Orang Cantik dan Orang Hensem

Thursday, September 12, 2013

Bab 1 - Main Kahwin-Kahwin

PHEWW! Nasib sempat!” Hasif pantas menyelitkan tubuhnya di saat pintu tren hampir tertutup.Sepasang matanya menjeling ke arah jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah pukul 5.45 petang. Patutlah setiap gerabak dipenuhi dengan umat manusia. Pastinya semua orang sedang terkejar-kejar untuk ke destinasi masing-masing.
Hasif memegang kejap tiang besi untuk mengimbangi badannya yang terhuyang-hayang apabila tren bergerak laju. Dalam keadaan sesak begini memang dia tidak berharap untuk mendapatkan tempat duduk. Tambah-tambah lagi dia pasti ada orang lain yang lebih memerlukan tempat duduk berbanding dirinya yang masih muda, kuat dan hensem. Ewah, sempat pulak nak puji diri sendiri ye.
Seri Setia,”
Hasif tersenyum mendengarkan suara pemandu komuter. Bererti tiga stesen lagi sebelum dia akan sampai di Stesen Shah Alam. Pergerakan penumpang yang keluar masuk menyebabkan badannya turut terdorong menghimpit penumpang yang lain. Sesungguhnya sedikit pun tubuhnya tidak merasakan sejuk penghawa dingin. Peluh jantan betina sudah memercik membasahi kemeja kerjanya.
Bau badan bercampur-baur antara ratusan penumpang sudah cukup melalikan reseptor-reseptor hidungnya. Deria baunya sudah kebal dan imun setelah hampir tiga tahun dia berulang-alik dari rumah ke tempat kerja. Kalau awal-awal dulu memang cabaran besar untuk hidungnya menampung pelbagai bau yang cukup memualkan. Habis layu dan mati semua bulu hidungnya dibaja dengan bauan yang hebat itu.
“Ops! Sorry bro!” Hasif melepaskan cengkaman dari bahu lelaki pendek di hadapannya. Hadui, tindakan spontan yang tidak dirancang. Pergerakan tren yang terhenjut-henjut menyebabkan dia sukar mengawal keseimbangan badan.  Beg galas di belakangnya itu sudah berapa kilo beratnya. Dia sendiri tidak pasti.
Hasif memastikan cengkaman pada batang tiang semakin kuat. Mujurlah dia terpegang  bahu lelaki pendek itu. Kalau bahu wanita seksi di sebelahnya yang disentuh tadi, sudah tentu lebam biji matanya petang ini. Sepasang matanya memerhatikan tubuh lelaki yang berdiri di hadapannya. Kecil sahaja saiz lelaki yang sedang membelakangkan dirinya. Budak sekolah agaknya?
Subang Jaya,”
Adui, cepatlah sampai! Hasif Wafiy mengeluh di dalam hati. Tinggal dua lagi stesen tapi rasanya terlalu jauh untuk tiba ke destinasi. Badannya sudah berlengas berpeluh menahan bahang kepanasan yang memenuhi gerabak itu. Tapak tangannya juga sudah basah dengan peluh. Terasa licin menggelungsur setiap kali dia cuba memegang batang besi itu. Kalau nasib tak baik bimbang pula dia jatuh tersungkur.
Tren kembali bergerak secara terhenggut-henggut sewaktu ingin memulakan perjalanan. Kali ini jumlah penumpang semakin ramai menghimpit antara satu sama lain. Usahkan hendak berjalan, hendak menggerakkan kaki seinci pun terasa begitu sukar. Mampat dan sendat sekali isi setiap gerabak itu.
Saat tren sudah mula memecut laju, Hasif semakin sukar mengimbangi tubuh badannya. Pegangannya pada batang besi semakin melurut kerana tapak tangan yang sudah lencun dengan peluh.
Rempuhan dari belakang menyebabkan Hasif hilang keseimbangan berdiri. Lututnya terasa lembik dan bengkok dengan tiba-tiba. Tubuhnya terdorong ke hadapan hampir terjatuh menyembam lantai komuter. Spontan dia memeluk tubuh lelaki di hadapannya untuk menampan diri dari terjatuh.
“Hoi! Apa peluk-peluk ni?!” suara nyaring kedengaran dari tubuh lelaki kecil yang dipeluk oleh Hasif. Hm, memang sah budak sekolah. Belum pecah suara lagi ni. Hasif yang terkejut masih belum melonggarkan pelukannya pada tubuh itu.
“Woi! Kau pekak ke buta? Kenapa peluk-peluk aku ni?” Wardah bertempik kuat sambil berusaha melepaskan pelukan lelaki asing pada tubuhnya. Pantas dia memalingkan tubuhnya untuk melihat sendiri lelaki yang berani mengambil kesempatan sebegitu. Wajahnya yang menyinga ditala kepada Hasif.
Gulp!
Hasif telan liur. Manusia yang dipeluknya sebentar tadi bukan lelaki rupanya! Sebaliknya perempuan muda yang berpakaian serupa lelaki. Patutlah sedap semacam aje bila landing tadi.
