Orang Cantik dan Orang Hensem

Friday, September 19, 2014

Bab 16 - Main Kahwin-Kahwin

Bab 16
Sebaik masuk ke rumah, dia mengintai pula dari balik langsir. Diperhatikan Adam yang sedang berkata sesuatu kepada Wardah. Tawa yang meletus dari bibir Wardah kuat kedengaran. Wajah Wardah yang gembira membuatkan dia turut tersenyum.
Sehingga ke saat ini Wahid masih dihambat rasa ingin tahu. Membesarkan Wardah sepanjang dua puluh lima tahun ini menjadikan dia seorang yang benar-benar penuh syak wasangka. Semakin besar, semakin banyak akal si Wardah untuk melepaskan diri.
Wardah semakin sukar dikawal dan dijangka tindak tanduknya. Kalau sewaktu kecil dulu dia seorang yang mudah menurut kata, kini segalanya berubah. Arahan atau nasihat Wahid bagai angin lalu yang menyapa cuping telinga. Ada sahaja betahnya!
Bengang! Memang dia bengang. Terasa sukarnya membesarkan anak dara yang seorang ini. Pernah dahulu dia mengamuk sakan apabila mengetahui Wardah berpakaian seperti lelaki. Terasa gagal dirinya mendidik Wardah. Walaupun Wardah menjadikan peristiwa hitam itu alasan untuk melepaskan diri, namun dia tidak boleh terima.
Agama Islam agama yang sempurna. Wanita memang dilarang berpakaian menyerupai lelaki. Dia tidak suka Wardah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan fitrah wanita. Pada Wahid, apa yang terjadi pada Wardah adalah satu ujian dari Allah kepada hambaNya.
Hampir sebulan dia mogok bercakap dengan Wardah. Setiap hari dia dijamu dengan drama air mata Wardah. Bukan dia tidak kasihan. Namun hatinya dikeraskan jua supaya peristiwa itu menjadi peringatan kepada Wardah. Hasrat mahu melancarkan perang dingin selama tiga bulan itu akhirnya gagal.
Malam itu lenanya terganggu dengan jeritan kuat dari bilik Wardah. Asalnya dipekakkan sahaja telinganya. Tekaannya pasti Wardah mengunakan helah baru untuk menarik perhatian. Mujurlah Fawwaz memaksanya ke bilik Wardah. Anak gadisnya itu demam panas rupa-rupanya. Wardah meracau-racau sambil badannya menggigil kuat.
Bagai masih terngiang-ngiang di telinganya saat ini butir bicara Wardah yang menjerit –jerit memanggil ibunya. Sesekali Wardah meluahkan rasa tentang ayah yang sudah tak sayangkan dirinya.
Jatuh terduduk dia di tepi katil memeluk tubuh Wardah yang tidak sedarkan diri. Hukuman yang diberi kepada Wardah terlalu berat untuk dipikul oleh gadis yang rapuh jiwanya. Gadis yang tidak cukup kasih sayang seorang ibu. Gadis yang ditinggalkan ibu ketika berusia lima tahun. Tanpa sebarang pesan, tanpa sebarang berita, Farina pergi meninggalkan mereka.
Jiwa lelakinya tidak mengerti gelodak emosi Wardah. Yang dia tahu hanya cara kekerasan untuk membentuk Wardah. Dia mendidik Wardah mengikut caranya yang tersendiri. Dia tersilap langkah. Dia terleka bahawa anak gadisnya itu punya hati dan perasaan. Sama seperti dirinya, Wardah juga merindui Farina.
Pelbagai tohmahan mereka terpaksa telan sejak kehilangan Farina. Kesengsaraan hati mereka tiada siapa yang peduli. Dia sendiri dengan kudrat yang ada membesarkan anak-anak tanpa bantuan sesiapa.
Dia tidak pernah mengeluh apabila perlu bangun awal setiap pagi menyediakan sarapan dan pakaian anak-anak ke sekolah. Dia mengambil alih tugas Farina secara total. Dia masih ingat saat-saat kritikal menangani sikap Wardah di usia remaja.
