Bab
4
WARDAH tersenyum sebaik kakinya sampai
di hadapan Blooms. Inilah kedai bunga yang menjadi tempat dia mencari rezeki
selama ini. Tempat istimewa di mana dia dikelilingi oleh pelbagai bunga yang
berwarna-warni. Tempat dia mengubat rasa kecewa dan sedih. Tempat dia merasakan
dia boleh menjadi dirinya sendiri. Dan ini jugalah tempat yang sering
membuatkan dia dan Wahid memendam rasa. Hai... Entah sampai bilalah dia dapat
bekerja di sini.
Wardah
mengeluarkan sejambak kunci dari beg galasnya. Dalam masa tiga puluh minit,
kedai yang tadinya tertutup kini sudah sedia untuk beroperasi. Bekas-bekas
bunga telah diatur di hadapan kedai. Air juga sudah diganti untuk memastikan
kesegaran bunga tetap terpelihara. Wardah meletakkan tanda nama pada setiap
bekas bunga untuk memudahkan pelanggan. Blooms bukan setakat menjual bunga.
Malahan mereka turut menawarkan tumbuhan hijau yang mudah dijaga serta pelbagai
jenis pokok kaktus.
Setelah
semuanya selesai, Wardah menuju ke meja persediaan. Wardah menyemak senarai
tempahan untuk hari ini. Ada tiga tempahan bunga yang perlu disiapkan dan
dihantar sebelum pukul sebelas pagi. Pantas tangannya memilih bunga-bunga yang
cantik dan segar untuk menyiapkan setiap pesanan pelanggan. Dia sudah biasa
dengan puluhan jenis bunga yang terdapat di situ. Malahan sentuhan bunga
gubahannya sentiasa menjadi dan mendapat pujian pelanggan.
“Excuse me bang,” suara lembut yang
menegur membuatkan Wardah berpaling ke belakang. Bukan sekali dua jantinanya
disalah erti. Malah dia sudah lali pula dengan situasi sebegitu.
“Yes miss? What can I help you?” Wardah
menanggalkan sarung tangan yang dipakai untuk melindungi tapak tangannya dari
tercucuk duri. Segaris senyuman terukir di wajahnya kepada gadis yang berdiri
di hadapannya.
“Oh,
perempuan rupanya. Hmm, I nak tempah
bunga for my boyfriend. Boleh you suggest
bunga yang sesuai?”
Wardah
masih tersenyum walaupun hatinya pedih mendengarkan ayat sinis perempuan di
hadapannya. Seribu satu karenah pelanggan perlu ditanganinya dengan bijaksana.
Lagipun Madam Ong sudah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada dirinya. “Sure boleh miss. Kat Blooms kita offer
varieties of flowers. Boleh saya tahu ada special celebration ke? Selalunya kalau orang nak sambut annivesarry percintaan, they prefer roses.”
Wardah
menunggu jawapan dari pelanggan pertama kedai bunga hari ini. Sementara itu
sempat pula sepasang matanya menganalisa perempuan itu dari atas ke bawah.
Rambut perempuan itu disanggul tinggi seperti perempuan dalam pantang. Wajahnya
pula dirias dengan pelbagai warna. Wardah tertanya-tanya berapa lama agaknya
masa yang diambil oleh perempuan itu untuk bersiap sebegitu. Matanya gatal pula
untuk meneliti pakaian perempuan itu. Kebaya ketat yang membaluti tubuhnya
membuatkan Wardah seram sejuk. Boleh ke bernafas tu?
“Ehem-ehem.
I dah ada boyfriend ya!”
Wardah
menelan liur. Otaknya cuba memahami maksud yang disampaikan oleh perempuan itu.
Haish! Ingat aku nak ngorat kau ke? Perasan! Pakai pun macam Nyonya Mansur
dalam filem Ibu Mertuaku. Ingat aku ni lesbian ke? Wardah mengenggam tangannya
dengan kuat. Sabar Aimy... sabar! Ingat ni tempat kau cari rezeki. “Errr... Sorry miss. Saya kagum tengok cara miss bersiap. Memang cantik!”
“Yes, I know that. Ni... I tak pandailah nak pilih bunga mana.
Bunga-bunga segar ni susah tak nak jaga?” perempuan itu menyentuh sebaris bunga
yang sudah siap digubah. Bunga-bunga itu adalah untuk mereka yang dalam keadaan
urgent. Contohnya suami-suami yang
sering terlupa hari-hari istimewa pasangan mereka. Dah last minute terpaksalah beli yang ready-to-go begitu.
“Boyfriend miss jenis yang macam mana?
Kalau memang busy, saya tak suggest ambil fresh flowers. Sayang pulak
nanti kalau bunga cepat sangat layu. Kita ada pokok-pokok hijau dalam pasu
kecil macam ni. Boleh letak atas meja pejabat. Tapi pokok ni nak ada sunlight dan disiram,” Wardah membawa
pelanggannya meninjau pelbagai jenis bunga dan tumbuhan yang terdapat di
kedainya.
“Oh,
fussy juga ye nak jaga pokok dan
bunga ni?” kerutan di dahi perempuan itu membuatkan Wardah tersenyum. Soalan
yang sudah biasa didengarinya setiap hari. Semua orang sukakan bunga yang
cantik pelbagai rupa. Namun bukan semuanya rajin mahu mengganti airnya setiap
hari.
“Hmmm...
Atau miss nak bagi kaktus? Ini yang
paling mudah nak jaga,” Wardah menunjukkan sebaris koleksi kaktus di atas para.
