WARDAH menghayunkan langkah diiringi dengan
siulan kecil. Peristiwa hitam dipeluk oleh lelaki asing tadi cuba diusir pergi
dari kotak fikiran. Kakinya mengorak ke arah tandas awam yang terletak di
sebelah kiri bangunan. Sekeping syiling dua puluh sen dan sepuluh sen
diletakkan di atas meja.
“Baru balik Wardah?” Melur menegur sebaik ternampak kelibat pengunjung
setia tandas awam di situ.
“Ish, Kak Melur ni! Panggil Aimy dah lah kak. Gelilah panggil Wardah!”
Wardah bersandar di tepi meja kecil itu. Tangannya mencapai sepotong kuih lapis
yang dibeli oleh Melur lalu disumbat ke dalam mulut.
“Sedap apa nama Wardah tu. Cantik... Manis... Sesuai dengan empunya badan,”
Melur mengusik Wardah yang sudah tersipu-sipu malu. Mengenali Wardah sejak
setahun yang lalu sudah cukup untuk dia menilai hati budi gadis itu. Luarannya
sahaja yang keras macam batu. Padahal hatinya lembut macam salju.
“Hesy, akak puji-puji ni bukannya saya ada duit pun nak belanja makan.
Minggu depan saya dapat gaji kita pergi pekena Laksa Buyong. Amacam? Nak tak?”
kening Wardah terjungkit sedikit. Tangannya membetulkan snow cap yang
menutupi keseluruhan rambutnya.
“Kalau betul kau nak belanja, satu perut akak tadahkan Wardah oi...” Melur
mengekeh ketawa. Dapat makan free, siapa yang tak happy?
“Okay, set Kak Melur. Next week kita pergi
makan!” Wardah menunjuk isyarat ibu jari. Melebar senyuman terukir di wajahnya
yang merah menahan terik mentari.
“Lambat kau hari ni Aimy?” Amri muncul dari belakang bangunan. Satu beg
plastik hitam berisi sampah diletakkan di tepi dinding. Tuala Good
Morning yang disangkut pada leher digunakan untuk mengesat peluh yang
mengalir dari dahinya.
“Ha’ah. Aku bergaduh dengan mamat poyo dalam tren tadi,” wajah Wardah
berubah kelat dengan tiba-tiba. Membayangkan wajah lelaki itu membuatkan
darahnya kembali mendidih panas. Meremang bulu romanya mengenangkan kejadian
tadi. Janganlah nightmare pulak malam nanti.
“Kenapa pulak? Apa dah jadi?” Amri melangkah menghampiri Wardah
dan Melur. Namun kakinya terhenti dan dia sekadar bersandar pada dinding dalam
jarak yang selamat. Dia segan kalau-kalau badannya berbau dan dihidu oleh
Wardah.
“Mamat tu peluk aku...”
“Hah? Kau kena peluk? Lepas tu kau buat apa?” Melur hampir terjerit.
Dramatik habis reaksinya saat itu.
“Ish, perlahanlah sikit suara tu Kak Melur. Saya maki diakaw-kaw lah
kak. Selamba je dia minta maaf. Macam tak ikhlas je. Last-last saya
tendang kaki dia!” Wardah bicara perlahan. Wajah lelaki yang menyeringai
kesakitan itu tiba-tiba menjentikkan rasa simpati di hatinya. Mesti sakit kena
sepak dengan sport shoes yang dipakainya itu.
“Ganas betullah kau ni Wardah. Dia tak sengaja agaknya tu,” Melur menampar
lembut bahu Wardah. Kepalanya digeleng-gelengkan tanda tidak setuju.
“Hish! Kalau aku ada tadi, aku tumbuk lumat mamat tu! Berani dia peluk kau!
Tak suspect orang langsung!” Amri meludah di tepi longkang.
Rasa marahnya meruap dengan tiba-tiba apabila mendengarkan cerita Wardah.
“Suspect apanya Am? Respect lah...” berderai
tawa Melur dan Wardah mendengarkan kata-kata Amri yang belajar setakat
Tingkatan Empat itu.
“Haa, tulah yang aku nak cakap tadi...” Amri menahan malu. Mujurlah
kulitnya sudah hitam kerana sering dibakar mentari. Tak adalah nampak sangat
dia sedang menanggung rasa malu. Wajah Wardah dicuri pandang. Aduhai, indahnya
ciptaan Tuhan! Kurang ajar betul lelaki yang sudah menyentuh gadis pujaannya
itu!
“Eh, Kak Melur. Dah pukul berapa ni?” Wardah menarik tangan Melur untuk
melihat jam tangannya. “Ya Allah! Dah dekat pukul 6.30! Kejap lagi ayah saya
nak sampai! Saya masuk toiletdulu. Nak siap!” Wardah mencapai
sebuah beg dari laci meja Melur sebelum bergegas menghilangkan diri ke tandas.
