Bab 3
“ADUH!” Hasif Wafiy menyeringai menahan
sentuhan adiknya yang mengurut betis yang sudah lebam itu. Dahinya berkerut
berpeluh apabila ibu jari Hanani dibenam ke batang kakinya.
“Ish,
macam pondanlah Abang ni! Nak Adik urut ke tak ni?” Hanani melepaskan kaki
kanan Hasif. Wajahnya serius menanti jawapan dari Hasif. Sudah dua tiga kali
Hasif menendang badannya tadi akibat tidak tertahan dengan urutannya. Tak
pasal-pasal aku pulak yang lebam kejap lagi.
“Nak!
Nak! Tapi slow-slow la sikit Adik
oi... Ni kaki manusia tau. Bukannya batang pisang,” Hasif menghulurkan semula
betisnya kepada Hanani. Kalau tidak diurut dengan betul bimbang pula dia tidak
boleh bekerja esok hari. Nak berjalan pun berdengkut-dengkut ni semenjak petang
tadi.
“Tu
lah... Lain kali kalau berjalan tu mata jangan letak kat lutut. Macam manalah
boleh jatuh dalam longkang?” Hanani membebel perlahan. Bukan dia tidak simpati
dengan keadaan abangnya. Tapi cerita yang disampaikan oleh lelaki itu macam tak
berapa logik pun ada. Takkan Abang bergaduh dengan orang pulak?
“Benda
dah nak jadi Adik... Nak buat macam mana?” Hasif buat wajah selamba. Padahal
hatinya dilanda resah apabila Hanani membangkitkan semula cerita yang direka-rekanya
itu. Takkan pula dia nak mengaku kena tendang dengan perempuan? Jatuhlah air
mukanya nanti.
Spontan
Hasif terkenangkan kejadian petang tadi yang menyebabkan dia terlantar saat
ini. Bedebah betul perempuan yang tak berapa nak perempuan itu! Pakai kasut
besi ke apa agaknya dia? Sakit benar dirasakan bisa yang menular di segenap
urat kakinya. Dah macam injured masa
main ragbi wakil universiti dulu-dulu.
Kalau
dulu dia injured pun ada pulangan
berbaloi. Dapat juga trofi kemenangan yang menjadi kenangan. Namun sakit yang
ditanggungnya ini hanya menyebabkan dia menderita malu. Malu gila disepak depan
orang ramai petang tadi. Tak sanggup rasanya dia menaiki tren lagi. Hmm... nak
kena beli keretalah nampak gayanya ni.
“Assalammualaikum,”
suara lunak yang memberi salam di pintu rumah membuatkan Hasif dan Hanani
saling berpandangan. Spontan Hanani bangun menuju ke pintu meninggalkan
abangnya yang masih duduk berlunjur kaki di atas lantai. Pintu rumah dibuka
perlahan.
“Waalaikummusalam.
Oh, Kak Ju rupanya. Hmm, masuklah kak,” Hanani merenggangkan pintu kayu.
Wajahnya cuba dimaniskan kepada Juliana. Perempuan yang sudah terlalu kerap
berkunjung ke rumah mereka itu membuatkan dia berasa sedikit meluat. Selalu
sangat datang buat lawatan. Tak ada rumah sendiri ke?
“Hai
Nani! Sihat ke? Dah nak SPM kan tak lama lagi?” Juliana melagakan pipinya
kepada Hanani. Belakang badan Hanani diusap lama. Senyuman manis tidak
lekang-lekang menghiasi wajahnya yang bujur sireh. Reaksinya seakan sudah lama
mereka terpisah. Padahal baru tiga hari lepas mereka bertemu.
“Eh?
Ju?” Hasif mendekati dengan kaki yang masih berdengkut. Kedatangan tetamu yang
tidak diduga itu membuatkan dia sedikit terkejut. “Ada apa Ju datang
malam-malam ni?”
Wajah Juliana
berubah kelat mendengarkan soalan yang terpacul keluar dari bibir Hasif.
Hmmm... orang datang melawat pun nak kena ada sebab ke? Juliana berjauh hati.