Tumbuhan berduri tajam itu disusun atur mengikut ketinggian.
“Alaaa...
tak romatiklah bagi kaktus!” perempuan itu mencebik sedikit. Mengada-ngada pula
di pandangan mata Wardah. Banyak betul songeh!
“Kita
boleh decorate pasu ni nanti. Kalau miss nak, saya boleh letak artificial flowers sebagai hiasan. Cuba miss tengok sample yang dah siap tu. Boleh letak kad ucapan lagi,” Wardah masih
tabah memberi penerangan. Adat orang berniaga, pelanggan perlu diutamakan!
Perempuan
itu tersenyum lebar melihatkan contoh pokok kaktus yang sudah siap digubah.
Tidak sia-sia dia mengikut cadangan Eunice untuk ke kedai bunga ini.
Sememangnya terdapat pelbagai jenis pilihan di sini. Dia tidak pernah menyangka
pokok kaktus pun boleh kelihatan begitu menarik setelah digubah!
“Okay! I’ll take that!”
Wardah
tersenyum kemenangan. Tidak sia-sia dia meluangkan masa untuk pelanggan yang
satu ini. Tangannya pantas mencapai pasu pokok kaktus dan dibawa ke meja
persediaan. Beberapa kuntum bunga plastik berkualiti tinggi dikeluarkan bersama
dengan alatan lain untuk menggubah pokok itu. Sekeping kad kecil dihulurkan
kepada perempuan yang asyik melihatkan
cara dia bekerja.
“Miss boleh tulis ucapan kat sini. Do you want us to deliver it to your boyfriend?” Wardah cuba mengalih
perhatian perempuan cerewet tersebut. Rasa serba tak kena dibuatnya apabila
bekerja di hadapan perempuan itu.
“Yup! You all hantarkan ye? I kena balik office dah lepas ni. This is
the address,” Wardah mengangguk. Huluran
sekeping kertas terkandung alamat itu diambil. Pantas tangannya menyiapkan
gubahan tersebut. Sekeping kad ucapan yang sudah siap ditulis oleh perempuan
itu dilekatkan pada sebatang kayu sebelum dicucuk ke dalam pasu. Dah siap!
“Nice. Good job,” gubahan indah itu
dibelek dan dipusing 360 darjah. Ada segaris senyuman puas yang terlukis di
wajah bersolek itu. Kembang-kempis dada Wardah menerima pujian dari pelanggan
yang satu ini.
“How much?” Wardah melihat perempuan itu
mengeluarkan sekeping kad kredit dari dompet kulit berjenama Coach.
“Total together with delivery charge is
RM185.90. Don’t worry miss. Your cactus will be delivered safely today,”
Wardah menekan beberapa butang pada mesin kira-kira. Kagum dia melihatkan cara
rakyat Malaysia membelanjakan wang sebanyak itu untuk pokok kaktus hasil
gubahannya. Bagi dirinya yang kais pagi makan pagi ini, wang sejumlah begitu
sudah boleh menampung belanjanya untuk dua minggu!
“Terima
kasih miss. Do come again!” Wardah menceriakan suaranya sebaik klon Nyonya
Mansur itu melangkah keluar dari kedai.
Gubahan pokok kaktus itu dilihat sekali lagi. Memang cantik dan kreatif ideanya
hari ini. Berbakat betul aku ni! Kalau ada pertandingan MasterFlorist, dah
tentu aku ada chance nak menang!
Tangannya menyentuh pokok kaktus itu sambil matanya membaca sebaris ucapan yang
ditulis oleh perempuan itu.
‘Good luck in your project!- Ju’
Aik?
Tak ada ayat jiwang ‘I love you’ atau
‘I miss you’ ke? Panggil pun ‘Ju’ aje? Ju-On ke? Huh! Tak romantik
langsung perempuan ni. Wardah membebel sendirian. Sekilas dia menjeling ke arah
jam di dinding. Sudah hampir tengah hari. Raju sudah tentu akan sibuk
menghantar tiga tempahan untuk hari ini. Kemudian lelaki itu akan pergi mengambil
stok bunga segar yang baru turun dari Cameron Highlands pula. Wardah mencapai
alamat yang ditinggalkan oleh perempuan tadi.
“Wisma
Bina Jaya?"
Eh, dekat aje. Hanya berselang dua blok sahaja
dari lokasi kedai bunga ini. Nampaknya terpaksalah dia yang menghantar pesanan
dari perempuan tadi. Sebentar lagi Madam Ong akan sampai. Selepas itu bolehlah
dia keluar untuk melakukan penghantaran. Matanya menjeling sekali lagi pada
kertas alamat di tangan.
“Hasif
Wafiy...”
Amboi! Bergetar dadanya
apabila menyebut sebaris nama teman lelaki si Ju-On tadi. Terbayang rupa paras
yang setanding dengan nama indah itu. Kalau melihatkan sikap cerewet perempuan
tadi, pasti teman lelaki pilihannya wajib bersifat sempurna. Kalau tak hensem
dan macho seperti Aaron Aziz, mesti cute
dan bergaya seperti pelakon Korea yang popular.
Ish, tak sabar pula
rasanya dia ingin melihat empunya badan. Adakah orangnya sesedap nama?
alahai nape lh minah perasan neh poyo sngt..cun sngt lh tuh!belum tengok g wardah jd perempuan melayu terkini leh cair ati yg membeku....silap2 buah hati u sendri leh cair ngan wardah........hehe
ReplyDelete