USAI solat Isya’, Wardah mencapai senaskah
al-Quran yang terletak di atas rak buku di tepi katil. Tangannya ligat mencari
muka surat yang ditinggalkan seminggu yang lalu kerana cuti haid. Sesaat
kemudian, alunan suara Wardah memecah kesunyian. Wardah merasakan bebanan di
bahunya bagaikan terlepas pergi. Perasaan rindu yang sudah lebih dua dekad
terpendam berganti pula dengan rasa ketenangan yang sukar diungkap.
Wardah menutup rapi naskah al-Quran. Dicium lama naskah suci itu sebelum
didakap erat rapat ke dada. Wardah mengeluarkan sekeping gambar lama yang
disimpan di muka surat terakhir. Gambar itu ditatap dalam-dalam sebelum air
hangat mula membanjiri pipi mulusnya. Wardah merapatkan gambar itu ke bibirnya.
Bagaikan masih terasa sentuhan lembut yang teramat dirinduinya.
“Wardah...” ketukan lembut di muka pintu mematikan lamunannya.
Wardah menyapu air mata di wajahnya lalu lekas-lekas dibuka telekung yang
disarung. Pintu bilik dibuka. “Ye, ayah,”
“Wardah, jom turun bawah, nak. Kawan ayah datang tu,” Wahid tersenyum
melihat wajah manis anaknya. Persis Farina, isterinya dahulu...
“Okay ayah. Wardah pakai tudung kejap ye,” Wardah mencapai
tudung ekspress yang tersangkut di kepala katil. Memang
berguna untuk dipakai di waktu-waktu kecemasan. Sepintas Wardah menatap
wajahnya di cermin, memastikan tiada anak rambut yang terkeluar dari tudung.
Dia sudah biasa tidak berbedak. Wajahnya dibiarkan sahaja polos tanpa warna.
Sebaik kakinya memijak anak tangga pertama, telinganya menangkap bual mesra
antara ayahnya serta seorang wanita lain. Siapa pula tu? Wardah menuruni tangga
dengan gaya sopan yang canggung. Mengepit semacam aje cara
dia berjalan. Di rumah memang perwatakannya berbeza 200% daripada di luar.
“Ha, Wardah! Mari sini. Ingat lagi tak siapa ni?” Wahid menggamit Wardah
agar merapati tetamu mereka. Melihatkan kerutan di dahi Wardah, dia pasti
anaknya itu sudah melupakan kenangan dulu.
“Amboi, dah ada anak dara kan awak Wahid? Bukan main cantik sekarang. Dulu
comot aje auntie tengok,” Raihanah berdiri lalu memegang
kedua-dua belah bahu Wardah. Senyuman di wajahnya melebar melihatkan perubahan
yang berlaku pada anak gadis itu.
“Apa khabar auntie?” Wardah menghulurkan tangan untuk bersalam.
Sungguh dia tidak selesa apabila diperhatikan sebegitu. Anak matanya mengecil
cuba mengingati siapakah gerangannya wanita seusia ayah yang masih anggun
bergaya ini?
“Wardah tak ingat?”
“Hmm, tak boleh nak recall lah ayah...” jawapan Wardah
mengundang tawa kecil di bibir Raihanah.
“Ye la, masa tu kan dia kecil lagi Wahid. Lima, enam tahun kan? Lainlah
Fawwaz... dah besar dah waktu tu,” Raihanah masih enggan melepaskan tangan
Wardah. Sudah hampir dua dekad mereka terpisah. Memang dia tidak berkecil hati
jika kotak memori Wardah tidak terisi dengan kenangan tentang dirinya.
“Ini Auntie Raihanah kamu la. Yang masa kita duduk di Perak dulu. Tak
ingat? Kamu kan suka main kahwin-kahwin dengan anaknya dulu?” sebaris ayat
terakhir Wahid itu mengundang kerutan di dahi Wardah. Sesaat kemudian wajahnya
merona kemerahan. Auntie Raihanah? Jiran lama dulu? Ya Allah... lamanya tak
jumpa! Senyuman di wajah Wardah melebar setelah kembali mengingati empunya
diri.