Namun lekas-lekas diusir perasaan yang bertamu di hati. Merajuk pun nak buat
apa kalau tak ada yang sudi memujuk. “Err... Hari ni Ju buat kek Red Velvet.
Ada lebih sikit ni. Tu yang hantar ke mari,”
Kotak
merah siap beriben itu sudah pun bertukar tangan. Pantas sahaja Hanani membawa
ke dapur. Rezeki jangan ditolak kata orang. Lagipun masakan Juliana memang selalunya
tidak pernah mengecewakan. Ah, kalau tak sedap mana mungkin perempuan itu mahu
menghantar ke rumah mereka.
“Lah, Ju
datang dari jauh semata-mata nak hantar kek ni ke? Buat susah-susah je Ju...
Eh, marilah masuk Ju,” Hasif mengukir senyuman. Baik betul anak dara Pak Cik
Rahman ni. Sudah kerap benar Juliana menghantar makanan kepada mereka
sekeluarga.
Hasif
memerhatikan Juliana yang duduk ayu di atas sofa kulit di tengah rumah. Rambut
panjang Juliana dilepas bebas mengurai melepasi bahu. Skirt labuh yang
dipadankan dengan top polos berlengan
pendek menyempurnakan lagi penampilan gadis itu. Memang cantik dan sempurna.
“Auntie Raihanah tak ada ke Hasif?”
Juliana tersipu malu apabila dia perasan sepasang mata Hasif begitu asyik
memerhatikan dirinya. Nampaknya tidak sia-sia dia meluangkan masa untuk bersiap
tadi.
“Mama
ada kelas tambahan kat sekolah. Budak darjah enam nak UPSR kan tak lama lagi,”
Hasif turut melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan Juliana.
Tangannya mengusap perlahan betis yang masih sakit menyengat.
“Kenapa
kaki Hasif tu?” Juliana sudah datang menghampiri. Berdebar-debar dirasakan
dadanya saat melihatkan kecederaan Hasif. Dari betis yang lebam, pandangan mata
Juliana singgah di wajah Hasif. Lelaki yang berkulit sawo matang itu kelihatan
cukup kacak sekali malam ini. Ehem, bukan malam ini sahaja. Malah setiap siang
dan malam pun lelaki itu cukup sempurna di matanya.
“Along
jatuh longkang petang tadi!” Hanani menyahut tiba-tiba. Sepinggan kek yang
dibawa oleh Juliana diletakkan di atas meja bersama sejag air oren Sunquick. Sengihan
di wajahnya melebar melihatkan wajah Hasif yang berkerut. Malulah tu!
“Ye ke?
Dah pergi klinik? Nampak teruk lebam kat kaki Hasif ni,” kening Juliana sudah
bercantum. Risau bukan kepalang dirasakan saat ini. Jahat punya longkang!
“Ish,
sikit je ni. Tak payahlah pergi klinik. Lagipun tadi Nani dah tolong urutkan,”
Hasif tersenyum melihatkan Juliana yang begitu mengambil berat tentang dirinya.
“Tak
boleh biar macam ni Hasif. Nanti takut bentan kalau bengkaknya tak surut. Hasif
nak Ju urutkan?” Juliana menawar diri. Kembang-kempis dadanya menunggu jawapan
dari Hasif. Ingin sekali dia menyentuh kaki Hasif yang lembam membiru itu. Akan
disalurkan aura kasih-sayang biar hilang segala kesakitan lelaki itu.
“Eh, tak
apa Ju! Tak manis pulak kalau Ju
tolong urutkan. Kalau tak surut lagi bengkak ni, esok Hasif ingat nak ambil
cuti sakit,” Hasif pantas menjawab. Mana mungkin dia membenarkan Juliana
menyentuh kakinya. Kalau Mama balik nanti tak pasal-pasal makan penampar.
Juliana
tersipu mendengarkan jawapan Hasif. Malu pula dirasakan apabila dia yang
beriya-iya benar menawar diri sedangkan lelaki itu menolak pula. Juliana
mengerling ke arah Hanani yang kelihatan kusyuk membaca buku Biologi.
