SEPASANG kaki
Wardah melangkah dengan penuh yakin. Ini merupakan kali kedua dia membuat
penghantaran bunga di Wisma Bina Jaya. Selebihnya Raju yang akan melakukan
penghantaran. Dia lebih selesa bekerja dengan bunga dan duri di dalam kedai
daripada berhadapan dengan manusia-manusia yang suka bersikap ‘judgemental’.
Tengoklah saat dia melangkah masuk ke pejabat mewah ini pun dia sudah mengesan
beberapa pasang mata yang tidak henti-henti memberikan pandangan yang
merimaskan. Dengan bibir yang terjuih-juih itu pastinya berbakul-bakul umpatan
sedang dikatakan oleh mereka tentang dirinya.
Wardah hanya mampu tersenyum. Kalau bukan atas urusan kerja dia ke mari,
sudah pasti dia akan melancarkan serangan peluru berpandu kepada mereka. Apa,
susah ke untuk hidup tanpa menilai seseorang dari luarannya? Apakah hak mereka
untuk mempersoalkan tentang dirinya sedangkan mereka tidak pernah berada di
tempatnya?
“Excuse me miss. Who are you looking for?” sapaan dan senyuman
gadis penyambut tetamu melenyapkan angan-angannya.
“Hmm, I’m looking for Mr. Hasif Wafiy. Ada special
delivery for him,” Wardah menunjukkan gubahan pokok kaktus kepada gadis
bertag nama ‘Atiqah’. Sejuk sedikit hatinya melihatkan keramahan gadis itu.
“Oh, you can leave it here, miss. Nanti saya serahkan
pada Mr. Hasif,” Atiqah sudah menghulurkan tangannya.
“Eh, never mind. I prefer to put this on his table myself.
Ni special delivery from someone special. It is part of our policy to
ensure that goods are delivered safely to the clients,” Wardah cuba
menerangkan. Bukan dia tidak percaya kepada Atiqah, namun pernah dulu berlaku
satu insiden salah faham pada bunga yang dihantar. Dia tidak mahu perkara yang
sama berulang lagi.
“Hmm... okay then. His room is the second one on your
left,” tangan Atiqah melurus menunjukkan arah kepada Wardah.
Wardah tersenyum sebelum kembali melangkah ke arah bilik yang dimaksudkan.
Sepasang kakinya yang bersarung kasut sukan terhenti di hadapan pintu kaca yang
tertulis nama yang dicari. Matanya melirik membaca sebaris perkataan yang
tertera.
‘Architect’.
Amboi... Memang hebat gerangan jejaka pilihan perempuan yang bernama ‘Ju’
itu. Sesuailah dengan gayanya yang begitu sempurna menjaga penampilan. Wardah
menolak perlahan pintu kaca sambil menjengukkan kepala. Pandangannya melata
pada segenap ruang bilik yang sepi.
“Assalammualaikum!” suara halus Wardah sunyi kedengaran tanpa jawapan.
Bilik itu nampaknya tidak berpenghuni. Mungkin Hasif Wafiy menghadiri mesyuarat
atau keluar bertemu klien. Otak Wardah pandai-pandai membuat kesimpulan.
Tanpa membuang masa Wardah merapati meja besar yang kelihatan kemas dan
teratur. Wow! Kalah orang perempuan. Wardah terkenangkan biliknya yang
ditinggalkan macam tongkang pecah pagi tadi. Bukan setakat pagi tadi, malah
boleh dikatakan hampir setiap hari biliknya dalam keadaan begitu. Senyuman
nakal terukir di wajah Wardah.
Wardah meletakkan pokok kaktus dengan berhati-hati di atas meja kerja
Hasif. Tangannya lincah membetulkan kedudukan kad ucapan. Wang yang dikeluarkan
oleh pelanggan mereka bukan sedikit. Dia mahu mereka berpuas hati dengan setiap
sen yang dibelanjakan kepada Blooms. Biar cantik. Biar sempurna.
Wardah meninjau-ninjau bingkai gambar yang tersusun di atas meja. Walaupun
berpenampilan seperti lelaki, namun naluri kewanitaannya masih menebal untuk
melihat rupa paras empunya sebaris nama yang cukup hebat itu.