Seharian anaknya menangis dan mengunci diri di dalam bilik. Bingung dia dan Fawwaz dibuatnya. Malam itu apabila Wardah masih degil memencilkan diri, dia nekad memecahkan pintu bilik Wardah.
Dia terlihat Wardah yang sedang tertidur dengan wajah yang sembab dan pucat. Ada tompokan darah pada katil dan seluar Wardah. Luruh jantungnya saat itu. Dikejarkan anaknya ke hospital. Terjerit pekik dia meminta kesemua kakitangan hospital membantu Wardah. Dia menanti berita di luar bilik doktor dengan hati yang gundah-gulana. Dia perlu bersedia jika doktor ingin mengabarkan berita buruk.
Kecoh sebentar ruang hospital apabila hasil diagnos Wardah diperolehi. Saat dia dipanggil masuk, Wardah sudah kelihatan lebih tenang. Dia masih ingat wajah Doktor Roselina yang tersenyum saat itu.
Dengan tenang doktor muda itu menceritakan tentang kejadian haid bagi setiap gadis yang sudah mencapai usia kematangan. Malam itu dia mendapat ilmu baru. Barulah dia tahu punca Wardah menguncikan diri. Anaknya itu terkejut, takut dan malu dengan perubahan fasa baru dalam dirinya.
Sejak itu dia melengkapkan diri dengan ilmu. Setiap bulan, dibelinya stok tuala wanita yang secukupnya untuk Wardah. Dia minta kawan di sekolah membawa Wardah ke pusat membeli-belah untuk membantu Wardah mencari pakaian dalam yang lebih sesuai.
Dia tanda pada kalendar peribadi miliknya tarikh jangkaan kedatangan haid Wardah setiap bulan. Dia sediakan tuaman air panas untuk Wardah kerana menurut Doktor Roselina, Wardah adalah antara gadis yang akan mengalami sakit senggugut yang teruk apabila diserang haid.
Wahid tersenyum mengenangkan suka-duka dilalui selama dua puluh tahun ini. Bukan seorang dua yang menawarkan diri untuk menjadi pengganti Farina. Namun sehingga ke saat ini hatinya masih sukar melupakan. Masih sukar untuk melepaskan.
Wahid terbayang senyuman Farina. Jika Farina ada saat ini, pastinya wanita itu turut berdiri mengintai dari balik langsir bersamanya. Mereka sama-sama akan memberi komen tentang Adam. To approve, to reject or to be decided later. Wahid kesat air yang mengalir dari tubir matanya.

Pulanglah Farina. Abang sedia menerimamu kembali...

8 comments:

  1. Assalamualikum...dan Salam Sejahtera....nk tanya novel ni dh x de sambungan dh ke???

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalam afina... sebenarnya penulis dah tulis sampai bab 37. masih bertungkus lumus nak siapkan full manuscript. hehehe

      Delete
  2. Assalamualaikum sis....dh xde smbungan eh novel nieyh..or dh buat dlm bntuk novel??..kalo ade tlong inform eh...thanks..

    ReplyDelete
    Replies
    1. assalam sayor... sy masih usaha nak siapkan full manuscript ni. InsyaAllah tahun ni nak siapkan jugak. doakan sy ye...

      -LyaZara-

      Delete
  3. Replies
    1. nakkkkk...hehehehe...nanti sy update bab seterusnyaaa

      Delete
  4. Salam.. Sis Mcm mne nk dptkn novel ni.

    ReplyDelete
  5. Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    Hương Lâm chuyên cung cấp máy photocopy, chúng tôi cung cấp máy photocopy ricoh, toshiba, canon, sharp, đặc biệt chúng tôi có cung cấp máy photocopy màu uy tín, giá rẻ nhất.

    ReplyDelete