TITIS air yang mengalir dari hujung rambutnya
dibiarkan jatuh ke lantai. Juliana mengerling jam di dinding. Lebih kurang 40
minit lagi Hasif akan datang menjemputnya. Ia bukanlah satu jangka masa yang
lama untuk Juliana merias dirinya dari pangkal rambut hingga ke hujung kaki.
Tangannya mencapai alat pengering rambut. Serum rambut disapu sebelum dia
mengering sambil membentuk gelung-gelung ombak pada rambutnya yang panjang.
Selesai dengan rambut, Juliana mengulit pula kulit wajahnya yang mulus. Sebiji
jerawat bersaiz nanometer ditekan dengan geram.
“Waktu ni lah kau nak tengok dunia kan?” Juliana mengomel sendirian. Taraf
keyakinannya bagai menurun 20% dengan kehadiran parasit kulit yang satu itu.
Setelah tiga puluh minit berdandan di hadapan cermin, Juliana menghampiri
almari baju. Dikeluarkan sehelai jeansstraight cut dan peplum
blouse berlengan panjang warna merah jambu. Sudah bertahun mengenali
Hasif, dia sudah mengerti sedikit sebanyak perkara yang disukai oleh lelaki
itu. Fesyen seksi yang digemarinya sebelum ini tidak mungkin dapat menambat
hati lelaki bernama Hasif Wafiy!
Juliana berpusing di hadapan cermin besar setinggi manusia. Minyak wangi
Salvatore Ferragamo disembur pada nadi pergelangan tangan dan dicalit pada
batang lehernya. Sebuah senyuman terukir di bibir tanda berpuas hati dengan
penampilannya pada malam itu. Perfecto!
“Ju nak keluar dengan siapa ni?” Munirah menegur tatkala Juliana sudah membuka
pintu rumah. Pandangan matanya memerhatikan Juliana dari atas ke bawah.
“Oh, mummy! Ju nak keluar dengan Hasif!” Juliana tersengih cuma.
Macam manalah boleh tak perasankan mummytadi?
“Hmm... Ju dah ada apa-apa ke dengan Hasif? Korang dah cakap pasal hati perasaan
ke?”
“Alaaa... mummy tau lah anak Auntie Raihanah tu macam mana
kan? Pemalu! Dia bukan pandai nak luahkan hati dia tu. Tapi Ju tahu dia layan
Ju special!”
Munirah menyembunyikan kerutan di dahi. Sudah berjuta kali agaknya dia mendengar
jawapan yang lebih kurang sama dari mulut Juliana. Bukan dia enggan merestui
Juliana dan Hasif. Namun dia tak mahu Juliana yang melebih-lebih. Sejak
bertahun yang lalu dia merasakan Juliana mengejar Hasif. Dah macam perigi
mencari timba!
“Amboi anak ayah ni! Bukan main lagi melaram. Adafashion show ke?”
Zahid muncul dari dapur. Dia tersenyum melihatkan Juliana yang jelita saling
tak tumpah seperti Munirah sewaktu muda-muda dahulu. Memang mengancam!
“Anak awak tu nak keluar dengan Hasif la bang... Tu, dah sampai pun orangnya,”
Munirah mengintai dari balik kain langsir.
“Tak nak jemput dia masuk dulu?” Zahid turut mengintai di sebelah Munirah.
“Dah lambatlah ayah. Kami nak cepat. Ju pergi dulu ya,” Juliana lekas-lekas
menutup kembali pintu rumah. Dia tak mahu Hasif disoal siasat oleh kedua-dua
orang tuanya. Dia bimbangmummy atau ayahnya akan menyoal tentang
perancangan masa depan. Padahal Hasif sendiri belum meluahkan apa-apa
kepadanya. Alah, tak lama lagi lah tu...
“Hai, Hasif!” Juliana menghampiri Hasif yang sudah keluar dari perut kereta.
Kacak macam selalu! Nak tolong bukakan pintu untuk aku ke? Aduhai
romantisnya...
“Hei, Ju! Hm, tak payah jumpa dengan Uncle and Auntie dulu ke?” Hasif
sudah menghampiri pagar rumah Juliana.
“Eh, tak payah la Hasif. Dorang dah tidur agaknya! Jomlah kita pergi,” Juliana
sudah bersandar di tepi pintu kereta.
Hasif terdiam cuma. Tidur? Habis bayang dua manusia yang tengah mengintai celah
langsir tu siapa? Namun Hasif enggan berbalas bicara. Terus saja dia masuk
semula ke tempat duduk pemandu. Sedikit pun dia tidak menyedari yang Juliana
sudah memuncung panjang akibat dibiarkan membuka pintu kereta sendiri.
Wardah meneliti satu demi satu buku rujukan di atas rak. Sudah hampir lima
belas minit dia berdiri di situ. Namun masih belum ditemui buku rujukan yang
berkenan di hati. Dia lebih sukakan buku rujukan yang menyediakan ringkasan
peta minda. Otaknya mudah mencerna visual daripada penerangan panjang berjela.