Jemari Wardah mencapai bingkai berwarna keemasan di atas meja. Gambar yang
sudah berusia kurang lima tahun itu memaparkan sekumpulan pemain ragbi yang
sedang bersorak kegembiraan. Yang mana satu agaknya si Hasif Wafiy ya? Sepasang
anak mata Wardah meneliti wajah-wajah di dalam gambar itu.
Belum puas dia meneliti gambar tersebut, telinganya menangkap suara lelaki
yang semakin menghampiri bilik itu. Jantung Wardah berdegup laju. Spontan
tangannya meletakkan semula bingkai gambar tersebut. Matanya ditala pada
bayang-bayang sesusuk tubuh lelaki yang berdiri di hadapan pintu kaca.
Gulp.
Wardah menelan liur. Pahit. Entah mengapa lain benar debaran yang
dirasainya saat ini. Dadanya bergetar hebat. Kakinya pula terasa lembik seperti
agar-agar. Fuh! Hebat betul aura yang dibawa oleh Hasif Wafiy! Wardah menyimpul
senyuman di bibir tatkala pintu kaca ditolak dari luar.
*
*
*
*
*
*
Sepasang anak mata Hasif membulat sebaik matanya terpandangkan susuk tubuh
kecil yang berdiri hampir dengan meja kerjanya. Walaupun sudah lebih sebulan
peristiwa itu berlalu, mana mungkin dia melupakan wajah serta kata-kata berbisa
yang pernah dihamburkan oleh perempuan di hadapannya ini.
Malah perasaan marahnya masih berbaki hingga ke hari ini. Kerana perempuan
itulah dia jadi fobia mahu menaiki tren. Kereta Mazda 3 Hatchback itu pun dibeli
kerana peristiwa hitam tersebut.
“Apa kau buat kat sini?” suara Hasif kedengaran perlahan namun tegas.
Senyuman di bibir Wardah hilang dengan serta-merta. Matanya dikecilkan sambil
menjamah wajah lelaki berdada bidang itu.
What??? Ini Hasif Wafiy? Muka Wardah merah
menahan rasa marah terkenangkan peristiwa dipeluk lelaki itu. Sumpah-seranah
berbakul ingin dilemparkan namun sekadar tersekat di kerongkongnya. Hanya
bibirnya diketap untuk melempiaskan rasa marah.
“Kau pekak ke? Buat apa datang sini? Mana kau tahu alamat pejabat aku? Kali
ni kau nak apa pulak? Nak minta aku bertanggungjawab kahwin dengan
kau?” suara Hasif sinis menampar telinga Wardah. Seronok pula rasanya apabila
gadis itu sekadar terdiam tidak mampu menjawab kata-katanya.
“Eh, kau jangan perasan ye. Aku datang sebab buah hati kau yang macam
Nyonya Mansur tu beli pokok kaktus kat kedai aku. Kalau aku tahu ni pejabat
kau, confirm aku hantar bunga tahi ayam. Well, my job
is done here,” Wardah menjeling tajam. Langkah kaki dihayun untuk keluar
meninggalkan bilik itu, namun niatnya terhalang kerana Hasif masih terpacak
berdiri di hadapan pintu.
“Tepi sikit,” Wardah sekadar menunduk. Tidak berani menentang wajah lelaki
yang berjarak dua tapak darinya.
Hasif terkesan ada getaran pada suara halus gadis di hadapannya itu. Takut
ke dia? Perempuan singa macam dia ni tahu takut? Hasif terhidu bau kemenangan
di pihaknya hari ini. Akalnya mula merencana sesuatu.
“Takkan dah nak balik? Tunggu la dulu...” Selamba sahaja dia melangkah
setapak merapati Wardah. Senyumannya melebar saat melihat Wardah yang terdorong
ke belakang dengan wajah cuak. Ish, apa dia nak buat ni? Dada Wardah dilanda
debaran menggila.