“Kau ni tak nak balik lagi ke Am?” Melur menjeling penuh makna kepada Amri
yang sedang terpacak berdiri dekat pintu tandas wanita.
“Kejap lagi nak baliklah ni kak,” Amri menjawab sepintas. Namun matanya
masih tidak lepas dari memandang ke arah dinding yang memisahkan dia dan
Wardah.
“Hmmm,” Melur berdehem penuh makna. Bukan dia tidak tahu apa yang bermain
di benak lelaki itu. Ada orang menunggu puteri kayangan turun dari langit, Si
Amri ni pula menunggu bidadari keluar dari tandas!
Sepuluh minit berlalu, Wardah sudah siap menyalin pakaian. T-shirt besar
serta seluar longgar yang dipakainya tadi sudah dilipat kemas di dalam beg
sandang. Dia kini sudah menyarung baju kurung kain kapas bercorak bunga-bunga
kecil berwarna merah jambu. Tudung dari rona senada turut tersarung di
kepalanya. Amboi... persis anak dara pujaan! Wajahnya saja yang polos tanpa
secalit bedak mahupun solekan.
Amri mengusap dada sebaik Wardah melintas di hadapannya. Inilah yang
ditunggunya setiap hari. Pemandangan yang cukup indah mengusik naluri
lelakinya. Bukan senang ingin melihat Wardah berpakaian sebegini. Dia merasakan
dirinya cukup bertuah dapat melihat Wardah dalam penampilan seperti wanita
Melayu terakhir.
“Ayah saya dah sampailah Kak Melur. Saya balik dulu ye. Am, aku balik dulu.
Jumpa esok!” Wardah melambai seraya berjalan ke arah kereta Honda Accord yang
sudah tersedia menunggu di bahu jalan. Langkahnya kelihatan kekok berjalan
dalam kain yang sedikit sempit.
“Tutuplah mulut kau tu Am. Menganga dari tadi. Suspectaku
dibuatnya!” Melur ketawa mengusik. Wajah Amri yang malu-malu itu sudah terlalu
biasa dilihatnya. Selain dari rutin harian mengutip sampah di kawasan Stesen
Komuter Padang Jawa, Amri adalah penunggu setia yang menyambut dan menghantar
Wardah setiap pagi dan petang.
“Macam bidadari kan, kak?” Amri tersenyum sebelum mencapai beg plastik
sampah yang ditinggalkan di tepi dinding tadi. Hatinya berbunga ceria seperti
hari-hari sebelumnya. Bau sampah pun bertukar menjadi bau pepium saat
ini. Semuanya kerana Aimy Wardah!
*
*
*
*
*
*
WARDAH membetulkan
kain batik yang hampir terlucut dari ikatan. Susah betul nak ikat kain tu
supaya melekat di pinggangnya! Dulu pernah juga dia ikat dengan tali rafia
untuk mengemaskan kedudukan kain batiknya. Namun bila ayah ternampak, bising
betul mulut ayahnya membebel. Dah macam hantu bunjut katanya!
“Huiyo! Nasi ayam kukus. Sedapnya! Kau ke masak?” Fawwaz menjenguk dari bahu
Wardah. Wajah Wardah yang pucat mengurut dada dipandang sekilas. “Terkejut ke?”
“Mestilah terkejut! Tiba-tiba je Along masuk dapur ni. Lain kali buatlah
bunyi-bunyi sikit. And yes, hari ni kita dinnernasi
ayam. Of course lah ayah yang masak! Lagi mahu
tanya ke Along ni!” Wardah menyusun pinggan di atas meja makan. Semuanya
kelihatan kemas dan teratur. Memang itu satu-satunya kepakaran di dapur yang
dia miliki. Nak suruh memasak memang dia awal-awal lagi menyerah kalah. Tak
pandai. Tak ada bakat.
“Kau ni anak dara apa tak pandai masak? Esok-esok dah kahwin nak jamu apa kat
laki kau. Biskut kering dengan air paip ke? Huish, malang betul suami kau
nanti!” Fawwaz sudah menarik kerusi dan melabuhkan punggung. Tangannya mencubit
isi ayam di dalam pinggan sebelum disiku pantas oleh Wardah.
“Hesy! Lambat lagilah orang nak kahwin Along! Lagipun kalau orang nak kahwin,
lelaki tu kenalah memahami dan menerima kekurangan orang!” Wardah menarik
kerusi di sebelah Fawwaz lalu sebelah kakinya mendarat di situ.
