ketawa serentak. Wajah Wardah yang merah
ditatap oleh dua pasang mata itu. Wardah tersenyum kelat. Indirectly, ayah nak cakap dia tak sopanlah tu. Menyampah tau!
“Ha,
Wardah. Along nak tempah bunga tau. Nanti Along bagitahu balik berapa banyak.
Ada diskaun tak?” Fawwaz meneguk air sirap limau yang sejuk.
“Wow
wee! Along nak kasi kat awek ke? Confirm
lah ada diskaun untuk Along. Orang pakai harga staff nanti! Nak berapa kuntum ros merah?” sepasang kening Wardah
terjungkit-jungkit memandang ke arah Fawwaz. Wahid yang sedang makan pun
terhenti menunggu jawapan dari Fawwaz. Tak tahu pula yang anak lelakinya itu
sudah berpacaran. Dah nak bermenantu rupanya dia.
“Bukan
untuk aweklah! Ada majlis kat company
Along. Nak raikan salah seorang lembaga pengarah. Esok Along confirmkan berapa kuntum bunga. Kau
pilihlah yang lawa-lawa. Untuk perempuan umur 45 ke 50 tahun,” Fawwaz tersengih
melihatkan reaksi ayah dan adiknya. Ingat aku ada masa ke nak cari awek
sekarang ni?
“Adoi!
Ingatkan nak bagi orang kakak ipar dah! Bilalah nak dapat anak sedara ni...”
Wardah buat muka sedih. Kalau nak ikutkan Alongnya memang hensem. Dengan
kerjaya yang stabil, sudah pasti ramai perempuan yang datang menghimpit. Apa
sajalah yang menahan Along dari mencari pasangan agaknya?
“Along
nak bagi kamu kahwin dulu. Baru selesai tanggungjawab Along. Kan ayah? Ayah
carilah sorang untuk Wardah ni. Bekas anak murid ayah tak ada ke yang available?” tercekik nasi Wardah
dibuatnya mendengarkan kata-kata Fawwaz. Nak mengusik dia tu satu hal. Tapi
yang sampai libatkan ayah tu kenapa? Ayah bukan boleh dibawa bergurau hal-hal
jodoh dia. Serius aje muka ayah
nanti.
“Yang
available banyak. Tapi ada ke yang
nak kat Wardah tu. Macam tak cukup hormon estrogen je ayah tengok. Ha, Wardah.
Alang-alang dah bukak cerita ni, ayah
nak tanya satu soalan ni,” Wardah kecut perut mendengar suara serius Wahid.
Wajah Fawwaz yang tersengih-sengih di jeling geram. Jagalah kau Along!
“A..apa
dia ayah?” Wardah tak dapat mengawal debaran. Takkanlah ada yang bagitahu pada
Wahid yang dia masih tegar berpakaian seperti lelaki? Rahsianya itu hanya
dikongsi dengan Melur dan Amri.
“Sampai
bila kamu nak kerja kat kedai bunga tu? Dah dekat setahun tau kamu graduate. Nak simpan dalam almari aje ke ijazah kamu tu? Sudah-sudahlah
main-main tu. Fikir masa depan tu Wardah. Ayah ni bukan lama lagi nak jaga kamu,”
Wahid mengangkat pinggan ke sinki. Ada getar sedih yang terkesan pada bicaranya
yang membuatkan hati Wardah tersayat pilu.
“Hm,
nanti orang cari kerja lain ayah,” Wardah menjawab sebaris. Jawapan neutral aje yang diberikan. Dia tidak berani
berjanji sesuatu yang belum tentu mampu ditunaikan.
“Dari
dulu kamu kata nanti-nanti. Carilah betul-betul. Ijazah pendidikan tu laku kamu
tahu tak? Cuba minta kerja kat kolej-kolej. Suruh apply cikgu dulu tak mahu. Sombong!” Wahid kembali duduk di meja
makan. Seteguk air melalui kerongkongnya.
“Ayah!
Orang bukan sombong. Orang tak minatlah jadi cikgu. Ayah lupa apa jadi masa
orang praktikal dulu? Orang seriklah!” Wardah membungkam rasa. Hilang terus
selera makannya di saat itu. Dia tak nak jadi cikgu sekolah! Pengalaman empat
bulan menjalani latihan mengajar dulu masih segar dalam ingatannya.
“Kalau
tak nak jadi cikgu sekolah, kamu apply
kat kolej. Kesiankanlah ayah ni...” Wahid membuang pandang ke luar tingkap.
Suaranya tidak kedengaran serius seperti tadi. Sebaliknya terkesan nada kecewa
pada kata-katanya.
“Ehem.
Nantilah Along minta kawan-kawan carikan kolej yang ada vacancies. Kat Shah Alam ni pun banyak kolej swasta. Nanti Wardah
bagi je resume,” Fawwaz dilanda rasa bersalah.
Asalnya dia sekadar ingin mengusik adik kesayangannya itu. Manalah tahu boleh
jadi isu besar pula.
“Tapi...
Orang tak minat mengajar...” Wardah masih memancing simpati. Apa? Low-class benarkah kerjanya sebagai
pembantu di kedai bunga? Memanglah gajinya kecil. Tapi kalau setakat menampung
hidupnya seorang masih mencukupi. Yang penting hatinya gembira dikelilingi
bunga-bunga pelbagai rupa dan warna.
“Minat
boleh dipupuk. Nanti ayah usahakan sampai rasa minat tu datang. Ayah pegang
janji kamu ni Wardah,” Wahid sudah bangun menuju ke ruang tamu. Dia ingin
menonton rancangan Discovery Channel kegemarannya. Lagipun dia malas mahu
berbalas hujah dengan Wardah. Bimbang hati tuanya akan berlembut lagi seperti
sebelum-sebelum ini.
Sejak kebelakangan ini
memang hatinya asyik membimbangkan masa depan Wardah. Entah mengapa sukar pula
membentuk anaknya yang seorang ini. Nampaknya darah pendidik yang mengalir di
badannya tidak sedikit pun menjentik rasa yang sama di hati anak gadisnya itu.
Namun dia yakin, jika minat itu berjaya dicungkil keluar, pasti Wardah akan
jatuh cinta pada profesion itu nanti!
Cuma... Bagaimanakah cara
untuk menyemai benih minat di hati batu Aimy Wardah?
alahai!cian nyer kat wardah,tak minat jadik pengajar so what to do wardah...redha jer lah demi ayahanda tercinta...hehe betui ker wardah ne tak cukup hormon estrogen...lawak gak babah warda neh...
ReplyDelete