Hasif sekadar membisu seraya melangkah lagi merapati Wardah. Setapak dia ke
hadapan, dua tiga tapak Wardah berundur ke belakang. Hasif dapat melihat dengan
jelas riak ketakutan yang terpancar di wajah Wardah. Semakin seronok pula
dirasakannya saat itu.
“Ka... kau nak a... apa ni?” Wardah bertanya sambil cuba menentang
pandangan mata Hasif. Kakinya terhenti melangkah. Sekilas dia terpandang
dinding di belakangnya. Alamak, nak lari mana lagi ni?
“Hari tu kau cakap aku sengaja peluk kau kan? Hari ni aku nak tunjuk
betul-betul macam mana cara nak peluk orang,” Hasif mendepakan tangannya
seakan-akan cuba meraih Wardah ke dalam dakapannya. Wajahnya didekatkan kepada
wajah Wardah. Sengaja dilepaskan nafas mendesah untuk menakut-nakutkan lagi
perempuan tak berapa perempuan itu.
Bagai hendak pecah perutnya menahan ketawa apabila melihat Wardah
memejamkan mata di penjuru bilik. Mulut Wardah jelas terkumat-kamit membaca
sesuatu. Baca doa menghalau syaitan
agaknya!
Hasif memerhatikan wajah Wardah yang pucat. Kemenangan yang dirasakannya
tadi hilang sebaik melihat manik-manik jernih yang mengalir dari sepasang mata
yang masih terpejam itu. Spontan dia mengundur beberapa langkah ke belakang
menjauhi Wardah.
“Hei, dah lah tu! Kau ingat aku ada selera ke nak peluk kau?” Hasif memecah
kesunyian. Hesyh, baru nak seronok kenakan budak ni dia boleh menangis pulak!
Dah la aku lemah dengan air mata perempuan...
Wardah membuka matanya dengan perlahan. Pandangannya yang dikaburi air mata
disapu dengan belakang tapak tangan. Jelas kelihatan Hasif sedang berdiri agak
jauh darinya saat itu. Wardah berdiri membatu di situ. Hatinya meronta mahu
berlari keluar, tapi kakinya masih lemah untuk melangkah. Hendak dihambur
sumpah-seranah, namun mulutnya terkunci mati di saat ini. Jantungnya masih
berdegup kencang memukul dada apabila mengenangkan peristiwa sebentar tadi.
Hasif turut diam membisu. Takkanlah hendak dipujuk pula perempuan itu.
Janggal benar dirasakan. Akhirnya dia mencapai kunci kereta dari dalam laci
meja.
“Aku ada appointment dengan client. Kau pun bolehlah keluar
dari bilik ni,” Hasif melangkah keluar dari bilik pejabatnya dengan seribu satu
rasa. Kalau diikutkan hati lembutnya, sudah pasti dia memohon maaf. Namun
mengenangkan bagaimana perempuan itu pernah merobek maruahnya satu ketika dulu,
dia jadi keras hati. Ah, sekurang-kurangnya sakit hatinya sudah berbalas.
Wardah merenung kosong ke arah pintu kaca di mana Hasif meloloskan diri
sebentar tadi. Tanpa sedar dia melepaskan keluhan kelegaan dari bibir. Wardah
dapat merasakan masih ada gigilan halus pada tangan dan kakinya. Iya, kejadian
sebentar tadi menggamit semula kenangan pahit lebih setahun dulu. Kenangan yang
cuba dilupakan sekian lama.
Kurang ajar punya jantan! Batin Wardah menjerit kuat. Wardah melangkah
dengan berat hati ke arah pintu kaca. Dia mahu keluar dari bilik itu. Namun
sebaik tangannya menyentuh pemegang pintu, dia kembali berpatah ke arah meja
Hasif.
Wardah berlutut di tepi kerusi empuk milik Hasif. Tangannya lincah mencabut
dua roda kerusi tersebut lalu disimpan ke dalam poket seluar baggy miliknya.
Kepuasan terpancar di wajahnya.
“Kalau tak jatuh ke belakang, jatuh terkangkanglah kau hendaknya!” Wardah
menyimpul senyuman sambil melangkah keluar dengan wajah selamba.
No comments:
Post a Comment