“ADUH!” Hasif Wafiy menyeringai menahan sentuhan adiknya yang mengurut betis yang
sudah lebam itu. Dahinya berkerut berpeluh apabila ibu jari Hanani dibenam ke
batang kakinya.
“Ish,
macam pondanlah Abang ni! Nak Adik urut ke tak ni?” Hanani melepaskan kaki
kanan Hasif. Wajahnya serius menanti jawapan dari Hasif. Sudah dua tiga kali
Hasif menendang badannya tadi akibat tidak tertahan dengan urutannya. Tak
pasal-pasal aku pulak yang lebam kejap lagi.
“Nak!
Nak! Tapi slow-slow la sikit Adik oi... Ni kaki manusia tau.
Bukannya batang pisang,” Hasif menghulurkan semula betisnya kepada Hanani.
Kalau tidak diurut dengan betul bimbang pula dia tidak boleh bekerja esok hari.
Nak berjalan pun berdengkut-dengkut ni semenjak petang tadi.
“Tu
lah... Lain kali kalau berjalan tu mata jangan letak kat lutut. Macam manalah
boleh jatuh dalam longkang?” Hanani membebel perlahan. Bukan dia tidak simpati
dengan keadaan abangnya. Tapi cerita yang disampaikan oleh lelaki itu macam tak
berapa logik pun ada. Takkan Abang bergaduh dengan orangpulak?
“Benda
dah nak jadi Adik... Nak buat macam mana?” Hasif buat wajah selamba. Padahal
hatinya dilanda resah apabila Hanani membangkitkan semula cerita yang
direka-rekanya itu. Takkan pula dia nak mengaku kena tendang dengan perempuan?
Jatuhlah air mukanya nanti.
Spontan
Hasif terkenangkan kejadian petang tadi yang menyebabkan dia terlantar saat
ini. Bedebah betul perempuan yang tak berapa nak perempuan itu! Pakai kasut
besi ke apa agaknya dia? Sakit benar dirasakan bisa yang menular di segenap
urat kakinya. Dah macam injured masa main ragbi wakil
universiti dulu-dulu.
Kalau
dulu dia injured pun ada pulangan berbaloi. Dapat juga trofi
kemenangan yang menjadi kenangan. Namun sakit yang ditanggungnya ini hanya
menyebabkan dia menderita malu. Malu gila disepak depan orang ramai petang
tadi. Tak sanggup rasanya dia menaiki tren lagi. Hmm... nak kena beli keretalah
nampak gayanya ni.
“Assalammualaikum,”
suara lunak yang memberi salam di pintu rumah membuatkan Hasif dan Hanani
saling berpandangan. Spontan Hanani bangun menuju ke pintu meninggalkan
abangnya yang masih duduk berlunjur kaki di atas lantai. Pintu rumah dibuka
perlahan.
“Waalaikummusalam.
Oh, Kak Ju rupanya. Hmm, masuklah kak,” Hanani merenggangkan pintu kayu.
Wajahnya cuba dimaniskan kepada Juliana. Perempuan yang sudah terlalu kerap
berkunjung ke rumah mereka itu membuatkan dia berasa sedikit meluat. Selalu
sangat datang buat lawatan. Tak ada rumah sendiri ke?
“Hai
Nani! Sihat ke? Dah nak SPM kan tak lama lagi?” Juliana melagakan pipinya
kepada Hanani. Belakang badan Hanani diusap lama. Senyuman manis tidak
lekang-lekang menghiasi wajahnya yang bujur sireh. Reaksinya seakan sudah lama
mereka terpisah. Padahal baru tiga hari lepas mereka bertemu.
“Eh?
Ju?” Hasif mendekati dengan kaki yang masih berdengkut. Kedatangan tetamu yang
tidak diduga itu membuatkan dia sedikit terkejut. “Ada apa Ju datang
malam-malam ni?”