“Nak kena mention pasal kahwin-kahwin baru nak ingat ya?”
Auntie Raihanah mencuit dagu Wardah. Mana mungkin dia melupakan peristiwa dulu.
Habis sebotol bedak talkumnya diambil mereka untuk dibuat upacara
merenjis-renjis di tengah laman. Memang dihambatnya Hasif keliling rumah.
Wardah cuba mengawal tawanya. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia ketawa
berdekah-dekah mengingatkan kenangan dulu. Dia tidak ingat siapakah nama
‘suami’ yang dikahwini pada usia lima tahun dahulu. Dia hanya memanggilnya
dengan gelaran ‘abang’. Adui, kecil-kecil dah menggedik nak kahwin. Dah besar
begini tak ada pula siapa yang nak!
“Auntie tinggal kat Shah Alam ke? Uncle Yusof tak datang sekali?” mata Wardah
melingas mencari kelibat suami Raihanah.
“Uncle Yusof dah sebelas tahun meninggal Wardah. Kenaheart attack.
Auntie dah pindah Shah Alam sepuluh tahun. Tapi baru sebulan lepas terserempak
dengan ayah Wardah ni ha,” ada senyuman duka terlukis di wajah Raihanah waktu
itu. Wardah terasa bersalah bertanyakan tentang Uncle Yusof. Malah dia sendiri
berasa sayu dipagut rindu. Uncle Yusoflah yang sering membelikan ais kepal untuknya
dahulu.
“Saya minta maaf auntie. Saya tak tahu...” Wardah menyentuh tangan Raihanah.
“Eh, tak apa. Kalau uncle masih ada, mesti dia terkejut tengok Wardah dah besar
macamni. Cantik anak awak ni, Wahid. Bila nak bermenantu?”
“Ha, awak tanyalah sendiri empunya badan. Kerja rumah pun tak lulus-lulus lagi.
Pening kepala saya nak besarkan anak dara sorang ni,” kata-kata Wahid disambut
tawa Raihanah. Telinga Wardah bagaikan berdesing mendengarkan rungutan Wahid.
“Auntie borak la dulu ye. Saya buatkan air kejap,” Wardah menggunakan teknik
selamat untuk melarikan diri. Perlahan-lahan dia menapak ke ruang dapur. Masih
terdengar riuh-rendah tawa ayahnya dan Auntie Raihanah yang saling bersahutan.
Wardah mengintai dari celah langsir dapur. Sudah lama dia tidak melihat wajah
ayah berseri sebegitu.
Ehem, ada apa-apa ke antara ayahnya dan Auntie Raihanah?
Al-maklumlah, kedua-duanya pun sudah lama hidup membujang. Ish, nak dapat mak
tiri ke aku ni?
“Kau hendap apa ni?” Fawwaz menepuk lembut bahu Wardah. Sepasang matanya
turut mencari objek hendapan sasaran adiknya itu.
“Eiii, along ni! Suka buat orang terkejut tau!” Wardah mencubit lengan
Fawwaz. “Eh, along dah tegur Auntie Raihanah? Jiran lama kita dulu tu!”
“Dah, tadi masa along balik kerja auntie dah sampai. Yang
kau ni buat apa kat sini? Pergilah borak dengan auntie. Dari tadi
dia tanya pasal kau. Alaaa... menantu dia dulu,” Fawwaz tertawa melihatkan
wajah Wardah yang merona merah.
“Orang dah tegur la tadi. Ni orang nak buat air ni,” Wardah menghampiri
kabinet dapur. Tangannya mencapai teko putih bercorak bunga. Kepalanya
berpusing ke kiri dan ke kanan bagaikan mencari sesuatu.
“Along!” Wardah menggamit Fawwaz yang sedang bersandar pada dinding sambil
menikmati sebiji epal merah. Sedari tadi dia memerhatikan tingkah Wardah. “Mari
kejap!” Wardah menggamit lagi.
Fawwaz merapati adiknya. Pelik melihatkan Wardah yang bagaikan mencari
sesuatu. “Nak apa?”
“Hmm... macam mana nak bancuh teh?”