“Aimy Wardah,”
Dua pasang mata menoleh ke arah Wahid yang melangkah masuk ke dapur. Susuk
tubuh lelaki yang sudah lebih dari separuh abad itu kelihatan masih sihat
seperti orang muda. Wajah tenangnya menguntum senyuman di wajah Wardah.
“Ye ayah,” Wardah melunakkan suara. Depan ayah tak boleh nak buat perangai
kasar-kasar sangat. Nanti tak pasal-pasal dapat ceramah percuma.
“Turunkan kaki kamu tu. Duduk sopan sikit boleh tak? Kamu tu anak dara dah
Wardah. Tak elok duduk terkangkang macam tu,” Wahid melabuhkan punggung di atas
kerusi. Suara tegasnya membuatkan bulo roma Wardah berbaris tegak. Spontan dia
duduk dengan sopan bagai anak dara pingitan. Tangannya terus ligat menyendukkan
nasi untuk kedua-dua lelaki yang teramat disayanginya.
“Site kamu yang ada masalah tu macam mana? Okaydah?”
Wahid menguyah perlahan sambil matanya tertumpu kepada anak sulungnya.
“Okay dah ayah. Tapi teruk jugaklah nak kejar balikschedule hari
tu. Memang site kena operasi dua puluh empat jam. Kalau tak
sangkut pula progress claim,” Fawwaz bercerita ringkas. Memang tempoh
dua bulan yang lalu menyebabkan dia tidak cukup rehat untuk memastikan
kerja-kerja terbengkalai di tapak pembinaan dapat diselesaikan kembali.
“Alhamdulillah. Eloklah macam tu. Nanti ambillah cuti sehari dua. Kita pergi
makan angin rehat-rehatkan badan,” Wahid menyimpul senyuman. Sudah lama mereka
tiga beranak tidak meluangkan masa untuk bercuti. Walaupun masih tinggal
sebumbung, namun waktu sarapan dan makan malam sajalah masa untuk mereka
bertemu. Pandangan matanya jatuh pada Wardah yang sedang melahap nasi ayam
dengan bersungguh-sungguh. Sebutir dua nasi jelas kelihatan melekat pada pipi
kiri anaknya itu. Tak tahulah nak marah atau tergelak dengan sikap anak
perempuannya itu.
“Sedap ke Wardah?”
“Best ayah! Sedap sampai menjilat siku! Ayah ni boleh buka kedai
makanlah ayah!” Wardah menggigit peha ayam dengan rakus. Memang dia berkata
ikhalas, bukan sekadar mengambil hati Wahid. Semenjak dia kecil, dia hanya
pernah makan masakan Wahid. Dia tidak pernah menikmati air tangan seorang ibu.
Nak buat macam mana, sejak kecil lagi dia sudah terpisah dengan ibu. Dia
membesar dengan kasih-sayang ayah dan Along semata-mata.
“Kalau ayah buka kedai makan, kamu sorang ajelah customer ayah.
Pelanggan lain nak masuk pun takut tengok cara kamu makan. Macam tak makan
setahun!” Wahid dan Fawwaz ketawa serentak. Wajah Wardah yang merah ditatap
oleh dua pasang mata itu. Wardah tersenyum kelat. Indirectly, ayah
nak cakap dia tak sopanlah tu. Menyampah tau!
“Ha, Wardah. Along nak tempah bunga tau. Nanti Along bagitahu balik berapa
banyak. Ada diskaun tak?” Fawwaz meneguk air sirap limau yang sejuk.
“Wow wee! Along nak kasi kat awek ke? Confirm lah ada diskaun
untuk Along. Orang pakai harga staff nanti! Nak berapa kuntum
ros merah?” sepasang kening Wardah terjungkit-jungkit memandang ke arah Fawwaz.
Wahid yang sedang makan pun terhenti menunggu jawapan dari Fawwaz. Tak tahu
pula yang anak lelakinya itu sudah berpacaran. Dah nak bermenantu rupanya dia.
“Bukan untuk aweklah! Ada majlis kat company Along. Nak raikan
salah seorang lembaga pengarah. Esok Alongconfirmkan berapa kuntum
bunga. Kau pilihlah yang lawa-lawa. Untuk perempuan umur 45 ke 50 tahun,”
Fawwaz tersengih melihatkan reaksi ayah dan adiknya. Ingat aku ada masa ke nak
cari awek sekarang ni?
“Adoi! Ingatkan nak bagi orang kakak ipar dah! Bilalah nak dapat anak sedara
ni...” Wardah buat muka sedih. Kalau nak ikutkan Alongnya memang hensem. Dengan
kerjaya yang stabil, sudah pasti ramai perempuan yang datang menghimpit. Apa
sajalah yang menahan Along dari mencari pasangan agaknya?