Wajah
Juliana berubah kelat mendengarkan soalan yang terpacul keluar dari bibir
Hasif. Hmmm... orang datang melawat pun nak kena ada sebab ke? Juliana berjauh
hati. Namun lekas-lekas diusir perasaan yang bertamu di hati. Merajuk pun nak
buat apa kalau tak ada yang sudi memujuk. “Err... Hari ni Ju buat kek Red
Velvet. Ada lebih sikit ni. Tu yang hantar ke mari,”
Kotak
merah siap beriben itu sudah pun bertukar tangan. Pantas sahaja Hanani membawa
ke dapur. Rezeki jangan ditolak kata orang. Lagipun masakan Juliana memang
selalunya tidak pernah mengecewakan. Ah, kalau tak sedap mana mungkin perempuan
itu mahu menghantar ke rumah mereka.
“Lah,
Ju datang dari jauh semata-mata nak hantar kek ni ke? Buat susah-susah je Ju...
Eh, marilah masuk Ju,” Hasif mengukir senyuman. Baik betul anak dara Pak Cik
Rahman ni. Sudah kerap benar Juliana menghantar makanan kepada mereka
sekeluarga.
Hasif
memerhatikan Juliana yang duduk ayu di atas sofa kulit di tengah rumah. Rambut
panjang Juliana dilepas bebas mengurai melepasi bahu. Skirt labuh yang
dipadankan dengan toppolos berlengan pendek menyempurnakan lagi
penampilan gadis itu. Memang cantik dan sempurna.
“Auntie Raihanah
tak ada ke Hasif?” Juliana tersipu malu apabila dia perasan sepasang mata Hasif
begitu asyik memerhatikan dirinya. Nampaknya tidak sia-sia dia meluangkan masa
untuk bersiap tadi.
“Mama
ada kelas tambahan kat sekolah. Budak darjah enam nak UPSR kan tak lama lagi,”
Hasif turut melabuhkan punggung di atas kerusi bertentangan dengan Juliana.
Tangannya mengusap perlahan betis yang masih sakit menyengat.
“Kenapa
kaki Hasif tu?” Juliana sudah datang menghampiri. Berdebar-debar dirasakan
dadanya saat melihatkan kecederaan Hasif. Dari betis yang lebam, pandangan mata
Juliana singgah di wajah Hasif. Lelaki yang berkulit sawo matang itu kelihatan
cukup kacak sekali malam ini. Ehem, bukan malam ini sahaja. Malah setiap siang
dan malam pun lelaki itu cukup sempurna di matanya.
“Along
jatuh longkang petang tadi!” Hanani menyahut tiba-tiba. Sepinggan kek yang
dibawa oleh Juliana diletakkan di atas meja bersama sejag air oren Sunquick.
Sengihan di wajahnya melebar melihatkan wajah Hasif yang berkerut. Malulah tu!
“Ye
ke? Dah pergi klinik? Nampak teruk lebam kat kaki Hasif ni,” kening Juliana
sudah bercantum. Risau bukan kepalang dirasakan saat ini. Jahat punya longkang!
“Ish,
sikit je ni. Tak payahlah pergi klinik. Lagipun tadi Nani dah tolong urutkan,”
Hasif tersenyum melihatkan Juliana yang begitu mengambil berat tentang dirinya.
“Tak
boleh biar macam ni Hasif. Nanti takut bentan kalau bengkaknya tak surut. Hasif
nak Ju urutkan?” Juliana menawar diri. Kembang-kempis dadanya menunggu jawapan
dari Hasif. Ingin sekali dia menyentuh kaki Hasif yang lembam membiru itu. Akan
disalurkan aura kasih-sayang biar hilang segala kesakitan lelaki itu.
“Eh,
tak apa Ju! Tak manis pulak kalau Ju tolong urutkan. Kalau tak
surut lagi bengkak ni, esok Hasif ingat nak ambil cuti sakit,” Hasif pantas
menjawab. Mana mungkin dia membenarkan Juliana menyentuh kakinya. Kalau Mama
balik nanti tak pasal-pasal makan penampar.