*
*
*
*
*
*
Sudah hampir setengah jam Raihanah pulang meninggalkan mereka. Selama itu
jugalah Wahid masih belum puas bercerita tentang kenangan serta rapatnya keluarga
mereka dahulu. Sesekali kedengaran suara Fawwaz turut menyulam kenangan lalu.
Wardah sekadar menjadi pemerhati yang setia. Selain dari memori main
kahwin-kahwin, segala-galanya agak kabur di ruang ingatannya di saat ini.
Walaupun lima tahun hidup berjiran, namun akhirnya mereka sekeluarga berpindah
ke Pulau Pinang mengikut ayah menyambung pelajaran di peringkat Sarjana di USM.
Sejak itu kenangan itu sudah lama terkubur.
Dentingan jam menunjukkan sudah pukul sebelas malam. Fawwaz bangun dari
sofa sambil meminta diri untuk masuk tidur. Esok, awal-awal pagi lagi dia
ada progress meeting dengan Lembaga Pengarah.
“Wardah pun nak masuk tidur juga la ayah,” Wardah juga turut berdiri tegak.
Kain batik dikemaskan kedudukannya.
“Aimy Wardah. Kamu duduk kejap. Ayah ada benda nak bincang,” keseriusan
suara Wahid membuatkan Wardah berasa tidak sedap hati. Wahid sudah duduk
bersandar sambil menanggalkan kaca matanya lalu diletakkan di meja sisi.
Debaran di dada Wardah bagai sukar dikawal. Perkara apa yang hendak dibincangkan
oleh ayah agaknya? Kenapa ayah nampak serius sangat ni? Entah-entah betul
tekaannya tadi yang ayah dan Auntie Raihanah mungkin sedang merancang untuk
membina mahligai bahagia? Tapi kalau ayah hendak berkahwin dengan Aunti
Raihanah, kenapa along tidak diajak duduk berbincang sekali?
“Sebenarnya... Auntie Raihanah datang tadi sebab ada hajat nak minta Wardah
tunaikan,” Wahid membetulkan duduknya. Sesekali dia berdehem melegakan tekak.
Dia tidak tahu bagaimana mahu mengatur ayat supaya Wardah dapat menerima
permintaannya sebentar nanti.
Berhajatkan aku? Takkan Auntie Raihanah datang tadi sebab nak meminang
aku??? Wardah yang duduk bertentangan dengan Wahid sudah mula panas punggung.
Mulutnya masih terkunci rapi. Namun akalnya sudah jauh membuat pelbagai kesimpulan.
Butir bicara Wahid sudah tenggelam di telinganya. Dia leka dalam alam
khayalannya sendiri. Walaupun hampir setiap petang mereka main kahwin-kahwin
dulu, namun saat ini dia belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga!
“Kamu dengar tak ni Wardah?” Wahid menguatkan sedikit suaranya. Wardah
dilihatnya seperti tidak keruan.
“Ayah, Wardah tak nak kahwin lagi! Wardah tak sedia!” Wardah menentang
pandangan mata ayahnya. Bukan dia tidak tahu ayah sudah kerap sangat berbicara
soal jodohnya. Manalah tahu kalau ayah pandai-pandai mengikat janji dengan
Auntie Raihanah tanpa berbincang dulu dengan dirinya! Baik dia bertegas
awal-awal dari sekarang.
“Apa kamu cakap ni Wardah? Kahwin? Siapa pula yang nak masuk meminang kamu
ni nak oiii... Buat air pun tak pandai lagi. Ada hati nak bercakap pasal kahwin
ya? Ayah cakap, Auntie Raihanah datang tadi sebab nak minta tolong kamu ajarkan
anak bongsu dia. Untuk SPM lagi lima bulan ni. Buat private tutor di
rumahnya,” Wahid menggelengkan kepala. Hendak tergelak pun ada bila memandang
wajah Wardah yang sudah tersipu-sipu malu.
“Ha, jadi tutor? Orang tak pandai mengajar la ayah...” Wardah menggaru
kepalanya yang tidak gatal. Hilang satu bala, berganti pula bala yang lain.