Minta-mintalah bakal adik iparnya tu tak mendengar. Ehem.
Silauan
lampu kereta yang memasuki garaj rumah membuatkan Juliana membetulkan postur
badannya. Dia pasti Auntie Raihanah
sudah pulang dari mengajar kelas tambahan. Melihatkan wanita itu sedang
mengangkat beberapa buah buku rujukan yang tebal, Juliana terus menerpa untuk
menghulurkan bantuan.
“Eh,
patutlah auntie macam kenal aje kereta Jazz kat luar tu. Juliana
rupanya. Amboi, bergayanya malam-malam ni. Baru balik dating ke?” Raihanah menyapa ramah sebaik melihatkan gadis yang
sudah terlalu kerap datang ke rumahnya itu. Bukan dia tidak terkesan aura cinta
yang bersemarak di sebalik sepasang anak mata Juliana. Namun bila ditanya anak
terunanya itu, hanya gelengan dan jawapan ‘tidak’ yang diberikan. Pelik-pelik
betul cara orang muda sekarang bercinta.
“Ish,
mana ada lawa auntie. Biasa aje. Auntie
tu yang tetap anggun tau!” Juliana tertawa kecil dipuji oleh Raihanah. Mestilah
lawa auntie, lima kali saya tukar
baju tadi. Juliana menjerit di dalam hati.
“Sedap
nampaknya kek tu. Ni mesti Ju yang baking
kan. Hai... untung betullah siapa yang kahwin dengan Ju nanti. Siang malam
berhidang meja makan,” Raihanah mencubit sepotong kek berwarna merah itu.
Senyumannya melebar saat kek lembut itu melalui kerongkongnya. Cukup segala
rasa. Sejuk perut wanita yang mengandungkan Juliana.
Juliana
berasa sudah lenguh bibirnya menguntum senyuman apabila tidak henti-henti
dirinya dipuji. Tidak sia-sia dia melaburkan sejumlah wang untuk mengikuti
kelas masakan dan membuat kek. Dia pasti Raihanah akan tertambat dengan kemahiran
yang satu ini. Cuma hati Hasif sahaja yang terlalu sukar ditawani!
“Siapalah yang sudi pada Ju ni auntie...” lirih sahaja suara Juliana
memecah kesunyian. Raihanah menjeling ke arah Hasif yang tekun menonton
televisyen. Sedikit pun anaknya tidak berkutik seolah-olah perbualan mereka
tidak terkesan pada dirinya. Aik, tak ada rasa apa-apa ke?
“Ramai
yang nak tau Ju. Kalau auntie cakap
kat cikgu-cikgu bujang kat sekolah tu, tak menang tangan Ju nak melayan nanti,”
Raihanah mengusap lembut bahu Juliana. Gadis itu memang cantik. Namun pasti
lebih indah jika rambutnya yang panjang mengurai itu dilitupi dengan tudung.
Juliana
tersenyum kelat. Eh Auntie Raihanah
ni! Aku nak anak bujang dia tu. Cikgu-cikgu sekolah tu semua aku tak
pandanglah. Hati ini dah terkunci rapi untuk Hasif Wafiy seorang! Juliana membebel di dalam hati. Namun senyuman di wajah
tetap mekar terukir. Tangannya memintal hujung rambutnya yang panjang.
“Errr..
Ju...” Raihanah menyeru nama Juliana. Hati tuanya berasa serba-salah pula untuk
meluahkan apa yang tersirat di fikiran. Tangannya mengusap belakang tangan
Juliana yang lembut sementara kepalanya pula cuba merangka ayat yang sesuai.
Juliana menahan
debaran di dada. Bagai ada perkara penting yang ingin dilafazkan oleh ibu
kepada lelaki pujaannya itu. Jantungnya mula berentak dangdut. Manalah tahu
jika ini adalah saat-saat istimewa Auntie
Raihanah mahu merisik dirinya untuk Hasif? Spontan Juliana membetulkan rambutnya
sambil tersenyum bersahaja, “Ada apa auntie?”