Juliana
tersipu mendengarkan jawapan Hasif. Malu pula dirasakan apabila dia yang
beriya-iya benar menawar diri sedangkan lelaki itu menolak pula. Juliana
mengerling ke arah Hanani yang kelihatan kusyuk membaca buku Biologi.
Minta-mintalah bakal adik iparnya tu tak mendengar. Ehem.
Silauan
lampu kereta yang memasuki garaj rumah membuatkan Juliana membetulkan postur
badannya. Dia pastiAuntie Raihanah sudah pulang dari mengajar kelas
tambahan. Melihatkan wanita itu sedang mengangkat beberapa buah buku rujukan
yang tebal, Juliana terus menerpa untuk menghulurkan bantuan.
“Eh,
patutlah auntie macam kenal aje kereta Jazz
kat luar tu. Juliana rupanya. Amboi, bergayanya malam-malam ni. Baru
balik dating ke?” Raihanah menyapa ramah sebaik melihatkan
gadis yang sudah terlalu kerap datang ke rumahnya itu. Bukan dia tidak terkesan
aura cinta yang bersemarak di sebalik sepasang anak mata Juliana. Namun bila
ditanya anak terunanya itu, hanya gelengan dan jawapan ‘tidak’ yang diberikan.
Pelik-pelik betul cara orang muda sekarang bercinta.
“Ish,
mana ada lawa auntie. Biasa aje. Auntie tu
yang tetap anggun tau!” Juliana tertawa kecil dipuji oleh Raihanah. Mestilah
lawa auntie, lima kali saya tukar baju tadi. Juliana menjerit di
dalam hati.
“Sedap
nampaknya kek tu. Ni mesti Ju yang baking kan. Hai... untung
betullah siapa yang kahwin dengan Ju nanti. Siang malam berhidang meja makan,”
Raihanah mencubit sepotong kek berwarna merah itu. Senyumannya melebar saat kek
lembut itu melalui kerongkongnya. Cukup segala rasa. Sejuk perut wanita yang
mengandungkan Juliana.
Juliana
berasa sudah lenguh bibirnya menguntum senyuman apabila tidak henti-henti
dirinya dipuji. Tidak sia-sia dia melaburkan sejumlah wang untuk mengikuti
kelas masakan dan membuat kek. Dia pasti Raihanah akan tertambat dengan
kemahiran yang satu ini. Cuma hati Hasif sahaja yang terlalu sukar ditawani!
“Siapalah
yang sudi pada Ju ni auntie...” lirih sahaja suara Juliana memecah
kesunyian. Raihanah menjeling ke arah Hasif yang tekun menonton televisyen.
Sedikit pun anaknya tidak berkutik seolah-olah perbualan mereka tidak terkesan
pada dirinya. Aik, tak ada rasa apa-apa ke?
“Ramai
yang nak tau Ju. Kalau auntie cakap kat cikgu-cikgu bujang kat
sekolah tu, tak menang tangan Ju nak melayan nanti,” Raihanah mengusap lembut
bahu Juliana. Gadis itu memang cantik. Namun pasti lebih indah jika rambutnya
yang panjang mengurai itu dilitupi dengan tudung.
Juliana
tersenyum kelat. Eh Auntie Raihanah ni! Aku nak anak bujang
dia tu. Cikgu-cikgu sekolah tu semua aku tak pandanglah. Hati ini dah terkunci
rapi untuk Hasif Wafiy seorang!Juliana membebel di dalam
hati. Namun senyuman di wajah tetap mekar terukir. Tangannya memintal hujung
rambutnya yang panjang.
“Errr..
Ju...” Raihanah menyeru nama Juliana. Hati tuanya berasa serba-salah pula untuk
meluahkan apa yang tersirat di fikiran. Tangannya mengusap belakang tangan
Juliana yang lembut sementara kepalanya pula cuba merangka ayat yang sesuai.
Juliana menahan debaran di dada. Bagai ada perkara penting yang ingin
dilafazkan oleh ibu kepada lelaki pujaannya itu. Jantungnya mula berentak
dangdut. Manalah tahu jika ini adalah saat-saat istimewa Auntie Raihanah
mahu merisik dirinya untuk Hasif? Spontan Juliana membetulkan rambutnya sambil
tersenyum bersahaja, “Ada apa auntie?”