Kahwin, mengajar, dan berpakaian ayu duduk sebaris sama tinggi dalam kategori
yang sukar untuk dia tunaikan.
“Pergilah Wardah. Orang berharap dengan kita. Bukannya Auntie Raihanah
minta kamu mengajar free. Nanti dia bagi RM300 sebulan. Rumah dia
pun tak jauh. Ayah boleh ambil dan hantarkan kamu,” Wahid memandang penuh
pengharapan. Dia berharap benar Wardah mahu mencuba kembali profesion perguruan
yang ditinggalkan. Mahu digilap semula minat anaknya itu.
Wahid amat bersyukur apabila dipertemukan semula dengan Raihanah di majlis
kenduri seorang kenalan kira-kira sebulan yang lalu. Sudah penat dia memikirkan
cara untuk mengerah semula Wardah ke bidang mengajar. Namun ada sahaja alasan
yang diberikan oleh Wardah. Dia benar-benar berharap permintaan Raihanah kali
ini akan dipenuhi oleh Wardah.
Wardah terdiam berteleku. Dia memang tidak minat mengajar. Tapi... dia
tidak sampai hati pula untuk menolak permintaan Auntie Raihanah. Lagipun bak
kata ayahnya dari tadi, keluarga Auntie Raihanah memang banyak berjasa kepada
mereka. Lebih-lebih lagi pada dirinya sendiri. Sejak ketiadaan ibu, memang
Auntie Raihanahlah tempat dia menumpang kasih. Ala... lima bulan aje kan...
“Boleh ke Wardah?” Wahid cuba membaca riak di wajah anaknya.
“Hmm, bolehlah ayah. Tak sampai hati pula nak tolak permintaan auntie...”
Wardah cuba juga mengukir senyuman. Kelegaan yang terpancar di wajah Wahid
menjentik sejuta rasa di hati Wardah. Memang ayah berharap sangat aku
mengajar,kan?
“Alhamdulillah. Terima kasih anak ayah. Minggu depan dah boleh mula tau.
Nanti Wardah belilah buku rujukan SPM. Dah lama kan Wardah tinggalkan,”
“Yelah ayah. Esok balik kerja Wardah pergi cari buku. Wardah naik dulu ye,
ayah?” Wardah sudah menapak beberapa langkah apabila namanya diseru oleh Wahid.
“Ye ayah?”
“Bila dah bertandang ke rumah Auntie Raihanah kamu nanti jangan main
kahwin-kahwin pula dengan anak teruna dia tu!Single lagi tau! Kerja
pun bagus,” ada senyuman nakal terukir di wajah Wahid. Seronok dapat mengusik
anak daranya yang satu itu.
“Ish, ayah ni!” Wardah berlalu mendaki tangga. Lekas-lekas pintu kamar
tidurnya ditutup rapat. Entah mengapa usikan Wahid sebentar tadi meninggalkan
debaran yang lain macam di dadanya.
Wardah merapati almari baju dua pintu. Laci kecil itu ditarik keluar lalu
tangannya meraba-raba segenap isi laci yang tidak pernah bersusun sejak
berkurun lamanya. Tangannya mengeluarkan sebuah kotak besi Coklat Van Houten
yang sudah berkarat. Wardah membuka penutup kotak itu. Sebentuk cincin plastik
yang dibeli dari mesin ‘tikam’ sudah berada di atas tapak tangannya.
Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman. Dengan cincin inilah dia berkahwin
dengan anak Auntie Raihanah dua puluh tahun dahulu. Siap duduk bersanding dan
ditepung tawar oleh anak-anak jiran tetangga yang lain.
Wardah membaringkan tubuhnya di atas katil bersaizqueen itu.
Pandangan matanya ditebarkan ke siling putih berukir cantik. Dia sudah hampir
melupakan kenangan masa kecil itu. Cincin di dalam genggamannya kini sudah
tersarung di jari kelingkingnya. Semakin melebar senyuman di bibir Wardah
tatkala ini.
Hmm, entah macam mana rupa suami aku sekarang ya?
No comments:
Post a Comment