“Along nak bagi kamu kahwin dulu. Baru selesai tanggungjawab Along. Kan ayah?
Ayah carilah sorang untuk Wardah ni. Bekas anak murid ayah tak ada ke
yang available?” tercekik nasi Wardah dibuatnya mendengarkan
kata-kata Fawwaz. Nak mengusik dia tu satu hal. Tapi yang sampai libatkan ayah
tu kenapa? Ayah bukan boleh dibawa bergurau hal-hal jodoh dia. Serius aje muka
ayah nanti.
“Yang available banyak. Tapi ada ke yang nak kat Wardah tu.
Macam tak cukup hormon estrogen je ayah tengok. Ha, Wardah. Alang-alang
dah bukak cerita ni, ayah nak tanya satu soalan ni,” Wardah
kecut perut mendengar suara serius Wahid. Wajah Fawwaz yang tersengih-sengih di
jeling geram. Jagalah kau Along!
“A..apa dia ayah?” Wardah tak dapat mengawal debaran. Takkanlah ada yang
bagitahu pada Wahid yang dia masih tegar berpakaian seperti lelaki? Rahsianya
itu hanya dikongsi dengan Melur dan Amri.
“Sampai bila kamu nak kerja kat kedai bunga tu? Dah dekat setahun tau
kamu graduate. Nak simpan dalam almari ajeke ijazah
kamu tu? Sudah-sudahlah main-main tu. Fikir masa depan tu Wardah. Ayah ni bukan
lama lagi nak jaga kamu,” Wahid mengangkat pinggan ke sinki. Ada getar sedih
yang terkesan pada bicaranya yang membuatkan hati Wardah tersayat pilu.
“Hm, nanti orang cari kerja lain ayah,” Wardah menjawab sebaris. Jawapan
neutral aje yang diberikan. Dia tidak berani berjanji sesuatu yang
belum tentu mampu ditunaikan.
“Dari dulu kamu kata nanti-nanti. Carilah betul-betul. Ijazah pendidikan tu
laku kamu tahu tak? Cuba minta kerja kat kolej-kolej. Suruh apply cikgu
dulu tak mahu. Sombong!” Wahid kembali duduk di meja makan. Seteguk air melalui
kerongkongnya.
“Ayah! Orang bukan sombong. Orang tak minatlah jadi cikgu. Ayah lupa apa jadi
masa orang praktikal dulu? Orang seriklah!” Wardah membungkam rasa. Hilang
terus selera makannya di saat itu. Dia tak nak jadi cikgu sekolah! Pengalaman
empat bulan menjalani latihan mengajar dulu masih segar dalam ingatannya.
“Kalau tak nak jadi cikgu sekolah, kamu apply kat kolej.
Kesiankanlah ayah ni...” Wahid membuang pandang ke luar tingkap. Suaranya tidak
kedengaran serius seperti tadi. Sebaliknya terkesan nada kecewa pada
kata-katanya.
“Ehem. Nantilah Along minta kawan-kawan carikan kolej yang ada vacancies.
Kat Shah Alam ni pun banyak kolej swasta. Nanti Wardah bagi je resume,”
Fawwaz dilanda rasa bersalah. Asalnya dia sekadar ingin mengusik adik
kesayangannya itu. Manalah tahu boleh jadi isu besar pula.
“Tapi... Orang tak minat mengajar...” Wardah masih memancing simpati.
Apa? Low-class benarkah kerjanya sebagai pembantu di kedai
bunga? Memanglah gajinya kecil. Tapi kalau setakat menampung hidupnya seorang
masih mencukupi. Yang penting hatinya gembira dikelilingi bunga-bunga pelbagai
rupa dan warna.
“Minat boleh dipupuk. Nanti ayah usahakan sampai rasa minat tu datang. Ayah
pegang janji kamu ni Wardah,” Wahid sudah bangun menuju ke ruang tamu. Dia
ingin menonton rancangan Discovery Channel kegemarannya. Lagipun dia malas mahu
berbalas hujah dengan Wardah. Bimbang hati tuanya akan berlembut lagi seperti
sebelum-sebelum ini.
Sejak kebelakangan ini memang hatinya asyik membimbangkan masa depan
Wardah. Entah mengapa sukar pula membentuk anaknya yang seorang ini. Nampaknya
darah pendidik yang mengalir di badannya tidak sedikit pun menjentik rasa yang
sama di hati anak gadisnya itu. Namun dia yakin, jika minat itu berjaya
dicungkil keluar, pasti Wardah akan jatuh cinta pada profesion itu nanti!
Cuma... Bagaimanakah cara untuk menyemai benih minat di hati batu Aimy
Wardah?
No comments:
Post a Comment