“Hmm, kalau auntie cakap ni, Ju jangan salah faham ye?”
Raihanah tersenyum melihat Juliana yang menggelengkan kepala. “Err... parents Ju
tak marah ke Ju balik lewat ni? Auntie bukan menghalau tau Ju.
Tapi auntie sebagai emak, memang sentiasa risaukan anak-anak.
Inikan pula Ju nak drive balik sorang-sorang ke Puncak Alam
sekejap lagi,” Raihanah melepaskan nafas kelegaan selepas kegusaran di hati
terluah jua.
Juliana tersenyum kelat. Ingatkan tadi dia bakal menempuh detik bersejarah
di dalam hidupnya. Rupanya AuntieRaihanah sedang mengguna cara
halus untuk menyuruh dia pulang. Alah Auntie Raihanah ni...
Kalau risau, jemputlah aku tidur kat rumah dia ni. Dapat juga berkongsi bumbung
yang sama dengan Hasif untuk satu malam!
“Ju?” Raihanah menyentuh lengan Juliana apabila melihatkan gadis itu tetap
berdiam diri. Berkecil hatikah gadis itu dengan kata-katanya sebentar tadi?
“Ye auntie. Betul juga apa auntie cakap tu.
Baik Ju balik sebelum jalan jadi lengang. Takut pulak nak drive sorang
nanti,” Juliana terus berdiri dari sofa. Isyarat yang dihantar oleh Raihanah
dapat dicerna dengan sempurna oleh akal fikirannya. Alah, dia yakin Auntie Raihanah
bukannya berniat untuk menghalau. Pastinya Auntie Raihanah
teramat merisaukan keselamatannya. Bukankah risau itu tandanya sayang?
“Hasif, Ju balik dulu ye?”
“Hah? Dah nak balik? Okay Ju. Thanks datang
hantar kek. Sorrylah, Hasif tak dapat nak hantar sampai ke luar,”
Hasif menunjuk ke arah kakinya.
“Eh, tak apa. Hasif rehatlah. Kalau esok nak Ju temankan ke klinik, just
give me a call ya?” Juliana tersenyum mengharap.
“Eh, Ju tak kerja?” hampir serentak Hasif dan Raihanah bertanya.
“Er, Ju memang ambil cuti esok. Kebetulan pulak kan?”
Juliana tersengih macam kerang busuk. “Nani, Kak Ju balik dulu ye. Belajar
rajin-rajin tau untuk SPM,” Juliana menyalami Hanani sebelum melangkah ke muka
pintu.
“Ha, dengar tu Adik. Jangan asyik dengan Facebook, Twit-twit apa tah.
Dahlah result Biologi tak berapa okay tu,” sempat pula
Raihanah berceramah kepada Hanani yang terkebil-kebil.
“Oh, kena ambil kelas tambahan tu auntie...” Juliana sudah
berkira-kira hendak menawarkan diri mengajar Hanani. Bukanlah dia genius sangat
pun dalam subjek itu. Tapi adalah alasannya untuk selalu berkunjung ke rumah
teres dua tingkat itu nanti.
“Memang pun Ju. Auntie nak minta tolong dengan kawan
lama auntie nanti. Katanya anak dia ada ijazah pendidikan,”
Raihanah sudah mengunci mangga pagar rumahnya. Tangannya melambai ke arah
Juliana yang sudah memegang stereng kereta. Dalam samar malam itu tidak pula
dia perasan wajah Juliana yang kehampaan.
“Hmm, yelah... Ju balik dulu ye auntie. Assalammualaikum,”
kereta Juliana meluncur perlahan. Esok-esok Ju datang lagi ye auntie. Ju bawa
kek Carrot Cheese, Blueberry, Tiramisu dan segala jenis kek lagi dalam dunia
ni!
No comments:
Post a Comment