Sorry bro! Eh, sorry kak. Eh, adik! Saya tak sengaja. Nak terjatuh tadi...” Tersasul-sasul dia hendak memberi gelaran kepada makhluk di depannya. Hasif tayang muka serba-salah. Yelah, nak buat macam mana lagi. Memang salah dia terpeluk tubuh perempuan itu. Cara terbaik adalah mengucapkan kata maaf untuk mengendurkan suasana yang tegang.
“Apa sorry-sorry? Kau sengaja kan nak ambik kesempatan. Mula-mula pegang bahu. Pastu nak raba-raba aku pulak!” Wardah memuntahkan kata-kata tuduhan. Sepasang matanya merah menahan marah. Pipinya sudah setebal kek lapis saat ini. Malu gila dipeluk sebegitu oleh lelaki kurang ajar di hadapannya.
Hasif garu kepala yang tidak gatal. Berombak kencang dadanya saat dituduh sebegitu oleh perempuan tak berapa nak perempuan itu. Dahinya berkerut seribu. Cuba dikumpul kesabaran di hati walaupun rasa marahnya juga sudah mula hendak meletup. Api tak boleh dilawan dengan api. Sila jadi air Hasif! Hasif memujuk diri.
“Ya Allah! Sumpah dik. Saya memang nak terjatuh tadi. Saya minta maaf. Langsung tak ada niat nak ambil kesempatan. Lagipun... errr... saya ingatkan awak... hmmm... lelaki tadi,” Hasif bicara perlahan. Kalau boleh dia tidak mahu membesar-besarkan isu itu. Tapi perempuan ni lebih-lebih pulak menuduh dia macam-macam.
Wardah bagai terkena renjatan elektrik apabila mendengarkan ayat terakhir yang meluncur dari bibir Hasif. Berdesup jantungnya bagai dipukul badai tsunami. Wardah merenung wajah-wajah yang menjadi pemerhati tegar semenjak tadi. Entah mengapa dia merasakan mereka sedang tersenyum mengejek ke arahnya. Skala kemarahannya meningkat naik dengan mendadak.
“Kau jangan kurang ajar sangat ek! Kau memang nak ambil kesempatan! Gatal! Miang! Bongok! Beruk!” Wardah menjerit kuat. Jari telunjuknya ditunjal-tunjal ke dada bidang Hasif. Wajah Hasif yang sudah merah sedikit pun tidak menjentik rasa ke hati Wardah. Siapa suruh mulut kau longkang sangat, ha?
“"Eh, kau ni apsal? Bukannya aku saja-saja nak peluk kau! Mana aku tahu kau tu perempuan? Dari belakang dah macam lelaki je! Ingat aku ada selera ke nak gesel-gesel kat kau?!" Hasif membalas geram. Hilang terus kesabarannya melihatkan sikap serta kata-kata Wardah yang macam bom atom. Muka hensem macam ni dia panggil beruk? Memang tak patut!
"Woi, woi, woi! Cakap baik-baik sikit eh! Kalau aku hayun penumbuk ni, bersepai gigi kau atas lantai tau tak!" Wardah mengacu penumbuknya. Geramnya sudah sampai ke kemuncak. Ada juga yang makan penumbuk sulungnya hari ini.
Hasif tersenyum mengejek. Eleh, setakat tangan kecik macam tu ingat aku takut ke? Hesy, tak padan dengan perempuan! Tapi lagak macam keturunan gengster! Hasif berkira-kira untuk mengarang ayat untuk membalas kata-kata Wardah. Takkan hendak ditunjuk penumbuk juga kepada perempuan itu. Nampak sangat dayusnya nanti.
“Suka hati awaklah nak cakap apa cik adik. Saya dah bagitahu yang saya tak sengaja. Dan saya pun dah minta maaf. Terpulanglah awak nak buat apa...” Hasif mengurut dada. Malas hendak berlawan cakap dengan Wardah. Macam perempuan mereng! Pandangannya dihala keluar tingkap untuk meredakan sakit hati yang begitu menusuk.
Padang Jawa,” suara pengumuman pemandu tren bagaikan mengembalikan Wardah ke alam nyata. Wardah memandang Hasif yang berdiri tidak jauh darinya. Entah mengapa rasa sakit hatinya pada lelaki itu masih belum surut walaupun kata maaf sudah dilafazkan berkali-kali. Alah, biasalah lelaki. Dah dapat raba-raba lepas tu buat dialog macam tak bersalah!
Wardah mendekati Hasif dengan niat nakal yang tidak dapat dibendung. Dia berkira-kira di dalam hati sama ada ingin meneruskan niatnya itu atau pun tidak. Ah, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal ketiak! Lelaki miang seperti Hasif memang harus diajar supaya tidak mengulangi perkara yang sama pada perempuan lain.
BUKKK!
Wardah menendang betis Hasif sekuat hati sebelum meluru keluar dari pintu tren. Jeritan Hasif yang mengaduh kesakitan membuatkan dia terhenti dan berpaling untuk melihat sendiri wajah lelaki itu. Wardah tersenyum kemenangan saat pintu tren mula tertutup. Rasa hendak pecah perutnya melihatkan wajah Hasif yang menyeringai kesakitan sambil tangannya lincah mengusap betis yang perit menahan pedih tendangannya tadi.
Blueekk! Wardah menjelirkan lidahnya kepada Hasif saat tren kembali bergerak. Hah, padan muka kau mamat miang yang sengal! Jangan main-main dengan aku. Ni Aimy Wardah tau!


No comments:

Post a Comment