Kalau diturutkan rasa hatinya, sudah pasti permintaan Auntie Raihanah ditolak
mentah-mentah. Namun mengenangkan kebaikan keluarga wanita itu serta harapan
ayahnya yang tinggi, Wardah jadi serba-salah. Tak mengapalah mengalah sedikit
dengan kehendak dirinya sendiri.
Setelah hampir setengah jam memilih buku, akhirnya dia sudah membuat keputusan.
Sebuah buku rujukan dan dua buah buku latihan dibawa ke kaunter. Wardah
menjeling jam di pergelangan tangan. Dia sudah berjanji dengan Wahid agar
mengambilnya sebentar lagi. Oleh sebab itulah dia terpacak di tengah SACC Mall
dengan baju kurung cotton bercorak Mickey Mouse. Kalau tidak
jangan haraplah dia hendak berpakaian sebegini di tempat awam. Memang tak
betah.
“Semuanya RM45.60, kak”,
Wardah mencari sekeping not RM50 yang dikeluarkan dari mesin ATM sebelum dia ke
mari tadi. Aik, mana pula perginya? Wardah berasa gelabah dengan tiba-tiba.
Sempat pula dia melihat barisan yang agak panjang menanti giliran di
belakangnya. Mana kau duit???
“Sekejap ye,” Wardah menahan bahang yang membakar kulit wajahnya. Baru dia
teringat duit itu diselitkan dalam poket seluar jeans yang sudah berlipat di
dalam begnya. Argghh! Takkan nak keluarkan seluar jeans tengah-tengah orang ni?
“Tak apa, saya bayarkan dulu,”
Wardah menoleh ke arah empunya suara yang sedang beratur di belakangnya.
“Eh, tak apa encik!” Wardah tak sempat menahan. Lelaki itu sudah pun menerima
pulangan baki daripada juruwang. Dalam rasa segan yang membukit, Wardah
mengambil juga beg plastik yang dihulurkan. Dia melangkah beberapa tapak untuk
menunggu lelaki tersebut menyelesaikan bayaran bukunya pula.
“Encik, boleh tunggu sekejap? Kejap lagi ayah saya sampai. Saya ambil duit,”
Wardah bersuara tatkala lelaki berkemeja lengan panjang itu menghampirinya.
Senyuman di wajah lelaki itu dibalas juga.
“Hmm, saya nak cepat ni sebenarnya. Lain kali aje lah awak pulangkan?”
“Lain kali?”
“Ni nombor phone saya. Nama saya Adam,” sekepingbusiness
card sudah pun bertukar tangan. Wardah meneliti maklumat diri lelaki
budiman di hadapannya.
“Nama saya Aimy. Jangan risau, InsyaAllah saya tak lari,” Wardah tersengih selamba.
“Tak apa nak lari pun. Saya kejarlah nanti,” Wardah tak dapat menahan tawa.
Pandai juga mamat ni buat lawak ye! Wardah melihat skrin telefon yang berkelip.
Panggilan dari ayah tidak sempat dijawab. Dah sampai agaknya.
“Nanti saya contact encik ya. Terima kasih sangat-sangat
sebab tolong saya tadi. Assalammualaikum,” Wardah berlalu pergi. Dia tak suka
membuat ayahnya menunggu lama.
Adam masih memerhatikan langkah Wardah yang semakin menjauh. Tolonglah toleh!
Sekali pun jadilah! Hati Adam bagaikan berperang. Pandangan matanya masih tidak
lepas dari menyoroti gadis berbaju kurung dan berkasut sukan itu. Comelnya!
“Adam... kan?”
Adam menoleh apabila merasa bahunya ditepuk seseorang. Dengan berat hati
pandangan matanya beralih pula pada sepasang kekasih di hadapannya.
“Eh, kau Hasif!” Adam melebarkan senyuman. Tangannya berjabat dengan kawan
sekolah yang sudah lama tidak berhubung. Adam memerhatikan Hasif. Tak banyak
yang berubah tentang lelaki itu. Malah tubuhnya masih fit seperti
dulu. Maklumlah, dulu mereka sama-sama mewakili pasukan ragbi.
“Mana kau pergi Ad? Senyap je,” Hasif menepuk-nepuk bahu Adam. Dalam
banyak-banyak kawan sekolah, Adamlah yang gagal dijejaki semula. Memang teruja
rasanya dapat bertemu semula dengan kawan yang pernah sama-sama bersusah-payah
dahulu.
“Aku ada je. Low profile sikit,” Adam tersengih. Soalan yang
sudah terlalu biasa didengarinya.
“Eh, kau nak buat apa ni? Jom join kitaorang dinner?”
Hasif tidak perasan Juliana sudah menjeling dengan pandangan mata meluat. Kalau
lelaki itu menerima pelawaan Hasif, pastinyalah mereka akan tenggelam dengan
perbualan tentang kenangan dulu. Sudah pasti dia tidak dapat berbual-bual
dengan Hasif dalam ketenangan.
“Tak bolehlah hari ni. Aku ada hal. Nanti kita lepak mapley ke? Tak
naklah kacau korang dating,” Adam mengalih pandangan sebentar pada
wanita di sebelah Hasif.
