WARDAH tersenyum
sebaik kakinya sampai di hadapan Blooms. Inilah kedai bunga yang menjadi tempat
dia mencari rezeki selama ini. Tempat istimewa di mana dia dikelilingi oleh
pelbagai bunga yang berwarna-warni. Tempat dia mengubat rasa kecewa dan sedih. Tempat
dia merasakan dia boleh menjadi dirinya sendiri. Dan ini jugalah tempat yang
sering membuatkan dia dan Wahid memendam rasa. Hai... Entah sampai bilalah dia
dapat bekerja di sini.
Wardah mengeluarkan sejambak kunci dari beg galasnya. Dalam masa tiga puluh
minit, kedai yang tadinya tertutup kini sudah sedia untuk beroperasi.
Bekas-bekas bunga telah diatur di hadapan kedai. Air juga sudah diganti untuk
memastikan kesegaran bunga tetap terpelihara. Wardah meletakkan tanda nama pada
setiap bekas bunga untuk memudahkan pelanggan. Blooms bukan setakat menjual
bunga. Malahan mereka turut menawarkan tumbuhan hijau yang mudah dijaga serta
pelbagai jenis pokok kaktus.
Setelah semuanya selesai, Wardah menuju ke meja persediaan. Wardah menyemak
senarai tempahan untuk hari ini. Ada tiga tempahan bunga yang perlu disiapkan
dan dihantar sebelum pukul sebelas pagi. Pantas tangannya memilih bunga-bunga
yang cantik dan segar untuk menyiapkan setiap pesanan pelanggan. Dia sudah
biasa dengan puluhan jenis bunga yang terdapat di situ. Malahan sentuhan bunga
gubahannya sentiasa menjadi dan mendapat pujian pelanggan.
“Excuse me bang,” suara lembut yang menegur membuatkan Wardah
berpaling ke belakang. Bukan sekali dua jantinanya disalah erti. Malah dia
sudah lali pula dengan situasi sebegitu.
“Yes miss? What can I help you?” Wardah menanggalkan sarung tangan yang
dipakai untuk melindungi tapak tangannya dari tercucuk duri. Segaris senyuman
terukir di wajahnya kepada gadis yang berdiri di hadapannya.
“Oh, perempuan rupanya. Hmm, I nak tempah bunga for my
boyfriend. Boleh you suggest bunga yang
sesuai?”
Wardah masih tersenyum walaupun hatinya pedih mendengarkan ayat sinis perempuan
di hadapannya. Seribu satu karenah pelanggan perlu ditanganinya dengan
bijaksana. Lagipun Madam Ong sudah menaruh kepercayaan yang tinggi kepada
dirinya. “Sure boleh miss. Kat Blooms kita offer
varieties of flowers. Boleh saya tahu ada special celebration ke?
Selalunya kalau orang nak sambut annivesarry percintaan, they
prefer roses.”
Wardah menunggu jawapan dari pelanggan pertama kedai bunga hari ini. Sementara
itu sempat pula sepasang matanya menganalisa perempuan itu dari atas ke bawah.
Rambut perempuan itu disanggul tinggi seperti perempuan dalam pantang. Wajahnya
pula dirias dengan pelbagai warna. Wardah tertanya-tanya berapa lama agaknya
masa yang diambil oleh perempuan itu untuk bersiap sebegitu. Matanya gatal pula
untuk meneliti pakaian perempuan itu. Kebaya ketat yang membaluti tubuhnya
membuatkan Wardah seram sejuk. Boleh ke bernafas tu?
“Ehem-ehem. I dah ada boyfriend ya!”
Wardah menelan liur. Otaknya cuba memahami maksud yang disampaikan oleh
perempuan itu. Haish! Ingat aku nak ngorat kau ke? Perasan! Pakai pun macam
Nyonya Mansur dalam filem Ibu Mertuaku. Ingat aku ni lesbian ke? Wardah
mengenggam tangannya dengan kuat. Sabar Aimy... sabar! Ingat ni tempat kau cari
rezeki. “Errr... Sorry miss. Saya kagum tengok cara miss bersiap.
Memang cantik!”
“Yes, I know that. Ni... I tak pandailah nak pilih
bunga mana. Bunga-bunga segar ni susah tak nak jaga?” perempuan itu menyentuh
sebaris bunga yang sudah siap digubah. Bunga-bunga itu adalah untuk mereka yang
dalam keadaan urgent. Contohnya suami-suami yang sering
terlupa hari-hari istimewa pasangan mereka. Dah last minute terpaksalah
beli yang ready-to-go begitu.
“Boyfriend miss jenis yang macam mana? Kalau memangbusy, saya
tak suggest ambil fresh flowers. Sayang pulak nanti
kalau bunga cepat sangat layu. Kita ada pokok-pokok hijau dalam pasu kecil
macam ni. Boleh letak atas meja pejabat. Tapi pokok ni nak ada sunlight dan
disiram,” Wardah membawa pelanggannya meninjau pelbagai jenis bunga dan
tumbuhan yang terdapat di kedainya.
“Oh, fussy juga ye nak jaga pokok dan bunga ni?” kerutan di
dahi perempuan itu membuatkan Wardah tersenyum. Soalan yang sudah biasa
didengarinya setiap hari. Semua orang sukakan bunga yang cantik pelbagai rupa.
Namun bukan semuanya rajin mahu mengganti airnya setiap hari.