“Hmm, kalau auntie
cakap ni, Ju jangan salah faham ye?” Raihanah tersenyum melihat Juliana yang
menggelengkan kepala. “Err... parents
Ju tak marah ke Ju balik lewat ni? Auntie
bukan menghalau tau Ju. Tapi auntie
sebagai emak, memang sentiasa risaukan anak-anak. Inikan pula Ju nak drive balik sorang-sorang ke Puncak Alam
sekejap lagi,” Raihanah melepaskan nafas kelegaan selepas kegusaran di hati
terluah jua.
Juliana tersenyum kelat. Ingatkan tadi dia bakal menempuh
detik bersejarah di dalam hidupnya. Rupanya Auntie
Raihanah sedang mengguna cara halus untuk menyuruh dia pulang. Alah Auntie Raihanah ni... Kalau risau,
jemputlah aku tidur kat rumah dia ni. Dapat juga berkongsi bumbung yang sama
dengan Hasif untuk satu malam!
“Ju?” Raihanah menyentuh lengan Juliana apabila
melihatkan gadis itu tetap berdiam diri. Berkecil hatikah gadis itu dengan
kata-katanya sebentar tadi?
“Ye auntie.
Betul juga apa auntie cakap tu. Baik
Ju balik sebelum jalan jadi lengang. Takut pulak
nak drive sorang nanti,” Juliana
terus berdiri dari sofa. Isyarat yang dihantar oleh Raihanah dapat dicerna
dengan sempurna oleh akal fikirannya. Alah, dia yakin Auntie Raihanah bukannya berniat untuk menghalau. Pastinya Auntie Raihanah teramat merisaukan
keselamatannya. Bukankah risau itu tandanya sayang?
“Hasif, Ju balik dulu ye?”
“Hah? Dah nak balik? Okay
Ju. Thanks datang hantar kek. Sorrylah, Hasif tak dapat nak hantar
sampai ke luar,” Hasif menunjuk ke arah kakinya.
“Eh, tak apa. Hasif rehatlah. Kalau esok nak Ju temankan
ke klinik, just give me a call ya?”
Juliana tersenyum mengharap.
“Eh, Ju tak kerja?” hampir serentak Hasif dan Raihanah
bertanya.
“Er, Ju memang ambil cuti esok. Kebetulan pulak kan?” Juliana tersengih macam
kerang busuk. “Nani, Kak Ju balik dulu ye. Belajar rajin-rajin tau untuk SPM,”
Juliana menyalami Hanani sebelum melangkah ke muka pintu.
“Ha, dengar tu Adik. Jangan asyik dengan Facebook, Twit-twit
apa tah. Dahlah result Biologi tak berapa okay
tu,” sempat pula Raihanah berceramah kepada Hanani yang terkebil-kebil.
“Oh, kena ambil kelas tambahan tu auntie...” Juliana sudah berkira-kira hendak menawarkan diri
mengajar Hanani. Bukanlah dia genius sangat pun dalam subjek itu. Tapi adalah
alasannya untuk selalu berkunjung ke rumah teres dua tingkat itu nanti.
“Memang pun Ju. Auntie
nak minta tolong dengan kawan lama auntie
nanti. Katanya anak dia ada ijazah pendidikan,” Raihanah sudah mengunci mangga
pagar rumahnya. Tangannya melambai ke arah Juliana yang sudah memegang stereng
kereta. Dalam samar malam itu tidak pula dia perasan wajah Juliana yang
kehampaan.
“Hmm, yelah... Ju balik dulu ye auntie. Assalammualaikum,” kereta Juliana meluncur perlahan.
Esok-esok Ju datang lagi ye auntie. Ju bawa kek Carrot Cheese, Blueberry,
Tiramisu dan segala jenis kek lagi dalam dunia ni!
Selamat menyambut awal muharram kepada semua pembaca! Semoga penghijrahan kita kali ini adalah ke arah yang lebih baik dan mendapat keberkatan dariNya. Amin! =)
alahai cian nye ju lain yg di harap lain plak lh ayat yg kuar dari mulut mother in law to be or nat to be tu..hehe dah macam hidung tk mancung tp saje jer duk sorong2 pipi tuh! sama dek salam awal muharram gak...
ReplyDelete