“Ish, dating apanya... Ad, lagi tiga minggu Rahim kahwin tau.
Kita jumpa kat sanalah! Kau bagi nombor phone kau. Nanti aku
bagi details!” Hasif mengeluarkan handphonenya. Nombor
Adam disimpan dalam kad memori.
“Okay. Boleh juga jumpa kawan-kawan lama nanti kan! Apa-apa hal
kau contact la aku,” Adam bersalam dengan Hasif dan sekadar
menganggukkan kepala kepada Juliana. Amboi, sombongnya muka. Dahlah mekap bukan
main tebal. Comel balik Cik Aimy tadi!
Sebaik Hasif berlalu pergi, Adam menoleh kembali ke arah laluan yang diambil
oleh Wardah beberapa minit yang lalu. Pastinya gadis itu sudah pun meninggalkan
kompleks tersebut. Adam tersenyum sendirian.
Aduhai, indahnya kejadian hari ini!
*
*
*
*
*
*
Kereta Hasif berhenti di hadapan rumah banglo milik keluarga Juliana. Wajah
keruh Juliana dijeling sepintas. Apa sajalah yang tidak kena dengan anak manja
Dato’ Zahid ni? Kadang-kadang dia sendiri pening dengan perubahan moodJuliana.
Lagipun dia bukan punya apa-apa hubungan istimewa dengan gadis itu. Kalau bukan
kerana Juliana yang berkali-kali minta ditemankan mencari pakaian untuk
majlis dinner companynya minggu hadapan, dia sendiri tak akan
keluar berdua begini.
“Betul ke you tak boleh temankan Ju untuk annual
dinner tu? Juliana menarik muncung sekali lagi. Pantang betul jika
kemahuannya tidak dituruti.
Hasif mengulum senyuman. Oh, pasal ini rupanya yang merunsingkan Juliana.
Dia menyangkakan isu ini sudah tamat. Namun nampaknya gadis bernama Juliana tak
mudah melupakan sesuatu yang tidak menepati kehendak hatinya. Hasif menghela
nafas.
“Iya Ju. I kena outstation ke Langkawi seminggu. Ada
seminar kat sana. Sorry ya,” Hasif berbicara lembut. Nak marah
bimbang pula Juliana mengalirkan air mata.
“Hmm, rugi je Ju beli baju mahal-mahal tadi. Kat mana Ju nak pakai baju
tu?” Juliana membentak geram. Baju kurung moden dari material sifon yang sarat
dengan jahitan manik itu bernilai hampir RM500! Mati-mati dia ingat dia boleh
pasang badan dan menjadikan Hasif temannya ke annual dinner.
“Ju kan ramai kawan. Tak ada ke yang boleh temankan?”
“Tak nak!”
Hasif menggigit bibir. Kalau budak kecil sudah lama disekeh-sekeh kepala
Juliana yang tak reti bahasa. Tapi hakikatnya dia terhutang budi pada keluarga
Dato’ Zahid. Kalau bukan kerana bantuan ayahnya Juliana, pasti lebih lama dia
akan menganggur dahulu.
“Macam nilah. Baju cantik tu tadi Ju pakai lagi tiga minggu ya. Kawan Hasif
kahwin kat Hotel Vistana. Nanti Hasif bawa Ju,ya?” dengan berat mulut Hasif
mengutarakan cadangan.
“Betul?” mata Juliana bersinar ceria. Dapatlah dia mengenali kawan-kawan
sekolah Hasif pula nanti. Anggukan Hasif membuatkan Juliana berbesar hati. Tak
sia-sia dia merajuk sejak dari tadi.
“Okay. Jumpa you nanti! Pergi Langkawi beli ole-ole
tau!” Juliana sudah berdiri di luar kereta. Tangannya bermain-main dengan
rambut yang panjang mengurai. Cakaplah ‘I love you!’.Juliana memasang
angan-angan.
“Okay. Nanti Hasif belikan coklat. Balik dulu ya Ju. Kirim salam
pada Uncle Zahid dan Auntie Munirah,” Hasif mengangkat tangan. Perlahan-lahan
keretanya meninggalkan Juliana yang berdiri ditemani lampu jalan yang suram.
Juliana membungkam.
“Hm, tak cakap apa-apa pun! Bilalah kau nak cakap pasal hati ni Hasif, oi!
Tak cukup sempurna ke aku untuk kau?” Juliana menyepak seketul batu masuk ke
longkang. Hatinya bengkak dengan sikap Hasif.
Beg kertas di tangan dikerling sepintas. Senyumannya menguntum kembali.
Kalau tak sayang, kalau tak suka, takkan lah dia beriya ambil hati aku tadi
kan? Aku tahu Hasif tu cuma malu nak luahkan perasaan. Alah, tak lama lagilah
tu...
Tak apa Hasif Wafiy, Juliana tetap setia menunggu. Walau apa pun yang
terjadi, aku akan pastikan kau milik aku!
Juliana tersenyum sendirian.
No comments:
Post a Comment