“Hmmm... Atau miss nak bagi kaktus? Ini yang paling mudah nak
jaga,” Wardah menunjukkan sebaris koleksi kaktus di atas para. Tumbuhan berduri
tajam itu disusun atur mengikut ketinggian.
“Alaaa... tak romatiklah bagi kaktus!” perempuan itu mencebik sedikit.
Mengada-ngada pula di pandangan mata Wardah. Banyak betul songeh!
“Kita boleh decorate pasu ni nanti. Kalau miss nak,
saya boleh letak artificial flowers sebagai hiasan. Cuba miss tengoksample yang
dah siap tu. Boleh letak kad ucapan lagi,” Wardah masih tabah memberi
penerangan. Adat orang berniaga, pelanggan perlu diutamakan!
Perempuan itu tersenyum lebar melihatkan contoh pokok kaktus yang sudah siap
digubah. Tidak sia-sia dia mengikut cadangan Eunice untuk ke kedai bunga ini.
Sememangnya terdapat pelbagai jenis pilihan di sini. Dia tidak pernah menyangka
pokok kaktus pun boleh kelihatan begitu menarik setelah digubah!
“Okay! I’ll take that!”
Wardah tersenyum kemenangan. Tidak sia-sia dia meluangkan masa untuk pelanggan
yang satu ini. Tangannya pantas mencapai pasu pokok kaktus dan dibawa ke meja
persediaan. Beberapa kuntum bunga plastik berkualiti tinggi dikeluarkan bersama
dengan alatan lain untuk menggubah pokok itu. Sekeping kad kecil dihulurkan
kepada perempuan yang asyik melihatkan cara dia bekerja.
“Miss boleh tulis ucapan kat sini. Do you want us to
deliver it to your boyfriend?” Wardah cuba mengalih perhatian perempuan
cerewet tersebut. Rasa serba tak kena dibuatnya apabila bekerja di hadapan
perempuan itu.
“Yup! You all hantarkan ye? I kena balik office dah
lepas ni. This is the address,” Wardah mengangguk. Huluran
sekeping kertas terkandung alamat itu diambil. Pantas tangannya menyiapkan
gubahan tersebut. Sekeping kad ucapan yang sudah siap ditulis oleh perempuan
itu dilekatkan pada sebatang kayu sebelum dicucuk ke dalam pasu. Dah siap!
“Nice. Good job,” gubahan indah itu dibelek dan dipusing 360 darjah. Ada
segaris senyuman puas yang terlukis di wajah bersolek itu. Kembang-kempis dada
Wardah menerima pujian dari pelanggan yang satu ini.
“How much?” Wardah melihat perempuan itu mengeluarkan sekeping kad
kredit dari dompet kulit berjenama Coach.
“Total together with delivery charge is RM185.90. Don’t worry miss. Your
cactus will be delivered safely today,” Wardah menekan beberapa butang pada
mesin kira-kira. Kagum dia melihatkan cara rakyat Malaysia membelanjakan wang
sebanyak itu untuk pokok kaktus hasil gubahannya. Bagi dirinya yang kais pagi
makan pagi ini, wang sejumlah begitu sudah boleh menampung belanjanya untuk dua
minggu!
“Terima kasih miss. Do come again!” Wardah menceriakan
suaranya sebaik klon Nyonya Mansur itu melangkah keluar dari kedai.
Gubahan pokok kaktus itu dilihat sekali lagi. Memang cantik dan kreatif ideanya
hari ini. Berbakat betul aku ni! Kalau ada pertandingan MasterFlorist, dah
tentu aku ada chancenak menang! Tangannya menyentuh pokok kaktus
itu sambil matanya membaca sebaris ucapan yang ditulis oleh perempuan itu.
‘Good luck in your project!- Ju’
Aik? Tak ada ayat jiwang ‘I love you’ atau ‘I miss you’ke?
Panggil pun ‘Ju’ aje? Ju-On ke? Huh! Tak romantik langsung
perempuan ni. Wardah membebel sendirian. Sekilas dia menjeling ke arah jam di
dinding. Sudah hampir tengah hari. Raju sudah tentu akan sibuk menghantar tiga
tempahan untuk hari ini. Kemudian lelaki itu akan pergi mengambil stok bunga
segar yang baru turun dari Cameron Highlands pula. Wardah mencapai alamat yang
ditinggalkan oleh perempuan tadi.
“Wisma Bina Jaya?"
Eh, dekat aje. Hanya berselang dua blok sahaja dari lokasi
kedai bunga ini. Nampaknya terpaksalah dia yang menghantar pesanan dari
perempuan tadi. Sebentar lagi Madam Ong akan sampai. Selepas itu bolehlah dia
keluar untuk melakukan penghantaran. Matanya menjeling sekali lagi pada kertas
alamat di tangan.
“Hasif Wafiy...”
Amboi! Bergetar dadanya apabila menyebut sebaris nama teman lelaki si Ju-On
tadi. Terbayang rupa paras yang setanding dengan nama indah itu. Kalau
melihatkan sikap cerewet perempuan tadi, pasti teman lelaki pilihannya wajib
bersifat sempurna. Kalau tak hensem dan macho seperti Aaron Aziz, mesti cute dan
bergaya seperti pelakon Korea yang popular.
Ish, tak sabar pula rasanya dia ingin melihat empunya badan. Adakah
orangnya sesedap nama?
No comments:
Post a Comment